Pages

Monday, February 20, 2012

Umar Patek mahu berjihad di Afghanistan

UMAR (tengah) meninggalkan kamar mahkamah di Jakarta dengan dikawal ketat anggota keselamatan.
UMAR (tengah) meninggalkan kamar mahkamah
 di Jakarta dengan dikawal ketat anggota keselamatan.

Suspek pengganas dakwa tak sedar kehadiran Osama di Abbottabad

JAKARTA: Seorang suspek kegiatan keganasan Indonesia yang ditahan di sebuah bandar di Pakistan di mana Osama bin Laden dibunuh tetap bertegas bahawa beliau tidak menyedari kehadiran pemimpin al-Qaeda itu di sana, kata rakaman video siasatan yang diperoleh The Associated Press.
Umar Patek yang dikatakan pakar membuat bom juga meluahkan kekecewaannya ketika berusaha memulihkan semula rangkaian militan yang membawa beliau ke Afghanistan dan berperang dengan tentera Amerika Syarikat. Selepas ke Pakistan sendirian, beliau menunggu selama tiga bulan sebelum seorang kenalan militan akhirnya datang kepadanya.
Kenyataannya jika benar, akan menambahkan lagi bukti bahawa pergerakan Jemaah Islamiyah Asia Tenggara itu bertanggungjawab dalam pengeboman kelab malam di Bali pada 2002, kini terputus bantuan sejak sekian lama dari al-Qaeda.

Patek dibicarakan di Jakarta atas dakwaan terbabit dalam pengeboman Bali yang membunuh lebih 200 orang, adalah seorang yang masih kekal dalam militan Jemaah Islamiyah dan bebas ketika ejen risikan Pakistan menahan beliau setahun lalu di bandar Abbottabad.

“Kumpulan radikal di Asia Tenggara terutama di Filipina, Indonesia, Malaysia sudah musnah tetapi mereka masih lagi berbahaya,” kata Sidney Jones, seorang penganalisis keganasan dari International Crisis Group. kepada AP.

“Mereka boleh bersendirian. Mereka tidak mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dalam sebarang cara tradisi tetapi kita menyaksikan satu gelombang baru kumpulan di mana al-Qaeda tidak mempunyai kaitan langsung, muncul dan menjadi satu ancaman di Indonesia,” katanya.
“Bagaimanapun polis Indonesia mampu menguruskan ancaman itu dengan baik.”
Empat bulan selepas penahanan Patek, anggota tentera pasukan khas (SEALS) Amerika Syarikat ke Abbottabad dan membunuh Osama.

Penahanan Patek di sebuah rumah persembunyian yang terlalu hampir dengan tempat kediaman Osama ternyata mencetuskan spekulasi bahawa pemimpin Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah di Asia Tenggara itu saling rapat berhubungan daripada yang dijangkakan.

Beberapa pegawai kerajaan Indonesia juga memberikan bayangan kepada hubungan berkenaan.

Pegawai Amerika Syarikat dan Pakistan berkata, kehadiran Patek di Abbottabad adalah secara kebetulan dan kata-kata Patek sendiri menyokong pendapat mereka.

Video siasatan selama 30 minit oleh polis Indonesia itu pada September menunjukkan bahawa beliau bertegas bahawa kehadirannya ke Pakistan adalah untuk misi peribadi ke Afghanistan bersama isteri dan melakukan jihad di sana.

Patek yang berjubah putih dan berkopiah dalam video itu berkata: “Ini adalah misi peribadi saya untuk ke Afghanistan. Tiada sesiapa mengarahkan saya dan saya bukan bertujuan untuk mewujudkan semula satu rangkaian baru.”

“Ia benar-benar kebetulan di mana saya berada di bandar yang sama dengan Osama bin Laden. Ia adalah dengan izin Tuhan.

“Sepanjang masa saya di sana, saya hanya tinggal di dalam rumah. Malah saya tidak pernah keluar dari bilik,” kata Patek, yang mendakwa membuat sendiri bom berkereta yang meletupkan dua kelab malam di pantai Kuta di Bali, yang membunuh 202 orang kebanyakannya pelancong. – AP

Berita Harian Online | Umar Patek mahu berjihad di Afghanistan:

'via Blog this'

Presiden Yaman terpaksa undur

PENYOKONG Hadi ketika berkempen untuk jawatan Presiden Yaman di Aden, kelmarin.
PENYOKONG Hadi ketika berkempen untuk
jawatan Presiden Yaman di Aden, kelmarin.


Pungutan suara pilih timbalan tamatkan pemerintahan 33 tahun Saleh

SANAA: Pemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh selama 33 tahun berakhir minggu ini apabila timbalannya mengambil alih jawatan itu menerusi pungutan suara seperti pilihan raya, menjadikan Yaman sebagai negara Arab pertama di mana yang menyelesaikan isu kebangkitan rakyat menerusi perundingan.
Pengaruh Saleh bagaimanapun masih jelas dalam pengundian presiden Selasa apabila mengekalkan penguasaan terhadap pasukan keselamatan paling berkuasa di negara itu dan berkata beliau akan kembali ke tanah air dari Amerika Syarikat bagi rawatan perubatan menjelang pengundian.
Naib Presiden Abdrabuh Mansur Hadi, hanyalah satu-satunya nama dalam kertas undi, menjadikan pilihan raya itu semata-mata pengundian satu calon. Tentera berusia 66 tahun dari selatan itu dianggap kebanyakan pihak calon yang mendapat persetujuan semua.

Dua kumpulan pembangkang, pemisah Pergerakan Selatan dan di utara Zaidi, memulaukan pilihan raya itu. Pilihan raya satu calon itu adalah syarat peralihan kuasa yang ditaja negara Teluk dan ditandatangani Saleh pada November selepas 10 bulan protes besar-besaran dan menyebabkan tekanan antarabangsa mendesak beliau berundur.

Penyokong kebangkitan meminta rakyat Yaman untuk menyokong Hadi dan poster naib presiden ditampal di seluruh bangunan dan jalan di ibu negara, Sanaa.

“Hadi mempunyai sokongan tempatan, serantau dan antarabangsa serta pemimpin yang ada wawasan masa depan. Kami minta rakyat Yaman menyertai pilihan raya ini,” kata Jeneral Ali Mohsen al-Ahmar, yang belot pada Mac lalu kerana menyebelahi penunjuk perasaan.
Pemenang Anugerah Nobel Keamanan yang berpengaruh, Tawakkul Karman turut menggesa rakyat mengundi untuk naib presiden dan berkata pilihan raya ini adalah tanda kemenangan bagi kebangkitan popular golongan muda.

Sebaik Hadi mengambil alih jawatan itu, beliau dijangka melancarkan dialog nasional, langkah pertama dalam tempoh peralihan yang akan berakhir pada pilihan raya presiden dan perundangan dalam tempoh dua tahun.

Namun, ramai rakyat Yaman bimbang peranan pasukan keselamatan negara yang masih di bawah kawalan anak lelaki Saleh dan anak saudaranya yang bertanggungjawab terhadap pertumpahan darah sepanjang tindakan keras terhadap penunjuk perasaan. – AFP

Berita Harian Online | Presiden Yaman terpaksa undur:

'via Blog this'

Empat bulan jadi hamba seks

 WOON menunjukkan gambar suspek   kepada   Chong di Wisma MCA, semalam.
WOON menunjukkan gambar suspek kepada
Chong di Wisma MCA, semalam.

Janda dua anak hampir bunuh diri, tertekan diugut bekas teman lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang janda beranak dua yang mendakwa menjadi hamba seks bekas teman lelakinya sejak beberapa bulan lalu hampir mengambil keputusan untuk membunuh diri kerana amat tertekan dan tidak tahan diperlakukan sedemikian.
Gara-gara terlalu percayakan lelaki yang dikenalinya sejak bersekolah menengah di Kepong pada tahun 2000, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Woon, 29, terjerat dengan janji manis bekas teman lelakinya mahu mengahwininya apabila mereka bertemu semula pada 2010.
Mimpi ngeri Woon bermula kira-kira empat bulan lalu selepas lelaki itu mengugut akan menyebarkan lebih 80 gambar bogelnya melalui internet sekiranya beliau menolak untuk mengadakan hubungan seks selepas hubungan cinta mereka berakhir.

Woon yang berasal dari ibu negara, berkata semua gambar bogel itu diambilnya sendiri sebelum menghantar melalui e-mel kepada lelaki itu atas permintaan teman lelakinya sebagai tanda cinta kepada lelaki berkenaan enam bulan lalu.

“Dia yang minta saya ambil gambar itu dan hantar kepadanya melalui e-mel dan kerana terlalu sayang dan mempercayainya, saya ikutkan kehendaknya.

“Dua bulan selepas berpisah, dia mula menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mengajak saya melakukan hubungan seks dan bila saya tolak, dia ugut akan sebarkan gambar bogel saya. Kerana takut dan malu, saya terpaksa ikut kehendaknya,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan MCA, di sini, semalam.
Woon, seorang peniaga mendakwa sejak lebih empat bulan lalu dirinya diperlakukan seperti hamba seks kerana tidak mampu menolak setiap kali lelaki itu menagih seks daripadanya kerana bimbang gambar bogelnya disebarkan.

“Pada 9 Februari lalu, dia sekali lagi hantar SMS mengajak melakukan hubungan seks, namun saya menolak. Tidak lama kemudian dia hantar tiga keping gambar bogel saya ke telefon bimbit saya untuk mengugut.

“Saya berasa amat tertekan hingga mahu membunuh diri, namun mengawal diri demi anak. Akhirnya, saya menceritakan masalah itu kepada adik perempuan saya yang kemudian menasihatkan supaya saya berterus terang kepada teman lelaki baru saya serta membuat laporan polis,” katanya.

Woon berkata, beliau bernasib baik kerana keluarga dan teman lelaki barunya memahami masalah dihadapinya dan menyerahkan kepada polis kerana tidak mahu lagi hidup dalam ketakutan. Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong, berkata sejak awal tahun ini, beliau menerima tiga aduan seakan-akan sama seperti Woon dan 14 aduan sama sepanjang 2011.

Berita Harian Online | Empat bulan jadi hamba seks:

'via Blog this'

Iran henti jual Perancis, UK minyak


Minyak

TEHRAN - Iran memutuskan untuk menghentikan penjualan minyak kepada syarikat-syarikat Britain dan Perancis, dipercayai tindakan balas ekoran keputusan Barat mengenakan sekatan berhubung program nuklear.

Sebaliknya menurut jurucakap Kementerian Petroleum, negara itu akan menjual minyak kepada pelanggan-pelanggan barunya.

Sebelum ini, negara-negara anggota Kesatuan Eropah telah pun memutuskan untuk berhenti mengimport minyak mentah dari Iran mulai 1 Julai ini. Ia sebahagian langkah sekatan yang bertujuan mengenakan tekanan ke atas Iran supaya menghentikan program uranium.

"(Urusan) mengeksport minyak mentah kepada syarikat-syarikat Britain dan Perancis telah pun dihentikan... kami akan menghantar minyak kami kepada pelanggan-pelanggan baru," kata jurucakap Alireza Nikzad dalam satu kenyataan disiarkan oleh Kementerian Petroleum menerusi laman webnya.

Menteri minyak Iran pula pada 4 Februari lalu berkata, negara Islam itu akan menghentikan bekalan minyak kepada beberapa negara Eropah.

Bagaimanapun laporan agensi berita AFP hari ini berkata, keputusan Iran itu tidak akan membawa impak yang besar.

Tahun lalu, Perancis hanya membeli tiga peratus minyak dari Iran dan kadar import Britain pula lebih kecil.

Iran henti jual Perancis, UK minyak - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Musim sejuk ragut puluhan nyawa di Afghanistan

KABUL - Sekurang-kurangnya 40 rakyat Afghanistan kebanyakannya kanak-kanak, membeku sampai mati berikutan musim sejuk melampau di negara itu sejak tahun kebelakangan ini.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ghulam Sakhi Kargar memberitahu, setakat ini kerajaan telah mencatatkan 41 kematian disebabkan kesejukan di tiga wilayah.

Katanya, tiga daripada empat kes berkenaan melibatkan kanak-kanak, manakala 24 kes kematian di ibu negara Kabul kebanyakannya di kem pelarian.

Tambah Kargar, kementerian itu kini sedang mewujudkan klinik bergerak bagi membantu rakyat yang menderita akibat kesejukan.


Musim sejuk ragut puluhan nyawa di Afghanistan - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Berhimpun sokong Khader Adnan

Berhimpun sokong  Khader Adnan
GAZA - Ribuan rakyat Palestin berhimpun di Genting Gaza dan Tebing Barat bagi menyokong pemimpin pejuang Jihad Islam, Khader Adnan yang melancarkan mogok lapar selama 63 hari sebagai protes terhadap penahanannya oleh rejim Israel.

“Kami semua adalah Khader Adnan,” jerit ribuan rakyat Palestin yang berhimpun di Genting Gaza, Jumaat lalu, yang bergabung dengan aktivis dari kumpulan politik utama.

Sejak pertengahan Disember lalu, Adnan menolak untuk makan kerana membantah penahanannya di Tebing Barat tanpa sebarang dakwaan.

Pemimpin Jihad Islam itu ditahan di bawah peraturan yang digelar sebagai penahanan pentadbiran yang membenarkan rejim menahannya tanpa dibicarakan atau dakwaan.
Menurut Kumpulan Jihad Islam, keganasan bertambah buruk jika Adnan meninggal dunia, berikutan laporan yang mengatakan tahap kesihatannya semakin merosot sejak akhir-akhir ini.

Selain itu, kumpulan pakar perubatan hak kemanusiaan Israel turut memperakui bahawa Adnan dalam keadaan bahaya dan semakin tenat.

Berhimpun sokong Khader Adnan - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

NYPD intip pelajar Islam

NYPD
NEW YORK - Jabatan Polis New York (NYPD) memantau secara dengan mendalam terhadap pelajar-pelajar Islam yang menuntut di sekolah termasuk kolej elit, Kolej Liga Ivy, Yale dan Universiti Pennsylvania.
Menurut pihak berkuasa tempatan, NYPD menghantar agen rahsia bagi merekod nama pelajar ke dalam fail perisikan mereka termasuk jumlah kekerapan pelajar itu bersolat.
Setiap hari, beberapa detektif akan mengesan laman web pelajar Islam dan walaupun proffesor serta pelajar itu sendiri tidak pernah melakukan kesalahan, nama mereka turut disenarai dalam rekod laporan yang disediakan kepada Pesuruhjaya Polis, Raymond Kelly.
Dalam usaha untuk meruntuhkan kepercayaan umum terhadap kesucian Islam, jurucakap polis, Paul Browne menyediakan 12 senarai rakyat yang ditahan atau dituduh terlibat dengan keganasan di Amerika Syarikat (AS) serta luar negara melibatkan ahli-ahli persatuan penuntut Islam merujuk kepada MSAs, Jesse Morton, yang mengaku bersalah memuat naik ancaman dalam talian menentang pencipta animasi rancangan televisyen ‘South Park’.
Polis mendakwa Morton turut mencuba merekruit ahli-ahli barunya di Universiti Stony Brook, Long Island.
Namun begitu, Pengerusi Persatuan Pelajar Islam Syracuse, Tanweer Haq menyelar tindakan NYPD sebagai satu pencabulan hak awam.
“Tiada sesiapa pun mahu nama mereka disenarai Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) atau NYPD atau apa-apa sahaja.
”Apa yang pelajar Islam inginkan adalah kebebasan bernafas, diberi privasi dan diberi peluang-peluang seperti orang lain,” katanya.
Dalam beberapa bulan ini, agensi berita Associated Press (AP) mendedahkan beberapa program rahsia NYPD yang dibantu Agensi Perisikan Pusat (CIA) memantau kegiatan penduduk Islam termasuk lokasi mereka membeli-belah, makan dan bersolat.
Menerusi pendedahan itu juga, memperlihatkan NYPD bertindak menempatkan pegawai-pegawai pengintipnya di beberapa persatuan pelajar Islam di kolej-kolej yang dikatakan berpotensi mencetuskan keganasan dalam kumpulan pelajar itu.
Konon dikatakan mengikut prosedur yang sama seperti FBI, jelas sekali sebahagian tindakan NYPD tidak mengikut prosedur FBI.
Malah perlanggaran prosedur itu dinafikan Kelly dan Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg.

NYPD intip pelajar Islam - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Makan ludah penyelia asrama

KEPALA BATAS: Gara-gara berbual dengan rakan, seorang pelajar sebuah sekolah agama bantuan kerajaan dekat sini, bukan saja ditampar pipinya dan diarah melakukan ketuk ketampi sebanyak 200 kali, malah mendakwa diludah ke dalam mulut sebagai hukuman.

Hukuman dianggap keterlaluan itu didakwa dilakukan penyelia asrama sekolah di Lahar Minyak, dekat sini, pada jam 11 malam, 10 Februari lalu.

Berikutan tindakan luar batasan itu, bapa pelajar berkenaan, Helmi Ismail, 37, dari Permatang Kuang, di sini, kesal dengan hukuman penyelia asrama terbabit.

Beliau menyifatkan tindakan penyelia berkenaan sebagai penghinaan kepada anaknya, Muhammad Huzaimie, 13, selain mengambil alih kuasa warden asrama dan guru disiplin.


Menurutnya, anaknya dikatakan melakukan kesalahan apabila berbual dengan dua rakan, Asri Elias dan Ammar Shahidan yang juga berusia 13 tahun dalam bilik asrama.


myMetro | Makan ludah penyelia asrama:

'via Blog this'

Jambatan putus, 10 penduduk hanyut

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 10 orang terhumban ke dalam Sungai Cihideung di Ciampea, Bogor, Jawa Barat, semalam.

Kejadian berlaku selepas jambatan bambu yang mereka gunakan untuk menyeberang sungai berkenaan runtuh. Menurut laporan, semua mangsa dihanyutkan arus deras dan setakat ini, hanya satu mayat ditemui.


Penyelaras pasukan mencari dan menyelamat, Budi Darmanwansyah berkata, mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul di kampus Institut Pertanian Bogor.

myMetro | Jambatan putus, 10 penduduk hanyut:

'via Blog this'

Kata dua Korea Utara

SEOUL: Tentera Korea Utara semalam memberi amaran, ia akan mengebom pulau berhampiran Laut Kuning yang menjadi sempadan dengan Korea Selatan sebagai tindak balas terhadap rancangan Seoul mengadakan latihan mengguna peluru hidup di kawasan berkenaan.

Tentera Korea Selatan yang ditempatkan di lima pulau sempadan itu akan mengadakan latihan bulanan mereka menggunakan peluru hidup hari ini.


Pyonyang mengambil pendekatan bermusuhan terhadap Seoul sejak Kim Jong-Un, anak bongsu mendiang Kim Jong-Il, berikutan kematian bapanya Disember lalu.

Tentera Korea Selatan memberi amaran kepada penduduk kelima-lima pulau itu berpindah ke kawasan selamat sebelum latihan bermula.


Dalam mesej yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Pyongyang, Korea Utara berkata, Seoul tidak sepatutnya melupakan pengajaran hasil daripada pengebomannya terhadap Pulau Yeonpyeong pada November 2010 yang menyebabkan empat orang terbunuh.


“Sebaik kumpulan pembelot itu memulakan provokasi tentera, KPA (Tentera Rakyat Korea) akan mula melancarkan serangan balas,” katanya.

Tentera Korea Selatan berkata, latihan itu hanyalah sebahagian daripada latihan biasanya.


“Tidak ada apa yang istimewa atau baru dalam latihan itu untuk bulan ini berbanding dengan yang sebelumnya. Kami melakukan latihan itu setiap bulan,” kata jurucakap tentera Korea Selatan.

Menteri Pertahanan Korea Selatan sebelum ini berkata, tentera laut negaranya dan Amerika Syarikat akan melancarkan latihan serangan kapal selam di Laut Kuning mulai hari ini hingga Jumaat bagi menghadapi kemungkinan serangan Korea Utara.


Seorang jurucakap Ketua Turus Bersama Tentera Korea Selatan berkata, amaran Korea Utara itu mungkin bukan disasarkan terhadap latihan itu.


Korea Utara sering memberi amaran kepada Korea Selatan berhubung latihan itu tetapi sejak insiden Yeonpyeong, tidak ada serangan lain dilakukan. - AP

myMetro | Kata dua Korea Utara:

'via Blog this'

Israel tak perlu kebenaran AS

BAITULMAQDIS: Israel akhirnya akan memutuskan sendiri untuk menyerang Iran, kata ketua tentera rejim Zionis dalam wawancara yang disiarkan, semalam ketika pegawai kanan Amerika Syarikat tiba untuk berbincang mengenai Republik Islam itu.

“Israel perlu menjamin keselamatannya sendiri, ini peranan kami sebagai tentera. Israel perlu mempertahankan diri sendiri,” kata Leftenan Jeneral Benny Gantz kepada stesen televisyen kerajaan, TV Satu. “Kita perlu mengikuti perkembangan di Iran dan projek nuklearnya, tetapi secara menyeluruh dengan mengambil kira apa yang dilakukan dunia, apa yang diputuskan Iran dan apa yang akan kita lakukan atau tidak lakukan,” katanya. Sejak beberapa minggu lalu, terdapat spekulasi bahawa Israel hampir melaksanakan serangan terlebih dahulu terhadap program nuklear Iran walaupun rejim Zionis itu menafikan mencapai keputusan sedemikian. Ketegangan antara Iran dan Israel semakin memuncak apabila kapal perang Iran memasuki Laut Mediterranean melalui Terusan Suez dalam usaha menunjukkan kekuatanya, langkah yang akan dipantau dengan teliti oleh rejim Zionis. Rabu lalu, Iran berkata ia telah memasang 3,000 lagi pengempar bagi meningkatkan keupayaan pengayaan uranium dan menambah proses sari kuning uranium. Israel menyalahkan ejen Teheran bertanggungjawab terhadap serangan yang mensasarkan diplomat negara Zionis itu baru-baru ini di New Delhi, Georgia dan Bangkok, tetapi tuduhan itu dinafikan Iran. Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Tom Donilon semalam memulakan perbincangan dengan pegawai Israel mengenai pelbagai isu termasuk Iran, dua minggu sebelum Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melawat Washington untuk berunding dengan Presiden Barack Obama mengenai isu sama. Artikel yang diterbitkan Washington Post, baru-baru ini menyebut Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta berpendapat Israel mungkin menyerang kemudahan loji nuklear Iran dalam beberapa bulan akan datang.


Menurut Gantz, Iran bukan saja menjadi masalah kepada Israel, tetapi juga masalah kepada dunia dan rantau itu.

Sabtu lalu, Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak menyeru dunia mengukuhkan sekatan ke atas Iran sebelum negara itu memasuki “zon imuniti” bagi memusnahkan program nuklear Republik Islam itu. - AFP


myMetro | Israel tak perlu kebenaran AS:

'via Blog this'

Loji nuklear Iran di Qom

LONDON: Iran mungkin membuat persediaan meluaskan program nuklearnya di loji bawah tanah dekat bandar raya Qom, seorang diplomat memberitahu BBC.

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa hari sebelum lawatan pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Teheran.


“Iran nampaknya sudah bersedia memasang ribuan pengempar baru di loji bawah tanah di utara negara itu,” kata diplomat di Vienna kepada stesen penyiara Britain itu.

BBC melaporkan, pengempar itu mampu meningkatkan penghasilan pengayaan uranium yang boleh digunakan untuk menjana tenaga nuklear dan menghasilkan bom atom. Pemeriksa dari Agensi Tenaga Atom dan pemerhati nuklear PBB akan berada di Teheran minggu ini.


Iran telah dikenakan empat sekatan oleh PBB dan pelbagai tindakan sehala oleh AS dan Kesatuan Eropah ekoran program nuklearnya itu. - AFP


myMetro | Loji nuklear Iran di Qom:

'via Blog this'

Penentang Bashar tunjuk perasaan di Damsyik

DAMSYIK: Aktivis Syria menggesa pelaksanaan ‘hari ingkar’ di bandar raya ini, semalam selepas tentera menembak mati beberapa orang di satu majlis pengebumian yang bertukar menjadi perhimpunan terbesar antikerajaan.

“Kami menjangka demonstrasi terbesar di Damsyik, kata anggota Majlis Revolusi Syria yang berpangkalan di bandar raya itu, Deeb al-Dimashqi kepada media.


Sehububungan itu, katanya, tentera kerajaan mengenakan kawalan amat ketat di sekitar bandar raya berkenaan. “Terdapat sejumlah besar anggota tentera berkawal di sini. Bagaimanapun, kami akan akan menentang mereka dan mengadakan tunjuk perasaan di beberapa bahagian Damsyik, termasuk di Mazzeh, di mana orang ramai yang hadir di majlis pengebumian dibunuh kelmarin. Dalam mesej kepada penduduk Damsyik di laman Facebook “Revolusi Syria 2011”, aktivis berkata: “Darah pejuang syahid menggesa anda supaya ingkar.” Majlis pengebumian kelmarin adalah untuk empat mangsa yang terkorban, dua daripada mereka remaja yang terbunuh apabila tentera menembak penunjuk perasaan Jumaat lalu di daerah sama, yang dapat dilihat dari istana presiden, pejabat kerajaan dan kedutaan, menurut aktivis serta kumpulan hak asasi manusia.

“Pengebumian di Mazzeh bertukar menjadi tunjuk perasaan besar-besaran,” kata Ketua Organisasi Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria, Rami Abdul Rahman. Jurucakap aktivis di Damsyik, Mohammed Shami turut mengulang kenyataan sama.


“Ini kali pertama demonstrasi berlaku begitu hampir dengan pusat bandar raya Damsyik. Kira-kira 15,000 orang turut serta, katanya merujuk kepada upacara pengebumian Sabtu lalu sambil.


Dia berkata, tembakan ketika majlis pengebumian itu mencederakan ramai orang disusuli dengan ‘beberapa siri penangkapan’ di daerah penempatan golongan berpendapatan tinggi itu. - AFP


myMetro | Penentang Bashar tunjuk perasaan di Damsyik:

'via Blog this'

Lelaki panggang, makan budak diculik

MEERUT: Seorang lelaki India yang ditangkap kerana menculik seorang kanak-kanak memeranjatkan pihak polis apabila mendakwa dia memanggang kanak-kanak yang diculik tetapi tidak dapat dijualnya dan kadang kala turut memakan daging mereka.


Ketua polis, Rajiv Krishna berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci sekiranya dakwaan lelaki berkenaan adalah benar.
Polis berkata penduduk kampung menangkap lelaki berkenaan ketika dia cuba melarikan diri bersama seorang kanak-kanak yang diculik, Sadique, 12, dari Bhoor baral di daerah Meerut.
Lelaki itu memberitahu polis bahawa dia sebelum ini pernah menculik beberapa kanak-kanak dan menjual mereka dalam keretapi yang bergerak.
“Dia berkata, dia turut makan daging kanak-kanak yang tidak dapat dijualnya,” kata seorang pegawai polis itu.

Penduduk kampung sebelum itu mengadu kehilangan seorang kanak-kanak dari kampung terbabit, Azad yang sehingga kini tidak pernah ditemui.

“Kami akan menyiasat dakwaannya itu dan menghubungi pakar psikiatri di Agra dan Bareilly,” kata Rajiv Krishna.
Polis menghantar suspek mendapatkan rawatan dan menantikan laporan kesihatan sebelum mengambil tindakan. – Agensi
Berita Harian Online | Lelaki panggang, makan budak diculik:

'via Blog this'

Siaran ulangan retorik ancaman AS, Israel terhadap Iran


SIRI serangan bom yang dilihat menjadikan diplomat rejim Zionis di Thailand, India dan Georgia sebagai sasaran minggu lalu, meningkatkan lagi ketegangan Iran dengan kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan sekutu utamanya, Israel.

Rejim haram Zionis menuduh Iran menjadi dalang kepada ejen-ejen yang menyerang wakil-wakilnya tetapi Teheran berkeras menafikan pembabitannya.

Nampaknya benarlah ramalan penganalisis selama ini bahawa kuasa Barat akan memberi fokus terhadap Iran pula selepas memporak-porandakan Iraq, Afghanistan dan Libya selain kini sedang secara halus menggoncang Syria saban hari.

Barat memang menghadapi penyakit histeria yang tebal terhadap Iran. Namun dengan persekitaran di Asia Barat yang telah berubah terutamanya dengan Kebangkitan Arab (Arab Spring), ia menjadikan benua Arab bukan lagi sebuah entiti yang digeruni sangat oleh AS.

Sebaliknya, histeria anti-Iran yang dihidapi AS dan kuasa Barat yang lain, kelihatan boleh keluar daripada kepompong retorik, menjadi suatu konfrontasi sebenar.

Ada pandangan mendakwa retorik yang bersimpang-siur antara AS, Israel dan Barat dengan Iran bukan sesuatu yang baru. Amaran demi amaran disebut oleh pentadbiran silih berganti di Washington, ancaman perang oleh Israel, tindakan sekatan ekonomi Eropah dan pembunuhan saintis nuklear Iran, yang kemudiannya merebak kepada serangan balas terhadap diplomat Israel, telah membawa awan kelabu kepada ketenangan global.

Sehingga hari ini, Iran telah 'dihukum' dengan empat bentuk sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga tindakan unilateral AS bersama Kesatuan Eropah berhubung isu pembinaan nuklearnya.

Spekulasi bertiup kencang sejak seminggu dua ini bahawa Israel bersedia melancarkan serangan ke atas loji nuklear Iran tetapi rejim Zionis menafikan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu sudah mencapai sebarang keputusan mengenainya. Bermakna memang ada pelan untuk menyerang.

Dalam hiruk-pikuk semua ini, fakta yang nyata ialah Iran tidak memiliki senjata nuklear, sebagaimana diakui oleh beberapa pegawai kanan perisikan dan tentera AS sendiri.

Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta bertanya dan menjawab sendiri persoalan Iran: ''Apakah mereka cuba membina senjata nuklear? Tidak.'' Pengarah Perisikan Kebangsaan (NIE) AS, James R. Clapper, Jr. mengaku bahawa AS sendiri tidak tahu 'jika Iran akhirnya memutuskan untuk membina senjata nuklear'.

Laporan NIE pada 2011 menyatakan secara jelas bahawa tiada bukti baru untuk mencabar rumusan 2007 iaitu Iran masih tidak memiliki program senjata nuklear yang sedang berjalan.

Akhbar The Independent melaporkan, hampir keseluruhan pegawai kanan tentera dan keselamatan Israel bimbang mengenai serangan melulu terhadap Iran dan risau mengenai kemungkinan kesan-kesan akibatnya.

Apa yang diungkapkan oleh Israel dan Presiden Barack Obama terutamanya, ialah 'kebimbangan' semata-mata bahawa loji nuklear Iran itu 'akan' diguna untuk membina bom nuklear. Ini ditambah lagi dengan pengumuman Teheran pada Rabu lalu bahawa ia telah memasang 3,000 centrifuge bagi meningkatkan keupayaan mengayakan uraniumnya.

Maka itu, AS merasakan adalah perlu baginya sebagai polis dunia untuk melakukan 'langkah pencegahan' agar Iran tidak berjaya berbuat demikian.

Anehnya, AS tidak mahu menerima, apalagi percaya dengan jawapan Iran bahawa loji tersebut tidak bertujuan untuk membina senjata seumpamanya. Sejauh mana benar atau tidak jawapan Iran ini, akan diketahui bila pasukan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) iaitu badan pemantau PBB Bersatu melawat loji-loji yang disyaki di Iran, minggu ini.

Masalahnya, seluruh dunia tahu satu-satunya rejim di Asia Barat yang benar-benar membina dan memiliki senjata nuklear adalah Israel.

Tidak pula ada sesiapa mahu melakukan ketidakwajaran serupa kepada Israel, seperti yang dikenakan terhadap Iran. IAEA juga patut terbang ke Tel Aviv selepas Iran, jika ia peduli pun apa makna kredibiliti di mata masyarakat dunia berhubung isu pembinaan dan pemilikan senjata nuklear.


Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Serangan didalangi Zionis


BANGKOK 19 Feb. - Duta Iran ke Thailand, Majid Bizmark (gambar) menyatakan, pengeboman di Bangkok dirancang oleh rejim Zionis sebagai satu provokasi terhadap imej Iran dan hubungan Iran-Thailand.
"Jika diperhatikan isu ini dengan teliti, kita boleh melihat dalang di sebalik komplot ini.
"Ada sesuatu yang saya tidak boleh nyatakan, tetapi seperti yang saya katakan, suspek utama adalah Zionis," katanya dalam satu wawancara dengan akhbar tempatan, The Nation.
Bizmark berkata, Iran mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang bertanggungjawab di atas pengeboman tersebut.
Katanya, Kedutaan Iran juga sangsi dengan kenyataan yang menyatakan bahawa dua suspek yang ditahan pihak berkuasa Thai dan Malaysia merupakan rakyatnya, walaupun menurut jabatan imigresen suspek tersebut mempunyai pasport Iran.
"Kami tidak kenal siapa mereka. Mereka mungkin sesiapa sahaja," katanya.
Satu letupan di sebuah rumah dua tingkat di Bangkok pada 14 Februari lalu membawa kepada penahanan dua rakyat Iran iaitu Saeid Morat, 28, yang putus kedua-dua belah kakinya dalam letupan itu dan Mohamad Khazaei di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini.
Seorang lagi suspek, Zedhaghat Zadech Masoud, 31, ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Malaysia sehari kemudian.
"Anda boleh lihat senario yang sama turut berlaku di negara lain sejak beberapa bulan lalu. Ia seperti rangkaian yang berlaku, satu demi satu.
"Ia juga menunjukkan siapa dalang sebenarnya, yang amat berbahaya kepada kestabilan dan keamanan di rantau ini," kata Bizmark. - Agensi

Pesawat jet simbol prestij jutawan Asia


Jet eksekutif Legacy 650 milik Jackie Chan dihias dengan lakaran unik yang diilhamkan daripada seekor naga dalam mitos Cina. Ia diterbangkan dari Brazil sempena Pameran Udara Singapura yang berakhir semalam. - AFP


SINGAPURA 19 Feb. - Bagi golongan terkaya di Asia memiliki sebuah jet peribadi kini menjadi simbol status paling berprestij kerana rumah agam, limousin dan kapal layar tidak lagi memadai untuk mereka menunjuk-nunjukkan kekayaan.
Pengeluar jet eksekutif yang ingin menarik pembeli dari kalangan bilionair dan jutawan yang semakin ramai di Asia memperagakan segala produk mereka pada Pameran Udara Singapura yang berakhir hari ini.
Syarikat Embraer dari Brazil menerbangkan jet peribadi Jackie Chan ke Singapura untuk pameran tersebut.
Jet Legacy 650 milik bintang filem Hong Kong itu memaparkan lakaran unik dalam warna putih, merah dan kuning yang diilhamkan daripada seekor naga dalam mitos Cina.
Chan dilantik pada bulan ini sebagai duta jenama pertama bagi Embraer.
Pesawat Chan yang dilengkapi 13 tempat duduk dan berharga AS$31.5 juta (RM98 juta) itu adalah antara beberapa pesawat eksekutif yang dipamerkan oleh pelbagai syarikat termasuk Bombardier dari Kanada dan Gulfstream Aerospace Corp. dari Amerika Syarikat (AS).
"Seperti yang kita semua ketahui, rantau Asia Pasifik ialah pasaran yang berkembang dengan sangat pesat," kata Presiden Embraer, Ernest Edwards pada pameran udara itu.
Asia kini mempunyai bilangan jutawan kedua terbanyak selepas AS, dengan pertambahan mereka di China dan India pada kadar yang menakjubkan, menurut kajian oleh Merrill Lynch Global Wealth Management dan Capgemini.
Pengeluar jet memberi fokus terhadap individu dan keluarga yang memiliki aset boleh labur sekurang-kurangnya AS$30 juta (RM93 juta), iaitu golongan yang dikategorikan sebagai memiliki 'nilai aset bersih sangat tinggi'.
Bilangan mereka di Asia meningkat kepada 23,000 orang pada 2010, menurut laporan itu, manakala majalah perniagaan AS, Forbes menganggarkan China sahaja mempunyai hampir 150 bilionair. - AFP

Video Kevin Rudd maki hamun malukan Buruh


REAKSI Kevin Rudd yang dipetik daripada rakaman video sedang marah terhadap penterjemah bahasa Cina. - AGENSI


SYDNEY 19 Feb. - Parti pemerintah Australia, Parti Buruh hari ini menghadapi kemelut kepimpinan ekoran penyiaran satu rakaman video memaparkan bekas Perdana Menteri, Kevin Rudd memaki hamun seorang penterjemah bahasa Cina.
Rakaman video selama dua minit itu dimuat naik di YouTubue oleh pengguna bernamaHappyVegemiteKR, menunjukkan Rudd sedang merekodkan satu mesej dalam bahasa Mandarin dan mengutuk penulis teks tersebut.
''Bahasa ini susah, dia pula menambah kesukaran. Ini tidak boleh dilakukan,'' jerit Rudd yang merupakan bekas diplomat di China dan boleh berbahasa Mandarin, sambil menghentak meja dengan tangannya.
Rudd dipecat sebagai pemimpin Parti Buruh pada Jun lalu dalam satu rampasan kuasa oleh timbalannya, Julia Gillard yang berjaya memimpin parti itu meraih kemenangan pada pilihan raya umum lalu.
Spekulasi meningkat beberapa minggu lalu bahawa Rudd yang kini menjawat Menteri Luar, sedang melakukan persiapan untuk merampas kembali jawatan utama Parti Buruh.
Rudd menafikan spekulasi itu namun berkata, seseorang akan mempersoalkan masa 'luar biasa' video itu disebarkan kerana ia dirakamkan beberapa tahun lalu ketika beliau masih Perdana Menteri.
Katanya, ini kerana rakaman tersebut selalunya dimusnahkan namun video itu diarkibkan oleh pejabat Perdana Menteri atau jabatan kerajaan lain.
Pejabat Gillard menafikan membocorkan rakaman tersebut.
Rudd juga menegaskan beliau sudah berubah dan belajar untuk tidak terlalu mengawal keadaan serta membuat rujukan secara lebih luas, dua kritikan utama yang menyebabkan beliau kehilangan jawatan utama itu. - AFP

Tentera Syria tembak penunjuk perasaan anti kerajaan di Damsyik

AMMAN 19 Feb. - Seorang penduduk awam terbunuh manakala empat lagi cedera selepas pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan ke arah kumpulan penunjuk perasaan di Damsyik, semalam.
Serangan tersebut berlaku selepas Timbalan Menteri Luar China, Zhai Jun mengemukakan rayuan agar pergolakan yang berlaku selama 11 bulan di negara itu dihentikan ketika mengadakan lawatan ke Syria.
Pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan ketika kira-kira 30,000 penunjuk perasaan menyertai upacara pengebumian tiga penduduk awam yang ditembak mati sehari sebelumnya.
"Pasukan keselamatan Syria mula melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan selepas upacara pengebumian selesai," kata seorang saksi kepada Reuters.
Kumpulan aktivis pembangkang, Jawatankuasa Penyelaras Tempatan berkata, pasukan keselamatan menembak mati 14 penduduk awam di Damsyik dan di beberapa kawasan lain di Syria termasuk lima di bandar Homs.
Rakaman upacara pengebumian yang disiarkan menerusi Internet itu menunjukkan penunjuk perasaan melaungkan slogan berbunyi 'Kami korbankan darah, jiwa kepada semua yang mati syahid. Rakyat Syria bersatu padu'.
Zhai Jun dalam pada itu mengemukakan rayuan agar keganasan di Syria dihentikan termasuk dalam pentadbiran dan ketenteraan.
"China menyokong reformasi yang dilakukan di Syria termasuk langkah-langkah mengatasi pergolakan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Assad.
Beijing dan Moscow merupakan penyokong kuat Assad ketika Syria berdepan dengan krisis politiknya manakala Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Eropah, Turki dan Liga Arab mengutuk pergolakan yang berlaku dan menggesa agar pemimpin itu berundur dari jawatannya. - REUTERS

Duda berang dijel


KOTA BHARU - Tindakan seorang duda mencederakan tiga anak kandung dengan menggunakan wayar elektrik dan paip getah kerana berang kad sim telefon bimbitnya dipatahkan menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Zawawi Dollah, 37, (gambar) selepas penganggur itu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap anak-anaknya yang berusia tujuh, sembilan dan 11 tahun sehingga badan ketiga-tiga anaknya lebam.
Zawawi didakwa melakukan perbuatan mencederakan anak-anaknya itu dengan menggunakan wayar elektrik dan getah paip di sebuah rumah di Lot 122, Jalan Kuala Krai, Kok Lanas di sini pada pukul 6.30 petang, 13 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, semasa bekas isteri tertuduh hendak menjemput ketiga-tiga anaknya yang berada di bawah jagaan tertuduh dia mendapati ketiga-tiga anaknya mempunyai kesan lebam pada badan akibat dipukul oleh ayah mereka.
Hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah mencederakan anak-anaknya dengan menggunakan wayar elektrik dan getah paip.
Punca tindakan tertuduh disebabkan si bapa marahkan anak-anaknya kerana telah mematahkan kad sim telefon bimbit miliknya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam semasa membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan memohon supaya dia diberikan hukuman yang ringan.
"Saya mohon dikurangkan hukuman. Ini kesalahan pertama saya. Bukan niat saya hendak mencederakan mereka," ujarnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal supaya memberi pengajaran kepadanya.
Mohd. Fazaly Ali menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 15 Februari lalu dan dikenakan dua sebatan.
Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Pesakit barah meninggal dunia


ABDUL GHANI menyiramkan air mawar di pusara Mohd. Zulhafiz di Tanah Perkuburan Islam, Felda Bukit Goh, Kuantan semalam.


KUANTAN - Pesakit barah tulang, Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani (gambar kecil), 21, menghembus nafas terakhir pada pukul 8.55 malam kelmarin di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Menurut bapanya, Abdul Ghani Mohamed, 64, anak bongsu daripada lima beradik itu meninggal dunia ketika ditemani semua ahli keluarga di hospital tersebut.
"Seminggu sebelum ini, ketumbuhan di bahu kirinya tiba-tiba pecah lalu mengeluarkan darah dan cecair yang banyak.
"Akibat itu, arwah dilihat menahan kesakitan kerana terdapat kesan lubang sebesar bola pingpong dan ketumbuhan itu mengecil," katanya.
Abdul Ghani berkata demikian ketika ditemui selepas selesai urusan pengebumian Mohd. Zulhafiz pada pukul 11 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam, Felda Bukit Goh di sini.
Kosmo! 31 Januari lalu melaporkan penderitaan yang ditanggung Mohd. Zulhafiz disebabkan ketumbuhan seberat 20 kilogram di bahu kirinya sejak hampir setahun lalu.
Susulan itu, dia diberikan rawatan paliatif bagi mencuci luka serta mengeluarkan nanah oleh pihak HTAA selepas disahkan menghidap kanser tulang tahap akhir.
Ujar Abdul Ghani lagi, pihak hospital memaklumkan kematian Mohd. Zulhafiz disebabkan jangkitan kuman di paru-paru serta beberapa organ lain akibat penyakit tersebut.
"Kami sekeluarga menyimpan niat untuk mengadakan kenduri kesyukuran kalau dia sembuh. Tapi hajat itu tidak kesampaian dan kami reda," kata Abdul Ghani.
Dalam pada itu, ibunya, Safiah Lebai Yahya, 58, pula berkata, Mohd. Zulhafiz pernah meminta untuk dibawa pulang ke rumah kerana sudah tidak mampu menahan penderitaan.
"Akhirnya dia 'pulang' juga dan saya reda kerana Allah lebih sayangkan dia.
"Kami sekeluarga juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan kepada arwah sebelum ini," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Ferrari dijadikan kereta polis dipamerkan


SEBUAH kereta Ferrari milik polis Colombia dipamerkan di sebuah pusat komersial di Bogota kelmarin.


BOGOTA, Colombia - Sebuah kereta Ferrari yang dijadikan sebuah kereta polis selepas ia dirampas daripada seorang penyeludup dadah, Hernando Gomez dipamerkan kelmarin.
Kereta Ferrari 348 model 1991 itu kini berwarna hijau dan putih berbanding warna asalnya merah.
Kenderaan tersebut yang juga mempunyai logo polis dipamerkan kepada orang ramai di sebuah pusat komersial di sini.
Kereta itu dirampas daripada Gomez pada satu operasi polis yang dilakukan pada 2004.
Ferrari itu mempunyai enjin 300 kuasa kuda V8 dan mempunyai kelajuan 275.2 kilometer sejam.
Dalam operasi itu, barang-barang yang bernilai £60 juta (RM289.12 juta), termasuk ladang, rumah dan hasil seni turut dirampas.
Gomez telah diekstradisi ke Amerika Syarikat atas tuduhan penggubahan wang haram dan dadah. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Api mengalir di air terjun

AP/Yosemite National Park Service
IMEJ dekat air terjun kelihatan seperti api sedang 
mengalir di Taman Perkhidmatan Negara Yosemite.

YOSEMITE, Amerika Syarikat (AS) - Sekumpulan jurugambar akan berkunjung ke Taman Perkhidmatan Negara Yosemite di sini pada setiap pertengahan Februari.
Mereka akan merakamkan fenomena alam semula jadi yang akan menunjukkan seolah-olah api mengalir dari Glasier Point.
Fenomena itu terjadi apabila Bumi dan matahari berada dalan keadaan sejajar pada waktu matahari terbenam.
Pada waktu tersebut, cahaya matahari akan menyinari salah satu air terjun di taman ini.
Air terjun itu kemudian akan kelihatan seperti lahar yang mengalir. - AP
Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Presiden Filipina berharap akan kahwin

GAMBAR fail menunjukkan Benigno Aquino bersama dengan personaliti
 media, Grace Lee di Istana Malacanang, Manila pada 23 Disember tahun lalu.

MANILA - Presiden Filipina, Benigno Aquino yang masih bujang menyatakan semalam beliau berharap akan dapat mencari seorang isteri.
Aquino yang berusia 52 tahun dalam bulan ini baru-baru ini mengesahkan beliau keluar temu janji dengan seorang wanita Korea Selatan.
Namun, katanya, beliau telah mencari seorang calon isteri selama beberapa tahun tetapi gagal untuk menemui wanita yang sesuai untuk dijadikan isterinya.
"Saya telah merancang perkara ini bagi tempoh yang lama, sejak zaman kolej. Namun, saya menjadi tidak bertuah," katanya kepada pemberita.
"Ekoran bebanan di pejabat, jika terdapat seseorang yang anda dapat berbual, seseorang yang boleh dipercayai, seseorang yang boleh memberitahu anda bahawa anda masih membuat sesuatu yang baik, kemudian pastinya, ia akan menjadi inspirasi anda," tambahnya kepada pemberita.
Pada awal bulan ini, beliau disahkan menemui seorang personaliti media, Grace Lee, 29.
Lee berpindah ke Filipina dari Korea Selatan semasa masih kanak-kanak dan merupakan hos bersama program radio muzik di Manila dan beberapa program televisyen.
Pada lewat tahun 2010, kakaknya telah mendedahkan beliau berkenalan dengan seorang jurugaya wanita selepas dipilih menjadi Presiden. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Mesir setuju bekal bahan api ke Gaza


BANDAR GAZA, Palestin - Mesir telah berjanji akan menyediakan bahan api diesel untuk digunakan pada loji jana kuasa tunggal di Genting Gaza yang ditutup pada minggu lepas setelah kehabisan bahan api, kata seorang pegawai di sini kelmarin.

Pegawai Agensi Tenaga Gaza, Ahmad Abu al-Amrin berkata, pihak berkuasa minyak di Mesir telah memberi persetujuan untuk membekalkan bahan api.

Loji kuasa yang membekalkan kira-kira satu pertiga elektrik ke Gaza itu mengalami gangguan dan bekalan terputus di seluruh Gaza.

Menurut Agensi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, jumlah bahan api yang dibawa melalui terowong dari Mesir ke Gaza telah menurun ekoran sekatan yang dikenakan oleh polis Mesir. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'