Pages

Thursday, June 21, 2012

Chin Peng tenat di Bangkok

Chin Peng
Chin Peng
SHAH ALAM - Chin Peng, pemimpin perang gerila yang gagal mencapai matlamatnya setelah berjuang lebih 40 tahun, sekarang sedang menghadapi saat-saat kematian di Thailand.
Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng, 90, sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bangkok dan berita terakhir yang diterima di sini mengatakan keadaannya semakin tenat.
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin Melalui blognya, zamkata. blogspot, berkata, beberapa kenalan rapat dari Malaysia dan Singapura yang melawatnya baru-baru ini mendapati keadaannya sangat uzur dan tidak lagi dapat mengenali  orang yang melawatnya.
Menurut blog itu, seorang daripada dua pembantu yang berada di sisinya memberitahu, Chin Peng telah dikejarkan ke hospital dari rumahnya di luar kota Bangkok setelah keadaan kesihatannya semakin tenat.
Dua orang pembantunya cuba memberitahu tentang kedatangan pelawat, tetapi dia kelihatan seperti antara sedar dan tidak sedar.
Mereka diberitahu oleh salah seorang pembantu bahawa sebelumnya dia telah pun bercakap mengenai kematiannya.
Chin Peng dilahirkan di tingkat atas rumah kedai dua tingkat di Kampong Koh, Sitiawan Perak dan telah menjadi anggota Parti Komunis Malaya (PKM) sejak berumur 15 tahun.
Dia dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM pada 1947 setelah setiausaha agung pertamanya, Lai Te menghilangkan diri dengan membawa mas dan wang AS$1 juta (RM3.2 juta).

Chin Peng makin tenat di Bangkok, lapor blog Zamkata


KERATAN blog Zamkata semalam.


KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang tinggal dalam buangan di Bangkok dilaporkan berada dalam keadaan tenat di sebuah hospital di ibu kota Thailand itu.
Menurut blog zamkata.blogspot.com yang dikendalikan oleh bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin, Chin Peng telah dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Bangkok dari rumahnya yang terletak di luar ibu kota negara Gajah Putih itu setelah keadaan kesihatannya semakin meruncing.
Bekas pemimpin perang gerila di hutan Malaysia dan Thailand berusia 88 tahun itu juga dilaporkan sangat uzur. Zainuddin yang mesra dipanggil Zam memetik sumber-sumber rakan Chin Peng sebagai berkata bahawa ingatan Chin Peng semakin merosot sejak beberapa bulan lalu sehingga beliau kini dikatakan tidak lagi dapat mengenali orang yang menziarahinya.
“Dua orang pembantunya cuba untuk memberitahu tentang kedatangan pelawat tetapi dia kelihatan seperti antara sedar dan tidak sedar.
“Mereka (pelawat) juga diberitahu oleh salah seorang pembantu bahawa Chin Peng telah pun bercakap mengenai kematiannya,” kata Zainuddin dalam blog tersebut.

7 askar AS bakal dikenakan tindakan disiplin

WASHINGTON 20 Jun - Satu siasatan berhubung kejadian pembakaran kitab al-Quran di sebuah pangkalan tentera di Afghanistan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) awal tahun ini, mencadangkan tindakan disiplin dikenakan ke atas tujuh askar AS yang terlibat dalam kejadian itu, kata pegawai AS, semalam.
Pegawai yang enggan identitinya didedahkan itu berkata, keputusan akhir hasil siasatan berhubung kejadian pembakaran al-Quran di pangkalan tentera AS pada Februari lalu yang mencetuskan rusuhan, masih belum dibuat.
''Siasatan itu meminta hukuman disiplin dikenakan tetapi tiada dakwaan jenayah dikenakan terhadap enam anggota tentera laut dan seorang anggota tentera darat AS itu,'' kata pegawai itu kepada AFP.
Tentera AS mengesahkan siasatan berhubung kejadian itu sudah selesai tetapi tidak mendedahkan maklumat mengenai tindakan disiplin yang akan diambil.
''Siasatan sudah selesai dan hasilnya kini sedang dinilai,'' kata jurucakap tentera, George Wright.
Kejadian pembakaran al-Quran itu mencetuskan rusuhan anti-AS yang menyebabkan 40 orang maut dan mengeruhkan hubungan tentera AS dan sekutunya, Afghanistan selain memaksa Presiden AS, Barack Obama meminta maaf.
Anggota militan, Taliban mengeksploitasikan kejadian itu dan menggesa rakyat Afghanistan membunuh askar asing sebagai membalas dendam.
Komander-komander AS turut mengeluarkan permohonan maaf dan menegaskan ia merupakan satu perbuatan yang tidak disengajakan. - AFP

29 lagi korban di Syria

BEIRUT 20 Jun - Seramai 29 anggota tentera dan seorang imam Syiah adalah antara 46 orang yang terbunuh dalam keganasan terbaru di Syria, hari ini.
Sekurang-kurangnya 20 askar dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak di barat laut wilayah Latikia, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Lima pemberontak turut terkorban dalam pertempuran itu yang bermula lewat semalam dan berterusan sehingga hari ini di wilayah yang dikenali sebagai Pergunungan Kurdish, berhampiran sempadan Turki.
"Kebanyakan tentera itu terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak dan yang lainnya maut ketika pemberontak menyerang dua bangunan yang digunakan untuk melancarkan serangan mortar ke atas Pergunungan Kurdish," kata ketua pertubuhan pemantau itu, Rami Abdel Rahman.
Rahman berkata, berpuluh-puluh tentera turut cedera dan ramai lagi, termasuk seorang pegawai, ditangkap pemberontak.
Di Idlib, lima tentera kerajaan terbunuh apabila sebuah bom kereta meletup di satu pusat pemeriksaan.
Di tengah bandar Homs pula, pertempuran di pekan Kernaz menyebabkan tiga anggota tentera maut, manakala bedilan meriam kerajaan turut mengakibatkan sepasang suami isteri terbunuh.
Lebih 14,400 orang, kebanyakannya penduduk awam, terbunuh dalam kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad yang tercetus sejak Mac tahun lalu. - AFP

Tiga korban terbaru di Rakhine


PENDUDUK Rohingya ditahan selepas bot yang mereka naiki untuk menyeberangi Sungai Naf dipintas oleh penguatkuasa Bangladesh di Teknaf pada 18 Jun lalu. Sekurang-kurangnya tiga orang lagi terbunuh dalam insiden terbaru keganasan kaum dan agama di Rakhine, Myanmar semalam. - AFP
YANGON 20 Jun - Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam kejadian terbaru keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, di barat Myanmar semalam, sekali gus menjadikan angka korban keganasan meningkat kepada lebih 60 orang.
Tiga penganut Buddha dilaporkan maut dalam pertempuran di kampung Yathedaung, kira-kira 65 kilometer dari Sittwe, ibu negeri Rakhine, menurut seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali.
"Angka kematian mungkin lebih tinggi dan sehingga kini kami masih belum mendapat maklumat terperinci tentang punca kejadian.
"Hujan monsun menyebabkan hubungan pengangkutan dan komunikasi terputus ke kawasan itu," katanya kepada AFP.
Beliau bagaimanapun berkata, secara keseluruhannya, situasi di kebanyakan kawasan di Rakhine 'masih terkawal'.
Pertempuran antara etnik Rakhine Buddha dan Rohingya Islam yang tercetus sejak awal bulan ini turut menyebabkan beribu-ribu penduduk menjadi pelarian.
Program Makanan Sedunia, semalam berkata, mereka telah menyediakan makanan untuk lebih 65,000 orang dan menganggarkan lebih 25,000 lagi masih memerlukan bantuan. - AFP

Lelaki hodoh mahu jadi model iklan

William Masvinu
William Masvinu
ZIMBABWE - Pemenang wajah terhodoh di Zimbabwe, menyimpan hasrat menjadi terkenal dan kaya selepas memenangi pertandingan itu, dua bulan lalu.
William Masvinu, 38, dari bandar Mbare berharap kemenangannya itu dapat memberi peluang untuknya menjadi model iklan sekali gus keluar dari belenggu kemiskinan.
“Saya berbangga dikurniakan wajah hodoh, muka saya membuatkan saya istimewa dan tiada sebab untuk berasa rendah diri,” katanya.
Ketika pertandingan itu, beliau meraih wang AS$100 (RM320) dan menginap di hotel mewah selepas menewaskan empat lelaki lain.
“Saya telah menukar baucar itu kepada tunai untuk membeli makanan kerana tiada sebab untuk menginap di hotel mewah sedangkan terpaksa berlapar, “ katanya.
Menurut penganjur, pertandingan itu dibuat sebagai cara baru menghiburkan penonton kerana selama ini Zimbabwe sering menjadi tuan rumah untuk pertandingan ratu cantik konvensional.

Pakistan berkas pemimpin al-Qaeda

ISLAMABAD: Pakistan menangkap pemimpin “utama” al-Qaeda dalam satu operasi dekat sempadan negara itu dan Iran, kata pegawai kerajaan semalam, walaupun mendapat kritikan daripada Amerika Syarikat bahawa ia tidak melakukan yang terbaik untuk memerangi anggota militan.
Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta berkata ketika lawatan ke Kabul bahawa usaha keamanan di Afghanistan kekal sukar selagi anggota militan mendapat perlindungan di Pakistan dan kesabaran Washington sudah mencapai tahap maksimum dengan Islamabad. Pegawai Pakistan berkata, pemimpin al-Qaeda ditangkap ialah Naamen Meziche, warga Perancis berketurunan Algeria dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan berpangkalan di Eropah. - Reuters

Flame angkara AS, Israel

WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Israel bersekongkol mewujudkan virus komputer Flame sebagai sebahagian usaha bagi memperlahankan operasi loji nuklear Iran, lapor The Washington Post, semalam.
Akhbar itu yang memetik sumber berkata, “Pegawai Barat yang mempunyai maklumat mengenai usaha itu” berkata, virus canggih itu direka bagi mengintip rangkaian komputer Iran dan menghantar semula maklumat risikan digunakan untuk kempen perang siber secara berterusan. Akhbar itu berkata, Agensi Keselamatan Kebangsaan AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) bekerjasama dengan tentera Israel bagi projek itu. Sebilangan laporan mengaitkan Israel dan AS dengan virus Flame dan virus lain bergelar Stuxnet yang menyebabkan kepincangan dalam peralatan program pengayaan nuklear Iran.

Pegawai AS berkenaan tidak membincangkan hal itu secara terbuka kecuali mengatakan mereka menumpukan kepada usaha siber sebagai sebahagian pertahanan dan perisikan.
“Ini mengenai persediaan medan peperangan untuk sejenis lagi tindakan sulit,” kata seorang bekas pegawai perisikan berjawatan tinggi AS kepada akhbar itu. - AFP

‘Facecrook’ bantu polis jejak penjenayah

HACKENSACK (New Jersey): Pejabat polis bandar raya ini mempunyai laman web baru yang memaparkan pemburuan suspek dan bukannya mencari kawan.
“Facecrook” memaparkan nama, foto dan lokasi terakhir buruan dikehendaki oleh pejabat polis daerah Bergen.

Laman itu turut mereka peta dan pengguna boleh menghantar maklumat bagi membantu pihak berkuasa menahan mereka yang diburu daripada mereka yang gagal membayar nafkah anak hingga kepada yang melakukan pembunuhan.
Inspektor Mickey Bradley memberitahu akhbar The Record, dia mendapat idea mengenai laman itu kira-kira setahun lalu dan membeli alamat Facecrook pada harga AS$17 (RM53.6).

Pengguna yang memasuki laman itu perlu bersetuju untuk tidak menggunakannya untuk “menakutkan atau mengganggu orang lain”. Laman itu juga mengandungi amaran “usah tangkap” bagi mengelak orang ramai menyalahgunakannya. - AP

Melancong ke bulan mulai 2015

UJI...seorang petugas media mencuba modul kapsul angkasa  Excalibur Almaz.
UJI...seorang petugas media mencuba modul kapsul angkasa Excalibur Almaz.
IMEJ kapal angkasa yang akan membawa manusia ke bulan.
IMEJ kapal angkasa yang akan membawa manusia ke bulan.
LONDON: Sebuah syarikat Britain mendedahkan rancangan untuk membawa manusia ke bulan buat kali pertama sejak 1972.
Syarikat Excalibur Almaz berpangkalan di Isle of Man itu akan membawa pengunjung ke orbit bulan dengan “tambang” sebanyak 100 juta pound (RM496.8 juta).

Perjalanan pertama dengan menaiki kapal angkasa Russia yang pernah digunakan untuk mengintip Barat itu akan dilancarkan pada 2015. Sehingga kini pelancong angkasa hanya telah berkunjung ke Stesen Angkasa Antarabangsa dan kembali semula ke bumi.
Excalibur sudah membeli dan mengitar semula empat kapsul kemasukan semula serta dua stesen angkasa daripada firma Russia, NPO Mashinostroyenia. Mula-mula pelanggan akan berlabuh di satu daripada stesen angkasa di orbit rendah Bumi. Dari situ mereka akan diterbangkan ke orbit bulan, membawa mereka sejauh 376, 586.4 kilometer dari bumi. Penerbangan itu yang mungkin berakhir selama lapan bulan kemudian terus berlanjutan ke angkasa, membawa mereka lebih jauh dari bumi berbanding sebelum ini.

Ketua Eksekutif syarikat itu, Art Dula semalam berkata: “Kapal EA sudah terbang ke angkasa beberapa kali dan akan melakukan lebih banyak lagi misi penerbangan. Ia mengandungi rekaan kapal yang boleh melakukan penerbangan beribu-ribu jam di angkasa.

“Ini adalah fakta saintifik, bukan fiksyen, rakan pengembaraku sekalian.” Art mendakwa setiap kapal angkasa syarikatnya yang membawa tiga orang hanya memerlukan pembiayaan daripada 29 penumpang untuk membolehkan ia beroperasi. Firma itu yang berpangkalan di Isle of Man dan dipilih sebagai tempat kelima di dunia yang akan mengendalikan misi ke bulan, semalam menarik puluhan pengunjung apabila mempamerkan satu daripada kapalnya di Westminster, London.
Art berkata, perjalanannya berbeza dengan pakej ditawarkan oleh penerbangan ke angkasa daripada pesaingnya, di mana kapal mereka hanya menyediakan perjalanan beberapa minit sejauh 96.5 kilometer saja. - DM

Penduduk dua kampung gaduh

ANGGOTA suku kaum bersenjata anak panah dan lembing dari Kampung Amole bersedia menyerang musuh dari Kampung Harapan.

ANGGOTA suku kaum bersenjata anak panah dan lembing dari Kampung Amole bersedia menyerang musuh dari Kampung Harapan.
Seorang terbunuh dalam pertempuran dekat Papua

MIMIKA: Beratus-ratus suku kaum yang bermusuh bertempur menggunakan anak panah dan lembing di timur Indonesia, semalam, menyebabkan dua lelaki terbunuh dalam keganasan terbaru di rantau itu.
“Dua orang terbunuh dan seorang lagi dalam keadaan tenat. Mereka kena anak panah tetapi kami perlu tunggu bedah siasat untuk mengesahkan punca kematian,” kata ketua operasi polis Mimika, Syamsul Ridwan.
Dalam pertempuran pada Isnin lalu, tiga orang terbunuh. Dua kumpulan yang bermusuhan itu juga bertempur pada 6 Jun lalu selepas seorang penduduk maut dalam kemalangan jalan raya.
Selain itu, lebih sedozen lagi juga mengalami kecederaan apabila dua kumpulan yang bermusuh itu bertempur di daerah Mimika di wilayah Papua.

Kejadian berlangsung dekat tapak lombong tembaga dan emas yang dikendalikan syarikat Freeport milik Amerika Syarikat.

“Seorang lelaki terbunuh pagi ini ketika pertempuran itu. Dia kena anak panah di bahagian dada,” kata ketua perisikan polis, Nursalam Saka.

Katanya, lelaki yang maut itu adalah dari kawasan Kampung Harapan. Penduduk kampung itu sering bergaduh dengan penduduk kawasan berdekatan dari Kampung Amole.

Dalam pertempuran pada Isnin lalu, tiga orang terbunuh. Dua kumpulan yang bermusuhan itu juga bertempur pada 6 Jun lalu selepas seorang penduduk maut dalam kemalangan jalan raya.

Polis percaya, pertempuran terbaru ada kaitan dengan nahas jalan raya berkenaan.

Beberapa suku kaum yang besar tinggal berdekatan di daerah Mimika tetapi sebarang permasalahan biasanya diselesaikan menerusi bayaran pampasan atau kenduri besar.

Pertempuran terbaru pada waktu pagi pula menyaksikan 500 lelaki bergaduh dan wartawan agensi berita menyaksikan beberapa kenderaan polis kena anak panah.
Selain itu, empat kenderaan lagi termasuk sebuah lori dibakar. - AFP

'Bakar al-Quran bukan jenayah'

Penyiasat tentera Amerika hanya saran pesalah kena tindakan disiplin

WASHINGTON: Penyiasat tentera Amerika Syarikat mencadangkan lebih tujuh askar dikenakan tindakan disiplin kerana terbabit dalam kejadian membakar al-Quran di sebuah kem tentera Afghanistan.
Tetapi, keputusan rasmi belum dibuat mengenai butir-butir siasatan kes bakar al-Quran di sebuah kem tentera udara Amerika Februari lalu yang mencetuskan rusuhan menyebabkan berpuluh-puluh maut, kata pegawai terbabit.
Siasatan sudah selesai dan menunggu keputusan lanjut selepas hasil penyiasatan dikaji semula. - George Wright, Jurucakap tentera,
Penyiasat tidak mencadangkan dakwaan jenayah terhadap lebih enam askar dan seorang anggota tentera laut, kata pegawai itu.

Tentera Amerika mengesahkan siasatan kejadian itu sudah berakhir tetapi tidak memberikan maklumat lanjut mengenai bentuk tindakan disiplin yang dikenakan.

“Siasatan sudah selesai dan menunggu keputusan lanjut selepas hasil penyiasatan dikaji semula,” kata jurucakap tentera, George Wright.

Kejadian membakar al-Quran itu mencetuskan rusuhan anti Amerika selama beberapa hari menyebabkan 40 orang terbunuh, menjejaskan hubungan di antara tentera asing dan sekutu mereka di Afghanistan selain memaksa Presiden Barack Obama meminta maaf. 
Militan Taliban dilihat mengeksploitasi insiden itu apabila menggesa penduduk Afghanistan membunuh tentera asing sebagai membalas dendam.

Taliban didakwa terbabit menembak mati dua penasihat Amerika Syarikat yang terbunuh dalam pejabat Kementerian Dalam Negeri Afghanistan selepas insiden itu.

Pemimpin kanan tentera Amerika kemudian mengeluarkan beberapa permohonan maaf berikutan kejadian membakar al-Quran itu tetapi turut menegaskan bagaimana insiden berlaku masih tidak jelas.

Mengenai bilangan mereka yang dihukum juga tidak jelas berapa pegawai terbabit dan berapa anggota.

Selepas insiden itu, beberapa pegawai Amerika berkata, tentera mengeluarkan al-Quran dari penjara di Bagram kerana banduan didakwa menggunakan kitab suci itu untuk menghantar mesej sesama mereka. Tetapi, dakwaan itu belum dapat disahkan secara rasmi.

Afghanistan adalah negara yang banyak menerapkan soal keagamaan dalam kehidupan seharian hingga sebarang tentangan terhadap Islam biasanya mencetuskan bantahan dan penduduk menuduh tentera Barat tidak sensitif, selepas 10 tahun kempen Amerika menumbangkan Taliban. – AFP

Pengasas WikiLeaks mohon suaka politik Ecuador

LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange, kelmarin memasuki Kedutaan Ecuador di London dan memohon suaka politik dalam usahanya mengelak diekstradisi ke Sweden berhubung dakwaan melakukan jenayah seks. 

Bekas penggodam komputer yang kehabisan jalan mengatasi menentang ekstradisi itu minggu lalu, berada di kedutaan berkenaan di tengah London dan Quito sedang meneliti permintaannya.
Kementerian Luar Britain berkata, Assange tidak boleh ditahan polis kerana berada dalam kawasan diplomatik, tetapi ia meminta kerjasama pihak berkuasa Ecuador menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
Assange akan kekal di kedutaan itu di bawah perlindungan kerajaan Ecuador ketika permohonannya dipertimbangkan. 

“Keputusan mengenai permohonan Assange mendapatkan suaka tidak boleh dianggap sebagai campur tangan Kerajaan Ecuador dalam proses perundangan sama ada di England atau Sweden,” kata kedutaan itu dalam satu kenyataan. 

Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, pula berkata negaranya akan terus menawarkan bantuan konsular kepada Assange. 

“Australia akan terus menyokong Assaneg seperti kami sokong mana-mana rakyat Australia di luar negara yang berdepan dengan kesukaran perundangan atau dilema,” kata Gillard kepada wartawan selepas persidangan Kumpulan 20 di Mexico. 
Assange mengesahkan memohon untuk mendapatkan perlindungan dan suaka politik serta meluahkan penghargaan kepada duta Ecuador dan kerajaan negara itu kerana menimbang permohonannya. 

Di QUITO, Menteri Luar Ecuador, Ricardo Patino, berkata: “Julian Assange memohon suaka politik di misi diplomatik Ecuador di London. Kerajaan meneliti permohonan itu.” 

Kedutaan kemudian mengesahkan ia akan meneliti pandangan Britain, Sweden dan Amerika Syarikat berhubung perkara itu dalam memastikan undang-undang antarabangsa dipatuhi. – AFP

Hosni Mubarak nazak

BEKAS Presiden Mesir Honi Mubarak ditolak di atas pengusung beroda semasa tiba di sebuah mahkamah di Kaherah pada 28 Januari lalu.



KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar kecil) berada dalam keadaan koma dan terpaksa bergantung kepada mesin sokongan hayat di sebuah hospital di sini selepas diserang strok di penjara, kata sumber perubatan dan ketenteraan yang menafikan beliau sudah meninggal dunia.
Keadaan kesihatan bekas pemimpin tersebut menjadi tidak menentu selepas situasi di Mesir semakin tegang apabila kedua-dua calon pilihan raya Presiden, Mohammed Mursi dan Ahmed Shafiq mendakwa memperoleh kemenangan manakala pemerintah tentera masih belum melepaskan kuasa mereka.
"Mubarak belum mati. Dia dalam keadaan koma dan doktor masih cuba untuk menyelamatkannya," menurut sumber berkenaan.
Sebelum ini, agensi berita tempatan, MENA melaporkan bekas pemimpin berusia 84 tahun itu disahkan mati selepas mengalami strok di penjara.
"Hosni Mubarak sudah meninggal dunia," kata agensi berita rasmi itu,
"Laporan perubatan memberitahu MENA bahawa jantungnya telah berhenti berdenyut dan tidak memberi tindak balas apabila alat sokongan hayat digunakan," tambah agensi berkenaan.
Menurut sumber pengawal keselamatan, isteri Mubarak, Suzanne dilaporkan melawat suaminya di hospital dan laporan televisyen berkata, kenyataan rasmi mengenai tahap kesihatan bekas Presiden itu akan dimaklumkan kelak tanpa menyatakan maklumat lanjut.
Mubarak sebelum ini dibawa ke sebuah penjara di sini selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana gagal menghentikan pembunuhan sejumlah penunjuk perasaan semasa rakyat Mesir bangkit menentang pemerintahannya pada tahun lalu.
Keadaan kesihatan Mubarak dilaporkan semakin teruk apabila doktor terpaksa menggunakan mesin defibrilator sebanyak dua kali pada awal bulan lalu. Dia juga dilaporkan mengalami kemurungan dan tekanan darah tinggi sehingga memerlukan bantuan pernafasan.
Ahli keluarga Mubarak termasuk dua anak lelakinya, Gamal dan Alaa yang turut dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rasuah memohon supaya Mubarak dipindahkan ke hospital.
Selain laporan tahap kesihatan Mubarak yang semakin merosot, timbul pula ketegangan antara Mursi dan Shafiq yang masing-masing mengakui telah memenangi pilihan raya berkenaan.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin yang merupakan kumpulan Islam terbesar dan paling berpengaruh di Mesir tetap bertegas bahawa Mursi adalah pemenang pilihan raya Presiden itu.
Pesaing Mursi, bekas Perdana Menteri terakhir Mesir di bawah pemerintahan Mubarak, Ahmed Shafiq juga mengisytiharkan kemenangannya.
Pengisytiharkan kemenangan oleh kedua-dua calon itu telah melanggar peraturan majlis pemerintah ketenteraan yang bertanggungjawab mengisytiharkan keputusan rasmi pilihan raya tersebut.
Kelmarin, Ikwanul Muslimin mengadakan demontrasi di Dataran Tahrir yang telah disertai lebih 15,000 penunjuk perasaan. - AFP

Imej paling jelas nebula dirakam



GAMBAR oleh Balai Cerap Eropah menunjukkan imej nebula War and Peace pada Isnin lalu.


SANTIAGO, Chile - Balai Cerap Eropah (ESO) menyiarkan gambar paling jelas sebuah galaksi muda dinamakan Nebula War and Peace (NGC 6357)
Imej berkenaan dirakam menggunakan Teleskop Amat Besar (VLT) milik ESO, Isnin lalu.
Teleskop VLT terletak di gurun Atacama, utara Chile.
Pemandangan tersebut menunjukkan sebilangan bintang muda, awan, gas dan debu cakerawala.

Lebih 200,000 pemandu teksi mogok



DERETAN teksi berada di pekarangan sebuah syarikat teksi ketika para pemandu menyertai mogok di Seoul semalam.


SEOUL - Lebih 200,000 orang pemandu teksi di Korea Selatan mengadakan mogok sehari di seluruh negara semalam bagi menuntut kenaikan tambang dan penurunan harga bahan api.
Mogok besar-besaran itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menyediakan perkhidmatan bas dan tren tambahan bagi memenuhi keperluan warga kota.
Kementerian Pengangkutan menyatakan, sekitar 220,000 daripada keseluruhan 255,500 pemandu teksi berlesen menyertai mogok berkenaan.
"Kami tidak menjangka krisis pengangkutan akan berlaku kerana teksi bukan sebahagian daripada pengangkutan utama rakyat," kata seorang jurucakap kementerian berkenaan.
"Namun, kami memantau rapi situasi yang berlaku," tambahnya.
Mengulas tentang mogok berkenaan, Kesatuan Pemandu Teksi Korea Selatan memberitahu pihaknya mahu tambang teksi dinaikkan pada kadar 2,400 won atau AS$2 (RM6.32) dan harga gas petroleum cecair LPG diturunkan.
Kebanyakan teksi di negara berkenaan menggunakan LPG sebagai bahan api.
"Kemarahan pemandu teksi yang terpendam selama ini akhirnya meletus," kata kesatuan itu dalam satu kenyataan.
Menurutnya, harga dometik LPG melonjak 50 peratus sejak empat tahun lalu di Korea Selatan. - AFP