Pages

Sunday, September 11, 2011

Lapan terbunuh termasuk wartawan di Iraq

BAGHDAD: Tiga askar, seorang polis dan seorang wartawan antara lapan terbunuh dalam serangan di Iraq semalam, kata pegawai keselamatan.

Dalam kejadian di Palestine Street, lelaki bersenjata yang tidak dikenali melepaskan tembakan menggunakan senapang, membunuh tiga tentera yang berkawal di tempat pemeriksaan dan mencederakan dua orang awam.
Beliau berkata, seorang anggota polis terbunuh dengan cara yang sama di Zayuna, daerah di timur Baghdad.
Di Taji, utara Baghdad, tiga orang awam terbunuh kerana terkena bom.

Di Baguba, timur laut Baghdad, sebutir bom di dalam sebuah kafe membunuh wartawan, Faisal Hamza Hussein dan mencederakan tujuh yang lain termasuk dua anggota polis. - AFP 

Dakwa dibelasah Polis

KUALA TERENGGANU: “Saya terkilan dengan layanan diberikan anggota polis terhadap anak saya hingga menyebabkan dia cedera di muka dan mata kiri.
“Malah, anak saya turut lebam di kakinya selain patah satu batang gigi akibat ditendang anggota berkenaan ketika soal siasat, Rabu lalu,” kata Manap@Awang Ismail, 63, bapa kepada Mohd Azam Manap, 31, yang mendakwa cedera dibelasah seorang anggota polis ketika dalam tahanan.

Sebelum ini, Mohd Azam yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan di rumahnya di Pekan Tepoh, di sini, jam 2.30 pagi Selasa lalu oleh sepasukan polis selepas dipercayai terbabit dalam satu kes curi.

Ketika menceritakan kejadian itu, Mohd Azam mendakwa insiden itu berlaku dalam tempoh 15 minit apabila dia ditendang beberapa kali.

“Saya bukan saja dibelasah tanpa belas, malah anggota terbabit turut menyapukan darah di lantai ke muka saya menggunakan mop lantai.

“Ketika itu ada beberapa orang dalam bilik berkenaan. Namun, hanya seorang membelasah saya. Dia hanya berhenti memukul selepas melihat keadaan saya tidak bermaya,” katanya ketika ditemui di pejabat Metro Ahad di sini, semalam.


Selain dipercayai terbabit dalam kes curi, Mohd Azam ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Bagaimanapun, Mohd Azam dibebaskan selepas diikat jamin Khamis lalu.

Akibat kecederaan itu, Mohd Azam mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dirawat sebagai pesakit luar.

Menurut Manap, anggota berkenaan tidak sewajarnya menggunakan kekerasan ketika menjalankan soal siasat walaupun anaknya ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes curi.

“Sebagai bapa, saya sedih apabila anak saya diperlakukan sedemikian. Jika dia bersalah sekali pun, anggota berkenaan perlu mengikut undang-undang dan bukan bertindak sesuka hati.

“Mujur doktor memaklumkan keadaan anak saya tidak serius walaupun ketika ini penglihatannya ada kalanya kabur. Berikutan kejadian ini, saya membuat satu laporan di Balai Polis Kuala Terengganu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Saya tidak berniat mengeruhkan keadaan tetapi hanya mahukan keadilan, selain tidak mahu orang lain menerima nasib sama seperti anak saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Cedera ditembak bapa saudara

MADINAH: Seorang pemuda berusia 20 tahun ditembak di kaki secara tidak sengaja oleh bapa saudaranya.
Kejadian bermula apabila ibu pemuda berkenaan meminta adiknya mendisiplinkan anak lelakinya.

Si bapa saudara membawa bersamanya mesingan untuk menakut-nakutkan anak saudaranya itu.

Ketika dia menggertak pemuda berkenaan, kunci keselamatan senjata itu terlepas dan tembakan berlaku tiba-tiba, menyebabkan pemuda itu cedera.

Polis bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu dan menahan bapa saudara managsa serta merampas mesingan berkenaan.

Mangsa pula dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru pada kakinya. - SG

Pemberontak serang kubu terakhir Gaddafi

BANI WALID: Pemberontak Libya semalam melancarkan serangan terhadap kubu terakhir penyokong setia Muammar Gaddafi.
Pertempuran dilapor berlaku di Bani Walid dan berhampiran bandar kelahiran Gaddafi, Sirte. Serangan itu dilancarkan sehari lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan oleh Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) supaya penyokong Gaddafi menyerah diri atau menghadapi serangan.

Pegawai NTC berkata, pertempuran yang berlaku bermakna gencatan senjata ditarik balik.

Ia membuka jalan kepada pertempuran terakhir perang saudara yang sudah berlarutan sejak enam bulan lalu.

NTC menganggarkan kira-kira 600 penyokong setia Gaddafi berada di Bani Walid. - AP

Kerajaan baru Libya diselarKerajaan baru Libya diselar

BENGHAZI: Beratus-ratus penduduk semalam berarak di bandar raya ini, mendesak pucuk kepimpinan baru negara itu dirombak.
Pada masa sama, beberapa parti politik yang baru ditubuhkan mencabar pemimpin sementara negara itu dalam satu memorandum dengan berkata, kerajaan yang dibentuk tidak mencerminkan kehendak rakyat.

Penunjuk perasaan itu berarak di bekas perkarangan kediaman Muammar Gaddafi di Benghazi sambil menyanyi lagu ‘syuhada pertama ialah dari Benghazi’ dan menyelar apa yang mereka sifatkan sebagai golongan oportunis dalam pucuk kepimpinan baru.

“Sebahagian besar jawatankuasa eksekutif ialah pencekik darah’ dan penyamun. “Tetapi kita masih terus melihat mereka di televisyen. Mereka sepatutnya dihadapkan ke mahkamah,” kata Shukri, juruaudit pertengahan usia.

Memorandum itu yang ditandatangani 56 parti politik, kebanyakannya dari wilayah timur Libya menggambarkan perpecahan politik yang muncul di Libya, hanya dua minggu selepas penggulingan Gaddafi.

Menurut memorandum itu, pelan Maljlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mengandungi percanggahan dan tidak boleh diguna sebagai panduan untuk pentadbiran dalam era selepas Gaddafi.


Menerusi pelan yang ada itu, NTC akan meletakkan jawatan serta menyerahkan kepada dua kerajaan sementara berturut-turut bagi tempoh peralihan yang ditetapkan selama 18 bulan bermula dari tarikh penggulingan Gaddafi.

Naib Pengerusi NTC yang juga jurucakap majlis, Abdel Hafiz Ghoga mengesahkan kerajaan menerima dokumen berkenaan tetapi tidak akan menimbangkannya kecuali selepas berjaya menguasai semua kubu Gaddafi.
Bantahan terhadap pelan NTC itu membawa kesan besar kerana yang menandatangani memorandum itu kebanyakannya dari Ben- ghazi, bandar di timur Libya yang mengetuai kempen ketenteraan terhadap Gaddafi.

Penunjuk perasaan Benghazi membawa sepanduk menyenaraikan 11 bantahan, menyuarakan rasa tidak puas hati mereka mengenai pelbagai isu, termasuk pemindahan pusat pemerintahan ke Tripoli dari Benghazi hingga perlantikan anggota rejim lama dalam NTC. - AFP

‘Rahib’ sertai parti seks Berlusconi

pix_middle

ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi didakwa membawa masuk penari riba yang berpakaian rahib wanita untuk membuat persembahan dalam parti seks anjurannya.
Menurut kenyataan Fadile Imane, 26, penari terbabit, Nicole Minetti, 25 dan Barbara Faggioli, 25, berpakaian seperti rahib wanita sebelum melakukan tarian berahi di depan Berlusconi.

Fadile, kelahiran Maghribi, adalah tetamu di parti itu dan dipelawa menghadiri parti itu oleh bekas pembaca berita televisyen, Emilio Fede, 80, dan ejen industri hiburan, Lele Mora, 55.

Minetti, Fede dan Mora didakwa mengupah sekumpulan wanita untuk menjadi sebahagian daripada penghibur di parti itu.

Fadile dipetik oleh akhbar The Sun yang diterbitkan di London sebagai berkata: “Saya ke parti itu dan bertemu Silvio Berlusconi serta wanita lain. “Di dewan majlis, terdapat tiang untuk menari. Nicole dan Barbara melakukan tarian tiang dengan berpakaian rahib wanita.

“Apabila DJ memainkan muzik, kedua-dua wanita itu menanggalkan pakaian rahib itu lalu membuat persembahan dengan hanya berseluar dalam.


“Sudah tentu saya terkejut,” kata Fadile meskipun sebelum ini mengaku dia pernah membuat persembahan tarian gelek untuk Berlusconi.

Berlusconi berulang kali menafi menganjurkan parti seks.
Dia akan dibicarakan bulan depan kerana mengadakan seks dengan pelacur bawah umur, Karima El Mahroug. - Reuters

Dana haram biayai Bollywood





2011/09/11

MUMBAI: Bollywood mengalu-alukan pembiayaan daripada kumpulan samseng dan ahli politik, dikenali di India sebagai wang haram, lapor laman web akhbar tempatan di sini memetik kabel diplomatik Amerika Syarikat yang dibocorkan WikiLeaks baru-baru ini. 

Meskipun kabel itu tidak merujuk secara langsung kepada penjenayah terkenal Dawood Ibrahim, yang dituduh membiayai sejumlah filem tempatan, industri Bollywood masih dikaitkan dengan kumpulan samseng Mumbai yang digeruni.
Web akhbar berkenaan melaporkan, Jehil Thakkar, ketua media dan hiburan untuk KPMG, sebuah firma profesional menyediakan audit dan nasihat cukai, berkata pembiayaan itu berpunca daripada keperluan kewangan industri berkenaan.
Sehingga 2000, industri filem Bollywood tidak layak memohon pinjaman bank, ekuiti persendirian dan sumber kewangan komersial sah. 

Akibatnya, filem dibiayai dengan dana segera pelabur, kebanyakannya daripada industri pembinaan dan perdagangan, yang mengenakan kadar faedah setinggi 60 hingga 100 peratus. 

Kabel diplomatik itu adalah dari Konsulat Amerika di sini yang disiarkan WikiLeaks juga menyatakan: Industri filem tempatan juga mengalu-alukan dana daripada kumpulan samseng dan ahli politik, kerana mereka mencari jalan untuk menggubah wang haram. 

Satu artikel dalam majalah Time menyatakan seorang ketua samseng Abu Salem memanggil wartawan India dan mendedahkan beliau membiayai filem Devdas yang dibintangi Shahrukh Khan, yang dikatakan filem paling mahal ketika itu. 
Menurut Time, Chota Shakeel, seorang lagi bos besar samseng, adalah rakan dengan pelakon lain, pengarah dan produser. Shakeel, yang mana polis tempatan mendakwa memiliki rakaman 71 pita panggilan telefon, menyimpan nama Sanjay Dutt, 

Aktor itu mempunyai sejarah masa lampau sebagai penagih dadah, gemarkan senjata api dan disyaki ada kaitan dengan beberapa siri letupan di Mumbai pada 1993. 

Tidak hairanlah aktor dan orang seni perfileman tempatan terpaksa dilindungi pihak berkuasa. Pelakon Hrithik Roshan, Govinda, Amrish Puri dan pengarah, Karan Johar diberi perlindungan bersenjata polis selepas menerima ancaman bunuh daripada samseng. 

Superstar Aamir Khan dan pengarah Ashutosh Gowariker mendapat panggilan ancaman daripada samseng kerana mereka menolak tawaran samseng selepas kejayaan besar filem dicalonkan Oscar, Lagaan. 

Shahrukh Khan juga membuat aduan dengan polis bandar dan Skuad Antipengganas (ATS) selepas menerima panggilan daripada samseng Bunty Pandey, yang menuntut sejumlah wang 2 bilion rupee (RM129.44 juta), lapor Time. 

Selepas kerajaan menambah industri filem dalam senarai industri sah, penswastaan Bollywood, dan industri meluas hiburan, bermula, kata kabel diplomatik itu. - Agensi 

Tiada lagi simpati untuk Amerika





2011/09/11

KAHERAH: Satu dekad selepas meraih sokongan besar berikutan tragedi 9/11, Amerika Syarikat kembali menjadi sasaran kemarahan dunia atas dasar antipengganasnya dan pencerobohan di negara Islam. 

Kemarahan kami tidak berkurangan tetapi semakin memuncak berbanding 10 tahun lalu. Saya rasa Amerika memulakan semua peperangan ini untuk mengalih perhatian rakyat daripada masalah dalaman mereka. Semua orang tahu hal ini, kata graduan universiti di Beijing, Luo Ruxi kepada akhbar Washington Post.
Kenyataan Ruxi menunjukkan sentimen anti-Amerika kian menebal di beberapa negara.
Pentadbiran Presiden George W Bush, mengarahkan pencerobohan ke atas Afghanistan pada 2001 untuk menggulingkan rejim Taliban dan sekutunya al-Qaeda yang mendakwa mendalangi 9/11. 

Dua tahun kemudian, Amerika menceroboh Iraq atas dakwaan menyimpan senjata pemusnah besar dan mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, dua tuduhan yang terbukti tidak berasas. 

Washington mula menyeksa suspek keganasan, menahan sesiapa saja yang disyaki dan memenjarakan mereka di Guantanamo, Iraq dan Afghanistan. 

Namun, pencerobohan ke atas dua buah negara Islam dan dasar luar Amerika mula mengurangkan simpati dunia terhadap Washington. 
Mereka sepatutnya mengebom Rumah Putih dan bukan Pusat Dagangan Dunia, kata penerbit filem, Zhang Linna, 25, yang masih menuntut di sekolah menengah pada 2001. 

Kajian Pusat Penyelidikan Pew mendapati, perasaan benci terhadap Amerika begitu meluap di kalangan rakyat Mesir dan Pakistan. 

Pelbagai pihak berharap Amerika lebih memahami dunia luar selepas serangan 9/11, malangnya tiada tanda ia akan menjadi kenyataan. Antara yang mengharapkan perubahan ialah Douglas Sidialo dari Kenya. 

Dia hilang kerja sebagai eksekutif pemasaran selepas buta akibat terkena serpihan kaca dan peluru dalam letupan di kedutaan Amerika di Nairobi pada 1998. 

Apa yang kita bayangkan ialah rakyat Amerika akan mempunyai perasaan lebih simpati, lebih prihatin untuk menyokong mangsa di Kenya yang terpaksa hidup miskin, mengalami masalah kewangan dan trauma. Namun, walaupun sudah 10 tahun berlalu, masih tiada perubahan, katanya. 

Walaupun Amerika menyumbangkan jutaan dolar kepada Kenya dan negara Afrika untuk menentang keganasan, ia kurang membantu menangani kemiskinan di negara terbabit. 

Nasib sama dihadapi Mohabeb Khan, pendatang Afghanistan yang berhijrah ke Pakistan untuk lari daripada Taliban. 

Dia yang bekerja sebagai tukang jam kembali ke Afghanistan selepas Amerika menceroboh negara itu dengan harapan dapat memperbaiki kehidupan keluarganya. 

Namun 10 tahun kemudian Khan amat menyesali keputusannya kembali ke Afghanistan apabila anak lelakinya yang bekerja sebagai penterjemah dengan tentera Amerika terbunuh dalam serangan bom pada 2009. 

Amerika tidak tahu buat baik dengan orang lain. Kami buat kesilapan paling besar pulang ke Afghanistan, katanya. - Agensi 

Tragedi 9/11 hantui pesuruhjaya bomba





2011/09/11

PARIS: Pesuruhjaya Bomba New York pada 11 September 2001 masih trauma dan dihantui serangan yang membunuh beratus-ratus anggota bomba serta menganggap kematian pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden sekalipun tidak dapat mengubat luka lama. 

Saya dalam perjalanan ke pejabat dan menerima panggilan mengenai pesawat kecil merempuh Menara Utara. Saya agak dekat dengan tempat itu dan cepat sampai.
Kami segera sedar ia bukan pesawat kecil tetapi pesawat komersial. Kemudian keadaan bergegar. Sebuah lagi pesawat merempuh Menara Selatan.
Ketika itulah kami sedar kami diserang, kata Von Essen yang berada di sini untuk satu majlis mengingati ulang tahun ke-10 serangan itu. 

Von Essen kemudian meninggalkan kawasan Ground Zero untuk membantu operasi merawat mangsa yang cedera dan memindahkan pekerja dari situ manakala beratus-ratus anggota bomba menaiki tangga di dua menara Pusat Dagangan Dunia (WTC), setiap satu 110 tingkat, melakukan operasi mencari dan menyelamat. 

Seramai 343 anggota bomba menemui ajal selepas dua menara itu roboh. 
Pengebumian menyusul dengan Von Essen sendiri memberi ucapan penghormatan terakhir sebanyak 60 kali. 
Hari itu memang teruk dan semakin menyeksakan beberapa bulan seterusnya kerana kami perlu hadapi kesan serangan, bagaimana seorang ibu menangani kematian suami atau anak lelakinya atau dalam satu kes, seorang lelaki yang kehilangan dua anak lelakinya. 

Ia berlarutan dan menguruskan apa yang berlaku kemudian adalah perkara paling sukar buat saya, kata Von Essen yang bersara 31 tahun selepas bertugas di Jabatan Bomba New York. 

Beliau kemudian menubuhkan satu syarikat perunding dengan Datuk Bandar New York ketika itu, Rudy Giuliani. 

Saya boleh terus bertugas sebagai pesuruhjaya bomba tetapi saya perlu berhenti. Saya sudah kehabisan tenaga dan mahu meneruskan kehidupan baru, katanya lagi. AFP 

Washington, New York sasaran bom





2011/09/11

Ayman al-Zawahiri
Ayman al-Zawahiri
Ayman al-Zawahiri dituduh tuntut balas dendam kematian Osama hari ini atau esok

WASHINGTON: Amerika Syarikat percaya pemimpin baru al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri merancang membalas dendam kematian pengasas pergerakan itu, Osama bin Laden, semalam, hari ini atau esok menerusi serangan bom dalam kenderaan di Washington atau New York. 

Maklumat yang diperoleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dalam masa 48 jam lalu menunjukkan sekurang-kurangnya tiga individu memasuki negara itu Ogos lalu melalui jalan udara dengan hasrat melancarkan serangan itu ketika Amerika memperingati ulang tahun ke-10 tragedi 11 September, kata pegawai perisikan.
Pegawai berkata, rancangan itu diilhamkan pemimpin baru al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, yang berjanji membalas tindakan komando Amerika membunuh Osama bin Laden awal tahun ini di Abbotabad, Pakistan.
Pegawai perisikan dan penguat kuasa undang-undang memberitahu ABC News, sekurang-kurangnya seorang daripada penyerang ialah warga Amerika dan seorang pegawai berkata dua lagi mungkin mempunyai dokumen Amerika, sama ada kad pengenalan berwarna hijau atau pasport masih belum dipastikan. 

Ancaman itu digambarkan pegawai undang-undang sebagai tepat dan boleh dipercayai. 

Al-Qaeda menunjukkan minat bertindak pada tarikh tertentu termasuk ulang tahun. Maklumat ancaman itu boleh dipercayai, spesifik tetapi belum dapat disahkan, kata Ejen Pembantu Khas Biro 

Siasatan Persekutuan (FBI), Janice Fedarcyk, dalam satu sidang akhbar. Pada sidang akhbar sama, Datuk Bandar New York, Mike Bloomberg, berkata Jabatan Polis New York sudah bersiap sedia serta akan menempatkan lebih ramai anggotanya di sekitar Big Apple kerana ulang tahun itu dilihat oleh pengganas sebagai detik sesuai untuk melancarkan serangan. 

Beliau juga berkata, ancaman itu boleh dipercayai dan perlu diambil serius walaupun tiada bukti sokongan. 

Kita tinggal dalam dunia yang memandang serius ancaman dan itulah yang kita lakukan, katanya. 

Ketika berita maklumat itu diketahui umum, pihak berkuasa mula menimbang sama ada untuk menaikkan taraf ancaman itu. FBI dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menghantar buletin kepada 18,000 agensi penguat kuasa seluruh negara memberi amaran mengenai kemungkinan serangan itu. 

Buletin turut menyatakan al-Qaeda mungkin membalas dendam di atas kematian Osama dan beberapa tokoh penting lain pada tarikh simbolik seperti ulang tahun serangan 11 September. 

Walaupun pihak berkuasa mengakui belum mengenal pasti suspek, mereka meneliti beberapa nama individu yang memasuki Amerika sejak pertengahan Ogos. - Agensi 

Tempoh Gaddafi serah diri berakhir



SEDATA, Libya 10 Sept. - Pemberontak kini bersedia untuk menggempur kubu-kubu Muammar Gaddafi selepas tempoh untuk tentera yang setia kepada pemimpin Libya itu menyerah diri tamat hari ini.
Selepas pertempuran di bandar Bani Walid, tenggara Tripoli semalam, seorang wartawan AFP di sini melaporkan mendengar bunyi tembakan.
''Pesawat pejuang NATO juga boleh didengari melakukan rondaan dari udara hari ini,'' katanya,
Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menetapkan tempoh ke hari ini bagi bandar-bandar yang setia kepada Gaddafi untuk menyerah diri dan perbincangan mengenai penyerahan Bani Walid telah berlangsung sejak beberapa hari lalu.
Sejumlah bekas pegawai rejim termasuk jurucakap Gaddafi, Mussa Ibrahim dipercayai masih berada di Bani Walid.
Koresponden AFP melaporkan ketua NTC, Mustafa Abdel Jalil dijangka tiba di Tripoli hari ini untuk lawatan kali pertama selepas pemberontak merampas ibu negara ini.
Mustafa menyatakan bahawa lawatannya ke Tripoli dari ibu pejabat NTC di Benghazi bersifat sementara.
''NTC akan berpindah ke Tripoli selepas Libya dibebaskan sepenuhnya,'' ujarnya. - AFP

Feri karam lebih 300 dikhuatiri lemas




Pekerja-pekerja sebuah bot pelancongan membaling botol-botol ke laut bagi membantu menyelamatkan penumpang sebuah feri yang karam di luar pantai Zanzibar, semalam. - REUTERS


DAR ES SALAAM 10 Sept. - Lebih 300 orang dikhuatiri lemas apabila feri membawa lebih 500 penumpang karam ketika dalam perjalanan dari Zanzibar ke Pulau Pemba, hari ini.
Timbalan Setiausaha Infrastruktur dan Komunikasi Negeri, Issa Gavu berkata, 192 mayat telah ditemui dan pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan kira-kira 606 orang termasuk 20 kanak-kanak.
Pesuruhjaya Polis Zanzibar, Mussa Alli Mussa berkata, manifes feri itu menunjukkan ia belayar dari Pulau Besar Unguja ke Pulau Pemba.
Beliau berkata, operasi menyelamat turut menggunakan bot-bot nelayan di sekitar kawasan kejadian.
Seorang mangsa yang terselamat, Abdullah Saied berkata, feri M.V. Spice Islanders itu sarat dengan penumpang ketika memulakan pelayaran.
Penduduk tempatan berkumpul di pelabuhan Stone Town, Zanzibar bagi menunggu berita terkini berhubung kejadian tersebut. - AFP/Reuters/AP

Kedutaan Israel diceroboh




seorang Penduduk mesir membakar bendera Israel selepas beratus-ratus penduduk merusuh dan menceroboh bangunan kedutaan israel di kaherah, kelmarin. - AFP


KAHERAH 10 Sept. - Beratus-ratus rakyat Mesir menyerbu bangunan yang menempatkan Kedutaan Israel di Kaherah dan menyelongkar bangunan tersebut, semalam.
Penunjuk perasaan dilaporkan melemparkan dokumen-dokumen dan bendera Israel keluar dari bangunan berkenaan melalui tingkap.
Duta Israel ke Mesir, Yitzhak Levanon bersama kakitangan kedutaan dan keluarga mereka dilaporkan dibawa pulang ke Tel Aviv, awal pagi ini, kata sumber lapangan terbang.
Media tempatan melaporkan sebuah pesawat Israel tiba di Kaherah untuk mengambil Levanon dan kakitangannya pulang ke Tel Aviv.
Kementerian Dalam Negeri berkata, sekurang-kurangnya 450 orang penunjuk perasaan bertempur dengan polis yang menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan demonstrasi itu.
Televisyen rasmi melaporkan 46 anggota polis cedera dalam kejadian itu.
Ia merupakan serangan kedua ke atas kedutaan itu sejak lima pengawal sempadan Mesir dibunuh tentera Israel dalam satu operasi di sempadan Gaza dan Rafah pada bulan lepas.
Saksi berkata, demonstrasi itu berlanjutan sehingga awal pagi dengan polis bertempur dengan sekurang-kurangnya 2,000 penunjuk perasaan di kedutaan berkenaan.
Media rasmi melaporkan Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf mengadakan sidang khas Kabinet awal hari ini, manakala Menteri Dalam Negeri mengarahkan polis berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Israel berkata, pihaknya meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantu mengawal kedutaan itu yang terletak di tingkat atas bangunan apartmen.
Sementara itu, pihak hospital Mesir berkata, tiga orang terbunuh dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di luar kedutaan Israel, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung.
Tambahnya, ketiga-tiga mayat dibawa ke bilik mayat hospital di ibu negara manakala menteri kesihatan melaporkan seorang maut akibat serangan sakit jantung. - Reuters/AFP

Berkat Mat Sabu


30,000 naik pangkat




Ismail Omar (dua dari kanan) bersama Pengarah JSJ, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin (tiga dari kiri) berbual pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Maktab PDRM Cheras, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 10 Sept. - Lebih 30,000 anggota polis berpangkat lans koperal bakal dinaikkan pangkat kepada koperal secara berperingkat mulai esok.
Berita gembira itu diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar malam ini selepas mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Ismail, daripada jumlah tersebut, seramai 16,010 dinaikkan pangkat serta-merta, manakala 14,716 lagi akan dinaikkan kepada koperal secara berperingkat selepas ini.
"Kenaikan pangkat anggota yang ramai dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu melibatkan lans koperal tetap, sokongan dan lans koperal Orang Asli.
"Perdana Menteri selain itu turut meluluskan proses kenaikan tanpa temuduga tetapi anggota perlu mengikut syarat lain, termasuk tempoh tetap berkhidmat sebagai lans koperal iaitu selama lima tahun," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas sempena jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Maktab PDRM Cheras, di sini.
Ismail memberitahu, kelulusan tersebut juga satu kejutan buat PDRM kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.
Katanya, berikutan itu, anggota-anggota yang telah dan akan dinaikkan pangkat perlu bekerja keras dalam menjaga keselamatan negara.
Menurutnya, pada Julai lalu, seramai 1,294 anggota polis berpangkat lans koperal telah dinaikkan kepada koperal.
Berita baik untuk anggota PDRM itu adalah yang kedua pada tahun ini selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pelarasan kenaikan gaji dan elaun pada Februari lalu.
Dalam pengumuman tersebut, seramai 98,747 anggota dan pegawai telah menikmati pelarasan kenaikan gaji dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP) antara RM1,500 hingga RM6,000 berkuat kuasa 1 Januari 2009.

Budak nyaris maut terbakar



HELMI dipangku Che Rahmah bersama Mohd. Sidek dan dua kakaknya di hadapan rumah mereka yang hangus di Bachok, Kelantan semalam.


BACHOK - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun nyaris maut selepas rumah papan satu tingkat yang didiami keluarganya di Taman Perumahan Nelayan Kampung Kandis dekat sini hangus terbakar pada pukul 6 petang kelmarin.
Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Kandis, Mohd, Helmi Mohd. Sidek pada mulanya duduk di depan rumahnya ketika api sedang marak di sebuah bilik tidur di tingkat atas.
Bagaimanapun, dia secara tiba-tiba berlari masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar. Mujurlah dia sempat diselamatkan oleh seorang jirannya.
Bapa mangsa, Mohd. Sidek Awang, 54, berkata, ketika kejadian, dia sedang minum di sebuah kedai kopi berhampiran manakala isterinya, Che Rahmah Che Amat, 50, keluar mengambil upah menyusun daun tembakau di kampung berdekatan.
Katanya, semasa kejadian hanya Helmi tinggal di rumah manakala dua kakaknya, Illiana Tasha, 12, dan Suzana, 17, pergi ke rumah kawan mereka.

Sering bergaduh sebelum lemas






ARAU - Pasangan kembar yang mati lemas ketika mandi di Sungai Buang, Kampung Banat di sini kelmarin dilihat kerap bergaduh sebelum berbaik semula beberapa hari kemudian.
Demikian kata ibu pasangan kembar itu, Che Norma Seman, 42, yang mendapati anak kembarnya, Abdul Hakam Zulkifli dan Abdul Hakim yang berusia lapan tahun kerap bergaduh di rumah sedangkan mereka amat rapat sebelum itu.
"Mereka memang baik dan jarang bergaduh tetapi beberapa hari sebelum kejadian, mereka selalu bergaduh tetapi tidak lama sebelum berbaik semula," katanya ketika ditemui selepas pengkebumian jenazah kedua-dua anaknya itu bersama seorang lagi mangsa lemas, Muhamad Akmal Abdul Razak di Tanah Perkuburan Islam Guar Sanji di sini pada pukul 11 pagi semalam.
Che Norma berkata, walaupun sedih dengan kehilangan anak kembarnya, dia reda dan menganggap ia kehendak Allah.
Katanya, anak kembarnya dan Muhamad Akmal akan pergi ke sekolah bersama setiap hari.

Kimma cadang letak pengawal di restoran




GAMBAR CCTV menunjukkan sekumpulan lelaki merompak sebuah restoran mamak 24 jam di Shah Alam akhir bulan lalu.


KUALA LUMPUR - Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) mencadangkan semua restoran mamak dilengkapi pengawal keselamatan bersenjata ekoran beberapa kejadian rompakan di premis-premis itu baru-baru ini.
Presidennya, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader berkata, cadangan itu dirasakan wajar demi menjaga keselamatan pelanggan dan pemilik restoran daripada sebarang kejadian tidak diingini.
"Kami juga mencadangkan masa perniagaan restoran mamak dipendekkan bagi kawasan yang berisiko berlaku rompakan atau jika tidak, mereka boleh menempatkan pengawal keselamatan bersenjata," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Menurut beliau, kejadian rompakan ke atas restoran mamak bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama berlaku tetapi tidak dilaporkan oleh pemilik restoran.
Kata beliau, keengganan pengusaha melaporkan perkara tersebut adalah kerana tidak mahu kehilangan pelanggan termasuk masa yang panjang untuk berurusan dengan pihak berkuasa selain jumlah kerugian yang kecil.
"Bagaimanapun, satu mesyuarat antara pihak polis dan pengusaha restoran mamak akan diadakan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi bagi mencari pendekatan terbaik mengatasi masalah ini," tambahnya.
Beliau berkata, cadangan itu akan dibincangkan antara Kimma, Dewan Perniagaan India Muslim dan Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma) sebelum berjumpa dengan pihak polis.

Ajaran Hassan Jonit kembali aktif



BUKU yang digunakan oleh pengikut Hassan Jonit.


RAWANG - Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit yang didapati menyimpang daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Fatwa Negeri Selangor pada tahun 1998 kini dikesan kembali aktif.
Ajaran itu kini dipercayai dikembangkan oleh ahli keluarga salah seorang pengikut kanan Hassan yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Menurut sumber yang cuma ingin dikenali sebagai Roslan, markas utama kumpulan tersebut yang terletak di Kampung Melayu, Batu Arang di sini, kembali dipenuhi oleh pengikut ajaran itu sejak kebelakangan ini.
"Saya dapati semakin ramai orang luar datang ke markas itu pada malam tertentu. Saya percaya kumpulan tersebut tidak mahu pihak berkuasa tahu tentang aktiviti mereka," katanya ketika ditemuiKosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurutnya yang juga penduduk di kampung tersebut, kewujudan semula ajaran tersebut kini diketuai oleh seorang lelaki yang merupakan menantu kepada orang kanan Hassan.
"Pengikut ajaran itu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional yang datang dari seluruh negara terutama Singapura, Johor dan Melaka semakin berkurangan.
"Saya sendiri sebenarnya pernah bersemuka dengan pengikut kanan Hassan suatu ketika dahulu selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung yang dia telah mendapat wahyu ketika duduk di kedai kopi," ujarnya.

Mesir berada dalam keadaan berjaga-jaga



KAHERAH - Mesir diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga semalam selepas kumpulan penunjuk perasaan menyerbu bangunan Kedutaan Israel di sini dan bertempur dengan polis.
Insiden tersebut yang berlaku kelmarin menyebabkan empat orang terbunuh manakala lebih 450 yang lain cedera.
Tunjuk perasaan itu berlaku kerana kemarahan rakyat Mesir berhubung layanan zalim Israel terhadap penduduk Palestin terutamanya penduduk Genting Gaza.
Ia turut menyebabkan Israel memanggil pulang dutanya dan beberapa kakitangan lain di Mesir.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan serangan terbabit sebagai 'insiden serius' manakala Presiden Amerika Syarikat (AS) Barak Obama meminta Mesir melindungi kedutaan asing yang ditempatkan di ibu kota negara berkenaan, di sini.
Seorang pegawai Israel berkata, Duta Yitzhak Levanon dan beberapa pegawai lain telah meninggalkan Mesir kecuali seorang diplomat kanan Yahudi.
"Kami meninggalkan timbalan duta untuk terus berhubung dengan pemerintah Mesir," kata pegawai berkenaan di Baitulmuqaddis semalam.
Menurutnya, seramai enam kakitangan Israel diselamatkan oleh pasukan komando Mesir dalam kejadian itu.
Serangan keatas Kedutaan Israel semalam adalah insiden terburuk sejak Tel Aviv mewujudkan misi diplomatik di Mesir. - AFP

Harimau betina bunuh pasangan gara-gara cemburu






EL PASO, Amerika Syarikat (AS) - Seekor harimau jantan bernama Wzui (gambar) mati setelah diserang oleh pasangannya di Zoo El Paso di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian berlaku pada Khamis lalu apabila harimau betina Malaya berusia tiga tahun, Seri menggigit leher Wzui yang tiga tahun lebih tua, menyebabkan harimau jantan itu mati akibat keurangan oksigen.
Ketika kejadian, kedua-dua binatang buas itu sedang mengawan di zoo berkenaan.
"Kami tidak menjangka perkara seperti ini akan berlaku," kata pengarah Zoo El Paso, Steve Marshal.
Menurutnya, serangan itu dipercayai berpunca daripada cemburu.
Wzui sebelum ini katanya, pernah mendampingi seekor harimau betina bernama Melor yang tiba dari Zoo Tulsa sembilan bulan lalu. - Agensi

Jalan sesak kerana JolieJalan sesak kerana Jolie




AKTRES Hollywood, Angelina Jolie (kanan sekali) tersenyum di luar pejabat pengarah filem, Ridley Scott di London pada minggu ini.


LONDON - Tidak ramai mampu melakukannya tetapi aktres Hollywood Angelina Jolie menyebabkan laluan trafik terhenti dengan cuma berjalan keluar dari sebuah pejabat di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.
Kekalutan berlaku apabila orang ramai membanjiri sebatang jalan kerana tidak mahu terlepas peluang merakam gambar heroin filem Tomb Raider itu, sekali gus menyebabkan lalu lintas terhenti.
Jolie, 36, pula cuma tersenyum melihat situasi yang berlaku ketika dia berjalan keluar dari pejabat pengarah filem Gladiator, Ridley Scott di sini minggu ini.
Kunjungannya turut mencetuskan spekulasi bahawa teman hidup aktor Brad Pitt itu telah ditawarkan untuk membintangi filem terbaharu Scott.
"Patutlah ramai orang keluar untuk melihat Jolie. Dia kelihatan sungguh cantik dan menawan," kata seorang penduduk setempat. - Agensi

200 maut terjun dari Menara WTC



SEORANG lelaki terjun dari bangunan WTC yang runtuh akibat serangan pengganas sedekad lalu.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Seramai 200 orang dilaporkan terjun dari Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini ketika pengganas menyerang beberapa lokasi utama di AS pada 11 September 2001, lapor sebuah akhbar semalam.
Berdasarkan rekod tidak rasmi, hampir semuanya menemui ajal secara bersendirian tetapi beberapa saksi mengakui mereka pernah menyaksikan satu pasangan terjun sambil berpegangan tangan.
Malah kata saksi, ketika berada di hujung nyawa seorang wanita turut dilihat memegang kuat skirtnya supaya dia tidak mati dalam keadaan yang memalukan.
Sebahagian lagi mangsa cuba membuat payung terjun daripada langsir dan alas meja tetapi daya graviti menyebabkan ia terlucut daripada pegangan sekali gus menyebabkan nyawa mereka melayang.
"Mangsa-mangsa itu memilih untuk terjun daripada mati terbakar dan saya dapat melihat mereka jatuh seorang demi seorang," kata seorang anggota bomba yang bertugas pada hari kejadian, Maureen McArdle-Schulman.
"Kerana terlalu ngeri, saya dan seorang rakan setugas mengalihkan pandangan kami pada dinding bangunan berdekatan, namun kami masih dapat mendengar bunyi tubuh mereka terhempas di tanah," tambahnya.
Menurutya, dia turut berang dengan tindakan sebahagian individu tidak berhati perut di lokasi kejadian yang merakam mangsa- mangsa itu terjun.
Hampir semua mangsa terjun dari tingkat-tingkat teratas WTC. Mereka jatuh pada kelajuan 200 kilometer sejam dan memiliki 10 saat untuk mengimbas kembali hidup mereka sebelum menemui ajal di tanah.
WTC yang setinggi 417 meter dan memiliki 110 tingkat, terdiri daripada Menara Utara dan Menara Selatan dibuka kepada orang ramai pada 1973. Pembinaannya ketika itu menelan belanja AS$400 juta (RM1.2 bilion).
Pada 11 September 2011, kumpulan pengganas merempuh dua pesawat Boeing 757 ke atas WTC yang menyebabkan ia terbakar dan runtuh. Kejadian itu meragut 2,753 nyawa.
Sebelum ini, berita dan gambar-gambar mereka tidak disiarkan media AS.
Pemerintah AS beranggapan bahawa mereka yang memilih untuk membunuh diri daripada mati terbunuh sebagai tidak patriotik sekali gus mencalar imej negara.
Sementara itu, kawalan keselamatan di sini dan beberapa lokasi utama lain di AS diperketatkan menjelang sambutan ulang tahun ke-10 insiden serangan pengganas ke atas AS hari ini. - Agensi