Utusan Malaysia
RAS LANOUF 9 Mac - Tentera Muammar Gaddafi yang menggunakan kereta kebal, roket dan pesawat perang memperhebatkan kempen untuk menghancurkan pemberontak, sementara Amerika Syarikat (AS) mahu zon larangan terbang di ruang udara Libya dikuatkuasakan dengan sokongan penuh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Presiden AS, Barack Obama dan Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, mereka akan merancang 'segala bentuk tindakan' yang boleh diambil terhadap Gaddafi manakala para pegawai AS menemui pemimpin pembangkang yang mahu menggulingkan pemimpin veteran Libya itu.
Ketika pertempuran bertambah sengit, seorang jurucakap pemberontak mendakwa seorang perantara Gaddafi menawarkan rundingan tetapi ditolak bulat-bulat oleh kem pemberontak.
Dakwaan tersebut disifatkan sebagai 'karut' oleh seorang pegawai kerajaan di Tripoli, di mana Gaddafi muncul lewat malam tadi di sebuah hotel yang popular di kalangan wartawan asing di ibu negara Libya itu.
Bunyi bedilan bertalu-talu kedengaran di barisan hadapan dengan bahagian timur Libya yang dikuasai pemberontak.
Askar kerajaan melancarkan bedilan roket dan meriam tidak putus-putus ke atas bandar minyak Ras Lanouf yang dikuasai pemberontak, dan berpuluh-puluh pejuang anti-Gaddafi kelihatan bergerak mengikut jalan padang pasir.
Pemberontak yang menguasai kebanyakan kawasan di timur Libya mendapati kemaraan mereka ke Tripoli disekat sejak hujung minggu lalu apabila tentera rejim menawan semula pekan Bin Jawad, 15 kilometer ke barat Ras Lanouf.
Seeorang bekas pegawai rejim berkata, tentera Gaddafi telah melancarkan serangan habis-habisan ke atas Zawiyah, bandar pemberontak yang paling dekat dengan Tripoli, dan menggambarkan situasi di sana sebagai 'sangat kritikal'.
"Di setiap sudut ada orang melepaskan tembakan. Dia (Gaddafi) mahu menawannya hari ini dan masyarakat antarabangsa perlu melakukan sesuatu," kata Murad Hemayma mengenai bandar strategik yang dibedil oleh kereta kebal dan askar Gaddafi sejak beberapa hari lalu.
Jika Zawiyah yang boleh dikatakan kawasan sempadan antara bahagian barat dan timur, jatuh kembali ke tangan Gaddafi, satu keadaan buntu akan berlaku dengan Libya berpecah kepada sebelah barat yang setia kepada rejim dan bahagian timur yang dikuasai pemberontak.
Zawiyah yang mempunyai 200,000 penduduk dikepung untuk hari kelima dengan laporan berbeza berhubung siapa yang kini mengawal bandar itu.
Satu pasukan tentera dipimpin seorang daripada anak Gaddafi, Khamis dipercayai melancarkan serangan tersebut dibantu dengan kereta kebal untuk memaksa pemberontak berundur dari pusat kawalan mereka di Dataran Syahid.
Hospital di bandar itu dipenuhi dengan mayat dan mereka yang cedera manakala banyak rumah di sana rosak, menurut penduduk yang melarikan diri sejak dua hari lalu. - AFP/AP