Pages

Sunday, August 24, 2014

Pasukan penyelam cari loceng keramat



GAMBAR menunjukkan Loceng Mingun seberat 90 tan yang merupakan antara beberapa loceng gergasi yang terdapat di Myanmar.


YANGON - Sejumlah penyelam turun ke dasar Sungai Yangon di sini baru-baru ini untuk mencari loceng gangsa terbesar di dunia yang dipercayai berada di dasarnya selama lebih empat abad.
Memiliki berat 270 tan atau melebihi berat 100 ekor gajah, loceng misteri itu yang dinamakan loceng Raja Dhammazedi menjadi simbol kebanggaan rakyat Myanmar.
Operasi tersebut jauh berbeza daripada pencarian sebelumnya kerana kali ini, pasukan penyelam bergantung kepada mantera dan kaedah spiritual lain untuk mencari loceng itu sekali gus mengetepikan cara saintifik.
Menurut sejarah dan legenda tempatan, Raja Dhammazedi memerintahkan loceng itu ditempa pada penghujung kurun ke-15 untuk diletakkan di Pagoda Shwedagon yang terletak di puncak sebuah bukit di sini.
Loceng itu berada di pagoda tersebut selama lebih 130 tahun sebelum ia dicuri tentera upahan Portugis diketuai oleh Philip de Brito.
De Brito mahu meleburkan loceng gangsa itu untuk membuat meriam kapal perangnya.
Namun, loceng yang amat berat itu tenggelam ketika dibawa menaiki sebuah kapal lama menyusuri sungai ini.
Ramai penduduk di Myanmar percaya loceng Raja Dhammazedi masih berada di bawah lapisan lumpur dan pasir di dasar sungai itu.
Namun, pelbagai usaha untuk mencari artifak itu menggunakan sonar dan peralatan berteknologi tinggi pada masa lalu gagal membuahkan hasil.
Operasi terbaharu ini pula dijangka berlanjutan selama 45 hari dan menelan belanja AS$250,000 (RM790,250) menggunakan wang derma orang awam.
"Saya percaya loceng ini dilindungi sumpahan," kata ketua operasi pencarian tersebut yang merupakan seorang bekas pegawai tentera laut Myanmar, San Lin.
Pada satu sidang akhbar Julai lalu, Lin memberitahu, dia ialah penjelmaan semula salah seorang daripada 14 penjaga artifak tersebut.
Menurutnya, dia boleh berhubung dengan semangat yang telah menghalang usaha untuk menemui loceng itu pada masa lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3BGGIfQWp 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki bergaun cabar Russia


Di Russia, negara yang mengharamkan perkahwinan sejenis dan menganggap amalan itu sebagai penyakit mental, sepasang suami isteri semalam melafazkan ikrar untuk bersama ketika pengantin lelaki berpakaian seperti wanita.
Ia dianggap satu daripada perkahwinan paling kontroversi di negara berkenaan. 
Namun, pasangan Dimitriy Kozhuhov, 23, dan Ellison Brux, 21, mempunyai cara tersendiri untuk membolehkan ‘cinta’ mereka disempurnakan. 
Foto
KOZHUKHOV dan Ellison kelihatan seolah-olah pasangan kembar pada hari perkahwinan mereka.
Kozhuhov kini dikenali sebagai Alina Davis kerana bermekap serta berpakaian seperti wanita. 
Dalam keadaan begitu, ketika mereka disahkan sebagai ‘suami isteri’ hadirin melihat ada dua pengantin perempuan bergaun melalui detik menggembirakan.

Kozhuhov mengaku dia gemar berperwatakan serta bermekap seperti wanita dan keadaan itu menimbulkan kekeliruan kepada banyak pihak.

Namun, kata Kozhuhov, dia dan Ellison amat mencintai satu sama lain. 

“Kami juga tidak menghadapi masalah ketika menghantar permohonan perkahwinan kepada pejabat pendaftar walaupun kami menjangkakan masalah akan berlaku,” katanya. 

Selepas melalui urusan pendaftaran, kata Kozhuhov, dia dihubungi ketua pejabat pendaftar dan diberi ingatan berkali-kali supaya dia tidak memakai gaun ketika dikahwinkan. 

Kata Kozhuhov, undang-undang Russia menetapkan hanya lelaki boleh berkahwin dengan wanita. 

Perkahwinan di Pejabat Pendaftar Kutuzovsky Prospekt itu kemudian tetap berlangsung dengan kedua-duanya hadir berpakaian gaun pengantin.

Namun, ia tidak berjalan tanpa halangan. 

Pada peringkat awal Kozhuhov dan Ellison dilarang masuk melalui pintu depan, sebaliknya terpaksa ‘diseludup’ melalui pintu belakang.

Kata Ellison, ketua pejabat berkenaan cuba menyembunyikan mereka kerana ia akan memalukan masyarakat setempat.

Akhirnya, selepas dibawa masuk melalui pintu belakang, Kozhuhov dan Ellison dikahwinkan di pejabat berkenaan.

“Kini saya gembira kerana gambar perkahwinan kami dikongsi dan dibincangkan.

“Saya berharap kami dapat memberi inspirasi kepada pasangan lain untuk mencabar undang-undang ketat ini dan berkahwin secara terbuka,” katanya.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Sistem seperti kulit manusia


SAINTIS Britain sedang mencipta sistem kulit pintar yang membolehkan sesebuah pesawat mengetahui perubahan angin, kelajuan, suhu, tekanan fizikal dan pergerakan lebih baik daripada teknologi sedia ada.- AGENSI
LONDON 23 Ogos - Pakar kejuruteraan Britain kini sedang membina sistem yang menyerupai fungsi kulit manusia, untuk dipasang di sekeliling bahagian luar badan kapal terbang, bagi mengesan sebarang kerosakan atau perubahan persekitaran.
Mail Online melaporkan, jurutera dari Pusat Sistem Teknologi Maju BAE sedang giat menjalankan kajian untuk menghasilkan sistem yang dikenali sebagai `kulit pintar’ itu, yang bakal dilengkapi dengan puluhan ribu pengesan mikro.
Pemasangan kulit pintar tersebut membolehkan sesebuah pesawat mengetahui perubahan angin, kelajuan, suhu, tekanan fizikal dan pergerakan lebih baik daripada teknologi sedia ada.
Ketua penyelidikan dan pembangunan sistem berkenaan, Lydia Hyde berkata, idea untuk menghasilkan sistem itu lahir selepas beliau melihat bagaimana mesin basuh menggunakan alat pengesan bagi memastikan suhunya tidak terlalu panas.
“Saya memerhatikan bagaimana pengesan berkenaan menghalang mesin basuh tersebut berada pada suhu yang tinggi. Saya mengambil teori ini dan mahu mengaplikasikannya dalam projek terbaharu saya," jelasnya.
Kata Hyde, sistem itu juga akan mengurangkan kekerapan pemeriksaan berkala, sekali gus meningkatkan kecekapan dalam proses penukaran alat ganti kapal terbang, selain meningkatkan keselamatan.
“Pengesan yang digunakan pada sistem kulit pintar tersebut sangat kecil, sebesar butiran beras atau lebih kecil daripada itu," ujarnya.
Secara kolektifnya, pengesan akan berfungsi apabila dipasangkan dengan perisian yang sesuai, konsep komunikasi yang sama diguna pakai oleh kulit manusia dalam menghantar isyarat kepada otak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_09/Sistem-seperti-kulit-manusia#ixzz3BG62eY3A
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami isteri ditahan rantai anak


ALVAR dirantai di pergelangan kaki oleh ibu bapanya atas alasan dia sering mendatangkan banyak masalah ketika berada di sekolah dan di rumah. - AGENSI
MEXICO CITY 23 Ogos - Sepasang suami isteri ditahan pihak berkuasa Mexico, selepas didapati bersalah merantai kaki anak lelaki mereka berusia 10 tahun sepanjang hari.
Mail Online melaporkan, Alejandro Hernandez, 44, dan isterinya Beatriz Enriquez, 34, mengaku merantai Alvar di pergelangan kaki atas alasan anaknya itu sukar dikawal.
Hernandez berkata, anak sulungnya itu tidak pernah duduk diam dan sering melakukan banyak masalah ketika berada di sekolah serta di rumah.
“Kami tidak bertindak kejam, kami sayangkan semua anak kami. Kami melakukan perkara itu kerana sudah buntu untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
“Kami lakukan demi kebaikan Alvar, dan sama sekali tidak pernah ada niat untuk menyakitinya," jelas Hernandez, yang turut memiliki empat orang anak lain.
Polis mengetahui kejadian itu selepas seorang individu yang dipercayai salah seorang daripada rakan Hernandez ternampak kelibat Alvar dirantai di dalam rumahnya di Poza Rica.
Polis berkata, ketika ditemui Alvar berada dalam keadaan tidak terurus dan kini dia diletakkan ditempat yang selamat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_07/Suami-isteri-ditahan-rantai-anak#ixzz3BG5AQDYw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

73 mati ditembak dalam masjid


DIYALA, Iraq 23 Ogos - Sekurang-kurangnya 73 orang pengikut Sunnah terkorban, selepas pengikut Syiah bertindak melepaskan tembakan di dalam sebuah masjid yang dipenuhi jemaah di Kampung Bani Wais, timur wilayah Diyala, semalam.
Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial YouTube memaparkan mayat-mayat bergelimpangan di lantai masjid, termasuk mayat seorang kanak-kanak.
Wakil al-Jazeera yang berada di tempat kejadian, Jane Arraf yang memetik sumber tempatan melaporkan serangan mungkin bermotifkan balas dendam.
Agensi berita al-Jazeera memetik sumber keselamatan melaporkan kesemua mayat sudah dihantar ke hospital di bandar Baquba untuk bedah siasat.
Keganasan agama terbaharu itu bakal memberi kesan kepada usaha Perdana Menteri baharu Iraq, Haider al-Abadi untuk membentuk sebuah kerajaan yang dapat menyatukan semua penduduk di negara ini dalam kempennya memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS).
Ekoran kejadian itu, dua kumpulan anggota Parlimen yang dikuasai oleh pengikut Sunnah membatalkan perbincangan untuk membentuk kerajaan baharu sebagai tanda bantahan.
Dua kumpulan berkenaan yang diwakili gabungan Speaker Parlimen, Salim al-Jabouri dan Timbalan Perdana Menteri, Saleh al Mutlak menggesa bekas Perdana Menteri, Nouri al-Maliki dan kumpulan anggota Parlimen pengikut Syiah menyerahkan pelaku serangan dalam tempoh 24 jam.
Mereka turut mendesak kerajaan supaya membayar pampasan kepada keluarga mangsa yang terkorban.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Iraq yang baharu, Haider al-Abadi turut mengutuk serangan berkenaan yang disifatkannya boleh menggugatkan perpaduan Iraq.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_05/73-mati-ditembak-dalam-masjid#ixzz3BG4NjpJN
© Utusan Melayu (M) Bhd