Pages

Thursday, March 1, 2012

Wafak Black Money

myMetro | Wafak Black Money: BUKTI...beg yang mengandungi wang kertas palsu. Gambar kecil, Tunku Azwil.
BUKTI...beg yang mengandungi wang kertas palsu. Gambar kecil, Tunku Azwil.

KUALA LUMPUR: Jika dulu mereka menggunakan taktik mirip silap mata untuk membohongi orang ramai kononnya duit mampu digandakan, kini sindiket Black Money yang didalangi warga Afrika dipercayai menggunakan tangkal dan azimat bagi memperdayakan mangsa.

Pada masa sama, mereka dikesan menggunakan khidmat rakyat tempatan sebagai ‘rakan kongsi’ supaya usaha mencari dan memperdaya mangsa menjadi lebih mudah.

Kaedah terbaru dalang sindiket Black Money itu dibongkar Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas menerima aduan dua mangsa yang kerugian RM760,000 selepas melaburkannya kepada seorang lelaki bergelar Datuk berusia 60-an.

Pengerusi Majlis Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, berdasarkan aduan dua mangsa lelaki berusia 40-an itu, pihaknya mengesan Datuk terbabit.


“Hasil pertemuan, kami dibawa ke rumahnya dan dia menunjukkan empat beg besar mengandungi ribuan wang kertas palsu dalam Ringgit Malaysia, Dolar Amerika Syarikat dan Pound Sterling dipercayai hasil kegiatan penipuan Black Money.


“Lebih mengejutkan, turut ditemui di dalam satu daripada beg itu ialah dua tangkal yang diperbuat daripada kain yang ditulis dengan potongan ayat al-Quran atau lebih dikenali sebagai wafak,” katanya, semalam.


'via Blog this'

Rentung berpelukan

myMetro | Rentung berpelukan: RENTUNG...dua kenderaan bertembung sebelum meletup dan terbakar, semalam.
RENTUNG...dua kenderaan bertembung sebelum meletup dan terbakar, semalam.

KOTA BHARU: Memilukan apabila seorang guru lelaki dan anak perempuannya berusia empat tahun mati rentung dalam keadaan berpelukan selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda sebelum meletup dan terbakar di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam di Jalan Pasir Puteh, Kampung Padang Kala, di sini, mayat Che Arminudin Abdullah, 42, dan anaknya, Marissa Alma, ditemui di bahagian tengah antara tempat duduk hadapan dan belakang Toyota Rush dinaiki mereka.


Che Arminudin berasal dari Kampung Seberang Kastam, Besut, Terengganu menetap di Kampung Seri Kulim, Melur, dekat sini dan bertugas di Sekolah Menengah Teknik Pengkalan Chepa.

Berdasarkan posisi mayat ketika ditemui, dua beranak itu dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan Che Arminudin menarik keluar anaknya, tetapi gagal apabila kenderaan dinaiki meletup dan terbakar.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila Toyota Rush yang dinaiki Che Arminudin bersama anaknya menghala ke Pasir Puteh terbabas dan melanggar tiang lampu.


Menurutnya, kenderaan itu kemudian masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan Ford Ranger dipandu Azaizurien Ahmad, 33, dan seorang penumpang, Siti Nor Azreen Md Yani, 24, yang menghala ke Kota Bharu.

“Akibat pertembungan itu kedua-dua kenderaan meletup dan terbakar. Pemandu dan penumpang Ford Ranger berjaya diselamatkan penduduk kampung.


“Mereka dilaporkan cedera parah dan dihantar ke wad kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan,” katanya.

Menurut Jalaluddin, jenazah Che Arminudin dan Marissa Alma turut dibawa ke HUSM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga mereka.


Sementara itu, saksi kejadian, Abdul Razak Abdullah, 34, berkata, dia terdengar dentuman kuat ketika bekerja di Kilang Kitar Semula RD Papers di kawasan berhampiran tempat kejadian.


“Saya berlari keluar dan mendapati dua kenderaan berlanggar dan terus membantu menarik keluar dua mangsa yang berada di dalam Ford Ranger,” katanya.


Menurut warga Myanmar itu, dia cuba menyelamatkan mangsa di dalam Toyota Rush selepas melihat si bapa cuba menarik keluar anaknya yang berada di tempat duduk penumpang belakang.


“Bagaimanapun, saya tidak sempat menyelamatkan mereka kerana kenderaan itu tiba-tiba meletup dan terbakar,” katanya.




'via Blog this'

Tuah bayi ‘melompat’

myMetro | Tuah bayi ‘melompat’: Tuah bayi ‘melompat’ GEMBIRA...Catherine dan suaminya, Chan seonok  dengan kelahiran  cahaya mata sulung  mereka.
GEMBIRA...Catherine dan suaminya, Chan seonok dengan kelahiran cahaya mata sulung mereka.
ISTIMEWA...Syarifah Nurul Idayu di samping bayi perempuannya.
ISTIMEWA...Syarifah Nurul Idayu di samping bayi perempuannya.

KUALA LUMPUR: Tidak pernah merasa menjadi anak tahun lompat, namun siapa sangka melahirkan bayi pada tanggal istimewa itu, semalam sebenarnya turut menyuntik perasaan gembira dan merasa diri cukup bertuah.

Eksekutif Kewangan, Catherine Chin Derosani Atu Lolong, 28, melahirkan bayi sulung perempuan pada tanggal 29 Februari semalam berkata, saat melahirkan itu adalah pengalaman yang tidak akan dilupakannya berikutan dia sudah bertarung nyawa untuk melahirkan bayinya pada malam sebelumnya lagi.


“Saya sudah dimasukkan ke bilik bersalin pada malam Selasa, namun kerana kesukaran melahirkan secara normal, doktor memutuskan untuk menjalankan pembedahan secara Caesarean dan akhirnya dia lahir tiga minit selepas 12 tengah malam (0003) dengan berat 3.82 kilogram.

“Saya dan suami, Chan Chee Kean, 32, memang tak sangka dia ‘menunggu’ untuk dilahirkan pada tanggal 29 Februari, tahun lompat, kerana kami harap dia lahir pada 28 Februari. Apapun, kami gembira dan dia kini sangat istimewa,” katanya di temui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini semalam.


Bagi guru, Zaharah Nawi, 32, dia sukar menggambarkan perasaannya apabila selamat melahirkan bayi perempuan pada jam 5.15 pagi semalam sedangkan tarikh anaknya dijangka dilahirkan pada 4 Mac depan.


“Saya memang tidak sangka akan lahirkan anak kedua hari ini (semalam). Memang tak ada tanda-tanda nak bersalin, malah hari sebelumnya saya juga masih bekerja dan pulang ke rumah di Shah Alam sekitar 6.30 petang.

“Cuma pada malam, tiba-tiba sakit semacam dan suami, Aidil Saifan Abu Bakar, 35, terus membawa saya ke hospital dan bayi kami ini akhirnya selamat dilahirkan pagi tadi secara normal dengan berat 2.90 kilogram.


“Harapnya, dia menjadi anak yang membawa tuah kepada keluarga kami kerana kelahirannya pada tanggal yang cukup istimewa, malah sambutan hari jadinya juga setiap empat tahun sekali,” katanya.

Sementara itu, Syarifah Nurul Idayu Syed Jaafar, 24, seorang jururawat, menganggap anak sulung perempuannya yang baru melihat dunia semalam, ‘memang’ mahu dilahirkan pada tahun lompat berikutan tarikh jangkaan bersalin yang ditetapkan doktor padanya adalah 11 Mac depan. Katanya, bayi perempuan itu yang dilahirkan pada jam 7.23 pagi secara normal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak banyak meragam sejak dalam kandungan lagi, malah proses kelahirannya berjalan dengan baik sehingga dia sendiri rasa terkejut kerana kini sudah beranak.


“Tak ada dalam sejarah keluarga saya mahupun suami yang lahir pada tahun lompat, tetapi apabila anak yang kami namakan Siti Zulaikha Nor Hashim lahir hari ini (semalam), memanglah buatkan perasaan bercampur baur,” katanya.


'via Blog this'

Suspek penggodam Anonymous ditahan

Suspek penggodam Anonymous ditahan - Global - Sinar Harian:
Suspek penggodam Anonymous ditahan

PARIS - Seramai 25 suspek disyaki ahli gerakan peng­godam Anonymous ditahan dalam satu operasi merentasi Eropah dan Amerika Selatan baru-baru ini.

Agensi polis antarabangsa dalam kenyataan memberitahu, tangkapan dilakukan di Argentina, Chile, Colombia dan Sepanyol oleh pegawai penguatkuasa undang-undang yang bertugas di bawah Kumpulan Terlatih Interpol Amerika Latin dalam Jenayah Informasi dan Terknologi.

Suspek-suspek ditahan berumur antara 17 dan 40 tahun dan disyaki merancang melaraskan serangan siber terhadap beberapa buah institusi termasuk Kementerian Pertahanan Colombia, laman web presiden, syarikat elektrik Endesa Chile serta perpustakaan kebangsaan, termasuk lain-lain sasaran.

Menurut Interpol, tangkapan dilakukan berikutan siasatan berterusan pada pertengah Februari yang mana membawa kepada 250 rampasan melibatkan peratan teknologi maklumat (IT) dan telefon-telefon bimbit di sekitar 40 buah premis dalam 15 buah bandar.

Gerakan Anonymous semakin dipolitikkan ditengah-tengah kawalan ketat global terhadap jenayah cetak rompak muzik dan kontroversi antarabangsa pendedahan rahsia laman WikiLeaks.


'via Blog this'

Rayuan gencatan senjata di Syria

Rayuan gencatan senjata di Syria - Global - Sinar Harian:
Rayuan gencatan senjata di Syria

GENEVA - Kerajaan Syria dirayu melaksanakan gencatan senjata berikutan keadaan yang semakin teruk kesan daripada serangan ke atas kumpulan pembangkang yang menyebabkan lebih 7,500 orang terbunuh.

Ketua agensi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay berkata, gencatan senjata harus dilaksanakan disamping dunia menghalang pasukan keselamatan Syria dari terus membedil dan menyerang orang awam sehingga mencetuskan kekejaman itu.

Semasa berbahas pada majlis hak asasi manusia PBB di Geneva, Switzerland, Pillay turut merayu agar Syria menamatkan semua persengketaan dan membenarkan pasukan pemantau antarabangsa memasuki negara itu serta membuka laluan kepada agensi-agensi bantuan ke Homs selain bandar-bandar yang dikepung.


'via Blog this'

Algeria bina masjid ketiga terbesar di dunia

myMetro | Algeria bina masjid ketiga terbesar di dunia: ALGIERS: Algeria menandatangani perjanjian dengan syarikat pembinaan gergasi China semalam untuk membina sebuah masjid yang dijangka ketiga terbesar di dunia.

Menteri Hal Ehwal Agama, Bouabdallah Ghlamallah, menyatakan masjid unik berharga RM4 bilion itu akan menghadap pantai di timur Algiers.


“Tiada mana-mana masjid menyerupainya sama ada daripada aspek keagamaan, pelancongan dan ekonomi,” katanya.

Sebelum itu dia menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembinaan masjid itu dengan China State Construction Engineering Corporation (CSCEC).


Masjid mega itu akan dibina di kawasan seluas 20 hektar di kawasan Mohammadia di Algiers, dengan menaranya setinggi 270 meter.


Ia mampu memuatkan sehingga 120,000 jemaah, selain menempatkan sebuah perpustakaan mengandungi sejuta bahan bacaan serta 2,000 tempat duduk, sebuah muzium dan pusat penyelidikan.

Ia akan menjadi masjid ketiga terbesar di dunia selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi. - AFP


'via Blog this'

Iran beri amaran keras kepada Azerbaijan

myMetro | Iran beri amaran keras kepada Azerbaijan: TEHERAN: Iran memberi amaran kepada Azerbaijan ekoran pembelian senjata bernilai RM4.5 bilion dari Israel, lapor media kerajaan, semalam.

Duta Azerbaijan ke Teheran dipanggil ke Kementerian Luar bagi mendapatkan penjelasan mengenai pembelian itu.


Duta terbabit turut diingatkan supaya tidak membiarkan negaranya digunakan Israel sebagai tapak melakukan keganasan ke atas Iran.

Agensi berita Iran melaporkan, duta itu, Javanshir Akhundov, mengesahkan pembelian senjata berkenaan selepas mendapat maklumat dari Baku.


Katanya, senjata itu dibeli untuk “membebaskan tanah Azerbaijan yang terjajah” tetapi tiada penjelasan lanjut diberi.


Memetik Javanshir, agensi berita itu melaporkan, Baku “tidak akan membenarkan senjata itu digunakan ke atas negara ketiga, terutama Iran.” - AFP


'via Blog this'

Zionis serbu 2 stesen TV

myMetro | Zionis serbu 2 stesen TV: RAMALLAH: Tentera Israel menyerbu dua stesen televisyen Palestin sebelum merampas sejumlah komputer dan peralatan penyiaran, kata kakitangannya, semalam.

Israel mengesahkan serbuan itu dan mendakwa stesen terbabit bersiaran secara haram - tuduhan yang dinafikan Menteri Telekomunikasi Palestin, Mashour Abu Daqqa.


Serbuan dilakukan ke atas Televisyen Watan - sebuah stesen swasta, serta Televisyen Pendidikan Quds yang mempunyai kaitan dengan Universiti al-Quds.

Ketua Pengarang Watan, Ali Daraghmeh, berkata tentera Zionis itu tiba jam 2 pagi (8 pagi waktu Malaysia) dan mengambil kira-kira 30 komputer dan alat pemancar.


“Stesen ini terpaksa ditutup sepenuhnya,” katanya.


Ali berkata, seorang daripada pengawal di stesen berkenaan cuba menghalang serbuan itu tetapi tentera Zionis mendakwa mereka menerima arahan rasmi untuk menutup operasi pusat penyiaran berkenaan.

Pengarah Televisyen Pendidikan Quds, Haroun Abu Arra, berkata stesen berkenaan diserbu kira-kira jam 3 pagi dan mereka merampas semua pemancar yang ada.


“Stesen kami kini tidak dapat beroperasi,” katanya.

Ketua Pengarah Watan, Moammer Orabi, berkata tiada sebarang amaran diterima sebelum serbuan dilakuka.


“Kami masih tidak tahu mengapa mereka merampas peralatan dan menutup stesen ini walaupun ia operasi di kawasan milik Pihak Berkuasa Palestin (PA) serta memiliki lesen,” katanya.


Jurucakap tentera berkata, serbuan dibuat selepas menerima “beberapa permohonan” daripada Kementerian Komunikasi Israel.


“Tentera Israel menyertai operasi Kementerian Komunikasi menutup dua stesen televisyen swasta di Ramallah yang mengganggu siaran stesen sah lain, serta menjejaskan komunikasi kapal terbang,” katanya.


Sementara itu, Mashour berkata, Israel gagal membuat sebarang aduan melalui saluran sewajarnya kepada PA.


“Mereka semua penipu,” katanya.


Menurut Mashour, jika ada masalah, kami mempunyai jawatankuasa penyelaras Israel - Palestin untuk membincangkan sebarang isu.


“Kami percaya tentera Israel mahu mengubah realiti dan mengabaikan semua jawatankuasa yang dibentuk,” katanya. - AFP


'via Blog this'

Abu Bakar seru tentang AS hingga musnah

myMetro | Abu Bakar seru tentang AS hingga musnah: JAKARTA: Ulama Islam Abu Bakar Bashir, semalam menyalahkan Amerika Syarikat atas pertambahan tempoh hukuman penjara dihadapi, dua hari selepas mahkamah agung Indonesia menjatuhkan semula hukuman penjara 15 tahun terhadapnya kerana terbabit dengan keganasan.

Abu Bakar dianggap sebagai pemimpin agung oleh kumpulan militan Islam di Indonesia - negara yang paling ramai populasi umat Islam di dunia - dan penyokong perjuangan jihad al-Qaeda, tetapi selalu menafikan dia adalah pengganas. Muncul di khalayak ramai untuk melakukan pembedahan kali kedua katarak di hospital mata di Jakarta, lelaki berusia 73 tahun itu menyeru pengikutnya supaya menentang AS “hingga ia musnah”.


“Amerika adalah musuh Islam, jadi, keputusan hukuman itu atas perintah Amerika,” katanya kepada wartawan ketika dia diiring anggota separa tentera dan polis anti-keganasan memasuki kenderaan polis. “Kita perlu meneruskan perjuangan menentang Amerika hingga ia musnah,” katanya.

Mahkamah rendah Jun tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atasnya kerana menggalakkan keganasan dan membiayai kumpulan pengganas di wilayah Aceh yang merancang serangan terhadap warga Barat dan ahli politik. Selepas membuat rayuan, Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman itu kepada sembilan tahun memberikan alasan kekurangan bukti dan usia tua, tetapi mahkamah Agung Isnin lalu menjatuhkan semula hukuman penjara 15 tahun kepadanya. - Kompas


'via Blog this'

Makin ramai pelajar perubatan Britain melacur

myMetro | Makin ramai pelajar perubatan Britain melacur: LONDON: Lebih ramai pelajar perubatan di Britain beralih kepada pelacuran untuk membiayai pengajian mereka di universiti.

Seorang daripada 10 bakal doktor mempunyai rakan yang menjual tubuh mereka untuk menangani kos pengajian dan kehidupan yang semakin meningkat.


Ia meningkat daripada hanya empat peratus pada 2000 dan enam peratus pada 2006.

Jurnal Pelajar Perubatan Britain bimbang pelajar tertarik kepada kehidupan melacur menerusi rancangan televisyen ITV2 oleh Billie Piper, Secret Diary of a Call Girl, yang mengisahkan mengenai kehidupan glamor dan canggih pelacur kelas atasan.


Pelajar muda tidak mempeduilkan kesan pelacuran ketika mereka bergelut dengan hutang berjumlah antara RM150,000 hingga RM250,000 untuk pengajian lima tahun.


Beban itu mungkin meningkat kepada RM350,000 apabila yuran pengajian meningkat.

Pelajar perubatan di Universiti Birmingham, Jodi Dixon dalam artikel untuk jurnal itu menulis: “Bagi pelajar yang berpendapat mereka tidak ada pilihan kecuali melacur adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.


Sarah Walker dari Badan Kebajikan Untuk Pekerja Seks berkata: “Pekerjaan di kedai dan pub semakin sukar dan gajinya kecil.

“Semakin ramai yang menimbang untuk melacur atau yang sudahpun terlibat menghubungi kami.” - DM


'via Blog this'

Jururawat kemaruk span

myMetro | Jururawat kemaruk span: KERRY gemar makan span bersama sos.
KERRY gemar makan span bersama sos.
KERRY memamah span.
KERRY memamah span.

LONDON: Seorang jururawat pergigian semalam mendedahkan bagaimana dia memakan 4,000 span kerana penyakit ganjil.

Kerry Trebilcock, 21, juga memakan lebih 100 ketul sabun.


Dia menghidap pica, sejenis penyakit yang menyebabkan mangsa suka memakan barangan bukan makanan.

Kerry yang berasal dari Mylor, Cornwall berkata: “Satu hari kelak, saya akan mengatasi masalah ini dan mandi atau membasuh baju tanpa merasa lapar.” Menurut Kerry, dia suka mencicah ‘snek’ ganjilnya dengan sos cili atau mustard.


Kadang-kala dia memakannya dengan mencicah span itu ke dalam minuman teh atau coklat panas.


Dia juga memakan ketulan sabun, tetapi yang berperisa buah organik. Yang menjadi kegemarannya ialah sabun berperisa lemon dan limau nipis.

Kerry berkata: “Saya memberi tumpuan khusus mengenai jenis span dan sabun yang saya makan dan cara saya menyediakannya.


“Jika saya keluar bersiar-siar, saya akan membawa plastik kecil berisi span yang sudah dipotong dan dicampurkan dengan sos tomato atau BBQ. Saya tidak pernah meninggalkan makanan itu.” Ada penghidap pica lain memakan besi, arang, pasir atau kapur. Malah ada yang memakan mentol lampu dan perabot.

Kerana tabiat pemakanannya, Kerry pernah mengalami sakit perut yang teruk dan cirit-birit.


Meskipun dia sudah mengurangkan memakan span, dia gagal untuk menghentikan tabiat itu sama sekali.


Pernah dia memakan lima span sehari bersama-sama sos cili, BBQ, jem dan madu.


“Sos itu akan melembutkan span berkenaan. Begitu juga jika ia dicicah ke dalam minuman panas. Saya akan mengunyahnya sehingga perisanya hilang dan kemudian menelannya.” Menurut jururawat itu, dia mulanya gemar memakan makanan remeh. Tetapi sesuatu peristiwa ganjil berlaku.


“Selepas makan lasagna dan satu bekas ais krim pada satu malam, saya masih lapar.


“Untuk mengalihkan perhatian, saya ambil keputusan untuk membasuh pinggan mangkuk dan mengeluarkan span baru daripada bungkusan. Tiba-tiba datang keinginan untuk memakannya.


“Saya duduk dengan segelas air dan mengunyah span itu hingga habis.


“Ia tidak mempunyai rasa tetapi saya mendapati keseronokan untuk memakannya. Akhirnya, saya tidak lapar lagi dan perut saya rasa puas.


“Selepas itu, saya merasa malu dan takut serta menangis sehingga tertidur. - DM


'via Blog this'

Iran akan balas serangan Israel - Amerika

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


WASHINGTON 29 Feb. - Amerika Syarikat (AS) percaya Iran akan bertindak balas jika Israel menyerang tapak-tapak nuklearnya, dengan melancarkan peluru berpandu terhadap rejim Zionis itu dan serangan pengganas ke atas kakitangan awam serta anggota tentera AS di luar negara.

Menurut penilaian pegawai AS itu, Iran sudah hampir pasti bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu ke atas Israel.

Namun, kata mereka, Iran juga dijangka berhati-hati untuk menyerang kepentingan AS kerana tidak mahu memberi sebab kepada Washington mengambil tindakan ketenteraan yang boleh melumpuhkan program nuklear Teheran buat selama-lamanya.

"Iran terbukti sangat pandai dalam mengawal keadaan supaya tidak menjadi terlalu tegang," kata bekas pegawai tentera AS, Jeneral James E. Cartwright yang pernah menyertai latihan perang melibatkan langkah pencegahan dan tindak balas ke atas negara-negara yang berpotensi menjadi musuh seperti Iran.


'via Blog this'

Yahoo ancam saman Facebook

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


SAN FRANCISCO 29 Feb. - Yahoo mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Facebook kerana melanggar hak patennya, strategi yang telah berjaya dilakukannya ke atas Google sejurus sebelum enjin carian itu disenaraikan di bursa saham pada 2004.

The New York Times melaporkan, Yahoo menuduh Facebook melanggar 10 hingga 20 hak patennya berhubung pengiklanan di dalam talian, bidang yang dipeloporinya sebelum ditenggelamkan oleh Facebook dan Google.

Yahoo menuntut Facebook membayar yuran lesen atau berdepan tindakan undang-undang.

Ancaman itu dibuat beberapa minggu sebelum Facebook dijangka disenaraikan di bursa saham, sesuatu diramalkan menjadi penyenaraian syarikat teknologi terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat dengan nilai syarikat antara AS$75 bilion (RM225 bilion) dan AS$100 juta (RM300 juta).


'via Blog this'

PBB dipelawa lawat Palestin

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Pegawai polis Hamas memeriksa kerosakan ke atas bangunan di Gaza akibat serangan tentera udara Israel di Gaza City pada 16 Februari lalu. - REUTERS


GENEVA 29 Feb. - Palestin menjemput anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melawat Tebing Barat, Genting Gaza dan Timur Baitulmaqdis bagi menyaksikan masalah sebenar di wilayah Palestin itu.

Utusan Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, beliau telah menghantar surat jemputan itu kepada 15 anggota majlis itu bagi membolehkan mereka 'melihat dengan mata mereka sendiri keadaan sebenar penduduk Palestin di wilayah yang dijajah (Israel), termasuk penempatan haram Israel'.

Beliau berkata demikian kepada media selepas satu rundingan dengan Majlis Keselamatan PBB berhubung Asia Barat, semalam.


'via Blog this'

Tragedi ngeri dua beranak

Kosmo! Online - Negara:



ANGGOTA bomba mengangkat mayat Che Arminudin dan Marissa Alma yang rentung dalam kemalangan di Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU - Dua beranak yang bergegas keluar untuk menghantar saudara mereka menaiki pesawat tidak sempat menjamah makan malam apabila mereka ditemui rentung selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh berhampiran Kampung Padang Kala dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 8.40 malam itu mengakibatkan Che Arminudin Abdullah, 42, dan anak sulungnya, Marissa Alma, 4, maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Rush yang mereka naiki hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger lalu terbakar.

Che Arminudin merupakan guru subjek kemahiran di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa dekat sini.

Pemandu dan penumpang Ford Ranger itu, Azaizurie Ahmad, 33, dari Kampung Bukit Kecil, Melor dan Siti Nor Azreen Md. Yani, 24, dari Kampung Gaung, Lati, Pasir Mas pula cedera parah. Mereka kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Mereka nyaris rentung namun sempat dikeluarkan oleh orang ramai yang datang membantu.

Isteri mangsa, Marzuany Syuhaida Mohamad Sukri, 39, memberitahu, dua beranak itu keluar pada pukul 7.30 malam dan dikatakan akan makan malam selepas pulang menghantar saudaranya berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.


'via Blog this'

Berlian milik bekas Permaisuri Perancis dilelong

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR menunjukkan sebutir batu berlian yang pernah dipakai bekas Permaisuri Perancis, Marie de Medici.


GENEVA, Switzerland - Firma lelongan antarabangsa, Sotheby akan melelong sebutir batu berlian yang pernah dipakai oleh bekas Permaisuri Perancis, Marie de Medici.

Berlian itu dipakai oleh Medici semasa hari pertabalannya sebagai Permaisuri Perancis pada 13 Mei 1610.

Batu berlian seberat 35 karat yang berbentuk seperti buah pear itu dijangka dilelong pada harga antara AS$2 juta (RM5.9 juta) hingga AS$4 juta (RM11.9 juta) pada 15 Mei depan di sini.

Ia pernah dibeli oleh seorang pengumpul berlian, Nicolas Harley de Sancy.

De Sancy membeli berlian tersebut di Istanbul, Turki pada akhir kurun ke-16.

Ekoran itu, berlian itu diberi nama Beau de Sancy.

Berlian tersebut telah beralih tangan dalam kalangan kerabat diraja Perancis, England, Prussia dan Belanda. - Agensi


'via Blog this'

Terjun bersama basikal dari jambatan

Kosmo! Online - Dunia:



ADAM FLINT terjun bersama sebuah basikal dari Jambatan Garry dekat Pitlochry, Scotland kelmarin.


PITLOCHRY, Scotland - Seorang pemuda, Adam Flint terjun dengan menggunakan tali bersama sebuah basikal dari Jambatan Garry dekat sini kelmarin.

Flint, 26, membuat terjunan bagi mempromosikan aktiviti mengayuh basikal di Highland Perthshire.

Dia mengasaskan sebuah pertubuhan sukan bagi mempromosikan sukan mengayuh basikal di kawasan tersebut.

Menurut Flint, dia berasa gementar sebelum membuat terjunan dari ketinggian 40 meter. - Agensi


'via Blog this'

Menara komunikasi tertinggi siap dibina

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR yang dirakamkan kelmarin
menunjukkan menara komunikasi paling tinggi di dunia, Tokyo Sky Tree di timur Tokyo.


TOKYO - Pembinaan menara komunikasi paling tinggi di dunia, Tokyo Sky Tree dengan ketinggian 634 meter di sini siap sepenuhnya semalam.

Pembinaan itu lewat dua bulan ekoran kejadian gempa dan tsunami yang melanda Jepun pada Mac tahun lalu yang menyebabkan kekurangan bahan binaan.

Tokyo Sky Tree turut diiktiraf sebagai bangunan kedua tertinggi dunia selepas Burj Khalifa di Dubai yang setinggi 828 meter.

Ketua-ketua industri pelancongan di negara ini berharap menara setinggi 634 meter itu akan dapat menarik kehadiran ramai pelancong asing.

Bilangan pelancong asing menurun di Jepun selepas bencana tsunami dan krisis nuklear yang berlaku pada tahun lalu.

Pembinaan menara di timur Tokyo itu bermula pada Julai 2008 dan mengikut jadual asal ia sepatutnya siap dibina pada Disember tahun lalu.

Tokyo Sky Tree turut mengatasi Menara Canton di Guangzhou, China yang setinggi 600 meter dan Menara CN setinggi 553 meter di pusat bandar Toronto, Kanada.

Seramai 580,000 pekerja terlibat dalam pembinaan menara itu yang menelan belanja AS$806 juta (RM2.4 bilion). - AFP


'via Blog this'

Kapal Costa ditunda ke Seychelles

Kosmo! Online - Dunia:





VICTORIA, Kepulauan Seychelles - Sebuah kapal penumpang Itali yang hanyut akibat kerosakan enjin ditarik oleh sebuah kapal nelayan menuju ke Kepulauan Seychelles di Lautan Hindi semalam.

Kapal penumpang itu, Costa Allegra hanyut pada Isnin lalu selepas berlaku kebakaran yang menyebabkan keseluruhan enjin, sistem penghawa dingin dan bekalan kuasa kapal berkenaan rosak.

Kapal itu dimiliki oleh syarikat Costa Crociere, anak syarikat Carnival Corporation dan Carnival plc.

Pada 13 Januari lalu, kapal pesiaran mewah Costa Concordia milik syarikat itu terbalik selepas terlanggar batu berhampiran pantai Pulau Isola del Giglio, barat Itali dengan menyebabkan 25 orang terbunuh manakala 64 yang lain cedera.

Kapal Costa Allegra yang sepanjang 187 meter itu dijangka tiba di pelabuhan utama Kepulauan Seychelles pada hari ini, tiga hari selepas ia hanyut di Lautan Hindi.

Dua buah kapal tunda dan sebuah kapal nelayan menyertai operasi menunda Costa Allegra.

Seorang pegawai penerbangan memberitahu, tiga buah pesawat dengan setiap sebuah mempunyai kapasiti sekurang-kurangnya 580 tempat duduk, menunggu untuk membawa para penumpang kapal berkenaan pulang ke Rom, Itali beberapa jam selepas ia tiba di Seychelles.

Beberapa buah helikopter turut digunakan untuk menghantar bekalan makanan kelmarin dengan rakaman gambar dari udara menunjukkan orang ramai berkumpul di sekitar kolam renang utama di kapal itu.

Kebakaran berlaku berhampiran jana kuasa kapal berkenaan di bilik enjin ketika Costa Allegra sedang dalam pelayaran dari Madagascar menuju ke Seychelles.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut setakat ini. - Agensi


'via Blog this'

Treler angkut batu gergasi

Kosmo! Online - Dunia:


SEBUAH bongkah batu gergasi (dalam bulatan) seberat 340 tan berada di atas sebuah treler di Lembah Jurupa, California kelmarin.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Selepas persediaan selama beberapa bulan, sebuah bongkah batu gergasi memulakan perjalanan sejauh 169 kilometer menuju ke Muzium Seni Daerah Los Angeles di sini.

Batu granit seberat 340 tan itu yang dipilih oleh pengukir terkenal AS, Michael Heizer sebagai bahan pamerannya, meninggalkan sebuah kuari di Riverside dekat sini lewat kelmarin.

Batu berkenaan yang setinggi bangunan dua tingkat dan berbentuk seperti titisan air mata, diangkut di atas sebuah treler sepanjang sebuah padang bola sepak.

Kenderaan itu dibina khas bagi membawa beban sekurang-kurangnya 450,000 kilogram.

Ia dijana enjin berkapasiti sehingga 650 kuasa kuda.

Sekitar 60 orang diperlukan untuk memastikan perjalanan treler berkenaan lancar terutamanya ketika kenderaan tersebut melalui selekoh sebelum ia dijadualkan tiba di destinasinya pada 10 Mac ini dalam perjalanan yang mengambil masa selama 11 hari.

"Orang ramai datang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bongkah batu tersebut," kata jurucakap muzium berkenaan, Miranda Carroll.

Heizer menemui bongkah batu gergasi itu enam tahun lalu dan akan menjadikan ia subjek untuk pameran terbaharunya, Levitated Mass.

Beliau merancang meletakkan bongkah batu tersebut di atas sebuah parit sepanjang 139 meter.

Para pengunjung akan dapat melihat ia kelihatan seperti terapung di udara. - Agensi


'via Blog this'

Tak minum minyak sehari kepala pening

Tak minum minyak sehari kepala pening | borak kosong: "Jesen Khairul Fuadi, berusia enam tahun mempunyai kebiasaan yang unik iaitu meminum minyak. Kebiasaan ini sudah dilakukan sejak dia berusia satu tahun. Setiap hari, kanak-kanak yang belum sekolah itu boleh menghabiskan dua hingga tiga liter minyak.
Kemana pun pergi dia mesti membawa minyak bersamanya. Mulut dan hidungnya selalu membau dan meminum bekas yang membawa minyak itu. Dia mengaku pening jika tidak membau aroma minyak itu.

Bapanya mengaku sudah kerap melarang anaknya meminum minyak. Berbagai cara telah diusahakan agar kebiasaan buruk anaknya itu berhenti seperti diterapi dengan pengubatan alternatif, menyembunyikan semua bekas berisi minyak dan mengganti minyak dengan air tetapi masih juga gagal.

Akibat meminum minyak itu pertumbuhan tubuh Jesen tidak normal dibanding anak seusianya. Tubuhnya tampak mungil, rambutnya kusam dan matanya sayu."

'via Blog this'

Bayi yang berumur 26 tahun | borak kosong

Bayi yang berumur 26 tahun | borak kosong: "Tak seperti kebanyakan lelaki dewasa lainnya, keadaan fizik Jerly Lyngdoh (26), sangat berlainan. Usianya 26 tahun tetapi keadaan fiziknya seperti bayi yang berusia 2 tahun.Tinggi badan Jerly tidak lebih dari 84 cm dan beratnya hanya10 kg.

Sehingga kini, Jerly tidak boleh berkomunikasi dan memerlukan bantuan ibunya untuk melakukan aktiviti hariannya.

Walaupun fiziknya seperti bayi, tetapi gigi susunya telah digantikan gigi kekal. “Dia telah menjalani diet yang tepat. Memiliki gigi yang kuat dan tidak memiliki masalah dengan pencernaannya. Yang menjadi permasalahan adalah ketidakmampuannya berbicara satu patah katapun hingga usianya ketika ini,” terang J Ryngdong, doktor di Hospital Pemerintah Ganesh, Meghalaya, India. Ryngdong mencuba menganalisis kes yang menimpa Jerly.Jerly lahir pada 29 March 1983 di sebuah desa terpencil di Jaintia Hills."

'via Blog this'