Pages

Wednesday, June 20, 2012

Jumpa rangka jentera dilerai

Som Sak
Som Sak menunjukkan komponen jentera berat yang dirampas di sebuah kedai barang lusuh di Lahat, Ipoh.
TAPAH - Polis Tapah menjumpai rangka jentera berat sudah dileraikan di sebuah kedai menjual barang lusuh di Lahat, Ipoh, pada Sabtu lalu selepas menerima laporan seorang pengadu berusia 50-an yang kehilangan jentera berat di Taman Sri Damai, di sini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak Din Keliaw berkata, laporan kehilangan jentera berat yang dibuat pada Jumaat lalu itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia lingkungan 50-an dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Menurutnya, selain menahan dua suspek, polis turut merampas komponen jentera berat yang dileraikan di sebuah kedai menjual barangan lusuh di Lahat, Ipoh.

"Jentera berat itu dileraikan pada masa yang singkat kerana dipercayai dilakukan oleh mereka yang mahir.

"Kedua-dua suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bagi tindakan lanjut dan hasil siasatan awal terhadap keduadua suspek, kami mendapat satu lagi maklumat bahawa dua lelaki berusia lingkungan 40-an tinggal di Ipoh mempunyai kaitan dengan kes ini," katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, kini, polis berusaha mengenal pasti identiti suspek bagi membantu siasatan dalam kes ini.

Jelasnya, salah seorang suspek yang ditahan merupakan pemilik kedai menjual barangan lusuh di Lahat, Ipoh manakala seorang lagi merupakan individu bertanggungjawab menjual jentera berat itu kepada kedai berkenaan daripada dua suspek yang sedang dicari.

"Kerugian yang ditanggung pemilik dianggarkan RM200,000 dan kes disiasat dibawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah serta lain-lain maklumat boleh menghubungi hotline IPD Tapah 05-4015222 atau SMS rakan Cops 32728 ataupun terus ke balai polis berdekatan,” katanya.

Penyamun mewah 45 minit

IPOH - Sekumpulan empat penyamun bertindak ganas menggunakan pedang samurai untuk merompak sebuah premis menjual telefon bimbit dalam satu kejadian di Lenggong, awal pagi semalam.

Malah pemilik premis turut diugut bunuh dan diacukan parang di leher ketika dia cuba melawan penyamun terbabit dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.15 pagi itu.

Ketika kejadian, mangsa dan rakannya masing-masing berusia 35 dan 40 tahun dikejutkan dengan ketukan pintu yang kuat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, sebaik membuka pintu, salah seorang penyamun terus meletakkan pedang samurai ke leher mangsa dan mengugut mahu membunuhnya jika melawan.

“Kumpulan penyamun itu segera masuk ke dalam premis dan mengambil pelbagai barang seperti satu komputer riba, dua telefon bimbit, beg duit mangsa mengandungi kad pengenalan, pelbagai kad bank dan wang dengan jumlah keseluruhan bernilai lebih RM4,000.

“Pemilik kedai kemudian terus berlari sejauh 500 meter ke Balai Polis Lenggong membuat laporan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, kumpulan penyamun yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 25 tahun itu kemudian melarikan diri menaiki kereta Perodua Viva menuju ke Ipoh melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

“Bagaimanapun, usaha kumpulan penyamun itu untuk melarikan diri gagal apabila mereka ditahan kira-kira 45 minit kemudian ketika polis membuat sekatan berhampiran plaza Tol Kuala Kangsar kira-kira jam 2 pagi.

“Polis berjaya menemui semula semua barangan samun selain dua pedang semurai, satu parang panjang serta rotan dan dua topeng muka yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang berasal dari Ipoh direman di IPD Gerik selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan supaya pemilik premis perniagaan khususnya supaya lebih berhati-hati dan sesekali membuka pintu sesuka hati terutamanya pada waktu malam kerana risiko penjenayah melakukan jenayah pada masa itu amat tinggi,” katanya.

Penyanyi popular Pakistan ditembak mati


Penyanyi Pakistan yang popular, Ghazala Javed ditembak mati.
Penyanyi Pakistan yang popular, Ghazala Javed ditembak mat
ISLAMABAD - Penyanyi Pakistan yang popular, Ghazala Javed ditembak mati di wilayah Peshawar lewat kelmarin.

Ghazala ditembak mati bersama ayahnya.

Bagaimanapun maklumat-maklumat yang diperoleh memberi maklumat yang berbeza mengenai kes itu.

Menurut polis, pembunuhan mereka kemungkinan disebabkan pertikaian keluarga.

Ghazala dari lembah Swat meninggalkan kawasan itu tidak tahun lalu ketika tindakan ketenteraan terhadap Taliban.

Laporan-laporan dari Pakistan menyebut golongan artis menjadi sasaran kumpulan pemberontak sejak mereka menguasainya pada 2007.

Kakak Ghazala mendakwa beberapa lelaki bersenjata memasuki rumah Ghazala lalu menembak dia dan bapanya.

Bagaimapun keterangan lain menunjukkan mereka terbunuh apabila dilepaskan tembakan di jalan.

Penyanyi itu, anak keluarga muzik, popular di Pakistan dan Afghanistan.

Penyanyi itu yang berusia dalam pertengahan 20-an telah berkahwin dengan ahli perniagaan tetapi telah bercerai.

Lagi masjid diserang

TEBING BARAT - Gara-gara tidak berpuas hati dengan pelan kerajaan untuk merobohkan 30 penempatan haram di Tebing Barat, sebuah masjid di Palestin menjadi sasaran tindakan biadab pelampau Yahudi.
Jurucakap pihak berkuasa, semalam memaklumkan, masjid di Kfar Jabaa itu diconteng dan turut dibakar seperti beberapa insiden sebelum ini.
Mereka turut menyerang pangkalan tentera Israel sebagai tanda protes terhadap pelan baru kerajaan itu.

Difahamkan, perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Agung Israel tersebut akan dilaksanakan pada 1 Julai depan.

Kepala ditusuk lembing, masih mampu bercakap


Kepala ditusuk lembing, masih mampu bercakap
Doktor terpaksa memotong 45.72 cm lebihan lembing bagi memudahkan proses pembedahan. (Gambar kecil) Keadaan lembing pada tengkorak Yasser.
FLORIDA - Seorang remaja berumur 16 tahun berhadapan maut apabila kepalanya terkena tusukan lembing pancing ikan semasa berenang bersama rakan-rakan di tasik berhampiran rumahnya di Miame-Dade, Amerika Syarikat.

Kejadian pada bulan lalu itu, bagaimanapun tidak meragut nyawa Yasser Lopez malah sejurus selepas kejadian, dia dilaporkan masih mampu berbual bersama rakan-rakannya sebelum di hantar ke hospital berdekatan.

Pakar bedah Pusat Trauma Ryder, Hospital Memorial Jackson, Dr George Garcia memberitahu, semasa Yasser dibawa ke hospital, lembing berkenaan masih tertanam di kepala remaja itu yang hanya beberapa sentimeter daripada kawasan mata kanan.

"Lembing itu menembusi tengkorak Yasser pada bahagian kanan kepalanya. Insiden terbabit begitu pelik dan jarang ditemui apabila remaja ini masih sedar dan mampu bercakap sedangkan kepalanya ditembusi sebatang lembing," kata George.

Pakar bedah saraf, Ross Bullock berkata, ianya begitu ajaib kerana lembing berkenaan tidak menusuk semua saluran darah utama otak Yasser dan mengakui amat sukar untuk mengeluarkan senjata berkenaan daripada tengkorak dengan selamat.

Pembedahan ke atas Yasser memakan masa selama tiga jam berikutan pakar yang terlibat terpaksa memotong lebihan lembing di luar kepalanya yang berukuran 45.72 sentimeter (cm) sebelum membuang lembing yang masih tertanam di dalam tengkoraknya.

Yasser bagaimanapun berjaya diselamatkan tetapi dilaporkan mungkin mengalami kesukaran menggunakan kaki kiri atau tangan kanannya dalam jangka masa yang panjang.

Rusia hantar 2 kapal perang ke Syria

MOSCOW - Rusia kini sedang bersiap sedia untuk menghantar dua kapal perang ke pelabuhan Tartus di Syria, menurut agensi berita Interfax, kelmarin.
Kapal Nikolai Filchenkov dan Tsezar Kunikov itu akan digunakan untuk memindahkan warga Rusia dari negara bergolak tersebut.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Presiden Rusia, Vladimir Putin turut mencapai persetujuan untuk menggesa sebarang tindakan keganasan dihentikan segera di Syria.

Bekas Presiden Mesir Mubarak 'kritikal dan koma'


Hosni Mubarak dipenjara seumur hidupKAHERAH - Laporan-laporan yang bercanggah tersebar luas mengatakan bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak, yang berusia 84 tahun, secara "klinikal telah meninggal dunia."

Perkembangan ini muncul kira-kira dua minggu selepas mahkamah khas menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas beliau.

Agensi berita Middle East News Agency, yang dipetik CNN menyebut bahawa Hosni telah diisytiharkan secara klinikal meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sebuah hospital tentera di sini lewat semalam.

Hosni dibawa ke hospital itu selepas mengalami strok dan "jantung terhenti" daripada berfungsi.

Jeneral Mamdouh Shaheen, seorang anggota Majlis Agung Angkatan Tentera dipetik CNN berkata, "beliau tidak meninggal dunia secara klinikal sebagaimana dilaporkan."

"Bagaimanapun keadaan kesihatan beliau susut dan berada dalam keadaan yang kritikal," katanya lagi.

Mamdouh berkata, Hosni dibawa dengan helikopter ke hospital tentera di Maadi, yang terletak di pinggir ibu negara Mesir.

"Beliau berhadapan dengan serangan jantung dan jantungnya berhenti daripada berfungsi dan beliau diselamatkan dengan diberi kejutan elektrik dan diletakkan (dalam perhatian) dengan alat pernafasan," katanya lagi.

Malah menurut laporan CNN itu, selain mengalami keadaan darah beku dan paras denyutan nadi kini hanya 40.

"Beliau bukan telah meninggal dunia secara klinikal sebagaimana dilaporkan tetapi kritikal," katanya lagi.

Peguam Hosni, Fareed El Deeb pula berkata, "beliau koma sejak beberapa jam (sehingga sekarang)."

"Tekanan darah kini sudah menurun, yang menyekat beliau daripada bernafas, menyebabkan doktor memberi alat pernafasan," kata beliau lagi.

Awal semalam, jurucakap rasmi bagi pendakwa raya Mesir, Adel Saeed berkata, "kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa penjara bahawa jantung Hosni sudah terhenti dan mereka menggunakan kejutan elektrik dan CPR untuk menyelamatkan beliau."

Nile TV melaporkan bahawa Hosni, yang dibawa ke hospital tentera di Maadi dari Penjara Tora, mengalami strok.

Rakyat Syria tentukan nasib Bashar: Putin

LOS CABOS, Mexico: Presiden Vladimir Putin berkata rakyat Syria adalah pihak yang patut membuat keputusan sama ada Presiden Bashar al-Assad kekal berkuasa. 

Putin membuat kenyataan itu selepas Perdana Menteri Britain, David Cameron, berkata pemimpin Russia itu menjelaskan beliau tidak mahu Bashar kekal sebagai pemimpin Syria. - Reuters

Mahkamah: PM Pakistan tak layak, perlu dilucut jawatan

Yousuf Raza Gilani
Yousuf Raza Gilani
ISLAMABAD - Mahkamah Agung Pakistan memutuskan Perdana Menteri Yousuf Raza Gilani tidak layak memegang sebarang jawatan awam selepas disabitkan kesalahan menghina mahkamah dua bulan lalu.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa beliau harus dilucutkan jawatan sebagai Perdana Menteri Pakistan.

April lalu, Mahkamah Agung mendapati Yousuf telah gagal dalam membawa tuduhan rasuah ke atas Presiden Asif Ali Zardari.

Kes itu sebahagian daripada perkembangan yang mencetuskan 'pertelingkahan' antara kerajaan awam dan kehakiman.

Keputusan semalam memutuskan beliau tidak layak memegang jawatan kerajaan dan juga kedudukan di Parlimen.

Pura-pura mati untuk selamatkan diri

Pura-pura mati untuk selamatkan diri
Puluhan kanak-kanak menjadi sasaran keganasan terburuk yang menyasarkan
golongan lemah di Syria.
Pura-pura mati untuk selamatkan diri
Penduduk mengadakan bantahan
BEIRUT - Apabila sekumpulan lelaki bersenjata bertindak zalim membunuh seluruh ahli keluarganya, Ali el-Sayed hanya mampu melihat dan cuba untuk menyelamatkan diri dengan melumur darah abangnya pada bajunya.

El-Sayed, 11, terpaksa melakukan tindakan berpura-pura mati itu selepas menyaksikan sendiri pembunuhan kejam ke atas ibu bapa dan empat adik-beradiknya.

Adik bongsunya, Nader, 6, ditembak di belakang dan kepala tanpa perikemanusiaan. Ali adalah seorang daripada mangsa terselamat dalam insiden pembunuhan beramai-ramai di Houla pada 25 Mei lalu.
Lebih 100 penduduk kebanyakannya kanak-kanak ditembak dan ditikam hingga mati di rumah mereka sendiri.

Kawasan kampung di wilayah Homs tersebut menempatkan golongan miskin yang bergantung hidup dengan kegiatan pertanian dan kebun zaitun.

Kejadian pembunuhan kejam itu menyebabkan negara antarabangsa mengutuk keras kepimpinan Presiden Bashar al-Assad yang didakwa sebagai dalang utama mencetuskan keganasan selepas revolusi kebangkitan rakyat
pada Mac tahun lalu.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) dan saksi di tempat kejadian mendakwa tindakan keganasan tersebut didalangi oleh kumpulan lelaki bersenjata dikenali sebagai shabiha.

Ahli kumpulan shabiha itu direkrut dari puak Alawite (penyokong kuat Assad) yang bergerak secara rahsia dipercayai melakukan pembunuhan, penderaan, serangan balas bagi pihak kerajaan.
Kerajaan sebelum ini, sering menyalahkan pengganas asing bertanggungjawab menyebabkan huru-hara dan konflik yang semakin meruncing di negara tersebut.
Difahamkan, kumpulan shabiha dilabelkan sebagai lebih ganas berbanding pasukan keselamatan kerana mereka turut membedil kawasan penempatan penduduk dan melepaskan tembakan secara melulu ke arah penunjuk perasaan.

Kumpulan 'khas' ini diarah untuk melakukan penganiayaan dan menakut- nakutkan pihak penentang Assad.

Aktivis yang turut membantu mengumpulkan mayat mangsa kekejaman rejim Assad di Houla turut melahirkan rasa simpati.
"Apabila kami sampai di Houla, banyak mayat bergelimpangan dalam keadaan begitu menyayat hati.

"Saya melihat mayat kanak-kanak dengan otaknya berkecai dan paling tidak masuk akal, apabila menyaksikan tubuh kecil yang mungkin berumur kurang dua tahun ditikam tanpa belas kasihan," menurut aktivis, Ahmad al-Qasem, 35.

Rejim Assad sekali lagi menafikan mereka bertanggungjawab ke atas pembunuhan ngeri di Houla dan berterusan menyalahkan pengganas asing.

Menurut sumber kerajaan, walaupun kumpulan shabiha dituduh melakukan tindakan keganasan itu, tiada bukti cukup untuk mendakwa rejim Assad mengarahkan pembunuhan di negara yang dilihat bakal terjerumus ke kancah perang saudara tersebut.

Pembangkang Syria menyifatkan penafian Assad dan kenyataan simpati beliau selama ini terhadap mangsa kekejaman di negara itu sebagai satu pembohongan.

Walaupun ribuan penduduk telah terkorban akibat keganasan sejak lebih setahun lalu, insiden di Houla ini didakwa menjadi simbol kekejaman melampau kerajaan Assad.

Laporan dikeluarkan oleh PBB mendedahkan kebanyakan mangsa dalam kejadian tersebut ditembak pada jarak dekat termasuk ahli keluarga el-Sayed.

Penyerang dipercayai menyasarkan golongan lemah seperti kanak-kanak dan warga emas kononnya sebagai cara untuk mengugut penduduk.
Kejadian ini menunjukkan keganasan yang menjadikan penduduk kampung sebagai sasaran baru mereka.

Serangan tersebut dilancarkan selepas pasukan keselamatan kerajaan bertempur dengan Tentera Bebas Syria (FSA) yang menguasai hampir keseluruhan bandar itu.Aktivis, Maysara Hilaoui berkata, kumpulan shabiha mengambil kesempatan dengan merempuh masuk rumah penduduk kampung dan membunuh sesiapa sahaja," katanya.
"Seluruh tubuh saya menggigil apabila melihat ahli keluarga lain dibunuh di depan mata sendiri," jelas el- Sayed lagi menerusi aplikasi panggilan video dan suara, Skype.

Seminggu selepas insiden menggemparkan  itu, negara tersebut dikejutkan lagi dengan kejadian pembunuhan beramai-ramai yang mengorbankan 86 penduduk termasuk lebih 20 kanak-kanak di dua kampung di wilayah Hama.

Kumpulan shabiha sekali lagi dituduh bertanggungjawab melakukan tindakan kejam itu, walaupun kerajaan sekali lagi menuding jari kepada pengganas asing.
Difahamkan, tiada saksi yang boleh menceritakan kejadian sebenar pada malam tersebut dan pihak luar hanya boleh membuat andaian mereka sendiri.

Tentera Mesir setuju serah kuasa 30 Jun

Tentera Mesir setuju serah kuasa 30 Jun
Sebahagian kanak-kanak turut meraikan kemenangan tidak rasmi, Mohammed Mursi di Dataran Tahrir di Kaherah, kelmarin.
KAHERAH - Majlis Tertinggi Tentera, kelmarin memberi jaminan untuk menyerahkan kuasa kepada presiden baru Mesir menjelang akhir bulan ini.
Jeneral Mahmduh Shahin berkata, presiden baru yang dilantik menerajui negara itu akan memperoleh kuasa penuh untuk mentadbir kerajaan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan banyak pihak terutamanya, Parti Islam di bawah Ikhwanul Muslimin melahirkan rasa tidak puas hati.

Mereka mendakwa tentera mahu memonopoli kuasa, susulan daripada keputusan mahkamah mengarahkan Parlimen dibubarkan kerana didakwa bercanggah dengan Perlembagaan.
Sehari sebelum calon Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi diisytiharkan secara tidak rasmi memenangi Pilihan Raya Presiden pusingan kedua kelmarin, kerajaan sementara Mesir itu turut mengeluarkan dokumen meminda  Perlembagaan yang memberi kuasa terhadap kawalan perundangan.
Tujuan tentera mengawal kuasa perundangan adalah untuk mewujudkan keseimbangan pentadbiran dan mengkaji cadangan undang-undang kerajaan sebelum dikemukakan kepada presiden.
Difahamkan, tentera turut diberi kuasa mengawal hak veto berhubung sebarang penggubalan Perlembagaan

Pelampau Yahudi bakar masjid Palestin

Pelampau Yahudi bakar masjid Palestin
Masjid menjadi sasaran pelaku yang tidak berpuas hati dengan perintah Mahkamah Agung.
TEBING BARAT - Gara-gara tidak berpuas hati dengan pelan kerajaan untuk meruntuhkan 30 pangsapuri haram di Tebing Barat, masjid Palestin kini sasaran pelampau Yahudi yang biadab membakar dan menconteng graviti di sekitar rumah ibadat masyarakat Islam di situ.

Jurucakap tentera Palestin memberitahu, masjid di Kfar Jabaa, semalam dibakar termasuk diconteng dengan tulisan graviti dan serangan seumpama itu pernah berlaku di beberapa masjid lain.

Dalam pada itu, kumpulan pendatang haram turut menyerang tapak-tapak tentera Israel untuk melepaskan kemarahan terhadap dasar penempatan kerajaan itu.

Kerajaan Israel bagaimanapun menyatakan, akan mematuhi perintah yang dikeluarkan Mahkamah Agung iaitu meruntuhkan pangsapuri-pangsapuri yang dibina secara haram di tanah Palestin pada 1 Julai depan.

Malah pemimpin Yahudi, Dani Dayan mengutuk serangan tidak bermoral itu dan menepis dakwaan ia dilakukan oleh pendatang haram.

2 maut serangan udara Israel

Penduduk Palestin meratapi kematian dua rakan mereka yang maut akibat serangan udara Israel di utara Gaza semasa majlis pengkebumian mangsa di bandar Beit Hanun, Gaza City, kelmarin. - AFP
GAZA CITY 19 Jun - Dua lagi warga Palestin terbunuh semalam, ketika tentera Israel melancarkan serangan udara kedua di utara bandar Beit Hanun di sini, menjadikan jumlah korban meningkat kepada empat orang.
Menurut satu kenyataan, dua mangsa yang terkorban itu dikenal pasti sebagai Jihad Abu Shbab, 23, dan Mohammed al-Zaanin, 25.
"Sekurang-kurangnya tiga cedera dalam serangan tersebut," kata pegawai perubatan di Hospital Kamal Edwan.
Serangan sebelum ini yang berlaku di timur Beit Hanun menyebabkan dua aktivis Jihad Islam terbunuh.
Israel mengesahkan serangan tersebut sambil menjelaskan ia disasarkan ke atas sekumpulan pejuang yang disyaki ingin melancarkan roket ke arah tentera negara itu.
Dalam perkembangan lain, sekumpulan penyerang yang tidak dikenali cuba membakar dan menconteng Masjid Tebing Barat pada awal pagi ini.
"Awal pagi ini, sekumpulan lelaki menceroboh masjid, memecahkan tingkap dan menyalakan api, namun penduduk tempatan menyedari akan hal itu dan sempat memadamkan kebakaran.
"Kumpulan itu turut menconteng dinding masjid dalam bahasa Hebrew menggunakan cat," kata seorang lelaki yang dikenali sebagai Sheikh Datoun. - AFP

Obama, Putin gesa konflik Syria ditamatkan

Gambar dikeluarkan saluran televisyen pembangkang Syria, Shaam News Network merakamkan sebuah bangunan rosak teruk akibat bedilan tentera Syria di bandar Homs, kelmarin. - AFP
DAMSYIK 19 Jun - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Presiden Rusia, Vladimir Putin menggesa supaya konflik di Syria ditamatkan segera ketika 94 orang dilaporkan terbunuh dalam bedilan meriam terburuk tentera Syria terhadap pemberontak di beberapa bandar di negara ini, semalam.
Bagaimanapun, gesaan itu dibuat ketika Rusia dilaporkan bersiap sedia untuk menghantar dua kapal perangnya bersama pasukan marin ke pangkalannya di Syria selepas pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengantung tugasan mereka di negara ini ekoran peningkatan keganasan.
"Kami mahu pertumpahan darah di Syria dihentikan secepat mungkin," kata kedua-dua pemimpin kuasa dunia itu dalam satu kenyataan bersama selepas membuat pertemuan sampingan ketika menghadiri Sidang Kumpulan 20 di Los Cabos, Mexico, semalam.
Putin memberitahu wartawan bahawa beliau dan Obama 'mempunyai banyak pandangan yang sama' berhubung krisis di Syria yang telah berlanjutan lebih 15 bulan.
Obama pula berkata, beliau dan Putin bersetuju bahawa perlunya 'proses politik' untuk menghentikan konflik dan berikrar untuk bekerjasama dengan PBB dan wakil khas Liga Arab, Kofi Annan dalam menangani krisis tersebut.
Namun dari segi cara menyelesaikan konflik itu, hanya sedikit kata sepakat dicapai ketika pemantau menyatakan krisis Syria telah mengorbankan lebih 14,400 nyawa.
Sementara itu Rusia dilaporkan sedang bersiap sedia menghantar kapal perang amfibia dan pasukan marin ke pangkalan tentera laut mereka di pelabuhan Tartus, Syria, lapor agensi berita Moscow.
Menurut agensi berita Interfax yang memetik pegawai di ibu pejabat tentera laut Rusia, The Nikolai Filchenkov dan The Tsezar Kunikov akan dihantar ke Tartus dengan membawa sejumlah besar anggota marin.
Bagaimanapun tidak ada pengesahan rasmi oleh pihak berkuasa Rusia mengenai laporan itu.
Tentera Syria dalam pada itu melancarkan serangan ke kawasan kubu kuat pemberontak di tengah bandar Homs dan Damsyik dengan pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia menyatakan lebih 94 terbunuh di seluruh negara ini, semalam. - AFP

Dua lelaki rogol wanita Rakhine dihukum mati

Penduduk Rohingya yang cuba menyeberangi Sungai Naf untuk lari daripada keganasan agama, di negeri Rakhine, Myanmar diusir oleh pengawal keselamatan Bangladesh di Teknaf, kelmarin. - AFP
YANGON 19 Jun - Sebuah mahkamah di Myanmar semalam, menjatuhkan hukuman mati terhadap dua lelaki yang terlibat dalam kes rogol yang mencetuskan keganasan kaum dan agama di negeri Rakhine, barat negara ini.

Hukuman itu dijatuhkan oleh mahkamah di daerah Kyaukphyu, selatan Rakhine, menurut akhbar milik kerajaan, Myanma Ahlin.

Tiga etnik Rohingya ditahan selepas seorang wanita Buddha yang berusia 27 tahun dirogol dan dibunuh pada 28 Mei lalu, tetapi seorang daripada suspek telah membunuh diri dengan menggantung diri ketika dalam tahanan.

Kematian wanita itu mencetuskan insiden serangan membalas dendam di mana 10 etnik Rohingya diheret keluar daripada sebuah bas dan dipukul sehingga mati oleh perusuh Buddha pada 3 Jun lalu.

Insiden itu, bagaimanapun telah mencetuskan keganasan etnik dan agama antara penduduk Rakhine dengan etnik Rohingya di barat Myanmar itu sehingga menyebabkan 50 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Menurut Amnesty International, sebelum ini belum ada banduan di penjara Myanmar yang dijatuhkan hukuman mati sejak 1988.

Sementara itu, Bangladesh semalam menahan seramai 128 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari negeri Rakhine dan menyatakan akan menahan mereka untuk sementara waktu sebelum dihantar pulang.

Lebih 2,000 etnik Rohingya cuba melarikan diri ke Bangladesh sejak tercetusnya keganasan di Rakhine awal bulan ini, tetapi kesemuanya telah dihantar pulang atau ditahan.

Menurut Bangladesh, sumber mereka sendiri terhad dan terpaksa menolak kedatangan etnik yang ditindas itu, walaupun digesa oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya memberikan mereka status pelarian. - AGENSI

Peraturan wanita wajib bertudung hanya “rayuan”

JAKARTA: Datuk Bandar Tasikmalaya, yang menjadi tajuk utama bulan ini kerana dikatakan mencadangkan undang-undang kecil yang mewajibkan semua wanita Islam memakai tudung, berkata semalam, peraturan itu hanyalah “satu rayuan.”
“Hukuman tidak boleh dikenakan, kami hanya boleh meminta mereka (memakai tudung),” kata Syarif Hidayat selepas pertemuan dengan pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negara untuk menerangkan peraturan baru itu. 
“Peraturan itu adalah aspirasi komuniti dan kami harus menghormatinya,” katanya. “Tetapi ia juga tidak bercanggah dengan undang-undang (negara), maka sebab ini kami mengadakan rundingan ini.”

Bandar Jawa Barat meluluskan peraturan itu untuk mempromosi nilai-nilai komuniti melalui ajaran Islam pada 2009, tetapi berita mengenai rancangan untuk melaksanakannya hanya timbul, minggu lalu.

Menurut peraturan itu, semua orang Islam dewasa mesti berpakaian menurut ajaran Islam, menyebabkan ada yang bimbang polis penguatkuasa syariah akan memastikan setiap orang menurut perintah itu. - Jakarta Post

Bapa penggal kepala anak

JAIPUR: Seorang bapa memenggal kepala anak perempuannya dan diarak sekeliling kampung kerana berang anaknya itu menjalinkan hubungan dengan ramai lelaki, kata polis di barat Rajasthan, semalam.
Oghad Singh, pekerja kuari batu marmar, menggunakan pedang untuk memenggal kepala anaknya, Manju, 22 tahun, yang sudah berkahwin tiga tahun lalu tetapi berpisah dengan suaminya. 
Superintendan polis daerah Rajsamand yang terletak 330 kilometer dari Jaipur, Rahul Katkey berkata, “Tertuduh terganggu dengan hubungan sulit anak perempuannya lalu mengambil langkah yang melampau itu.”

Oghad keluar dari rumahnya Ahad lalu sambil memegang kepala anaknya manakala sebelah tangan lagi memegang pedang dipenuhi darah sebelum jiran memujuknya untuk menyerah diri di kampung Doongar Ji Ka Gurha yang terpencil.

Polis berkata, dalam kenyataan, Oghad berkata, dia berkali-kali merayu kepada anaknya supaya menghentikan hubungan sulitnya dan duduk di rumah, dan dia juga tidak menunjukkan tanda menyesal selepas membunuh anak perempuannya itu.

Katkey berkata, sebaik saja Oghad ditahan, dia memberitahu pegawai polis dia membunuh anaknya dalam keadaan marah kerana anaknya itu “menyebabkan dia dimalukan dalam masyarakat.” - AFP

McCain mahu Amerika serang rejim Syria

WASHINGTON: Senator John McCain sekali lagi menyeru tentera AS bertindak ke atas rejim Syria dan mendakwa tentera Bashar al-Assad semakin kerap menghantar helikopter menggempur pemberontak.
“Infantri rejim dan penembak curi kini memberi laluan kepada kereta kebal dan helikopter dalam usaha Bashar mematahkan kebangkitan pemberontak sejak 15 bulan lalu,” katanya ketika berucap di majlis kumpulan pemikir Washington, Institut American Enterprise, semalam. Menurut McCain, tentera Bashar seperti diberi arahan supaya membunuh sesiapa saja yang mereka anggap menjadi ancaman.

“Kita yakin Bashar akan terus meningkatkan keganasan dan melakukan lebih banyak pembunuhan,” katanya. - AFP

2 remaja maut ditembak tentera Israel

GAZA CITY: Serangan tentera udara Israel membunuh dua remaja Palestin di bandar Deir el-Balah, semalam.
Pegawai perubatan setempat berkata, mayat mangsa ditemui selepas ambulans tiba di tempat kejadian.

Remaja terbabit dikenali sebagai Mohammed Bassem Abu Mealiq dan Yusef al-Talbani, kedua-duanya berusia 17 tahun. Saksi berkata, mereka cuba membolosi sempadan ketika serangan berlaku.
Israel pula mengesahkan insiden itu dan menggelar mangsa sebagai “skuad pengganas yang mengendalikan bahan letupan.” Empat roket kemudian dilancarkan ke daerah Hof Ashkelon di selatan Israel.

Briged Ezzedine al-Qassam berkata, serangan dilancarkan sebagai tindak balas atas jenayah dilakukan rejim Zionis. - AFP

AS kritik campur tangan tentera

WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam menggesa tentera Mesir bertindak pantas memindahkan kuasa sepenuhnya kepada kerajaan sivil kerana kegagalan berbuat begitu mungkin mendorong Washington mengkaji semula hubungannya dengan mereka.
Jabatan Negara dan Pentagon menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pegawai kanan tentera yang mengukuhkan cengkaman mereka ke atas kuasa ketika pilihan raya presiden dilangsungkan.

Tindakan itu menimbulkan dilema kepada Rumah Putih yang menyokong revolusi rakyat Mesir tahun lalu. - Reuters

Mesir bergolak lagi

KAHERAH: Kaherah bersiap sedia untuk mengadakan protes besar-besaran dengan sokongan Ikhwanul Muslimin pertubuhan yang diwakili calon presiden didakwa memenangi pilihan raya hujung minggu lalu bagi membantah tindakan tentera memperoleh kuasa baru.
Demonstrasi itu digerakkan beberapa kumpulan yang terbabit dalam kebangkitan rakyat Mesir pada Februari 2011 dan dirancang selepas junta tentera mengambil semula kuasa perundangan ekoran keputusan mahkamah membubarkan parlimen.

Langkah itu yang dibuat melalui deklarasi berperlembagaan turut menyediakan junta tentera kuasa mengenakan veto terhadap sebarang perlembagaan baru.
Pada masa sama, kekaburan turut membayangi keputusan pilihan raya presiden walaupun Ikhwanul Muslimin mendakwa calon mereka, Mohammed Mursi Isa al-Ayyat, mengatasi pencabarnya, Ahmed Shafiq, yang juga bekas perdana menteri pilihan Hosni Mubarak.

Media melaporkan, pengiraan undi menunjukkan Mohammed Mursi mendahului 51 peratus undi berbanding Ahmed Shafiq.

Akhbar liberal, Wafd, melaporkan Ikhwanul Muslimin dan junta tentera kini bersiap sedia untuk menguasai parlimen.
Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Gabungan Belia Revolusi menganggap tindakan junta tentera itu sebagai rampasan kuasa.

“Majlis tentera dengan rampasan kuasa haram mengukuhkan diri mereka dengan kuasa yang tidak pernah ada sebelum ini.
“Ia tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf pilihan rakyat yang bercanggah dengan kemahuan mereka,” kata mereka. - AFP

Guru rogol 5 murid perempuan ditangkap

BEIJING: Pihak berkuasa di barat laut China memerintahkan guru sekolah rendah yang dikatakan melakukan serangan seks terhadap lapan murid perempuan, yang termuda berusia 10 tahun, ditangkap.
Liu Junhong, 28, dilaporkan merogol lima kanak-kanak perempuan dan berkelakuan tidak senonoh terhadap tiga lagi sejak tiga tahun lalu di sekolah di wilayah Gansu, menurut laporan China Youth Daily. 
Mangsa yang paling tua berusia 13 tahun.

Menurut laporan itu, tujuh daripada mereka adalah anak pekerja asing yang diambil bekerja jauh dari tanah air mereka.

“Ibu saya tinggal di tempat sangat jauh,” kata mangsa yang dipetik oleh akhbar itu. - AFP

Ibu lemaskan 2 anak di hotel

LIANNE diiring polis untuk dibicarakan di depan hakim di Girona, semalam.
LIANNE diiring polis untuk dibicarakan di depan hakim di Girona, semalam.

MADRID: Juri mahkamah semalam diberitahu, seorang ibu membunuh dua anaknya ketika mangsa tidur dan menghabiskan malam itu bersama mayat mereka.

Dalam hujah pembukaannya, pendakwa, Victor Pillado Quintas, berkata kira-kira jam 9 malam pada 17 Mei 2010, tertuduh berada dalam bilik 101 sebuah hotel di Costa Brava bersama dua anaknya.


“Walaupun menyedari usia muda mangsa dan sifat mereka yang tidak mampu bertindak balas, defendan mengambil kesempatan atas kepercayaan sebagai ibu dengan memangku anaknya dan memasukkan kepala mangsa ke beg dalam sebelum menjerut leher mereka,” katanya.
Foto
REBECCA dilemaskan selepas Lianne membunuh Daniel. 

 



Foto
Lianne membunuh Daniel.



Lianne Smith, 45, sebelum ini mengaku melemaskan anaknya, Rebecca Smith, lima, dan Daniel, 11 bulan, dengan beg plastik di hotel berkenaan.


Lianne dibicarakan di Mahkamah Wilayah Girona semalam bagi membolehkan juri memastikan sama ada dia bertanggungjawab secara jenayah atas kematian kedua-dua anaknya.


Peguam bela memohon Lianne dibebaskan atas alasan dia mengalami “gangguan psikiatrik” ketika kejadian di Hotel Miramar di Lloret de Mar itu.

Jika disabitkan kesalahan, Lianne boleh dipenjara 38 tahun.


Quintas berkata, Lianne tidak berhenti mengetatkan jerutan beg plastik itu sehingga yakin anaknya mati.

Selepas membunuh Daniel, kata Quintas, Lianne melakukan perbuatan sama ke atas Rebecca.


“Selepas membunuh dua kanak-kanak terbabit, tertuduh bermalam bersama mayat anaknya,” katanya.


Pembunuhan itu berlaku sejurus selepas pasangan Lianne, Martin Smith, ditahan polis Sepanyol di Barcelona yang bertindak melaksanakan waran tangkap Eropah.


Smith kemudian dihantar pulang ke Britain. Keluarga itu menetap di Sepanyol sejak 2007 selepas menarikan diri dari Lichfield di Staffordshire, apabila Smith dituduh melakukan penderaan seksual ke atas seorang budak perempuan. Menurut Quintas, pada jam 1.30 petang keesokan harinya, Lianne pergi ke lobi hotel dan meminta kakitangan di situ menghubungi polis serta ambulans.


Dia juga mengaku membunuh anaknya kepada polis. - DM

Padah tiru berita lawan

TOKYO: Ketua agensi berita Jepun, Jiji Press, akan meletak jawatan berpunca daripada kesilapan menghantar berita media lawan kepada pelanggannya. 

Masahiro Nakata berkata, beliau akan melepaskan jawatan presiden syarikat hujung bulan ini bagi memikul tanggungjawab sebagai penyelia’.
Pengumuman dibuat selepas seorang wakilnya di biro Washington menyalin dan menghantar berita dalam bahasa Jepun kepada agensi berita Kyodo News untuk tujuan rujukan ketika menulis untuk Jiji.
“Wartawan itu gagal mengubah tarikh dan berita tidak lengkap itu diberi kepada pegawai penyunting.” Satu kejadian yang sama berlaku Januari lalu. 

“Tindakan menyalin berita dari syarikat media lain tidak dapat dimaafkan. Saya minta maaf kepada Kyodo News dan syarikat media lain atas masalah yang menjejaskan kepercayaan kepada kami dan memberi masalah kepada orang lain,” katanya lagi. 

Nakata, 64, akan digantikan oleh Yutaka Nishizawa tetapi butir-butir lanjut penggantinya tidak diberi. – AFP

Alat kawal TV paling kotor di hotel

NEW YORK: Seseorang yang merancang untuk menginap di hotel kini perlu membawa cecair pencuci tangan. 

Ini berdasarkan hasil kajian penyelidik Universiti Houston mengenai tahap pencemaran atau kekotoran bilik hotel yang dibentangkan di Persatuan Mikrobiologi Amerika Syarikat, hujung minggu lalu.
Ia mendapati, alat kawalan televisyen dan suis lampu tepi katil adalah yang tempat paling kotor dalam bilik hotel.
Tahap pencemaran juga teruk di permukaan tempat yang dianggap biasanya kotor termasuk tempat duduk tandas dan sinki, menurut kajian itu. 

Lebih membimbangkan, berdasarkan kajian itu ialah tahap pencemaran tinggi juga ditemui pada troli yang dibawa pencuci bilik termasuk span dan pengelap lantai. – Reuters

Lelaki Rohingya dihukum mati

3 didapati bersalah cabul, bunuh wanita Buddha di Rakhine 

YANGON: Mahkamah Myanmar menjatuhkan hukuman mati ke atas dua lelaki kerana merogol dan membunuh seorang wanita Buddha yang menjadi pencetus keganasan kaum menyebabkan lebih 50 terbunuh dalam keganasan balas dendam, lapor media di sini semalam.
Keputusan itu dijatuhkan kelmarin di daerah Kyaukphyu di negeri Rakhine, menurut lapor Myanma Ahlin.
Tiga lelaki Rohingya ditahan selepas seorang wanita Buddha berusia 27 tahun dibunuh 28 Mei lalu. Bagaimanapun, salah seorang daripada tiga defendan menggantung diri dalam bilik penjara. 

Kes wanita berkenaan disusuli kematian 10 penduduk Islam Rohingya pada 3 Jun lalu, yang diheret dengan bus oleh samseng Buddha. 

Serangan mencetuskan keganasan hampir seminggu antara etnik Buddha dan Rohingya, yang dinafikan kerakyatan dan pengiktirafan di Myanmar sebaliknya dianggap sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh. 

Beribu-ribu rumah dibakar dan ketegangan itu meningkatkan diskriminasi dan kebencian teruk terhadap etnik Rohingya dan menguji program pembaharuan kerajaan, yang dilantik selepas hampir setengah abad diperintah tentera. 
Beberapa pemimpin sivil termasuk pelawak terkenal, Zarnagar, meluahkan kebimbangan rakyat menggunakan kebebasan yang baru ditemui itu untuk menghasut kebencian kaum, terutama menerusi media sosial. 

Kerajaan berikrar akan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan Sabtu lalu, Menteri Hal Ehwal Sempadan, Leftenan Jeneral Thein Htay mengisytiharkan sedia bertindak ke atas mereka yang tidak menghormati undang-undang. 

Hukuman mati tidak dijalankan di Myanmar sejak 1988. – AFP

Ramai warga Asia hijrah ke AS

Asia
Asia
Atasi Hispanik sebagai golongan pendatang baru terbesar di Amerika

WASHINGTON: Penduduk keturunan Asia mengatasi warga Hispanik sebagai kumpulan terbesar pendatang baru di Amerika Syarikat.
Sebahagian pakar menganggap puncanya disebabkan penurunan permintaan buruh pendatang selain tindakan pihak berkuasa negeri membanteras pendatang tanpa izin.
Pendatang tanpa izin memberi tindak balas pantas kepada keadaan ekonomi dan kemelesetan di Amerika berkemungkinan menjadi faktornya. - Jeanne Batalova, pakar demografi di Institut Dasar Pendatang, kumpulan yang menganalisis pergerakan penduduk seluruh dunia.
Pusat Penyelidikan Pew mendapati bilangan pendatang Asia bertambah 19 peratus daripada semua pendatang baru pada 2000 kepada 36 peratus pada 2010.

Kadar pendatang Hispanik pula menurun daripada 59 peratus pada 2000 kepada 31 peratus.

Sebanyak 11 peratus pendatang tanpa izin di Amerika adalah dari Asia manakala 75 peratus adalah Hispanik, menurut analisis, yang menggabungkan data kerajaan dengan tinjauan sendiri.

Hasil kajian dikeluarkan ketika perbahasan panas berhubung dasar imigresen Amerika berlangsung. 
Jumaat lalu, Presiden Barack Obama, mengumumkan beliau menolak langkah mengusir pendatang tanpa izin yang masih muda. Mahkamah Agung Amerika juga dijangka mengeluarkan keputusan bulan ini mengenai undang-undang kontroversi Arizona yang memerlukan polis memeriksa status imigresen tahanan.

Ketika aspek ekonomi menjadi isu penting kepada pengundi, pendatang tanpa izin menjadi isu panas menjelang pilihan raya November ini. 

Sebahagiannya mempersoalkan waktu pengumuman Obama itu. Perubahan dasar juga menyukarkan usaha pencabarnya dari Parti Republikan, Mitt Romney, untuk mengemukakan landasan imigresennya sendiri.

Kebanyakan perbahasan bertumpu kepada Hispanik, kumpulan paling mudah ditemui dan penduduk etnik minoriti terbesar negara itu.

Pakar berkata, tiada jawapan kepada pertanyaan mengapa pendatang Asia kini mengatasi Hispanik, tetapi kelembapan ekonomi Amerika mungkin memainkan menjadi faktor penting.

“Pendatang tanpa izin memberi tindak balas pantas kepada keadaan ekonomi dan kemelesetan di Amerika berkemungkinan menjadi faktornya,” kata pakar demografi, Jeanne Batalova, di Institut Dasar Pendatang, kumpulan yang menganalisis pergerakan penduduk seluruh dunia.

Dasar imigresen Amerika cenderung memihak kepada buruh mahir dan penuntut, sesuatu yang dimiliki pendatang dari negara Asia yang memberi tumpuan mendalam kepada pendidikan, katanya dan pakar imigresen lain.

Pakar imigresen dan profesor undang-undang di Universiti California, Gabriel Jack Chin, berkata atmosfera yang dicetuskan dengan perubahan dalam undang-undang imigresen di beberapa negeri juga mungkin menjadi faktor.

“Saya tidak fikir ada persoalan diskriminasi memberi beberapa kesan ke atas pendatang Hispanik,” kata Chin, yang meninggalkan Arizona tahun lalu kerana menentang undang-undang penahanan negeri itu.

Laporan Pew berharga kerana ia menunjukkan semua pendatang yang tiada dokumen sah tidak dibenarkan masuk bukan hanya Mexico atau Hispanik.

“Ada ramai daripadanya dari Asia dan negara lain,” katanya. 
– Reuters

Mahkamah haramkan yoga ketawa



GAMBAR pada 1 Januari 2012 menunjukkan beberapa konstabel polis melakukan yoga ketawa di Jalandhar, India.


MUMBAI - Senaman yoga dipercayai dapat mengurangkan tekanan dan mengekalkan kesihatan badan, tetapi sebuah kelab yoga di sini diarahkan menghentikan sesi senaman ketawa pada waktu pagi selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada penduduk setempat.
Mahkamah Tinggi Bombay mengarahkan polis supaya menghentikan sesi berkenaan selepas seorang warga emas berusia 78 tahun mengadu senaman ketawa itu menyebabkan dia mengalami tekanan mental, selain mengganggu penduduk di kejiranan berkenaan.
"Adalah tidak wajar untuk kumpulan senaman tersebut berhimpun di luar rumah seseorang dan ketawa berdekah-dekah," kata panel hakim selepas mendengar petisyen yang dikemukakan oleh Vinayak Shirsat yang menetap di Kurla, pinggir bandar raya ini.
Menurut petisyen berkenaan, terdapat 10 hingga 15 ahli kumpulan tersebut berkumpul pada pukul 7 pagi untuk menyanyi, bertepuk tangan dan ketawa dengan kuat.
"Mereka ketawa sekuat hati, setiap ahli kumpulan senaman itu digalakkan ketawa sekuat yang boleh," kata Shirsat dalam aduannya.
Yoga ketawa dipopularkan sebagai rutin senaman oleh seorang doktor perubatan India, Madan Kataria pada 1995. - AFP

Nasib Umar diketahui hari ini



AKSI Umar ketika sampai di mahkamah Jakarta Barat pada 21 Mei lalu. Umar amat dikehendaki oleh Amerika Syarikat (AS) dan wang ganjaran sebanyak AS$1 juta (RM3.16 juta) pernah ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya.


JAKARTA - Sebuah mahkamah Indonesia hari ini akan mengumumkan keputusan perbicaraan ke atas Umar Patek yang dituduh terlibat dalam kes pengeboman di Bali pada tahun 2002.
Keputusan tersebut akan menamatkan siasatan selama sepuluh tahun berhubung kes keganasan yang dianggap paling dahsyat di Indonesia.
Umar, 45, dituduh menghasilkan bahan letupan untuk meletupkan dua buah kelab malam di Bali yang mengorbankan 202 nyawa. Kebanyakan mangsa serangan di Bali ialah rakyat asing termasuk 88 warga Australia.
Dia turut dituduh merancang serangan ke atas gereja di Jakarta pada malam menjelang Krismas tahun 2000 yang membunuh 19 mangsa.
Umar bagaimanapun mungkin akan terlepas hukuman mati apabila pendakwa raya menuntut agar tertuduh dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana dia sudah menyesal atas perbuatannya.
Digelar 'Lelaki Pemusnah' oleh media Indonesia, Umar merupakan anggota rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI) dan menjadi suspek terakhir ditahan di negara itu untuk dibicarakan.
Dia ditangkap pada Januari tahun lalu di Abbottabad, Pakistan selepas lebih lapan tahun melarikan diri. - AFP

Pilihan raya Presiden gagal tenteramkan Mesir


SEBILANGAN aktivis Mesir melaungkan slogan menentang pemerintahan tentera di hadapan pekarangan Bangunan Parlimen di Kaherah semalam.


KAHERAH - Pilihan raya Presiden gagal meredakan kemelut politik Mesir apabila rakyat negara berkenaan bersiap sedia melancarkan bantahan besar-besaran di sini sejak semalam.
Protes tersebut yang dianjurkan oleh pertubuhan Islam paling berpengaruh di Mesir, Ikhwanul Muslimin, bertujuan membantah tindakan pemerintah tentera mengekalkan kuasa pemerintahan di Mesir.
Pihak tentera sebelum ini berjanji akan menyerahkan kuasa kepada pemerintahan awam selepas pilihan raya Presiden Mesir pada 1 Julai depan.
Terdahulu, terdapat kekalutan berhubung keputusan pusingan kedua pilihan raya Presiden Mesir yang berlangsung pada minggu lalu.
Ikhwanul Muslimin mendakwa calon mereka, Mohammed Mursi memenangi pilihan raya tersebut tetapi pesaingnya, Ahmed Shafiq yang merupakan bekas Perdana Menteri Mesir, enggan mengaku kalah.
Mendakwa tindakan Ikhwanul Muslimin itu tidak ubah seperti lanun, Syafiq sebaliknya menggesa orang ramai supaya menunggu keputusan rasmi pilihan raya berkenaan yang akan diumumkan esok.
"Kejayaan tersebut tak ubah seperti mencuri kerana diumumkan ketika keputusan rasmi belum diketahui," kata pengurus kempen politik Syafiq, Ahmed Sarhan.
Dalam perkembangan berkaitan, media rasmi Mesir pula melaporkan bahawa keputusan awal mendapati Mursi berada di hadapan.
"Selepas pengiraan undi berakhir di semua 27 wilayah di Mesir, Mursi mendahului dengan 51 peratus undi. Sementara Shafiq memperoleh 49 peratus undi," lapor akhbar pemerintah Mesir, Al-Ahram di laman webnya.
Jika keputusan rasmi memihak kepada Mursi, ini merupakan kali pertama negara paling ramai penduduk di dunia Arab itu ditadbir oleh sebuah parti Islam. - AFP