Pages

Wednesday, April 2, 2014

Jantung anak tersembul


Priyanka Pal, 24, melahirkan anaknya itu di Hospital Sultanpur, Uttar Pradesh Rabu lalu, namun terkejut dan sedih apabila mendapati bayi berkenaan lahir dengan keadaan dikenali sebagai ectopia cordis yang melihat jantungnya terkeluar daripada dada.
Bayi itu kini memerlukan pembedahan kecemasan untuk mengelak maut dalam tempoh beberapa hari ini.

Keadaan itu amat jarang berlaku malah hanya dilihat dalam lapan daripada sejuta kelahiran dengan 90 peratus bayi terbabit mati ketika dilahirkan atau dalam tempoh tiga hari pertama.
Foto
PRIYANKA bersama anaknya.

Foto
BAYI yang masih belum mempunyai nama dilahirkan dengan jantungnya di luar badan.

Namun, bayi berkenaan - yang belum diberi nama - agak ‘ajaib’ apabila setakat ini berjaya bertahan sehingga hari keenam.

Malangnya, dia masih memerlukan pembedahan di sebuah hospital swasta kerana hospital kerajaan tidak mempunyai kemudahan untuk prosedur rumit itu.

Keluarga itu terlalu miskin dan hanya bergantung kepada pendapatan suami Priyanka, Nirbhay Pal iaitu hanya sekitar 300 rupee (RM16) sehari.

Nirbhay, 30, yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, kakitangan hospital memberitahunya anaknya tidak mungkin dapat hidup lama jika tidak menjalani pembedahan itu dan memerlukan rawatan di hospital dengan kemudahan lebih moden.

“Doktor berkata kami perlu mendapatkan rawatan di hospital swasta.

“Namun, kami terlalu miskin. Nak makan dua kali sehari pun belum tentu kami mampu, apatah lagi untuk ke hospital swasta,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Banduan jadi ‘atuk’ paling muda Britain


London: Seorang banduan berusia 27 tahun yang dipenjara kerana membunuh akan menjadi datuk paling muda di Britain selepas anaknya berusia 13 tahun hamil.

Selepas menyiarkan gambar dalam Facebooknya, bapanya yang dipenjara ketika dia masih berusia dua tahun kerana menikam seorang lelaki hingga mati, mendesaknya menggugurkan kandungan itu.


Bagaimanapun, rakannya memberi kata semangat kepada gadis itu yang hamil hasil hubungan dengan seorang budak lelaki sama usia dengannya.



Namun, tak semua rakannya menyokongnya. Ada yang menyifatkan keadaannya sebagai ‘amat memalukan.


“Memalukan. Ibu saya sudah pasti membunuh saya jika saya hamil pada usia ini,” tulis rakannya itu.


Identiti bapa dan anak tidak boleh didedahkan atas alasan undang-undang, Akhbar tempatan berkata, gadis itu sudah diberhentikan dari sekolah aliran perdana untuk ditempatkan di unit khas pendidikan yang ditubuhkan khusus untuk wanita muda yang hamil.

Dia tinggal di rumah yang disediakan kerajaan bersama ibunya yang sudah mempunyai teman baru.


Datuk paling muda di Britain sebelum ini ialah Shem Davies, 29, dari Bridgend, selatan Wales selepas anaknya Tia melahirkan anak pada usia 14 tahun.

Davies ketika itu berkata: “Saya sungguh marah. Anak saya lahir ketika saya berumur 14 tahun. Dan kini, pada usia sama, dia pula akan melahirkan anak. “Saya tahu begitu sukar bagi ibu bapa remaja membesarkan anak dan kini dia pula akan melalui nasib sama,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Biar kemaluan dimakan dubuk


Chamangeni Zulu dari Malawi dimasukkan ke Hospital Besar Chipata di Zambia yang terletak berhampiran sempadan Malawi selepas dia membiarkan dubuk itu memakan kemaluannya.
Katanya, seorang bomoh menjanjikan kekayaan jika dia ‘mengorbankan’ anggota badannya.

“Saya juga menemui beberapa orang yang giat dalam perniagaan yang juga memberitahu perkara sama,” katanya kepada akhbar Times of Zambia.
Foto
ZULU dirawat di hospital.
Foto
DUBUK

Sehubungan itu, katanya, dia memasuki kawasan semak sekitar jam 4 pagi Isnin lalu.

“Saya diarahkan berbogel. Seekor dubuk datang dan mula makan jari kaki saya sebelum turut memakan kemaluan saya,” katanya.

Menurutnya, bomoh itu tidak memberikan arahan jelas, malah dia juga tidak sangka akan kehilangan anggota badan berkenaan sepenuhnya jika bersetuju melakukannya.

Namun Zulu tidak putus harapan dan masih mengimpi untuk jadi kaya.

“Walaupun kehilangan anggota badan yang penting, saya tetap ingin kaya,” katanya yang bekerja di Zambia sejak empat bulan lalu.

Menurut jurucakap Hospital Chipata, keadaannya stabil selepas dibawa untuk rawatan oleh anggota polis.

Sebelum ini pada 2012, hanya 80 kilometer dari tempat kejadian, seorang lelaki turut diserang dubuk ketika keluar membuang air di tandas yang terletak di luar rumahnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/02

Kereta kebal halimunan


PL0-01 mampu mengelirukan musuh dengan ‘menyamar’ sebagai sebuah kereta biasa dan hilang daripada dikesan sinaran inframerah. - AGENSI
WARSAW 1 April - Sebuah syarikat Poland berjaya menghasilkan sebuah prototaip kereta kebal 'halimunan' yang mampu mengelak dikesan sinaran inframerah sekali gus mampu mengelirukan musuh.
Keupayaan prototaip PL0-01 itu mampu dicapai dengan menekan plat logam heksagon dilengkapi dalam kenderaan tersebut yang boleh mengubah suhunya.
Sekiranya suhu kereta kebal itu diubah bersamaan suhu kawasan persekitarannya, kenderaan tersebut akan 'hilang' daripada sensor imej yang biasanya digunakan untuk mengesan pergerakan kenderaan di medan perang.
Sebaliknya, kereta kebal itu hanya dikesan sebagai kenderaan biasa.
Kereta kebal dibangunkan oleh firma Obrum dan BAE tersebut, berukuran tujuh meter panjang dan berat 35 tan serta boleh memuatkan tiga orang pada satu-satu masa.
Mail Online melaporkan, kelebihan itu sekali gus mengelakkannya daripada dikesan peluru berpandu inframerah dan mengelirukan tentera.
Difahamkan, idea disebalik penghasilan PL0-01 adalah bagi cuba menghapuskan imej inframerah, radar dan pengenalan visual sebuah kereta kebal tradisional.
PLO-01 dijangka dipasarkan pada tahun 2018.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140402/lu_05/Kereta-kebal-halimunan#ixzz2xgAe2cMl
© Utusan Melayu (M) Bhd