Menurut laman web odditycentral.com, potongan gaya ‘Benjamin Button Special’ itu melibatkan kaedah cukur di bahagian tengah kepala dan meninggalkan rambut di bahagian kiri dan kanan kepala menjadikan kanak-kanak itu menyerupai orang tua yang botak.
Perkhidmatan itu ditawarkan tiga kali seminggu secara percuma oleh Russell Fredrick dan pekerjanya di kedai gunting rambut miliknya di kawasan pinggir bandar di A-1 Kutz, Snellville.
Menurut Fredrick, dia menyedari gaya rambut tersebut mampu mengubah tingkah laku kanak-kanak nakal selepas memotong rambut anak lelakinya, Rushwan, 12, yang tidak mendengar tegurannya.
Dia kemudian mengiklankan perkhidmatan itu di Internet menyebabkan ramai ibu bapa lain mahu mencuba kaedah tersebut.
Fredrick juga memuat naik gambar anaknya ‘sebelum’ dan ‘selepas’ memotong rambut gaya ‘Benjamin Button Special’ bersama iklan itu.
Gambar-gambar tersebut turut tersebar di laman sosial Facebook dan Instagram.
Menurut Fredrick, dia menerima respon positif daripada ibu bapa dan menyatakan tindakan memotong rambut itu adalah hukuman yang paling sesuai kepada kanak-kanak yang mahu berlagak seperti orang dewasa.
“Tetapi ada juga ibu bapa yang berpendapat tindakan itu adalah penderaan emosi kepada kanak-kanak,” ujarnya.