Pages

Tuesday, June 26, 2012

Tunisia ekstradisi bekas PM Libya

Tunisia ekstradisi bekas PM Libya
Mahmudi (tengah) dikawal rapi anggota pengawal sebelum dihantar ke Libya.
TUNIS - Tunisia mengekstradisi bekas perdana menteri Libya, Baghdadi Al-Mahmudi ke negara asal sekali gus mencetuskan perkelahian besar di antara pemimpin tertinggi negara yang tidak tidak sepakat dengan tindakan itu, kelmarin.

Jurucakap Perdana Menteri Tunisia, Hamadi Jebali memberitahu, Mahmudi dibawa ke Tunisia sebaik sahaja berlaku pergolakan berdarah yang menyaksikan kemusnahan dan kekacauan pemberontak sehingga berjaya menawan bandar Tripoli, September lalu.

Katanya, proses penghantaran Mahmudi mencetuskan kemarahan Presiden Moncef Marzouki yang pada masa itu menghadiri majlis ulang tahun tentera negara ke-70 di selatan Tunisia.

"Presiden tidak berpuas hati dan diketepikan berikutan keputusan yang dibuat oleh ketua kerajaan untuk mengekstradisi Mahmudi serta tidak mengiktiraf keputusan itu kerana ia dibuat oleh sebelah pihak sahaja tanpa berunding dengan presiden.

"Keputusan itu ditandatangani oleh ketua kerajaan Tunisia, sekali gus menggambarkan suatu keadaan yang mencabul hubungan dengan negara antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)," menurut kenyataan bertulis daripada pejabat presiden.

Jurucakap Marzouki berkata, penentangan penghantaran pulang Mahmudi, 67, dibuat kerana mahukan diberi jaminan akan mendapat perbicaraan secara adil

Gempa bumi di China, 4 terbunuh, lebih 100 cedera

KUNMING - Sekurang-kurangnya empat penduduk terbunuh dan lebih 100 yang lain cedera selepas satu gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter menggegarkan kawasan pergunungan di barat daya China, kelmarin.

Menurut pihak berkuasa, tiga orang terbunuh di daerah Ninglang, Yunnan dan seorang lagi di daerah Yanyuan, Sichuan.

Timbalan ketua biro Seismologi Yunnan, Chen Qin berkata, gempa pertama berlaku pada jam 3.59 petang (waktu tempatan) kemudian disusuli pula dengan 53 gegaran berkekuatan 3.8 pada skala Richter.

Bencana turut memusnahkan lebih 4,280 buah kediaman dan memutuskan jalan-jalan utama, serta bekalan air seramai lebih 21,000 penduduk.

Sementara itu, pada hari yang sama di Chile, satu gempa bumi berukuran 5.8 pada skala Richter berlaku di wilayah Antofagasta tetapi tidak menyebabkan kerosakan serta kemalangan jiwa.

Turki maklum PBB Syria ancam keselamatan serantau

Turki maklum PBB Syria ancam keselamatan serantau
Turki kehilangan jet tentera F-4, seperti dalam gambar, selepas ditembak oleh Syria semalam.
ISTANBUL - Turki memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa Syria, yang menembak jatuh jet pejuangnya minggu lalu, satu ancaman serius kepada keselamatan serantau.

Bercakap selepas mesyuarat Kabinet di sini semalam, Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc berkata, tindakan Syria seolah-olah tidak akan diberi sebarang hukuman tetapi ia jelas tidak menjurus kepada tindakan ketenteraan.

Pihak pentadbiran Nato bersedia untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan mengenai insiden yang terjadi Jumaat lepas.

Damsyik menegaskan jet F-4 ditembak ke dalam ruang udara Syria manakala Turki pula berkata ia masih berada di kawasan udara antarabangsa.

Dalam surat kepada Majlis Keselamatan, Turki mengutuk perbuatan bermusuhan ini dengan pihak berkuasa Syria yang memberi impak kepada keselamatan negara Turki.

Surat tersebut turut menjelaskan yang tindakan tersebut merupakan satu ancaman serius kepada keamanan dan keselamatan rantau ini.
Turki, anggota  Nato, meminta satu mesyuarat diadakan dengan segera.

Turki dakwa Syria tembak jet kedua

Turki dakwa Syria tembak jet kedua
Jet pejuang Turki F-4 ditembak jatuh oleh Syria Jumaat lalu. - Foto EPA
ISTANBUL - Ketegangan berkaitan isu ketenteraan antara Syria dan Turki meningkat, dengan yang terbaru Istanbul mendakwa Damsyik melepaskan tembakan ke arah pesawatnya yang terlibat dalam operasi mencari jet dan dua juruterbangnya yang ditembak jatuh Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Annc berkata, sebuah pesawat yang menyertai operasi mencari dan menyelamat diserang ketika ia terbang di kawasan Mediterranean.

Perkembangan itu menambah ketegangan ketika Syria mengakui pihaknya telah melakukan kesilapan apabila menembak jet pertama Jumaat lalu.

Jet pertama itu dikendalikan oleh dua juruterbang. Sebahagian bangkai dilaporkan ditemui di kawasan Laut Mediterranean.

Nato mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan isu itu ketika Syria menjadi fokus dunia ekoran kebangkitan rakyatnya.

Laporan-laporan media Barat yang memetik diplomat berkata, hasil mesyuarat hari ini tidak akan membawa kepada sebarang tindakan ketenteraan.

Semalam, Turki memaklumkan kepada Majlis Keselamatan bahawa Syria satu ancaman kepada keselamatan serantau.

Duua puluh dua orang cedera dalam insiden letupan bom di Naratiwat

Duua puluh dua orang cedera dalam insiden letupan bom di Naratiwat: "BANGKOK 26 Jun - Dua puluh dua orang termasuk 16 anggota renjer cedera dalam satu serangan bom di Tak Bai, Narathiwat, hari ini.

Ketua Polis Tak Bai Kol Sane Jayasatit berkata, sebutir bom buatan sendiri seberat 50 kilogram meletup apabila sebuah bas yang membawa 40 anggota renjer dan sebuah lori dengan enam orang awam sedang melalui sebuah jambatan berdekatan lebuh raya di Asia 18 Narathiwat-Sungai Golok di Perawan, Tak Bai, pada kira-kira 11.40pagi.

Katanya, daripada 16 anggota renjer yang cedera, empat daripadanya adalah anggota renjer wanita.

Beliau berkata, bom itu dipasang pada sebuah motosikal yang diletakkan pada hujung jambatan itu dan diletupkan dari jauh menggunakan sebuah walkie-talkie.

"Kumpulan pemberontak Runda Kumpulan Kecil (RKK) melancarkan serangan itu sebagai tindak balas terhadap penahanan salah seorang pemimpin mereka pada 11 Jun." katanya.

Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan disyaki pemisah menggerakkan semula kempen bersenjata mereka untuk menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas.

- BERNAMA"

'via Blog this'

Situasi di Rakhine masih tegang - UNHCR

Situasi di Rakhine masih tegang - UNHCR:
Sebahagian daripada kanak-kanak Rohingya Islam yang cuba menyeberangi sungai Naf ke Bangladesh, menikmati makanan yang disediakan kakitangan Pengawal Sempadan Bangladesh di Teknaf, Bangladesh, pada 18 Jun lalu. - AFP
SITTWE 25 Jun - Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) menyatakan, situasi di negeri Rakhine, barat Myanmar masih 'tegang dan bergolak' dengan laporan-laporan keganasan baru serta bilangan pelarian yang terus meningkat akibat ketegangan etnik dan agama.
Situasi itu dinilai badan berkenaan selepas ia menempatkan semula sepasukan kakitangannya di Sittwe bagi menyertai kumpulan sebelum ini yang dihantar ke Rakhine.
Menurut pegawai terlibat, jumlah penduduk yang terjejas akibat keganasan itu terus meningkat dengan jumlah tidak rasmi baru dianggarkan hampir 90,000 orang, termasuk mereka yang hilang tempat tinggal atau terlalu takut untuk meninggalkan rumah masing-masing.
Bilangan itu juga dijangka terus meningkat dalam tempoh tiga bulan atau lebih.
UNHCR berkata, semua pelarian di Rakhine kini ditempatkan di 70 pusat perlindungan sementara termasuk di kem-kem dan biara.
"Kakitangan yang telah melawat kem-kem pelarian di Sittwe mendapati kanak-kanak, wanita dan orang tua tidur di atas tanah. Mereka sangat memerlukan alas kanvas, selimut serta kelambu.
"Kami juga bimbang tentang kemungkinan berlaku wabak penyakit ekoran kekurangan bekalan air bersih," kata seorang jurucakap UNHCR.
Sementara itu, sebuah bangunan besar di Sittwe yang digunakan untuk menempatkan pelarian Rohingya Islam, terbakar semalam, namun puncanya masih belum dikenal pasti.
Seorang wanita Buddha, Mra Tha Zin yang tinggal berhampiran tempat kejadian berkata, insiden di kawasan Maw Leik, Sittwe itu turut disusuli bunyi tembakan, sekali gus mencetuskan panik di kalangan penduduk. - AGENSI

'via Blog this'

Makam suci terbakar cetus pertempuran di Kashmir

Makam suci terbakar cetus pertempuran di Kashmir: "SRINAGAR 25 Jun - Akibat berang dengan kelewatan pihak bomba untuk memadam kebakaran sebuah makam suci di sini, sekumpulan tunjuk perasaan bertempur dengan pasukan polis, hari ini.

Makam milik ahli sufi, Hazrat Shaikh Abdula Qadir Jeelani atau lebih dikenali sebagai Peer Dastgeer Shaib dikatakan terbakar pada awal pagi ini dan punca kejadian masih disiasat.

Dalam pertempuran tersebut, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan untuk menyuraikan tunjuk perasaan.

Sekurang-kurangnya 20 individu kebanyakannya anggota polis cedera dalam pertempuran tersebut selain enam jentera bomba dan sebuah ambulans rosak.

Makam tersebut yang diperbuat sepenuhnya dari kayu musnah sama sekali dalam kejadian terbabit, lapor pegawai polis kepada stesen televisyen NDTV.

Selain itu, lampu-lampu antik dan seni ukiran kayu yang menghiasi makam tersebut turut musnah dijilat api.

Bagaimanapun, seurat rambut yang dipercayai janggut Hazrat yang disimpan dalam bilik kebal di makam tersebut terselamat daripada kebakaran.

Pertempuran yang berlaku turut menyebabkan pusat bandar Srinagar lumpuh seketika apabila polis melencongkan laluan trafik ke pinggir bandar. - AGENSI"

'via Blog this'

Ikrar Mursi untuk Mesir

Ikrar Mursi untuk Mesir:
Rakyat Mesir yang mengibarkan bendera berarak di sekitar Dataran Tahrir bagi meraikan kemenangan pemimpin Ikhwan Muslimin, Mohammed Mursi dalam pilihan raya Presiden negara ini di Kaherah, Mesir, kelmarin. - AFP
KAHERAH 25 Jun - Presiden baru Mesir, Mohammed Mursi berikrar menjadi pemimpin semua rakyat negara ini selepas diumumkan sebagai pemenang pilihan raya Presiden semalam.
Mursi berkata, beliau mahu semua rakyat Mesir bersatu padu kerana ia merupakan satu-satunya cara untuk menghadapi cabaran yang melanda negara ketika ini.
"Saya akan menjadi seorang Presiden untuk semua rakyat Mesir,'' katanya beberapa jam selepas diumumkan sebagai pemenang.
Jurutera berumur 60 tahun itu juga berikrar untuk menghormati perjanjian-perjanjian antarabangsa.
Bagaimanapun, kuasa Mursi sebagai ketua kerajaan awam dilihat akan berkurangan berikutan beberapa tindakan diambil oleh majlis pemerintah tentera selepas Parlimen dibubarkan oleh keputusan mahkamah baru-baru ini.
Pemimpin-pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengucapkan tahniah di atas kemenangannya itu.
Dalam pada itu, Mursi juga mahu memperluaskan hubungan dengan Iran bagi membentuk 'keseimbangan' strategik di rantau itu.
Agensi berita Iran, Fars melaporkan Mursi berkata, pendekatan itu merupakan satu daripada program yang akan dilaksanakan di bawah pentadbirannya.
Hubungan diplomatik antara Mesir-Iran terputus sejak lebih 30 tahun lalu, tetapi kedua-dua negara menunjukkan tanda-tanda perubahan dalam polisi sejak bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak digulingkan pada tahun lalu.
- AFP/ REUTERS

'via Blog this'

Tiga mati dibunuh di Pattani

Tiga mati dibunuh di Pattani: "BANGKOK 26 Jun - Tiga pekerja mati ditembak dalam serang hendap di Kapor, Pattani, malam tadi.

Ketua Polis Kapor, Kol. Monteri Khonwamai berkata, tiga lelaki berusia antara 17 dan 20 tahun itu ditembak menggunakan senapang M-16 oleh enam lelaki berpakaian seragam tentera.

Mereka bertiga sedang menghantar ayam ke Kampung Manandalam, Kapor, pada kira-kira 7.30 malam semasa serangan berlaku.

Kol. Monteri percaya puak pemisah bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

- BERNAMA

"

'via Blog this'

Gempa bumi melanda Fethiye

Gempa bumi melanda Fethiye: "Gempa bumi melanda Fethiye

ISTANBUL 26 Jun - Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Ritcher menggegarkan Resort Aegon Turkish di Fethiye pada 4.05 petang semalam.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Meteorologi Kandili, tiada kemalangan di laporkan dan resort tersebut masih dikunjungi pelancong termasuk dari Jerman, Britain dan juga Scandinavia.

Awal bulan lalu, 57 penduduk dilaporkan cedera selepas gempa bumi melanda Fethiye dan gegaran tersebut turut dirasai di Pulau Rhodes. - dpa"

'via Blog this'

Kemalangan: Bayi antara tiga maut

Kemalangan: Bayi antara tiga maut
Keadaan kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki tiga sekeluarga remuk dan terbakar setelah terbabit dalam kemalangan itu.
BERA - Seorang bayi berusia lapan bulan bersama ibu bapanya maut dalam satu kemalangan apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Honda Accord dari arah bertentangan. Mangsa, Mohd Solehuddin Jaabar Ismail, 28,    Nor Ashikin Ismail, 28 dan bayi itu, Ahmad Habibi yang berasal dari Felda Sebertak dikatakan dalam perjalanan pulang ke Bahau setelah menghadiri majlis perkahwinan sahabat mereka.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kemalangan itu berlaku kirakira jam 5.20 petang kelmarin di Kilometer 14, Jalan Temerloh–Bahau dekat sempadan Bera–Temerloh.

Menurutnya, kereta Honda Accord itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan hingga terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh kenderaan mangsa. “Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi (Mohd  Solehuddin Jabbar) dan anaknya mengalami kecederaan parah serta meninggal serta-merta.

“Isteri mangsa pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh berikutan me- ngalami pendarahan yang teruk,” katanya.

Mohd Solehuddin merupakan pegawai perangkaan di Jabatan Perangkaan Kuantan, sementara Nor Ashikin pula bekerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Papan sebagai pembantu tadbir.

Difahamkan, rempuhan kuat itu juga menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian enjin kereta mangsa, namun ia berjaya dikawal anggota bomba. Mohd Zahid berkata, kereta Honda Accord itu dipercayai memasuki laluan  bertentangan ketika cuba melepasi selekoh di jalan mempunyai garisan putih berkembar tersebut.

Katanya, pemandu Honda Accord itu, Chong Chun Yong, 33, turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hoshas.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu Honda Accord yang memandu laju di kawasan selekoh sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sehingga merempuh kenderaan  mangsa.

“Saksi kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah menerusi talian 09-2502222 untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen (41) (1) APJ 1987 ini,” katanya. Difahamkan, semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Sebertak, tengah malam kelmarin. 

Kemalangan: Seorang parah, tiga cedera ringan

Kemalangan: Seorang parah, tiga cedera ringan
Kenderaan yang remuk akibat kemalangan terbabit di jalan Pasir Mas-Salor, semalam.
KOTA BHARU - Tiga cedera ringan manakala seorang parah dalam kemalangan yang melibatkan kereta jenis Perodua Myvi, Satria Neo dan Proton Iswara di jalan Pasir Mas-Salor, di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi itu menyebabkan tiga kenderaan terbabit remuk selepas dipercayai salah sebuah kenderaan terbabit, cuba memotong antara satu sama lain dari arah yang sama dan dikatakan gagal  memotong kenderaan di hadapannya ketika melalui jalan terbabit.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Radhi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kirakira jam 7.53 pagi.

“Seorang lelaki yang menaiki kereta Myvi tersepit dan kami cuba sedaya upaya mengeluarkan mangsa. Dengan kekuatan lima anggota akhirnya lelaki itu berjaya diselamatkan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kaki dihantar ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.

Hamas sedia tawaran gencatan senjata

Hamas sedia tawaran gencatan senjata
Serangan udara meragut tiga nyawa rakyat Palestin.
GAZA - Pemerintah Hamas bersetuju memulakan gencatan senjata di sempadan selepas tiga rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara rejim Zionis, kelmarin.

Jurucakap Kanan Hamas, Ayman Taha berkata, jika semua pihak menghentikan keganasan dan menghormati gencatan senjata, keamanan akan kembali dan ketenangan akan disambut dengan ketenangan.

“Jika pejuang Palestin berhenti menyerang, kita juga akan berhenti menyerang namun jika serangan diteruskan kami akan bertindak balas," katanya.

Dalam kenyataan rasmi kumpulan jihad Islam berkata, gencatan senjata yang dicapai menerusi perantaraan Mesir itu di jadual berkuat kuasa mulai 1 pagi ini (7 pagi waktu Malaysia) dan berdasarkan pengalaman lalu, perjanjian gencatan senjata sebelum ini selalunya bermula dengan goyah.

Pada mesyuarat Majlis Revolusi Fatah kelmarin, Presiden Palestin, Mahmud Abbas turut mengutuk keganasan Israel terhadap penduduk di Gaza.

12 maut dalam dua letupan bom di Iraq

Berita Harian Online | 12 maut dalam dua letupan bom di Iraq: "HILLA: Lapan terbunuh manakala 32 lagi cedera apabila sebuah bom kereta meletup di selatan Baghdad, manakala letupan bom di tepi jalan di utara ibu negara itu mengorbankan empat nyawa dan tujuh cedera.

Bom kereta berkenaan meledak jam 7.45 petang waktu tempatan berdekatan sebuah padang bola sepak di selatan Baghdad, kata jurucakap tentera dan doktor di Hospital Hilla, semalam.
Kejadian letupan bom di tepi jalan pula berlaku di Kilometer 60, di Baquba, utara Baghdad.
Kejadian keganasan terbaru itu menjadikan jumlah mereka yang terkorban di Iraq sejak 13 Jun lalu meningkat kepada 171 nyawa.

Pada 13 Jun, 72 orang terbunuh manakala lebih 250 cedera dalam beberapa serangan di seluruh negara yang dikaitkan dengan perbuatan kumpulan sayap utama rangkaian al-Qaeda Iraq, Islamic State of Iraq (ISI). - AFP "

'via Blog this'

Denda minimum RM300 pandu lebih had laju

KUALA LUMPUR: Denda minimum kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan RM300, manakala had maksimum dinaikkan sehingga RM2,000 atau boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Ia adalah kenaikan sekali ganda bagi kesalahan itu apabila Subseksyen 26(2) dalam Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 dijangka diluluskan Dewan Rakyat minggu ini berbanding denda maksimum RM1,000 sekarang.
Ketika ini, tiada had denda minimum ditetapkan untuk kesalahan berkenaan. Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri pada sidang Dewan Rakyat, semalam. Ia bertujuan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu, pindaan Subseksyen 26(2) Rang Undang-undang terbabit memperuntukkan denda minimum dan maksimum yang sama bagi kesalahan memandu tanpa lesen atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali. 

Pemandu atau pejalan kaki yang mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas diberikan anggota polis atau warden lalu lintas pula boleh didenda minimum dan maksimum yang sama melalui pindaan Subseksyen 79(2) berbanding denda maksimum RM500 sekarang. 

Selain itu, Seksyen 76A yang baru diperkenalkan dalam rang undang-undang itu membenarkan pemandu membelok ke kiri di simpang lalu lintas yang ada dipasang isyarat membenarkan membelok ke kiri jika pemandu mendapati selamat untuk berbuat demikian. 
Sesiapa melanggar seksyen berkenaan boleh didenda minimum RM300 dan maksimum RM2,000. 

Rang undang-undang itu turut memasukkan takrif baru ‘basikal elektrik’ yang diistilahkan ‘sikal’ dengan bantuan kayuh dilengkapi motor elektrik sokongan yang ada kuasa berkadar berterusan maksimum 0.25kW. 

Output basikal elektrik itu berkurangan secara beransur-ansur dan akhirnya terhenti apabila kenderaan mencapai kelajuan 25km/j atau sebelumnya jika penunggang berhenti mengayuh

Mangsa ISA diugut edar gambar bogel di internet

(GMI menunjukan butir-butir penyeksaan Sami Hammd seperti yang diceritakan kepada peguam. Turut hadir ialah ibu bapa tahanan Mohamad Fadzullah [Hadijah – dua dari kiri dan Abd Razak – mendukung bayi])


KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini mendesak agar Menteri Dalam Negeri (KDN) segera memberi maklum balas atas kejadian mogok lapar tahanan ISA yang telah pun berlangsung selama enam hari.

Dalam sidang medianya, GMI menuntut agar kesemua tahanan ISA dibebaskan dengan kadar segera; Menteri Dalam Negeri diminta menjawab segera tuntutan tahanan ISA; dan menuntut jawapan segera isu penderaan tahanan ISA.

Tuntutan ini berikutan kempen bebaskan 45 tahanan yang masih berada di Kem Kamunting (Kemta) dan sehingga kini tiada tanda-tanda mereka akan dibebaskan.

Dalam sidang media ini juga, peguam Farhana Abdul Halim dan Fadiah Nadwa Fikri mendedahkan keterangan yang diberi oleh Sami Hammd, salah seorang tahanan ISA yang kini mengadakan mogok lapar.

Sami Hammd berasal dari Iraq telah ditangkap pada 21 Januari 2011. Beliau ditahan atas pertuduhan pemerdagangan manusia.

Sami disoal siasat di PRC selama 20 hari dan di Bukit Aman selama 39 hari, kemudiannya ditahan di Kemta pada 18 Mac 2011.

Dalam pertemuannya dengan peguam, Sami menceritakan penderaan fizikal dan mental yang diterimanya.
Antara bentuk penderaan fizikal yang dikenakan  termasuklah dipukul dengan paip getah, dibogelkan dan gambarnya diambil dan diugut akan disebarkan diinternet.

Badan beliau juga dibasahkan dengan air sejuk kemudian diletakkan di dalam bilik kecil yang suhunya paling rendah, dan sepanjang masa tangannya digari.

Selain itu, Sami turut ditumbuk dan ditendang oleh anggota penyiasat berulang kali, dicabut bulu dada, dicucuh puntung rokok, dipaksa memakan cili kisar beberapa lagi jenis penderaan.

Sehingga kini Sami masih tidak berganjak dan tidak mengaku akan pertuduhan yang dikenakan kepadanya.
Tahanan beliau dilanjutkan sehingga Mac 2013. Semua butiran tersebut dinyatakan dalam pertemuannya dengan peguam pada 22 Jun 2012 di bawah pengawasan Pegawai Kemta.

Dalam pada itu, Pengerusi GMI bimbang dengan nasib tahanan yang melakukan mogok lapar tersebut.

Beliau menggesa agar KDN bertindak segera sebelum berlaku kematian atau sebagainya.

Merujuk kepada isu penderaan terhadap tahanan sama ada yang masih ditahan atau pun yang telah dibebaskan.

“Kebanyakan tahanan menghadapi trauma sehingga mereka tidak tampil menceritakan kisah sebenar walaupun lebih setahun telah berlaku,” ujar Syed Ibrahim.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, Peguam yang bertemu dengan Sami Hammd iaitu Farhana dan Fadiah Nadwa serta keluarga tahanan Mohamad Fadzullah Abdul Razak.

Saudi benar atlet wanita sertai Olimpik

Dalma Rushdi Malhas
Dalma Rushdi Malhas, satu-satunya atlet yang layak buat masa sekarang.
LONDON - Arab Saudi membenarkan atlet wanitaya bersaing dalam temasya Olimpik 2012 buat julung kali.
Satu kenyataan Kedutaan Arab Saudi di London, yang dipetik BBCmenyebut bahawa Jawatankuasa Olimpik negara itu "akan meneliti penyertaan atlet wanita yang layak" menyertai Olimpik London 2012.
Keputusan itu akan mengakhiri spekulasi baru-baru ini bahawa keseluruhan delegasi Arab Saudi akan hilang kelayakan bersaing di London ekoran isu diskriminasi gender.
Penyertaan wanita dalam sukan menjadi topik perbincangan hangat dengan golongan konservatif di Arab saudi  menentang pembabitan kaum wanita.
Pegawai-pegawai Arab Saudi berkata, memandangkan temasya itu akan berlangsung dalam beberapa minggu lagi, bulan depan, satu-satunya atlet wanita yang dilihat layak ke London ialah Dalma Rushdi Malhas iaitu atlet acara lompat kuda.
Bagaimanapun katanya, kemungkinan ada atlet lain yang boleh bertanding dan jika berjaya, mereka akan dikenakan kod pakaian untuk "memelihara maruah."

Assad bentuk semula Kabinet baru Syria

Assad bentuk semula Kabinet baru Syria
Seramai 116 orang terbunuh dalam keganasan di Syria, Jumaat lalu. (Gambar kecil) Assad.
DAMSYIK - Rusuhan dan keganasan di Syria yang meragut ratusan nyawa hanya dalam tempoh seminggu, memaksa Presiden Bashar Al-Assad membentuk sebuah Kabinet baru tetapi tidak mengubah beberapa jawatan tertinggi, semalam.

Pembentukan sebuah kerajaan baru itu diumumkan Assad kurang daripada dua bulan selepas tempoh kontroversi pilihan raya parlimen yang dipulau pembangkang dengan kedudukan Menteri Luar Negeri iaitu Walid Al-Muallem, Menteri Pertahanan, Daoud Rajha dan Menteri Dalam Negeri, Mohammad Al-Shaar, dikekalkan.

Dilaporkan, jawatan yang dipegang Rajha terpaksa dikekalkan kerana Amerika Syarikat (AS) mendakwa menteri itu berperanan dalam sekatan berbahaya pemberontakan Syria.

Namun, pemimpin Majlis Kebangsaan Syria, Abdel Basset Sayda, menyifatkan tindakan Assad sebagai penuh kepura-puraan dan langsung tiada perubahan.

Dalam pada itu, Kumpulan Pemerhati Kemanusiaan Syria mendedahkan seramai 102 orang termasuk penduduk awam, dibunuh dalam keganasan yang berlaku di negara itu kelmarin, apabila kuasa-kuasa rejim sekali lagi meningkatkan serangan ke atas beberapa bandar.

Saya Presiden Mesir bagi semua, isytihar Mohammed

Saya Presiden Mesir bagi semua, isytihar Mohammed
Sebahagian penyokong dan pengikut Mohammed Morsi berhimpun di Dataran Tahrir sebaik sahaja diumumkan sebagai Presiden Mesir yang baru semalam. - Foto ihsan CNN
KAHERAH - Beberapa jam selepas diumumkan sebagai presiden baru, yang pertama dipilih secara demokratik, Mohammed Morsi berjanji akan mewakili keseluruhan rakyat Mesir.

Dalam ucapan sulungnya, yang disampaikan sekitar awal pagi tadi (waktu Malaysia), Mohammed menggesa rakyat negaranya agar mengetepikan segala perbezaan mereka dan berganding demi kepentingan bersama.

"Perpaduan nasional adalah satu-satunya cara bagi Mesir keluar daripada krisis," kata Mohammed dalam ucapan yang disampaikan menerusi televisyen.

Anggota lama Ikhwanul Muslimin ini memberi penghormatan kepada mereka yang mati syahid, yang membantu mengembangkan revolusi sehingga membawa kepada kejatuhan Hosni Mubarak, Presiden Mesir paling lama berkuasa, awal tahun lalu.

Bagi pihak kerajaan, beliau juga mengucapkan terima kasih dan kekagumannya kepada anggota tentera, polis, hakim dan lain-lain anggota kerajaan atas sumbangan mereka.

"Saya harus tabik mereka sebab mereka ada peranan dalam menentukan masa depan Mesir," kata Mohammed lagi.

Mohammed yang mengatasi bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafik dalam pusingan kedua pemilihan presiden, berjanji akan memelihara kesemua perjanjian kebangsaan dan antarabangsa - antara aspek yang menjadi perhatian masyarakat antarabangsa dan lokal.

Mohammed berjanji bahawa beliau akan melindungi hak wanita dan kanak-kanak, begitu juga komuniti Islam dan Kristian.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan sekitar 10.30 malam (waktu Malaysia) semalam, Mohammed memperoleh 52 peratus undi manakala Ahmed pula 48 peratus undi.

Keputusan itu sepatutnya diumumkan Khamis lalu tetapi hanya diketahui semalam.

Pengumuman itu membawa kepada suasana terharu dan kegembiraan tidak terhingga, disambut dengan tembakan ke udara, di Dataran Tahrir meskipun suhu ketika keputusan diumumkan adalah kira-ira 38 darjah Celsius.

Dataran Tahrir menjadi hab kepada kebangkitan rakyat awal tahun lalu, yang membawa kepada kejatuhan Hosni, yang memerintah negara itu selama 30 tahun.

Dipetik CNN, Abdul Mawgoud Dardery dari Ikhwanul Muslimin berkata, "kami telah menanti yang ini sejak 7,000 tahun lalu."

"Buat kali pertama dalam sejarah, kami ada presiden sendiri, dipilih oleh kami.

"Kuasa rakyat kini di tangan presiden dan presiden perlu bertindak dan pergi ke depan," katanya lagi.

Seorang lagi yang ditemui di Dataran Tahrir berkata, "apa yang kami gembira ialah rakyat Mesir boleh membuang saki-baki rejim lalu."

Di sebalik kegembiraan ini, beberapa penyokong Ahmed kelihatan kecewa dengan keputusan Mohammed dipilih sebagai presiden.

Manal Koshkani memberitahu CNN bahawa dia bimbang dengan hala tuju parti Islam itu akan menguasai Mesir.

"Saya berharap kami boleh melihat masa depan yang lebih baik," katanya sambil menambah, "saya ragui" ia akan berlaku.

Keputusan ini diumumkan beberapa hari selepas mahkamah mengarahkan pembubaran Parlimen atas alasan ada wakil rakyat dipilih secara tidak sah enam bulan lalu manakala Majlis Agung Angkatan Tentera (Scaf) membuat deklarasi beberapa kuasa presiden ditarik sementara Mesir juga belum ada perlembagaan.

Oleh itu seorang pemuda bernama Mohamed Saleh mengetepikan pentingnya kedudukan Mohammed sebagai presiden.

"Mohammed tidak ada kuasa, Scaf miliki kuasa," katanya lagi.

Sebaik sahaja keputusan diumumkan semalam, Mohammed melepaskan keahlian dalam Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan bagi membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin kepada keseluruhan rakyat Mesir.

"Kita semua adalah saksama dalam hak dan kita semua ada obligasi untuk dijalankan demi negara ini.

"Bagi diri saya, saya tidak ada hak, tetapi saya ada obligasi," katanya.

Mahkamah benar warga Iran diekstradi​si ke Thai

Lokasi tragedi letupan bom di Bangkok April lalu.
Lokasi tragedi letupan bom di Bangkok April lalu.
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan ekstradisi oleh kerajaan Malaysia terhadap warga Iran Sedaghatzadeh Masoud yang dikehendaki oleh kerajaan Thailand kerana dipercayai terbabit dengan kejadian letupan bom di Bangkok, Februari lepas.
Hakim S.M. Komathy Suppiah turut memerintahkan Masoud, 32, ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perintah dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri bagi penyerahan lelaki Iran itu kepada kerajaan Thailand.
Beliau berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa Masoud merupakan penjenayah buruan dan dikehendaki oleh pihak berkuasa Thailand.
Masoud, melalui peguamnya Mohd Nashir Hussin, memberitahu mahkamah bahawa dia akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.
Komathy membuat penghakiman tersebut setelah mendengar penghujahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar yang mewakili Jabatan Peguam Negara
dan Mohd Nashir.
Masoud ditahan mengikut Akta Imigresen pada jam 3.30 petang 15 Februari lepas di Terminal Penerbangan Tambah Murah (LCCT) di Sepang ketika hendak berlepas ke Iran, selepas tiba dengan penerbangan dari Bangkok pada malam sebelumnya.
Dia ditahan atas permintaan kerajaan Thailand selepas disyaki mempunyai hubungan dengan dua suspek warga Iran yang ditahan berikutan kejadian letupan bom di sebuah rumah di Bangkok.
Dalam penghujahannya, Kamal Baharin berkata, Masoud mengenali dua suspek senegaranya sebelum insiden 14 Februari itu dan dia dilihat di rumah tersebut.
Katanya, rakaman CCTV menunjukkan Masoud dan dua suspek lain meninggalkan rumah tersebut pada waktu sama berikutan letupan itu yang merosakkan rumah itu.
Sementara itu, Mohd Nashir dalam hujahannya, berkata tidak ada keterangan daripada semua afidavit dan gambar untuk menunjukkan Masoud mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan bahan letupan di rumah itu.
Beliau juga berkata tidak ada bukti menunjukkan Masoud telah bersuhabat dengan suspek untuk membuat bahan letupan dan menyerang sasaran tertentu di
Bangkok.
Pada 15 Mac lepas, Jabatan Peguam Negara mengemukakan afidavit sokongan bahawa kerajaan Thailand sudah meminta supaya perintah ekstradisi dikeluarkan terhadap Masoud menurut Perkara 7 Triti Ekstradisi antara kerajaan Great Britain dengan kerajaan Siam pada 1911 yang juga berkuatkuasa di Malaysia. - Bernama

Jeneral antara 33 anggota tentera Syria paling tadah

turki
Unit pengawal pantai Turki menyertai operasi mencari dua juruterbang dan pesawat yang ditembak jatuh oleh Syria. - Foto EPA/guardian
ISTANBUL - Sekumpulan anggota tentera Syria termasuk pegawai-pegawai kanan, antaranya mereka yang berpangkat jeneral berpaling tadah ke Turki.
Perkembangan itu muncul ketika hubungan diplomatik Syria dan Turki berhadapan dengan ketegangan selepas Damsyik didakwa menembak jatuh jet tentera Jumaat lalu.
Agensi berita Anadolumelaporkan bahawa 33 askar termasuk seorang jeneral dan dua kolonel menyeberang sempadan Syria-Turki malam tadi dan tiba di bumi Turki awal hari ini.
Mereka sebahagian daripada 224 orang yang meninggalkan Syria.
Syria menembak jatuh jet tentera Turki F-4 Jumaat lalu, sekali gus mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.
Ekoran insiden menembak jatuh pesawat itu, Turki menggesa satu mesyuarat Nato diadakan bagi membincangkan insiden itu.
Setakat ini, Turki telah menerima sekitar 30,000 orang yang lari meninggalkan Syria, sejak kebangkitan rakyat awal tahun lalu,

Presiden Mesir: Mohammed angkat sumpah 30 Jun

Presiden Mesir: Mohammed angkat sumpah 30 Jun
Lautan manusia di Dataran Tahrir sebaik sahaja keputusan rasmi diumumkan semalam. – Foto EPA
KAHERAH - Presiden Mesir yang pertama kali dipilih secara demokratik, Dr Mohammed Mursi, dijadual akan mengangkat sumpah pada 30 Jun ini meskipun had kuasa beliau masih menjadi persoalan.

Selepas diisytiharkan sebagai presiden dengan memenangi pusingan kedua pemilihan, Mohammaed berjanji akan menjadi ketua negara kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum.

Pemimpin-pemimpin dunia mengucapkan tahniah kepada wakil Ikhwanul Muslimin ini, yang mengatasi bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq.

Majlis Agung Angkatan Tentera telah mengambil alih kebanyakan kuasa presiden dan telah membubarkan parlimen.

Rakyat mesti bersatu, revolusi akan diteruskan: Mursi

KAHERAH: Presiden Mesir, Mohamed Mursi Isa al-Ayyat, berikrar menjadi pemimpin untuk seluruh rakyat negara itu selepas diumum secara rasmi memenangi pilihan raya, kelmarin.

Ketika kejayaan itu diraikan orang ramai di Dataran Tahrir, Presiden AS, Barack Obama, menghubungi Mohamed Mursi untuk mengucapkan tahniah, tetapi akhbar Israel menyatakan kebimbangan terhadap kebangkitan kumpulan Islam di Mesir.


Mohamed Mursi, 60, menyeru rakyat Mesir supaya menguatkan perpaduan sebagai “satu-satunya cara keluar daripada kesulitan” di negara itu.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada kumpulan orang awam yang “syahid” sepanjang tempoh 18 hari kebangkitan rakyat sehingga Hosni Mubarak berjaya digulingkan.


“Revolusi akan diteruskan,” katanya. Beliau turut berikrar menghormati sebarang perjanjian antarabangsa yang ditandatangani sebelum ini.


“Kita datang secara aman,” katanya.


Bekas Menteri Pertahanan Israel yang akrab dengan Hosni, Ben Eliezer, berkata Mesir kini dipimpin tokoh “yang tidak pernah menyembunyikan permusuhannya terhadap Israel.” “Kita mesti berdialog dan pada masa sama bersedia untuk perang,” katanya. - AFP

Tel Aviv harap Mesir pragmatik

BAITULMAQDIS: Israel semalam menyatakan kebimbangan mereka selepas calon Ikhwanul Muslimin, Mohamed Mursi, dipilih sebagai Presiden Mesir.
Hampir semua media menyatakan kebimbangan itu, manakala Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, mengeluarkan kenyataan berhati-hati sebagai reaksi kemenangan Mohamed Mursi. “Israel menghargai proses demokrasi di Mesir dan menghormati keputusan pilihan raya.

“Israel berharap dapat meneruskan kerjasama dengan kerajaan Mesir atas dasar perjanjian damai ditandatangani pada 1979,” katanya. Sementara itu, seorang pegawai kanan Israel berkata, kemenangan Mohamed Mursi tidak menggembirakan Israel “Kejayaan pemimpin kumpulan Islam tidak meyakinkan Israel dan kami berharap mereka bersikap pragmatik,” katanya. - AFP

Hubungan Israel dikaji semula

TEHERAN: Presiden Mesir yang berfahaman Islam, Mohamed Mursi Isa al-Ayyat, akan mengkaji semula perjanjian damai dengan Israel dan membina hubungan dengan Iran bagi “menghasilkan keseimbangan strategik” di Timur Tengah, lapor agensi berita Fars, semalam.
Mohamed Mursi berkata, turut menjadi perhatiannya ialah isu pelarian Palestin yang ingin kembali ke negara mereka selepas ditinggalkan secara paksa ekoran perang Arab - Israel pada 1948 serta Perang Enam Hari 1967.

Bagaimanapun, katanya, semua langkah itu akan diambil melalui Kabinet dan badan kerajaan.
“Saya tidak akan membuat sebarang keputusan sendirian,” katanya sejurus sebelum diumumkan sebagai pemenang pilihan raya kelmarin. Kenyataan itu pasti membimbangkan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat.

Kedudukan itu juga mungkin meningkatkan pengaruh Iran di Timur Tengah ketika hubungan Teheran dengan Barat semakin tegang. Kata Mohamed Mursi, Perjanjian Kem David yang ditandatangani pada 1979 akan dikaji semula selepas bertahan lebih tiga dekad. Mengenai hubungan dengan Iran, Mohamed Mursi berkata, beliau bersedia memperbaikinya selepas terputus setahun selepas Kaherah menandatangani Perjanjian Kem David. - AFP

Empat bangunan tinggi diiktiraf terbaik

INDAH...Menara Absolute  di Mississauga, Kanada dipilih sebagai bangunan tinggi terbaik di benua Amerika.
INDAH...Menara Absolute di Mississauga, Kanada dipilih sebagai bangunan tinggi terbaik di benua Amerika.
CANGGIH...Menara Al Bahar di Abu Dhabi diiktiraf sebagai bangunan tinggi paling inovatif di dunia.
CANGGIH...Menara Al Bahar di Abu Dhabi diiktiraf sebagai bangunan tinggi paling inovatif di dunia.
LONDON: Bangunan pencakar langit di Kanada, Qatar, Australia dan Itali dinamakan sebagai bangunan tinggi terbaik di dunia pada tahun ini oleh Majlis Bangunan Tinggi dan Penempatan Bandar (CTBUH).
Empat pemenang mewakili benua itu termasuk Menara Absolute di Mississauga, Kanada (Amerika), 1 Bligh Street, Sydney, Australia (Asia dan Australia), Palazzo Lombardia, Milan, Itali (Eropah) dan Menara Doha /BurjQatar, Doha, Qatar (Timur Tengah dan Afrika).

Menara Al Bahar di Abu Dhabi memenangi anugerah inovasi pertama CTBUH untuk projek hebat skrin pelindung mentari kawalan komputernya.
Sementara Palazzo Lombardia adalah bangunan tinggi pertama di Itali yang mendapat pengiktirafan CTBUH, 1 Bligh pula menjadi bangunan pertama di Australia yang memperoleh penghargaan. Bilangan menara lebih tinggi daripada 200 meter disiapkan pada tahun lalu yang direkodkan adalah 88 berbanding 32 pada 2005. Sebanyak 96 lagi dijangka siap pada tahun ini.

Pemenang keseluruhan untuk “Bangunan Tinggi Terbaik di Seluruh Dunia” akan dinamakan pada majlis makan malam dan upacara Anugerah Tahunan ke-11 CTBUH di Institut Teknonogi Illinois pada 18 Oktober depan.

Anugerah Bangunan Tinggi Terbaik CTBUH adalah kajian bebas projek terbaru, diadili oleh panel eksekutif industri itu. Projek diiktiraf berdasarkan sumbangan luar biasa bagi kemajuan bangunan tinggi dan persekitaran bandar serta pencapaian mapan pada tahap terbesar.
Tahun ini Lembaga Pemegang Amanah CTBUH turut menganugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Lynn S Beedle kepada Helmut Jahn, arkitek yang dikenali dengan rekaan ringkas dan elegannya.

Majlis itu menerima 78 penyertaan dari seluruh dunia untuk anugerah Bangunan Tinggi Terbaik. Majoriti penyertaan adalah dari Asia, disusuli oleh Timur Tengah.
Bilangan penyertaan dari benua Amerika terus menurun, menunjukkan kesan kemelesetan global, baru-baru ini. Pemenang dan finalis adakan dipaparkan dalam Buku Anugerah CTBUH, yang diterbitkan bersama oleh penerbit utama dunia dan diedarkan ke seluruh dunia setiap tahun. - DM

Indonesia edar kondom percuma

JAKARTA: Menteri Kesihatan Indonesia Nafsiah Mboi mengulangi pendirian beliau bahawa kementeriannya tidak akan mengedarkan kondom percuma kepada golongan remaja dalam usaha mengelak penyebaran penyakit HIV/Aids di negara itu. 

“Kita hanya akan mengedarkan kondom di tempat tertentu seperti kawasan pelacuran, rumah urut, tempat tumpuan pelancong dan kawasan kegiatan seks berisiko tinggi,” katanya ketika bercakap pada mesyuarat dengan anggota Suruhajaya Dewan Perwakilan lX yang meminta penjelasan kenyataan beliau mahu mengedarkan kondom percuma kepada remaja.
“Kami tidak akan mengedarkan kondom percuma kepada remaja,” katanya. Timbalan Speaker Dewan Perwakilan, Pramono Agung juga mengingatkan Nafsiah semalam bahawa mempromosikan penggunaan kondom dikalangan remaja hanya akan menggalakkan mereka melakukan hubungan seks bebas.

“Ada lagi banyak perkara lain yang lebih penting perlu dilakukan seperti meningkatkan perkhidmatan di hospital dan memperluaskan skim insuran kesihatan dikalangan penduduk miskin,” kata Pramono. 

Nafsiah berkata kondom percuma akan diedarkan hanya kepada golongan miskin berisiko tinggi dan menegaskan, kerajaan tidak mahu mereka dijangkitan penyakit jangkitan seksual termasuk HIV/Aids, hanya kerana mereka tidak mampu membeli kondom. Mengenai pelajar sekolah beliau berkata, apa yang penting ialah memberi pendidikan agama dan moral kepada mereka selain pengetahuan mengenai kesihatan dan reproduktif. 

Nafsiah adalah setiauasaha kepada Suruhan Jaya Pencegahan Aids Indonesia (KPA) yang menjalankan kempen penggunaan kondom bagi menghalang penyebaran penyakit Aids di negara itu sebelum beliau dilantik sebagai menteri kesihatan awal bulan ini menggantikan bekas menterinya Endang Rahayu Sedyaningsih yang meninggal akibat barah pada 2 Mei. 
Sejurus pelantikan, aktivis Barisan Pembebasan Islam (FPI) segera menuduh Nafsiah sebagai seorang menteri liberal yang lucah.Nafsiah memberi reaksi balas melalui YouTube yang dikirimkannya pada 19 Jun dengan menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan tidak akan mengedarkan kondom percuma kepada remaja, sebaliknya kempen yang dijalankan cuma menggalakkan mereka menggunakan kondom jika melakukan hubungan seks. 

“Kita mengetahui ada kumpulan yang terbabit dengan hubungan seks berisiko. Mereka perlu diberi khidmat nasihat untuk menukar cara hidup, namun jika mereka meneruskannya kita hanya boleh menasihatkan agar mereka menggunakan kondom. Jika berdegil, mereka mungkin terbabit dengan kehamilan tidak dikehendaki, dijangkiti HIV dan penyakit jangkitan seksual lain,” katanya. – Agensi

Pegawai tentera Syria berpaling tadah

ANKARA: Seorang panglima tentera Syria dan 38 askar lain berpaling tadah kepada Turki malam kelmarin, lapor televisyen tempatan beberapa hari selepas Syria menembak jatuh sebuah pesawat perang Turki, mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara berjiran itu. 

Turki memanggil satu mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Selasa untuk memberi maklum balas berikutan kejadian tembakan sebuah pesawat tentera dalam apa yang disifatkan sebagai satu serangan tanpa amaran di ruang udara antarabangsa.
Kabinet Turki bermesyuarat semalam untuk membincangkan serangan Jumaat lalu yang meningkatkan lagi ketegangan hubungan kedua-dua negara ketika penduduk meneruskan penentangan ke atas Presiden Bashar al-Assad.
Britain berkata ia boleh mengenakan tindakan lebih tegas pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Tindakan terbaru berpaling tadah tentera bersenjata Assad boleh menggalakkan lebih ramai berbuat demikian. Tetapi sebarang tindakan menderhaka di kalangan pegawai tinggi pasukan bersenjata sering terikat dengan Assad berikutan latar belakang fahaman Alawiyin mereka. 

“Seorang panglima tentera Syria, dua kolonel, dua mejar, seorang leftenan dan keluarga mereka semuanya 199 orang menyeberang sempadan Turki malam kelmarin,” lapor CNN Turki. 

Seramai 13 panglima Syria berada di Turki memberikan bantuan logistik kepada Tentera Pembebasan Syria, walaupun Ankara menafikan menyasarkan pemberontak. 
Akhbar Turki menyambut baik keputusan Perdana Menteri Yayyip Erdogan dalam satu artikel perjanjian diasaskan NATO yang menyediakan perbincangan segera jika ada ahli dianggap mengancam kepentingan keselamatannya. 

“Turki sudah mengambil tindakan,” kata akhbar Milliyet dan Vatan dalam tajuk utamanya di bawah bendera NATO. Akhbar Liberal Radikal pula melaporkan ‘Bukan kemalangan, satu serangan’. 

Operasi mencari pesawat dan dua juruterbang diteruskan di timur Mediterranean, berhampiran sempadan maritim kedua-dua negara. 

Namun penganalisis berkata ia bukan sesuatu yang mudah walaupun negara itu memiliki kekuatan tentera kedua terbesar dalam NATO, dengan setengah juta adalah bersenjata, memilih sekurang-kurangnya untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Syria. 
– Reuters

Presiden baru Mesir mula tugas

MOHAMED Morsi (kiri) menunggu di Ibu Pejabat Televisyen Mesir sebelum siaran langsung ke seluruh negara, semalam.

MOHAMED Morsi (kiri) menunggu di Ibu Pejabat Televisyen Mesir sebelum siaran langsung ke seluruh negara, semalam.
KAHERAH: Presiden Mesir yang baru dilantik, Mohammed Morsi berpindah ke pejabat yang pernah diduduki pemimpin yang digulingkan, Hosni Mubarak untuk memulakan rundingan mengenai pembentukan pasukannya dan sebuah kerajaan baru, kata seorang pembantu.

Morsi kelmarin, diisytiharkan pemenang pertama pilihan raya bebas presiden Mesir dalam sejarah modennya, berikutan pertandingan sengit dengan Perdana Menteri di bawah Mubarak, Ahmed Shafiq.
Kebanyakan mereka yang menyokong Morsi menganggap beliau sebagai wakil kebangkitan yang menumbangkan rejim lama dan satu peluang untuk mencabar tentera.
Kemenangan Morsi, presiden awam pertama untuk mengambil alih jawatan tertinggi negara itu adalah pencapaian terbaik bagi kumpulan Islam yang bertahan bagi lapan dekad disasarkan oleh rejim. 

Beliau berikrar akan menjadi ‘presiden untuk semua rakyat Mesir.”

Sementara itu, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah semalam mengucapkan tahniah kepada Mohamed Morsi berikutan kemenangan beliau dalam pilihan raya presiden Mesir, lapor agensi berita SPA.

“Kami menghargai pilihan ini dan berharap Tuhan akan memberikan kejayaan dan membimbing anda mengikut ajaran Islam dan berkhidmat untuk Mesir dan rakyatnya,” kata laporan yang memetik raja itu. 
Lima negara Teluk lain, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain, Oman dan Qatar turut menyambut baik kemenangan Morsi selepas pengumuman kemenangannya.

Presiden Barack Obama turut mengucapkan tahniah kepada Mesir atas kemenangan Mohamed Morsi melalui satu panggilan telefon kelmarin dan berikrar sokongan Amerika Syarikat terhadap perubahan Mesir ke arah demokrasi, kata White House.

“Beliau menekankan kepentingan untuk bekerjasama dengan Presiden Morsi yang baru dilantik atas dasar saling menghormati, berkongsi kepentingan antara Mesir dan Amerika Syarikat,” kata White House.

Obama juga menggesa Ahmed Shafiq, calon yang tewas dalam pilihan raya presiden 16-17 Jun lalu dan menggalakkan bekas perdana menteri itu meneruskan peranan dalam politik Mesir dengan menyokong proses demokrasi dan bekerja sama untuk penyatuan negara.

Bagaimanapun Israel menyatakan kebimbangan Morsi dipilih sebagai presiden Mesir, di mana media dan pegawai memberi amaran mengenai kesukaran terhadap realiti baru itu.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengeluarkan satu kenyataan berhati-hati selepas Morsi diumumkan sebagai perdana menteri yang baru dilantik secara demokrasi.

“Israel menghargai proses demokratik di Mesir dan menghormati keputusan pilihan raya presiden,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

China juga mengucapkan tahniah kepada presiden Mesir yang baru dilantik itu dengan mengatakan Beijing menghormati pilihan rakyat Mesir. – AP

Pulau buatan manusia dijual AS$6.5 juta



IMEJ yang dihasilkan komputer menunjukkan pulau buatan manusia yang akan dibina firma Orsos Island.


VIENNA - Sebuah firma Austria akan membina pulau buatan manusia yang boleh terapung tetapi tidak mempunyai enjin.
Pulau tersebut bakal dijual pada harga AS$6.5 juta (RM20.5 juta).
Menurut pengasas syarikat Orsos, Gabor Orsos berkata, pulau tersebut boleh berlabuh di mana-mana lokasi.
Beliau menyatakan ia turut boleh ditunda ke lokasi lain.
"Minat terhadap pulau itu datang dari serata dunia termasuk Australia, China dan Amerika Syarikat," katanya semalam.
Orsos yang berasal dari Hungary menyatakan pihaknya memperoleh beberapa pembeli berpotensi dari Australia pada minggu depan.
Pulau itu dilengkapi dengan panel solar dan generator berkuasa angin.
Seramai 12 orang boleh tidur termasuk kru dan keluasannya ialah 1,000 meter persegi.
Pulau pertama itu akan siap dibina dalam tempoh antara 18 bulan hingga dua tahun.
Pembinaan pulau tersebut akan dilakukan di Slovakia. - AFP

Imej kepala Balotelli di ladang gandum


HASIL kerja seni yang dihasilkan Gambarini menunjukkan imej seperti kepala Balotelli di Castagnaro kelmarin.


CASTAGNARO - Seorang artis seni, Dario Gambarini menggunakan sebuah traktor untuk menghasilkan imej seperti kepala bintang bola sepak Itali, Mario Balotelli di sebuah ladang gandum di sini kelmarin.
Menurut Gambarini, dia membuat kerja seni itu bagi memberi penghormatan untuk skuad Itali.
Imej itu berjaya disiapkan sebelum pasukan Itali menentang England dalam Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012.
- Agensi

Hidupan laut di kawasan bencana nuklear dijual



BEBERAPA paket sotong kurita dijual di sebuah pasar raya di Soma.


TOKYO - Sejumlah hidupan laut yang ditangkap di luar pantai Fukushima, timur laut Jepun mula dijual semalam selepas bencana nuklear melanda negara itu pada Mac tahun lepas.
Menurut sebuah agensi perikanan di wilayah Fukushima, hanya sotong kurita dan siput kong dibenarkan dijual kerana ia bebas daripada bahan radiaokatif.
Hidupan laut itu ditangkap pada Jumaat lalu.
Penjualan beberapa spesies ikan lain dari Fukushima masih disekat kerana bimbang tentang pencemaran radioaktif.
Kelulusan untuk jualan ikan masih samar kerana tahap radiasinya melebihi had yang ditetapkan kerajaan.
Gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada 11 Mac tahun lalu menyebabkan loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi mengalami kebocoran radioaktif.
"Saya mendapati pasar raya tempatan telah menjual (hidupan laut itu) pada pukul 3 petang," kata seorang pegawai di bahagian penjualan di agensi perikanan itu, Hirofumi Konno di bandar Soma.
Beliau berharap ketam akan dijual tidak lama lagi.
Menurutnya, sejumlah orang membeli hidupan laut tersebut bagi memberi tanda sokongan kepada nelayan tempatan. - Agensi

Indeks bursa saham Mesir naik


MOHAMMED MORSI (tiga dari kanan) duduk di dalam studio sebuah stesen televisyen di Kaherah kelmarin.


KAHERAH - Stesen televisyen pemerintah melaporkan indeks bursa saham Mesir ditutup tinggi dengan rekod kenaikan 7.5 peratus susulan deklarasi kemenangan seorang calon pro-Islam pada pilihan raya Presiden negara berkenaan.
Pihak berkuasa menghentikan dagangan di bursa Mesir selama setengah jam semalam selepas indeks EGX100 menokok lebih 5 peratus bagi mengelakkan perubahan ketara berlaku dalam pasaran.
Beberapa penganalisis berkata, kenaikan itu didorong oleh deklarasi kemenangan selepas persaingan sengit melibatkan calon pilihan pergerakan Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi dan bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq.
Ramai bimbang pengumuman keputusan pilihan raya tersebut akan mencetuskan keganasan tetapi tindak balas rakyat setakat ini adalah sambutan kemenangan Morsi oleh para penyokongnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Morsi mengadakan satu pertemuan terutup dengan pemerintah tentera, Fil Marsyal Hussein Tantawi dan Perdana Menteri, Kamal Al-Ganzouri semalam ketika beliau memulakan perbincangan bagi membentuk pentadbirannya.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas beliau berikrar untuk menjadi Presiden kepada semua rakyat Mesir.
Morsi kelmarin menjadi Presiden pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya bebas di Mesir.
Mereka dijangka berbincang mengenai upacara angkat sumpah Presiden Mesir dengan tarikh bagi majlis tersebut masih belum ditetapkan.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menyatakan bahawa Israel berharap dapat menjalin kerjasama di masa hadapan dengan pentadbiran baharu Mesir di bawah kepimpinan Morsi.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan pentadbiran baharu berdasarkan perjanjian damai antara Mesir dan Israel," kata Netanyahu kepada wartawan semasa beliau melawat Presiden Rusia, Vladimir Putin. - Agensi