Pages

Monday, July 14, 2014

Xinjiang: Pelajar diugut buang universiti jika puasa


HARAKAHDAILY | .


(Pelajar dipaksa makan oleh pensyarah sebelum masuk ke kelas)
CHINA: Pelajar Islam di Xinjiang berhadapan ugutan buang universiti atau hilang peluang kerjaya jika berpuasa dalam bulan Ramadan ini.

Sebuah universiti di Kashgar melakukan rutin memaksa pelajar makan di hadapan pensyarah mereka sebelum memulakan kelas setiap hari bagi memastikan mereka tidak berpuasa.

Jika pelajar enggan, mereka akan diusir dan dinafikan untuk menerima ijazah mahupun diploma.

Menurut seorang pelajar, kakitangan pentadbiran universiti turut memberikan air botol dan makanan kepada pelajar Islam pada siang hari.

Merka juga akan mencatat nama pelajar yang enggan mengambil pemberian tersebut.

Pihak berkuasa China sebelum ini melarang penjawat awam, guru dan pelajar berpuasa khususnya di wilayah Xinjiang.

Mereka juga telah mengarahkan restoran ditutup pada waktu malam, dan mengancam denda bagi mereka yang tidak mematuhi arahan itu.

Kerajaan China mendakwa, kempen melarang puasa ini adalah sebagai usaha menangani apa yang dianggap "perbuatan pengganas" oleh minoriti Muslim Uygur.

Ianya ekoran berlaku pertempuran di sebuah pasar di Urumqi, sebuah stesen kereta api di Kunming, dan di Dataran Tiananmen.

Bagaimanapun kumpulan hak asasi manusia melihat larangan tersebut adalah cubaan menindas dan mencabul hak beragama golongan minoriti Islam itu. - HARAKAHDAILY 14/7/2014

Catalonia bakal laksana larangan burqa

Wilayah Catalonia di Sepanyol bakal menguatkuasakan larangan pemakaian burqa.
Wilayah Catalonia di Sepanyol bakal menguatkuasakan larangan pemakaian burqa.
MADRID - SEPANYOL. Larangan memakai burqa bagi wanita Muslim di wilayah autonomi Catalonia, Sepanyol akan dikuatkuasakan susulan perintah Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) yang memutuskan perkara itu tidak melanggar undang-undang hak asasi manusia.

Memetik laporan Al -Arabiya, Menteri Dalam Negeri Catalonia, Ramon Espadaler berkata, larangan itu bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama berikutan pemakaian topi dan topeng di tempat awam juga bakal berdepan tindakan sama.

Agensi berita The Local melaporkan, Espadaler mengumumkan bahawa kerajaan akan mendapatkan pengesahan larangan tersebut selepas musim panas.

Difahamkan, ECHR membuat keputusan itu berdasarkan kes seorang wanita Islam di Perancis yang tidak dibenarkan memakai burqa di khalayak ramai kerana mengikut undang-undang baharu negara tersebut.

10 ciri-ciri anggota Al-Qassam

Al-Qassam sentiasa dekat di hati penduduk Palestin. Foto: EPA
Al-Qassam sentiasa dekat di hati penduduk Palestin. Foto: EPA
SUKAR untuk ditakrifkan sama ada Hamas dan Al-Qassam mempunyai cukup kekuatan untuk melawan rejim Zionis dalam mempertahankan bumi Gaza. Tetapi kekuatan kumpulan pejuang ini tidak boleh dipandang ringan oleh kuasa luar terutama Amerika Syarikat mahupun Rusia.

Anggota Hamas dan Fatah

Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah (Hamas) dibentuk secara rasmi pada Disember 1987 iaitu ketika kemuncak Intifada Pertama yangt berlaku selama 10 tahun.

Ada sumber mengatakan, idea penubuhannya pernah tercetus sekitar 1973 iaitu lanjutan kelahiran pejuang gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Ketika itu dikatakan ribuan mujahid sedang menghadapi kemaraan penjajah Yahudi yang ketika itu cuma merampas tanah Palestin pada 1948. Susulan dari itu, Ikhwanul menubuhkan cawangan barunya di Palestin sekali gus lahirlah HaAmas.

Ketua Hamas pertama pada 1987 ialah As-Syahid Sheikh Ahmad Yasin yang akhirnya syahid pada 22 Mac 2004. Ia kemudiannya digantikan DrAbdul Aziz Ar-Rantisi.

Beliau bagaimanapun hanya sempat berkhidmat selama sebulan apabila dibedil oleh helikopter Apache Israel pada 18 April 2004.
Jawatan itu kini dipimpin oleh Sheikh Khalid Mish’al dan Sami Abu Zuhri.

Sepanjang perjuangan menentang Israel, Hamas juga berhadapan dengan parti kebangsaan Palestin iaitu Fatah pimpinan Mahmoud Abbas. Fatah adalah lanjutan dari Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yaser Arafat.

Terdapat sumber menyatakan Fatah mendapat perlindungan dari Israel dan Amerika Syarikat. Namun, sejauh mana dakwaan itu, tiada siapa yang tahu.

Briged Al-Qassam

Al-Qassam adalah sayap ketenteraan Hamas terdiri daripada pejuang berhati waja. Mereka sentiasa bersedia menghadapi Zionis pada bila-bila masa. Bagi menyertai kumpulan ini, seseorang haruslah mempunyai ciri-ciri seperti;

1 - Mendapat izin dari ibu bapa untuk syahid.
2 - Mendapat izin dari ketua masjid di tempat tinggalnya dengan pengesahan individu itu tidak meninggalkan solat subuh berjemaah selama tiga bulan.
3 - Tidak melakukan maksiat atau menghisap rokok.
4 - Wajib mempelajari tafsir al-Quran.
5 - Wajib membaca al-Quran satu juzuk sehari.
6 - Wajib menghafaz 40 hadis Arba’in (Imam Nawawi).
7 - Puasa sunat dan bertahajud.
8 - Tahap kecerdasan tinggi.
9 - Kerap hadir di majlis pengajian ilmu.
10 - Mengamalkan zikir harian.

Datuk 48 cucu khalwat dengan isteri orang



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Julai 2014


KUALA TERENGGANU - Seorang datuk kepada 48 cucu dan empat cicit didenda RM2,400 selepas didapati bersalah atas pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Alias Salleh, 78, yang masih beristeri dan mempunyai 18 anak itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, dia yang juga seorang bekas guru dan berkahwin sebanyak 25 kali itu memilih menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati bersalah berkhalwat mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Berdasarkan pertuduhan, Alias didapati berkhalwat dengan seorang tukang cuci berstatus isteri orang, Zalina Ismail, 31, di sebuah rumah di Taman Perumahan Wakaf Tengah, di sini, kira-kira jam 5 pagi pada 10 Mei lalu.

Sebelum kejadian, Alias dan wanita terbabit yang berasal dari Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, ditahan berdua-duaan di dalam rumah berkenaan oleh sepasukan polis, yang kemudian mendapati mereka tiada sebarang hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan dibuat Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala Alias tidak diwakili peguam syarie.

Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakimannya menasihatkan warga emas itu bertaubat atas kesalahannya, apatah lagi pada usia emas seperti itu kesalahan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan.

“Dengan peringkat umur kamu ini, bukan waktu yang munasabah dan sesuai untuk kamu buat kesalahan seperti ini. Kamu nak balik menghadap ALLAH dah...hukuman yang mahkamah jatuhkan kepada kamu tidak boleh menebus kesalahan yang kamu lakukan ini. Insaf dan bertaubatlah,” katanya.

Fenomena menakjubkan bulan 'Supermoon'



REUTERS
BULAN 'Supermoon' yang boleh dilihat di sebalik kawasan perumahan di Olvera, di wilayah Cadiz, selatan Sepanyol kelmarin.


WASHINGTON - Kejadian bulan penuh atau dikenali sebagai 'Supermoon' berjaya dirakamkan kelmarin dengan bentuk dan saiz yang luar biasa, lapor Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Menerusi imej yang dirakam, kedudukan bulan itu kelihatan dekat dengan bumi dan bersaiz lebih besar serta lebih cerah daripada biasa.
Menurut NASA, kejadian 'Supermoon' akan dilihat berada lebih dekat berhampiran bumi pada 10 Ogos ini. Fenomena yang sama dijangka juga dapat disaksikan pada 9 September ini.
Bulan dan Bumi yang mempunyai jarak sejauh 356,577 kilometer kali terakhir dilihat berlakunya fenomena 'Supermoon' adalah pada tahun 1993, dengan 20 peratus lebih cerah serta 15 peratus lebih besar berbanding saiz bulan biasa. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0714&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz37OP26R75 
Hakcipta terpelihara 

Budak 5 tahun kawal jentera berat


Gambar merakamkan aksi Wang Shuhan berusia lima tahun mengendalikan jentera pengorek yang dipercayai diambil oleh ayahnya sendiri di tapak pembinaan di wilayah Hubei, tengah China, baru-baru ini. - AGENSI
BEIJING 13 Julai - Aksi seorang kanak-kanak lelaki dari China berusia lima tahun mengendalikan jentera pengorek yang tersebar dalam internet, mencetuskan kebimbangan terhadap kualiti pembinaan ba­ngunan dan jalan raya di negara ini yang sering runtuh dan rosak.
Mail Online melaporkan, dalam rakaman video itu, Whang Shuhan mengawal jentera berat itu untuk mengorek tanah dengan aksi bersahaja di satu tapak pembinaan di Whuan dekat wilayah Hubei, tengah China.
Malah ayahnya, Wang Xuebing yang dipercayai merakamkan aksi anaknya itu, menggalakkan Shuhan mengikut jejaknya mengendalikan jentera pengorek dan sering membawa anaknya itu ke tempat kerja.
"Pada usia tiga tahun, Shuhan telah mula mengemudi kenderaan tersebut selepas saya memberi pe­nerangan kepadanya tentang fungsi gear dan bahagian lain.
"Dia melihat jentera itu sebagai alat permainan yang besar dan saya juga sentiasa memantau Shuhan setiap kali dia mengendalikan jentolak tersebut sebagai langkah berhati-hati," katanya.
Tindakan Xuebing membenarkan anaknya membuat kerja pembinaan meningkatkan kebimbang­an tentang kualiti struktur yang dibina selepas kejadian tempat letak kereta bawah tanah runtuh ekoran dilanda angin kuat dan hujan lebat di bandar Yan'an, wilayah Shaanxi di barat China, baru-baru ini.
Jurutera mendakwa kuantiti air yang banyak membanjiri kawasan itu tidak mampu ditampung dengan baik, tetapi media tempatan menyalahkan mereka kerana tidak mengikut asas pembinaan dengan betul.
Dalam kejadian lain pada awal minggu ini, sebuah lagi tempat letak kereta di Chengdu, barat laut China turut runtuh selepas hujan lebat, dipercayai berpunca akibat kelemahan yang sama seperti kejadian di Yan'an.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140714/lu_09/Budak-5-tahun-kawal-jentera-berat#ixzz37OJrwSrr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bas dua tingkat Routemaster sambut ulang tahun ke-60


ORANG ramai mengambil kesempatan mengambil gambar bas paling ikonik di Britain, Routemaster sempena sambutan ulang tahun ke-60 bas dua tingkat itu yang diadakan di Taman Finsbury, London, hari ini. - AGENSI
LONDON 13 Julai - Kira-kira 130 buah bas dua tingkat, Routemaster yang merupakan lambang paling ikonik di kota London, akan terlibat dalam perarakan di ibu negara Britain ini, esok sempena sambutan ulang tahun peringatan ke-60 pembinaan bas itu.
Menurut Mail Online, majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Routemaster bertempat di Taman Finsbury itu juga memberi peluang kepada orang ramai menaiki bas berkenaan untuk bersiar-siar di sekitar bandar London.
Malah bas Routemaster yang kini berada di Scotland, Jerman dan Perancis telah dipanggil untuk menyertai konvoi tersebut bagi mengembalikan nostalgia sebagai antara sistem pengangkutan awam paling awal bertapak di Britain.
Prototaip Routemaster pertama dibangunkan antara 1947 dan 1956 dengan reka bentuk yang lebih ringkas dan jimat minyak.
Walaupun bas klasik itu tiga tan lebih ringan berbanding bas persiaran yang memuatkan 56 penumpang, tetapi Routemaster boleh membawa 64 orang penumpang pada satu-satu masa.
Kini selepas 60 tahun berlalu, kebanyakan model bas itu dicat semula tetapi ramai pemilik Routemaster mengekalkan iklan dan poster asal yang ditampal pada kenderaan tersebut.
Untuk mengembalikan suasana zaman kegemilangan Routemaster, penganjur turut memasang skrin televisyen yang menggunakan gulungan filem lama, gerai cenderahati dan gerai makanan yang berkonsepkan era klasik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140714/lu_08/Bas-dua-tingkat-Routemaster-sambut-ulang-tahun-ke-60#ixzz37OJeqY7G
© Utusan Melayu (M) Bhd