Pages

Friday, November 2, 2012

Ibu tikam dua anak 150 kali halau 'iblis'

Elzbieta Plackowska
Elzbieta Plackowska

NAPERVILLE - Seorang wanita berusia 40 tahun menikam anak lelakinya 100 kali manakala anak perempuan pula 50 kali atas alasan untuk menghalau "iblis" dalam diri kedua-dua kanak-kanak itu.
Elzbieta Plackowska dibawa ke mahkamah semalam dan dikenakan bon.
Pendakwa raya DuPae County, Robert Berlin berkata, "dia memberitahu bahawa dalam diri anak-anaknya ada iblis dan dia cuba mengeluarkan iblis keluar dari badan mereka."
Laporan nbcnews.commemetik polis berkata, Plackowska dengan kejam menikam anak lelakinya, Justin 100 kali dan Olivia Dworakowski 50 kali.
Ketika kejadian, yang berlaku Selasa lalu, wanita itu menjaga kedua-dua kanak-kanak berkenaan di rumah mereka yang terletak di Naperville, kira-kira 50 kilometer ke barat Chicago.
Dia didakwa meminta kedua-dua kanak-kanak itu melutut dan berdoa sebelum menikam mereka, lapornbcchicago.com.
Malah, dia juga didakwa memberitahu anak lelakinya bahawa dia akan pergi ke syurga.
Menurut pendakwa raya, leher kedua-dua kanak-kanak itu dikelar.
Selepas membunuh, Plackowska telah pergi ke gereja di Naperville tetapi apabila mendapati ia tutup, dia meninggalkan mesej mengatakan telah melakukan sesuatu yang buruk dan memerlukan bantuan.
Dia kemudian telah pergi ke rumah kawannya, di mana anak lelaki sulung tinggal dan memberitahu mereka dia telah dirompak.
Tribune melaporkan bahawa Plackowska memberitahu polis kononnya rumah dia telah dipecah masuk dan penjenayah terbabit melakukan pembunuhan itu.
Kemudian, menurut laporan nbcchicago.com, wanita itu memaklumkan polis bahawa dia menikam anak lelakinya untuk menyinggung suaminya yang tidak menghargai dia.
Plackowska juga berkata bahawa dia membunuh anak perempuan dan dua ekor anjingnya kerana menyaksikan pembunuhan.

Gempa bumi sederhana di Semenanjung Minahassa Indonesia

KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter melanda Semenanjung Minahassa di Indonesia pada pukul 7.37 pagi ini.
 
Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gempa itu berpusat di 150km barat laut Gorontalo, Indonesia dan 521km tenggara Semporna, Sabah.
 
Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami, kata kenyataan itu.

Sementara itu pada pukul 9.22 pagi ini, satu lagi gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter melanda Laut Flores di Indonesia.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gempa itu berpusat di 326km timur laut Bima, Indonesia dan 1,302km tenggara Sarikei, Sarawak.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. - Bernama

Ada individu, pertubuhan hasut keganasan: Yangon

PELARIAN Rohingya berasak di kem pelarian Mayebon, barat daerah Rakhine Myanmar, menunggu ketibaan bantuan luar. - Foto AP
PELARIAN Rohingya berasak di kem pelarian Mayebon,
barat daerah Rakhine Myanmar, menunggu ketibaan
 bantuan luar. - Foto AP
Myanmar arah penduduk Rakhine serah senjata

Yangon: Kerajaan Myanmar ada bukti menunjukkan individu dan pertubuhan dalam serta luar negara bertanggungjawab menghasut keganasan di negeri Rakhine tanpa menamakan mereka.
Televisyen menyiarkan kenyataan pejabat Presiden Thein Sein mengatakan suspek termasuk kumpulan yang menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan kerajaan.

Keadaan ini tidak boleh dijadikan kesempatan oleh Myanmar untuk mengusir masyarakat yang tidak diterimanya," - Tomas Ojea Quintana, Penyiasat Khas PBB

Pihak berkuasa juga mengarahkan penduduk di barat Myanmar menyerahkan senjata api, pedang dan senjata lain kepada polis dalam masa tiga hari atau dikenakan tindakan undang-undang.

Sekat keganasan

Langkah itu menyusuli gesaan penyiasat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya Yangon menyekat keganasan serta tidak menggunakannya untuk mengusir masyarakat Rohingya.

Sehingga 21 hingga 30 Oktober, 89 orang maut, 136 cedera dan 32,231 lagi kehilangan tempat tinggal manakala lebih 5,000 kediaman dibakar dalam keganasan antara penduduk Buddha dan Rohingya.
Ketegangan berlarutan di barat Myanmar sejak pertempuran pertama meletus pada Jun lalu selepas seorang wanita diperkosa dan dibunuh dengan tiga lelaki Muslim dituduh bertanggungjawab.

Kira-kira 75,000 orang yang kehilangan rumah dalam kekacauan itu berada di tempat perlindungan sementara.

Di Dhaka, nelayan Bangladesh di Teluk Benggala diminta mencari kira-kira 130 orang yang hilang selepas sebuah bot membawa pelarian Rohingya dikatakan menuju Malaysia, tenggelam.

Bot itu tenggelam dekat sempadan Bangladesh dengan Myanmar dan hanya enam penumpang dilaporkan terselamat.

“Beribu-ribu nelayan keluar menangkap ikan setiap hari. Kami minta mereka mencari mangsa bot itu,” kata Panglima Pengawal Pantai, Leftenan Badruddoza, di Teknaf.

Badruddoza berkata, pihaknya belum menemui sebarang tanda sisa bot atau mayat penumpang setakat ini. - AP/AFP

China uji pesawat halimunan

Pesawat J-31 China
Pesawat J-31 China
Beijing: Pesawat halimunan China yang kedua diuji sudah melakukan penerbangan pertama semalam sekali gus memperkuat keupayaan udara di negara itu.

Pesawat J-31 adalah yang kedua ditunjukkan media China dalam masa tidak sampai dua tahun, lapor akhbar Global Times yang memetik saksi.
Gambar disiarkan online oleh peminat tentera China menunjukkan penerbangan pada paras ketinggian sederhana.


Imej pesawat serba hitam itu dibocorkan di internet pada September lalu.

Ditunjuk tahun lalu

Pesawat halimunan pertamanya, J-20, ditunjukkan awal tahun lalu tetapi hanya dijangka beroperasi pada 2018.

Selain itu, kapal pengangkut pesawat China juga mula beroperasi bulan lalu dan beberapa lagi kapal sepertinya akan dihasilkan.
J-31 dilihat lebih pantas daripada J-20 dan kelengkapan pendaratannya menyebabkan pemerhati menjangka ia akan dilancarkan dari atas kapal pengangkut pesawat, kata pemerhati tentera, Andrew Chang.

China berkata, perbelanjaan pertahanannya akan melepasi AS$100 bilion (RM300 bilion) pada 2012 bagi memenuhi keperluan 2.3 juta anggota tenteranya. - AFP

Myanmar ada bukti konflik



Seorang pelarian wanita Rohingya Islam, duduk di sebelah anaknya yang tidur di kem pelarian Owntaw, di luar Sittwe, Myanmar, semalam. - REUTERS
YANGON 1 Nov. - Kerajaan Myanmar semalam mendakwa mempunyai bukti yang mengaitkan beberapa individu dan pertubuhan yang bertanggungjawab memulakan keganasan terbaru di Rakhine pada 21 Oktober lalu.
Bagaimanapun, senarai mereka yang terlibat itu tidak didedahkan oleh kerajaan.
Stesen televisyen tempatan yang memetik kenyataan pejabat Presiden Thein Sein melaporkan, beberapa suspek yang terlibat merupakan kumpulan yang telah menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan kerajaan Myanmar.
Kenyataan tersebut melaporkan, seramai 89 orang terbunuh, 136 cedera, 32,231 orang kehilangan tempat tinggal dan lebih 5,000 buah rumah musnah dibakar dalam keganasan etnik antara penduduk Rakhine beragama Buddha dan etnik Rohingya beragama Islam dalam tempoh 21 Oktober hingga 30 Oktober lalu.
Namun tiada keganasan terbaru dilaporkan.
Rusuhan agama dan etnik di Rakhine tercetus sejak Jun lalu apabila tiga etnik Rohingya dituduh merogol dan membunuh seorang wanita Rakhine.
Kira-kira 75,000 orang yang kehilangan tempat tinggal atau melarikan diri daripada keganasan itu masih ditempatkan di kem-kem pelarian. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121102/lu_01/Myanmar-ada-bukti-konflik#ixzz2B3WSztlZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita tewaskan jerung

MARIKO menceritakan bagaimana dia menumbuk jerung yang cuba membahamnya sambil diperhatikan suaminya.
MARIKO menceritakan bagaimana dia menumbuk jerung yang cuba membahamnya sambil diperhatikan suaminya.
JERUNG harimau.
JERUNG harimau.
HAWAII: Seorang penyelam wanita terselamat daripada serangan jerung sepanjang empat meter di sini selepas menggunakan gerakan seni mempertahankan diri.
Pemegang tali pinggang hitam taekwondo, Mariko Haugen sedang berenang bersama suaminya di pantai Maui apabila mendapati dirinya berdepan dengan seekor jerung harimau.

Apabila diserang, Mariko menggunakan kemahirannya dan menumbuk hidung haiwan pemakan manusia itu.

“Keadaan tiba-tiba menjadi seperti filem Hollywood. Anda melihat rahang besar ikan itu menerkam anda. Saya tidak dapat menceritakan bagaimana takutnya saya ketika itu.

“Taekwondo yang saya pelajar membolehkan saya bersedia untuk menumbuk,” kata Mariko.

Menyedari ia berdepan dengan orang yang setanding dengannya, jerung berkenaan meninggalkan tempat itu, sekali gus membolehkan Mariko dan suami, Don berenang ke pantai.


Mariko yang berasal dari Folsom, California, tidak dibaham, tetapi memerlukan 60 hingga 70 jahitan pada tangan kirinya yang cedera kerana terkena gigi ikan itu ketika menumbuknya.

Sementara itu, Don berkata, mereka sungguh bernasib baik.

Bagaimanapun, pengalaman ngeri itu tidak akan menyebabkan dia berhenti berenang di laut.

“Saya sentiasa memberitahu anak saya, tidak ada alasan untuk takut kepada jerung kerana apa yang lebih menakutkan ialah barah payu dara. Satu daripada lapan orang menghidapnya.

“Tetapi hanya satu daripada empat juta pelancong ke Hawaii dibaham jerung. Kerana itu kita tidak perlu takut langsung,” kata Don. - DM

Gempa bumi sederhana landa Pulau Jawa



02/11/2012 3:52am

KUALA LUMPUR — Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Pulau Jawa, Indonesia pada 10.11 malam tadi.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, lokasi gempa itu terletak di 55km barat daya Bandung dan 985 km di barat daya Tebedu di Sarawak.
Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. — BERNAMA

Meteorit 300kg ditemui di barat Poland




BEBERAPA jurufoto mengambil gambar meteorit yang ditemui di Poznan, Poland kelmarin.



WARSAW - Beberapa ahli geologi Poland berjaya menemui meteorit seberat 300 kilogram (kg) yang tertanam sedalam dua meter di kawasan Rizab Meteorit Morasko, di bandar Poznan, barat Poland.
Meteorit itu adalah yang terbesar pernah ditemui di rantau Eropah Timur. Penemuannya diharap dapat memberi petunjuk baharu mengenai komposisi teras Bumi.
"Kita tahu bahawa teras Bumi terdiri daripada besi, tetapi kita tidak boleh mengkajinya. Di sini kita mempunyai meteorit dari angkasa lepas yang memiliki struktur hampir sama dengan teras bumi dan kita boleh mengkajinya," kata seorang pakar geologi, Professor Andrzej Muszynski kelmarin.
Meteorit selebar dua meter dan berbentuk kon itu ditemui oleh dua orang pemburu meteorit lewat bulan lalu.
Seorang ahli geologi Universiti Adam Mickiewicz yang mengkaji meteorit itu percaya ia terhempas ke Bumi sekitar 5,000 tahun dahulu.
Meteorit merupakan objek yang berasal dari angkasa lepas. - AFP

Pulau dilitupi debu gunung berapi 100 tahun




JEREBU melitupi dua kincir angin di puncak Gunung Pillar di Pulau Kodiak, Alaska pada 9 Oktober lalu.


JUNEAU, Alaska - Sebuah pulau di Alaska, Amerika Syarikat (AS) dilanda jerebu yang dipercayai kesan daripada debu letusan sebuah gunung berapi sekitar 100 tahun lalu.
Keadaan berjerebu itu melanda Pulau Kodiak dekat sini sejak minggu lalu.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan menyatakan, angin kencang serta kekurangan salji pada Selasa lepas menyebabkan debu gunung berapi Novarupta di Alaska yang meletus pada 1912 merebak dengan lebih meluas.
Letusan tersebut adalah yang terkuat pada abad ke-20.
Rantau Alaska di utara AS merupakan kawasan beriklim sejuk dan bersalji.
Kepulan jerebu itu kini mencecah ketinggian 1,219 meter dan meliputi keseluruhan Pulau Kodiak dengan menyebabkan amaran penerbangan dikeluarkan.
Pada Jun 1912, Novarupta meletus dan menghamburkan debu setinggi 30,480 meter ke udara yang melitupi seluruh daerah Katmai di Alaska. - AP

Udang karang unik berwarna oren hitam




GAMBAR daripada pihak Akuarium New England di Boston kelmarin menunjukkan udang karang berbelang oren hitam yang diberi nama Split.


BOSTON - Seekor udang karang unik berwarna oren dan hitam yang sinonim dengan warna hari Halloween diberikan rumah baharu di Akuarium New England di sini, Amerika Syarikat (AS).
Orang ramai terutama kanak-kanak akan memakai kostum menyeramkan pada perayaan tersebut yang dikaitkan dengan elemen hantu dan disambut pada setiap 31 Oktober di AS.
Udang betina seberat 450 gram itu yang diberi nama Split, ditangkap di perairan Lautan Atlantik dekat bandar Salem, dalam negeri Massachusetts pada minggu lalu.
"Haiwan ini memang memiliki belang oren hitam," kata seorang jurucakap pusat akuarium tersebut berhubung spesies yang jarang ditemui itu.
Bahagian kiri udang tersebut berwarna hitam, manakala warna oren terdapat di sebelah kanannya.
Mengulas mengenai keganjilan tersebut, beberapa pakar biologi marin berkata, warna pelik itu mungkin disebabkan oleh pemecahan sel semasa proses persenyawaan.
Hidupan laut itu bakal dipamer kepada orang ramai selepas tempoh kuarantin tamat.
"Dianggarkan terdapat cuma seekor udang karang seperti ini dalam setiap 50 hingga 100 juta udang karang," ujar pihak akuarium berkenaan.
Udang karang pada kebiasaannya berwarna hijau. - Agensi

Pemain pakau profesional AS menang RM26 juta




MERSON dari Laurel, Maryland memegang gelang emasnya selepas memenangi Kejuaraan Pakau Siri Dunia di Rio Hotel & Casino di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat baru-baru ini.


LOS ANGELES - Seorang pemain pakau profesional dari Amerika Syarikat (AS), Greg Merson diumum sebagai juara Kejohanan Pakau Siri Dunia semalam, kata pihak penganjur.
Merson dinobatkan sebagai juara dunia selepas menamatkan perlawanan pakau peringkat akhir selama 13 jam.
Pemuda berusia 24 tahun itu membawa pulang wang tunai berjumlah AS$8,531,853 (RM26 juta) bersama gelang emas. Siri kejohanan tersebut mengambil masa sepanjang malam melibatkan 400 orang peserta di Las Vegas.
Pada perlawanan akhir, Merson menentang dua peserta akhir iaitu Jesse Sylvia dan Jake Balsiger.
Jelas Merson, dia merancang untuk mengembara ke pusat perjudian utama China, Macau untuk bermain dalam permainan pakau yang menawarkan hadiah wang tunai tinggi dan bukannya menyertai sirkit perlawanan pakau yang memenatkan.
"Itulah yang ingin saya lakukan. Menyertai permainan pakau terbesar dunia dan tidak kehilangan semua wang saya," kata Merson yang dipetik oleh akhbar Sun Las Vegas.
Seorang lagi finalis, Sylvia memenangi wang tunai AS$5,295,149 (RM16 juta) apabila menduduki tempat kedua.
"Saya sudah cuba sedaya upaya. Adakalanya perkara tidak berlaku seperti yang kita kehendaki, tidak mengapa. Saya rasa saya telah bermain dengan baik sekali," kata Sylvia.
Balsiger, 21, yang membawa pulang wang tunai berjumlah AS$3,799,073 (RM11.2 juta) pula dikatakan sebagai pemenang termuda kejohanan tersebut setakat ini. - AFP

Usaha pulih AS lambat




SEJUMLAH rumah yang musnah dan rosak akibat taufan Sandy di Queens, New York kelmarin.


NEW YORK - Bunyi tren bawah tanah kedengaran buat kali pertama semalam dalam tempoh empat hari yang merupakan antara petanda awal bahawa bandar raya yang menjadi ikon kemodenan Amerika Syarikat (AS) itu kini semakin pulih selepas lumpuh dilanda taufan Sandy.
Namun, di kebanyakan kawasan lain di Pantai Timur AS, berjuta-juta orang kini mengalami kekurangan petrol dan diesel, selain ketiadaan bekalan elektrik.
Sekitar enam juta kediaman dan premis perniagaan di 15 buah negeri di AS masih terputus bekalan elektrik setakat kelmarin.
"Saya terpaksa bergelap dan memerlukan petrol untuk menghidupkan generator di rumah," kata seorang lelaki, Abdul Rahim Anwar di sebuah stesen petrol di Brooklyn di sini.
Ketika ini, pasukan-pasukan penyelamat masih bergelut untuk sampai ke beberapa kawasan paling teruk terjejas akibat bencana besar tersebut.
Sekurang-kurangnya 76 orang terkorban dalam malapetaka itu di AS sejak Isnin lalu dengan pihak berkuasa memberitahu, angka korban dijangka terus meningkat selepas anggota-anggota penyelamat melakukan operasi mencari mangsa dari rumah ke rumah di beberapa bandar pesisir pantai di rantau berkenaan.
Pihak berkuasa AS menyatakan, Sandy mendatangkan kerugian AS$200 juta (RM610 juta) sehari akibat kehilangan aktiviti, manakala anggaran kerugian keseluruhan mencecah AS$15 bilion (RM45.7 bilion).
Ribut berkenaan yang meliputi kawasan seluas 1,609 kilometer dan bertiup selaju 130 kilometer sejam kini bergerak ke utara menuju ke negeri Pennsylvania dan Kanada.