Pages

Tuesday, September 6, 2016

Penjual Sayur Hidap Penyakit Misteri


Diterbitkan: Selasa, 6 September 2016 10:44 AM

ISLAMABAD: Satu penyakit misteri yang dihidap oleh seorang penjual sayur di Pakistan, mencetuskan kebingungan dalam kalangan doktor yang merawatnya.

Abdul Jabbar Tunio, 39, dari Larkana Pakistan, tidak mampu bergerak atau bercakap selepas berat badannya naik secara mendadak sehingga mencecah 266 kilogram sejak dua bulan lalu.

Malah lebih memeningkan doktor, penyakit serius itu membuatkan Jabbar tidak boleh makan atau minum, tetapi berat badannya sedikit pun tidak menyusut.

Keadaan menyedihkan lelaki itu ternyata membuatkan keluarganya berasa bimbang, apatah lagi ramai doktor gagal mengenalpasti penyakit yang dialami Jabbar.

Walaupun Jabbar kini ditempatkan di unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Lepasan Pelajar Jinnah di Karachi, tetapi pakar perubatan di sana masih gagal mengetahui punca sebenar penyakit itu.

Sebelum ini, bapa kepada dua orang anak tersebut jarang mengalami masalah kesihatan dan hanya menjadi obesiti apabila mencecah usia dewasa.

Dia pernah patah kaki pada usia 18 tahun dan ahli keluarganya percaya masalah kesihatan yang dihadapi ketika ini mempunyai kaitan dengan ubat-ubatan yang diambil pada waktu itu.

Sejak berat badannya naik, Jabbar menghadapi kesukaran untuk bernafas, masalah buah pinggang dan penyakit kulit.

Dengan saiznya yang besar,  satu katil khas ditempah bagi memastikan Jabbar memandangkan kebanyakan hospital tidak mempunyai katil yang sesuai untuk menempatkan lelaki malang itu.

Profesor Rasheed Khan Durani yang merawat Jabbar, berkata, buat masa ini keadaan lelaki itu tidak stabil tetapi beliau berharap keadaannya akan pulih.

"Kami cuba memastikan pesakit ini stabil dan pulih semula selain mencari punca yang menyebabkan berat badannya bertambah sebelum menjalani rawatan lanjut," katanya kepada Express Tribune.

Satu pasukan khas perubatan turut ditubuhkan bagi mengenalpasti penyakit Jabbar, melibatkan pakar bedah, pakar buah pinggang dan pakar jantung.

Bekas pekerja hadiah RM16.3 juta kepada majikan


06 September 2016 12:12 AM
Robert Morin

Robert Morin
NEW HAMPSHIRE 5 Sept. – Tiada siapa yang menyangka seorang pustakawan yang pernah be­kerja di Universiti New Hampshire (UNH) mempunyai simpanan berjumlah AS$4 juta (RM16.3 juta) dan memutuskan untuk mendermakan semua wang itu kepada universiti berkenaan.
Robert Morin, 77 yang meninggal dunia tahun lalu merupakan seorang pustakawan yang merendah diri dan telah berwasiat sedemikian de­ngan niat untuk mem­bantu penuntut universiti itu.
Menurut laporan portal Insideedition, Morin bekerja di universiti berkenaan hampir 50 tahun dan semasa hari persaraannya dia telah mengumpul hampir AS$1 juta (RM4 juta) dalam akaun peribadinya sahaja.
“Dia tidak pernah bercuti, hanya memandu kereta buruk, menjamah makanan sejuk beku untuk makan malam dan tidak pernah membelanjakan wangnya,’’ kata Penasihat Kewangan Morin, Edward Mullen kepada portal berita Union Leader.
Baru-baru ini UNH mengumumkan hadiah daripada bekas pekerjanya itu yang jelas memberi kejutan kepada semua kakitangan.
Kata Presiden universiti itu, Mark Huddleston, Morin yang dikenali sebagai Bob telah me­nunjukkan komitmen tinggi kepada UNH dan sikap pemurahnya memberi inspirasi kepada mereka.
Morin juga telah mengagih-agihkan sumbangan itu dengan AS$100,000 (RM408,350) diberi kepada Perpustakaan Dimond iaitu tempat dia bekerja sehingga bersara pada 2014.
Sumbangan selebihnya akan dibelanjakan untuk stadium bola sepak dan pusat kerjaya mahasiswa serta alumni.
“Kami komited untuk me­nyalurkan perkhidmatan yang diperlukan bagi memastikan se­tiap penuntut mencapai kejayaan profesional dan hadiah daripada Bob akan memainkan peranan penting dalam usaha ini,’’ ujar Huddleston.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bekas-pekerja-hadiah-rm16-3-juta-kepada-majikan-1.379066#sthash.UEMy3vid.dpuf

Penduduk kampung dedah rahsia panjang umur


06 September 2016 12:12 AM

antonio Vassalo, (kiri) dan isterinya, Amina yang masing-masing

Antonio Vassalo, (kiri) dan isterinya, Amina yang masing-masing berusia 100 dan 93 tahun hanya makan makanan segar setiap hari. AFP
ROM 5 Sept. – Nikmati makanan segar, itulah resepi panjang umur penduduk sebuah kampung di Itali apabila satu daripada 10 individu di situ mampu hidup me­lebihi umur 100 tahun.
Mail Online melaporkan, perkara itu hanya diketahui oleh sekumpulan penyelidik yang membuat kajian selama enam bulan di Acciaroli, sebuah kampung kecil di pantai barat Itali, kira-kira 144 kilometer dari bandar Naples.
Di kampung itu, sebanyak 87 daripada 700 penduduknya berusia lebih 100 tahun dan menurut pakar, faktor berkenaan disumbangkan oleh amalan pemakanan sihat.
Hasilnya, sebahagian penduduk di Acciaroli didapati tidak menghidap penyakit jantung, nyanyuk dan pelbagai penya­kit lain yang dikaitkan dengan golongan tua di negara Barat.
Seorang penduduk, Antonio Vassalo, 100, berkata, warga emas di kampung tersebut mengamalkan diet Mediterranean yang berasaskan minyak zaitun, sayur, ikan dan buah segar.
“Kami hanya makan makanan yang segar,” katanya.
Isteri Vassalo, Amina, 93, pula berkata, mereka makan banyak ikan selain bergantung kepada produk tempatan yang diusahakan sendiri.
“Kami menternak arnab, ayam selain menghasilkan produk-produk tempatan seperti mi­nyak zaitun dan hanya makan apa yang kami hasilkan,” katanya.
Sementara itu, seorang pakar kardiologi dari San Diego yang mengetuai penyelidikan tersebut, Alan S. Maisel berkata, penjelasan kepada umur panjang penduduk ber­kenaan bergantung kepada beberapa faktor.
Katanya, itu termasuk penggunaan herba rosemary yang tinggi oleh penduduk kampung selain gaya hidup aktif.
“Mereka makan rosemary hampir setiap hari malah menanamnya ke­rana kita tahu herba itu mening­katkan fungsi otak,” kata­nya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-kampung-dedah-rahsia-panjang-umur-1.379073#sthash.ciFXsTOV.dpuf