Pages

Thursday, February 13, 2014

Usaha hapus etnik Islam di CAR


Libreville (Gabon): Amnesty International semalam melaporkan penghapusan etnik menyasarkan penduduk Islam sedang berlaku di Republik Afrika Tengah (CAR).

Menurutnya, pasukan pengaman antarabangsa tidak mampu menghalangnya.


Amnesty berkata, sekurang-kurangnya 200 penduduk Islam dibunuh kumpulan militia dikenali sebagai anti-Balaka yang ditubuhkan selepas rampasan kuasa oleh pemberontak Islam Seleka pada Mac 2013.

Penghapusan etnik Islam dilihat berlaku di bahagian barat Republik Afrika Tengah itu sejak awal bulan lalu.

Foto
PENDUDUK beragama Islam terpaksa melarikan diri selepas menjadi sasaran golongan anti-Balaka di utara Bangui, Republik Afrika Selatan.
Foto
SEBUAH masjid dibakar kumpulan anti-Balaka.


“Masyarakat Islam terpaksa melarikan diri dan ratusan daripada mereka yang gagal berbuat demikian dibunuh militia anti-Balaka,” kata kumpulan itu dalam satu laporan.


Menurutnya, serangan berkenaan bertujuan menghapuskan orang Islam negara itu.

Mereka dianggap ‘orang asing’ yang tidak layak berada di negara itu.

“Nampaknya usaha mereka semakin berjaya berikutan semakin ramai orang Islam dilihat melarikan diri dari negara itu,” menurut laporan berkenaan.

Sehubungan itu, Amnesty menyeru pasukan pengaman antarabangsa mengambil tindakan secepat mungkin menghapuskan penguasaan anti-Balaka terhadap rangkaian jalan raya negara berkenaan selain meletakkan tentera di pekan yang diketahui ada orang Islam.

Amnesty berharap pasukan keselamatan mendapat dana serta bantuan secukupnya bagi melaksanakan usaha itu untuk mengelak keadaan di negara berkenaan menjadi contoh buruk bagi jiran-jirannya yang turut menghadapi konflik seumpama itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

Lelaki ‘syaitan’


London: Seorang bekas pengawal keselamatan sanggup menjalani beberapa siri pembedahan kosmetik yang menyakitkan untuk menjadikannya kelihatan seperti “syaitan.”

Dengan imej lidah bercabang, gigi taring tajam dan tanduk di dahi, Diablo Delenfer, 43, yang berasal dari Kent, kini kelihatan seperti Lucifer yang menakutkan.



Delenfer yang menggelar dirinya ‘artis pengubahsuaian tubuh’ kini berusaha untuk memasang implan besi yang dilekatkan dengan skru pada tengkorak kepalanya bagi mendapatkan imej syaitan bertanduk yang lengkap.

Memandangkan ‘pengubahsuaian tubuh’ tidak dibenarkan undang-undang United Kingdom (UK), keseluruhan pembedahan itu dilakukannya tanpa bius.

Foto
DELENFER membelanjakan ribuan ringgit untuk mengubah imejnya menyerupai Lucifer - lengkap dengan tanduk.

Foto
RUPA Delenfer pada peringkat permulaan transformasinya pada tahun 2009.

“Semua pembedahan dilakukan dalam keadaan saya sedar sepenuhnya. Saya melihat jarum pembedahan menembusi badan saya dan ia sangat menyeksakan. Tetapi sebagai ‘Manusia Syaitan’ saya tidak boleh takut dengan kesakitan,” kata Delenfer.


Antara pembedahan yang dilakukan Delenfer yang nama sebenarnya Gavin Paslow ialah membelah lidahnya, memasukkan implan untuk membentuk tanduk dan membuat tatu pada mata putihnya untuk menjadikannya merah.

Walaupun ia amat menyakitkan, Delenfer tidak bercadang untuk berhenti melakukannya.

“Pengubahsuaian tubuh adalah cara hidup saya. Mungkin ia agak pelik tetapi inilah saya.

“ Saya memilih cara begini kerana perkara lain sudah banyak dilakukan di United Kingdom atau di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, saya tidak membawa fahaman syaitan, ia cuma untuk keseronokan,” kata Delenfer.

Delenfer membelanjakan lebih £10,000 (RM54,673) untuk hobinya itu dan dia mengakui proses berkenaan memerlukan belanja besar.

Kos yang tinggi itu juga perlu ditanggung pembayar cukai kerana Delenfer pernah didakwa menyelewengkan RM19,419 dengan beberapa penipuan membabitkan tuntutan faedah dan dijatuhkan hukuman melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam.

Dalam usaha merealisasikan impian melengkapkan proses itu dengan mempunyai ekor, Delenfer sudah melakukan pembedahan ke atas telinganya untuk kelihatan seperti telinga syaitan sebenar dan melukis tatu di seluruh tangan dan muka.

Dia mengaku hobinya menjejaskan hubungannya dengan masyarakat setempat.

“Ramai gadis yang tidak mahu mendekati saya.

“Saya ingin mencari seseorang yang dapat melihat lebih dari imej ini dan menerima saya dengan seadanya. Walaupun sukar, saya tidak akan berhenti mencari,” katanya.

Dia juga mengakui imejnya menjadi perhatian ramai dan mendapat reaksi berbeza.

“Saya bukan syaitan sebenar, ia hanya sekadar imej,” katanya ketika ditemui, semalam.- Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13
MYMETRO

Nelayan cekal balik kampung


Jose Salvador Alvarenga yang berkerusi roda hanya mampu menggelengkan kepala dan melambai ketika disambut puluhan wartawan serta jurugambar di lapangan terbang utama El Salvador, dua minggu selepas ditemui terdampar di pantai di Kepulauan Marshall. 
Alvarenga, 37, hanya menggumam perlahan ketika diserahkan mikrofon untuk menjawab soalan sebelum menyerahkan semula alat itu kepada Menteri Luar Jaime Miranda dan dilihat menutup matanya menggunakan tangan seterusnya dibawa keluar oleh pegawai yang hadir. 

Sementara itu Miranda menganggap kepulangan Alvarenga detik gembira bagi setiap warga El Salvador.
Foto
MIRANDA (kiri) mengatakan sesuatu kepada Alvarenga.

“Kisah pengembaraannya bukan saja satu perjalanan kerohanian, malah menunjukkan kecekalan semangat manusia untuk hidup,” katanya.

Alvarenga kemudian dibawa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum doktor membenarkannya pulang ke perkampungannya yang ditinggalkan sejak 15 tahun lalu untuk mencari rezeki di negara jiran. 

Ibu bapa dan anak perempuannya Fatima, 14, tidak hadir di lapangan terbang itu sebaliknya menunggu kepulangannya di rumah mereka di Garita Palmera yang dihiasi belon biru, daun pokok palma dan kain rentang “Selamat Pulang”. 

Bapanya Ricardo Orellana dan ibu Maria Julia Alvarenga kali terakhir menemuinya lapan tahun lalu dan selama ini menyangka dia sudah meninggal dunia. 

Sementara itu, orang ramai yang hadir termasuk kakitangan lapangan terbang menepuk tangan ketika menyambut kepulangan Alvarenga. 

Walaupun ada yang mempertikaikan kisah menakjubkan itu, ramai juga yang mempercayainya termasuk beberapa rakan nelayan yang mengakui mencarinya selepas hilang ketika menangkap ikan di pesisiran pantai Mexico pada 2012. 

Alvarenga mendakwa mengembara sejauh 12,500 kilometer dalam botnya berukuran 24 kaki dengan hanya makan ikan serta camar mentah selain minum darah penyu yang berjaya ditangkap dan air kencingnya sendiri. 

Malangnya, rakannya Ezequiel Cordoba, 24, maut selepas kira-kira empat bulan. 
Keluarganya mahu menemui Alvarenga walaupun tidak menyalahkannya atas kematian pemudai tu. 

Sementara itu, sepupunya Marisol Alvarenga, 35, menyifatkannya wira. 

“Kalau diikutkan memang mustahil untuk dia hidup, namun sepupu saya memang kuat semangat. Kalau orang lain, mungkin lain kesudahannya. 

“Kami cukup gembira dia selamat dan akan pulang kepada kami selepas sekian lama,” katanya yang menyambut sepupunya di lapangan terbang.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13