Pages

Saturday, January 21, 2012

Gempa kuat di Manggarai dan Sangihe di Indonesia

JAKARTA 21 Jan. — Gempa bumi kuat berlaku di dua tempat berasingan iaitu di daerah Manggarai Barat, Nusa Tenggara Timur dan Kepulauan Sangihe, Sulawesi Utara awal pagi ini, namun pihak berkuasa berkata kejadian itu tidak membawa ancaman tsunami.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata, gempa bumi di Manggarai yang berkekuatan 6.3 pada skala Richter berlaku pada pukul 3 pagi dengan pusat gempa terletak di dasar laut pada kedalaman 124 km di kedudukan 48 km ke Barat Daya Manggarai Barat.
Gempa bumi selama tiga saat itu telah menyebabkan penduduk menjadi panik seketika namun aktiviti kembali normal tidak lama kemudian.
Dua jam selepas kejadian di Manggarai, satu lagi gempa bumi berkekuatan 5.7 pada skala Richter berlaku di Sangihe, dengan pusat gempa juga di dasar laut, berkedalaman 10 km, di 128 km ke Barat Laut Kepulauan Sangihe.
BNPB meminta penduduk di semua kawasan yang rawan gempa supaya terus meningkatkan kesiapsiagaan terhadap ancaman gempa bumi.
Kawasan itu termasuklah bahagian barat Sumatera, selatan Jawa, Bali, Nusa Tenggara, utara Papua, sekitar Sulawesi dan Maluku. — BERNAMA

Gempa bumi 5.7 magnitud gegar timur Indonesia

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 5.7 skala Ritcher menggegarkan sebahagian timur Indonesia, awal pagi tadi, lapor Agensi Meteorologi dan Geofizik tempatan.

Agensi Penyelidikan Gelogikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa yang berlaku pada jam 5.50 pagi itu berpusat kira-kira 128 kilometer di Pulau Sangihe, utara Maluku dengan kedalaman 59 kilometer dari aras laut.
Bagaimanapun, tiada amaran tsunami atau kecederaan dilaporkan. - BERNAMA

Melayu Proto nenek moyang populasi Manusia

Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 20 Jan - Kajian dalam bidang Arkeologi dan Genetik hari ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu-Proto yang mendiami Benua Sunda merupakan nenek moyang kepada populasi manusia hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi Persidangan Asal Usul Melayu : Induknya Di Alam Melayu, Zaharah Sulaiman yang menjelaskan di dalam tayangan video bagaimana penduduk di Benua Sunda terselamat daripada letusan gunung berapi Toba, kira-kira 75,000 tahun lalu.
Menurut Zaharah, sekumpulan 10,000 yang terselamat daripada letusan terbabit berpindah dari Afrika ke Benua Sunda (Asia Tenggara)
"Mereka terselamat kerana berlindung di kawasan yang Benua Sunda yang tidak dicemari debu radioktif gunung berapi.
"Mereka merupakan asal-usul kepada perjalanan manusia moden hari ini," menurut video tersebut.
Kumpulan itu bagaimanapun, terpaksa berpindah daripada India, China, Jepun, dan Amerika Syarikat ekoran daripada pemanasan global pada 25,000 tahun lalu yang menyebabkan banjir besar yang merubah Benua Sunda menjadi kepulauan-kepualau, kecil.
Kenyataan tersebut menolak teori sebelum ini yang menyatakan Melayu berasal daripada Yunan atau "express train" yang menyatakan mereka berasal dari Taiwan yang melakukan penghijrahan.
Menyokong teori tersebut adalah Pakar Genetik daripada Oxford Genetic Anthropology, Stephen Oppenheimer yang menyatakan bukti genetik yang menunjukkan orang Melayu dan Orang Asli merupakan penduduk asal Asia Tenggara.
Ia sama ada daripada Kepulauan Indonesia mahupun Filipina, atau tanah besar Asia seperti Vietnam, Kemboja, Thailand, dan wilayah IndoChina.
Menurut kajiannya, termasuk ujian DNA terhadap masyarakat Semang, Senoi, dan kumpulan  Orang Asli lain termasuk Melayu, ia menunjukkan 44 peratus mempunyai moyang yang hidup di kawasan ini sejak sebelum 25,000 tahun lagi.
Sementara 36 peratus lagi menunjukkan moyang mereka menetap di kawasan tersebut sejak 5,000 ke 25,000 tahun, manakala hanya sejumlah 6 peratus mempunyai susur galur Taiwan yang berpindah ke sini sejak  5,000 tahun lalu.
Tambahnya, terdapat juga bukti arkeologi yang menyaksikan industry peleburan besi antara 6,500 ke 8,000 tahun lalu yang disebarkan dari Indonesia ke seluruh dunia.
Kenyataan berkenaan turut disokong oleh kajian yang dibuat oleh Saintis Universiti Sains Malaysia, Zafarina Zainuddin.
Menurut Zafarina, kajiannya menunjukkan DNA yang diambil daripada kumpulan yang hidup di kawasan yang sama mempunyai keturunan Melayu asli sekurang-kurangnya untuk tiga generasi.
"Sekiranya dia seorang lelaki daripada Machang, Kelantan dia boleh mengesan keturunannya untuk tiga generasi, dan sekiranya dia berasa was-was, kita asingkan," katanya.
Tambahnya, dia berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana mengeluarkan geran sebanyak RM1.4 juta untuk tujuan kajian tersebut, yang membuktikan masyarakat Melayu merupakan kominiti tertua di rantau ini.
Menurutnya, pencarian "Melayu berasal daripada Tanah Melayu" akan menyemarakkan kembali semangat Melayu dan seterusnya orang Melayu akan berasa bangga menjadi Melayu.
Persidangan itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

‘Kapten kapal buat silap’

MANILA: Kapten kapal pesiaran Itali yang terkandas meninggalkan kapal berkenaan ketika penumpang yang cemas berasak-asak di atas dek, kata kru kabin warga Filipina, semalam.
Bercakap selepas pulang ke Filipina, Benigno Ignacio berkata, anak kapal ditinggalkan begitu saja ketika cuba menyelamatkan penumpang selepas kapten terbabit melarikan diri. Menurut tukang masak kapal itu, kapten kapal Costa Concordia itu berusaha sedaya, tetapi dia juga mungkin tetapi turut melakukan kesilapan. “Kapten kami mungkin mencuba yang terbaik, tetapi jelas dia membuat kesilapan besar dengan meninggalkan kapal ketika kru kabin sibuk menyelamatkan nyawa penumpang,” katanya.

Pelayan kapal, Eugen Pusyo, kapten kapal, Francesco Schettino, berusaha menyelamatkan nyawa penumpang dengan memandu kapal itu ke arah pulau berhampiran selepas ia mengalami masalah.

“Bagaimanapun, dia melakukan kesilapan kerana meninggalkan kapal sebelum semua penumpang diselamatkan.

“Penumpang mula panik dan kebanyakan mereka tidak memakai jaket keselamatan.

“Keadaan di atas kapal huru-hara dan rasanya seperti adegan filem Titanic. “Kami menyelamatkan beberapa kanak-kanak ke dalam bot keselamatan,” katanya. Schettino kini diletakkan di bawah tahanan dalam rumah di Itali dan mungkin menghadapi pelbagai tuduhan bunuh.


Dia sebelum ini ditahan polis untuk disiasat.

Schettino menafikan meninggalkan kapal berkenaan, sebaliknya dia mendakwa jatuh dari kapal itu dan berenang ke arah bot keselamatan. Nahas itu menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang maut dan 21 lagi dilaporkan masih hilang. - AFP

Hamas gesa Mahmoud batal rundingan

BAITULMAQDIS: Parti Gerakan Islam Palestin, Hamas, semalam menggesa Presiden Mahmoud Abbas membatalkan rundingan damai dengan Israel ekoran penahanan dua pemimpin parti itu oleh tentera Zionis.
Tentera Israel menahan pegawai kanan Hamas yang juga ahli Parlimen Palestin, Aziz Dweik, kerana disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas dan anggota parti itu dari Baitulaham, Khaled Tafish.

Hamas berkata, Aziz ditahan di pusat imigresen dekat Ramallah. Hamas menuduh Israel cuba menggagalkan usaha Mahmoud dan pemimpin Hamas, Khaled Meshaal, untuk mengakhiri permusuhan mereka selama empat tahun dan menyatukan negara Palestin yang berpecah. Pemimpin Hamas, Ahmed Bahar, berkata penahanan Aziz oleh Israel bertujuan untuk menghalang penyatuan dan pilihan raya tahun ini.

“Apa yang berlaku memerlukan Mahmoud mengisytiharkan pembatalan rundingan di Amman bagi menghormati rakyat kita, parlimen dan pemimpin negara ini,” katanya. - AFP

Campur tangan atau perang

PARIS: Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, semalam memberi amaran sebarang campur tangan tentera asing terhadap program nuklear Iran akan mencetuskan perang dan kekacauan di seluruh Timur Tengah.
Bercakap kepada diplomat kanan di Paris, Sarkozy berkata, Perancis akan menghalang sebarang campur tangan ketenteraan tetapi menyeru sekatan lebih tegas dikenakan ke atas Teheran.

“Perancis akan melakukan apa saja untuk menghalang sebarang tindakan ketenteraan. “Campur tangan ketenteraan tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya.

Perancis adalah satu daripada suara lantang Barat menekankan supaya sekatan ekonomi dikenakan bagi memaksa Iran menghentikan program nuklearnya yang dibimbangi akan mendorong Republik Islam itu menghasilkan bom atom. Bagaimanapun, ia menentang tindakan beberapa pegawai tentera AS dan Israel agar tindakan ketenteraan diambil terhadap loji nuklear Iran. Britain dan AS telah mengukuhkan sekatan ekonomi terhadap Iran, manakala Kesatuan Eropah dijangka bertemu minggu depan bagi meluluskan langkah baru ke atas eksport minyak Iran dan sektor kewangannya. Iran menekankan program pengayaan tenaga nuklearnya direka untuk menjana tenaga elektrik kepada 

Hakim mamah makanan bercampur kencing

LONDON: Tukang masak dan staf kantin sebuah mahkamah di Britain disiasat polis selepas ada pihak tertentu menghidangkan hakim dengan makanan bercampur air kencing.
Media semalam melaporkan, pihak berkuasa menyiasat kemungkinan insiden itu dilakukan pihak tertentu yang tidak berpuas hati terhadap sistem kehakiman dan mahu membalas dendam.

Dipercayai, kesan air kencing dipercayai ditemui dalam sup, salad dan sandwic disediakan di Mahkamah Snaresbrook di London Timur.

Kakitangan keselamatan dan polis dihubungi selepas hakim dan pendakwa mengadu hidangan makan tengah hari mereka berbau tengik.

Sumber berkata, pihak berkuasa bimbang kejadian itu dilakukan kakitangan kantin mahkamah.

“Menurut hakim dan pendakwa, makanan mereka berasa semacam ketika dikunyah,” katanya.


Mahkamah itu pernah mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi, termasuk memenjarakan vokalis Culture Club, Boy George, selama 15 bulan kerana menyeksa seorang pelacur lelaki pada 2009. - TS

Ibu minta solat jenazah

NAHAS...keadaan treler yang terjunam ke dalam parit selepas gagal dikawal.
NAHAS...keadaan treler yang terjunam ke dalam parit selepas gagal dikawal.


NGERI...anggota bomba berusaha menarik keluar mayat Rosmi yang terbenam.
NGERI...anggota bomba berusaha menarik keluar
mayat Rosmi yang terbenam.

MUAR: “Dua hari lalu, ketika kami makan malam bersama, ummi meminta saya menjadi imam solat jenazahnya jika dia meninggal dunia.
“Saya anggap ia gurauan, tetapi rupa-rupanya itu pesanan terakhirnya sebelum dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Fared Shazwan Shukor, 16, anak kepada Rosmi Mahfodz, 42, yang maut dirempuh treler di Batu 17, Air Hitam di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, Rosmi dari Kampung Batu 14, sedang menghidupkan enjin motosikalnya untuk pulang selepas membeli kuih untuk sarapan pagi di sebuah gerai di tepi jalan itu apabila dia dirempuh treler terbabas.

Ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Aminah, Fared yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, ketika sedang menikmati hidangan, ibunya yang mesra dipanggil ummi tiba-tiba meluahkan hasrat mahukannya melakukan perkara berkenaan.

“Ummi terdiam dan merenung mata saya sambil berkata, ‘Angah, ummi mahu angah jadi imam sembahyang jenazah ummi nanti.

“Saya membalas permintaan berkenaan dengan senyuman. Walaupun agak pelik dengan permintaan itu, tetapi saya anggap ummi bergurau,” katanya.


Menurut pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Vokasional di Sungai Abong itu, sebelum ke sekolah pagi semalam, dia sempat bersarapan telur separuh masak yang disediakan ibunya dan bersalaman serta mencium tangan ibunya itu.

“Ketika itu ummi kelihatan ceria seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik. Seperti kebiasaan, ummi juga turut memerhatikan saya ke sekolah dari pintu rumah.

“Tidak sampai sejam kemudian, saya diberitahu pihak sekolah mengenai kemalangan itu dan pengetua menghantar saya ke tempat kejadian,” katanya.

Anak bongsu mangsa, Emer Yusoff, 7, berkata, ketika menghantarnya ke Sekolah Kebangsaan Bukit Naning, pagi semalam, ibunya berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh.

“Seperti biasa, ummi senyum setiap kali saya mencium tangannya sebelum memasuki kelas. Ummi turut berpesan supaya saya belajar rajin-rajin,” katanya.

Dalam kejadian itu, Rosmi sedang menghidupkan enjin motosikalnya selepas membeli kuih di gerai berkenaan apabila dirempuh dan diheret treler yang terbabas.

Rosmi diheret hingga terbenam ke dalam parit di belakang gerai menjual kuih berkenaan dan jenazahnya berjaya dikeluarkan kira-kira tiga jam kemudian.

Kemalangan itu turut membabitkan empat kenderaan lain, tetapi semua pemandu serta penumpangnya selamat.

Tiada bukti kukuh Mubarak bersubahat


Hosni Mubarak

KAHERAH - Peguam bela kepada bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, kelmarin mempertikaikan kebe­na­­­ran dakwaan pihak pendakwa raya bahawa anak guamnya mengarahkan pembunuhan terhadap penunjuk perasaan yang dilihat sebagai tidak berasas sebaliknya tuduhan itu dilemparkan akibat tekanan dari orang ramai.

“Kes terhadap Mubarak telah difailkan pada 24 Mei lalu, dan sehingga kini pihak pendakwa raya masih tidak menemui bukti kukuh bahawa bekas presiden tersebut bersubahat untuk mengarahkan polis menembak mati kira-kira 850 penunjuk perasaan,” menurut Farid El-Deeb.

Dalam perbicaraan pada 3 Januari lalu, peguam negara, Mostafa Suleiman menyifatkan Mubarak sebagai pemimpin yang kejam dan pada masa ini pasukan pendakwa berusaha untuk membuktikan bekas pemimpin kuku besi tersebut melakukan jenayah terancang itu.

“Mubarak seharusnya dikenakan hukuman berat atas penyalahgunaan kuasa dan kekejamannya terhadap rakyat Mesir,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Dr Yasser Abdel Kader menyatakan bekas presiden tersebut tidak akan menjalani rawatan kemoterapi selepas didakwa oleh peguamnya bahawa dia sedang menderita barah.

“Kami masih menjalankan ujian susulan untuk memastikan dia tidak menghidap penyakit berbahaya itu. Hasil pemeriksaan awal mendapati Mubarak hanya mengalami masalah lemah otot akibat pergerakan terhad,” jelasnya.

Kenyataan ringkas tersebut dikeluarkan selepas beberapa pihak mula mempersoalkan tahap kesihatan Mubarak yang terpaksa diterbangkan menggunakan helikopter dan diusung untuk masuk ke mahkamah.

Beria mahu pindah


Beria mahu pindah

KUALA TERENGGANU - “Rizal beria-ria paksa saya jual pemain cakera padat (VCD) milik saya kepada dia sebaik saja dia dapat tau Faris dipilih jadi warden, sebab dia nak bawa VCD itu sekali bila tinggal bersama Faris nanti.”

Demikian cerita, Mohd Farid Mat Isa, 27, ketika ditanya mengenai perbualan terakhir bersama Mohd Rizal Ibrahim, 30, yang maut bersama seorang lagi rakan mereka Mohd Faris Mohd Shaimi, 26, dalam satu kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tengku Mohamad berhampiran Taman Semarak di sini, petang kelmarin.
Menurutnya, tingkah laku Rizal amat menghairankannya walaupun dia tahu kedua-dua mereka memang amat rapat sejak menjadi tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini pada 2009 yang lalu.

“Rizal memang periang manakala Faris pula agak pendiam, tetapi Rizal tidak pernah begitu gembira dan bersungguh-sungguh nak ikut Faris pindah seolah-olah mereka berdua memang tidak boleh berpisah.
“Ramai yang tak tahu kerana selain rapat dan mula bekerja pada masa yang masa, Rizal dan Faris juga berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu 9 Jun yang lalu,” katanya di pekarangan rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Selain Rizal dan Faris, turut maut dalam kemalangan ngeri itu adalah pemandu serta penumpang Perodua Kancil, Mohd Zaini Abdul Razak, 43, dan Nor Azni Mat Jusoh, 21.

Dalam pada itu, Farid berkata, dia sepatutnya menemani dua rakan sekerjanya itu ke stesen bas bagi mendapatkan tiket pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina pada jam 8 malam kelmarin.

“Tapi selepas `punch card’, Rizal dan Faris keluar tanpa beritahu saya ke mana mereka pergi. Sedar-sedar, saya terima satu panggilan mengatakan mereka terlibat dalam kemalangan.

Sementara itu, Pengarah ILP Kuala Terengganu, Abdul Halim Abdul Rahman berkata, pihaknya akan me­nguruskan segala perbelanjaan bagi uru­san pengebumian kedua-dua kakitangannya itu.
“Kali terakhir saya jumpa dia (Faris) Selasa lepas untuk memaklum dia bakal menjadi warden di sini dan pihak ILP akan menyediakan kemuda­han kediaman untuknya.

“Dia (Faris) juga ada memaklumkan akan mengajak Rizal untuk tinggal bersamanya dan daripada apa yang saya tahu, Faris adalah seorang pensyarah yang begitu disenangi,” katanya.

Menurutnya, Faris adalah pensyarah di dalam bidang Mekanikal Industri manakala Rizal pula mengajar mata pelajaran Paip Sanitari (pembetungan) dan mereka berdua berpotensi untuk maju lebih jauh.

Justeru, Abdul Halim berkata, kehilangan mereka berdua amat dirasai seluruh warga ILP di sini.

Bimbang dibunuh, Salman Rushdie batal sertai festival


Salman Rushdie

NEW DELHI - Pengarang kontroversi kelahiran India Salman Rushdie menarik diri daripada menyertai Festival Kesusasteraan Jaipur minggu ini kerana bimbang menjadi mangsa pembunuhan penjenayah Mumbai.
"Saya baru saja mendapat maklumat daripada sumber perisikan di Maharashtra dan Rajasthan bahawa pembunuh upahan daripada kumpulan penjenayah Mumbai mungkin
datang ke Jaipur untuk menamatkan riwayat hidup saya," katanya yang dipetik oleh akhbar Times of India, semalam.
Festival itu, yang disifatkan terbesar seumpamanya di Asia, akan dihadiri lebih 10,000 orang, termasuk 250 pengarang dan personaliti terkemuka seperti hos televisyen terkenal Amerika Syaikat, Oprah Winfrey.
Awal bulan ini, sebuah pergerakan agama berpengaruh yang berpangkalan di India, Darul Uloom Deoband, memberi amaran akan mengadakan tunjuk perasaan terhadap Rushdie sekiranya beliau menghadiri acara itu berikutan tulisannya yang menyakiti hati umat Islam.
Para pemerhati berkata memandangkan beberapa negeri akan mengadakan pilihan raya tahun ini, kehadiran Rushdie sudah pasti mencetuskan isu politik yang
panas.
"Walaupun saya tidak mempercayai sepenuhynya kesahihan maklumat risikan itu, tapi saya rasa saya tidak bertanggung jika menghadiri juga festival itu dalam keadaan demikian, tidak bertanggungjawb kepada keluarga saya, kepada para hadirin festival itu dan kepada rakan-rakan penulis.
"Oleh itu, saya tidak akan ke Jaipur seperti yang dirancang," kata pengarang berusia 64 tahun itu yang kini menjadi warganegara Britain.
Festival lima hari itu akan berlangsung dengan kawalan keselamatan ketat di Jaipur, juga dikenali sebagai 'Pink City', di Rajasthan, mulai semalam. - Bernama

Dengkuran misteri dari langit


Langit

SHAH ALAM – Kejadian bunyi dengkuran kuat diselang-seli bunyi nyaring frekuensi radio yang berlaku di Kota Samarahan, Sarawak pada malam 11 dan 12 Januari lalu menggegarkan banyak kampung sekitar dan terus menjadi misteri hingga kini.

Salah seorang saksi, guru, Mohammad Ferdauz Jumain, 28, berasal dari Kampung Meranek menceritakan semula detik tersebut berkata, dia terjaga pada jam tiga pagi kerana gangguan bunyi misteri tersebut yang terlalu kuat.
 
Dia berkata, bunyi itu seolah-olah bunyi dengkuran dari kaki langit namun tidak mengetahui dari mana puncanya.
“Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa pun, tetapi semakin lama bunyi tersebut semakin kuat. Saya mengejutkan ibu dan ayah, kami terus tertanya-tanya bunyi apa itu. Saya juga sempat menghubungi dan menghantar SMS kepada beberapa kawan terdekat, mereka juga terdengar bunyi yang sama.
“Semakin pelik dengan bunyi itu, saya dan ayah mengambil keputusan memeriksa di luar rumah tetapi kami terkejut kerana bunyi itu dari tempat yang jauh, jiran-jiran saya yang lain pun terjaga,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Ayahnya, Jumain Abang, 69, penduduk asal Kota Samarahan menjelaskan, sepanjang hayat itulah kali pertama dia terdengar bunyi dengkuran yang amat kuat dari langit.
“Kita hanya boleh berdoa kepada ALLAH semoga segalanya selamat dan tidak berlaku apa-apa, mungkin bunyi itu boleh dijelaskan oleh mereka yang pakar,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak yang mengatakan bunyi tersebut berpunca dari kilang kelapa sawit berdekatan, Ferdauz menafikan dakwaan itu kerana bunyi enjin memproses kelapa sawit tidak mungkin didengari sehingga ke Kampung Muara Tuang yang sejauh 10 kilometer.
Katanya lagi, pada malam pertama kejadian, jiran sekeliling keluar beramai-ramai dari rumah kerana berasa amat pelik di samping perasaan yang takut dan panik.

“Pada malam kedua (12 Januari) saya dan penduduk sekitar Samarahan sudah bersedia untuk merakamkan kejadian tersebut dan Alhamdulillah kami berjaya merakamnya,” katanya.
Jurutera komputer, Mohd Adzil Yusuf, 28, yang tinggal di Desa Ilmu, kira-kira tiga kilometer dari Kampung Meranek turut mendengar bunyi tersebut namun tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya.
“Selepas kejadian malam pertama kecoh, saya mengambil keputusan untuk memeriksa sendiri kilang kelapa sawit yang dikatakan punca bunyi itu, namun saya dapati kilang itu tidak mengeluarkan bunyi apa pun,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan dan teori banyak pihak di laman-laman web yang mengatakan bunyi itu berpunca daripada program High Frequency Active Auroral Research Programme (HAARP), Ferdauz tidak menolak kemungkinan itu kerana pada malam kejadian dia sempat melihat awan di langit dalam keadaan ‘bergaris-garis’.
“Bentuk awan pada malam itu seolah seperti kesan asap kapal terbang lurus dalam pertunjukan udara tetapi banyak, jadi berdasarkan kajian saya, kemungkinan HAARP menjadi punca itu ada,” katanya.
HAARP adalah program penyelidikan berkaitan ionosfera dan dinaungi sepenuh oleh US Air Force, US Navy, University of Alaska dan Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA).
DARPA adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk membina pelbagai senjata berteknologi tinggi untuk kegunaan ketenteraan Amerika Syarikat.
HAARP berselindung dengan aktiviti penyelidikan saintifik yang kononnya menyelidik lapisan ionosfera bagi meningkatkan lagi penggunaan sistem komunikasi dan pemantauan cuaca.
Tapak penyelidikan HAARP yang berada di Gakona, Alaska menempatkan peralatan berteknologi tinggi iaitu Ionospheric Research Instrument (IRI).
IRI adalah sebuah instrumen yang menghasilkan frekuensi radio berdefinisi tinggi sekitar 2.7MHz sehingga 10MHz.
IRI mampu memancarkan frekuensi ke lapisan yang terhad untuk dicapai iaitu di lapisan Ionosfera dan menghantar kembali isyaratnya ke bumi.
Apapun sehingga kini, belum ada jawapan jelas mengenai apa sebenarnya yang berlaku di Kota Samarahan dan beberapa buah kawasan di dunia sejak tahun lepas.
Yang pasti, bunyi yang aneh dan menggerunkan itu akan terus menghantui penduduk selagi tiada jawapan yang jelas mengenainya.
Daripada maklumat, sehari sebelum kejadian ini perkara yang sama turut berlaku di Aaborg, Denmark bahkan bunyi aneh yang menakutkan ini pernah didengar dan direkodkan di Sweden pada 1 November tahun lalu.

Speaker Kansas harap Presiden Obama pendek umur


pix_gal0

WASHINGTON: Seorang pemimpin Republikan di Kansas mencetuskan kemarahan selepas menghantar e-mel menyatakan harapan supaya Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, pendek umur.

Pengkritik berkata, e-mel Speaker Dewan Undangan Negeri Kansas, Mike O’Neal itu yang menggunakan petikan kitab Bible menyarankan kematian Obama.
Selepas e-mel itu disiarkan oleh akhbar Lawrence Journal-World, O’Neal meminta maaf tetapi turut enggan meletak jawatan.
“E-mel itu menggunakan satu petikan Bible dan hanya bertujuan merujuk kepada baki tempoh pentadbiran presiden. Saya sudah minta maaf dan saya benar-benar kesal,” kata O’Neal. 

E-mel itu dihantar kepada rakan dan kenalan O’Neal merujuk kepada ayat Psalm 109:8 yang bagi sesetengah pihak bermaksud: 

“Biar hari-harinya semakin singkat dan orang lain menggantikannya.” Ia diikuti dengan petikan bermaksud: “Moga anak-anaknya menjadi yatim piatu dan isterinya menjadi balu.” 

Dua paderi kemudian menyerahkan petisyen ditandatangani 30,000 orang menuntut O’Neal meletak jawatan. Speaker Kansas itu kemudian meminta maaf tetapi pengarah komunikasinya berkata, beliau tidak akan meletak jawatan. 
“Beliau menggunakan ayat Bible dengan begitu mudah untuk menyuruh orang lain berdoa kematian presiden,” kata Michael Sherrard, jurucakap Faithful America, sebuah forum online di Washington yang menganjurkan petisyen berkenaan. 

Kontroversi membabitkan O’Neal itu menyusuli satu lagi e-mal awal bulan ini kepada anggota Republikan lain dengan memanggil isteri Obama, Michelle, sebagai ‘Puan YoMama.’ 

E-mel itu yang mulanya dilaporkan oleh Lawrence Journal-World, berbunyi: “Saya yakin anda akan menyertai saya mengucapkan Puan YoMama gembira dengan percutian Krismas di Hawaii menggunakan wang awam.” 

Jurucakap O’Neal mengesahkan mesej e-mel itu dan berkata ia dihantar daripada akaun peribadi emel pemimpin itu kepada beberapa anggota dewan undangan negeri. – Reuters/Agensi 

5 tiada kerja bakar diri

SEORANG penunjuk perasaan terbaring selepas membakar diri di Rabat, Maghribi.
SEORANG penunjuk perasaan terbaring selepas
membakar diri di Rabat, Maghribi.


Anggota Graduan Menganggur protes kurang pekerjaan di Maghribi 

RABAT: Lima penganggur membakar diri di ibu kota Maghribi sebagai sebahagian demonstrasi di negara itu berhubung kekurangan pekerjaan, terutama untuk graduan universiti, kata aktivis hak asasi, kelmarin.
Tiga daripada mangsa dirawat di hospital kerana melecur teruk. Kejadian itu, yang sebelum ini jarang berlaku menjadi taktik bantahan di Asia Barat dan Afrika Utara sejak seorang penjual sayur-sayuran di Tunisia membakar diri pada Disember 2010.
Lelaki itu membantah tindakan anggota polis mengganggu perniagaannya, yang mencetuskan kebangkitan menumbangkan kerajaan dan mencetuskan pergerakan sama di rantau itu. 

Kelima-lima lelaki berkenaan adalah sebahagian daripada pergerakan Graduan Menganggur membabitkan jutaan graduan universiti yang mahukan pekerjaan. 

Demonstrasi selalunya disuraikan secara ganas oleh polis dan di beberapa pekan dan bandar raya menyebabkan pertempuran berlaku. Ketika kadar pengangguran rasmi cuma 9.1 peratus, angkanya sekitar 16 peratus bagi graduan. 

Kelmarin, kerajaan yang dipilih pada November lalu membentangkan pelan baru kepada Parlimen dengan fokus mencipta pekerjaan, pendidikan dan memperbaiki kualiti kesihatan. 
Sementara itu, kerajaan dipimpin golongan Islam berjanji menghasilkan 200,000 pekerjaan baru setahun menerusi pelaburan awam dan persendirian. 

Seramai 160 anggota pergerakan itu menduduki bangunan pentadbiran Kementerian Pendidikan Tinggi sejak dua minggu lalu di Rabat, sebagai sebahagian bantahan mereka. 

Penyokong membawakan makanan kepada mereka sehingga dua hari lalu apabila dihalang pasukan keselamatan. 

“Pihak berkuasa menyekat mereka menerima makanan dan air, jadi lima daripada mereka keluar untuk mendapatkan makanan dan mengancam membakar diri jika dihalang,” kata jurucakap Persatuan Hak Asasi Manusia Maghribi, Youssef al-Rissouni. 

Daripada tiga yang dimasukkan ke hospital, dua dalam keadaan serius manakala dua lagi cuma baju terbakar. 

Rakaman video yang disiarkan kumpulan itu secara dalam talian menunjukkan orang ramai membaling roti ke arah polis yang mengawal bangunan berkenaan. Beberapa pemuda di atas bangunan menyiram diri mereka dengan cecair dan melompat turun dan mula mengutip roti. 

Apabila polis pencegah rusuhan bergerak untuk menghentikan mereka, sekurang-kurangnya dua daripada lelaki berkenaan terbakar dan mula berlari sebelum dikepung penyokong dan api dipadamkan. 

Gambar menunjukkan mereka dengan sebahagian besar kulit terbakar. Akhbar dalam talian, Goud, melaporkan dua daripada mereka mengalami kesan terbakar tahap kedua dan dihantar ke unit melecur Casablanca. 

Ketika ekonomi Maghribi mencatat kadar pertumbuhan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini sekitar empat hingga lima peratus, ia masih belum cukup menghasilkan pekerjaan untuk golongan muda yang semakin ramai di pasaran setiap tahun. – AP 

Guru muzik Saddam perompak

MELBOURNE: Pemuzik di majlis perkahwinan yang satu ketika dulu pernah berkhidmat sebagai guru muzik kepada bekas Presiden Saddam Hussein, dihukum penjara lima tahun mahkamah Australia kerana memecah masuk rumah dua wanita warga tua.

Esam Moshi mengaku bersalah kerana mencuri selain menyebabkan kecederaan dan dijatuhkan hukuman lima tahun penjara semalam berhubung kejadian pada 2010 itu.
Hakim Mahkamah Victoria, Michael Bourke, berkata Moshi membesar di Baghdad dan mengajar muzik kepada Saddam dan keluarganya. Esam dan keluarganya berpindah ke Australia selepas kejatuhan rejim Saddam.
Beliau mberitahu, kesalahan Esam adalah serius kerana kedua-dua mangsa yang agak berusia. 

“Kesalahan itu satu contoh jenayah serius. Mangsa adalah seorang wanita yang tidak berdaya untuk melawan,” katanya.Bourke berkata, Esam memecah masuk dua rumah didiami wanita berusia 87 dan 60 tahun dan menolak kedua-duanya ke lantai dalam dua kejadian berasingan. 

Kedua-dua mangsa Esam menawarkan air kepadanya selepas dia memberitahu keretanya rosak di luar rumah. Serangan berlaku pada dua hari berturut-turut pada Julai 2010 di Glenroy dan Lalor. 

Dalam serangan pertama, Esam mengikut mangsa ke dapur dan menolak wanita berkenaan ke bangku. – Agensi 

Ramai askar Amerika terbabit jenayah seks

NEW YORK 20 Jan. - Jenayah keganasan seks yang dilakukan oleh anggota-anggota tentera Amerika Syarikat (AS) meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lepas dan ia dikaitkan dengan trauma perang.
Menurut laporan tentera AS semalam, jenayah seks meningkat sehingga 90 peratus dalam tempoh lima tahun dari 2006 hingga 2011.
Terdapat 2,811 kes jenayah keganasan dan separuh daripadanya melibatkan keganasan seks yang kebanyakannya berlaku di AS.
Setiap seorang anggota tentera akan melakukan jenayah seks dalam masa setiap enam jam dan 40 minit pada 2011, sekali gus menyumbang kepada punca utama jenayah keganasan.
Laporan tersebut turut menyatakan masalah disiplin, latihan ketenteraan yang berat, tahap tekanan yang tinggi dan masalah kesihatan merupakan antara punca-punca berlakunya jenayah seks.
Perlakuan jenayah keganasan seks di kalangan anggota tentera AS bertambah pada tahap yang seragam dan ia dijangka semakin meningkat.
Lima kesalahan jenayah seks yang paling kerap dilakukan anggota-anggota tentera pada tahun lepas termasuk rogol, serangan seksual yang serius, liwat secara paksa dan menyimpan bahan lucah membabitkan kanak-kanak.
Menurut laporan itu lagi, anggota-anggota tentera yang menghidap Masalah Gangguan Post-Traumatik (PTSD), kecederaan otak akibat trauma dan tekanan jiwa menunjukkan kecenderungan lebih tinggi untuk melakukan jenayah seks terhadap pasangan.
Anggota tentera yang menghidapi PTSD dilihat tiga kali ganda lebih cenderung untuk melakukan keganasan terhadap pasangan perempuan berbanding yang tidak mempunyai trauma, jelas laporan tersebut. - REUTERS

Thailand negara terbaru iktiraf Palestin


NEW YORK 20 Jan. - Thailand muncul sebagai negara terbaru mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bebas, dalam satu langkah yang disambut baik Palestin bagi mendapatkan sokongan antarabangsa.
"Thailand secara rasmi mengiktiraf Palestin dan telah memaklumkan perkara tersebut kepada semua pemantau misi tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York," jelas seorang pegawai media misi Thailand, semalam.
Di Ramallah, Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki berkata, keputusan Thailand itu dibuat berdasarkan penetapan sempadan sebelum Perang Enam Hari 1967.
"Pengiktirafan Thailand ini merupakan yang pertama pada tahun ini dan ia adalah satu pencapaian baru untuk diplomasi Palestin," katanya kepada agensi berita WAFA.
Maliki berkata, sehingga kini sebanyak 131 buah negara telah mengiktiraf Palestin mengikut sempadan 1967.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan berterima kasih kepada Thailand dengan berkata, langkah itu boleh dipanjangkan lagi menerusi hubungan diplomatik dua hala antara kedua-dua negara.
Palestin berusaha mendapatkan sokongan antarabangsa untuk mengiktirafnya sebagai sebuah negara bebas ketika rundingan damai dengan Israel berhubung isu penempatan haram Yahudi masih belum menunjukkan sebarang kemajuan.
Pada tahun lalu, Palestin turut diterima sebagai negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Palestin juga berhasrat menyertai PBB sebagai anggota penuh, tetapi Washington mengancam menggunakan kuasa veto dan menggesa satu rundingan diadakan berhubung perkara tersebut dengan menyatakan hanya penyelesaian politik dengan Israel akan mewujudkan sebuah negara baru Palestin. - AFP

OIC bimbang kempen anti-Islam

JEDDAH 20 Jan. - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semalam menyuarakan kebimbangan berhubung kenyataan retorik anti-Islam yang dibuat ketika kempen pilihan raya Parlimen dan Presiden yang sedang hangat berlangsung di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah.
“Situasi Islamofobia yang semakin meningkat dalam politik Barat kini amat membimbangkan OIC,” kata Setiausaha Agungnya, Ekmeleddin Ihsanoglu.
Parti-parti sayap kiri radikal kini semakin mengukuhkan kedudukan di Parlimen Austria, Bulgaria, Denmark, Hungary, Belanda, Sweden, Perancis dan Parlimen Eropah.
Kumpulan pelampau berhaluan kanan anti-Islam seperti Liga Pertahanan Inggeris (EDL) di Britain dan CasaPound di Itali juga semakin mendapat sokongan ramai.
Mereka semua berkongsi agenda anti-Islam yang mengancam masyarakat Islam daripada mengamalkan ajaran agama dan meningkatkan lagi kemungkinan diskriminasi.
AS juga tidak terkecuali menunjukkan tanda-tanda ‘permusuhan’ terhadap Islam dan penganutnya walaupun ia tidak terlalu ditonjolkan.
Bagaimanapun, kenyataan dikeluarkan oleh calon Presiden negara itu iaitu Rick Santorum, Mitt Romney dan Newt Gingrich yang percaya undang-undang Syariah merupakan satu ancaman besar kepada kebebasan hidup di AS, merisaukan penganut Islam.
Calon Presiden Rick Perry beberapa hari lalu berkata kepada Fox News bahawa Turki kini diperintah ‘pengganas Islam’ dan ia perlu disingkirkan daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Ihsanoglu berkata, bukan sahaja di AS, fenomena itu turut membimbangkan di Eropah apabila Islamofobia digunakan sebagai alat politik terutamanya untuk mendapatkan sokongan pengundi.
Anggota Kongres di 15 buah negeri di AS juga pernah mengemukakan satu usul melarang hakim daerah mengguna pakai undang-undang Syariah dalam keputusan melibatkan kes perceraian serta masalah rumah tangga. – AGENSI

Suspek pengganas tuduh Mossad letak bahan letupan

BANGKOK 21 Jan. – Lelaki keturunan Sweden-Lebanon yang ditahan kerana disyaki berkomplot melakukan serangan pengganas di Thailand, memberitahu akhbar Sweden dia tidak bersalah dan menuduh agensi perisikan Israel, Mossad atas penahanannya.
Menurut akhbar tabloid Aftonbladet yang menemui Atris Hussein, 47, di penjara Bangkok, suspek menegaskan dia tidak bersalah dan bahan letupan yang ditemui di gudangnya telah diletakkan oleh seseorang, kemungkinan besar ejen Mossad.
Atris ditahan minggu lalu selepas Amerika Syarikat dan Israel memberi amaran tentang kemungkinan serangan pengganas di Bangkok. – AGENSI

Tubuh pasukan pakar kaji punca kematian dua bayi

HULU SELANGOR 20 Jan. - Kementerian Kesihatan telah menubuhkan pasukan pakar bagi mengkaji punca kematian dua bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah pusat asuhan di Taman Permata, Ampang semalam.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, siasatan dibuat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan memastikan ia tidak berlaku disebabkan wabak.
"Kita akan lihat sama ada terdapat jangkitan bakteria atau disebabkan punca lain. Buat masa ini bedah siasat dan kajian sedang dijalankan yang mana akan didedahkan segera selepas mendapat laporannya.
"Saya minta orang ramai tidak panik dan membuat spekulasi mengenai kematian dua bayi dari tempat asuhan yang sama. Ibu bapa juga diminta membawa anak-anak berjumpa doktor sekiranya sakit," katanya ketika mengulas mengenai kejadian tersebut.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Loji Pendobian Bukit Beruntung oleh Faber Medi-Serve Sdn. Bhd. (FMS) yang merupakan syarikat subsidiari Faber Group Berhad di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi FMS, Datuk Zainal Abidin Alias dan Pengarah Urusan Faber Group Berhad, Adnan Mohammad.
Dalam perkembangan lain, Tiong Lai menyeru orang ramai supaya bersama-sama membasmi nyamuk Aedes bagi mengelakkan demam denggi yang dilihat semakin meningkat dari segi jumlah kes.
"Kes demam denggi telah meningkat dengan ketara iaitu minggu lalu sahaja sebanyak 481 kes demam denggi berlaku berbanding hanya lebih kurang 200 hingga 300 kes seminggu pada 2010.
"Orang ramai juga diminta berhati-hati dan memastikan tiada air bertakung di kawasan rumah untuk mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes apabila pulang ke kampung sempena musim perayaan nanti," katanya.

Anak saya mati bukan tercekik susu - Bapa


Ruhi Budiman Samsuri membawa anaknya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang, dekat Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 20 Jan. - Bapa salah seorang bayi malang yang meninggal dunia ketika dalam jagaan di pusat asuhan mendakwa anak kesayangannya itu mati bukan disebabkan tercekik susu.
Sebaliknya, bapa Arif Amsyar, Ruhi Budiman Samsuri, 35, mendakwa, dia dimaklumkan pihak hospital masih lagi menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian tersebut.
"Pihak hospital hanya memberitahu mereka akan jalankan siasatan terperinci punca kematian Arif anak saya," katanya.
Ruhi Budiman berkata, malam semalam, pengasuh terbabit ada menghubungi isterinya bagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan apa yang dibincangkan.
Semalam, dua bayi lelaki Muzaffar Mohd. Faizal, tiga bulan dan Arif Amsyar, tujuh bulan yang ditinggalkan di sebuah pusat asuhan di Taman Permata meninggal dunia dipercayai akibat tercekik susu dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang.
Difahamkan tragedi itu dikatakan berlaku selang 10 minit apabila Muzaffar dihantar ke sebuah poliklinik di Taman Permata untuk diberi rawatan kecemasan.
Arif Amsyar yang dipercayai meninggal dunia kira-kira 10 minit selepas Muzaffar di sebuah poliklinik di Taman Permata juga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang pagi ini.
Dalam pada itu, seorang lagi bayi malang, Muzaffar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lembah Keramat AU5 pagi ini.
Bapa Muzaffar, Mohd. Faizal Jaafar, 32, yang ditemui pemberita di rumah mereka di Lembah Keramat AU5 di sini selepas pengebumian anak bongsunya berkata, kematian bayi lelakinya itu membuatkan dia dan isteri amat terasa kehilangannya.
Meskipun menerima kejadian itu sebagai takdir, Mohd. Faizal berkata, dia pasti selepas ini akan merindui tangisan Muzaffar.
Menceritakan lebih lanjut, dia berkata, Isnin lalu, terdapat tanda-tanda Muzaffar akan pergi apabila bayinya itu tidak meragam mahupun menangis walaupun diganggu pada waktu tidur.
"Pada hari itu, saya baru pulang dari kerja kira-kira pukul 7.30 petang manakala isteri saya pergi jamuan makan malam syarikatnya. Selepas membersihkan badan, saya mendapatkan Muzaffar yang sedang lena tidur dengan menciumnya beberapa kali.
"Dia (Muzaffar) yang terjaga dari tidur tidak menangis walaupun diganggu dan hanya membuka mata sambil mengeliat.
"Saya dan isteri agak pelik kenapa pada hari itu dia tidak kerap menangis seperti selalu," katanya yang pergi ke Ipoh pada Rabu dan seterusnya ke Alor Setar keesokannya bagi meninjau tapak projek.

Kubur untuk si mati yang amat miskin


SEBANYAK 30 buah keranda yang mengandungi mayat orang miskin dikebumikan dalam sebuah lubang kubur di kawasan perkuburan Homewood Memorial Gardens, Homewood pada Rabu lalu.




HOMEWOOD, Amerika Syarikat (AS) - Sebanyak 30 mayat yang merupakan orang paling miskin kerana tidak mempunyai wang untuk membiayai kos pengebumian sendiri telah dikebumikan dalam sebuah lubang kubur di kawasan perkuburan Homewood Memorial Gardens pada Rabu lalu.
Tiada seorang pun rakan atau saudara si mati yang datang untuk menyaksikan pengebumian itu.
Situasi ekonomi yang sukar di AS menyebabkan terdapat peningkatan pengebumian orang yang amat miskin termasuk di Chicago dan di kawasan sekitarnya. - AFP
Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Monyet pupus ditemui semula di Borneo


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa ekor monyet Miller's Grizzled Langur yang disangka telah pupus di hutan Wehea, Borneo.




JAKARTA - Sekumpulan saintis yang bekerja di hutan tebal Indonesia menemui semula spesies monyet besar berwarna kelabu yang jarang dilihat dan dipercayai telah pupus.
Mereka keliru menemui monyet berkenaan yang dikenali dengan nama Miller's Grizzled Langur di luar kawasan yang menjadi habitat primat berkenaan.
Haiwan tersebut ditemui selepas kumpulan saintis tersebut memasang sejumlah kamera pada Jun tahun lalu dengan harapan dapat merakamkan imej harimau bintang, orang utan dan hidupan liar lain di beberapa kawasan di Hutan Wehea, timur Borneo.
"Kami semua sungguh gembira apabila mendapati monyet ini masih wujud dan juga ia ditemui di Wehea," kata seorang saintis berkenaan, Brent Loken.
Monyet yang memiliki mata sembap, hidung dan bibir merah jambu itu suatu ketika dahulu banyak terdapat di timur laut Pulau Borneo selain Pulau Sumatera dan Jawa serta Semenanjung Malaysia.
Namun spesies itu dipercayai pupus sejak beberapa tahun lalu selepas banyak kawasan hutan telah diteroka untuk tujuan pertanian dan perlombongan. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Nasib kapal mewah tidak diketahui


DUA orang duduk berlatarbelakangkan kapal mewah Costa Concordia
 yang tenggelam di Pulau Giglio, Itali semalam

ROM - Ketika operasi mencari mangsa terselamat atau lebih tepat, mayat mangsa tragedi kapal pesiaran mewah Costa Concordia diteruskan, tumpuan kini lebih kepada apa yang patut dilakukan keatas bangkai kapal persiaran mewah berkenaan.
Turut menjadi tanda tanya adalah siapa yang akan diberikan kontrak sama ada meleraikan atau memulihkan kapal Costa Concordia.
Walaupun tugas membaik pulih kapal itu dilihat sukar, ia dipercayai dapat dibaiki dan belayar semula di sekitar Laut Mediterranean dengan membawa lebih 3,000 penumpang, dalam tempoh beberapa bulan lagi.
"Saya percaya mereka (syarikat pemilik kapal Costa Concordia) akan cuba menyelamat kapal berkenaan," kata pegawai Persatuan Antarabangsa Kapal- Kapal Persiaran (CLIA), Ted Thompson.
"Jika anda melihat peristiwa Pelabuhan Harbor semasa Perang Dunia Kedua, kebanyakan kapal yang tenggelam dalam serangan tentera Jepun dibaik pulih dan tidak dileraikan," kata Thompson.
"Kapal-kapal berkenaan diapung, dibaik pulih dan dihantar ke medan perang. Justeru, perkara sama boleh dilakukan ke atas kapal Costa Concordia," tambahnya.
Kurang 48 jam selepas Costa Concordia terlanggar batu pada 13 Januari lalu, pakar-pakar dari Belanda dan Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti kaedah sesuai untuk mengapungkan kapal seberat 114,000 tan dan bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada kapal Titanic yang tenggelam pada 15 April 1912.
Keputusan mengenainya akan dibuat bersama oleh pemilik kapal berkenaan, penanggung insurans dan pakar-pakar membaik pulih kapal.
Ketika ini, Costa Concordia tersadai dalam keadaan terbalik kira-kira 50 meter dari pantai Pulau Giglio, Itali.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam nahas berkenaan dengan 21 orang lagi masih hilang. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'