Pages

Friday, March 30, 2012

Bantahan rakyat berlarutan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



PARA pelajar cuba merobohkan pagar di bangunan Parlimen ketika mengadakan demonstrasi membantah cadangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak di Jakarta, semalam. Kerajaan Indonesia merancang menaikkan harga minyak sebanyak 33 peratus bulan depan untuk mengelakkan bajet defisit. - AGENSI


JAKARTA 29 Mac - Ribuan penunjuk perasaan terus berkumpul di kawasan-kawasan utama di ibu negara ini hari ini bagi membantah rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak.
Selepas demonstrasi sebelum ini bertukar ganas, sebanyak 14,000 anggota polis dan 8,000 tentera dikerahkan untuk mengawal kawasan tumpuan di Jakarta termasuk Bangunan Parlimen, Istana Presiden dan lapangan terbang.
Demonstrasi dilaporkan berlaku hampir setiap hari sepanjang minggu ini menjelang undian Parlimen pada Jumaat ini yang dijangka bersetuju menaikkan harga minyak daripada Rupiah 4,500 seliter (RM1.60 seliter) kepada Rupiah 6,000 (RM2.15).
Kerajaan berkata, tanpa menaikkan harga minyak berikutan kenaikan harga minyak global, ia akan mengakibatkan bajet negara mengalami defisit melebihi tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar yang ditetapkan undang-undang.
Dalam pada itu, penganjur perhimpunan berjanji sebanyak 10,000 penunjuk perasaan akan turun berdemontrasi hari ini di mana sejak awal pagi, sebanyak 2,000 peserta kelihatan telah berada di hadapan Istana Presiden termasuk barisan ahli kumpulan, Hizbut Tahrir.
Penunjuk perasaan dilihat melaungkan perkataan: "Tukar, tukar sistem 'sampah' ini'' dan membawa sepanduk berbunyi: "Tolak kenaikan harga minyak! Presiden adalah penipu, jahat dan pengkhianat".
Jurucakap sebuah kumpulan penunjuk perasaan, Ismail Yusnanto berkata, kapitalisme dan imperialisme hanya akan mengakibatkan rakyat terus merana sedangkan orang luar terus mengeksploitasi hasil sumber semula jadi negara yang kaya seperti Indonesia.
Perikatan Kesatuan Perdagangan Indonesia berkata, beribu-ribu ahli-ahlinya juga akan menyertai demonstrasi di ibu negara ini.
''Kita menuntut supaya kerajaan tidak menaikkan harga minyak. Harga barangan akan naik sekali gus menjadi beban kepada rakyat'' kata Pengerusi Wanita Kesatuan, Nining Elitos. - AFP

'via Blog this'

Liga Arab berbalah isu Syria

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



DARI kiri: Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil al-Arabi, Presiden Iraq Jalal Talabani dan Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan Libya, Mustafa Abdel Jalil menghadiri sidang kemuncak Liga Arab di di Baghdad, semalam. - AFP


BAGHDAD 29 Mac - Sidang kemuncak Liga Arab yang bermula di ibu negara Iraq ini hari ini tidak akan mendesak Presiden Syria, Bashar al-Assad berundur atau musuh beliau diberi senjata, dua isu yang menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin Arab.
Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari berkata, blok Arab yang terdiri daripada 22 anggota itu tidak akan membincangkan langkah-langkah tegas yang disokong oleh Qatar dan Arab Saudi.
Krisis di Syria yang dilaporkan telah meragut hampir 10,000 nyawa dalam pertumpahan darah sejak setahun lalu membayangi sidang tiga hari di Iraq itu, kali pertama dalam tempoh lebih 20 tahun rundingan sedemikian dianjurkan oleh Baghdad.
"Inisiatif Liga Arab adalah jelas dan tidak menuntut Assad meletakkan jawatan, dan kami (Menteri-Menteri Luar) juga tidak membuat tuntutan tersebut, begitu juga keputusan akan datang tidak akan menghala ke arah itu.
"Terpulang kepada rakyat Syria untuk memutuskan dan memilih pemimpin mereka, bukan Liga Arab atau pihak lain," kata Zebari.
Isu membekalkan senjata kepada pemberontak Syria juga tidak dibincangkan, ujar beliau.
Kedua-dua isu mencetuskan perbalahan antara negara-negara seperti Qatar dan Arab Saudi yang mahu Assad berundur dan senjata dibekalkan kepada pemberontak di Syria, dengan negara-negara yang menyokong perdamaian politik, seperti Iraq.
Dalam pada itu, satu letupan kuat berdekatan Kedutaan Iran di kawasan kejiranan Salhiyeh menggegarkan Baghdad, ketika pembukaan sidang kemuncak sedang berlangsung di sini.
Letupan yang berlaku sekitar pukul 1.40 petang (waktu tempatan) itu, menyebabkan asap menjulang ke udara.
Pasukan bomba dan keselamatan dikerahkan ke tempat kejadian, namun tiada kematian dilaporkan. - AFP

'via Blog this'

Jutawan Arab didakwa cabul model

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


MADRID 29 Mac – Mahkamah di Sepanyol menggugurkan siasatan berhubung dakwaan seorang model dia dirogol oleh seorang kerabat diraja Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal di dalam sebuah kapal layar di Ibiza tiga tahun lalu.
Alwaleed yang juga anak saudara kepada pemimpin Saudi, Raja Abdullah dan antara orang terkaya di dunia, telah diminta menjawab aduan yang dikemukakan oleh seorang model terhadap beliau berhubung serangan seksual pada Ogos 2008 ketika wanita itu berusia 20 tahun.
Alwaleed, 57, menafikan dakwaan itu dan berkata, beliau tidak berada di Ibiza pada waktu tersebut.
Sebuah mahkamah wilayah di Palma de Majorca pada Isnin lalu mengarahkan prosiding kes itu digantung disebabkan ‘percanggahan dan kekaburan’ dalam keterangan ‘mangsa’.
“Berdasarkan kenyataan pengadu, baru-baru ini, kami tidak dapat memastikan apa sebenarnya yang berlaku pada malam 11 dan 12 Ogos, 2008 di dalam kapal layar itu,” menurut keputusan mahkamah.
Hakim di Ibiza pada Mei 2010 mengarahkan kes itu ditutup disebabkan kekurangan bukti tetapi mahkamah kemudian membukanya semula dan meminta pihak berkuasa Saudi mengambil kenyataan daripada tertuduh.
Firma guaman Sepanyol, Oliva Ayala yang mewakili Alwaleed dalam kenyataannya berkata, putera itu sedang menimbangkan tindakan undang-undang ke atas wanita tersebut kerana ‘membuat tuduhan palsu’ terhadap beliau.
Alwaleed memiliki pegangan dalam Citibank, Twitter dan News Corporation milik Rupert Murdoch, dan beliau disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai orang ke-29 terkaya di dunia dengan aset bersih bernilai AS$18 bilion (RM55.8 bilion). – AFP

'via Blog this'

18 sebab jin merasuk manusia

WANITA suka bersolek dan gemar berpakaian mendedahkan aurat sasaran utama golongan jin untuk dipikat.

Salah seorang imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani berkata, dalam setiap tubuh manusia ada jin dan makhluk halus itu sentiasa berusaha mempengaruhi kita mengikut telunjuk mereka.

Pendakwah bebas lulusan Universiti Al-Azhar itu berkata, ramai manusia tidak menyedari tindak-tanduk mereka sentiasa menjadi perhatian jin.

Jin sebenarnya suka memikat manusia, terutama wanita yang suka bersolek dan gemar berpakaian mendedah aurat,” katanya ketika membentangkan kertas kerja berkaitan peranan jin di Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Ustaz Dasuki lagi, jin tidak akan datang mengacau seseorang itu melainkan ia sudah terpikat.

“Bila sudah berkenan, jin akan berusaha memasuki tubuh orang yang dia suka dan terus bersarang di dalamnya,?tambahnya.

Lazimnya, kata beliau, jin memilih manusia yang lemah semangat dan tidak mempunyai pendinding diri untuk dipikat.

“Manusia yang sudah lupa Allah dan menjauhi Al Quran tidak lagi mempunyai pendinding diri dan sebab itu mudah dipengaruhi jin,” tambahnya.
Manurut Ustaz Dasuki lagi, jin menyusup masuk ke dalam tubuh manusia dengan berbagai cara, antaranya diminta manusia sendiri sama ada sedar atau tidak. Lebih malang lagi, katanya, manusia sendiri menggunakan khidmat jin sebagai khadamnya untuk melakukan pengkhianatan kepada orang lain.

Ustaz Dasuki menyatakan 18 sebab jin merasuk manusia, iaitu:

1. Apabila manusia meringankan solat dan tidak mentaati perintah Allah.
2. Terdapat alat muzik atau alat melalaikan didalam rumah
3. Meninggikan suara dalam bilik air
4. Menangis dan merintih sebelum tidur
5. Membuang air panas ke dalam bilik air
6. Melompat tinggi tanpa membaca Bismillah
7. Memasuki tempat gelap yang ditinggalkan
8. Perasaan terlalu takut dan terlampau gembira, seperti ketawa berlebihan
9. Selalu bertengkar suami isteri
10. Terlampau marah
11. Mengikut hawa nafsu
12. Terdapat gambar lukisan manusia dan anjing di dalam rumah
13. Terdapat lambang salib pada lantai, sejadah atau langsir
14. Menghadiri majlis yang melekakan tanpa menyebut kalimah Allah
15. Perempuan suka bersolek
16. Berlaku sihir perjanjian di antara jin dan tukang sihir
17. Jin jatuh cinta pada manusia
18. Suka membaca buku cerita hantu dan buku berunsur sihir.

Beliau juga memberikan beberapa tanda manusia dirasuk jin, antaranya sukar tidur malam, hati berdebar-debar terutama pada waktu senja atau perasaan resah tidak menentu.

Mimpi berulang mengenai perkara yang menakutkan seperti melihat anjing hitam, kucing, ular, manusia pelik, dibawa ke kubur atau diusung ke tempat mengerikan juga dikaitkan dengan gangguan jin.

Selesema berpanjangan juga dikaitkan dengan gangguan makhluk halus selain malas berzikir dan solat,?katanya.

Selain itu, manusia dirasuk jin merasa sakit pada sesetengah anggotanya tapi sukar dikesan oleh doktor.

Lain lain tanda ialah pening berpanjangan terutama pada waktu senja, otak lemah, tidak sedar diri serta telinga berdesing atau mendengar kata-kata suruhan tertentu.

Wanita kena ragut dalam klinik

myMetro | Wanita kena ragut dalam klinik:

CHUKAI: “Bagi mengelak anak berusia tujuh bulan dan lima tahun cedera, saya terpaksa melepaskan beg berkenaan sebelum peragut terbabit melarikan diri bersama beg tangan saya dengan sebuah motosikal,” kata Nor Azra Saliha Zainal, 29, dari Kampung Bukit Mentok, di sini, semalam.
Mangsa berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di hadapan kaunter sebuah klinik homeopati di Jalan Air Putih, di sini untuk membuat bayaran rawatan anak berusia tujuh bulan kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.

Katanya, sebelum kejadian, dia menyedari seorang lelaki berbadan gemuk memakai baju putih dan seluar jean serta memakai topi keledar berpenutup muka penuh masuk ke klinik berkenaan sebelum menghampirinya dan melarikan beg tangan diletakkan di atas kaunter berkenaan.
“Saya menyangkakan lelaki terbabit masuk ke klinik itu untuk mengambil ubat kerana ketika masuk dia terus ke kaunter sebelum menarik beg duit yang berada di tangan saya selepas selesai membuat bayaran rawatan.

“Terkejut dengan tindakan lelaki terbabit, saya panik dan berusaha mempertahankan beg mengandungi wang tunai RM250 dan rantai emas milik anak serta dua bentuk cincin emas yang keseluruhannya bernilai lebih RM5,000 daripada dilarikan lelaki terbabit.

“Selepas beberapa saat berlaku tarik-menarik, saya kemudian terpaksa melepaskan beg itu kerana bimbang anak yang saya dukung terjatuh selain mengelak seorang lagi anak dicederakan lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Nor Azra berkata, lelaki terbabit ke klinik berkenaan dengan menaiki sebuah motosikal ditunggangi rakannya yang menunggu di atas kenderaan itu di luar klinik berkenaan.

Menurutnya, dia yang panik gagal mengecam jenis dan nombor pendaftaran motosikal berkenaan.
Katanya, orang awam yang berada di bengkel kereta berhampiran tempat kejadian cuba mengejar dua lelaki terbabit tetapi gagal.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, mangsa membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Chukai, di sini, kira-kira jam 5.25 petang dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana ragut.

'via Blog this'

Bantah skirt dikata porno

myMetro | Bantah skirt dikata porno:

JAKARTA: Suruhanjaya Hak Wanita mengutuk cadangan Menteri Agama untuk mengharamkan skirt pendek di bawah undang-undang antipornografi.
Menteri Hal Ehwal Agama, Suryadharma Ali mencadangkan kelmarin, skirt paras ‘atas lutut’ sepatutnya didefinisikan sebagai pornografi ketika perdebatan semakin hangat mengenai kebebasan bersuara dan beragama di negara yang mempunyai ramai penduduk Islam di dunia itu. 
Timbalan Ketua Suruhanjaya Negara Mengenai Wanita, Masruchah berkata: “Negara ini asyik melangkah ke belakang.”

Sebagai sebuah negara berdemokrasi, kerajaan perlu memastikan setiap orang mempunyai hak untuk bersuara dengan bebas, seperti yang tertakluk di bawah perlembagaan, katanya.

“Negara ini mesti menghentikan menjadikan tubuh wanita sebagai kesalahan jenayah dan menyalahkan pakaian yang dipakai sebagai mengundang serangan seksual,” katanya.

Suruhanjaya itu adalah badan bebas tetapi mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan.

Tahun lalu, Gabenor Jakarta Fauzi Bowo, menyalahkan wanita yang memakai skirt pendek sebagai mengundang jenayah rogol di dalam van mini.

Menurut meluluskan Undang-undang Antipornografi yang diluluskan pada 2008, setiap pekerjaan atau perbuatan yang boleh dianggap lucah dan mampu menjatuhkan moral orang awam termasuk seni, tarian, muzik dan puisi adalah jenayah.

Undang-undang itu mendapat kritikan ramai kerana bersikap zalim dan menindas wanita.

Suryadharma dilantik mempengerusikan pasukan petugas antipornografi yang ditubuhkan baru-baru ini untuk melaksanakan undang-undang kontroversi itu.
Beberapa penari, penari bogel dan bintang pop ditahan mengikut undang-undang berkenaan. - AP 

'via Blog this'

Janin tanpa kepala

myMetro | Janin tanpa kepala:

KUALA LUMPUR: Kejam apabila janin berusia empat bulan tanpa kepala yang dipercayai dibuang sebelum dipam dari mangkuk tandas kediaman penduduk dijumpai di dalam loji kumbahan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang, di sini, semalam.
Kejadian disedari kira-kira jam 11.30 pagi oleh seorang pekerja membersih tangki kumbahan milik Indah Water Konsortium (IWK) apabila terlihat satu janin manusia tersangkut di perangkap sampah sebelum memaklumkan kepada polis.

Janin itu pada awalnya disangka bangkai kucing ditemui tanpa kepala sebesar tapak tangan dalam keadaan belum cukup sifat kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, hasil pemeriksaan Unit Forensik mengesahkan janin berusia empat bulan itu dibuang dalam tempoh 48 jam lalu yang digugurkan daripada kandungan ibunya.

“Janin itu ditemui tanpa kepala dan kami juga tidak dapat mengetahui jantinanya,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan janin itu digugurkan penduduk tempatan di kawasan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Zakaria meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil menghubungi Rakan Cop Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan atau tampil ke balai berdekatan.

'via Blog this'

Bawa anak pergi ‘dangdut jamban’

myMetro | Bawa anak pergi ‘dangdut jamban’:

SERBU...anggota penguat kuasa MPK menyerbu premis terbabit.
SERBU...anggota penguat kuasa MPK menyerbu premis terbabit.
PELABUHAN KLANG: Bagi mengaburi mata isteri yang dalam pantang mengenai aktiviti malamnya, seorang lelaki membawa anak perempuannya berusia enam tahun beberapa kali untuk berhibur di sebuah premis dangdut yang dikenali sebagai ‘dangdut jamban’ di Lorong Kem, di sini.
Malah, lelaki berusia 40-an terbabit turut meneguk minuman keras di hadapan anaknya.
Lelaki terbabit mengakui menjadikan premis berkenaan sebagai rumah kedua kerana mengunjunginya empat hingga lima kali dalam seminggu.

Premis berkenaan dipanggil ‘dangdut jamban’ berikutan keadaan premis yang usang, berbau busuk selain persekitaran yang kotor kerana dipenuhi botol minuman keras, bekas makanan dan puntung rokok.

Premis itu digemari pelanggan ‘senja’ turut dijadikan ‘port’ berhibur sambil berkaraoke selain menikmati minuman keras yang dihidangkan pelayan gebu warga asing yang turut melakukan aksi ghairah.

Bagaimanapun, keseronokan semua pelanggan tidak berpanjangan apabila diserbu Jabatan Penguatkuasaan, Majlis Perbandaran Klang (MPK) jam 10.30 malam, kelmarin.

Difahamkan, pemilik premis yang juga penjawat awam menjalankan perniagaan itu tanpa lesen sah sejak setahun lalu walaupun diserbu pihak berkuasa awal tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguat Kuasa MPK, Shahrul Hazri Abd Majid berkata, premis berkenaan menjadi tumpuan kerana memiliki tarikannya tersendiri dengan menyediakan rangkaian lagu karaoke dangdut terkini.

“Premis ini beroperasi dari jam 8 malam hingga 3 pagi setiap hari dan semakin rancak dipenuhi pelanggan setiap kali terutama pada hujung minggu.

“Ketika serbuan, terdapat lima pelanggan dan tiga pelayan wanita warga Indonesia sibuk menyediakan minuman keras kepada pelanggan,” katanya.

Semua pelanggan diambil keterangan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1995 Pindaan 1998, 2001 kerana menjalankan aktiviti perniagaan hiburan tanpa lesen daripada pihak berkuasa.

'via Blog this'

Perancis larang 4 ulama masuk

myMetro | Perancis larang 4 ulama masuk: "PARIS: Perancis semalam berkata, ia mengharamkan empat ulama memasuki negara itu untuk menghadiri persidangan Islam dengan mendakwa ajaran mereka merosakkan prinsip negara itu.

Perancis juga menyuarakan rasa kesal kerana intelektual Switzerland, Tariq Ramadan diundang ke mesyuarat Kesatuan Organisasi Islam Perancis (UOIF), menurut kata kenyataan Menteri Luar, Alain Juppe dan Menteri Dalam Negeri, Claude Gueant.


Akrima Sabri, Ayed Bin Abdallah al-Qarni, Safwat al-Hijazi dan Abdallah Basfar diharamkan memasuki Perancis, manakala ulama terkenal yang berpangkalan di Qatar, Yusuf al-Qaradawi dan Mahmud al-Masri mengambil keputusan untuk tidak menghadiri persidangan itu. - AFP"

'via Blog this'

Lelaki tak siuman kurung anak lebih 18 tahun

myMetro | Lelaki tak siuman kurung anak lebih 18 tahun:

TAROUT (Arab Saudi): Seorang bapa didakwa mengurung anak perempuannya sebagai tahanan di biliknya selama lebih 18 tahun.
Bagaimanapun, sehingga ini, tidak diketahui apakah punca menyebabkan lelaki itu bertindak demikian.

Wanita itu yang kini berusia 36 tahun dinafikan hak untuk bersekolah dan semua aspek kehidupan seperti manusia normal, lapor akhbar Arabic Press, semalam.
Sumber berkata, keluarga lelaki itu dan jirannya tahu mengenai tindakan bapa mangsa. Menurut akhbar itu, mangsa kini dalam keadaan tertekan dan masih dikurung di biliknya. Akhbar itu mendesak polis dan badan hak asasi kemanusiaan campur tangan.

Jurucakap Polis Tarout, Kolonel Ziyad al-Ruqaiti berkata, kes itu tidak dilaporkan kepada polis. Aktivis sosial, Jafar al-Eid berkata, badan keagamaan dan hak asasi manusia mengutuk tindakan lelaki itu.

Menurutnya, maklumat terperinci mengenai kes itu perlu diperoleh.
Mangsa mungkin melakukan kesilapan ketika berusia belasan tahun tetapi ia masih tidak mewajarkan bapanya untuk bertindak demikian, kata Jaafar.

Beliau juga berkata, lelaki itu mungkin menghidap sakit jiwa dan tidak tahu apa yang dilakukannya. - SG

'via Blog this'

Turki sentiasa sokong program nuklear Iran

myMetro | Turki sentiasa sokong program nuklear Iran:

TEHERAN: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi negaranya terhadap program nuklear Iran.
Recep menyuarakan sokongan itu dalam pertemuan dengan Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad, menurut kenyataan rasmi kerajaan. “Kerajaan dan rakyat Turki sentiasa jelas menyokong kedudukan nuklear Republik Islam Iran dan akan terus tegas mengekalkan dasar sama pada masa depan,”Recep dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Mahmoud. Mahmoud berterima kasih kepada Turki atas sokongannya yang “jelas dan jujur” mengenai isu terbabit, kata kenyataan itu. Kenyataan itu dibuat pada hari terakhir lawatan dua hari Recep ke Iran bagi membincangkan isu nuklear dan hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Perdana Menteri Turki itu juga dijangka mengadakan perbincangan dengan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei sebelum pulang. Iran kelmarin mengumumkan rundingan yang tertunda dengan kuasa dunia mengenai program nuklearnya akan diadakan pada 13 April ini di tempat yang akan persetujui kelak. Teheran cenderung memilih Istanbul sebagai lokasi rundingan.

Rundingan akan tertumpu kepada harapan untuk meredakan ketegangan antarabangsa terhadap kegiatan nuklear Iran yang menyebabkan harga minyak dunia melambung. - AFP

'via Blog this'

2 kolonel maut

myMetro | 2 kolonel maut:

DAMSYIK: Kumpulan lelaki bersenjata semalam menyerang pusat bandar raya terbesar di Syria dan membunuh dua pegawai tentera berpangkat kolonel yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad.
Sehingga ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. Media kerajaan menyifatkannya sebagai angkara pengganas. Kedua-dua kolonel berkenaan yang dikenali sebagai Abdel-Karim al-Rai dan Fuad Shaban dalam perjalanan ke tempat kerja ketika diserang.

Dalam kejadian berasingan, di tengah wilayah Hama, pemberontak menyeraang trak tentera dan membunuh dua askar kerajaan, kata aktivis. Pertempuran terbaru turut tercetus antara tentera kerajaan dan askar pembelot di utara dan selatan negara itu. Aktivis berkata, tentera membunuh sekurang-kurangnya 11 orang awam di seluruh Syria semalam.
Keganasan terbaru itu berlaku ketika pemimpin Arab bermesyuarat di Baghdad dalam usaha mereka untuk mendapatkan kata sepakat mengenai krisis Syria.

Pemimpin berkenaan dijangka bersetuju dengan ketetapan menggesa gencatan senjata dan menamatkan perbalahan segera selama dua jam setiap hari di seluruh negara itu bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada orang awam.

Ketetapan itu bagaimanapun tidak mendesak Bashar meletak jawatan tetapi menyuarakan sokongan terhadap usaha utusan Liga Arab-PBB, Kofi Annan yang menyarankan penyelesaian politik. - AFP

'via Blog this'

Tembak isteri gara-gara najis anjing kotori rumah

myMetro | Tembak isteri gara-gara najis anjing kotori rumah:

DALLAS: Pihak berkuasa semalam mendakwa seorang lelaki atas tuduhan membunuh isterinya dan dua anjing mereka gara-gara satu daripada haiwan berkenaan mengotorkan rumah dengan najis.
Jurucakap polis Lewisville berkata, Stephen Stolz ditahan apabila polis berjaya memujuknya menyerah diri lima jam selepas dikepung.

Katanya, Stolz, 76, mengaku menembak mati isterinya, Bernice, 49, dan dua anjing peliharaan mereka selepas haiwan berkenaan mengotorkan rumah dengan najis Ahad lalu.
“Mula-mula Stolz menembak anjing pertama - jenis German Shepherd - dan anjing kedua - jenis Rittweiler, sebelum membunuh Bernice yang menjerit ketakutan melihat insiden itu,” katanya.

Jurucakap polis itu berkata, mereka dipanggil menyiasat selepas majikan Bernice melaporkan, wanita terbabit tidak datang bekerja beberapa hari.

Menurut jurucakap itu, Stolz menghalau polis yang datang ke rumahnya bagi melihat keadaan Bernice.
Katanya, polis mula curiga apabila terhidu bau busuk dari rumah berkenaan.

“Kami menghubungi unit SWAT bagi mendesak Stolz menyerah diri.
“Selepas beberapa percubaan, SWAT menghantar satu robot dilengkapi kamera ke rumah berkenaan untuk melihat keadaan di situ,” katanya.

Hasil pemeriksaan, polis mendapati Stolz tidak bersenjata dan terbaring di lantai.

“Stolz akhirnya menyerah diri tanpa melawan, manakala mayat Bernice ditemui di dapur dengan kesan tembakan di kepala.

“Stolz bercadang mahu membunuh diri tetapi gagal kerana kehabisan peluru,” katanya. - Reuters

'via Blog this'

Warga emas maut ‘dipotong’ pesawat

myMetro | Warga emas maut ‘dipotong’ pesawat:

CONTOH pesawat ringan yang merempuh Sinangele.
CONTOH pesawat ringan yang merempuh Sinangele.
NELSPRUIT (Afrika Selatan): Seorang pesara maut selepas tubuhnya terpotong dua dilanggar kapal terbang yang sedang mendarat, lapor media semalam.
Sinangele Asuza, 78, dirempuh pesawat ringan berkenaan ketika dia cuba melintasi landasan di sebuah lapangan terbang kecil di Ermelo, timur wilayah Mpumalanga.

Jurucakap polis berkata, pihak berkuasa percaya Sinangele adalah satu daripada tiga wanita yang memanjat pagar landasan berkenaan untuk memungut kayu di sekitar kawasan itu.
Katanya, mangsa mati serta-merta selepas tubuhnya dirempuh sayap kiri pesawat ringan berkenaan.

“Ia insiden mengerikan,” katanya.

Menurut jurucakap itu, Sinangele menetap tidak jauh dari lapangan terbang berkenaan dan leka memungut kayu di di kawasan berhampiran.
Katanya, tiga daripada mereka memanjat pagar landasan untuk mengambil jalan pintas ke bahagian lain kawasan itu.

“Ketika itu juga sebuah pesawat ringan mendarat dan mangsa menyangka dia sempat mengelak,” katanya.
Bagaimanapun, kata jurucakap polis itu, perkiraan wanita terbabit tersilap apabila tubuhnya dirempuh sayap pesawat berkenaan. Sementara itu, pihak berkuasa berkata, mereka sedang menyiasat kejadian berkenaan yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi Isnin lalu.

Pegawai Jabatan Penerbangan berkata, pesawat itu dipandu juruterbang berpengalaman dan memang melihat ada tiga wanita cuba melintasi landasan ketika ia mendarat.

“Juruterbang mencuba sebaik mungkin mengelak tetapi malangnya tidak banyak yang dapat dilakukan,” katanya.

Juruterbang berkenaan tidak mengalami kecederaan, tetapi masih terkejut dengan apa yang berlaku, manakala sayap kiri pesawatnya rosak teruk. - DM

'via Blog this'

Budak ketagih judi dirantai bapa

myMetro | Budak ketagih judi dirantai bapa:

PELAJAR berusia 13 tahun terpaksa menjadi tontonan orang ramai selama dua jam kerana ponteng sekolah untuk berjudi.
PELAJAR berusia 13 tahun terpaksa menjadi tontonan orang ramai selama dua jam kerana ponteng sekolah untuk berjudi.
PHNOM PENH: Bosan dengan perangai anaknya yang ketagih berjudi, seorang bapa merantai remaja terbabit ke tiang elektrik sebagai hukuman ponteng sekolah, kata polis semalam.
Pegawai polis Battambang, Cheth Vanny, berkata lelaki terbabit dipercayai terlalu berang apabila mendapati anaknya itu leka berjudi di sebuah kafe siber berhampiran, sedangkan pada waktu itu dia sepatutnya pergi sekolah.

Katanya, remaja berusia 13 tahun itu kemudian dirantai di tempat awam sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatan itu.
“Remaja terbabit mendakwa dia turut dipukul bapanya,” katanya.

Menurut Cheth, remaja itu hanya dibebaskan daripada ikatan kira-kira dua jam kemudian apabila orang ramai menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Seorang tukang kunci turut dibawa ke lokasi bagi membuka mangga rantai itu, manakala bapa remaja terbabit melarikan diri dan kini diburu atas kesalahan mendera. - AFP

'via Blog this'

Isu simbah asid kembali panas

Berita Harian Online | Isu simbah asid kembali panas:

Gambar Fakhra Younus sebelum dan selepas disimbah asid.
Gambar Fakhra Younus sebelum dan selepas disimbah asid.
ISLAMABAD: Mangsa serangan asid Pakistan, Fakhra Younus mengambil keputusan membunuh diri kerana kecewa dengan nasib dirinya selepas menjalani pembedahan lebih 30 kali sejak lebih satu dekad lalu bagi memperbaiki wajah dan anggota badan. 

Bekas penari berusia 33 tahun ini diserang bekas suami dan juga bekas ahli perundangan dan anak lelaki seorang ahli politik berpengaruh.
Fakhra melompat dari tingkat enam sebuah bangunan di Rome yang menjadi kediaman dan tempat rawatannya.

Perbuatannya membunuh diri pada 17 Mac lalu dan ketibaan mayatnya di Pakistan Ahad lalu mencetuskan semula perbahasan hangat mengenainya selepas mendapat liputan besar antarabangsa. 

Kematiannya berlaku kurang sebulan selepas seorang penerbit filem Pakistan menang Oscar menerusi dokumentari mangsa asid. 

Fakhra bekerja sebagai penari di kawasan lampu merah di Karachi apabila berkenalan dengan Bilal Khar, bakal suaminya yang juga anak lelaki bekas gabenor Punjab, Ghulam Mustafa Khar. Ia adalah perkahwinan ketiga Ghulam yang berusia 30-an ketika itu. 

Pasangan itu berkahwin selama tiga tahun sebelum Ghulam meninggalkan Fakhra selepas dituduh mendera dan berkasar bahasa dengannya. – AP
'via Blog this'

Doktor bantu CIA dipecat

Berita Harian Online | Doktor bantu CIA dipecat:
PESHAWAR: Pakistan memecat seorang pakar bedah kerajaan yang direkrut Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) untuk membantu mengesan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden. 

Dr Shakeel Afridi dipecat atas alasan melanggar disiplin oleh kerajaan wilayah barat laut, Khyber Pakhtunkhwa, lokasi Osama dibunuh dalam serbuan komando Amerika Syarikat (AS) Mei lalu yang dianggap memalukan Pakistan.
“Kerajaan negeri Pakhtunkhwa mengeluarkan notis pemecatan Dr Shakeel Afridi,” kata setiausaha kesihatan wilayah, Ashfaq Khan.

Seramai 17 lagi pegawai perubatan yang bekerja dalam program vaksin palsu ditubuhkan CIA dalam usaha mengesahkan Osama tinggal di bandar Abbottabad sudah pun dipecat, katanya lagi. 

Selain itu, seramai 15 pekerja kesihatan wanita dipecat Ogos tahun lalu dan seorang doktor wanita serta seorang pembantu koordinator diberhentikan pada 17 Mac, kata Ashfaq. 

Shakeel yang sudah berkhidmat sejak beberapa tahun sebagai pakat bedah kerajaan di daerah puak tanpa undang-undang, Khyber, kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Pakistan. 

Pegawai Pakistan percaya Shakeel mungkin sudah mengetahui kehadiran Osama di Abbottabad dan berkongsi maklumat dengan perisikan AS. – AFP
'via Blog this'

Arab akur Bashar berkuasa

Berita Harian Online | Arab akur Bashar berkuasa:

GAMBAR fail disediakan oleh agensi berita rasmi Syria, SANA, Presiden Syria Bashar Assad sedang membuang undi bersama isterinya, Asma, di Damsyik Syria pada 26 Februari 2012 lalu. - Foto AP
GAMBAR fail disediakan oleh agensi berita rasmi Syria, SANA, Presiden Syria Bashar Assad sedang membuang undi bersama isterinya, Asma, di Damsyik Syria pada 26 Februari 2012 lalu. - Foto AP
Deklarasi Baghdad tidak akan desak pemimpin Syria letak jawatan

BAGHDAD: Pemimpin Arab yang menyertai sidang kemuncak serantau pertama di Baghdad serta turut dihadiri Emir Kuwait sejak kempen tentera Barat menawan Iraq pada 1990, mengakui tidak akan mendesak pemimpin Syria, Bashar al-Assad menyerah kuasa.
Ketika sidang bermula semalam, anggota keselamatan Syria menyerang kubu pemberontak di seluruh negara itu selepas pentadbiran Bashar menolak inisiatif Liga Arab.
'via Blog this'

Kereta sport McLaren dijual di Philadelphia

Kosmo! Online - Dunia:



DISTANISLAO memandu kereta McLaren MP4-12C.


PHILADELPHIA, Amerika Syarikat (AS) - Pembuat kereta sport Britain, McLaren memperkenalkan kereta terbaharunya, MP4-12C di bandar raya ini.
Presiden Pusat Jualan McLaren di sini, Robert DiStanislao memandu uji kereta berteknologi tinggi itu ketika dia memperkenalkan MP4-12C kepada media kelmarin.
Kereta MP4-12C dijana enjin V berkapasiti 3.8 liter dengan pengecas turbo berkembar.
McLaren hanya mengeluarkan 1,000 buah kereta tersebut untuk pasaran di seluruh dunia.
Sejumlah 400 buah MP4-12C dijual di AS pada harga yang bermula AS$229,000 (RM703,201).
Kereta itu diperkenalkan pada tahun lalu.
McLaren turut mempunyai pasukan perlumbaan Formula Satu (F1) berserta Mercedes. - Agensi

'via Blog this'

Ikan flowerhorn jadi tumpuan pengunjung

Kosmo! Online - Dunia:


BENTUK bonggol yang terdapat pada ikan itu.


BANGKOK - Seekor ikan flowerhorn yang mempunyai bonggol berwarna merah pada kepala menjadi tumpuan para pengunjung pada satu festival ikan di sini semalam.
Diadakan pada setiap tahun di Thailand, festival yang dikenali sebagai Pramong Nomjai Thai Tuala itu mempamerkan pelbagai jenis ikan eksotik dan mahal seperti flowerhorn dan arowana.
Pada tahun ini, pameran yang diadakan di sebuah pusat beli-belah itu akan berakhir pada 1 April depan. - Agensi

'via Blog this'

Bapa rantai anak pada tiang

Kosmo! Online - Dunia:



LEHER seorang remaja berusia 13 tahun dirantai pada sebatang tiang elektrik di Battambang semalam. - AFP


BATTAMBANG - Seorang bapa di Kemboja merantai leher seorang anak lelakinya pada sebatang tiang kayu elektrik di sini bagi menghukum remaja berkenaan yang ponteng sekolah untuk bermain permainan Internet, kata polis semalam.
Remaja berusia 13 tahun itu dirantai pada tiang elektrik sekitar dua jam.
Jirannya kemudian menghubungi pihak polis yang tiba di tempat kejadian bersama seorang tukang kunci untuk membebaskan mangsa.
"Si bapa amat marah apabila menemui anak lelakinya di sebuah kafe Internet dan bukan di sekolah sehingga dia sanggup merantai anaknya di khalayak sebagai pengajaran," kata Timbalan Ketua Polis Battambang, Cheth Vanny.
Menurutnya, mangsa turut dipukul oleh bapanya.
Bapa berusia 40 tahun itu, Sok Thoeun yang bekerja sebagai pemandu teksi motosikal melarikan diri selepas insiden berkenaan yang berlaku pada Selasa lepas.
Dia kini diburu polis kerana melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.
"Dia sedang diburu," kata pegawai berkenaan.
"Penderaan seperti ini menyalahi undang-undang," tambahnya lagi.
Penggunaan Internet di Kemboja adalah antara yang terendah di Asia Tenggara dengan kurang 1.5 peratus daripada 14 juta penduduk Kemboja menggunakan kemudahan tersebut. - AFP

'via Blog this'