Pages

Monday, August 15, 2011

Solat panjang

MAKKAH: Seorang imam mungkin akan diambil tindakan kerana sengaja memanjankan bacaan dalam solat walaupun mendapat rungutan daripada jemaah.
Sheikh Bakur bin Hamid Mir, Ketua Pengarah Kementerian Hal Ehwal Islam, Bahagian Wakaf, Dakwah dan Bimbingan, cawangan Makkah telah menghantar surat kepada pengarah di Makkah untuk bertanyakan masalah yang dihadapi oleh jemaah tentang imam itu.
Hanya terdapat satu masjid saja di daerah itu. Jemaah membuat aduan imam telah menolak permintaan mereka untuk memendekkan bacaan dalam solat sejak tiga tahun lepas.

Sumber berkata, pihak kementerian akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat perkara ini dan cuba memulihkan hubungan antara jemaah dengan imam itu.


Jemaah berkata, ramai penduduk telah pergi ke masjid di daerah yang berdekatan ketika bulan Ramadan.
Sheikh Bakur berkata, imam tidak boleh membaca surah terlalu panjang dalam solat.-hmetro

Kanak-kanak mati terkurung dalam kereta panas

MUSCAT: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun mati selepas dibiarkan dalam kereta bertutup rapat selama beberapa jam di Khasab di utara Oman, semalam.
Menurut Polis Diraja Oman, bapa dan adik beradiknya yang lain terpaksa meninggalkan mangsa di dalam kereta kira-kira jam 1 petang ketika cuaca terik.
Anak lelakinya yang berusia lima tahun mengunci kereta atas arahan bapanya tanpa sedar yang adiknya masih berada di dalam kereta.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia sebaik saja keluarganya menghantarnya ke hospital.

Gunung Soputan di Sulawesi Utara meletup

JAKARTA: Gunung Soputan di Minahasa, di Sulawesi Utara mengeluarkan gumpalan asap, pagi semalam hingga satu kilometer tinggi.
Letupan gunung berapi itu menarik perhatian penduduk daerah Tompaso di Minahasa yang dapat melihatnya dengan jelas dari kawasan itu.

“Saya terkejut dan cemas melihat letupan itu yang berlaku kira-kira jam 10 pagi. Ia letupan yang besar; asap dan debu yang dihamburkan ke udara cukup tinggi; hampir sama dengan letupan gunung berapi beberapa bulan lalu,” kata penduduk, Riko Tamunu, 24.-hmetro

Suspek tetak ditahan

SUSPEK kes bunuh bapa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Setar, selepas mendapat perintah reman di sini, semalam.

SUSPEK kes bunuh bapa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Setar, selepas mendapat perintah reman di sini, semalam.

Lelaki kelaparan pulang cari makanan diserbu polis 

KUALA NERANG: Suspek yang menetak bapa kandungnya hingga mati selain mencederakan ibunya menggunakan parang di Kampung Pasir Puteh, Mukim Tualak, dekat sini Khamis lalu ditahan polis ketika menonton televisyen di rumahnya, awal pagi semalam.
Dalam serbuan jam 1.45 pagi itu suspek dikatakan baru pulang ke rumahnya untuk mencari makanan namun hampa selepas mendapati tiada sesiapa di rumah berkenaan.
Tindakan suspek yang membuka lampu biliknya dan kemudian menonton televisyen di ruang tamu rumah itu disedari beberapa jiran dan adik iparnya yang kemudian melaporkan kepada polis. 

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, ketika diserbu suspek yang tidak berbaju terkejut dan bertindak agresif untuk mengelak daripada ditangkap. 

“Ketika ditangkap dia tidak bersenjata dan sedang berehat sambil menonton televisyen di rumahnya. Ketika itu dia agak terkejut selepas mendapati polis memasuki rumah berkenaan dan cuba melawan namun gagal melepaskan diri. 

“Sebelum itu kami mengepung rumah berkenaan bagi mengelak mangsa meloloskan diri. 
“Apabila mendapati pintu rumah itu tidak berkunci anggota kemudian mengendap mangsa dan menyerbunya,” katanya di sini. 

Dalam kejadian pada kira-kira jam 7 petang Khamis lalu, suspek yang berusia 33 tahun menetak bapa kandungnya hingga mati selain mencederakan ibunya dengan parang selepas dia ditegur kerana memarahi tiga anak saudaranya yang membuat bising ketika keluarga berkenaan menunggu untuk berbuka puasa. -bharian

Nik Aziz juga tak setuju guna pembesar suara

Umat Islam wajar hormati sensitiviti masyarakat sekeliling

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, tidak bersetuju dengan amalan bacaan al-Quran dibuat menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu masyarakat sekitarnya.
Mursyidul Am PAS itu berkata, perbuatan berkenaan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat sehingga boleh menyusahkan mereka dan seseorang Islam harus menghormati masyarakat sekeliling dengan tidak membuat bising, termasuk membaca al-Quran menggunakan pembesar suara.
Sekiranya membaca al-Quran melalui pembesar suara sehingga menyusahkan orang sakit atau menyebabkan budak menangis akibat terkejut, ia memang tidak dibenarkan. - Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan
Katanya, sekiranya perbuatan membaca al-Quran melalui pembesar suara dengan kuat sehingga menyusahkan orang sakit atau menyebabkan budak menangis akibat terkejut, ia memang tidak dibenarkan.

“Sekiranya bacaan al-Quran melalui pembesar suara itu menyebabkan rungutan masyarakat terutama yang sakit, lebih baik gunakan wang yang digunakan untuk tenaga elektrik itu (pembesar suara) bagi tujuan dakwah.

“Sebenarnya, apa yang diminta dilaungkan secara kuat ialah azan, manakala qamat serta baca al-Quran terutama ketika sembahyang adalah tidak digalakkan untuk dilaungkan. Namun di Kelantan masyarakatnya seronok mendengar bacaan al-Quran dari-pada pembesar suara,” katanya selepas merasmikan Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB), di sini, semalam.

Beliau memberitahu pemberita apabila diminta mengulas mengenai tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang yang mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menghentikan penggunaan sistem pembesar suara ketika bacaan al-Quran pada waktu sebelum Subuh kerana amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid. 
Di GURUN: BERNAMA melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedia berbincang dengan Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang bagi menangani isu salah faham fatwa yang mengarahkan pembesar suara tidak digunakan untuk memperdengarkan bacaan al-Quran sebelum waktu Subuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya akan meminta JAKIM membincangkan permasalahan itu kerana terdapat perkara yang perlu diselesaikan pada peringkat pentadbiran terlebih dulu.

“Kita minta JAKIM memanjangkan perkara ini untuk diperbincangkan bersama sebab ada perkara yang perlu kita selesaikan pada pentadbiran yang bukan memerlukan kepada muzakarah ataupun fatwa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Perdana bersama Menteri di Surau Kampung Kilang Ketapan, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, isu azan itu juga wajar dibahaskan dalam perbincangan Muzakarah Fatwa supaya dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam di negara ini. 

Tragedi berdarah sambut ulang tahun

ORANG ramai membantu mengeluarkan mangsa yang terkorban dalam serangan bom di Dera Allah, Pakistan, semalam. - Foto Reuters
ORANG ramai membantu mengeluarkan mangsa yang terkorban dalam serangan bom di Dera Allah, Pakistan, semalam. - Foto Reuters

Belasan nyawa terkorban kena serangan bom ketika raikan kemerdekaan Pakistan ke-64

QUETTA: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 23 yang lain cedera, apabila letupan bom meranapkan sebuah bangunan hotel dan restoran dua tingkat di bandar Dera Allah, 300 kilometer ke timur Quetta, ibu negeri wilayah Baluchistani barat daya Pakistan semalam.
Di wilayah lain, empat orang menjadi mangsa serangan dan tembakan ketika Pakistan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-64 semalam.
Pegawai kanan polis di Dera Allah Javed Gharsheen berkata, bom terbabit disembunyikan di satu sudut hotel dan ia meletup ketika sekumpulan penghuni berada di dalam dewan. Saksi berkata bangunan hotel itu musnah sama sekali.

Beliau berkata angka kematian dijangka meningkat kerana ramai lagi dipercayai masih terperangkap di celah runtuhan bangunan itu.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab setakat ini, tetapi pihak berkuasa mengesyaki ia dilakukan kumpulan pemisah Baluch yang sejak sekian lama menuntut hak autonomi dan kuasa ke atas sumber asli di wilayah itu.

Di bandar Khuzdar, 300 kilometer ke selatan Quetta, kumpulan lelaki yang menunggang motosikal menembak mati wartawan agensi berita Online, Munir Noor ketika beliau dalam perjalanan pulang daripada membeli-belah di sebuah pasar berhampiran kediamannya. 
“Beliau ditembak dari jarak dekat. Punca serangan masih disiasat,” kata ketua polis Khuzdar Abdul Qadir Sheikh.

Di Miranshah, wilayah barat laut Pakistan, sekurang-kurangnya tiga tentera paramilitari terbunuh manakala 25 lagi cedera apabila militan melepaskan bedilan roket ke arah kem mereka. 

Seorang pegawai berkata, empat roket dibedil ke arah kem di bandar utama di Wiziristan Utara itu ketika pasukan askar membuat persediaan untuk mengadakan perhimpunan bagi menyambut Hari Kemerdekaan.

“Tiga anggota paramilitari terbunuh, 25 lagi cedera, lima daripada mereka parah,” kata pegawai perisikan di tempat kejadian.

Sementara itu di CHARIKAR, Afghanistan, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 40 lagi cedera dalam satu serangan bunuh diri di kediaman dan pejabat Gabenor Wilayah Parwan, Abdul Basir Salangi semalam.

Abdul Basir ketika memberitahu sebuah stesen televisyen tempatan berkata enam pengebom bunuh diri menyerbu kawasan kediaman dan pejabatnya sebelum meletupkan bom dan melepaskan tembakan.

“Saya berada di dalam bangunan pejabat ketika serangan dilakukan. Seramai 14 orang awam dan lima anggota polis terbunuh, manakala 40 lagi cedera,” katanya.

Seorang pegawai berkata, lima letupan besar berlaku di kompleks pejabat dan kediaman itu dengan tiga daripadanya meletup di bahagian dalam bangunan, hanya 15 meter dari pejabat gabenor.

Sekurang-kurangnya dua pegawai tentera Amerika juga berada di tempat kejadian tetapi mereka terselamat. – AFP 
-bharian

18 maut serangan bom, roket di sempadan Pakistan

PESHAWAR: Serangan bom, senjata api dan roket menyebabkan 18 terbunuh di sempadan Pakistan-Afghanistan, semalam ketika Pakistan menyambut hari kemerdekaan negara itu.

Mereka yang terbunuh adalad 14 orang awam Dan 16 lagi cedera apabila satu bom meletup di jalan raya berhampiran sebuah restoran di pekan Dera Allah Yar, di Wilayah Baluchistan.
Kebanyakan mangsa adalah mereka yang terperangkap di celah bangunan yang runtuh, kata ketua polis daerah, Javed Gharshin.
Gharshin berkata empat suspek sudah ditahan dipercayai terbabit dalam serangan bom o 
itu. - AFP , bharian

22 maut serangan Taliban di Kabul

KABUL: Sekurang-kurangnya 22 maut dalam serangan pengebom berani mati oleh pejuang Taliban, di pekarangan bangunan milik kerajaan, di pinggir ibu negara, semalam.

Gabenor Wilayah Parwan, Abdul Basir Salangi, memberitahu stesen televisyen tempatan bajawa enam penyerang berani mati menyerang bangunan pentadbiran utama wilayah berkenaan.
"Saya berada di dalam (pejabat) ketika kejadian," katanya yang terselamat.
Salangi adalah gabenor yang terkenal dengan pendirian anti-Soviet dan anti-Taliban.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri mengesahkan yang terbunuh terdiri 16 pegawai wilayah dan enam pegawai polis dengan 34 lagi cedera termasuk 10 anggota polis. - AFP -bharian

Penculik hantar SMS ‘salam sayang’





KUALA TERENGGANU – Keluarga kepada gadis yang berjaya diselamatkan selepas menjadi mangsa culik selama lima jam oleh tiga lelaki pada Jumaat lalu bimbang dengan kemungkinan seorang daripada suspek yang masih bebas akan membalas dendam.
Bapa mangsa, Suhaimi Mustafa, (gambar) 36, berkata, dia kini terpaksa lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga keselamatan anak-anak terutama Noredreen Natasya, 15, yang masih takut.
Ia berikutan seorang daripada suspek yang masih bebas itu bertindak berani dengan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Noredreen petang kelmarin.
“Saya ingatkan dia (suspek) akan menjauhkan diri daripada Noredreen tetapi dia masih berani menghubungi anak saya,” kata Suhaimi ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Justeru, Suhaimi berharap polis segera memberkas suspek itu.
Dalam kejadian pada pukul 9.15 malam Jumaat lalu, Noredreen melalui detik-detik cemas apabila diculik tiga pemuda berdekatan rumahnya di Alor Peroi, Besut dekat sini.
Bagaimanapun, gadis itu bernasib baik apabila dia ditemui semula di sebuah rumah dalam daerah Pasir Puteh, Kelantan pada hari sama.
Mangsa berjaya ditemui apabila dia menghubungi seorang rakannya dengan menggunakan telefon bimbit miliknya.-kosmo

Diberkas ketika menonton TV




SUSPEK yang membunuh bapanya, Seman (gambar kecil) diberkas ketika pulang ke rumah di Kampung Pasir Putih, Tualak, Kuala Nerang semalam.


KUALA NERANG – Selepas tiga hari menghilangkan diri, seorang penoreh getah yang menetak bapanya sehingga maut dengan sebelah kaki kanannya putus di Kampung Pasir Putih, Tualak di sini Khamis lalu diberkas semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Supritendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan ketika berbaring sambil menonton televisyen di ruang tamu rumahnya pada pukul 1.45 pagi.
Rumah tersebut ketika itu tiada penghuni kerana ibu suspek, Hasnah Abdul Majid, 58, yang juga cedera diserang berpindah ke rumah anak perempuannya selepas kejadian ngeri itu.
“Suspek yang sebelum itu minum kopi berdasarkan cawan bekas minuman itu berehat di ruang tamu diberkas. Dia yang terkejut dengan serbuan itu tidak sempat berbuat apa-apa,” kata beliau.
Menurut Ku Yaacob, serbuan dibuat selepas polis menerima maklumat jiran yang memaklumkan rumah itu diterangi lampu sedangkan ia tidak berpenghuni.
“Jiran mengesyaki suspek pulang ke rumah selepas tiga hari menghilangkan diri dan menghubungi polis,” katanya.
Kelmarin, suspek dilaporkan ditemui berkeliaran di Kampung Paya Terap kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya sambil membawa dua bilah parang.
Namun selepas menyedari gelagatnya menarik perhatian orang ramai, suspek tiba-tiba melarikan diri ke hutan berhampiran.-kosmo

Belon panas rempuh rumah




SEBUAH belon panas merempuh deretan rumah di Bristol baru-baru ini.


BRISTOL, Britain - Sebuah belon panas merempuh deretan rumah selepas melanggar wayar telefon, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian tersebut berlaku ketika belon panas yang mengambil bahagian dalam Pesta Belon Panas Antarabangsa Bristol itu tidak dapat terbang tinggi.
Keadaan itu berlaku kerana kru belon berkenaan telah menukar silinder gas belon tersebut.
Bakul belon panas yang membawa seorang bapa dan anaknya itu kemudian merempuh sebuah rumah dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Bapa itu yang merupakan jurupandu belon berpengalaman, Martin Read berjaya mendaratkan belon panas tersebut kira-kira 8.04 kilometer dari tempat kejadian.
Pihak berkuasa penerbangan melakukan siasatan manakala kerosakan dijangka ditanggung oleh syarikat insurans. - Agensi, kosmo

Resipi kari ayam ditemui dalam buku tahun 1786



SYLVIA SIBLEY memegang buku yang mengandungi resipi untuk membuat kari ayam India.


PLYMOUTH, Britain - Seorang moyang berusia 73 tahun, Sylvia Sibley menemui resipi membuat kari ayam dalam sebuah buku yang bertarikh 1796, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia menemui buku itu dalam laci dapur lama semasa dia membersihkan rumah ibunya.
Dalam buku itu, tukang masak Hannah Glasse menjelaskan bagaimana untuk membuat masakan kari mengikut cara masakan penduduk India.
Ketua Eksekutif Chef untuk syarikat News International, Raj Sharman mencuba resipi itu.
Sharman berkata: "Ia amat-amat sedap."
Buku itu ditulis oleh Glasse semasa George II merupakan Raja England.
Dalam buku itu terdapat juga resipi kari arnab, kari ayam dan cara untuk membuat penawar penyakit anjing gila. - Agensi
-kosmo

Rumah paling mahal di Britain




RUMAH yang pernah didiami anak George II, Frederick dijual pada harga RM684 juta.


OXFORD - Sebuah rumah lama di Britain dipercayai telah dijual kepada seorang hartawan dari Rusia dengan harga kira-kira £140 juta (RM684 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Rumah Park Place yang berusia 300 tahun itu terletak di kawasan luar bandar berkeluasan 80.93 hektar di Oxfordshire.
Harga itu mengatasi rumah paling mahal di Britain sebelum ini iaitu £136 juta (RM664 juta) yang dijual di One Hyde Park, Knightsbridge, tengah London, awal tahun ini.
Terdapat sejarah unik mengenai rumah itu kerana ia pernah didiami oleh anakanda lelaki sulung George II yang pernah memerintah England.
Anak lelaki George II itu, Frederick (gambar) memegang gelaran Putera Wales.
Namun, baginda mangkat semasa berusia 44 tahun sebelum sempat menjadi Raja England.
Rumah itu kemudian dijual oleh balu Frederick, Augusta kepada seorang pegawai tentera England yang dikenali sebagai Jeneral Conway. - Agensi, kosmo

Topi keledar unik




BENTUK topi keledar yang kelihatan seperti otak manusia.


ASTANA - Sebuah firma di Kazakhstan menghasilkan topi keledar yang mempunyai imej hiasan seperti buah tembikai dan otak manusia, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Rekaan aneh itu juga mengandungi imej kepala botak dan bola tenis serta potongan rambut.
Kesemua rekaan tersebut diilhamkan oleh syarikat itu yang ingin menjadikan idea tersebut suatu realiti.
"Kami cuba melakukan sesuatu sekadar untuk hiburan. Namun, buat masa kini kami telah mempunyai cadangan untuk meminta hak pengeluaran di Amerika Syarikat dan Jepun," kata pereka topi keledar itu, Renat Abdrakhmanov. - Agensi, kosmo

Treler mewah milik Kutcher untuk disewaTreler mewah milik Kutcher untuk disewa




TRELER mewah yang dimiliki Ashton Kutcher.


LOS ANGELES - Aktor terkenal, Ashton Kutcher mempunyai kediaman mewah di dalam sebuah treler yang disewakan untuk para selebriti, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum ini isteri Kutcher, Demi Moore pernah menggunakan treler dua tingkat itu yang memiliki ukuran panjangnya 16 meter (m) dan seberat 30 tan.
Treler itu mempunyai teknologi hidraulik bagi menampung ruang skrin wayang tiga dimensi, ruang tamu yang luas dan dua bilik mandi.
Ia juga mempunyai dapur yang mempunyai hiasan granit dan ruang persidangan.
Di luar treler itu, terdapat kamera keselamatan dan apabila loceng pintu dibunyikan, bunyi sistem stereo dan televisyen akan tergendala.
Televisyen di dalam treler itu akan menyiarkan imej individu yang menekan loceng tersebut.
Sistem imbasan ibu jari tangan turut dipasang di pintu masuk ke bilik tidur utama.
Selebriti lain yang pernah menggunakan treler rekaan Ron Anderson dari firma Anderson Mobile Estates itu ialah Mariah Carey, Sharon Stone dan Vin Diesel.
Bayaran AS$8,750 (RM26,263) dikenakan kepada pelanggan yang mahu mendiami treler tersebut selama seminggu. - Agensi, kosmo

Akhbar siar wajah perompak barang Ashraf



WAJAH Reece Donovan yang 
disiarkan media Britain.


LONDON - Wajah penyerang yang merompak pelajar Malaysia, Muhammad Ashraf Haziq Rosli didedahkan akhbar-akhbar Britain semalam.
Penyerang itu, Reece Donovan berusia 21 tahun dari Romford, Essex muncul kelmarin di depan majistret di sebuah mahkamah di tengah London.
Dia dituduh merompak telefon bimbit Nokia dan konsol permainan Sony PlayStation milik Ashraf semasa rusuhan berlaku di London pada minggu lalu.
Donovan didakwa menjadi anggota kumpulan yang menggambarkan dirinya sebagai seorang lelaki yang baik semasa dia membantu Ashraf yang berdarah selepas rahangnya dikatakan dipukul oleh sekumpulan pemuda.
Namun, Donovan dikatakan berdiri di belakang Ashraf dan mengambil barang berharga bernilai £300 (RM1,465) daripada begnya.
Ketika kejadian, Ashraf sedang menunggang basikal di Barking, timur London apabila dia didatangi sekumpulan orang yang dianggarkan di antara 60 hingga 100 golongan muda.
Insiden itu juga disiarkan di laman YouTube.
Donovan kini ditahan di sebuah penjara. - Agensi, kosmo

4 maut pentas runtuh kerana angin



ORANG ramai melihat bumbung pentas yang runtuh akibat tiupan angin kencang di Indianapolis, Indiana kelmarin.


INDIANAPOLIS - Seramai empat orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 40 cedera apabila sebuah pentas runtuh akibat tiupan angin kencang pada satu pameran kelmarin.
Kejadian itu berlaku beberapa minit sebelum bintang muzik country, Sugarland membuat persembahan dan sejam selepas penyanyi Sarah Barielles beraksi.
"Empat kematian dan 40 orang yang cedera dihantar ke hospital tempatan. Jumlah yang kritikal tidak diketahui," kata Jabatan Keselamatan Awam Indianapolis menerusi mesej di laman Twitter.
Satu video amatur yang disiarkan di laman YouTube menunjukkan angin kencang meruntuhkan pentas tersebut manakala orang ramai menjerit ketakutan.

SEORANG penyanyi, Sarah Barielles membuat persembahan sejam sebelum pentas runtuh di Indianapolis, Indiana kelmarin.


Saksi-saksi memberitahu, hujan turun selepas angin kencang.
"Mungkin puluhan orang yang cedera telah pun dipindahkan," kata pengkritik muzik untuk Indianapolis Star, David Lindquist dalam satu mesej di Twitter.
Beberapa saksi berkata, orang ramai turut membantu mencari mangsa-mangsa yang terselamat di kawasan runtuhan. - Agensi, kosmo