Pages

Tuesday, December 6, 2011

Lelaki pencetus revolusi Libya dilantik jadi menteri

Lelaki pencetus revolusi Libya dilantik jadi menteri - Hiburan - Sinar Harian:

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 6, 2011
israel

TRIPOLI - Seorang lelaki Libya yang penahanannya pada Februari lalu menjadi pencetus revolusi di negara itu, mengangkat sumpah sebagai menteri di dalam kerajaan baru negara Afrika Utara itu, kelmarin.

Fethi Tarbel yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan Libya, mengalirkan air mata semasa majlis upacara mengangkat sumpah dan mengucapkan taat setia kepada negaranya.

Fethi, 39, seorang aktivis hak asasi manusia dan juga peguam yang mewakili keluarga mangsa pembunuhan semasa pemerintahan bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, ditahan di Benghazi, Februari lalu.

Penahanan beliau mencetuskan demonstrasi oleh keluarga mangsa yang disuraikan secara kasar oleh polis, menyebabkan rusuhan lebih besar bermula, 17 Februari lalu, sehingga akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Gaddafi, Ogos lalu.

Iran tembak kapal terbang pengintip AS

Iran tembak kapal terbang pengintip AS - Global - Sinar Harian:

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 6, 2011

TEHERAN - Media Iran kelmarin melaporkan tentera negara itu menembak jatuh sebuah kapal terbang pengintip milik Amerika Syarikat (AS) di timur Iran.

Menurut sumber tentera Iran, jet pengintip tanpa juruterbang itu ditembak selepas didapati mencero-bohi ruang udara Iran di sempadan Afghanistan.

Tentera AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggunakan jet itu untuk melancarkan serangan udara di Afghanistan dan Pakistan
.
Bagaimanapun, tentera bersekutu Barat di Afghanistan mengumumkan, jet pengintip yang ditembak jatuh itu mungkin pesawat yang hilang selepas pengendali tentera AS hilang kawalan terhadap kapal terbang itu, minggu lalu.

Jurucakap tentera AS pula menafikan dakwaan Teheran itu dan menegaskan tiada sebarang bukti menunjukkan tentera Iran menembak jatuh pesawat milik AS.

42,000 mati sejak Perang Vietnam

42,000 mati sejak Perang Vietnam - Global - Sinar Harian:

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 6, 2011

HANOI - Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung berkata, 42,000 orang terbunuh akibat bom, periuk api dan senjata tinggalan Perang Vietnam selepas 36 tahun perang itu berakhir.

Lebih 62,000 lagi rakyat Vietnam cedera disebabkan letupan tidak sengaja senjata tinggalan perang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) itu, menurut Nguyen, semalam.

Vietnam meminta bantuan antarabangsa AS$500 juta (RM1.57 bilion) untuk memusnahkan lebih 350,000 tan periuk api dan bom dari era perang yang masih bertaburan di seluruh negara.

Tentera AS menggunakan lebih 16 juta tan senjata semasa perang berakhir pada 1975 itu.
Menurut pakar, Vietnam memerlukan ratusan tahun lagi sebelum semua bom dan periuk api yang masih belum meletup dapat dimusnahkan.

Hillary cetus kemarahan pemimpin Israel

myMetro | Hillary cetus kemarahan pemimpin Israel:

BAITULMAQDIS: Menteri rejim Israel berang semalam berhubung kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton yang menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan demokrasi dan hak asasi wanita di negara itu.

Kenyataan Hillary yang dibuat secara tertutup dalam Forum Saban di Washington, Sabtu lalu menjadi tajuk utama di semua akhbar Israel, yang melaporkannya tanpa menjelaskan bagaimana mereka memperolehnya.


Akhbar paling laris, Yediot Aharonot berkata, Hillary menyuarakan kebimbangan mengenai beberapa rang undang-undang ‘antidemokratik’ yang diusulkan oleh anggota kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Hillary turut melahirkan rasa terkejutnya mengenai laporan beberapa bas di Baitulmaqdis diasingkan antara lelaki dan wanita dan beberapa anggota tentera Israel enggan menghadiri majlis yang akan mengadakan acara untuk wanita menyanyi, lapor akhbar itu. - AP

Pihak berkuasa Syria tangkap bloger

myMetro | Pihak berkuasa Syria tangkap bloger:

NICOSIA: Pihak berkuasa Syria semalam menahan bloger, Razan Ghazzawi di sempadan negara itu dengan Jordan ketika dia dalam perjalanan ke Jordan untuk mengambil bahagian dalam bengkel mengenai kebebasan akhbar di dunia Arab.

Pusat Media dan Kebebasan Bersuara Syria menggesa pembebasan Razan yang mewakili kumpulan itu di forum berkenaan dan mendesak kerajaan menghentikan penindasan terhadap bloger dan wartawan di Syria.


Razan mengendalikan blognya sendiri, Razaniayat, sejak 2009.

Laman rangkaian sosial memainkan peranan penting dalam menggerakkan tunjuk perasaan antikerajaan yang melanda Syria sejak pertengahan Mac lalu.


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan lebih 4,000 orang terbunuh apabila kerajaan Syria bertindak terhadap penentangnya.


Wartawan asing dilarang membuat liputan kekacauan itu, menyebabkan media antarabangsa terpaksa bergantung kepada aktivis dan video menerusi YouTube dan laman Internet lain. - Agensi

Iran tembak jatuh dron AS

myMetro | Iran tembak jatuh dron AS:

TEHERAN: Seorang pegawai kanan tentera Iran berkata, pihaknya menembak jatuh sebuah dron kawalan jauh yang dikendalikan tentera Amerika Syarikat di timur negara itu.

Beliau berkata, Unit Perang Elektronik Tentera Iran berjaya mensasarkan pesawat tanpa juruterbang RQ-179 Sentinel buatan Amerika Syarikat itu selepas ia memasuki ruang angkasa Iran di sempadan dengan Afghanistan.


Menurutnya, dron itu yang mengalami kerosakan kecil, dirampas.

Pesawat RQ-170 itu direka dan dibuat oleh Syarikat Lockheed Martin.


Tentera Amerika Syarikat dan CIA menggunakan dron seumpama itu untuk melancarkan serangan udara di Afghanistan dan barat laut Pakistan.


Pegawai yang namanya tidak didedahkan itu juga berkata: “Memandangkan pencerobohan sempadan itu jelas, tindakan operasi dan elektronik yang diambil oleh Tentera Republik Islam Iran terhadap pesawat yang menceroboh tidak akan terhad kepada kawasan sempadan Iran saja.” Sementara itu, tentera Nato berkata, pihaknya hilang kawalan terhadap sebuah dron pengintip yang terbang di ruang angkasa Afghanistan dan ia mungkin yang sama dengan yang ditembak jatuh oleh tentera Iran.

“Pesawat tanpa juruterbang yang dirujuk oleh Iran itu mungkin dron tanpa senjata Amerika Syarikat yang dalam penerbangan di barat Afghanistan hujung minggu lalu.


“Pengendali pesawat itu hilang kawalan terhadapnya dan berusaha menentukan statusnya,” kata Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kabul semalam. Kenyataan itu diserahkan kepada wartawan yang membuat liputan mengenai persidangan antarabangsa mengenai Afghanistan di Bonn, Jerman.

Kejadian berlaku ketika Amerika Syarikat meningkatkan kehadiran tenteranya di sekitar rantau Teluk Parsi sejak beberapa bulan lalu berikutan kekacauan di Bahrain.


Jabatan Pertahanan Amerika berkata, ia mengawasi perkembangan di Bahrain tempat terletaknya ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat. - Agensi

Isteri cuba potong kemaluan suami dengan gunting


myMetro | Isteri cuba potong kemaluan suami dengan gunting:

CALIFORNIA: Seorang wanita ditahan kerana cuba memotong kemaluan suaminya menggunakan gunting.

Virginia Valdez, 67, ditahan atas tuduhan menyerang menggunakan senjata berbahaya, penderaan pasangan dan penganiayaan.

Polis di Palm Spring bagaimana pun membebaskan wanita itu setelah dia embayar ikat jamin 64,000 pound (RM314,110).

Sarjan Melissa Desmarais berkata, “Mangsa berusia 62 tahun menelefon dan membuat laporan isterinya cuba memotong kemaluannya dengan gunting menyebabkan dia cedera.”


“Mangsa menerima rawatan dan sudah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya. - Agensi

12 ‘supercar’ remuk redam

ANGGOTA polis menyiasat nahas kereta mewah ydi lebuh raya Chugoku, semalam.
ANGGOTA polis menyiasat nahas kereta mewah ydi lebuh raya Chugoku, semalam.

TOKYO: Memandu dengan laju dikatakan penyebab beberapa buah kereta mewah bernilai AS$4 juta (RM12.54 juta) musnah dalam satu kemalangan jalan raya di sini, semalam.

Lapan Ferrari dan sebuah Lamborghini serta sebuah Toyota Prius adalah antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.

Menurut beberapa saksi, ia berlaku apabila satu daripada kenderaan yang dipandu laju, tergelincir di atas permukaan jalan yang licin.

Rakaman televisyen menunjukkan beberapa buah Ferrari, remuk kebanyakannya berwarna merah dan serpihan kenderaan berada di atas jalan sepanjang 400 meter di lebuh raya Chugoku, jalan utama ke selatan Honshu.


Sekumpulan 20 kereta mewah bergerak dalam konvoi semalam di atas lebuh raya yang basah apabila kereta Ferrari yang menjadi ketua konvoi itu tergelincir ke arah pagar jalan, kata polis.



Pemandu yang di belakang, terus menekan brek tetapi sudah terlewat.

“Saya tidak pernah lihat kejadian begini.

“Jarang kereta Ferrari bergerak dalam satu konvoi besar,” kata peronda lebuh raya, Leftenan Eiichiro Kamitani.

Kamitani berkata, lima lelaki dan lima wanita, cedera ringan akibat kemalangan itu.

“Mungkin mereka memandu secara berpasangan,” katanya.

“Kemalangan ini mungkin disebabkan memandu dengan laju tetapi kami masih menyiasat punca sebenar,” tambahnya lagi.

Toyota Prius dan sebuah lagi Toyota turut terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan 14 kereta remuk teruk tetapi dipercayai bukan ahli konvoi itu.
Tiga lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah kenderaan jenis Mercedes-Benz.

Menurut seorang saksi, “Mereka memandu selaju 140 hingga160 kilometer sejam. Salah satu daripada kereta itu berpusing dan menyebabkan kemalangan.”

Had laju di lebuh raya itu 80 kilometer sejam.

Satu daripada kereta Ferrari yang remuk adalah jenis F430 Scuderia, yang boleh mencapai kelajuan 320 kilometer sejam. - AFP

myMetro | 12 ‘supercar’ remuk redam:

'via Blog this'

Ibu gagal selamat anak lemas

Berita Harian Online | Ibu gagal selamat anak lemas:
 AZNIRA pengsan terpaksa dipapah oleh suaminya, Anuar Ismail, selepas melihat anaknya, Muhammmad Irfan (gambar kecil)  lemas dalam kejadian di Lata Hujan, Ulu Kusial.
AZNIRA pengsan terpaksa dipapah oleh suaminya, Anuar Ismail, selepas melihat anaknya, Muhammmad Irfan (gambar kecil) lemas dalam kejadian di Lata Hujan, Ulu Kusial.
TANAH MERAH: Kegembiraan seorang ibu membawa dua anaknya bermain air terjun di Lata Hujan, Ulu Kusial, di sini, bertukar tragedi, apabila salah seorang anaknya itu mati lemas dibawa arus deras, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Muhammad Irfan Anuar, 12, yang sedang mandi di air terjun berkenaan bersama adiknya, Muhammad Islah, 8, tiba-tiba dibawa arus deras air terjun berkenaan.
Ibunya, Aznira Abdullah, 37, yang melihat kedua-dua anaknya itu lemas, terus terjun ke dalam air yang deras itu dan berjaya menyelamatkan Muhammad Islah, namun gagal menyelamatkan Muhammad Irfan, yang dibawa arus deras.
“Saya bersama dua anak termasuk arwah ke air terjun itu petang kelmarin dengan menaiki motosikal untuk mandi di situ, tambahan pula ia terletak tidak jauh dari kediaman kami iaitu di Kampung Buluh.

“Kejadian berlaku begitu cepat, sebelum kejadian kedua-dua anak sedang seronok mandi bersama di air terjun itu dan tiba-tiba mereka dibawa arus deras menyebabkan saya terpaksa bertindak pantas terjun untuk menyelamatkan mereka.

“Saya sempat mencapai Muhammad Islah yang sudah kelemasan dan cuba menyelamatkan arwah yang sebelum itu tersangkut ada ranting kayu di situ, namun arus deras menyebabkan gagal untuk memegangnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tanah Merah (HTM), semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud, berkata operasi mencari mangsa dijalankan selepas menerima laporan kejadian kira-kira jam 4 petang, membabitkan Skuad Keselamatan Tanah Merah Machang Jeli (SKTMJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanah Merah serta Pengkalan Kubor.
Katanya, hasil kerjasama pihak terbabit berjaya menemui mangsa kira-kira jam 10.37 malam hari kejadian, kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Mangsa dipercayai mati akibat lemas dan dibawa ke HTM untuk dibedah siasat sebelum mayat dituntut keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Pemandu keliru lorong bas, teksi

Berita Harian Online | Pemandu keliru lorong bas, teksi:
KESESAKAN di Jalan Tun Sambathan berikutan pemandu keliru pelaksanaan lorong bas dan teksi.
KESESAKAN di Jalan Tun Sambathan berikutan pemandu keliru pelaksanaan lorong bas dan teksi.
Orang ramai mahu tempat letak kereta, laluan pejalan kaki ditambah

BRICKFIELDS: Pengenalan lorong khas untuk bas dan teksi di sepanjang Jalan Tun Sambanthan, Little India, Brickfields sejak Sabtu lalu, mengakibatkan kekecohan dan kesesakan berikutan kebanyakan pengguna masih keliru dengan perubahan dilakukan, selain kekurangan papan tanda.
Orang ramai masih keliru dengan pengenalan lorong khas untuk bas dan teksi di sepanjang jalan itu menyebabkan banyak kenderaan persendirian memasuki lorong berkenaan secara tidak sengaja.
Walaupun alasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pelaksanaan lorong khas untuk bas dan teksi itu bertujuan mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan, lima kemalangan membabitkan bas dan pejalan kaki dilaporkan dalam tempoh 48 selepas dilaksanakan, termasuk dua yang cedera parah.

Tinjauan Sentral semalam mendapati pengguna dari arah pusat bandar memasuki lorong bas untuk menuju ke Seputeh kerana tidak banyak papan tanda pemberitahuan lorong bas dan teksi, malah papan tanda yang ada pula sukar dilihat kerana terlindung oleh dahan pokok.

Keadaan lalu lintas agak terkawal semalam selepas DBKL meletakkan penghadang jalan di sepanjang lorong bas dan teksi selain menempatkan pegawai penguat kuasa bagi mengawal lalu lintas di simpang jalan menghala ke pusat bandar.

Orang ramai yang keliru dengan lorong khas itu bagaimanapun menyambut baik pelaksanaannya tetapi mahukan penambahbaikan terutama dari sudut penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan mereka sebagai pengguna, selain mahu tempat meletak kereta dan laluan pejalan kaki ditambah di sekitar kawasan itu.
Peniaga di Little India, R Nathan, berkata kehadiran pegawai penguat kuasa DBKL atau polis trafik yang mengawal lalu lintas terutama di persimpangan jalan penting dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan atau kesesakan.

“DBKL ada bagi notis kepada semua peniaga mengenai pelaksanaan sistem lalu lintas yang baru ini tetapi bagaimana dengan pengunjung lain? Buat permulaan memang orang ramai tidak sedar dengan perubahan yang dilakukan, tetapi saya yakin mereka dapat menyesuaikan diri.

“Pada hari pertama dan kedua sistem baru ini dilaksanakan saya cuti dan apabila kembali bekerja pagi tadi (semalam), saya agak keliru dan kelam kabut kerana terpaksa membuat satu pusingan untuk ke kedai saya.

“Saya bimbang pada petang kesesakan menjadi teruk sehingga bas dan teksi tidak dapat bergerak apabila banyak kereta dari arah Jalan Sultan Abdul Samad masuk ke arah pusat bandar dengan melintasi lorong bas,” katanya.

‘Khmer Rouge bukan orang jahat’


Berita Harian Online | ‘Khmer Rouge bukan orang jahat’:

PHNOM PENH: Pemimpin nombor dua rejim Khmer Rouge memberitahu mahkamah bahawa beliau dan rakan seperjuangan bukan ‘orang jahat,’ menafikan bertanggungjawab terhadap kematian 1.7 juta penduduk Kemboja ketika pemerintahan mereka pada tahun 1970-an.

Kenyataan Nuon Chea dibuat kepada tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mula menyoal siasat beliau dan dua pemimpin Khmer Rouge yang lain di mahkamah buat pertama kali selepas perbicaraan yang ditunggu sejak sekian lama itu bermula bulan lalu.
Nuon Chea, antara orang kepercayaan Pol Pot sebaliknya menyalahkan negara jiran Vietnam kerana pembunuhan beramai-ramai itu.
Khmer Rouge sering mendakwa kubur besar yang ditemui adalah penduduk yang dibunuh pasukan tentera bersenjata Vietnam.

Minggu ini mahkamah dijangka memberi tumpuan kepada dakwaan membabitkan pergerakan penduduk dan jenayah menentang kemanusiaan.

Selepas Khmer Rouge menawan Phnom Penh pada 17 April 1975, rejim itu mula memindahkan satu juta penduduk malah pesakit hospital dari ibu negara ke pinggir bandar untuk memastikan usaha menubuhkan negara komunis.

Selepas seorang kerani mahkamah membaca latar belakang Khmer Rouge dan tiga defendan, Nuon Chea mempertahankan pergerakan terbabit.
“Saya tidak mahu generasi akan datang salah faham sejarah.

“Saya tidak mahu mereka menganggap Khmer Rouge orang jahat. Tiada yang benar mengenainya,” kata Nuon Chea.

Bekas ketua ideologi pergerakan komunis berusia 85 tahun itu sebaliknya berkata, tiada rakyat Kemboja yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan ketika pemerintahan Khmer Rouge pada 1975 hingg 1979, sebaliknya mendakwa negara jiran bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai itu.

Vietnam menumbangkan Khmer Rouge pada 1979.

“Jenayah perang dan kemanusiaan ini tidak dilakukan penduduk Kemboja.

“Ia dilakukan rakyat Vietnam yang membunuh penduduk Kemboja,” katanya.

Turut didakwa Khieu Samphan, 80, dan Ieng Sary, 86. – AP

Karzai minta bantuan dunia

KARZAI berbincang dengan Guido (kanan) dan Angela  pada persidangan Antarabangsa Afghanistan di Bonn, semalam.
KARZAI berbincang dengan Guido (kanan) dan Angela pada persidangan Antarabangsa Afghanistan di Bonn, semalam.
Presiden Afghanistan mahu banteras rasuah, usahakan penyatuan

BONN: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai semalam memberitahu satu persidangan di sini bahawa negara itu memerlukan bantuan antarabangsa selama sekurang-kurangnya sedekad lagi apabila tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berundur pada 2014.
Karzai memberitahu kira-kira 1,000 delegasi yang berhimpun di Bonn di barat Jerman, bagi menghadiri Persidangan Mengenai Afghanistan bahawa kerajaannya akan membanteras rasuah dan berusaha ke arah penyatuan, tetapi masih memerlukan bantuan antarabangsa.
“Kami memerlukan sokongan untuk sekurang-kurangnya sedekad lagi selepas tentera menarik diri,” katanya.

Mesyuarat itu berlangsung selepas 10 tahun berlalunya satu persidangan yang meletakkan kerajaan Afghanistan di bawah Karzai apabila tentera Amerika Syarikat menyingkirkan Taliban berikutan serangan 11 September.

Bagaimanapun, Pakistan dan Taliban yang kedua-duanya dilihat sangat penting untuk menamatkan pertumpahan darah di Afghanistan, enggan menghadiri persidangan itu sekali gus menjejaskan harapan mencari jalan penyele
saian berkesan.
Kira-kira 140,000 tentera antarabangsa berada di Afghanistan dan semua pasukan diketuai NATO akan meninggalkan negara itu menjelang akhir 2014, apabila Kabul akan memikul sendiri tanggungjawab terhadap keselamatan negara itu.

Menteri Jerman, Guido Westerwelle menegaskan bahawa NATO tidak perlu tergesa-gesa untuk berundur.

“Kami menghantar mesej yang jelas kepada penduduk Afghanistan: kami tidak akan meninggalkan anda bersendirian, anda tidak akan diabaikan,” katanya.

“Afghanistan dan penduduknya perlukan komitmen yang jelas dan boleh dipercayai kepada pembabitan jangka panjang untuk dekad seterusnya selepas 20104.”

Setiausaha negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton memberitahu wakil mesyuarat termasuk kumpulan hak wanita bahawa negara Barat juga hadir ke Bonn untuk mendengar mengenai keperluan mendesak Afghanistan.

“Kami perlukan nasihat terbaik anda bagaimana kami boleh membantu kerajaan, keupayaan dan profesional.”

“Kami mempunyai satu tugas kepada pembayar cukai untuk memastikan wang dibelanjakan sebaiknya. Masalah rasuah adalah sesuatu yang benar,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menggesa Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari untuk melahirkan kekesalan beliau terhadap kehilangan tragik, sambil menyifatkan kematian adalah tidak sengaja, tetapi Islamabad tetap tidak berganjak. – AFP
Berita Harian Online | Karzai minta bantuan dunia:

'via Blog this'

Meraung ratap anak hanyut

myMetro | Meraung ratap anak hanyut:
USUNG...jenazah mangsa dituntut keluarga selepas dibedah siasat di Hospital Tanah Merah.
USUNG...jenazah mangsa dituntut keluarga selepas dibedah siasat di Hospital Tanah Merah.

TANAH MERAH: Seorang wanita hanya mampu meraung memanggil nama anaknya yang hilang dihanyutkan arus deras di Lata Hujan, Ulu Kusial, di sini, selepas gagal menarik tangan kanak-kanak itu yang terkapai-kapai dalam air, kelmarin.

“Saya cuba menyelamatkan Irfan dengan menarik tangannya, tetapi air terlalu deras menyebabkan dia hanyut sebelum hilang daripada pandangan,” kata Aznira Abdullah, 37, ibu kepada Muhammad Irfan Anuar, 12.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, kegembiraan Aznira membawa dua anaknya berkelah di pusat rekreasi berkenaan sempena cuti sekolah berakhir tragedi apabila Muhammad Irfan maut dihanyutkan arus deras.

Berikutan itu, usaha mengesan mangsa digerakkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat, polis serta Skuad Keselamatan Tanah Merah/Machang/Jeli (SKTMJ).


Misi menjejaki mangsa berakhir lebih enam jam kemudian apabila mayat Muhammad Irfan ditemui pada jam 10.37 malam, sejauh 50 meter dari tempat dia terjatuh dan hanyut.

Dikubur tanah

myMetro | Dikubur tanah:
TERTIMBUS...anggota bomba dan JPAM berusaha mengeluarkan mayat mangsa. Gambar kecil, Amir, maut.
TERTIMBUS...anggota bomba dan JPAM berusaha mengeluarkan mayat mangsa. Gambar kecil, Amir, maut.

JELI: Seorang pekerja kontrak yang sedang mencangkul bagi meratakan tanah dalam lubang sedalam 1.5 meter bagi kerja penggantian paip lama, di Kilometer 81, Kampung Air Puteh, Lakota, dekat sini, terbunuh akibat tertimbus tebing lubang berkenaan yang runtuh, pagi semalam.

Kejadian jam 10.50 pagi itu berlaku ketika remaja berkenaan, Mohamad Amir Mohd Azmi, 14, bersama empat pekerja lain melakukan kerja penggantian paip lama apabila tebing lubang yang dikorek menggunakan jengkaut sebelum itu, runtuh.

Kemalangan menyebabkan mangsa yang tidak bersekolah parah di kepala dan patah tulang rusuk kanannya sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut saksi, Mohd Shukri Mohd Rashid, 19, tanah di sebelah kanan Mohamad Amir runtuh tiba-tiba dan menimbus seluruh tubuhnya.


Mohd Shukri yang juga sepupu mangsa berkata, dia serta rakan lain tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku pantas dan ketika ketika itu, dia berada dua meter dari Mohamad Amir.

Suami melecur ditahan

myMetro | Suami melecur ditahan:
SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di rumah mangsa.
SIASAT...anggota polis menjalankan siasatan di rumah mangsa.
PERIKSA...anggota Unit Forensik polis membawa barang bukti.
PERIKSA...anggota Unit Forensik polis membawa barang bukti.

KUALA LUMPUR: Tanda tanya mengenai punca kebakaran di sebuah rumah di tingkat 15, Flet Desa Rejang, Setapak, di sini, semalam yang menyebabkan kematian seorang wanita berusia 34 tahun, terjawab apabila siasatan polis mendapati wujud unsur jenayah.

Difahamkan, unit forensik menemui dua botol petrol yang diletakkan di bahagian dapur dan ruang tamu rumah berkenaan yang secara tidak langsung menimbulkan keraguan mengenai punca kebakaran di kediaman itu.


Rentetan penemuan itu, polis menahan suami wanita terbabit berusia 56 tahun yang masih dirawat di unit kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana melecur hampir 60 peratus badan dalam kejadian sama bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa dilaporkan menghidupkan dapurnya untuk memasak sebelum berlaku letupan yang menyebabkan kebakaran.


Menurut sumber, botol petrol itu diletakkan berhampiran kawasan memasak dan apabila wanita terbabit menghidupkan api dapur berkenaan, letupan kuat berlaku sebelum api menyambar tubuhnya.


“Ketika kejadian, suami mangsa berada di ruang tamu rumah dan bergegas menyelamatkan isteri sebaik mendengar jeritan wanita itu.

“Bagaimanapun, dia yang disambar api gagal berbuat demikian lalu menjerit meminta tolong,” katanya.


Sumber berkata, jiran yang mendengar jeritan pasangan terbabit masuk ke rumah berkenaan dan menyelamatkan mereka.

“Penduduk menghubungi polis dan bomba melaporkan kejadian itu,” katanya.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Suki Anuar mengesahkan ketika dia bersama pasukannya tiba di lokasi kejadian, api yang merebak itu sudah dipadamkan penduduk sebelum pasangan terbabit dikejarkan ke hospital.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penahanan suami mangsa.


“Kami menahan suami mangsa bagi membantu siasatan selepas polis menemui dua botol petrol di rumah berkenaan. Penemuan botol petrol ini menimbulkan keraguan dan kami percaya ada unsur jenayah dalam kebakaran itu.


“Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan dan percakapan suaminya (mangsa) akan dirakamkan selepas keadaannya stabil,” katanya.


Tambahnya, pihaknya masih mengumpul bukti bagi mengklasifikasikan kes itu dan semuanya bergantung kepada hasil siasatan.


Tong gas meletup, isteri maut, suami cedera

Berita Harian Online | Tong gas meletup, isteri maut, suami cedera:
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah maut akibat melecur teruk manakala suaminya cedera di bahagian tangan dan kaki selepas tong gas di rumah mereka di tingkat 15, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak Jaya di sini, meletup hari ini.

Ketika kejadian kira-kira 1 tengah hari tadi, Tutty Suri Yati Abd Manan, 34, dipercayai sedang memasak di ruang dapur rumahnya.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Suki Anuar, berkata wanita itu melecur hampir 80 peratus daripada keseluruhan badan, manakala suaminya melecur di bahagian tangan dan kaki.
Beliau berkata, tiga jentera bomba bersama 21 anggota dari balai Setapak, Wangsa Maju dan Jelatek bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.21 tengah hari tetapi kebakaran sudah dipadam orang ramai sebelum mereka tiba.

Tutty Suri Yaty disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 4.59 petang, manakala suaminya Raja Basir Ali Peer Bux, 56, masih sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Raja Basir dipercayai cuba menyelamatkan isterinya selepas mendengar bunyi letupan dan melihat api mula marak di ruang dapur rumah. - BERNAMA

Lelaki mental bunuh empat kanak-kanak

Utusan Malaysia Online - Terkini:


06/12/2011 2:16am

BEIJING 6 Dis. – Seorang lelaki China membunuh empat daripada lima kanak-kanak dikurung di dalam sebuah stor selepas mereka diculik di sebuah taman permainan sepanjang minggu lalu, kata pegawai tempatan dan kumpulan hak asasi manusia, semalam.

Lelaki berusia 22 tahun itu menculik kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan usia 10 tahun di sebuah taman di wilayah Henan serta mengurung mereka dalam sebuah bilik stor.

Suspek kemudiannya membunuh empat kanak-kanak terbabit dan mencederakan seorang lagi pada Sabtu lalu.

Kesemua mangsa maut akibat ditikam dan suspek kini ditahan oleh pihak polis. – AFP

22 maut, 60 cedera dalam serangan bom kereta di Iraq

Utusan Malaysia Online - Terkini:


06/12/2011 2:16am

BAGHDAD 6 Dis. – Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh manakala 60 lagi cedera apabila sebuah bom kereta meletup di kawasan penganut Syiah di tengah Iraq, semalam, sehari menjelang sambutan Asyura.

Menurut pihak keselamatan, serangan tersebut berlaku di kawasan Neel, utara Hilla, yang terletak di selatan Baghdad.

Doktor hospital Hilla, Mohammed Ali berkata, kira-kira 16 mayat dan 45 orang yang tercedera telah dihantar ke hospital tersebut. – AFP

Manila gesa kerjasama MILF tamat pemberontakan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Kerajaan Filipina menggesa Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) supaya bekerjasama dengan Manila untuk menamatkan pemberontakan berpanjangan di selatan negara itu menjelang awal tahun depan.

Gesaan itu disuarakan oleh ketua perunding Filipina, Marvic Leonen ketika kedua-dua pihak memulakan pusingan baru rundingan damai di sini, hari ini.

Rundingan di Kuala Lumpur menandakan pusingan pertama rundingan damai rasmi sejak pertempuran maut meletus pada Oktober lalu dan hampir menggagalkan seluruh usaha damai.

"Bagi pihak kerajaan, saya ingin mengajukan cabaran ini, marilah kita sama-sama menyelesaikan tugas kita dalam tempoh suku tahun pertama tahun depan," kata Leonen, menurut salinan kenyataan pembukaan pada rundingan itu.

Awal tahun ini, kerajaan Filipina menetapkan sasaran untuk menamatkan secara rasmi permusuhan dengan MILF dalam masa setahun.

Matlamat itu kelihatan tidak akan dicapai selepas pejuang MILF membunuh 19 askar kerajaan dalam satu serang hendap di pulau Basilan pada Oktober lalu.

Pembunuhan tersebut mencetuskan beberapa pertempuran sengit di pulau Mindanao, yang menyebabkan 40 askar, anggota polis dan orang awam terbunuh dan ribuan lagi penduduk melarikan diri.

Leonen menggesa MILF mengambil tindakan lebih tegas untuk membendung 'anasir penjenayah' yang mengancam usaha damai.

Dalam kenyataan semalam, penasihat Presiden Filipina berhubung proses damai, Teresita Deles enggan menyatakan kemajuan yang boleh dicapai pada rundingan yang dijadual berlangsung selama tiga hari itu. - AFP

Pasar raya perdaya pengguna

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


LONDON 5 Dis. - Beberapa pasar raya besar boleh didakwa kerana dituduh memperdaya pembeli dengan maklumat yang mengelirukan dan tidak benar.

Kajian ke atas empat pasar raya besar iaitu Tesco, Asda, Sainsbury's dan Morrisons mendapati mereka sedang terlibat dengan perang harga, namun semua pasar raya itu menafikan perkara tersebut.

Ketika mereka mendakwa menawarkan harga rendah, keuntungan yang diperoleh sebaliknya meningkat dan perniagaan mereka semakin berkembang.

Kajian oleh kumpulan pengguna, Which? dan BBC mendedahkan beberapa muslihat yang digunakan oleh pasar raya untuk mengaburi mata pembeli.

Satu tinjauan mendapati 17 barangan yang dijual di bawah slogan 'beli banyak lebih bernilai' sebenarnya adalah lebih mahal berbanding membeli barangan sama dengan kuantiti kecil.

Sebagai contohnya, Tesco menjual 1.5 kilogram bahan pencuci Vanish Oxi Action Stain Remover di bawah slogan itu pada harga 12 pound (RM59), tetapi sebenarnya ia tiga kali lebih mahal berbanding membeli produk sama untuk bungkusan seberat 500 gram.

Terdapat juga banyak produk yang dilihat menawarkan promosi khas dengan iklan poster tetapi sebenarnya tidak memberikan penjimatan.

Disember lalu, Pejabat Perniagaan Harga Patut memberi amaran kepada peruncit supaya menghentikan amalan tersebut atau bakal berdepan dengan tindakan mahkamah.

Namun, program BBC, Panorama yang diacarakan Sophie Raworth membuktikan ia masih berlaku.

"Amalan ini bukanlah sesuatu yang tidak disengajakan dan ia terbukti berlaku di kebanyakan pasar raya, sekali gus berpotensi untuk didakwa," kata pakar undang-undang pengguna, Deborah Parry.

September lalu, Tesco mengumumkan 'Promosi Potongan Harga Besar-besaran' yang menjanjikan penjimatan sehingga 500 juta pound (RM2.4 bilion) setahun.

Asda pula mendakwa menawarkan potongan harga ke atas 3,000 barangan perlu.

Ia bagaimanapun hanya tawaran palsu kerana harga barangan terlibat sebenarnya lebih tinggi beberapa minggu sebelum tawaran penjimatan itu dilakukan. - AGENSI

Nahas 'mewah' babitkan Ferrari, Lamborghini, Mercedes

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Anggota polis memeriksa kerosakan pada kereta Ferrari yang terlibat dalam nahas jalan raya 14 buah kereta di Lebuh Raya Chugoku di Shimonoseki, wilayah Yamaguchi barat Jepun, kelmarin. - AFP


TOKYO 5 Dis. - Sebanyak 11 buah kereta mewah jenis Ferrari, Lamborghini dan Mercedes terlibat dalam satu perlanggaran secara bertindih-tindih di sini, semalam.

Kemalangan yang membabitkan lapan kereta Ferrari, sebuah Lamborghini dan dua Mercedes itu disifatkan sebagai 'kemalangan mewah'.

Nahas itu berlaku ketika seorang daripada pemandu Ferrari tersebut cuba menukar laluan namun gagal lalu melanggar penghadang jalan.

Sehubungan itu, kereta-kereta lain tidak sempat menekan brek lalu berlanggar antara satu sama lain.

Ketika kejadian, kumpulan kereta mewah tersebut sedang berkonvoi menuju ke satu destinasi berhampiran Hiroshima.

Video pelanggaran yang disiarkan oleh saluran televisyen NTV memaparkan beberapa buah Ferrari dalam keadaan remuk.

Kemalangan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan serius, namun polis wilayah Yamaguchi mengesahkan seramai 10 pemandu terlibat mendapatkan rawatan luka ringan.

Secara keseluruhan, sebanyak 14 buah kereta terlibat dalam insiden tersebut. - AGENSI

Gunung berapi Gamalama di Indonesia meletus

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


JAKARTA 5 Dis. - Indonesia menutup sebuah lapangan terbang domestik di timur negara ini hari ini selepas sebuah gunung berapi menghamburkan abu setinggi 2,000 meter ke udara.

Gunung Gamalama yang meliputi seluruh Pulau Ternate di wilayah Maluku Utara meletus malam tadi dan memaksa pihak berkuasa menutup sebuah lapangan terbang di pekan Ternate yang terletak di kaki gunung tersebut, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan.

"Penutupan dilakukan sebagai langkah keselamatan kerana abu gunung berapi boleh membahayakan pesawat.

"Jika tiada lagi letusan, lapangan terbang mungkin dibuka semula esok," katanya.

Letusan gunung setinggi 1,715 meter itu mencetuskan panik di kalangan penduduk, kata seorang saintis yang memantau puncaknya, Darno Lamane.

"Ia menghamburkan abu dan debu setinggi 2,000 meter ke udara.

"Tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan tetapi penduduk yang panik menjerit dan lari keluar dari rumah mereka," katanya.

Bagaimanapun kata Darno, keadaan sudah reda dan ramai penduduk pulang ke rumah mereka tetapi pihak beliau akan terus memantau aktiviti gunung tersebut.

Kali terakhir Gunung Gamalama meletus ialah pada 2003, tanpa menyebabkan kemalangan jiwa.

Indonesia mempunyai 129 gunung berapi aktif, termasuk 21 di Pulau Jawa. - AFP

Parti PM Rusia menang tipis

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya mengira undi di sebuah pusat pengiraan di Moscow, kelmarin. - AFP


MOSCOW 5 Dis. - Parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Vladimir Putin (gambar) memenangi pilihan raya Parlimen hari ini tetapi dengan pengurangan jumlah majoriti yang besar, satu tamparan kepada Putin yang merancang untuk bertanding jawatan Presiden tahun depan.

Parti Kesatuan Rusia memperoleh 238 kerusi daripada 450 kerusi Duma (Parlimen) Negara, jauh lebih sedikit berbanding 315 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya 2007, menurut Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Vladimir Churov yang memetik keputusan daripada 96 peratus tempat mengundi.

Parti pemerintah itu memenangi 49.54 peratus undi dalam pilihan raya Ahad lalu yang disifatkan pembangkang dibayangi dengan keganasan ketika Kesatuan Rusia berusaha mengekalkan penguasaan.

Pada pilihan raya Parlimen 2007, parti itu memenangi lebih 64 peratus undi.

Keputusan kali ini bermakna Kesatuan Rusia hampir-hampir kehilangan majoriti penuh di Duma Negara atau kehilangan majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan perubahan Perlembagaan.

Kumpulan pembangkang yang memperolehi kemenangan terbesar ialah Parti Komunis dengan 92 kerusi, diikuti Parti Keadilan Rusia (64 kerusi) dan Parti Demokratik Liberal (56 kerusi).

"Parti pemerintah perlu mencari rakan sekutu," lapor akhbar Kommersant, manakala akhbar perniagaan harian Vedomosti menggelar Kesatuan Rusia sebagai 'parti minoriti'.

Putin yang mendominasi Rusia sejak tahun 2000 dengan pengaruh yang kuat, dijangka bakal memenangi kembali jawatan Presiden pada pilihan raya tahun depan selepas empat tahun menjadi Perdana Menteri. - AFP

AS, Israel dalangi letupan pangkalan tentera

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


LOS ANGELES 5 Dis. - Ramai bekas pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) dan pakar mengenai Iran percaya letupan di sebuah pangkalan tentera dekat Teheran pada bulan lepas adalah sebahagian operasi rahsia yang dijalankan oleh AS, Israel dan negara lain untuk melumpuhkan program nuklear dan peluru berpandu Iran.

Letupan kuat yang menggegarkan pangkalan Kor Pengawal Revolusi pada 12 November lalu meranapkan kebanyakan bangunan di kompleks tersebut dan meragut nyawa 17 orang, termasuk pengasas program peluru berpandu balistik Iran, Jeneral Hassan Tehrani Moghaddam.

Matlamat operasi rahsia itu adalah untuk menggagalkan usaha Iran bagi memiliki keupayaan membina senjata nuklear dan untuk mencegah serangan udara Israel atau AS bagi menghapuskan atau mengurangkan ancaman senjata nuklear Teheran, lapor akhbar Los Angeles Times (LAT) malam tadi.

"Operasi itu menyerupai perang abad ke-21 dan nampaknya terdapat kempen pembunuhan dan perang siber di samping kempen sabotaj yang diakui secara tersirat," kata Pengarah Inisiatif Keselamatan Iran di Institut Washington bagi Dasar Timur Dekat, Patrick Clawson, menurut laporan LAT.

Sebarang operasi seperti itu adalah rahsia besar dan mereka yang dipercayai tahu tentangnya enggan bersuara, lapor akhbar tersebut.

AS dan sekutu-sekutunya sudah lama berusaha untuk menyekat program senjata Iran dengan membekalkan secara rahsia komponen, pelan atau perisian yang rosak.

Belum ada bukti menunjukkan sabotaj tetapi program nuklear Iran dalam beberapa tahun kebelakangan ini jelas mengalami beberapa halangan yang membantutkan kemajuannya.

"Kita pastinya melakukan usaha sabotaj kerana sudah menjadi misi bahagian pengawalan senjata nuklear Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk melakukan apa sahaja bagi melambatkan program senjata nuklear Iran," kata seorang bekas pegawai CIA yang pernah bertanggungjawab terhadap Iran, Art Keller.

Ramai pakar Barat yakin pasukan jurutera Amerika dan Israel secara rahsia menyalurkan virus komputer Stuxnet ke dalam program nuklear Iran pada 2010, menurut LAT.

Virus jenis cecacing itu dilapor menyebabkan alat emparan yang digunakan bagi memproses uranium berputar tanpa terkawal sehingga memusnahkannya.

Baik kerajaan AS mahupun Israel tidak mengaku terlibat dalam serangan siber itu. - AFP

Jerebu: Beijing batal ratusan penerbangan, tutup lebuh raya

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Kenderaan terpaksa menggunakan laluan alternatif selepas jerebu tebal menyelubungi bandar raya Beijing - AFP


BEIJING 5 Dis. - Pihak berkuasa Beijing hari ini terpaksa membatalkan beratus-ratus penerbangan dan menutup lebuh raya apabila bandar raya ini diselubungi jerebu tebal bermula semalam sehingga mengehadkan jarak penglihatan.

Menurut Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini, kualiti udara di Beijing sudah mencapai tahap berbahaya, manakala agensi berita Xinhua menyifatkan ia hampir kepada paras tersebut.

Rangkaian televisyen CCTV melaporkan, hampir 400 penerbangan terpaksa dibatalkan semalam.

Menjelang tengah hari ini, lapangan terbang utama Beijing menerusi laman webnya melaporkan, sebanyak 132 penerbangan domestik dan lima penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan.

Dalam pada itu, siaran televisyen memaparkan beribu-ribu penumpang terkandas berkumpul di kawasan lapangan terbang untuk menunggu atau menempah penerbangan yang berikutnya jika jerebu semakin pulih.

Hampir kebanyakan lebuh raya utama yang menghubungkan Beijing dengan daerah lain di utara China ditutup awal pagi ini, namun beberapa seksyen jalan telah dibuka apabila tahap penglihatan semakin pulih.

Sementara itu, beberapa organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Beijing sebagai satu daripada bandar paling tercemar di dunia berhubung penggunaan tenaga yang dijana lombong arang batu.

Ketika berlangsungnya temasya sukan Olimpik pada 2008, Beijing berusaha meningkatkan kualiti udara dengan menutup stesen jana kuasa arang batu dan mengurangkan penggunaan kereta, namun pencemaran tetap tidak dapat dikurangkan. - AFP

Vietnam diancam bahan letupan


HANOI 5 Dis. - Lebih 100,000 rakyat Vietnam terbunuh atau cedera dalam letupan periuk api atau bom jenis lain sejak Perang Vietnam berakhir hampir 40 tahun lalu, dan tempoh berdekad-dekad lagi diperlukan bagi membersihkan seluruh negara ini daripada ancaman tersebut.

"Peninggalan perang yang termasuk ratusan ribu tan bom dan bahan letupan lain terus menyebabkan kemalangan jiwa setiap hari," kata Perdana Menteri, Nguyen Tan Dung hari ini pada persidangan tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencari jalan untuk menangani masalah tersebut.

Dung berkata, 42,132 orang terbunuh dan 62,163 lagi cedera akibat letupan periuk api, bom dan bahan letupan lain sejak perang tamat pada 1975.

Amerika Syarikat (AS) menggunakan kira-kira 16 juta tan bom dan peluru untuk membantu sekutunya, bekas kerajaan Vietnam Selatan memerangi pejuang komunis Vietnam Utara yang akhirnya memenangi perang itu dan menyatukan semula negara ini.

Kata Duta AS ke Vietnam, David Shear pada persidangan itu, Washington menyediakan peruntukan AS$62 juta (RM186 juta) untuk membantu Vietnam menangani 'peninggalan perang yang membawa penderitaan itu'.

"Usaha kami untuk membantu Vietnam mengatasi masalah sukar ini telah memupuk sikap saling mempercayai dan persefahaman antara AS dan Vietnam sehingga membolehkan hubungan dua hala antara kita berkembang maju," kata Shear.

Timbalan Menteri Vietnam bagi buruh, mangsa perang dan hal-ehwal masyarakat, Bui Hong Linh berkata, bahan letupan masih didapati di kira-kira 6.6 juta hektar tanah atau lebih satu per lima daripada keluasan negara ini.

Katanya, hanya 300,000 hektar atau lima peratus daripada kawasan dicemari bahan letupan sudah dibersihkan dan pelan yang diluluskan oleh kerajaan baru-baru ini memperuntukkan pembersihan 500,000 hektar lagi yang akan melibatkan kos AS$595 juta (RM1.79 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Mayat bayi ditemui bawah katil

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


SEGAMAT 5 Dis. - Helah seorang pelajar mengadu sakit perut kepada keluarganya untuk mendapatkan rawatan di klinik terbongkar apabila dia sebenarnya baru melahirkan seorang bayi di rumahnya di Palong Timur 4 di sini pada 30 November lalu.

Pelajar berusia 15 tahun dan sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tersebut dipercayai melahirkan seorang bayi perempuan pada pukul 11.30 pagi.

Menurut Ketua Polis Segamat, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali, pelajar itu kemudian mengadu sakit perut dan dihantar oleh keluarganya ke Klinik Palong Timur 4.

Katanya, pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan mendapati pelajar itu baru melahirkan anak.

"Pegawai itu lalu mengarahkan jururawat menyiasat rumah pelajar tersebut dan menemui mayat seorang bayi perempuan di bawah katil. Kes itu dirujuk ke Hospital Kuala Pilah.

"Jururawat kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Anam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Segamat, di sini hari ini.

Jelas Abdul Majid, bayi berkenaan dipercayai masih hidup ketika dilahirkan.

Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk dibedah siasat dan pelajar tersebut pula ditahan di Hospital Kuala Pilah pada 2 Disember lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan boleh dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara jika sabit kesalahan.

Berikutan itu kata Abdul Majid, pihaknya mencari seorang buruh, Shairol Jahari@Merong, 24, dengan kad pengenalan bernombor 870731-01-5847 dan alamat terakhir di No. 44, Kampung Mensudut Lama, Buloh Kasap, di sini untuk membantu siasatan.

Syria sedia terima syarat Liga Arab tamatkan pergolakan


06/12/2011 2:16am

DAMSYIK 6 Dis. – Syria semalam memberi maklum balas positif terhadap syarat Liga Arab untuk menamatkan pergolakan maut yang berlanjutan berbulan-bulan dan bakal menandatangani perjanjian tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar Syria, JIhad Maksedi berkata, Damsyik diberi tarikh akhir sehingga Ahad lalu untuk menerima cadangan Liga Arab dengan membenarkan pasukan khas memantau situasi di negara tersebut.

"Kerajaan Syria memberi maklum balas positif untuk menandatangani protokol tersebut," katanya.

Kira-kira 4,000 orang dilaporkan terbunuh sejak pertengahan Mac apabila pihak keselamatan mengambil tindakan keras terhadap penunjuk perasaan yang mahukan revolusi dilaksanakan. – AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Gempa 5.1 landa Turki, tiada kematian dilaporkan


06/12/2011 2:16am

ANKARA 6 Dis. - Satu gempa bumi berukuran 5.1 skala Richter menggegarkan Laut Aegean, semalam, lapor agensi berita Anatolia.

Pusat kaji gempa Kandili yang berpangkalan di Istanbul berkata, gempa tersebut berlaku pada pukul 4.17 waktu Malaysia di Aegean dan gegaran susulan turut dirasai di wilayah Izmir dan Aydin.

Namun tiada kematian dan kerosakan dilaporkan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

22 maut, 60 cedera dalam serangan bom kereta di Iraq




BAGHDAD 6 Dis. – Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh manakala 60 lagi cedera apabila sebuah bom kereta meletup di kawasan penganut Syiah di tengah Iraq, semalam, sehari menjelang sambutan Asyura.
Menurut pihak keselamatan, serangan tersebut berlaku di kawasan Neel, utara Hilla, yang terletak di selatan Baghdad.
Doktor hospital Hilla, Mohammed Ali berkata, kira-kira 16 mayat dan 45 orang yang tercedera telah dihantar ke hospital tersebut. – AFP