Pages

Thursday, November 14, 2013

WTC menara tertinggi Amerika


Imej grafik menunjukkan Pusat Dagangan Dunia (WTC) baharu yang bakal menjadi pencakar langit tertinggi di Amerika Syarikat apabila siap pada awal tahun depan. - Agensi
NEW YORK 13 Nov. - Pusat Dagangan Dunia (WTC) baharu yang dibina di tapak runtuhan menara berkembar dalam kejadian 11 September 2001, di sini, diumumkan sebagai bangunan pencakar langit tertinggi di Amerika Syarikat (AS) sebaik-baik ia siap dibina, sekali gus mengenepikan Sea Towers di Chicago.
Arkitek di Majlis Bangunan-Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar (CTBUH) bersetuju bahawa antena berukuran 124.4 meter pada bangunan itu merupakan senibina tetap dan perlu dikira dalam menentukan ketinggiannya.
"Reka bentuk WTC itu sebagaimana diterangkan kepada kami, mengukuhkan peranannya sebagai simbol kebangkitan semula di tapak yang penting ini.
"Secara khususnya, puncak menara yang menempatkan lampu keselamatan, memancarkan simbolik ketinggian bangunan setinggi 1,776 kaki atau 541.3 meter itu,'' kata Pengarah Eksekutif CTBUH, Antony Wood.
Menurut CTBUH, ukuran ketinggian WTC yang mengambil kira tahun kemerdekaan AS dipilih bagi menegaskan prinsip-prinsip di sebalik penubuhan negara dalam menghadapi serangan yang memusnahkan bangunan asalnya sebelum ini.
Pencakar langit baharu itu dibangunkan di tapak asal WTC yang menjadi ikon menara berkembar sebelum runtuh dalam kejadian pada 2001 yang mengorbankan hampir 3,000 nyawa.
Tanpa antena itu, WTC hanya berketinggian 417 meter, lebih rendah berbanding Sears Tower di Chicago yang kini dinamakan sebagai Willis Tower dengan ketinggian 442 meter.
Setelah siap awal tahun depan, WTC baharu New York akan muncul sebagai bangunan ketiga tertinggi di dunia selepas bangunan pencakar langit Burj Khalifa di Dubai dan Menara Jam Diraja Mekah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131114/lu_11/WTC-menara-tertinggi-Amerika#ixzz2kb9rTj4l
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Uighur dilarang bertudung, simpan janggut


BEIJING 13 Nov. - Para peguam di sebuah bandar di wilayah Xinjiang, digesa supaya melarang ahli keluarga mereka memakai tudung atau menyimpan janggut, satu langkah kontroversi yang dikutuk banyak pihak terhadap komuniti Uighur.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Kehakiman Xinjiang, larangan itu perlu dilaksanakan bagi membuktikan bahawa peguam di bandar Turpan, tenggara ibu negeri Urumqi, tidak terlibat dalam sebarang 'aktiviti keganasan' dan fahaman pelampau.
"Peguam perlu memastikan bahawa ahli keluarga mereka tidak memakai tudung, menyimpan janggut atau menyertai aktiviti keagamaan yang diharamkan," jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, sehingga kini sebanyak 57 peguam dan enam mahasiswa telah bersetuju mematuhi larangan berkenaan. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131114/lu_08/Uighur-dilarang-bertudung-simpan-janggut#ixzz2kb91a820
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pulang selepas 34 tahun diculik

Pulang selepas 34 tahun diculikSan Diego: Seorang lelaki kelahiran Amerika Syarikat yang diculik ketika kanak-kanak dan dibawa ke Mexico sejak 1979 berjaya pulang dan menghubungi ibunya di Wisconsin.

David Amaya Barrick, 37, ditahan Pengawal Sempadan Amerika bulan lalu tetapi dibebaskan selepas meyakinkan pihak berkuasa mengenai kewarganegaraannya dan menghubungi ibunya buat kali pertama sejak diculik.
Dia kemudian didapati hilang sekali lagi selama beberapa hari. Ibunya, Kathy Amaya, 60, terlalu sedih dengan kehilangannya sehingga menelefon polis San Diego minggu lalu untuk membuat laporan.


David mendapat perlindungan di Iglesia de Cristo Minesterios Llamada Final dan pegawai gereja sedang cuba menguruskan pertemuan dengan ibunya yang tinggal di Eau Claire, Wisconsin.

“Kami akan cuba menemukannya semula dengan keluarganya,” kata paderi Freddy Rivas.

David diculik dari Chicago oleh bapanya dan dibawa ke Mexico sebelum ditinggalkan bersama datuk dan nenek sebelah bapanya.

Dia membesar di wilayah utara tengah Mexico, San Luis Potosi, berjumpa bapanya beberapa kali, kemudian membuat perjalanan ke bandar timur laut Monterrey untuk belajar muzik.
Masuk secara haram

Minggu lalu, dia melintas masuk California secara haram dari Mexico tanpa dokumen dan ditahan Pengawal Sempadan 1.6 kilometer di timur Lautan Pasifik.
Ketika ditahan, David memberitahu anggota keselamatan bahawa dia warga Amerika kerana dilahirkan di sebuah hospital Chicago.

Dia juga memberitahu, dia dipukul dan wang, telefon bimbit serta pengenalan Mexico dirompak sebelum memasuki Amerika.

Anggota keselamatan yang memeriksa kisahnya berjaya mengenal pasti sijil kelahiran dan ibunya sebelum membenarkan mereka berbual di telefon dalam panggilan penuh emosi.
REUTERS

Berlian oren terbesar dunia dibeli RM101 juta

SEORANG kakitangan firma Christie’s memegang berlian oren di Geneva pada 31 Oktober lalu.- AFP


GENEVA, Switzerland - Sebutir berlian oren yang jarang ditemui dibeli dalam satu lelongan di Switzerland pada harga AS$31.5 juta (RM101.10 juta) kelmarin.
Lelongan itu dihadiri kira-kira 200 orang di sebuah hotel mewah di sini.
Firma Christie's yang menganjurkan lelongan itu tidak mendedahkan identiti pembeli tersebut.
Berlian seberat 14.82 karat itu ditemui di sebuah lombong batu permata di Afrika Selatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2kZQHNXWs 
Hakcipta terpelihara 

Cuci rangka tulang dinosaur

SIMPSON menyedut habuk pada rangka tulang dinosaur di Muzium Field, Chicago kelmarin.


CHICAGO, Amerika Syarikat - Seorang ahli biologi, Bill Simpson mencuci rangka tulang dinosaur yang berusia 67 juta tahun di Muzium Field di sini kelmarin.
Dia menggunakan penyapu dan penyedut habuk semasa mencuci rangka tulang dinosaur Tyrannosaurus Rex.
Rangka tulang itu adalah yang hampir sempurna pernah ditemui di dunia.
Masa selama dua jam digunakan untuk mencuci rangka tulang tersebut.
Terdapat 280 tulang pada rangka dinosaur berkenaan.
Rangka tulang itu dibeli oleh pihak muzium tersebut dengan harga AS$8.4 juta (RM13.48 juta) dalam satu lelongan pada tahun 1997.
Tidak ada proses mengilat dilakukan dalam kerja-kerja mencuci yang dibuat dua kali setiap tahun. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2kZPzARyK 
Hakcipta terpelihara 

Lukisan termahal dunia dilelong RM457.3 juta

GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan lukisan berjudul Three Studies of Lucian Freud.- AP


NEW YORK - Sebuah lukisan yang dihasilkan pada tahun 1969 oleh pelukis Britain, Francis Bacon mencatat rekod dunia sebagai karya seni termahal pernah dijual dalam satu lelongan yang di- adakan di sini kelmarin.
Lukisan berjudul Three Studies of Lucian Freud itu dibeli pada harga AS$142.4 juta (RM457.3 juta) dalam lelongan seni anjuran firma lelongan Christie's.
Karya seni itu menampilkan rakan Bacon yang juga seorang pelukis.
Lukisan itu dilelong selepas berlaku tawar-menawar selama enam minit di bilik lelongan dan melalui telefon di Galeri Acquavella di Manhattan.
Sebelum ini, lukisan berjudul The Scream yang dihasilkan Edvard Munch merupakan yang paling mahal apabila ia mencatat rekod dunia pada tahun 2012 apabila dibeli pada harga AS$120 juta (RM385.4 juta).
Firma lelongan tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan nama pembeli lukisan itu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2kZPdN4r0 
Hakcipta terpelihara