Pages

Thursday, April 11, 2013

Gempa bumi sederhana gegar Kepulauan Batan



MANILA 11 April - Satu gempa bumi sederhana dengan kekuatan 5.8 pada skala Richter, menggegar Kepulauan Batan, utara Filipina pagi ini, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gegaran tersebut berlaku kira-kira pukul 4.20 pagi waktu tempatan, pada kedalaman 4.2 kilometer.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina menyatakan, gegaran yang berlaku kira-kira 29 kilometer di timur Itbayat itu, turut dirasai di kawasan-kasawan pedalaman yang kurang penduduk.
Dua gegaran susulan turut direkodkan, namun tiada laporan kerosakan dibuat. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130411/lu_12/Gempa-bumi-sederhana-gegar-Kepulauan-Batan#ixzz2Q9MTlzRj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Korban gempa Iran meningkat 37 orang



Seorang wanita Iran diberi rawatan selepas mengalami kecederaan dalam gempa bumi di bandar Shonbeh, selatan Iran, kelmarin. - AGENSI
TEHERAN 10 April - Angka korban gempa bumi kuat yang melanda barat daya Iran semalam, meningkat kepada 37 orang hari ini dengan jumlah mangsa yang cedera pula kira-kira 850 orang.
Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter yang menggegarkan bandar Bushehr itu berlaku berhampiran stesen tenaga nuklear Iran, tetapi pihak berkuasa Teheran dan Rusia yang bertanggungjawab membinanya menyatakan, kemudahan itu tidak terjejas.
Kira-kira 700 kediaman yang dibina menggunakan batu-bata dan lumpur turut musnah akibat bencana alam itu dan pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari mangsa yang terselamat.
Pasukan Bulan Sabit Merah yang menyediakan makanan dan tempat perlindungan, turut membantu pencarian mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Gegaran yang berpusat 89 kilometer ke tenggara bandar pelabuhan Bushehr itu, turut menyebabkan pejabat-pejabat di Qatar dan Bahrain dikosongkan.
Gegaran dapat dirasakan sehingga ke hub kewangan di Dubai.
Iran adalah satu-satunya negara yang mengendalikan loji nuklear yang tidak menganggotai Konvensyen Keselamatan Nuklear yang ditubuhkan selepas bencana nuklear Chernobyl pada 1986.
Reaktor Bushehr terus menjadi punca kebimbangan dunia, ekoran kemudahan itu didirikan di atas titik persilangan tiga plet tektonik. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130411/lu_06/Korban-gempa-Iran-meningkat-37-orang#ixzz2Q9G7WsyM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lekat syiling RM47,650 pada kereta

Car covered in coins

Car covered in coins
Dubai: Anda mestilah orang kaya jika mahu memandu kereta ini.

Pemiliknya, Ali Hassan Gharib, 29, melekatkan syiling 57,412 dirham (RM47,650) pada keretanya yang berharga RM210,000.


Tindakannya itu menyebabkan kenderaan itu kini berharga lebih RM2.5 juta.

Walaupun selepas dilekat dengan setengah tan syiling, Range Rover ini masih boleh meluncur selaju 120 kilometer sejam.


Ali berkata: “Saya mahu mendapatkan syiling dari setiap negara dan lekatkanya pada kereta ini.”

Ikan berwajah buaya ditangkap



Phitsanulok (Thailand): Nelayan di Sungai Nan di daerah Prom Piram di sini terkejut apabila seekor ikan besar dan ganjil ditangkap berhampiran tebing sungai itu semalam.

Somjit Chodchoey, 59, berkata, dia dan adiknya, Dao Promkong memasang umpan pada petang kelmarin. Katanya, dia menemui ikan yang berwajah ganjil itu pada satu daripada cangkuk umpan berkenaan keesokannya.


Menurut nelayan itu, haiwan berkenaan kelihatan seperti gabungan buaya dan ikan, berukuran kira-kira 1.5 meter panjang dan berat lebih 10 kilogram.

Penduduk kampung itu datang beramai-ramai untuk melihat ikan berkenaan selepas berita mengenainya tersebar. Saintis perikanan, Issara Suwittayaporn yang turut datang untuk melihat tangkapan ganjil itu yakin ia buaya gar yang nama saintifiknya atractosteus spatula. Kebanyakan haiwan seumpama itu ditemui di wilayah Amazon di Amerika Selatan, katanya.


Dia percaya ikan berkenaan dipelihara oleh penduduk yang mengambil keputusan untuk melepaskannya selepas ia menjadi terlalu besar.


Menurut Issara, buaya gar adalah besar, hidup lama, memakan ikan kecil dan burung serta boleh menghasilkan banyak anak. Ekosistem boleh terjejas jika jumlah haiwan itu terlalu banyak di habitat asli Thai.

Isteri Dao, Malee Promkong berkata, ikan itu tidak akan diapa-apakan.


“Ia akan dijual atau diserahkan kepada pegawai perikanan jika mereka datang untuk mengambilnya,” kata Malee. - AFP

Belut jalan dalam perut

Foto
IMEJ sinar-X menunjukkan belut dalam perut lelaki itu.
Guangdong: Seorang penagih porno yang menyumbatkan seekor belut ke dalam duburnya terpaksa menjalani pembedahan sepanjang malam selepas binatang itu tersekat.
Lelaki dari selatan China itu melakukan perbuatan ganjil itu untuk meniru babak dalam satu filem porno.

Bagaimanapun, lelaki yang belum berkahwin itu terpaksa bergegas ke hospital di wilayah Guangdong dan memberitahu petugas perubatan: “Tolong saya, tolong saya. Belut itu bergerak di dalam tubuh saya.” Pakar bedah akhirnya berjaya mengeluarkan belut lumpur Asia sepanjang satu setengah meter dan berat lebih setengah kilo pada awal pagi semalam selepas menjalankan pembedahan.
“Belut itu hanya cuba mencari jalan keluar. Ia masih hidup ketika kami keluarkannya tetapi mati tidak lama selepas itu.

“Lelaki itu bertindak bodoh dan dia bernasib baik kerana tindakannya itu boleh menyebabkan dia cedera parah. Belut mempunyai gigi kecil tetapi tajam,” kata anggota pasukan perubatan itu.

“Kami tahu apa yang berlaku dan lelaki berusia 39 tahun itu akan disoalsiasat berkait dengan kes kekejaman terhadap haiwan,” kata jurucakap polis. - Daily Mail

Bangkai harimau kumbang dipijak penduduk di Nepal




SEKUMPULAN orang mengusung bangkai haiwan itu.- AP


GOTHATAR, Nepal - Sekumpulan penduduk yang berang memijak bangkai seekor harimau bintang yang mati ditembak polis di sini semalam.
Mereka memijak bangkai tersebut kerana haiwan tersebut sebelum ini berkeliaran sehingga menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan.
Menurut laporan, seramai 15 orang cedera termasuk tiga anggota polis dan dua pegawai dari Jabatan Perhutanan selepas diserang haiwan itu.
Bangkai haiwan itu juga diarak penduduk yang gembira dengan kematian harimau tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0411&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2Q6KCwbrU 
Hakcipta terpelihara 

Rangka tulang gajah purba ditemui




SEKUMPULAN ahli arkeologi memeriksa rangka tulang gajah itu.- REUTERS


BANDAR RAYA MEXICO - Rangka tulang seekor gajah purba ditemui oleh sekumpulan ahli arkeologi tertanam di Milpa Alta di sini pada awal bulan ini.
Menurut beberapa pegawai Institut Kebangsaan Antropologi dan Sejarah Mexico, rangka gajah tersebut dianggarkan berusia lebih 10,000 tahun.
Ketika masih hidup, gajah tersebut mungkin seberat 10 tan dan setinggi tiga meter. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0411&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2Q6K7osYm 
Hakcipta terpelihara 

Korea Utara rancang lancar peluru berpandu




BEBERAPA buah kenderaan berperisai milik tentera Amerika Syarikat digunakan dalam latihan ketenteraan dengan askar-askar Korea Selatan di Yeoncheon, di sempadan Korea Utara semalam.- AP


SEOUL - Korea Selatan semalam menyatakan terdapat kemungkinan besar tentera Korea Utara akan melancarkan sebuah peluru berpandu jarak sederhana pada bila-bila masa.
Beberapa kenderaan pengangkut peluru berpandu dilihat berada di wilayah Hamgyong Selatan di sepanjang pantai timur Korea Utara yang mungkin akan dilancarkan.
Ketua Pemerintah Tentera Amerika Syarikat (AS) di Pasifik, Laksamana Samuel Locklear menyatakan, pihaknya percaya Korea Utara telah memindahkan sejumlah peluru berpandu Musudan ke pantai timurnya.
Peluru berpandu Musudan itu mampu bergerak sejauh 3,500 kilometer dan sekali gus mengancam Pulau Guam yang mempunyai pangkalan tentera AS di Lautan Pasifik.
Menteri Luar Korea Selatan, Yun Byung-se memberitahu Parlimen, Korea Utara mungkin melancarkan sebuah perluru berpandu Musudan selepas meneliti maklumat perisikan yang diperoleh pihaknya dan AS.
Para pengendali syarikat pelancongan China juga telah menghentikan lawatan ke Korea Utara selepas ketegangan meningkat di Semenanjung Korea.
Kelmarin, Korea Utara meminta warga asing di Korea Selatan meninggalkan negara itu kerana perang nuklear semakin hampir.
Ancaman itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaksanakan sekatan pengimportan barang mewah dan perpindahan wang tunai untuk tujuan program nuklear ke atas Korea Utara pada Mac lalu.
Sekatan itu dibuat setelah Korea Utara melakukan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0411&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2Q6JvNgJN 
Hakcipta terpelihara