Pages

Tuesday, September 17, 2013

Pelajar Britain di larang berhijab

Pelajar Britain di larang berhijab
Kolej Birmingham Metropolitan mencetuskan kontroversi menghalang wanita memakai tudung.
hijabKOLEJ Birmingham Metropolitan, England, Britain  baru-baru ini mengeluarkan dasar melarang pelajar Islam memakai tudung atau pakaian menutup muka bagi tujuan keselamatan dan supaya mudah dikenali pada setiap masa.

Pengharaman memakai tudung dan purdah diumumkan kepada pelajar bagi sesi baru permulaan pengajian di kolej itu minggu lalu, menyebabkan beberapa pelajar berpindah ke kolej lain.

Seorang pelajar, Imaani Ali, 17, berkata dasar itu seperti menceroboh kebebasannya malah pihak kolej juga tidak memberi alternatif lain.

“Saya dan rakan-rakan yang memakai tudung hanya diberitahu mengenai larangan itu ketika proses pendaftaran. Pihak keselamatan juga menyekat kemasukan kami di perkarangan kolej.

“Tindakan ini satu diskriminasi beragama. Ini agama saya dan ini kepercayaan saya. Saya tidak mahu ke tempat yang tidak boleh menerima saya namun saya tiada pilihan lain ketika ini,” katanya.

Seorang lagi pelajar 17 tahun yang enggan dikenali berkata, beliau nyata kecewa dengan dasar itu dan telah membuat keputusan untuk berpindah ke kolej lain di bandar.

“Ini satu pemikiran dangkal. Keputusan memakai tudung adalah hak peribadi. Saya sangat terkejut apabila isu ini dibangkitkan memandangkan di sini terdapat ramai pelajar Muslim dan berbilang budaya.

“Saya tidak rasa tudung akan mengganggu pembelajaran dan komunikasi dengan orang lain kerana saya tidak pernah mempunyai masalah dengan mereka,” katanya.

Bagi pelajar A-Level Suleman Hussain, 17, turut tidak bersetuju dengan garis panduan terbaru itu.

“Mereka datang ke kolej untuk belajar, bukannya akan membawa bom dan membuat kacau,” katanya.

Bahas di Parlimen

Susulan pengharaman itu, isu berhijab ini dibangkitkan di Parlimen.

Ahli Parlimen Kattering, Philip Hollobone yang menolak penampilan menutup aurat menyuarakan isu ini kepada ahli bebas dan beliau menjawab tindakan itu menyalahi undang-undang dalam kebebasan kehidupan di Britain.

Pengetua dan Ketua Eksekutif kolej, Dame Christine Braddock mempertahankan dasar itu dengan mengatakan, ia telah lama digunakan dan diperkenalkan untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin.
“Kami mempunyai aspek kesaksamaan, kepelbagaian dan penyertaan dasar mantap di Kolej Birmingham Metropolitan, tetapi kami juga komited dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.

“Ia adalah untuk memudahkan pelajar dikenal pasti ketika berada di dalam kawasan kolej dan ia termasuk tidak mengenakan topi, hoodies dan tudung supaya wajah mereka sentiasa kelihatan,” katanya dipetik Mail Online

Terima peraturan demi keselamatan

Bagi Presiden Persatuan Muslim Britain, Omer El- Hamdoon berkata, pelajar di kolej itu perlu menerima dan mematuhi dasar ditetapkan.
“Sesetengah mereka mungkin berpendapat ia adalah sebahagian daripada agama, tetapi mereka perlu praktikal. Contohnya jika anda ke bank menaiki motosikal anda perlu menanggalkan topi keledar supaya dikenali.

“Sama juga ketika menduduki peperiksaan, pihak kolej perlu tahu siapa yang sedang menjawab kertas peperiksaan. Terdapat segelintir mereka merasakan ia menceroboh kebebasan bersuara, tetapi mereka perlu patuh kepada peraturan,” katanya.

Menurut Chante Young, 17, yang mengambil jurusan perniagaan, pengharaman itu nyata membuatnya berasa lebih selamat.

“Anda tidak akan tahu siapa si pemakainya kerana seluruh wajah ditutup dan hanya mata yang kelihatan,” katanya.
Dalam satu kes di mahkamah dua minggu lalu, hakim Peter Murphy menyuruh seorang wanita berumur 21 tahun menanggalkan tudung sebelum dibenarkan membuat rayuan.
Wanita itu menolak permintaan tersebut kerana terdapat lelaki di dalam bilik itu dan ia bertentangan dengan kepercayaan agamanya.

Hakim kemudiannya memberi amaran terdapat risiko orang lain menyamar dan berpura-pura menjadi dirinya masuk ke kandang tertuduh.

Budak perempuan 13 tahun jadi pelajar ijazah sarjana



TEJ BAHADUR VERMA membawa Sushma Verma pulang dari pusat pengajiannya di Lucknow, India semalam.- AP


LUCKNOW - Seorang budak perempuan memecahkan benteng norma pendidikan di India apabila dia memulakan pengajian di peringkat ijazah sarjana pada usia 13 tahun.
Budak perempuan berkenaan, Sushma Verma mengambil jurusan mikrobiologi.
Sushma berkata, dia menamatkan pengajian sekolah menengah pada usia tujuh tahun dan memperoleh ijazah sarjana muda ketika berumur 13 tahun.
"Kejayaan tersebut adalah hasil titik peluh dan pengorbanan ibu bapa saya," katanya.
Ibu bapa Sushma tidak berpelajaran tinggi. Mereka tinggal bersama tiga adik Suhsma di sebuah bilik kecil di ibu negeri Uttar Pradesh di sini.
Bapa kanak-kanak pintar itu, Tej Bahadur Verma, 50, bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan 200 rupee (RM10) sehari.
Lelaki tersebut menjual tanah miliknya seluas 930 meter persegi untuk membayar yuran pengajian Sushma. Baki pembiayaan pengajian tersebut diperoleh daripada derma orang ramai. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2f6B4kKD4 
Hakcipta terpelihara 

Gunung Sinabung meletus, 6,000 penduduk larikan diri



PENDUDUK tidur di sebuah pusat pemindahan di daerah Karo semalam.- AFP


KARO - Hampir 6,000 orang meninggalkan kediaman mereka di Pulau Sumatera susulan letusan kuat gunung berapi pada hujung minggu lalu, kata beberapa pegawai.
Gunung Sinabung di daerah ini, dalam wilayah Sumatera Utara meletus sebelum subuh kelmarin dengan menghamburkan batu dan abu panas yang menimpa beberapa buah kampung di sekitarnya.
"Angka perpindahan meningkat kepada 5,956 orang," kata jurucakap agensi pengurusan bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.
Katanya, kebanyakan mangsa tinggal dalam lingkungan 3 kilometer di sekitar gunung berapi itu.
Ketua agensi pengurusan bencana Sumatera Utara, Asren Nasution berkata, para penduduk kini berlindung di beberapa buah gereja, masjid dan pejabat kerajaan.
Dalam pada itu, seorang pakar gunung berapi tempatan, Hendra Gunawan memberitahu, Gunung Sinabung masih mengeluarkan asap tebal semalam tetapi kurang aktif berbanding kelmarin.
Gunung berapi itu tidak aktif selama hampir 100 tahun sebelum meletus pada Ogos dan September yang memaksa kira-kira 12,000 orang melarikan diri.
Pada bulan lalu, lima orang maut dan beratus-ratus lagi dipindahkan apabila sebuah gunung berapi dalam wilayah Nusa Tenggara Timur meletus.
Gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi di Jawa Tengah meletus beberapa kali pada tahun 2010 dengan menyebabkan lebih 350 orang terbunuh. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2f69Yq2nN 
Hakcipta terpelihara