Kuwait: Seorang murid tadika memberi hadiah tidak disangka - kereta Mercedes mewah baru - kepada guru kesayangannya selepas tamat persekolahan.
Noor Al Faris, lima, memilih hadiah itu untuk gurunya sebagai tanda terima kasih kerana membantunya tamat pembelajaran di tadika itu, minggu ini.
Noor dilihat duduk di atas bonet keretanya yang tertulis ‘Kereta ini untuk guru kesayangan saya, Nadia’ dalam bahasa Arab pada cermin depannya.
Noor berkata, itu caranya dia menunjukkan terima kasih dan kasih sayang kepada guru itu yang membantunya sepanjang belajar di tadika.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan hadiah itu dibeli bapa Noor kerana berterima kasih selepas guru itu membantu anaknya setelah isterinya meninggal dunia.
Lelaki berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, guru terbabit memainkan peranan penting membantu perkembangan Noor selain membawa kesan positif kepada kanak-kanak itu selepas dia kehilangan ibunya.
Harga dan butiran lanjut mengenai kereta itu tidak didedahkan, namun media tempatan melaporkan ia model mewah. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 9:43 AM