Pages

Sunday, March 18, 2012

AS dilanda puting beliung, 250,000 tan salji

AS dilanda puting beliung, 250,000 tan salji - Global - Sinar Harian:
AS dilanda puting beliung, 250,000 tan saljiWASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mencatatkan suhu luar biasa sepanjang musim sejuk ini apabila hampir 3.2 meter (11 kaki) salji runtuh di Anchorage, Alaska sehingga menghasilkan sekurang-kurangnya 250,000 tan salji dan memaksa penduduk di situ berpindah.

Saintis iklim laut dan pentadbiran atmosfera, Jake Crouch berkata, untuk tempoh tiga bulan pertama 2012, dua kali serangan tornado berlaku manakala 36 negeri lain mencatatkan rekod suhu tinggi hingga Khamis lalu.

Katanya, setakat bulan ini, AS telah mencatatkan 1,757 rekod suhu harian yang lebih tinggi.

“Terdapat 132 tornado disahkan berlaku pada bulan Januari dan Februari di seluruh negara, manakala laporan awal yang diterima menunjukkan lebih 150 kes berlaku bulan ini.

“Apa yang berlaku ketika ini ialah dua fenomena cuaca yang berbeza - La Nina di mana anjakan ribut dan ‘Arctic Oscillation’ berlaku disebabkan corak suhu berubah berdasarkan pergerakan dunia,” katanya dipetik AP.

Sementara itu, menurut pakar kaji cuaca, setiap cuaca yang berlaku tidak boleh dikaitkan dengan sebarang faktor walaupun kepada pemanasan global.

'via Blog this'

Pelajar maut kena bom di Pattani


Seorang pelajar yang cedera tiba di sebuah hospital di Yarang selepas satu letupan bom mengorbankan seorang pelajar perempuan dan mencederakan empat yang lain di wilayah Pattani, selatan Thailand, semalam. - AFP 


BANGKOK 17 Mac – Seorang pelajar perempuan terbunuh dan empat lagi cedera dengan dua daripadanya parah, dalam satu letupan bom di tepi jalan di wilayah Pattani, selatan Thailand, hari ini.
Kelima-lima pelajar sekolah menengah itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah menaiki motosikal apabila bom buatan sendiri yang ditanam di tepi jalan itu meletup tiba-tiba.
Insiden berlaku di jalan Basaair-Nagate, Ban Totuwor, daerah Yarang, Pattani.
Hapueso Sadeh, 18, yang merupakan pelajar Sekolah Prasanwitthaya Mullanithi maut di tempat kejadian.
Ketua balai polis Yarang, Kolonel Polis Tuande Chutanant berkata, mangsa terkena serpihan bom di bahagian kepala, muka dan badan.
Mangsa yang cedera, kesemuanya dari sekolah sama ialah adik bongsu kepada pelajar yang maut, Mariyae Sadeh, Mariyae Dueramae, Maseeto Salaema dan Aresoh Salaema.
Semua mereka yang berumur 16 tahun dihantar ke hospital Yarang.
Saksi memberitahu polis, bom disasarkan ke arah anggota tentera yang menaiki bas di hadapan rombongan pelajar itu, tetapi ia meletup ketika pelajar terlibat melalui jalan tersebut.
Polis menuduh pejuang pemisah yang mahu mencetuskan keganasan di wilayah bergolak ini tanpa mengira mangsa di atas insiden letupan itu.
Kejadian letupan itu berlaku selepas pembunuhan seorang penoreh getah awal hari ini dalam satu serangan hendap di daerah Raman, Yala.
Yuso Daraning, 46, yang memandu motosikal ke kebun getahnya di Ban Buekunae Kuji ditembak oleh seorang lelaki yang bersembunyi di sebalik pokok, menurut Kapten Sithiphan Suwanno di balai polis Jakua. – AGENSI

'via Blog this'

Ketua perisikan Muammar Gaddafi ditahan di Mauritania

Utusan Malaysia Online - Terkini:
NOUAKCHOTT 18 Mac – Abdullah al-Senussi, ketua perisikan bekas pemimpin Libya yang dibunuh, Muammar Gaddafi dan dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), ditahan di ibu negara Mauritania , semalam.
Menurut satu sumber keselamatan, Senussi ditahan tegah malam tadi di lapangan Nouakchott selepas tiba menggunakan penerbangan biasa dari Casablanca, Magribi.
Katanya, bekas ketua perisikan itu menggunakan pasport Mali yang dipalsukan dan dia telah dibawa ke agensi perisikan kebangsaan di Nouakchott. – AFP

'via Blog this'

Telefon bimbit beri kesan buruk kepada bayi

Telefon bimbit beri kesan buruk kepada bayi - Global - Sinar Harian: "LONDON - Bakal ibu diingatkan bahawa penggunaan telefon bimbit secara kerap bakal mengundang masalah tingkah laku bayi selepas ia dilahirkan.

Pakar dari Universiti Yale menyarankan wanita hamil mengehadkan penggunaan telefon bimbit bagi mengelakkan bayi terdedah kepada radiasi secara berlebihan.

Hasil eksperimen yang dijalankan mendapati radiasi daripada telefon bimbit mampu memberi kesan terhadap perkembangan otak anak, menjadikannya terlalu aktif dan melemahkan ingatan."

'via Blog this'

Lelaki lemah dengan wanita

Berita Harian Online | Lelaki lemah dengan wanita:
Hadapi masalah darah gemuruh, tak dapat berfikir dengan betul 

NEW YORK: Lelaki bukan saja berdepan masalah penurunan kekuatan mental apabila dikelilingi wanita, malah akan mengalami masalah itu walaupun cuma memikirkan mengenai mereka, menurut satu kajian baru.
“Dengan kehadiran wanita, lelaki kadang-kadang tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Mereka tidak dapat berfikir lurus apabila dikelilingi wanita,” lapor akhbar New York Daily News.
Namun perkara itu tidak berlaku kepada wanita, menurut kajian Universiti Radboud Nijmegen di Belanda, yang disiarkan dalam online November lalu. 

Penyelidik membandingkan hasil kajian dengan adegan dalam novel Tolstoy, Anna Karenina, yang menonjolkan karektor lelaki, Levi, menjadi amat gemuruh ketika cuba memikirkan sesuatu untuk memberitahu seorang wanita, Kitty, yang tidak mengenali rakan yang berjalan melepasi kolam tempat mereka berdiri. Ia juga berlaku dalam kehidupan sebenar. 

“Keadaan itu adalah biasa jika wanita berkenaan menarik dan lelaki cuba menarik perhatiannya,” menurut penulis kajian. 

Penyelidik menggunakan penuntut universiti sebagai peserta uji kaji. 
Dalam satu kajian, penuntut diminta melengkapkan tugas membaca gerak bibir yang menghendaki mereka menyebut perkataan dengan kuat di depan kamera web. 

Mereka diberitahu seseorang akan melihat rakaman dan cuba membaca gerak bibir. 
Peserta lelaki yang diberikan wanita memerhatikan mereka melakukan perkara itu memberikan persembahan terburuk dalam ujian kemampuan kognitif walaupun tidak melakukan secara berdepan dengan wanita. Sementara peserta wanita tidak menunjukkan perubahan. 

Penyelidik mendapati hasil kajian mungkin berkaitan dengan tekanan evolusi yang membentuk lelaki menjadi lebih bersikap seksual di sebalik keadaan biasa, tetapi menegaskan kajian lanjut perlu dilakukan. – Agensi
'via Blog this'

Paras air laut ancam bandar pesisir pantai

Berita Harian Online | Paras air laut ancam bandar pesisir pantai:
KAWASAN hartanah tepi pantai terdedah kepada peningkatan paras air.
KAWASAN hartanah tepi pantai terdedah
 kepada peningkatan paras air.
 

Kajian dapati 32 peratus kawasan hartanah AS terdedah 

NEW YORK: Bandar dan perkampungan kecil di sepanjang pesisiran pantai popular Amerika Syarikat lebih terdedah kepada peningkatan paras air laut berbanding yang diramalkan sebelum ini, lapor dua kajian terbaru.
Kajian itu mendapati sehingga 32 peratus lebih banyak kawasan hartanah tepi pantai terdedah kepada peningkatan paras air sehingga satu meter, sementara penduduk yang terdedah kepada peningkatan paras air bertambah kepada 87 peratus.
Angka itu berbeza mengikut rantau dengan selatan Florida, selatan Louisiana dan Carolina mengungguli senarai negeri dengan banyak kawasan tanah bakal ditenggelami air. Penduduk paling ramai terjejas ialah di Florida, Louisiana, California, New York, dan New Jersey, kata kajian. 

Sejak 1880 an, paras air laut meningkat secara purata lapan inci atau 20.32 sentimeter akibat pemanasan global. Pada kurun ini, paras itu dijangka meningkat sehingga sebanyak satu hingga dua meter, bergantung kepada berapa banyak tambahan karbon dioksida dilepaskan manusia ke atmosfera daripada pembakaran bahan api fosil dan daripada perubahan penggunaan tanah. 

Sesetengah penyelidik berselisih pendapat mengenai Greenland dan Antartika Barat yang mungkin kehilangan ais lebih cepat berbanding yang dijangka ketika ini. 

Secara keseluruhan, 3.7 juta penduduk tinggal pada atau di bawah paras satu meter itu, kata kajian. Florida saja memiliki anggaran hartanah bercukai bernilai AS$30 bilion (RM91.71 bilion) di sepanjang pantai tenggara yang terdedah, memberi gambaran kos amat besar jika pemanasan global memacu paras air laut kepada keadaan diramalkan menjelang akhir kurun. 
Menjelang penghujung abad ini, peningkatan paras air laut yang dianggap di bawah satu hingga dua meter masih memberi ancaman sementara, kata kajian. 
Antara kini dan 2030, ancaman banjir tepi pantai sekali dalam tempoh sekurun kemungkinan meningkat dua kali ganda untuk sekurang-kurangnya dua pertiga daripada lokasi dalam kawasan liputan kajian. Lebih separuh daripada lokasi mungkin menyaksikan bencana banjir tepi pantai sekali dalam tempoh sekurun meningkat tiga kali ganda. - Agensi
'via Blog this'

Petani dakwa jumpa UFO dalam lubang

Berita Harian Online | Petani dakwa jumpa UFO dalam lubang:
  • Foto
    LUBANG yang dipercayai mengandungi sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) terbesar setakat ini.
  • Foto
Kamera gagal rakam objek terbenam akibat gangguan elektrik

VIENNA: Seorang petani yang sedang mencari kucingnya menemui lubang yang dipercayai mengandungi sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) terbesar setakat ini.
Franz Knoglinger, 47, menemui lubang bulat sedalam 7.62 meter, di barat laut Austria ketika mencari kucing malam Ahad lalu dan mula menyiasat untuk mengetahui apa yang ada di dalam lubang berkenaan.
“Saya mencari kucing peliharaan keluarga apabila ternampak lubang itu. Saya tidak tahu ia sedalam mana jadi saya lempar seketul batu dan mendengar bunyi kuat seperti besi.

“Saya dapat mencari magnet besar dan melemparkan ia ke bawah hingga melekat pada sesuatu. Ada sesuatu yang besar di bawah sana. Ia juga kedengaran seperti ada ruang kosong di sekitar objek itu. Ia kedengaran seperti ada bilik di bawah tanah ,” katanya kepada Austrian Times.

Beliau turut menghubungi tukang paip, yang menurunkan kamera tetapi gagal berfungsi sebaik mendekati objek berkenaan. Knoglinger berkata, gangguan itu mungkin disebabkan oleh medan elektrik.

Spekulasi kehadiran UFO itu sudah menarik kunjungan 500 orang dalam masa sehari, lapor Salzburger Nachrichten. 
Pakar arkeologi memberitahu akhbar itu lubang berkenaan mungkin terbentuk apabila balak yang berada di bahagian bawah tanah itu reput.

Namun ia tidak menjelaskan mengenai objek besi yang disangka penduduk tempatan mungkin bom zaman perang atau kapal angkasa yang tertanam, kata Knoglinger kepada Austrian Times.

Pakar geologi dijangka melawat kawasan itu dan mengadakan ujian sebelum kerja penggalian dilakukan. –Agensi
'via Blog this'

Kemalangan bas terus jadi misteri

 PEGAWAI memeriksa keadaan bas  yang terbabit dalam kemalangan di Sierre yang mengorbankan 22 nyawa.
PEGAWAI memeriksa keadaan bas yang terbabit dalam kemalangan di Sierre yang mengorbankan 22 nyawa. 
Berita Harian Online | Kemalangan bas terus jadi misteri:

Punca nahas belum dapat dirungkai, penyiasat masih menunggu pengesahan akhir 

BRUSSELS: Misteri mengenai kemalangan bas yang meragut nyawa 22 kanak-kanak dan enam dewasa di terowong Switzerland semakin membingungkan.
Ketika mayat mangsa sudah dihantar pulang ke Belgium ketika negara itu berkabung kelmarin, seorang pendakwa Switzerland dalam kes itu itu menolak pemandu itu mabuk, memandu dengan laju atau terganggu oleh pemain DVD.
Walaupun ketika ini penyiasat masih melihat kemungkinan kesilapan teknikal terhadap bas, kesilapan pemandu atau masalah kesihatan sebagai punca, pendakwa Olivier Elsig menjelaskan bahawa pemandu bas itu tidak mengalami masalah serangan jantung dan sudah mempunyai rehat secukupnya sebelum kejadian kemalangan. 

“Sementara menunggu pengesahan akhir pemeriksaan, kita boleh katakan yang arak bukan puncanya,” kata Elsig kepada wartawan memetik keputusan bedah siasat. 

Beliau berkata lelaki itu memandu di bawah had laju ketika kenderaan terbabit melanggar dinding terowong, meragut 22 nyawa pelajar berusia 12 tahun, empat guru dan dua pemandu yang dalam perjalanan pulang ke Belgium dari lawatan ke pusat peranginan ski di Pergunungan Alps Switzerland. 

Menjawab laporan media yang pemandu mungkin menukar DVD sebelum kejadian, Elsig berkata penyiasat sudah menemuramah 10 kanak-kanak yang terselamat dan saksi lain. 
“Tiada seorang pun kanak-kanak atau saksi lain yang sehingga kini boleh mengesahkan khabar angin ini,” katanya kepada wartawan di Sion, pekan di barat Switzerland berdekatan tempat kejadian. 

Pemeriksaan kenderaan dan analisis kesan yang dikumpul di tempat kejadian kini masih dijalankan, kata Elsig. 

Beberapa jam terdahulu, 22 keranda putih yang menempatkan mayat kanak-kanak dan enam keranda perang dengan mayat mangsa dewasa tiba di lapangan terbang berdekatan Brussels dengan pesawat tentera Belgium. 

Pada jam 11 pagi waktu tempatan, negara bertafakur selama seminit bagi memperingati kematian kanak-kanak dari dua sekolah selain dewasa. 

Pengangkutan awam dihentikan seketika, orang ramai di stesen kereta api yang sibuk Gare Centrale Brussel berdiri seketika, polis dan bomba seluruh negara berkumpul untuk memberikan penghormatan. 

Tafakur seminit itu turut diadakan di Belanda, di mana enam mangsa tinggal. – Agensi
'via Blog this'

Askar AS ingkar larangan minum arak

Berita Harian Online | Askar AS ingkar larangan minum arak:
  • Foto
    PASUKAN keselamatan berlindung selepas Taliban melepaskan tembakan ketika lawatan pegawai tertinggi Afghanistan ke Panjawi, Kandahar, baru-baru ini.
  • Foto
    ROBERT Bales (kiri) ketika di Pusat Latihan Nasional, di Fort Irwin, California, sebelum ditugaskan ke Afghanistan tahun lalu.
Suspek amuk didapati ambil alkohol sebelum serbu dua kampung, bunuh 16 orang

KABUL: Pihak berkuasa tentera Amerika melarang pengambilan alkohol di kalangan anggotanya di Afghanistan tetapi tidak menghalang sesetengah anggota daripada minum sebotol dua bagi menghilangkan ketagih mereka.
Fakta ini, selain masalah kewarasan mental dan trauma, diberi tumpuan khusus oleh pasukan penyiasat negara bagi menentukan punca seorang sarjan tentera didakwa menembak mati 16 orang awam Afghanistan.
Penyiasat sudah mengenal pasti suspek meminum arak sebelum meninggalkan pangkalan pada malam serangan, kata pegawai pertahanan kanan Amerika kelmarin.

“Persoalan sejauh mana arak mendorong serangan itu masih dalam penyiasatan,” kata pegawai yang enggan nama disiarkan kerana pendakwaan masih belum difailkan.

Suspek berusia 38 tahun dikenali sebagai Staf Sarjan Robert Bales dikatakan meninggalkan pangkalan tentera jam 3 pagi Ahad lalu, berjalan menuju ke dua buah kampung berhampiran sebelum menyerbu masuk ke sebuah rumah dan melepaskan tembakan yang membunuh 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak. 

Awal minggu ini, seorang pegawai pertahanan kanan memberitahu Associated Press bahawa pihaknya menemui arak di pangkalan tentera, Kem Belambai di daerah Panjwai. 
Peguam sarjan itu, John Henry Browne dari Seattle, berkata wujud laporan bercanggah mengenai isu yang menyebabkan suspek bertindak sedemikian termasuk minum arak, tekanan dan isu domestik. 

Beliau berkata, keluarga suspek tidak mengetahui beliau mengalami masalah ketagihan arak. 

Katanya, sehari sebelum kejadian amuk itu, anggota yang berkhidmat untuk kali keempat di negara bergolak termasuk di Iraq, menyaksikan kaki rakan sepasukannya hancur akibat terkena bom. 

Browne berkata, beliau menghubungi anak guamnya kelmarin yang kelihatan keliru mengenai sesetengah fakta dalam kes. 

“Saya bimbang mengenai tahap kewarasannya,” katanya. 

Suspek ditahan di Kuwait selepas dipindahkan dari Afghanistan, satu langkah yang mencetuskan kemarahan pegawai Afghanistan yang mahukan beliau dibicarakan di negara itu secara terbuka.

Seperti banyak peraturan dalam zon perang, larangan minum arak termaktub dalam Arahan Am Nombor Satu tentera Amerika, tetapi ia jarang dipatuhi. 

Di Afghanistan, tentera dari negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dibenarkan minum minuman keras. Ini bermakna ada ‘limpahan arak’ di kalangan tentera Amerika di pangkalan mereka.

Tentera Jerman yang berpangkalan di utara Afghanistan dibenarkan minum dua tin bir sehari di pangkalan utama di utara Afghanistan tetapi tidak di kem kecil.

Di Kabul, sebuah pangkalan tentera yang kebanyakannya menempatkan tentera Eropah mempunyai dua gudang minuman keras.

Di Lapangan Terbang Kandahar, pangkalan udara utama di selatan Afghanistan, pasukan Kanada sering mengadakan malam minum bir sebelum mereka pulang pada musim panas ini. Setiap orang dihadkan kepada dua bir dan setengah botol wain.

Selain itu, tentera Amerika kadang kala turut menerima bungkusan minuman keras yang dihantar ahli keluarga dan rakan, sering disorokkan bersama beberapa jenis botol lain. – AP/Agensi
'via Blog this'

Pelajar wanita Islam maut, 4 cedera letupan di selatan Thai

Pelajar wanita Islam maut, 4 cedera letupan di selatan Thai - Global - Sinar Harian:BANGKOK - Seorang pelajar wanita Islam terbunuh manakala empat rakannya cedera dalam satu kejadian letupan yang berlaku di tepi jalan di Pattani.

Ketua Polis Yarang Kolobel Tuandir Jutthanand berkata Hapisah Sadek, 18, seorang pelajar Tingkatan Enam Ma'had Assaqofah meninggal dunia selepas serpihan bom terkena kepala dan badannya.

Dalam kejadian itu, bom yang ditanam di tepi jalan, meletup pada kira-kira 11.30 malam ketika kelima-lima pelajar berkenaan yang menaiki tiga motosikal melalui Kampung Tua, Pintu Mudi dalam daerah Yarang.  

"Bom itu dipercayai disasarkan terhadap tentera dalam sebuah bas namun terlepas apabila kenderaan itu memotong ketiga-tiga motosikal pelajar berkenaan ketika bom diletupkan menggunakan telefon mudah alih," katanya.  

Adik Hapisah, Mariam yang berusia 16 tahun, cedera parah dan dirawat di Hospital Pattani manakala tiga lagi iaitu dua beradik Masitah Selamat dan Aesah Selamat, serta Mariam Deramae cedera ringan dan dirawat di Hospital Yarang.

Lebih 5,000 orang maut sejak puak pemisah dipercayai mengaktifkan semula kempen bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala sejak lapan tahun lepas. - Bernama
'via Blog this'

CIA intip cara baru

CIA intip cara baru - Global - Sinar Harian:
CIA
WASHINGTON - Pengarah Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) mendedahkan mereka akan menggunakan cara baru untuk ‘mengawasi’ masyarakat.
Perisik tidak lagi perlu meletakkan peranti pepijat di rumah secara rahsia kerana alat elektronik pada masa ini kebanyakannya dikawal perisian penggunaan (applications).

“Secara tidak langsung, setiap isi rumah sebenarnya telah memasang peranti pepijat secara automatik di rumah mereka. Semua peralatan elektronik kini boleh dikawal dengan sejenis cip,” jelas David Petraeus.

Menurutnya lagi, mikrocip itu membolehkan alat elektronik ‘dibaca’ seperti buku, sekali gus, kaedah baru tersebut kononnya akan dapat mengubah seni mengintip yang telah diguna pakai sebelum ini.

Penggunaan kaedah kawalan terhadap alat teknologi itu didakwa lebih murah kerana dipantau menggunakan frekuensi radio dan rangkaian sensor.

'via Blog this'

Maghribi digesa mansuh akta perogol kahwin mangsa

Maghribi digesa mansuh akta perogol kahwin mangsa - Global - Sinar Harian:
Protes
RABAT - Beratus aktivis wanita Maghribi mengadakan demonstrasi di luar bangunan Parlimen menuntut agar dimansuhkan undang-undang berkaitan keganasan seks.

Kanun Keseksaan negara itu membenarkan penjenayah kes rogol berkahwin dengan mangsa jika mangsa seorang bawah umur bagi mengelakkan pendakwaan di mahkamah.

Seorang mangsa, Amina Filali, 16, membunuh diri seminggu yang lalu selepas dipukul dengan teruk ketika dipaksa berkahwin dengan lelaki yang merogolnya.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk berbunyi "undang-undang telah membunuh Amina".

Ibu bapa Amina Filali menyertai tunjuk perasaan, lapor BBC hari ini.

Mereka mendakwa anak perempuan mereka dikenakan tekanan oleh mahkamah tempatan agar berkahwin dengan perogol, yang kemudian menganiaya dia.

Dia mati selepas mengambil racun tikus pada 10 Mac lalu.

Kes membabitkan remaja itu mengejutkan banyak pihak di Maghribi.

Laporan BBC juga menyebut, kumpulan hak asasi wanita telah memulakan kempen atas talian menggesa Seksyen 475 Kanun Keseksaan dimansuhkan.

Akaun laman sosial Facebook atas nama "Kami semua Amina Filali" juga telah dimulakan.

Presiden Liga Hak Asasi Wanita, 

Fouzia Assouli berkata, pemansuhan peruntukkan itu satu langkah ke depan dalam persekitaran sikap konservatif yang semakin berubah.

Bagaimanapun, peserta protes kecewa kerana kurang respons daripada kerajaan dan mereka marah dengan Menteri Kehakiman kerana enggan mengadakan inkuiri berhubung kematian Amina, yang tinggal di bandar kecil Larache dekat Tangiers.

Mereka juga mahu hak asasi wanita dihormati, bukan dilanggar.

"Apa yang kita telah saksikan adalah skandal. Kita sudah hadapi banyak kes. Kita mesti meminda Kanun Keseksaan," kata Presiden Liga Demokratik Bagi Hak Asasi Wanita, Fouzia Assouli.

Di kawasan-kawasan konservatif seperti yang keluarga Amina tinggal, situasi budak perempuan hilang dara sebelum kahwin tidak boleh diterima dan dianggap sebagai penghinaan ke atas maruah keluarga meskipun mangsa dirogol, kata laporan BBC.

Had kelayakan minimum untuk berkahwin di bawah undang-undang Maghribi adalah 18 tahun kecuali dalam kes-kes tertentu, seperti kes Amina, berkahwin meskipun dia bawah umur.

Seorang hakim hanya boleh membuat syor jika semua pihak yang terlibat bersetuju.

Bagaimanapun aktivis mendakwa dalam kebanyakan masa tekanan dikenakan ke atas keluarga mangsa bagi mengelakkan persepsi skandal.

Bapa Amina berkata, apabila dia membuat aduan mengenai kes anaknya dirogol, dia telah dinasihatkan tentang opsyen agar berkahwin oleh pegawai-pegawai mahkamah.

"Pendakwa menasihatkan anak perempuan saya agar berkahwin," kata Lahcen Filali kepada akhbar atas talian, goud.ma.

Aktivis juga mahu hakim yang membenarkan perkahwinan dan perogol dalam kes Amina dikenakan hukuman penjara.

'via Blog this'

Tawar seks demi gugur janin

Tawar seks demi gugur janin - Utara - Sinar Harian:
WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mac 2012
Tawar seks demi gugur janin
KULIM - “Untuk mendapatkan pil mengugurkan kehamilan, saya terpaksa melakukan hubungan seks dengan beberapa kenalan lain bagi mendapatkan modal, “ itu kata seorang pelajar tingkatan lima di sini yang terpaksa menawarkan khidmat seks untuk mendapatkan wang bagi mengugurkan kandungannya.
Pelajar tingkatan lima yang hanya mahu dikenali dengan nama Shasha berkata, dia terpaksa bertindak sedemikian selepas teman lelakinya ketika itu bersikap lepas tangan sehingga dia terpaksa menempuh pelbagai masalah seorang diri.
Menurutnya, selain disahkan hamil dia juga hampir dibuang sekolah gara-gara sikap teman lelakinya ketika itu.
“Pil itu (gugurkan kandungan) terbahagi kepada dua jenis. Empat biji dimakan serta-merta manakala empat biji lagi dimakan selepas 12 jam. Harga pil ini sekitar RM350 hingga RM400.
“Untuk mendapatkan wang saya akan berjumpa seorang rakan lain dan meminta dia memperkenalkan diri saya kepada beberapa pelanggan atau kenalannya, “ katanya.
Shasha berkata, dia akan mengenakan bayaran sekitar RM100 setiap kali bersama mereka. Dengan duit itulah dia akan membeli pil itu.
Menurutnya, pil itu hanya berkesan bagi kandungan di bawah tiga bulan sahaja. Setelah memakan pil itu, dia akan berasa sakit perut dan memulas untuk beberapa jam dan akan datang haid semula seperti biasa selepas itu.
Segala kesengsaraan itu terpaksa dialaminya sendiri dan bermula dari detik itu, dia menjadi takut untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki dan mengubah selera kepada kaum sejenis.
Shasha berkata, dia menjalinkan hubungan cinta sejenis sejak setahun lalu. Namun sehingga kini keluarganya tidak mengetahui perkara itu.
Menurutnya dia dan kekasihnya yang hanya mahu dikenali sebagai Faiz akan tidur di rumahnya setiap hujung minggu.
“Cara ini lebih senang, ibu bapa tidak tahu kami sedang bercinta. Mereka akan menyatakan kami perempuan dan adalah lebih baik saya melepak dalam bilik dengan seorang kenalan perempuan dari keluar bersama teman lelaki. Saya jadi fobia untuk berkawan dengan lelaki kerana banyak keburukannya.
“Bagi saya bercinta sesama jenis lebih baik kerana ibu bapa tidak akan dapat mengesan perlakuan atau hubungan seks yang kami lakukan selain itu, ia tidak akan mengakibatkan saya hamil seperti dulu,” katanya.

'via Blog this'

Kes Dirang: Bekas suami pesan jaga Hafis

Kes Dirang: Bekas suami pesan jaga Hafis - Nasional - Sinar Harian:
AZIZAN INCHE HARUN
18 Mac 2012
Kes Dirang
PASIR GUDANG - "Jaga Hafis baik-baik, jangan sesekali tinggalkan dia sendirian," demikianlah pesan Handry Yongot, 30-an, bapa kandung mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, kepada bekas isterinya agar menjaga anak lelaki mereka, Mohamad Hafis, 6, dengan baik.
Menurut ibu Nurul Nadirah, Roselyn Alan, 25, amanat itu disampaikan sebanyak dua kali oleh Handry sewaktu kali terakhir dia bertemu bekas suaminya itu di Tanah Perkuburan Pekan Masai sewaktu upacara pengebumian Allahyarham Nurul Nadirah yang turut dikenali dengan nama manja, Dirang, Rabu lepas.
"Handry juga pesan pada suami saya supaya bawa Hafis ke mana sahaja kami pergi kerana dia tidak mahu pisang berbuah dua kali," katanya.
Kata Roselyn, hubungan bekas suaminya dengan Hafis dan Dirang sangat rapat kerana sewaktu tinggal di Kuala Lumpur, dia kerap bertemu dengan anak-anaknya itu.
"Jika benar Handry akan diusir pulang ke Filipina, saya merayu agar dia dan Hafis dapat ditemukan walaupun seketika agar mereka dapat mengubat kerinduan masing-masing," ujarnya.
Dalam pada itu, Roselyn juga merayu pihak bertanggungjawab agar tidak mengusir bekas suaminya yang juga bapa kandung mangsa ke Filipina.
Katanya, Handry yang mula dikenali sekitar tahun 1995 memang berasal dari Sabah dan mempunyai keluarga di sana.
"Handry tidak mempunyai pengenalan diri kerana dibesarkan oleh keluarga ibu saudaranya selepas ibu bapanya meninggal dunia ketika dia masih bayi.
“Saya rayu pihak bertanggungjawab agar tidak mengusirnya ke Filipina kerana bakal menimbulkan masalah kerana dia tidak tahu berbahasa Inggeris dan tidak mempunyai keluarga di sana.
“Lagipun dia baru kehilangan anak kesayangannya, dan macam mana nanti dia hendak bertemu lagi dengan anak tunggalnya di sini sekiranya diusir ke Filipina,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Menurutnya, Handry memang dikenali sebagai suami dan bapa yang sabar dan penyayang, tetapi jodoh mereka tidak panjang apabila perkahwinan yang dibina sepanjang lima tahun berakhir dengan perceraian.
“Masa mula-mula berjumpa di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, dia (Handry) berpesan supaya sentiasa membawa Hafis ke mana sahaja dan tidak membiarkan anak lelakinya itu tinggal sendirian.
“Hubungan kami masih baik sebagai kawan demi anak-anak. Saya rayu kasihanilah dia (Handry) agar tidak diusir ke Filipina kerana dia seorang yang baik,” katanya.
Sementara itu, suami Roselyn, Lima Medeng, 25, memberitahu, jika diberi peluang dia mahu bertugas di Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) agar tidak perlu berpindah jauh ke Sarawak.
"Saya ada cuba memohon untuk bekerja di LPJ sebelum ini, tetapi dimaklumkan rakan-rakan tiada kekosongan.
"Jika ada rezeki saya dapat kerja di sini, kami sekeluarga tidak jadi pulang ke Sarawak untuk memulakan hidup baru. Bagaimanapun kami akan tetap berpindah dan tidak akan tinggal di flet ini agar tidak dihantui kenangan bersama Dirang," katanya.

'via Blog this'