Pages

Saturday, January 12, 2013

Bayi lahir dalam pesawat



KAKITANGAN penerbangan Merpati Nusantara Airlines bergambar dengan bayi perempuan pramatang yang lahir dalam pesawat itu baru-baru ini.
JAKARTA - Seorang bayi perempuan pramatang dilahirkan di dalam sebuah pesawat Merpati Nusantara Airlines, baru-baru ini.
Ketika kejadian, pesawat itu dalam penerbangan dari Timika ke Makassar.
Kelahiran bayi itu disambut oleh pramugari, Sherly Juwita dan dibantu empat kakitangan penerbangan pada kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan.
Bayi yang dilahirkan oleh Harmani itu berada dalam keadaan sihat ketika kandungan ibunya baharu memasuki usia tujuh bulan.
Bagaimanapun, Sherly menerima khabar duka apabila dia dimaklumkan bayi itu meninggal dunia sejurus tiba di Makassar.
''Saya amat sedih. Tetapi mungkin itu yang terbaik untuk dia daripada Allah,'' katanya yang mengaku terkejut dengan berita itu ketika dihubungi Liputan6.com di sini.
Seorang pramugari berkata, semasa dilahirkan, bayi itu kelihatan agak sihat dan mendapat rawatan rapi daripada pramugari penerbangan.
''Kami berikannya oksigen dan meletakkannya di dalam sebuah bekas untuk bayi pramatang,'' katanya yang telah berkhidmat selama 17 tahun di syarikat itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130112/lu_10/Bayi-lahir-dalam-pesawat#ixzz2Hm779hMt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita usia 20 tahun miliki fizikal bayi



Fizikal Greenberg kelihatan seperti bayi walaupun usia sebenarnya sudah mencecah 20 tahun. - AGENSI
MARYLAND 11 Jan. - Sekilas pandang fizikal Brooke Greenberg seperti seorang bayi, walaupun dia kini sudah berusia 20 tahun.
Walaupun, umurnya meningkat setiap tahun, namun fizikal dan juga kognitifnya masih seperti kanak-kanak dengan anggaran usia mental antara sembilan dan 12 bulan.
Greenberg yang lahir pada 1993 juga tidak mampu bercakap dan masih mempunyai gigi susu serta bergerak menggunakan kereta sorong bayi.
Bapanya, Howard Greenberg berkata, anak perempuannya itu hanya melalui proses pembesaran pada umur setahun hingga empat tahun tetapi ketika umurnya masuk empat tahun dan lima tahun tumbesarannya berhenti.
Katanya, anak perempuannya itu telah menjalani pemeriksaan di beberapa institusi perubatan paling berprestij di Amerika Syarikat (AS), bagaimanapun tiada diagnosis rasmi yang diberikan kepada Greenberg.
Malah kumpulan doktor pakar menyatakan bahawa anak perempuan mempunyai sindrom X.
Pengarah Institut Genomic dan Multiscale Biology di Pusat Perubatan Mount Sinai, Dr. Eric Schadt berkata, anaknya tidak mempunyai sistem endokrin yang normal dan juga kromosom kasar yang tidak normal.
Dia juga makan melalui tiub terus ke dalam perutnya kerana masalah esofagus yang terlalu kecil menyebabkan makanan yang ditelannya akan tersekat di bahagian paru-paru serta mengakibatkan pneumonia.
Ibunya, Melanie Greenberg berkata, dia sudah melakukan rutin hariannya selama 16 tahun memberi perhatian kepada anak perempuan kesayangannya itu. - AGENS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130112/lu_08/Wanita-usia-20-tahun-miliki-fizikal-bayi#ixzz2Hm62s78H
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Salji landa rantau Arab

Salji ArabDua orang penduduk ini cuba untuk menolak kereta mereka yang terperangkap dalam salji tebal di lebuh raya menghubungkan Beirut dan Damsyik. Foto: Reuters
BEIRUT - Ribut terburuk dalam tempoh sedekad telah menyebabkan Israel dan Jordan serta beberapa kawasan Lubnan dilitupi salji.

Cuaca sejuk dan banjir sejak Ahad lalu telah meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa di rantau itu sehingga, kelmarin dan turut menjejaskan ratusan ribu pelarian Syria di sempadan.

Rabu lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa bantuan disalurkan kepada kumpulan pelarian di kem Zaatari, Jordan yang ditenggelami banjir.

Wakil Tabung Kanak- Kanak Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (Unicef) di Jordan, Dominique Hyde berkata, bantuan akan sukar diberikan dalam tempoh 72 jam berikutnya.

Dalam perkembangan lain, beberapa sekolah dan universiti di rantau itu juga terpaksa ditutup kerana salji tebal. Keadaan luar biasa tersebut turut menyebabkan bekalan elektrik terputus di kebanyakan negara di Timur Tengah.

Di Jordan, Raja Abdullah II telah mengarahkan tentera untuk membersihkan jalan untuk mengelakkan kenderaan terperangkap akibat salji tebal.

Sementara itu, salji setebal 10 sentimeter dilaporkan turut meliputi kota lama di Baitulmaqdis. - AFP

Lelaki kudung pertama menyelam di kolam renang paling dalam




GAMBAR menunjukkan Croizon memakai sirip renang. Croizon (kiri) menyelam di dalam kolam renang paling dalam di dunia di Brussels kelmarin.


BRUSSELS, Belgium - Seorang pengembara dari Perancis, Philippe Croizon menjadi manusia pertama di dunia yang kudung kaki dan tangan menyelam ke dalam sebuah kolam renang paling dalam di dunia kelmarin.
"Ini merupakan detik-detik yang amat gembira buat saya," katanya selepas dia menyelam di dalam kolam renang tersebut di sini.
Dia diiringi lebih 24 penyelam yang berusia 63 hingga 86 tahun di dalam kolam renang sedalam 33 meter itu.
Croizon yang merupakan seorang pekerja kilang besi, kehilangan semua kaki dan tangannya selepas dia terkena renjatan elektrik pada tahun 1994.
Ketika kejadian, dia cuba mengalihkan sebuah antena televisyen di atas bumbung.
Lelaki berusia 44 tahun itu menggunakan sepasang sirip renang pada kaki palsunya.
Croizon akan berenang di Tasik Titicaca.
Tasik tertinggi di dunia itu terletak di sempadan Peru dan Bolivia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2HiCk8gwT 
Hakcipta terpelihara 

Ribut debu merah di Australia Barat




RIBUT debu merah itu yang sempat dirakamkan oleh seorang pekerja kapal tunda dekat Australia Barat.


SYDNEY - Ribut debu merah berlaku di laut dekat pantai Australia Barat pada Rabu lalu.
Debu itu ditiup angin kencang dari Lautan Hindi semasa ia bergerak dekat pantai bandar Onslow, Australia Barat.
Seorang pekerja sebuah kapal tunda, Brett Martin sempat merakamkan gambar-gambar ribut debu merah itu yang bergerak 25 batu nautika dari pantai bandar tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2HiC5x500 
Hakcipta terpelihara 

Buaya kawal ganja di dalam rumah




GAMBAR menunjukkan buaya yang menjaga ganja seberat 15.4 kilogram di dalam bilik sebuah rumah di Lembah Castro.


ALAMEDA, Amerika Syarikat - Anggota-anggota pihak berkuasa di California Utara telah membuat penemuan yang mengejutkan dalam serbuan dadah di bilik sebuah rumah di Lembah Castro di sini pada Selasa lalu.
Mereka menemui seekor buaya sepanjang 1.53 meter yang mengawal 15.4 kilogram ganja yang bernilai AS$100,000 (RM302,000).
Buaya spesies Caiman itu diletakkan di dalam sebuah tangki untuk menjaga ganja tersebut.
Haiwan itu pada kebiasaannya ditemui di kawasan berpaya di Amerika Selatan dan Amerika Tengah.
"Pada kebiasaannya, kita akan melihat anjing digunakan untuk mengawal dadah yang disembunyikan di dalam rumah," kata seorang pegawai Pejabat Syerif Alameda, Sarjan J.D. Nelson kelmarin.
Pemilik reptilia itu, Assif Mayar telah ditangkap pada Selasa lalu dan dituduh memproses ganja untuk dijual.
Mayar, 32, tidak membuat pengakuan semasa perbicaraannya berlangsung di Mahkamah Tinggi Alameda.
Dia kini ditahan dengan ikat jamin sebanyak AS$20,000 (RM60,400).
Mayar akan dibicarakan semula pada 15 Januari ini.
Buaya itu kemudian dihantar ke sebuah zoo. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2HiBtPiem 
Hakcipta terpelihara 

Pemandangan unik bilik tandas




GAMBAR menunjukkan sebuah bilik tandas di tingkat 69 bangunan itu.


LONDON - Bangunan paling tinggi di Eropah Barat, Shard menyediakan bilik tandas yang unik kepada para pengunjung, menurut beberapa laporan kelmarin.
Bangunan setinggi 309 meter itu mengandungi bilik tandas yang mempunyai pemandangan bandar raya London.
Tingkap besar diletakkan di dalam bilik tandas tersebut supaya para pengguna boleh menyaksikan pemandangan di ibu kota United Kingdom ini.
Menurut akhbar dalam talian, MailOnline, tandas tersebut terletak di tingkat 68 dan 69.
Bangunan berkenaan mempunyai 95 tingkat.
Ia akan dibuka kepada para pengunjung pada bulan depan.
Terdapat 10 unit apartmen di dalam bangunan tersebut yang setiap sebuah berharga £50 juta (RM243 juta).
Bangunan tersebut juga menempatkan ruang pejabat, restoran dan Hotel Shangri-La dijangka dibuka pada musim panas ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2HiBaPIKx 
Hakcipta terpelihara 

Penduduk Palestin bina khemah di E1



SEJUMLAH penduduk Palestin dan aktivis asing termasuk beberapa warga Israel berdiri dekat khemah-khemah di kawasan E1 dekat Baitulmuqaddis semalam.


AL-TUR, Wilayah Palestin - Sejumlah aktivis Palestin mula membina khemah-khemah di sebuah kawasan dikenali sebagai E1 yang terletak di Tebing Barat, timur Baitulmuqaddis.
Pihak berkuasa Israel sebelum ini mengumumkan akan membina beribu-ribu kediaman peneroka haram Yahudi di lokasi itu.
"Kami mendirikan 20 khemah dan memiliki peralatan yang mencukupi bagi membolehkan kami tinggal di kawasan itu untuk tempoh yang lama," kata jurucakapnya, Abir Kopty.
Protes tersebut dianjurkan oleh aktivis-aktivis Jawatankuasa Koordinasi Perjuangan Popular.
Kopty memberitahu agensi berita AFP bahawa lebih 200 penduduk Palestin kini berkhemah di tapak berkenaan yang mereka namakan Bab Al-Shams.
Tanah tersebut terletak di antara hujung timur Baitulmuqaddis yang ditakluki Israel dan penempatan Maaleh Adumim.
"Kami akan tinggal di sini sehingga kami dapat memastikan penduduk Palestin (pemilik-pemilik tanah berkenaan) mendapat hak mereka untuk membina (rumah) di tanah mereka," tambahnya.
Seorang jurucakap Pentadbiran Awam Israel menyatakan, beberapa pegawai yang diiringi polis mengeluarkan perintah untuk mengusir aktivis-aktivis itu dari tapak berkenaan.
Enam minggu lalu, Israel mengumumkan rancangan membina beribu-ribu rumah peneroka Yahudi di kawasan E1 yang telah mencetuskan bantahan masyarakat antarabangsa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2HiB66hiR 
Hakcipta terpelihara