AFGHANISTAN - Sekurang-kurangnya tiga orang awam terbunuh dalam serangan bom kereta di kawasan lapangan terbang Jalalabad, timur Afghanistan.

Menurut pihak berkuasa, letupan itu turut menyebabkan beberapa orang tercedera dan kerosakan pada bahagian pintu pagar lapangan terbang.

Menurut jurucakap wilayah Jalalabad, Ahmad Zia Abdul Zai, tentera Nato telah pun dikerah untuk menutup kawasan itu.

Afghanistan telah menyaksikan beberapa kematian berikutan protes membantah al-Quran di Pangkalan Tentera Amerika Syarikat (AS).

Menurut pegawai polis wilayah Obaidullah Talwar, semua mangsa pengeboman terdiri daripada orang awam.

Lapangan terbang itu telah dijadikan sasaran bom kerana ia menyediakan perkhidmatan untuk orang awam dan juga menjadi pangkalan pesawat tentera antarabangsa.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Afghanistan sedang giat memburu seorang anggota polis berusia 25 tahun yang dipercayai telah menembak mati dua pegawai kanan NATO di Kementerian Dalam Negeri di Kabul kelmarin.

Semalam, Perancis dan Jerman diikuti Amerika Syarikat dan Britain telah mengeluarkan kakitangan awam mereka daripada institusi-institusi kerajaan Afghanistan kerana bimbang dengan keselamatan rakyat mereka.