MALAGA 9 Julai - Seorang ibu muda warga Britain terpaksa melalui pengalaman ngeri apabila bayinya yang baru dilahirkan, dirampas oleh doktor Sepanyol kerana ragu-ragu dengan hubungan anak-beranak itu.
Stacie Cottle, 27, melahirkan bayi perempuannya dua minggu lebih awal selepas air ketubannya pecah secara tiba-tiba di rumah ibunya di Costa del Sol pada 16 Jun lalu dan terpaksa bersalin sendirian.
Cottle yang tiba di Sepanyol untuk melawat ibunya, Veronica, kemudian membawa bayinya ke Hospital Comarcal de la Axarquia di sini bagi mendapatkan rawatan susulan, namun doktor yang mencurigai hubungan anak-beranak itu bertindak merampas bayinya.
Mereka mendakwa bayi tersebut tidak nampak seperti baru dilahirkan, malah mengesyaki Cottle bukan ibu kepada anaknya yang dinamakan Anzelika dan kemudian bertindak memanggil pihak polis.
“Saya bersalin secara tiba-tiba pada jam 2 pagi. Ketika itu kami tidak menghubungi ambulans. Dalam tempoh 40 minit, Anzelika dilahirkan tanpa sebarang komplikasi.
“Saya dan ibu membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan susulan keesokan harinya di hospital, tetapi apabila sampai di hospital, mereka merampas anak saya kerana tidak percaya dengan cerita ini,” katanya kepada Daily Mail baru-baru ini.
Cottle juga melakukan beberapa ujian bagi membuktikan dirinya baru sahaja melahirkan anak, namun pihak hospital enggan menerima keputusan tersebut.
Sebaliknya mereka mengarahkan wanita itu melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan dirinya adalah ibu kandung kepada Anzelika.
“Saya terseksa selama tiga minggu kerana pihak hospital tidak benarkan saya mendekati anak saya sendiri, malah meletakan beberapa syarat. Saya rasa mereka sengaja berbuat demikian kerana warna kulit saya.
“Mahkamah akhirnya yakin Anzelika adalah anak saya dan memerintahkan hopital itu untuk memulangkannya kepada saya semula,” katanya.