Pages

Wednesday, April 8, 2015

Tasik Teller, Kolam Ikan Emas Terbesar Di Dunia


Diterbitkan: Rabu, 8 April 2015 11:45 AM

SEBUAH tasik di Boulder, Colorado bakal menjadi kolam ikan emas terbesar di dunia apabila ia dipenuhi ikan peliharaan itu.
Tasik Teller pada asalnya tidak menjadi daya tarikan penduduk sehingga dijadikan lokasi membuang ikan peliharaan.
Bermula dengan empat atau lima ekor ikan emas dibuang ke dalamnya, kini tasik tersebut dihuni oleh 3,000 hingga 4,000 ikan emas.
Kehidupan baru itu turut mengubah suasana tasik berkenaan yang kini dilihat lebih cantik dengan aksi ikan emas di permukaan air.
Jurucakap Hidupan Liar dan Taman Colorado, Jennifer Churchill berkata, pembiakan pantas ikan peliharaan yang dibuang itu turut menjejaskan kehidupan asal tasik berkenaan.
Jelasnya, keadaan itu memaksa mereka bertindak mengurangkan pembiakan ikan emas berkenaan dengan melakukan renjatan elektrik di kolam tersebut.
Katanya, dengan usaha itu, pihaknya mampu mengawal ikan emas sedia ada daripada terus membiak dan memusnahkan keseluruhan hidupan asal tasik tersebut.

Pasu bunga RM54 juta

Hong Kong: Seorang taikun sanggup membayar hampir HK$114 juta (RM54 juta) untuk membeli pasu bunga antik yang dilelong di Hong Kong, semalam.
Liu Yiqian, 51, - bekas pemandu teksi yang menjadi ahli perniagaan berjaya - membeli pasu berbentuk segi lapan berusia 800 tahun dari Dinasti Song dalam lelongan yang diadakan Sotheby’s.
Pasu setinggi 20 sentimeter itu antara koleksi yang jarang ditemui yang dibuat khas untuk istana China.
Liu mengalahkan tujuh pembida dalam bidaan melalui telefon, kata ketua seramik dan hasil seni China antarabangsa Sotheby’s, Nicolas Chow.
“Kami amat gembira dengan harga diperoleh. Ia membuktikan permintaan tinggi bagi barangan antik China,” katanya.
Menurutnya, pasu itu akan dipamerkan di Muzium Long milik Liu di Shanghai.
Liu yang juga pengerusi kumpulan pelaburan Sunline kini antara orang terkaya China dan pengumpul barangan seni berharga dari seluruh dunia.
Dia memecah rekod bidaan dunia untuk porselin China pada April tahun lalu apabila membeli cawan dari era Dinasti Ming - dikenali sebagai cawan minuman keras dengan harga AS$36 juta (RM117 juta) dan kemudian menggunakannya untuk minum teh.
November lalu, dia membeli dewangga sutera Tibet berusia 600 tahun dengan harga AS$45 juta (RM163 juta) di Christie’s, Hong Kong - satu lagi rekod dunia bagi karya seni China yang dijual rumah bidaan antarabangsa.
Liu yang turut mempunyai muzium di Shanghai berkata, misinya adalah untuk membawa pulang artifak China ke negara itu.
“Saya dan muzium ini akan terus aktif membida pada masa akan datang apabila melihat hasil seni yang baik,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 7:17 AM


CHOW menunjukkan pasu bunga ‘Guan’ dibeli Liu dengan harga RM54 juta.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42239#sthash.oFCBeKgp.dpuf

Manusia paling tua pegang rekod enam hari


Gertrude Weaver
Gertrude Weaver
TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang warga emas sempat memegang rekod manusia paling tua di dunia selama enam hari sebelum meninggal dunia, semalam.

Menurut Reuters, Gertrude Weaver, 116 meninggal dunia di sebuah pusat jagaan orang tua-tua di Arkansas.

Weaver yang sebelum ini berkongsi rahsia umur panjangnya memberitahu, beliau seronok dengan liputan yang diberikan oleh pihak media kepadanya.

Antara rahsia umur panjang yang berjaya dikongsi adalah sentiasa berbuat baik kepada orang lain.

Weaver dilahirkan pada 4 Julai 1898.

Gadis terkuat Maghribi


Gadis terkuat Maghribi
SEORANG remaja dari Maghribi dinamakan sebagai individu paling berbakat di dunia selepas dia berjaya menarik sebuah kereta seberat 1,500 kilogram dengan menggunakan rambutnya. 

Menurut DailyMail, Ikram Salhi yang bercita-cita untuk menjadi wanita terkuat di negaranya menunjukkan kebolehan luar biasanya itu ketika menyertai sebuah program realiti TV, World’s Most Talented.

Kejayaan Ikram menarik kereta Mercedes-Benz sejauh 10 meter itu dengan tali diikat pada rambutnya turut disambut sorakan penonton yang menyaksikan rakaman rancangan terbabit.

“Saya langsung tidak berasa sakit ketika melakukan aksi itu, malah saya sangat berbangga kerana dapat mewakili wanita Maghribi,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dia mula melakukan aksi tersebut sejak berusia sembilan tahun dan kenderaan paling berat pernah ditarik olehnya adalah kenderaan pacuan empat roda, Range Rover.

Remaja tersebut bakal berentap dengan pesaing dari Jerman dalam program sama pada 28 April depan.

Serah surat cerai melalui Facebook



BAIDOO dibenarkan oleh mahkamah menyampaikan dokumen penceraian kepada suaminya hanya melalui perkhidmatan mesej di laman Facebook.


NEW YORK – Sebuah mahkamah di sini membenarkan seorang jururawat ‘menyampaikan’ dokumen penceraiannya hanya melalui laman sosial Facebook.
Tindakan itu dibuat oleh hakim Mahkamah Agung Manhattan, Matthew Cooper selepas jururawat berkenaan, Ellanora Baidoo melalui peguamnya memberitahu bahawa suaminya sukar ditemui selain tidak mempunyai alamat tetap.
“Wanita berusia 26 tahun ini diberi kebenaran menyerahkan surat perceraian kepada defendan, Victor Sena Blood-Dzraku melalui mesej peribadi di akaun Facebook lelaki berkenaan,” ujar Cooper.
Menurutnya, mesej tersebut akan dihantar oleh peguam plaintif kepada defendan seminggu sekali bagi tempoh tiga minggu berturut-turut atau sehingga diakui oleh suaminya itu.
“Saya menganggap perkara ini sebagai satu undang-undang baharu dan cara ini perlu dipandang serius,” kata peguam Baidoo, Andrew Spinnell.
Pasangan yang berasal dari Ghana ini telah berkahwin pada 2009, namun hubungan mereka mula retak apabila Blood-Dzraku memungkiri janji untuk mengadakan upacara perkahwinan secara tradisional mengikut adat mereka. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3WfgDis2g 
Hakcipta terpelihara 

PM Singapura peroleh gaji tahunan paling tinggi


Lee Hsien Loong
Lee Hsien Loong
SINGAPURA 7 April – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dilaporkan memperolehi gaji tahunan kira-kira AS$1.7 juta (RM6.1 juta), pendapatan paling tinggi dalam kalangan pemimpin dunia, lapor akhbar The Independent dan International Business Times, baru-baru ini.
Pendapatan Hsien Loong yang merupakan anak kepada Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew itu adalah me­nyamai gabungan pendapatan tahunan pemimpin-pemimpin Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan United Kingdom (UK).
Perdana Menteri Singapura itu, bagaimanapun telah memotong gajinya sebanyak 28 peratus berikutan ramai yang tidak berpuas hati selepas beliau memperolehi pendapatan lebih AS$2.8 juta (RM10.1 juta) dari 2008 hingga 2012.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berada di tempat kedua dengan pendapatan sebanyak AS$400,000 (RM1.4 juta) setahun, diikuti Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper dan Canselor Jerman, Angela Merkel dengan masing-masing memperoleh pendapatan tahunan sebanyak AS$260,000 (RM942,232) dan AS$234,400 (RM849,459).
Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden China, Xi Jinping pula dilaporkan memperoleh pendapatan paling sedikit dalam kalangan pemimpin dunia dengan hanya memperoleh gaji di bawah AS$50,000 (RM181,199) setahun.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pm-singapura-peroleh-gaji-tahunan-paling-tinggi-1.78663#sthash.NrOrXQe2.dpuf

Pacat hidup dalam saluran pernafasan budak


Seorang ibu terkejut selepas dimaklumkan terdapat seekor pacat
Seorang ibu terkejut selepas dimaklumkan terdapat seekor pacat hidup di saluran pernafasan anak lelakinya selepas membawa kanak-kanak itu ke hospital di Sichuan, China. Agensi
BEIJING 7 April – Seorang ibu terkejut selepas pemeriksaan terhadap anaknya yang mengadu sakit tekak, menemukan seekor pacat yang masih hidup di saluran pernafasan kanak-kanak lelaki tersebut.
Xiabo Chien, 11, yang tinggal di Hiudong, wilayah Sichuan, China sebelum ini sering mengadu sakit kerongkong dan pening selain pernah pengsan.
Ibunya, Xiang Tung, 33, berkata, pada mulanya, dia fikir anak lelakinya itu hanya demam, lalu memberikan ubat.
“Bagaimanapun, keadaannya semakin teruk dengan sering pengsan.
“Selepas melakukan pemeriksaan sinar-X, doktor terkejut dengan penemuan tersebut,’’ katanya kepada Daily Mirror.
Seorang jurucakap hospital berkata, kanak-kanak tersebut dipercayai termakan larva pacat dan haiwan itu hidup di saluran pernafasannya.
“Pacat itu membesar sehingga tujuh sentimeter dan setiap kali haiwan tersebut bergerak, Xiabo Chien akan pengsan kerana saluran pernafasannya tersekat.
“Kanak-kanak ini bernasib baik kerana tiada jangkitan kuman berlaku dan pacat itu dikeluarkan tanpa sebarang komplikasi,’’ katanya.
Doktor berkata, kanak-kanak itu mungkin termakan larva pacat ketika pulang dari sekolah apabila dia minum air dari lopak di tepi jalan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pacat-hidup-dalam-saluran-pernafasan-budak-1.78651#sthash.7eVCPrXp.dpuf

Budak 4 tahun ketagih makan permaidani


LONDON 7 April – Seorang kanak-kanak perempuan di England, mempunyai tabiat pemakanan yang pelik apabila dia ketagih makan pelapik permaidani sebagai sebahagian daripada diet makanannya.
Jessica Knight gemar makan pelapik permaidani dan juga serpihan simen. AGENSI
Menurut portal Express.co.uk, kanak-kanak itu, Jessica Knight, 4, dari March, Cambridgeshire menghidap Pica, keadaan yang menyebabkan seseorang ketagih makan benda-benda yang pelik dan tiada khasiat.
Ibunya, Kelly berkata, anaknya mula makan kulit tiruan pada kerusi kanak-kanak semasa dia berumur dua tahun dan sejak itu mula mengubah dietnya dengan makan permaidani, serpihan simen dari laluan pejalan kaki, dan juga pasir.
Meskipun dia memberi amaran kepada anaknya akan bahaya yang mungkin dihadapinya, tindakan itu hanya membuatkan Knight lebih berahsia tentang perbuatannya.
Kelly dan suaminya, Chris berkata, mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana menurutnya, doktor tidak dapat berbuat apa-apa sehingga anaknya berusia enam tahun.
“Saya amat terkejut kerana apabila saya mengangkat permaidani di biliknya, saya boleh dilihat permaidani itu sudah tidak mempunyai pelapik.
“Kami mati akal. Oleh itu kami cuba membuatkannya sibuk. Jika kami cuba menghalangnya, dia akan mencari jalan lain untuk me­lakukannya,’’ kata Kelly.
Kelly berkata, doktor membe­ritahu, anaknya hanya boleh dibantu pada umur enam tahun selepas dia mencapai perkembangan kognitif yang sesuai.
Buat masa ini, ibu itu memberikan anaknya sebuah dompet kecil yang mengandungi pelapik permaidani kerana dengan cara tersebut, Knight boleh mengawal pemakanannya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/budak-4-tahun-ketagih-makan-permaidani-1.78653#sthash.R0G8Lksf.dpuf