Pages

Wednesday, June 16, 2010

Kopi termahal dunia



Oleh Suzan Ahmad


MUSANG hanya memilih biji kopi terbaik.
Harga minuman sisa musang cecah RM4,940 sekilogram

APA kaitan musang dengan kopi termahal dunia? Percaya atau tidak, haiwan inilah yang bertanggungjawab menjadikan harga Kopi Musang atau lebih dikenali Kopi Luwak mencecah RM2,298 (AS$600) hanya bagi 500 gram.

Malah, sebuah majalah kewangan antarabangsa, Forbes, menyatakan kopi ini dijual sehingga RM4,940 (AS$1,300) sekilogram yang layak menjadikannya kopi termahal di dunia.

Biji kopi ini adalah campuran yang dituai daripada sisa kumuhan musang di Indonesia dan mamalia ini diketahui tabiatnya hidup dengan menyelongkar biji kopi segar. Haiwan menyerupai kucing ini pemakan buah-buahan, serangga dan haiwan kecil lain untuk hidup. Ia juga makan biji kopi, malah musang menggemari biji kopi yang masak dan berwarna merah segar.

Keistimewaan kopi, ini seperti kata penggemarnya, menghasilkan rasa kelat seperti campuran tanah dengan koko. Malah, hanya kira-kira 453 kilogram Kopi Luwak asli dihasilkan setiap tahun berikutan prosesnya yang rumit serta nilainya yang sangat tinggi.

Keluarga Diraja dan golongan ternama dilaporkan menggemarinya, malah penggemar kopi sejati boleh mendapatkannya dengan harga RM114 (AS$30) secawan di hotel bertaraf lima bintang di Hong Kong.
BIJI kopi yang dikeluarkan bersama najis haiwan ini.
Namun hati-hati, kerana ada yang sekadar menumpang nama Kopi Luwak tetapi ia sebenarnya biji kopi tiruan. dan menurut pakar, kira-kira 40 peratus kopi yang terjual adalah tiruan.

Hakikatnya, musang yang ditemui di Afrika dan Asia bertanggungjawab 'menghasilkan' kopi termahal ini dengan memakan biji kopi dan ketika proses penghadaman enzim haiwan ini bercampur dengan biji kopi sebelum ia dikeluarkan melalui proses kumuhan. Inilah rahsia yang menjadikan setiap bijinya mengeluarkan rasa kelat yang unik.

Di Asia Tenggara, musang ini lebih banyak menjadikan celah dedaun kebun kopi sebagai rumahnya. Namun, ada juga yang dipelihara khas untuk menjalankan tugasan penting sebagai pemilih kopi istimewa berkenaan. Ini disebabkan haiwan ini sememangnya agak cerewet kerana memilih hanya biji kopi yang terbaik dan masak. Enzim di dalam perut ketika proses penghadaman kemudian mengurai sebahagian daripada biji kopi berkenaan sebelum ia dikumuhkan.

Ketika inilah, gerombolan pekerja akan mengutip sisa kumuhan yang bersepah di kebun kopi sebelum mencuci dan memanggang biji kopi berkenaan yang menghasilkan minuman unik yang enak sehingga ke titisan yang terakhir. Begitupun, di celah keistimewaan dan keunikannya itu ada juga yang meragui kesahihan khasiat Kopi Luwak dan menganggap ia suatu yang pelik dan sekadar gimik untuk tujuan pemasaran.
Namun bagi penggemarnya, Kopi Musang cukup dikenali kerana cukup matang, enak rasanya dan kurang pahit. Memandangkan rasa pahit kopi yang banyak membuat ramai orang tidak menggemari kopi, Kopi Luwak pula mengumpan semakin ramai orang untuk menikmatinya.

Agak sukar untuk mencari sumber Kopi Musang yang tulen memandangkan caranya yang luar biasa untuk dihasilkan. Sebelum penternakan kopi musang popular, kebanyakan penternak akan keluar mencari kumuhan musang liar. Kini, penghasilan kopi ini lebih produktif sejak musang dibenarkan hidup bebas dalam kawasan tertentu menjadikan kumuhan musang lebih mudah dicari.

Akibat populariti kopi yang luar biasa ini, bagaimana Kopi Luwak dibuat secara tidak langsung memberi manfaat kepada jumlah populasi musang kerana menggalakkan lebih banyak habitat untuk musang ini diwujudkan di sekitar kebun kopi berkenaan.

Wanita penggoda rahsia Mossad



Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my


GAMBAR kiri, Tzipi Livni dianggap antara ejen wanita paling hebat. Gambar kanan, Vanunu mangsa godaan ejen wanita Mossad.
Ejen diarah menggoda dan meniduri sasaran untuk capai matlamat

BADAN perisikan Israel, Mossad, sekali lagi membenarkan tanggapan dunia mengenai kehebatannya menghapuskan musuh rejim Yahudi itu, dengan kejayaan membunuh komander Hamas, Mahmud al-Mabhuh, di Dubai, Januari lalu. Itupun jika ia boleh disifatkan satu kejayaan kerana Mossad memerlukan 26 ejen untuk menumpaskan cuma seorang anggota kumpulan pejuang yang tidak pernah letih atau takut untuk berdepan dengan mereka.

Di sebalik kejayaan itu, Mossad secara sedar atau tidak turut mendedahkan satu lagi kepakaran mereka - mencuri identiti orang lain - sekali gus membolehkan mereka mencuci tangan dan melepaskan beban ke atas orang lain. Gara-gara dosa itu juga, enam warga Britain, yang mendakwa pasport mereka dicuri kini umpama cacing kepanasan kerana bimbang nyawa mereka pula terancam kerana tindakan Mossad itu.

Selain warga Britain berkenaan, ejen Mossad juga dikatakan menggunakan identiti seorang lelaki Jerman, selain polis Dubai menemui dua pasport palsu Ireland dan Australia memberi amaran keras kepada Tel Aviv jika terbukti tiga pasport negara itu digunakan dalam operasi berkenaan.

Seperkara menarik misi Mossad ialah kehadiran ejen wanita yang menjadi senjata kotor tetapi penting bagi badan perisikan itu mencapai matlamatnya.

Seks sebagai senjata

Mossad, walaupun mendakwa melakukannya secara terpaksa memang menghantar ejen wanitanya untuk memerangkap sasaran dalam permainan seksual. Orang atasan badan perisikan itu cenderung menggunakan wanita bujang untuk tugasan seumpama itu dan selalunya mereka menggunakan cara itu cuma sekali. Walaupun tiada tekanan dikenakan kepada ejen wanita untuk menggunakan kelebihan jantina, memang sudah dijangka mereka menggunakan seks sebagai salah satu daripada senjata.

Ejen wanita yang menggunakan pengenalan Gail Folliard, seorang wanita Ireland, bukan yang pertama terbabit dalam misi pembunuhan itu. Identiti sebenarnya tidak diketahui dan ia seperti mengulangi sejarah 22 Januari 1979, apabila ejen wanita yang disifatkan sebagai pembunuh upahan wanita Britain pertama Mossad, dikenali sebagai Penelope, memainkan peranan besar dalam pembunuhan orang kuat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Ali Hassan Salameh.

Kepada jirannya berhampiran Rue Verdun, Penelope cuma seorang wanita warga asing yang menetap di Beirut, Lubnan. Wanita Inggeris yang menarik berusia 30-an itu menjalani hari-harinya dengan cuma mengutip kucing terbiar dan dilihat melukis di tepi tingkap.

Pada jam 3.35 petang 22 Januari 1979, bandar raya itu digegarkan dengan letupan kereta besar yang mengorbankan sembilan nyawa tetapi kematian Salameh yang menggegarkan dunia.
Dikenali sebagai Putera Merah, Salameh adalah perancang utama pertubuhan Black September dan mendalangi peristiwa pembunuhan 11 atlit Israel pada kejohanan Olimpik di Munich pada 1972.

Di tengah-tengah kekecohan itu, tiada siapa sedar Penelope keluar dari rumahnya secara diam dan tidak pernah kembali, malah di mana dia berada masih menjadi misteri sehingga hari ini.

Identiti terbongkar

Sedikit demi sedikit identiti sebenar Penelope mula terbongkar yang menyatakan dia adalah ejen Mossad yang dilatih menggunakan kecantikan untuk menyusup masuk ke dalam kehidupan antara lelaki paling ditakuti di dunia dan membunuhnya.

Malah, bukti kukuh menunjukkan Penelope adalah orang yang menghidupkan bahan letupan yang mengorbankan Salameh dan pengawal peribadinya.

Kisahnya cukup luar biasa dan Januari lalu ia sekali lagi mengimbau sejarah lama. Pembunuhan al-Mabhouh mempunyai persamaan dengan Salameh. Bukan hanya Mossad dipercayai mendalangi pembunuhan itu tetapi juga seorang wanita memainkan peranan penting dalam skuad pembunuh itu.

Ketika teka teki mengenai identiti sebenar skuad pembunuhan di Dubai, masa menunjukkan beberapa petunjuk mengenai siapa sebenarnya ‘Penelope’.

Bukti muncul menunjukkan dia sebenarnya wanita Britain dengan nama Erika Maria Chambers, yang dilahirkan dan dibesarkan di London dalam sebuah keluarga berdarah Yahudi yang kaya.

Tinggal di Notting Hill pada awal kehidupannya dan pernah menjadi pengasuh anak kepada keluarga Ahli Parlimen Parti Buruh ketika itu, Tony Benn, Chambers tidak pernah menduga masa depannya akan ditentukan badan perisikan Israel.

Bagaimanapun, kunjungannya ke Israel untuk menyambung pelajaran di Universiti Hebrew mengubah segala-galanya apabila dia menjadi sasaran Mossad dan dipujuk menjadi ejen selepas mengetahui dengan lebih mendalam mengenai Holocaust dan diceritakan bagaimana ramai saudara maranya meninggal dunia dalam peristiwa itu.

Selepas ‘didiamkan’ selama beberapa tahun di Jerman, Chambers mula aktif dan dihantar ke Beirut untuk satu misi saja - membunuh Salameh. Selepas itu, dia diseludup ke Israel dan dipercaya bersembunyi di wilayah berkenaan sejak itu.

Balas dendam

Sejak kejadian di Munich, Israel bersumpah untuk membalas dendam. Kesilapan membunuh seorang pelayan lelaki warga Maghribi sehingga memaksa operasi mereka dihentikan dan penangkapan lima ejen, tidak menghalang Mossad meneruskan dasar pembunuhan antarabangsa mereka.

Namun Salameh selamat dalam lima percubaan membunuhnya. Israel tidak berpuas hati dan ketika itulah Penelope muncul. Berikutan pembunuhan Salameh, satu pasport Britain ditemui di pangsapuri Penelope di Rue Verdun. Ia memaparkan nama Erika Maria Chambers dan tarikh lahirnya pada 10 Februari 1948.

Berdasarkan dokumen itu saja, memang sukar memastikan ia adalah identiti sebenarnya. Kini, berikutan pembunuhan di Dubai, hampir pasti pembunuhan menggunakan pasport palsu Britain, menggunakan maklumat yang diambil daripada individu dilahirkan di negara itu tetapi kini menetap di Israel.

Beberapa tahun selepas menjalani latihan intensif, Penelope berpindah ke Jerman pada 1975 dan menetap di negara itu selama tiga tahun dengan dua tujuan iaitu menjarakkan masa ketika dia di Israel dan berikutan pembunuhan itu, bukti akan menunjukkan perkhidmatan keselamatan Jerman yang bertanggungjawab, bukan Mossad.

Pada 1978, Chambers mengunjungi Beirut dan menggunakan nama Penelope, menyewa rumah berdepan dengan Rue Verdun, berhampiran tempat tinggal Salameh.

Cuma dalam masa beberapa bulan, Chambers dapat menyusup masuk ke dalam pertubuhan kebajikan Palestin dan dari situ, untuk berada dekat dengan Salameh bukan lagi satu masalah.

Walaupun laporan menyatakan bom diletupkan menggunakan mengikut masa, ejen Mossad yang terbabit dalam kejadian mendakwa ia diletupkan Chambers.

“Peranannya cuma menekan butang pada masa tepat keretanya melepasi Volkswagen. Menyelaraskan ia amat sukar dan dia terlatih melakukannya. Dia dapat melakukannya dengan baik,” kata ejen berkenaan.

Tidak semua berjaya

Bagaimanapun, tidak semua ejen wanita Mossad berjaya dalam tugasan yang diberikan dan Sylvia Rafael adalah contoh terbaik betapa dasar yang dipakai badan perisikan itu tidak mengira mangsa.

Rafael yang digelar pembunuhan legenda Mossad, disabitkan bersalah membunuh seorang pelayan lelaki Maghribi di Norway, dalam usaha mereka melenyapkan semua yang terbabit dalam kejadian di Munich.

Tidak banyak diketahui mengenai Rafael yang meninggal dunia pada usia 67 tahun di Afrika Selatan kecuali dia adalah antara kegagalan besar Mossad. Pada Julai 1973, Rafael menyertai pasukan ejen memburu Salameh sebagai tindakan balas dendam Israel, yang diarahkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Golda Meir.

Di sebuah kampung di Norway, mereka menembak mati Ahmed Bouchiki di depan isterinya yang sedang hamil. Rafael dan lima ejen Mossad lain ditangkap dan dibicarakan dalam apa yang kemudian menjadi pendedahan paling menjejaskan bagi agensi perisikan luar negara.

Rafael, yang menggunakan pasport palsu Kanada, akhirnya mengahwini peguamnya. Dia dijatuhkan hukuman lima tahun penjara tetapi dibebaskan selepas 11 bulan kerana campur tangan Israel.

Rafael dihantar balik ke Israel tetapi dibenarkan kembali ke Norway pada 1978 untuk bersama-sama suaminya tetapi diberi perlindungan ketat daripada pejuang Palestin yang bersumpah mahu membunuhnya. Dia meninggalkan Norway 10 tahun kemudian selepas cubaan membunuhnya dan berpindah ke Pretoria, Afrika Selatan bersama-sama suaminya.

Ejen paling dikenali

Mungkin ejen wanita Mossad paling dikenali ialah bekas Menteri Luar rejim Zionis itu, Tzipi Livni, yang digambarkan masih cekap menyelak skirt atau pakaian yang dipakai untuk mencapai pistol Beretta yang pernah disorokkan dalam seluarnya.

Berambut perang muda asli, bermata biru, IQ yang tinggi dan skil semula jadi dengan senjata bersama-sama pengetahuan umum dan skil sosial, menjadikan Livni adalah rekrut paling sesuai untuk Mossad.

Di pusat latihan, Tzipi cekap dalam latihan berada di atas kerusi di bilik gelap dan menyasarkan tembakan pada sasaran yang ditayang pada skrin atau memecah masuk pejabat untuk mencuri rahsia.

Bekas ketua pengarah Mossad, Meir Amit, pernah menjelaskan jenis latihan yang diberikan kepada Livni.

“Dia ditanya pendapat mengenai menggunakan seks. Adakah dia sanggup meniduri lelaki tidak dikenali jika misi menuntut dia berbuat demikian? Dia belajar cara menggunakan seks untuk memaksa, menggoda dan menguasai. Dia diberitahu menggunakan seks untuk kebaikan Israel dibenarkan.

“Namun semua ejen wanita Mossad adalah wanita berpendidikan tinggi yang tahu risikonya. Ia memerlukan keberanian. Ia bukan persoalan mengenai melakukan hubungan seks dengan seseorang. Ia bagi membawa seorang lelaki percaya dia akan berbuat demikian sebagai balasan apa yang akan diberitahu.”

Jerat rakyat sendiri

Mossad bukan hanya menggunakan ejen wanitanya untuk misi antarabangsa tetapi juga menjerat warganya sendiri jika berani membuka pekung mereka seperti yang berlaku kepada Mordechai Vanunu - yang mendedahkan kepada dunia Israel memiliki senjata nuklear.

Pada 1986, Cheryl Hanin yang memakai nama Ben-Tov selepas berkahwin, menggoda Vanunu di London, kemudian mengumpan dia ke Rome dan akhirnya ke tangan Mossad, yang memasukkan ubat ke dalam makanan dan menyeludup Vanunu kembali ke Israel.

Hanin menyamar sebagai pelancong Amerika Syarikat bernama Cindy yang menarik untuk menggoda Vanunu. Seperti juga Livni dan ejen wanita lain, Hanin dilatih memecah masuk pejabat untuk mencuri dokumen sulit dan misi lain.

Selepas latihan, Hanin menyertai unit Mossad yang bekerja dengan kedutaan Israel dan kerap menyamar sebagai isteri atau teman wanita ejen lain. Misi akhirnya ialah diatur bertemu Vanunu di Leicester Square dan memberitahu dia adalah pakar kecantikan Amerika yang sedang bercuti. Sejak itu mereka saling bertemu.

Walaupun diingatkan wartawan Sunday Times, Peter Hounam, Cindy mungkin ejen Mossad, Vanunu menegaskan dia cuma pelancong yang lantang mengutuk Israel.

Anggapan itu akhirnya memakan diri apabila Vanunu akhirnya masuk ke dalam perangkap Israel dan akhirnya terpaksa merengkok di dalam penjara selama 18 tahun.

Secara sedar atau tidak, Mossad sebenarnya secara halus tetapi terang-terangan mengeksploitasi wanita dengan memujuk mereka untuk menjalin hubungan lebih intim dengan sasaran sehingga ke tahap mengadakan hubungan seks.

Peliknya, tiada pula agensi yang kononnya memperjuangkan nasib dan hak wanita bersuara mengutuk amalan itu. Berbeza pula keadaannya apabila bertudung dianggap menindas wanita Islam. Siapa sebenarnya lebih bijak dalam hal ini - mereka yang memilih menggadai harga diri atas nama tugas atau menutup aurat demi menjunjung agama? Tidak sukar sebenarnya memilih pemenang antara dua pilihan itu.

Misteri: Penunggu pohon jejawi



Oleh Hazirah Che Sab



Penduduk bakar pokok sebuah kampung di Sungkai, Perak, gara-gara gangguan pontianak

APA perasaan anda apabila hasrat hati untuk pulang ke kampung, sering kali terencat disebabkan kewujudan penunggu pokok jejawi di satu-satunya jalan menghala masuk ke rumah.

Inilah dilema dialami seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad setiap kali dia memutuskan untuk pulang melawat ibu bapa tersayang di sebuah perkampungan di Sungkai Perak. Sudah pasti, waktu malam menjadi pilihan untuk pulang ke kampung berikutan kekangan kerja sebagai pengurus pemasaran di sebuah syarikat di Shah Alam.

Namun, rasa takut yang lebih ketara gara-gara kepulangan Ahmad sebelum ini pernah ‘disambut’ pontianak iaitu wanita berambut panjang, berbaju putih dengan tangan melambai-lambai di tepi pokok jejawi yang terletak di satu-satunya jalan masuk ke rumah orang tuanya.

“Wajahnya amat menggerunkan. Saya boleh nampak dengan jelas siung dan biji matanya yang kemerah-merahan. Tuhan saja tahu betapa terkejutnya saya melihat kelibatnya yang muncul secara tiba-tiba.

“Mujurlah ketika panik itu, saya masih sempat memecut laju kenderaan sehingga sampai ke rumah. Bapa saya yang terkejut mendengar bunyi brek dan melihat wajah pucat saya, sudah boleh mengagak apa puncanya,” kata Ahmad kepada penulis, baru-baru ini.
Ini kerana bapanya, Pak Salim yang bertugas sebagai imam, sudah menerima banyak aduan penduduk kampung, selain rungutan anak-anaknya mengenai penunggu pokok jejawi itu. Bukan saja pada waktu malam, malah pada siang hari, siapa saja yang melintasi pokok jejawi - sejenis sub spesies pokok ara yang mana pokoknya dilingkari akar panjang, boleh meremangkan bulu roma mereka yang memandang.

Aduan yang diterima Pak Salim itu semua membabitkan subjek, pokok dan jelmaan sama - penunggu pokok jejawi yang ancamannya meniti dari bibir ke bibir dan ‘kemuncak’ usikan itu kian menjadi-jadi pada November lalu.

Malah, Pak Salim yang bergelar ustaz itu pun pernah diganggu makhluk itu apabila motosikal yang dinaikinya tiba-tiba menjadi sebegitu berat dan sukar bergerak ketika pulang kira-kira jam 1 pagi selepas memberi ceramah di sebuah surau, tidak lama dulu. Pak Salim dan motosikalnya itu hanya dilepaskan selepas beliau terkumat kamit membacakan beberapa potong ayat suci bagi mengusir jelmaan pontianak berkenaan.

“Takkan bapak nak biarkan begitu saja. Lagi kita biar, lagilah pontianak itu bermaharajalela mengganggu orang kampung. Ahmad yang jarang balik pun boleh kecut perut dibuatnya, inikan pula orang kampung yang kerap keluar masuk menggunakan jalan raya itu, termasuk ke masjid,” kata Ahmad, mengejutkan Pak Salim yang mengelamun seketika mengenangkan pengalaman buruknya diganggu makhluk itu. Wajah Ahmad sebegitu serius dan cuba memujuk bapanya segera bertindak mengusir gangguan itu serta temannya, si pokok jejawi berkenaan.
“Nantilah. Memang bapak dah terima banyak aduan. Tetapi selalunya, pokok dan tuannya itu mana boleh dihapuskan begitu saja. Kalau tak cukup ilmu di dada, mana kita boleh melenyapkan makhluk itu,” kata Pak Salim, menenangkan Ahmad.

Keesokan harinya, selepas mengimamkan solat Subuh di masjid, Pak Salim memanggil dua sahabat karibnya, Pak Abu dan Pak Ali, bagi membincangkan gangguan itu.

“Eh, kamu tak tahu ke, kan ada orang pernah cuba bakar pokok itu sebelum ini. Tetapi lain jadinya apabila dia pula yang jatuh sakit, demam seminggu,” kata Pak Ali.

“Mana boleh pergi bakar macam tu saja. Mestilah ada adabnya apalagi pokok itu sudah lama ada penunggu. Jangan main-main, takut nanti lain yang dituju, lain pula jadi mangsanya. Pokoknya, kita tak boleh biar macam ini saja. Kacau nanti kalau semua orang tak berani keluar malam. Bimbang nanti, jemaah masjid penuh takat solat Isyak saja dan aktiviti selepas itu seperti ceramah, tak ada sambutan,” kata Pak Salim.

Selepas berbincang lama, mereka akhirnya memutuskan untuk melakukan langkah drastik - menebang lalu membakar pokok jejawi berkenaan yang menjadi lubuk gangguan pontianak berkenaan.

Mereka memilih pagi Isnin yang cerah. Selain Pak Salim, Pak Ali dan Pak Abu, mereka turut dibantu lima pemuda lain. Sebaik menjejakkan kaki, mereka diuji dengan bau busuk yang entah dari mana asalnya serta perasaan takut yang menegakkan bulu roma.

Ia tidak mematahkan semangat mereka, sebaliknya mereka meneruskan usaha dengan didahului doa. Pada awalnya usaha mereka tidak ke mana kerana entah mengapa pokok berkenaan tidak boleh ditebang. Peralatan yang digunakan untuk tujuan itu tidak boleh digerakkan.

Penduduk kampung cuma memandang antara satu sama lain. Tiada sebab pokok itu tidak boleh ditebang kecuali ada halangan yang tidak dapat dilihat mata kasar. Sebagai ketua misi menumbangkan pokok itu, Pak Salim tidak bertangguh lagi terus membaca ayat suci al-Quran, selain memohon doa supaya segala-galanya dimudahkan.

Berkat kesabaran mereka, pokok itu akhirnya berjaya ditumbangkan dan dibakar untuk mengelak ia terus menjadi tempat persinggahan jelmaan itu. Kini penduduk kampung kembali aman kerana tiada lagi gangguan penunggu pohon jejawi itu.

Misteri: Serigala jadian



Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my



Legenda, mitos dikongsi di seluruh dunia

BERBICARA mengenai dunia misteri, tidak lengkap rasanya tanpa mengaitkan kisah serigala jadian, antara legenda kuno dan tersebar luas. Cerita serigala jadian boleh didapati sejak sejarah ditulis dan mitosnya berada di seluruh dunia dari China ke Iceland dan Brazil ke Haiti.

Sebahagian kisah paling awal serigala jadian diperoleh daripada sumber Romania dan Greek. Ia dikatakan bermula apabila Raja Lycaeon dikunjungi dewa. Tidak mempercayai kumpulan yang melawatnya dewa, dia memutuskan untuk menguji mereka dengan menghidangkan daging manusia dalam satu hidangan meraikan kedatangan dewa terbabit. Sebaik mengetahui helah itu, kumpulan dewa berkenaan menukar Raja Lycaeon menjadi serigala jadian.

Satu lagi kejadian yang sering dikaitkan dengan serigala jadian ialah malam bulan mengambang penuh. Menariknya, tidak seperti banyak filem mengenai kisah itu, serigala jadian ‘sebenar’ boleh berubah kejadian pada bila-bila masa tanpa menanti bulan penuh.

Dalam satu kisah pada 1588 di pergunungan Auvergne, kisah mengenai serigala jadian betina berdarah raja begitu popular. Ia menceritakan bagaimana seorang lelaki bangsawan melihat ke luar tingkap biliknya dan ternampak pemburu yang diupah memeriksa keadaan pondok di belakang istana.

Ketika di dalam hutan, dengan masih diperhatikan tuannya, pemburu itu terserempak dengan serigala. Dalam pergelutan, dia berjaya memotong tapak kaki haiwan itu dan meletakkannya di dalam beg yang dibawa. Sebaik kembali ke istana dengan cenderamata mengerikan itu, pemburu berkenaan membuka begnya untuk menunjukkan bukti pergelutan dengan serigala. Anehnya, di dalam beg itu bukan lagi tapak kaki haiwan, sebaliknya mengandungi tangan wanita memakai sebentuk cincin emas.
Lelaki bangsawan berkenaan mengenali cincin itu, mengarahkan pemburu pergi dari istana dan segera mencari isterinya. Dia menemui isterinya di dapur, sedang merawat luka pada lengannya. Apabila membuka balutan, barulah dia mengetahui tangan isterinya sudah dipotong. Akhirnya wanita itu mengakui bertukar menjadi serigala. Dengan pengakuan itu, dia akhirnya menerima hukuman mati dengan dibakar.

Sementara itu, satu-satunya serigala jadian dalam sejarah Georgia dikatakan dikebumikan di daerah O’Neal di Mukim Talbot. Warga tua daerah berkenaan menceritakan kisah seorang lelaki yang boleh menjadi serigala jadian dan membaham ternakan biri-biri mereka.

Penduduk kampung mengadu banyak biri-biri mereka diserang walaupun ada beberapa pengawal di pusat kawalan. Lebih membingungkan apabila ia tidak dimakan oleh penyerang dan seolah-olah ia dibunuh untuk keseronokan.

Pemilik tanah semakin mengetatkan kawalan dan mengadakan perangkap. Lebih ramai pengawal disediakan untuk mengawal biri-biri pada waktu malam, pemburu profesional dibawa masuk ke kampung dan raifal baru turut dibeli sebagai langkah berjaga-jaga.
Bagaimanapun, mereka tidak dapat membunuh penyerang sehinggalah menemui seorang lelaki yang dianggap penduduk kampung seorang yang kuat bekerja dan mulia.

“Di Bohemia, kami berdepan masalah sama. Penduduk kehilangan biri-biri sehinggalah seseorang memberitahu kami mengenai legenda serigala jadian. Ia membunuh kerana seronok, cuma untuk merasai darah. Jadi, penduduk melakukan sama seperti apa yang saya minta awak lakukan. Ini palang perak milik saya. Ambil dan cairkan ia menjadi bentuk peluru. Ia satu-satunya cara serigala jadian dapat dibunuh,” katanya.

Penduduk kampung mengambil nasihat itu dan seorang penduduk memasukkan peluru berkenaan di dalam raifal. Pada malam kedua, dia ternampak serigala dan menyasarkan tembakan tepat pada sasaran. Haiwan itu menjerit kuat tetapi kedengaran lebih kepada jeritan seorang perempuan.

Bangkai haiwan itu tidak ditemui tetapi penduduk menemui kaki kiri depan yang jelas terputus akibat terkena tembakan peluru perak. Kejadian menyerang biri-biri tidak lagi berlaku.

Beberapa tahun kemudian barulah seorang doktor mendedahkan pada malam kejadian tembakan itu juga dia merawat tangan seorang wanita muda yang kelihatan seperti cedera terkena peluru yang memutuskan tangannya.

Misteri: Jeram bunian Upih Guling



Oleh Mohd Azis Ngah


Lubang Upih boleh memuatkan lelaki dewasa saiz normal.
Lekuk batu, kokokan ayam ghaib antara bukti kaitan sungai Jasin di Endau Rompin dengan dunia makhluk halus

BAGI dunia makhluk halus atau bunian, Orang Asli memanggilnya dunia dewa dewi. Itulah kepercayaan yang diwarisi sejak ratusan tahun dulu. Apapun gelarannya, ia tetap merujuk kehidupan di alam berbeza, tidak dapat dilihat pada mata kasar tetapi mereka dipercayai juga hidup seperti manusia, ada keluarga, ada perasaan cinta, marah, benci, dendam dan cemburu.

Dunia bunian itu dikatakan wujud di hutan Taman Negara Endau Rompin. Malah jika menjejakkan kaki ke Kampung Peta, pengunjung pasti akan dibawa ke satu jeram yang cukup cantik, unik dan menarik iaitu jeram Upih Guling yang terletak di Sungai Jasin dan dikatakan pernah wujud perkampungan orang bunian.

Kampung bunian itu dikatakan terletak kira-kira setengah kilometer dari kem perkhemahan Kuala Marong yang menemukan Sungai Marong dan Sungai Jasin. Pengunjung cuma perlu berjalan kaki meredah sungai dan denai hutan selama kira-kira 20 minit untuk sampai ke situ.

Di jeram Upih Guling misalnya, pengunjung boleh menemui kawasan berbatu hampar dan tebing yang dipenuhi lubang pelbagai jenis, pelbagai bentuk. Ada yang berair dan ada yang kering. Ada lubang besar yang boleh memuatkan kira-kira lima lelaki dewasa.

Bentuk unik itulah yang dikatakan menjadi tarikan pelancong kerana kawasan itu pernah dikatakan menjadi laluan pergerakan granit bumi jutaan tahun dulu, lalu menghasilkan bentuk muka bumi yang dilihat pada hari ini.
Di antara tebing batu yang berlubang itu, adat satu lubang batu menegak yang mempunyai lubang di bahagian tepi bawah. Bentuknya menyamai kerusi tempat duduk pemandu kereta lumba Formula Satu yang mana kaki boleh dilunjurkan sebaik memasukinya.

Di dalam lubang itu ada dua batu yang boleh dijadikan alas tempat duduk kerana lubang itu mempunyai sedikit air. Saiznya boleh memuatkan badan seorang lelaki dewasa bersaiz sederhana. Lubang itulah yang dikatakan punca segala misteri bagaimana jeram berkenaan dinamakan Upih Guling dan Orang Asli turut mempercayai kawasan itu masih dijaga orang bunian hinggalah ke hari ini.

Mengikut cerita yang dikongsi penduduk orang Asli Kampung Peta, Seman Man, 43, kepada penulis, baru-baru ini, ratusan tahun dulu, seorang pemuda bunian, Upih sudah bertunang dengan gadis pilihan hatinya. Di mata tunangnya, Upih seorang yang cukup sempurna, sedap mata memandang, rajin dan cukup semuanya.

Namun hakikatnya, Upih tidaklah sebegitu baik seperti disangkakan tetapi bijak menyembunyikan tabiat buruknya yang suka menyabung ayam bersama rakan.
“Setiap hari Upih keluar rumah, dikatakan keluar mencari rezeki tetapi sebenarnya dia menghabiskan masa di lokasi menyabung ayam. Selepas sekian lama berjaya menyembunyikan tabiat buruk menyabung ayam, akhirnya tembelang Upih pecah apabila tunangnya secara tidak sengaja terserempak Upih menyabung ayam di satu belukar berhampiran tebing sungai.

“Upih terkedu dan sangat terkejut dengan kehadiran tunangnya itu. Akibat terlalu terkejut dan menggeletar, Upih hilang imbangan badan lalu terjatuh dari tebing dan berguling-guling di atas batu sebelum tercampak ke dalam sungai.

“Selepas beberapa kali tenggelam dan timbul, Upih terus hilang dibawa arus dan gagal ditemui. Tempat Upih terjatuh itu membentuk satu lubang dan masih kekal hingga hari ini. Sebab itulah kawasan ini dinamakan Upih Guling,” katanya.

Selepas kejadian itu, penduduk Orang Asli sering mendengar kokokan ayam jantan di kawasan tebing sungai itu, tidak jauh daripada tempat Upih terjatuh. Mereka percaya ayam itu milik Upih dan berkokok mencari tuannya yang masih hilang hingga sekarang.

Walaupun mereka boleh mendengar dengan jelas kokokan ayam jantan itu, tetapi mereka tidak boleh melihatnya kerana percaya binatang itu juga hidup di alam dewa dewi dan bunyinya juga berbeza dengan ayam hutan jantan.

Di kawasan batu itu juga boleh dilihat susunan lubang tiga sebaris bermula sebesar saiz pemeluk lelaki dewasa, saiz dua kali ganda dan yang paling besar dianggarkan mempunyai ukur lilit bulatan dua meter persegi.

Lubang batu itu dipercayai tempat Upih dan rakannya memandikan ayam mereka sebelum dan selepas menyabung ayam sambil berehat di situ kerana kawasan berkenaan mempunyai susunan batu hampir rata, boleh memuatkan kira-kira 20 orang pada satu masa.

Angkara Yahudi



Oleh Nurul Hazren Masitom



Usaha terancang Zionis untuk roboh al-Aqsa

MENGIKUT sejarah, Masjid al-Aqsa bermaksud 'Masjid Paling Jauh', terletak di Baitulmaqdis atau 'Jerusalem' bagi orang Yahudi.

Masjid itu terbina di kawasan Haram al-Sharif atau ‘Temple Mount’ yang juga dituntut Yahudi kononnya menempatkan kuil yang pernah dibina di Baitulmaqdis.

Tidak jauh dari Masjidil Aqsa ialah Kubah Batu atau ‘Qubbat As-Sakhrah’ yang asalnya batu besar tempat Nabi Muhammad berdiri naik ke langit ketika peristiwa Israk Mikraj.

‘Qubbat As-Sakhrah’ yang kini dipanggil Masjid Kubah Batu juga dikenali sebagai Masjid Umar, tempat Saidina Umar al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmaqdis.

Masjid al-Aqsa adalah tempat suci kepada umat Islam, begitu juga dengan ‘Qubbat As-Sakhrah’ dan kawasan sekitarnya kerana terletak dalam Haram al-Sharif. Keseluruhan kawasan ini dimaksudkan sebagai Masjidil Aqsa, bukannya al-Aqsa saja kerana al-Aqsa dibina selepas penaklukan Baitulmaqdis oleh tentera Islam. Nama masjid itu diambil sempena nama Masjidil Aqsa dalam al-Quran.
Masjid al-Aqsa ialah tanah suci ketiga selepas Makkah dan Madinah. Umat Islam percaya Nabi Muhammad SAW dibawa dari kota suci Makkah ke al-Aqsa pada malam Israk Mikraj. Masjid terbesar di Baitulmaqdis itu boleh memuatkan kira-kira 5,000 jemaah di dalam dan kawasan sekitarnya.

Ia pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Baitullah al-Haram di Makkah dan menjadi masjid yang kedua dibina selepas Kaabah. Jarak masa pembinaan antara Kaabah dan al-Aqsa ialah 40 tahun.

Masjid itu pada awalnya sebuah rumah ibadat kecil dibina oleh Khalifah kedua Islam, Umar al-Khattab di kawasan seluas 25 hektar pada 638 Masihi (M), namun dibina semula dan diperluaskan oleh Khalifah Abdul Malik ibni Marwan dan disiapkan anak lelakinya Al Walid ibni Abdul Malik pada 705M.

Gempa bumi pada 746M memusnahkannya sebelum dibina semula oleh Khalifah Abbasiyah, Al-Mansur pada 754M dan diteruskan penggantinya, al-Mahdi pada 780M. Satu lagi gempa memusnahkan sebahagian besar al-Aqsa pada 1,033M, namun dua tahun kemudian Khalifah Ali az-Zahir membinanya semula yang kekal sehingga hari ini.
Ketika tempoh pengubahsuaian dijalankan, pelbagai dinasti pemerintahan Khalifah Islam membina ruang tambahan selain kubah, bahagian hadapan, mimbar, menara dan struktur dalaman.

Apabila Tentera Salib menawan Baitulmaqdis pada 1,099M, mereka menggunakan masjid itu sebagai istana dan gereja, namun fungsinya sebagai masjid dikembalikan selepas ia dirampas panglima Islam, Sallahuddin al-Ayyubi. Kini kota lama itu berada di bawah kawalan Israel, namun Masjid al-Aqsa ditadbir wakaf Islam Pihak Berkuasa Palestin.

Laporan terbaru menyatakan, Masjid al-Aqsa terancam dan boleh roboh kerana kegiatan menggali oleh Pihak Berkuasa Antikuiti Israel. Kerja penggalian itu berlaku sejak sepanjang 1970-an lagi. Pada masa itu, Israel memperhebat penggalian di bahagian bawah masjid termasuk di selatan dan baratnya.

Pada 1977, penggalian itu diteruskan dan sebuah terowong besar dibuka di bawah kawasan solat wanita. Satu terowong baru digali pula di bawah masjid, dari timur ke barat pada 1979. Sebagai tambahan, Jabatan Arkeologi Kementerian Hal Ehwal Agama Israel menggali sebuah terowong berhampiran bahagian barat masjid pada 1984.

Ketika memulakan projek penggalian terbabit, Israel mendakwa mereka mencari tempat ibadat Nabi Sulaiman. Mereka gagal menemui lokasinya, sebaliknya menemui terowong Raja Jehoiachin (Raja Baitulmaqdis).

Israel mendakwa, penggalian itu satu kejayaan kerana menemui runtuhan terowong Raja Jehoiachin, yang tidak berkaitan langsung dengan tempat ibadat Nabi Sulaiman. Terowong itu tidak dianggap penting dari segi agama tetapi sejarah. Pintu masuk terowong kemudian ditutup dan pada hari ini ia dibuka semula tanpa sebarang justifikasi.

Kepentingan berhubung isu penggalian terbabit ke atas umat Islam tidak perlu dijelaskan. Mereka umumnya bimbang Masjid al-Aqsa dan asasnya akan rosak dek kerja penggalian itu.

Malah, apakah manfaatnya penggalian itu kepada penduduk Yahudi tidak difahami kerana hakikatnya tiada kepentingan langsung dari segi agama.

Pada Februari 2007, jabatan arkeologi terbabit mula menggali di lokasi bagi membina semula laluan jalan kaki yang runtuh. Tapak itu terletak 60 meter dari Masjid al-Aqsa, mencetuskan kemarahan umat Islam dan Israel dituduh cuba memusnahkan asas masjid.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniya menggesa rakyat Palestin bersatu bagi membantah penggalian itu, sementara pemimpin Fatah mengancam menamatkan gencatan senjata dengan Israel.

Dalam laporan Pusat Media Antarabangsa Asia Barat (IMEMC) Februari 2008, sekumpulan pembuat dasar Hamas yang ditahan Israel menggesa rakyat Palestin menyekat rancangan baru Yahudi menggali terowong baru di bawah Masjid al-Aqsa.

Pembuat dasar Palestin yang ditahan di penjara Ayalon itu, percaya apa yang berlaku adalah satu lagi cubaan Israel untuk menghapuskan sejarah Arab dan Palestin di Baitulmaqdis.

Mereka menggesa dunia Arab dan Islam membantu mereka melindungi Baitulmaqdis dan kawasan suci Islam. Mereka juga berkata, perpecahan di kalangan penduduk Palestin menggalakkan Israel melakukan sesuka hati di Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.

Akhbar Haaretz pada 31 Januari 2008 mengesahkan laporan bahawa Israel mengambil keputusan memulakan penggalian sebuah terowong baru di kawasan yang disebut.

Pada Ogos 2008, sumber Israel melaporkan, Menteri Luar Jordan, Salah Bashir, bertemu duta Israel di Jordan untuk membantah penggalian berhampiran Masjid al-Aqsa. Jordan berkata penggalian itu akan mencetuskan gelombang keganasan baru di Asia Barat dan Baitulmaqdis adalah Garisan Merah bagi semua penduduk Arab dan Islam.

Mohammad Abu Hdeib, ketua jawatankuasa Parlimen Jordan berhubung hal ehwal antarabangsa, menyatakan bahawa Bashir memaklumkan duta Israel bahawa Jordan membantah langkah dijalankan Israel dan menambah bahawa penggalian berhampiran Pagar Mughrabi yang menghala ke Masjid al-Aqsa melanggar perjanjian damai 1994 di antara Jordan dan Israel.

Abu Hdeib berkata, penggalian oleh Israel dan rancangan keseluruhannya mengancam asas Masjid al-Aqsa.

Dalam laporan lain pada November 2009, Yayasan Wakaf dan Warisan al-Aqsa mendedahkan, Israel mula menjalankan kerja penggalian di laluan Al-Sharif, berpuluh meter dari bahagian barat Masjid al-Aqsa, dalam persediaan membina dua terowong dan dua lif bagi menghubungkan antara laluan itu termasuk Al Buraq dan Pagar Mugharabi.

Yayasan itu berkata, tujuan membina terowong dan membina lif ialah ‘membawa penduduk Yahudi ke barat dan pintu Masjid al-Aqsa, terutama di pagar Mugharabi, lokasi pelancong asing dan Yahudi menyerbu masuk Masjid al-Aqsa.” Yayasan menganggapnya projek ‘mengyahudikan’ Masjid al-Aqsa.” Malah, pihaknya mendapati kerja penggalian dijalankan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, termasuk di lorong Al-Sharif.

Yayasan itu mendedahkan dalam satu laporan 3 Mac 2009, hasrat Israel dan sayap eksekutifnya menggali dua terowong baru, satu daripadanya sepanjang 56 meter dan satu lagi 22 meter bagi menghubungkan lorong Al-Sharif Palestin di Kota Lama ke Baitulmaqdis. Kawasan yang dimaksudkan terletak di dalam sempadan Kota Lama seluas lebih 133 meter persegi yang diduduki Israel pada 1967.

Ia juga mendedahkan keinginan Israel memasang lif elektrik dalam terowong menegak dan koridor elektrik di terowong memanjang. Lokasi dua terowong itu menjadi titik pertemuan beberapa tapak arkeologi, bagi Israel membangunkan satu sejarah ilusi Yahudi.

Ia menjelaskan bahawa projek mengyahudikan itu menelan belanja 10 juta shekel (RM8.35 juta) dan akan dilaksanakan dengan kerjasama antara perbandaran jajahan Baitulmaqdis, syarikat pembangunan dan pemuliharaan penempatan Yahudi, Pihak Berkuasa Monumen dan Institut Insurans Nasional. Projek itu akan dibiayai menerusi sumbangan Baruch Klein, seorang ahli perniagaan Israel-Amerika Syarikat.

Penggalian terowong itu sampai ke kemuncaknya apabila yayasan terbabit mendedahkan penggalian skala besar dijalankan Israel di kawasan bersambungan ke dinding selatan Masjid al-Aqsa, juga dikenali sebagai Istana Umayyad.

Sesetengah kerja penggalian dikatakan dilakukan pada waktu malam terutama dalam tangki air terletak di kawasan menghala ke kawasan bawah tanah masjid berkenaan. Yayasan memberi amaran mengenai risiko dan kesan penggalian itu ke atas masjid suci umat Islam selain ‘usaha segera mengyahudikan’ kawasan itu oleh kerana ia bersambung ke dewan solat Marwani di dalam masjid.

Kawasan penggalian berselerak dilakukan di kawasan barat daya berhampiran tapak yang mengelilingi kawasan asal masjid, yang digelar ruangan Al-Khanthaniyya, dan di kawasan tengah serta timur ke barat.

Yayasan memberi amaran bahawa penggalian itu bertujuan melemahkan struktur asas Masjid al-Aqsa kerana pada masa lalu, kerja penggalian sama menyebabkan rekahan dan retakan di bahagian selatan dinding masjid, sekali gus berisiko merobohkan mercu tanda umat Islam.

Amaran itu sekali lagi dinyatakan Ketua Hakim Pihak Berkuasa Palestin (PPA), Sheikh Tayseer Tamimi kepada IMEMC yang bimbang Masjid al-Aqsa, yang kini terjejas akibat rekahan dan retakan pada dindingnya, memberi tanda akan roboh pada bila-bila masa, akibat penggalian skala besar dilakukan Israel di bawahnya.

Ia berikutan kakitangan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel yang bekerja pada waktu malam membawa keluar berpuluh-puluh beg berisi batu dari kawasan selatan masjid.

“Israel perlu bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau runtuhan yang berlaku di Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitar yang membabitkan kawasan penganut Kristian,” kata Tayseer yang dipetik agensi berita Maan.

Ulasannya berikutan runtuhan kawasan penduduk di Silwan, timur Baitulmaqdis pada 11 Januari lalu, meninggalkan lubang sedalam 12 meter persegi di tengah jalan Wadi Hilwah.

Pada masa sama, beliau merujuk peningkatan kehadiran pelampau Yahudi, selain pencerobohan tentera di al-Aqsa, dan terbaru kemasukan 50 pelajar daripada pelbagai jabatan arkeologi universiti Israel untuk menjalankan penyelidikan dan pendatang Yahudi ketika wanita Islam bersolat.

Jawad Siyam, Ketua Pusat Penerangan Wad Hilwa memberitahu agensi Maan bahawa runtuhan baru itu sedalam 10 meter, dan terletak hanya beberapa meter dari satu lagi runtuhan minggu lalu akibat kerja penggalian berterusan Israel.

Juga air hujan mula membanjiri Al Ein, kawasan masjid berhampiran di mana penggalian bertumpu.

Pusat Hak Sosial dan Ekonomi Baitulmaqdis (JCSER) melaporkan kejadian Isnin lalu hanya satu daripada beberapa siri runtuhan sama yang berlaku pada 2009. Runtuhan terbaru berlaku di sebuah sekolah tempatan untuk perempuan, di mana 17 pelajarnya cedera.

JCSER mengakui penggalian Israel itu menyebabkan kerosakan struktur kepada beberapa premis di kawasan itu terutama di masjid Al Ein.

Pusat itu juga memberi amaran beberapa siri runtuhan bakal berulang di Silwan dan Kota Lama ketika Israel menjalankan kerja mengorek bagi membina satu rangkaian terowong di kawasan itu. Penggalian itu sudah sedia menyebabkan kerosakan struktur ke atas berpuluh bangunan di kawasan terbabit.

Memetik kata-kata pengarah Wakaf Palestin Adnan Husseini pada 2002; “Pihak berkuasa Israel perlu bertanggungjawab ke atas kehilangan nyawa akibat runtuhan dinding masjid.”

Adakah umat Islam di seluruh dunia hanya mampu melihat Masjid al-Aqsa runtuh begitu saja? Atau mampukah kita melihat Masjid al-Aqsa diyahudikan? Inikah petanda akhir zaman? Itulah antara persoalannya.

Misteri: Bayi dilarikan bunian



Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my



Mak Teh seolah-olah berada dalam alam lain dan dapat melihat wanita separuh umur berpakaian serba putih membantu melahirkan anak

SEIRING dengan kejadian manusia, turut diciptakan Allah ialah akal bagi membezakan mereka dengan makhluk lain. Akal juga sepatutnya menjadi pendinding kepada tindak tanduk yang memudaratkan diri dalam menghadapi segala bentuk dugaan kerana janji Allah setiap ujian itu didatangkan untuk menguji keimanan.

Allah juga tidak akan menurunkan dugaan yang melampaui kemampuan manusia tetapi jika namanya makhluk lemah ujian yang sedikit pun dipandang berat. Lebih-lebih lagi jika ujian yang menimpa sukar diterima akal.

Mungkin kedengarannya pelik tetapi itulah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada seorang wanita yang sehingga kini terus merindui anak yang dikandung selama sembilan bulan tetapi hilang sejurus dilahirkan.

Kisahnya memang tidak logik mengikut hukum alam tetapi apabila yang turut terbabit dalam mencorakkan cerita berkenaan ialah makhluk bunian yang memang wujud dalam dunia ini, kesahihannya tidak boleh dinafikan begitu saja.

Wanita digelar Mak Teh yang kini melewati usia senja masih ingat peristiwa itu dengan sejelas-jelasnya.
“Mak Teh bersyukur sangat selepas disahkan mengandung. Maklumlah sudah agak lama berkahwin. Kegembiraan Mak Teh dan suami usah dikira. Tidak sabar rasanya menantikan kelahiran anak sulung kami,” katanya ketika mengimbas kembali peristiwa berpuluh tahun lalu yang sehingga kini masih sukar difahami.

Tidak sukar menyelami kegembiraan yang dirasakan Mak Teh bakal menimang anak sendiri. Kandungannya dijaga dengan penuh hati-hati, malah temujanji dengan jururawat tidak pernah diabaikan.

“Apa saja petua demi memastikan kandungan sihat, asalkan tidak melanggar syarak, Mak Teh ikut. Semuanya bagi memastikan bayi dalam kandungan membesar dengan sempurna,” katanya sambil mengelap air mata yang membasahi pipi tuanya.

Penantian Mak Teh tiba di penghujung pada satu petang Khamis. Sakit yang dialami di sekitar pinggang dan perut tidak pernah dialami sebelum ini. Namun kesakitan itu masih tidak dapat menandingi kebahagiaan yang menyelubungi Mak Teh dan suami. Mereka bakal menimang anak sendiri. Biar perit menahan sakit, Mak Teh tidak kisah kerana keinginan memeluk anak sendiri lebih mengujakan.
“Entah mengapa Mak Teh memilih untuk melahirkan anak di rumah. Jururawat tidak membantah kerana Mak Teh tidak mempunyai masalah sepanjang mengandung. Kesihatan juga baik. Jadi, tiada masalah untuk melahirkan anak di rumah. Persiapan sudah dilakukan.

“Dari petang membawa ke senja, sakit Mak Teh semakin berat. Mak Teh sudah pun berada dalam bilik yang sudah dikemas untuk tujuan itu. Jururawat turut menemani Mak Teh di dalam bilik itu. Ketika itulah terjadi satu kejadian yang tidak dapat Mak Teh lupakan sehingga kini.

“Kejadian yang meruntun emosi dan fikiran Mak Teh sehingga sekarang. Mak Teh tidak pernah letih memikirkan mengapa itu terjadi kepada Mak Teh,” katanya.

Mak Teh berkata, menjelang Maghrib malam Jumaat itu, Mak Teh tiba-tiba terbau haruman yang begitu menyegarkan. Haruman yang tidak pernah dihidu sebelum ini.

“Mak Teh bertanya kepada jururawat yang menemani sama ada dia tercium bauan itu. Soalan Mak Teh tidak berjawab kerana rupa-rupanya dia tertidur. Rasa marah terbit juga kerana dalam keadaan Mak Teh yang semakin sakit hendak melahirkan anak, jururawat tertidur.

“Dalam keadaan menahan sakit dan marah itulah Mak Teh seolah-olah berada di satu alam lain. Mak Teh dapat rasakan berada dalam keadaan antara sedar dan tidak. Mak Teh masih ingat dengan jelas beberapa wanita separuh umur berpakaian serba putih melangkah masuk ke dalam bilik.

“Mak Teh ingin bertanya siapa mereka kerana memang Mak Teh tidak mengenali mereka. Tetapi mulut Mak Teh bagaikan terkunci. Langsung tidak boleh bersuara. Percaya atau tidak, dalam keadaan itu Mak Teh selamat melahirkan bayi lelaki dengan kumpulan wanita asing itu menjadi bidan,” katanya.

Mak Teh terus bercerita bagaimana dia melihat sendiri mereka mengerat tali pusat, memandikan dan membalut tubuh bayinya. Kumpulan wanita asing itu turut menunjukkan bayi itu kepadanya. Malah Mak Teh sempat menyusukan bayi lelaki yang dilahirkan dalam keadaan serba tidak masuk akal itu.

Saat kumpulan berkenaan membawa bayinya keluar, Mak Teh cuba menghalang. Sayangnya Mak Teh terus kaku tidak dapat berbuat apa-apa. Cuma air mata yang mengalir mengiringi pemergian anak yang amat dirindui selama ini.

Sejurus kumpulan wanita berkenaan hilang jururawat tiba-tiba tersedar dan panik apabila melihat Mak Teh sudah selamat melahirkan anak tetapi bayinya tiada.

“Dia bertanya kepada Mak Teh apa yang berlaku kerana perlu membuat laporan kepada pihak hospital tetapi Mak Teh sendiri kebingungan. Mak Teh masih ingat bagaimana jururawat berkenaan seperti hilang punca. Beberapa kali dia berkata kepada diri sendiri: “Macam mana aku nak buat laporan kepada hospital? Pesakit sudah bersalin tetapi bayi tiada.”

“Dia juga hairan mengapa dia boleh tertidur. Jururawat berkenaan bertanya Mak Teh apa yang berlaku tetap Mak Teh cuma boleh menceritakan apa yang berlaku ketika dalam keadaan sedar dan tidak. Mak Teh jadi seperti orang hilang akal selepas peristiwa itu. Namun setiap malam Jumaat, anak Mak Teh akan dibawa berjumpa Mak Teh dan menyusukan bayi itu. Cuma pada waktu itulah Mak Teh berkesempatan menemui anak Mak Teh. Itu pun berlaku seolah-olah dalam mimpi tetapi dapat rasakan dia menyusu,” katanya.

Keadaan itu berlanjutan sehingga anak lelakinya itu berusia 12 tahun dan sehingga sekarang Mak Teh tidak pernah lagi bertemu dengan anaknya yang dibawa orang bunian memasuki alam mereka. Mak Teh juga tidak pernah mengandung lagi dan mengambil beberapa anak angkat sebagai penyeri rumah tangga.

Memang cerita Mak Teh sukar dipercayai logik akal. Mungkin ada yang mencebik bibir tetapi kuasa Allah sudah membuktikan tiada apa yang mustahil dalam dunia ini dengan kehendak-Nya. Bagi Mak Teh dan beberapa wanita lain yang berkongsi cerita dan kesedihan sama, cuma kesabaran dan keimanan yang menguatkan mereka untuk terus cekal berdepan ujian perit itu.

Misteri: Jelmaan pocong


Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my


Tiga jam ditenung makhluk halus

TINGGAL bersendirian di sebuah pangsapuri di Serdang tidak pernah menjadi masalah kepada Balqis yang bekerja di sebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur.

Walaupun sesekali timbul rasa bimbang kerana blok pangsapurinya dihuni ramai warga asing, Balqis masih boleh bertahan kerana mereka tidak menunjukkan tindak tanduk kurang disenangi.



Apatah lagi kemudahan yang disediakan agak memuaskan, selain sewanya berpatutan dan mempunyai kemudahan lebuh raya untuk ke pusat bandar walaupun agak jauh.

Bukan tidak pernah cerita seram yang diceritakan rakan yang tinggal di kawasan pangsapuri sama singgah di telinganya tetapi Balqis lebih senang duduk sendiri.

Baginya, lebih mudah bersendirian daripada berkongsi rumah dengan orang yang belum dikenali hati budinya.
Satu ketika heboh penghuni pangsapuri bercerita mengenai jelmaan pocong yang dilihat berlegar di lif blok bersebelahan blok yang dihuni Balqis. Beberapa penghuni yang balik jauh malam terserempak dengan makhluk itu yang melompat-lompat di sekitar blok.

Pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan penghuni dan harta benda turut menceritakan kisah sama tetapi bagi Balqis ia sekadar satu cerita yang kesahihannya masih boleh dipertikaikan. Bukan bertujuan bercakap besar tetapi sudah menjadi darah daging Balqis mempercayai apa yang disampaikan selepas mengalaminya sendiri.

Entah mengapa satu malam Balqis sukar tidur. Puas dia bergolek di katil memujuk dirinya supaya lena kerana ingin bangun awal keesokannya untuk kerja tetapi matanya tetap berdegil.

Bagi melayan mata yang tidak mahu pejam, Balqis membaca buku sementara menanti dia betul-betul mengantuk. Lampu dibiarkan terpasang kerana membaca buku. Akhirnya Balqis terlelap dengan lampu biliknya terpasang dan buku menutup mukanya.
Balqis tiba-tiba tersedar kerana berasa seperti diperhatikan orang. Perlahan dia mengangkat buku yang menutup mukanya dan Balqis benar-benar terkejut kerana ada yang memerhatikannya tetapi bukan orang, sebaliknya ia adalah makhluk yang pernah menjadi sumber bualan penghuni di pangsapuri itu.

Balqis terkedu di katil melihat makhluk yang berdiri betul-betul di hujung katil. Dalam cahaya lampu yang terang Balqis dapat melihat kain putih yang membaluti tubuh makhluk itu dikotori tanah dan wajah berwarna hijau dengan dahi berkedut dan mata yang terjegil. Wajah makhluk itu juga dikotori tanah.

Dia tidak bergerak. Tubuhnya kaku di katil sambil membalas renungan makhluk itu kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Ayat Quran yang dibaca lintang pukang lantaran terlalu terkejut dan takut.

Jika orang lain berdepan keadaan itu mungkin sudah tidak sedarkan diri tetapi berlainan dengan Balqis. Selama hampir tiga jam dia sekadar berbalas pandang dengan pocong yang entah dari mana datangnya. Anehnya Balqis tidak dapat mengalih mata ke arah lain seolah-olah dipaksa untuk melihat makhluk di depannya.

Seperti ia hadir, makhluk itu juga hilang secara tiba-tiba apabila azan kedengaran menandakan masuknya waktu Subuh. Sehingga kini pengalaman itu masih belum hilang daripada ingatan. Apabila ada saja rakan yang membuka cerita mengenai makhluk halus, Balqis tidak lupa menceritakan pengalaman ngeri yang dialaminya.

Namun kini Balqis agak lega selepas adik perempuannya turut menghuni pangsapuri sama tetapi Balqis berpesan kepada rakan-rakan supaya kisah itu tidak diceritakan kepada adiknya yang lebih penakut.

Ketika ditanya sama ada dia tidak takut, Balqis berkata: "Memang takut sangat-sangat tetapi dalam keadaan itu apa yang saya boleh buat. Kaku dan tidak boleh bergerak. Tetapi dalam hati sempat juga saya berkata, 'Dari manalah engkau datang?'. Harap-harap ia tidak berulang." 

Misteri: Terpegun disapa gadis bunian

Oleh Sabaruddin Abd Ghani
bminggu@bharian.com.my


Hanya kebun durian menanti ketibaan pengunjung

DUA puluh lima tahun lalu warung masakan Melayu di medan selera Kampung Baru dekat Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur menjadi pilihan untuk penulis sering bertemu dengan rakan-rakan. Walaupun kami sering bertemu tetapi Jef Iskandar, rakan baik penulis cuba mengelak daripada berbual kosong.

Perwatakannya baik tetapi dia kurang berminat bercakap mengenai perkara yang bukan-bukan terutama berunsur tahyul. Dia berpendirian jika orang Melayu ingin maju seperti masyarakat Barat, perkara berunsur tahyul yang melekat di hati mereka mesti dikikis.



Bagaimanapun, pertemuan tidak diduga di Sik Kedah, baru-baru ini menambahkan keakraban persahabatan antara kami. Dia mengajak penulis ke rumahnya yang terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Sik. Ada cerita menarik, katanya.

“Seminggu sebelum aku menerima arahan ditukarkan ke Kuantan, Pahang, aku ditemani adik ipar, Munir ke Bukit Belacan untuk mencari ikan pelaga. Apa yang aku alami ketika itu mencabar keimanan aku,” kata Jef, pesara pegawai tinggi di sebuah jabatan kerajaan yang pernah mendapat pendidikan di luar negara itu.

Pada hari itu, katanya, dia ditemani adik ipar ke pusat rekreasi Bukit Belacan dengan niat untuk mandi sambil mencari ikan pelaga. Spesies kerdil tapi kuat berlaga itu menjadi kegemaran Jef untuk dipelihara dalam akuarium di rumahnya.
Mereka memilih waktu selepas solat Asar ke destinasi terbabit. Kira-kira jam 5 petang Jef dan adik iparnya tiba di pusat perkelahan itu. Ketika mereka sampai, cuma dua tiga pengunjung sedang mandi. Mungkin hari itu bukan hujung minggu, jika tidak kawasan itu penuh dengan orang ramai yang datang untuk bersantai.

Sehingga jam 6 petang mereka menjejak, cuma seekor spesies mempunyai nilai komersial itu dapat ditangkap. Hairan juga, biasanya Jef mampu menangkap antara lima dan enam pelaga dalam tempoh tidak sampai setengah jam.

Bagi menghilangkan rasa bosan, mereka berehat seketika. Tiba-tiba cuaca cerah bagaikan matahari terbit sesudah fajar. Serentak itu, hujan turun agak lebat disusuli kelihatan pelangi tidak jauh dari situ. Jef dan Munir terpinga-pinga memerhatikan fenomena agak pelik itu. Hujan panas di waktu petang, kata orang tua, itu menandakan ada perkara buruk akan berlaku, bisik hati kecil Jef.

Ketika mereka beredar ke kawasan hulu anak sungai, tujuh gadis berpakaian seluar sukan, berbaju kemeja T kelihatan seronok mandi sambil bermain menyimbah air antara satu sama lain.
“Kat sini bang, ikan pelaga banyak di sini. Tangkaplah ikan di sini jinak,” tegur salah seorang gadis berkenaan.

“Eh, macam pernah kenal dengan kamu semua ini,” balas Jef.

“Ye ke, entah-entah silap orang tak," balas gadis terbabit.

Sebelum pulang, tujuh gadis sebaya itu sempat menghulurkan kad beralamat tempat tinggal mereka kepada Munir. Terkedu adik ipar Jef apabila gadis berkenaan merenung ke arahnya.

“Bang, raya puasa nanti datanglah ke rumah. Kami tinggal di Rawang, tidak jauh dari Sekolah Menengah Rawang, boleh makan buah durian,” pelawa gadis tinggi lampai sambil melempar senyuman ke arah Munir.

Sekali lagi anak muda berusia 21 tahun itu teruja. Pada hari keempat Aidilfitri, Jef sekeluarga dan Munir ke Rawang untuk berhari raya di rumah gadis terbabit. Sebaik menjengah di pintu pagar sekolah menengah terbabit, seorang pengawal keselamatan bertanyakan kepada Jef.

Apabila diberi tahu, pengawal keselamatan itu agak terkejut kerana setahunya tiada penempatan di kawasan belakang sekolah berkenaan.

"Encik tengok sendiri, kawasan berkenaan belum diterokai. Di sana banyak durian hutan berbuah, kalau hendak pergi perlu berhati-hati. Tiga hari lalu, seorang penduduk terserempak dengan seekor harimau sedang makan buah durian," beritahu pengawal itu.

Tiga hari selepas itu, ketika Jef membeli-belah di Pasar Borong Rawang, dia terpandang seorang gadis rupanya saling tidak tumpah seperti gadis yang memberi kad ketika dia dan Munir mencari ikan pelaga di Bukit Belacan.

Berbekalkan iman berteraskan kewujudan Allah, Jef mengekori gadis terbabit yang melangkah ke arah sebuah van di kawasan tempat letak kereta. Sebaik Jef menghampiri kenderaan itu, seorang lelaki menyapanya.

“Cari siapa encik? Hanya saya seorang di sini. Saya berehat sebentar sementara menunggu masa mengambil pekerja syif petang yang bekerja di sebuah kilang di Rawang,"

Rakan baik penulis itu minta maaf lalu beredar meninggalkan pemandu van kilang terbabit. Sehingga kini, pengalaman berjumpa gadis Bukit Tujuh Rawang cantik molek itu sukar dilupakan Jef.

Siapa sebenar `gadis dusun' itu? Terserah kepada pembaca membuat penilaian.

“Din, sehingga ini, itulah peristiwa cukup manis yang tidak akan mudah aku lupakan. Seingat aku, ketujuh-tujuh gadis itu cukup cantik, ratu cantik dunia pun tidak secantik gadis berkenaan," katanya.

Sambil merenung, Jef yang kini berusia 58 tahun menasihati penulis sentiasa menghormati sesama makhluk ciptaan Allah SWT.

Misteri: Makhluk halus tumpang menjala

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my

Tetamu tidak diundang turut sama berkongsi kegembiraan melihat tangkapan dalam jala

SAIFUL sudah bersiap sedia sejak awal hari minggu itu dengan jala, joran dan umpan. Dia tidak mahu rancangannya bersama rakan-rakan untuk memancing atau menjala terbantut lagi. Sudah beberapa kali hasrat mereka tidak kesampaian kerana ada saja aral melintang.

Jika tidak kerana dia yang ada hal, rakan-rakan yang lain pula tidak dapat beri komitmen. Kesudahannya, hasrat mereka terpaksa dilupakan buat sementara.



Namun kali ini Saiful dan rakan-rakannya nekad. Sebarang masalah kecil diketepikan dulu demi melaksanakan hajat yang sudah dirancang sekian lama. Tambahan pula desakan meneruskan hobi memancing dan menjala itu bagai tidak dapat dibendung lagi.

Pada hari dijanjikan, Saiful dan empat rakannya bertolak ke tempat dipersetujui berhampiran pantai Penaga yang terletak di Seberang Perai Utara dengan harapan mendapat habuan lumayan.

Masing-masing tidak sabar untuk sampai berbekalkan matlamat yang satu - memperoleh banyak ikan tanpa menyedari mereka bakal berdepan pengalaman yang akan diingati sampai bila-bila.
Sesampai ke tempat yang dituju, rakan-rakannya bergegas mencari tempat berlabuh yang sesuai sebelum hari gelap. Sementara Saiful masih berlengah-lengah berhampiran kereta yang diletakkan tidak jauh dari situ. Dia mundar-mandir di situ sehingga menimbulkan kehairanan rakan-rakannya.

Mereka menyangka Saiful tidak mahu tergesa-gesa kerana berdasarkan apa yang didengari, kawasan itu penuh dengan ikan tidak kira di mana pun joran dilemparkan. Malah, mengikut cerita penduduk, tiga atau empat kali menjala jika kena pada tempatnya sudah memadai untuk pulang dengan ikan yang banyak.

Apa yang mereka tidak ketahui ialah makhluk yang selama ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar sudah menampakkan kewujudannya kepada Saiful. Makhluk itu bertenggek di atas sebatang pokok berhampiran tempat yang dipilih rakan-rakannya untuk memancing.

Saiful nampak dengan jelas makhluk itu memerhatikan rakan-rakannya yang beriya-iya membentangkan tikar, berebut mencari tapak terbaik dan tidak sabar-sabar melemparkan joran masing-masing.
Dia memikirkan cara terbaik memberitahu rakan-rakannya mengenai kehadiran makhluk tidak diundang itu. Memang semua rakannya itu kuat semangat tetapi kehadiran makhluk halus perlu disampaikan dengan cara lembut supaya tiada yang terkejut dan mungkin ada yang bertempiaran lari.

Menyedari Saiful yang belum menyertai mereka, salah seorang rakannya, Ali, segera memanggil.

“Hoi! Tunggu apa lagi. Cepatlah ke sini,” Ali melaung selepas melemparkan jalanya ke dalam sungai, sambil melambai-lambai tangan kepada Saiful. Saiful tidak dapat berbuat apa-apa. Tidak sempat dia memberi amaran, Ali sekali lagi memanggilnya menyertai mereka.

Apa yang pelik ialah makhluk halus yang sejak tadi bertenggek di atas pokok terlebih dulu menyahut panggilan Ali seolah-olah dia yang dipanggil. Dari kedudukannya, Saiful nampak dengan jelas dia terjun dari pokok dan berjalan ke arah rakan-rakannya dalam jelmaan hitam dan besar.

Lebih tidak masuk akal apabila makhluk itu turut menjenguk ke dalam jala yang dilemparkan Ali seolah-olah mahu sama-sama berkongsi kegembiraan dengannya yang mendapat ikan.

Kehadiran makhluk halus di sisi masih tidak disedari rakan-rakan Saiful yang semakin seronok selepas kail mereka diragut setiap kali umpan baru dipasang.

Dalam keghairahan Ali melemparkan jala, baru dia tersedar dengan kehadiran makhluk berkenaan.

Dia benar-benar terkejut dan sedikit melatah tetapi semangat lelakinya masih kental untuk dipersendakan makhluk berkenaan. Ternyata, makhluk halus itu suka menjala ikan.

Tanpa menghiraukan makhluk itu, Ali terus melemparkan jala cuma kali ini dengan sedikit berhati-hati kerana bimbang makhluk itu menolaknya ke dalam air. Mulutnya juga kelihatan berkumat-kamit seolah-olah sedang membaca sesuatu dan sekali sekali kelihatan dia seperti sedang menghembus sesuatu.

Makhluk itu akhirnya hilang sendiri selepas kehadirannya tidak dihiraukan Ali, manakala rakan-rakan yang lain seronok melayan ikan yang meragut umpan.

Sehingga hari ini, Saiful tidak dapat menjelaskan cerita mengenainya kepada rakan-rakan lain, selain Ali yang turut melihatnya. Sejak itu jugalah, Saiful tidak lagi ke tempat itu dan sering menolak jika diajak memancing oleh rakannya, lebih-lebih lagi jika dia ada mendengar cerita ‘ganjil’ mengenai kawasan itu.

Pontianak teman pulang



Oleh Hazirah Che Sab



Pasangan suami isteri tergamam lihat makhluk mengilai depan kereta di Padang Serai

AZIMAH dan Zaki adalah sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun. Mereka menetap di sebuah taman perumahan di Padang Serai di utara tanah air. Memandangkan suaminya bekerja mengikut syif, Azimah dan anak perempuan mereka menumpang di rumah ibu mentuanya yang terletak agak jauh daripada kediaman mereka setiap kali Zaki terpaksa bekerja syif malam.

Untuk pulang ke rumah, mereka terpaksa menempuhi perjalanan melalui kebun kelapa sawit yang agak luas. Sudah pasti, keadaan sememangnya menyeramkan terutama pada waktu malam ketika kenderaan amat kurang dan lampu jalan yang cuma samar-samar. Kebiasaan melalui kawasan sebegitu pada waktu malam membuatkan Azimah dan Zaki tidak berasa takut dan belum pernah berdepan sebarang masalah, termasuk gangguan makhluk halus biarpun diingatkan rakan-rakan yang pernah menjadi mangsa gangguan berkenaan.

Namun, kekebalan pasangan ini terlerai juga apabila pada satu malam, ketenangan meredah kepekatan malam itu mengundang episod mencemaskan buat mereka sehingga terpaksa mengambil cuti sakit akibat demam.

Malam itu, seperti biasa, Zaki menjemput anak dan isterinya selepas tamat syif. Perjalanan biasa menjadi sebaliknya apabila anak mereka yang tidur di tempat duduk belakang, kelihatan agak gelisah.

“Kenapa dengan Adila ni? Selalunya tak ada masalah. Hairan juga...,” kata Azimah dalam hati yang agak hairan dengan Adila yang merengek.
Belum pun sempat memusing ke belakang, tiba-tiba Zaki berkata:

“Awak jangan pandang belakang. Biarkan saja Adila,” kata Zaki.

Anehnya, semakin dia ingin menoleh ke belakang, semakin tegas Zaki melarangnya. Lumrah manusia, lagi dilarang lagi ketara rasa ingin tahu, Azimah lantas berpaling ke belakang kerana enggan meneruskan pertengkaran selain memujuk Adila tanpa mempedulikan apakah sebenarnya di sebalik larangan Zaki itu.

Hakikatnya, tanpa disedari Azimah, Zaki sebenarnya sudah ternampak kelibat makhluk lain di bonet belakang, menerusi cermin pandang belakang. Disebabkan tidak mahu Azimah ketakutan, Zaki melarang isterinya menoleh. Ibarat skrip filem, sebaik Azimah menoleh, makhluk berkenaan hilang dan menjelma betul-betul di depan Zaki yang berusaha memandu kereta dalam keadaan terketar-ketar.
Apalagi, terkumat-kamit mulut Zaki membawa ayat Kursi sambil tangannya terus mengemudi stereng dan kaki memijak pedal minyak sambil cuba bertahan sedaya mampu. Zaki sedar, jika dia panik, ia hanya mengundang nahas buat mereka. Anehnya, kenderaan itu semakin perlahan.

Seolah-olah ingin mempermainkan mereka suami isteri, makhluk berkenaan sekali lagi menghilang dan muncul di bonet belakang sebaik Azimah berpaling semula ke depan.

Azimah yang tidak tahu hujung pangkal, pula merungut kerana kereta mereka seolah-olah terlalu berat untuk bergerak walaupun jelas Zaki menekan minyak. Pada masa sama, dia berasakan kelainan yang ketara pada malam itu. Kesunyiannya berbeza daripada malam sebelumnya dan sesekali Azimah berasa seram sejuk.

Namun perasaan itu dipendamkan kerana tidak ingin mengganggu tumpuan Zaki yang sedang memandu walaupun menyedari tingkah laku suaminya agak berlainan pada malam itu.

Sementara itu, bagi menghilangkan rasa takut dan memulihkan semangat, Zaki meminta Azimah mencapai cakera padat bacaan Yaasin yang sememangnya berada di ruang simpanan barangan. Azimah yang semakin hairan dengan sikap Zaki cuba bertanya tetapi akhirnya kembali diam selepas dilihat Zaki langsung tidak mengendahkannya dan sebaliknya semakin kerap melihat cermin pandang belakang.

Zaki memberanikan diri membuka sedikit cermin kereta dengan tujuan alunan ayat suci itu dapat berkumandang sehingga ke luar kereta dan menghindari makhluk halus itu daripada terus mengganggu perjalanan mereka sekeluarga. Harapannya tersasar kerana makhluk berkenaan masih melayang-layang terbang mengekori kenderaan mereka.

Azimah yang masih tidak menyedari apa yang berlaku, mula cuak apabila merasai sesuatu seperti rambut mengenai mukanya daripada cermin tingkap yang dibuka sedikit. Cuma dia sedikit hairan kerana tahu rambut anak perempuannya tidak sepanjang itu sehingga boleh mengenai mukanya.

Dalam Azimah melayan rasa peliknya tiba-tiba Zaki menekan brek mengejut dan jelas pada pengetahuan mereka berdua, Zaki terlanggar sesuatu. Azimah yang panik menggesa Zaki keluar melihat apa yang dilanggarnya tetapi Zaki berkeras enggan berbuat demikian dan mengatakan dia sebenarnya tidak melanggar apa-apa.

Pertengkaran mereka terhenti sendiri apabila tiba-tiba satu lembaga mengerikan dengan rambut panjang mengerbang, muncul dari depan kereta dan terus melayang sambil mengilai.

Azimah yang terkejut bercampur takut terus menjerit sebaik makhluk berkenaan menunjukkan dirinya yang sebenar sedangkan Zaki berusaha menenangkan diri. Ayat-ayat suci al-Quran yang menjadi hafalan sejak kecil terus dibaca walaupun ada ketika agak lintang pukang bacaannya.

Agak lama makhluk itu mengganggu mereka sebelum terbang menghilangkan diri ke dalam kebun kelapa sawit di tengah kepekatan malam.

Menceritakan kisah seram itu, Azimah berkata dia nampak makhluk itu cukup menakutkan sebaliknya Zaki pula memberitahu makhluk itu kelihatan cantik.

“Saya pun hairan sebab anehnya, saya nampak pontianak itu dengan wajah yang menakutkan, berambut panjang mengerbang. Tetapi suami sebaliknya nampak wanita cantik,” kata Azimah.

Apa yang pasti, sejak kejadian itu, andai Zaki bekerja syif malam, mereka sekeluarga akan tidur di rumah ibunya kerana tidak berani lagi melalui kawasan sama pada waktu malam dan ‘ditemani’ makhluk halus.

Misteri: Misteri terowong masa



Oleh Hazirah Che Sab



Sejam masa diambil dari dapur ke bilik tidur

BIARPUN sudah lebih dua dekad berlalu, peristiwa membingungkan masih menghantui Robert Asher dan masih mencari jawapan kepada misteri itu pada usianya ketika ini 62 tahun.

Asher memandu dari New York City ke Syracuse di New York, untuk mencari rumah pada 1984. Seorang ejen hartanah menghubungi Asher kerana sudah menemui sebuah rumah dan meminta mereka sekeluarga datang meninjau kediaman itu.

Ketika itu musim luruh. Asher balik daripada bekerja pada jam 6 petang dan terus pulang ke rumah mengambil dua anak perempuannya yang masih kecil ketika itu. Mereka meninggalkan rumah setengah jam kemudian dan tiba di kawasan rehat New Jersey kira-kira jam 7 malam. Mereka berhenti untuk berehat dan membeli kopi serta snek.

Ia bukan perjalanan pertama mereka ke New York dan mereka tahu ke mana hendak dituju dan ia mengambil masa kira-kira lima jam.

Apabila Asher kembali ke keretanya dengan snek yang dibeli, hujan mula lebat sehingga pandangan di depan amat kabur. Pemandangan sepanjang lebuh raya kelihatan sayup mata memandang dan isterinya tiba-tiba berkata: “Nampaknya kita memandu ke penghujung dunia.”
Asher berpaling ke arahnya dan apabila berpaling semula ke arah jalan raya, hari terang benderang dengan matahari bersinar terik dan mereka sudah pun berada di pinggir bandar Syracuse. Jarak keseluruhan kira-kira 482 kilometer.

Asher berpaling semula ke arah isterinya dan mengejutkan wanita itu. Anak-anak mereka masih tidur di belakang. Dia memberitahu isterinya kedudukan mereka dan ternyata isterinya tidak percaya kerana dia baru tertidur beberapa minit sebelum itu.

Asher cuma ingat memasuki kereta di perhentian di New Jersey dan tiba-tiba saja berada di Syracuse. Dia sendiri tidak ingat memandu sehingga ke Syracuse. Asher sedar dia tidak tertidur ketika memandu. Dia juga yakin tidak memandu dalam keadaan separuh sedar kerana terpaksa melintasi laluan berbahaya di Pergunungan Shawungunk.

Asher juga masih ingat dia tidak berhenti di tepi jalan raya kerana anak-anaknya berada dalam kereta dan misteri bagaimana mereka boleh sampai di Syracuse begitu cepat masih belum ada jawapan sehingga hari ini.
Keadaan sama pernah dialami Luci Stravato yang sehingga kini membingungkan dia dan suaminya, Dave.

Dave mengaktifkan penggera pada jam 7 pagi seperti biasa sebelum mereka masuk tidur. Pada awal paginya, pasangan itu dikejutkan dengan salakan anjing peliharaan mereka, Bear. Haiwan itu cuma menyalak jika ada seseorang atau binatang seperti kucing jiran merayau di sekeliling rumah.

Luci dan Dave bangun menyiasat dan Luci sempat melihat jam pada waktu itu jelas menunjukkan jam 5.30 pagi.

Mereka berjalan ke arah tingkap dapur yang menjadi fokus perhatian Bear, melihat keluar dan mengesahkan tiada siapa di luar. Mungkin cuma kucing liar. Kedua-dua mengambil minuman sejuk dan kembali ke bilik tidur.

Luci baru hendak menarik selimut untuk tidur selama sejam setengah lagi apabila ternampak jam menunjukkan 6.30 pagi. Luci terkejut tetapi berasa matanya mungkin kabur walaupun yakin dengan apa yang dilihatnya ketika meninggalkan bilik tidur. Dia segera memanggil suaminya dan Dave berkata mereka bangun ketika jam menunjukkan 5.30 pagi.

Mendengar penjelasan Dave, Luci mula takut dan kebingungan memikirkan mereka mengambil masa sejam untuk ke dapur dan kembali ke bilik tidur.

Dia tidak dapat menjelaskan apa sebenarnya berlaku tetapi menegaskan jam menunjukkan jam 5.30 pagi ketika mereka bangun dan jam 6.30 sekembali mereka dari dapur.

Misteri: Hantu raya tumpang motosikal



Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my



Enjin kenderaan tiba-tiba mati sebaik tiba di kawasan yang dibersihkan, bersebelahan rumah usang

KEJADIAN ini berlaku ketika bulan puasa menghampiri dan selain bersiap sedia untuk memulakan ibadat puasa, umat Islam turut mengambil kesempatan mengumpul rezeki dengan berniaga di bazar Ramadan.

Tidak ketinggalan Abidin yang berhasrat menjual air soya berhampiran rumahnya. Bagi tujuan itu dia membersihkan tanah terbiar berhampiran rumah di Butterworth untuk dijadikan tempat berniaga.

Di sebelah kawasan itu, tinggal seorang warga emas yang sudah kematian isteri. Rumah usang yang diduduki warga emas itu mengundang seram sesiapa yang memandang terutama pada waktu malam kerana sudah diketahui satu kampung dia membela hantu raya.

Warga emas yang digelar orang kampung Pak Yim itu juga sudah nyanyuk dan kadang-kadang kelihatan berbogel berjalan mengelilingi rumahnya. Makan minumnya dijaga jiran yang bersimpati dengan Pak Yim.

Abidin memang kenal benar dengan Pak Yim kerana dia pernah mengunjungi orang tua itu meminta dia menunjukkan makhluk peliharaannya. Dengan berpura-pura ingin menuntut ilmu sesat itu, dia berjaya memperdayakan Pak Yim memperlihatkan ketujuh-tujuh makhluk berkenaan.
“Mulanya, ia datang dalam bentuk kucing yang besar. Lebih kurang sebesar anjing sebanyak tujuh ekor. Tidak berpuas hati, saya minta dia tunjuk dalam bentuk sebenar makhluk itu. Kemudian, muncul tujuh ekor ular yang besar.

“Saya merayu dia menunjukkan rupa sebenar. Tidak lama selepas itu saya nampak lembaga yang besar dan hitam dengan mata merah menyala. Menyedari niat saya dan rakan hanya mahu melihat makhluk itu, bukan untuk menuntut ilmu, Pak Yim menghalau kami.

“Saya pernah bertanya mengapa dia tidak membuang makhluk itu kerana dia sudah tua. Namun katanya dia sayang,” kata Abidin.

Abidin tidak berasa risau membersihkan semak samun di sebelah rumah Pak Yim kerana tahu tanah itu bukan kepunyaan orang tua berkenaan. Makhluk peliharaan Pak Yim cuma menjaga harta bendanya saja.
Hampir separuh hari berhempas pulas, Abidin tersenyum lega melihat tanah sekangkang kera itu sudah bersih. Kini dia cuma membilang hari memulakan perniagaan air soya.

Malam itu, Abidin ke rumah rakannya untuk membincangkan perniagaan mereka. Perbincangan yang disangka cuma sekejap rupanya mengambil masa panjang. Selepas jam 12 tengah malam Abidin akhirnya meminta diri untuk pulang.

Dia sedikit pun tidak berasa takut menaiki motosikal untuk balik ke rumah yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah rakannya. Dia sudah biasa balik ke rumah pada waktu dinihari.

Bagaimanapun, sebaik melintas kawasan baru dibersihkannya petang tadi, motosikalnya tiba-tiba berat dan enjinnya mati.

“Kenapa pula motosikal ini tiba-tiba buat hal. Tadi elok saja. Minyak habiskah atau tayar pancit?” Abidin menyoal diri sendiri tanpa mengesyaki sebarang perkara lain.

Sedang asyik tertanya sendiri, dia tiba-tiba terpandang cermin sisi dan ketika itu semangat lelakinya sedikit tercabar. Daripada cermin itu, dia ternampak ada makhluk duduk membonceng di belakang dengan siung yang panjangnya kira-kira sejengkal.

Ketika itu, Abidin hanya mampu membaca ayat suci al-Quran dan bersungguh-sungguh menghidupkan motosikalnya. Hanya selepas melepasi kawasan itu, barulah motosikalnya kembali bergerak laju.

Abidin tidak menoleh ke belakang lagi. Dia terus memecut sehingga sampai di rumah. Abidin tidak terus masuk, sebaliknya untuk beberapa minit dia terus berada di motosikalnya untuk mengumpul semula kekuatan. Berikutan itu, hasratnya untuk berniaga pada bulan puasa dibatalkan.

Beliau bukan yang pertama diusik makhluk peliharaan Pak Yim kerana sebelum itu ada beberapa orang pernah diganggu tetapi tidak sampai menunjukkan rupa seperti yang berlaku kepadanya.

Seorang rakan abang Abidin pernah dimarah ayahnya kerana disangka ingin berjenaka apabila memberitahu tidak boleh mengangkat kereta sorong berisi tanah yang tidak seberat mana.

“Mereka sedang membersihkan kawasan berhampiran rumah Pak Yim apabila Haikal memberitahu ayahnya kereta sorong berisi tanah itu amat berat. Ayahnya menyangka dia bergurau.

“Tiba-tiba Pak Yim datang dan berkata: ‘Jangan kacau mereka’, barulah kereta sorong itu boleh digerakkan. Rupa-rupanya Pak Yim datang memarahi makhluk peliharaan yang duduk di dalam kereta tolak itu,” kata Abidin.

Wanita 66 tahun lahir anak kembar 3

INDIA: Seorang wanita berusia 66 tahun, Bhateri Devi akhirnya melahirkan dua bayi lelaki dan seorang perempuan selepas gagal memperoleh zuriat setelah 44 tahun berkahwin.

BHATERI dan tiga anak kembarnya.
BHATERI dan tiga anak kembarnya.


Suaminya, Deva Singh, 64, gembira kerana Bhateri sudah menunaikan impiannya untuk mendapat anak.
“Bhateri isteri pertama saya dan selepas gagal memberikan zuriat, saya berkahwin lagi tetapi isteri baru saya juga tidak dapat melahirkan anak,” katanya.

Devi dari daerah Madina di Rohtak, utara India menjalani kaedah rawatan IVF di Pusat Kesuburan Kebangsaan di Hisar, klinik yang sama di mana Rajo Devi Lohan, ibu tertua di dunia melahirkan anak pada usia 70 tahun 18 bulan lalu. “Bhateri gembira menjadi ibu buat kali pertama selepas hamil pada percubaan kali ketiga,” kata Dr Anurag Bishnoi. - Agensi

Kisah Manusia Yang Bercinta Dengan Mayat



Carl Tanzler atau kadang-kadang disebut Count Carl von Cosel (8 Februari 1877 – 23 Juli 1952) adalah seorang radiolog kelahiran Jerman yang bekerja di Rumah Sakit Marinir Amerika Serikat di Key West, Florida. Ia memiliki kelainan aneh yakni menyukai bercinta dengan mayat. Akhirnya, prilaku aneh dan menggerkan itu terbongkar.
Ceritanya, suatu ketika makam Elena Milagro “Helen’ de Hoyos, wanita muda keturunan Kuba-Amerika, yang meninggal dunia karena TBC dua tahun sebelumnya, terbongkar pada April 1933.Ternyata Tanzler lah yang membongkar dan membopong tulang belulang Hoyos dari pemakaman pada suatu malam. Ia pun membawa mayat itu ke rumahnya. Untuk apakah? Ternyata Tanzler yang terobsesi pada mayat, lalu mengelupas sisa sisa kulit yang sudah membusuk, lalu menggantinya dengan lilin yang telah direndam dengan sutra, dan lem. Kemudian, adonan itu dibalutkan pada tulang Hoyos.
Rambut-rambut Hoyos yang masih tersisa, dikumpulkan digabungkan dengan sisa rambut yang diberikan ibunya sesaat setelah penguburan, lalu kumpulan rambut itu dijadikan wig. Sementara untuk membentuk kembali badan Hoyos yang sudah menjadi kerangka itu, Tanzler memasukkan rongga perut dan dada dengan kain., setelah itu ia mendadani kerangka Hoyos dengan perhiasan, sarung tangan, termasuk memakaikan stoking.
Setelah sempurna, lalu kerangka Hoyos yang sudah berbentuk dibaringkan di tempat tidurnya. Untuk menghilangkan bau busuk, Tanzler menggunakan parfum dalam jumlah banyak, disinfektan serta agen untuk mencegah efek dari dekomposisi mayat. Sejak itu hari-hari Tanzler pun hidup bersama kerangka Hoyos yang dia perlakukan seperti wanita hidup termasuk bercinta.  Ulah tak normal dan menjijikkan Tanzler ini baru terungkap tujuh tahun kemudian. Suatu ketika pada Oktober 1940, saudara Hoyos, Florinda mendengar rumos kalau Tanzler tidur dan bercinta dengan mayat kakaknya. Berbekal rumors itu, Florinda menyelidiki sampai akhirnya terbongkarlah kasus itu. Tanzler pun ditangkap dan ditahan. Setelah melalui sidang panjang, Tanzler pun dibebaskan dengan alasan undang-undang menyatakan kasus itu sudah kadaluwarsa.  ~~divineperformanc