Pages

Saturday, August 30, 2014

Ratu cantik songlap


May Myat Noe dimahkotakan sebagai Ratu Dunia Asia Pasifik di Seoul, Korea Selatan pada Mei lalu.

Namun, pengarah media penganjur berpangkalan di Seoul, David Kim berkata, ratu cantik berusia 18 tahun itu memang mengecewakan sejak awal.
Kata Kim, selepas memenangi gelaran itu penganjur mengatur perjanjian nyanyian dan video untuk May.

“Kami mahu ubah penampilan dia supaya lebih jelita,” katanya.

Justeru, tidak lama kemudian penganjur menghantar May yang memiliki ketinggian 1.7 meter itu ke sebuah hospital untuk menjalani pembedahan buah dada.
Foto
MAY
Ketika itulah, kata Kim, masalah bermula.

“May membawa ibunya ke Seoul dan lawatan asal mereka selama 10 hari menjadi tiga bulan dengan penganjur menanggung kos tambahan,” katanya.
Penganjur juga menanggung kerugian apabila tiket penerbangan pulangnya hangus begitu saja apabila May tidak muncul seperti sepatutnya.

Sumber pula melaporkan May pulang ke Yangon menaiki pesawat lebih awal daripada diurus penganjur.

May dimaklumkan mengenai penarikan balik gelarannya awal minggu ini dan diarah menyerahkan mahkota dimenanginya.

Kata Kim, semua orang tahu May bukan lagi ratu selepas penganjur membatalkan kemenangannya. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Sumbat itik dalam mulut pencuri


Guangxi (China): Dua remaja yang ditangkap mencuri itik di sebuah kampung di sini dipaksa melutut dan mulut mereka disumbat dengan haiwan itu oleh penduduk tempatan sebagai cara menghukum mereka.

Selepas menyedari apa yang dilakukan remaja itu, sekumpulan penduduk kampung enggan memanggil polis, sebaliknya bertindak mengajar pencuri terbabit.


Mulanya mereka memaksa remaja itu, kedua-duanya berusia 14 tahun, untuk memohon maaf dengan melutut di tepi jalan dengan itik disumbat pada mulut mereka Seorang penduduk yang begitu marah, mengikat kaki dua lagi itik untuk setiap remaja itu dan menggantungnya pada leher mereka.

Penduduk menyifatkan remaja terbabit sebagai pemalas yang hanya menghabiskan masa minum arak dan merokok. Mereka juga didakwa sering mencuri. bagi menampung hidup mereka.


Gambar tindakan penduduk kampung itu tersebar di media sosial China semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Belah perut, curi bayi


Maria Rodriguez, 29, dari wilayah Tepic, memberitahu polis, dia mengambil keputusan membunuh Nadia Avila dan mencuri bayi yang dikandungnya selepas menipu keluarganya bahawa dia hamil.

Menurut polis, dia kini berdepan dengan tuduhan membunuh bayi berkenaan dan ibunya.
Ketika menceritakan tindakannya itu, Maria berkata, dia mulanya memukul mangsa hingga pengsan selepas mempelawa Nadia ke rumahnya dengan alasan untuk memberikan baju bayi.

“Apabila saya menekup mulutnya, dia menggigit saya. Saya mengikat tangannya ke belakang untuk mempertahankan diri. Tetapi, ketika itu saya belum membunuhnya.

“Dia menjerit, meminta saya membiarkannya. Saya memukulnya lagi hingga dia pengsan.
Foto
MARIA mengaku menikam seorang ibu yang hamil lapan bulan sebelum membelah perut mangsa.
“Kemudian saya melondehkan seluarnya dan menikam perutnya.

“Dia bergerak sedikit. Saya membelah perutnya dan mengambil anak itu secepat mungkin kerana tidak mahu dia mati.
“Tetapi saya gagal mengambil bayi berkenaan. Saya melakukannya secara paksa dan berjaya tetapi dia mati,” kata Maria.

Maria memberitahu polis, dia terlalu inginkan bayi, tetapi tidak tahu untuk memberitahu keluarganya yang dia tidak hamil.

“Sebelum ini haid saya lewat dan memeriksa darah, tetapi keputusannya negatif. Saya begitu perlukan anak dan semua anggota keluarga menyangka saya hamil. Tetapi saya hanya memperdayakan mereka dan akhirnya, tidak tahu untuk memberitahu keadaan sebenar.

“Tetapi, apabila melihat Nadia yang sarat mengandung, terlintas di hati saya, inilah peluang saya. Saya tidak mengenalinya langsung dan hanya dua kali melihatnya. “Saya memutuskan untuk mencuri kandungannya,” kata Maria.

Dia ditangkap selepas memanggil pasukan perubatan untuk membawa mayat bayi yang dikeluarkannya dari perut mangsa supaya boleh memberitahu keluarganya bahawa dia keguguran.

“Bagaimanapun, pasukan perubatan mula mengesyaki sesuatu apabila wanita itu tidak membenarkan mereka memasuki rumahnya,” kata jurucakap polis. Maria melarikan diri apabila pasukan perubatan mendesak untuk memeriksanya.

Bagaimanapun, dia berjaya dikesan dan ditahan selepas suami Nadia, Juan Hernandez membuat laporan mengenai kehilangan isterinya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/30

Restoran daging anjing ditutup



PEMILIK restoran Daegyo, Keum-il menyediakan masakan daging 
anjing sebelum restoran itu mula ditutup semalam.


SEOUL - Sebuah restoran yang menghidangkan daging anjing di Korea Selatan dibuka untuk kali terakhir semalam selepas beroperasi selama 33 tahun sekali gus menjadi restoran daging anjing paling lama di negara itu.
Akhbar dalam talian MailOnline melaporkan, restoran Daegyo popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing serta pernah dikunjungi oleh dua bekas Presiden Korea Selatan.
"Kami menyajikan hidangan stu anjing yang dikenali sebagai boshintang," kata pemiliknya yang berusia 68 tahun, Oh Keum-il.
Menurut wanita berkenaan, pada zaman kegemilangannya, dia pernah menjual sebanyak 700 mangkuk stu anjing dalam sehari.
Namun, kata Keum-il, hidangan itu kini semakin kurang sambutan ekoran generasi muda Korea Selatan kini menganggap anjing sebagai haiwan peliharaan.
- Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3BootURnc 
Hakcipta terpelihara 

Aksi manja singa bersama penjaga dirakam



GRUENER yang juga sukarelawan untuk Projek Hidupan Liar Modisa dipeluk dengan manja oleh Sirga sebaik sahaja 
mereka berjumpa.


MAUN - Satu rakaman video yang dimuat naik dalam laman perkongsian YouTube menunjukkan aksi seekor singa betina bernama Sirga yang kelihatan begitu manja apabila bertemu dengan seorang penjaga di Taman Negara Botswana.
Dalam rakaman itu, Valentin Gruener yang bertugas untuk Projek Hidupan Liar Modisa dengan tenang membuka pintu sangkar yang menempatkan haiwan ganas itu tanpa perasaan takut.
Ketika Gruener mula membuka pintu pagar, Sirga kelihatan cukup teruja dan resah sebelum singa itu meluru dan menerkam ke arah beliau dan kemudian diam di atas bahunya.
Aksi itu telah dirakamkan oleh seorang pengunjung bernama John Hawkins di Maun, Botswana.
"Lelaki itu merupakan seorang ahli pemuliharaan hidupan liar yang telah menyambut kelahiran Sirga," kata Hawkins yang menjadikan Gruener sebagai inspirasinya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3BookjnJY 
Hakcipta terpelihara 

Harimau larikan beg tangan pengunjung zoo



SEEKOR harimau bengal menggonggong beg tangan milik seorang pengunjung wanita yang terjatuh ke dalam kandang.


SHANGHAI - Seorang pengunjung wanita di Zoo Shanghai di sini berputih mata apabila beg tangan kulit miliknya terjatuh dalam kandang harimau sebelum ia dibawa lari oleh haiwan tersebut, lapor portal MailOnline kelmarin.
Pengunjung itu, Li Qin Hao, dikatakan telah menggunakan beg tangannya sebagai umpan untuk menarik perhatian harimau yang berada di dalam kandang supaya mendekatinya.
Bagaimanapun, beg tangannya yang mengandungi wang tunai, beberapa keping kad kredit dan kunci rumah terlepas sebelum terjatuh ke dalam kolam kandang haiwan ganas itu.
Seekor harimau yang berada berhampiran kolam itu kemudian dilihat masuk ke dalam kolam dan berenang ke arah beg tangan yang terjatuh itu sebelum membawanya lari ke sebuah pulau kecil di tengah-tengah kurungan berkenaan.
Kakitangan zoo yang dimaklumkan mengenai perkara itu telah memberikan pas percuma kepada keluarga wanita tersebut untuk berada lama di situ sementara menunggu pekerja zoo mendapatkan semula beg tangannya.
"Kami menunggu sehingga harimau itu diberi makan oleh pekerja zoo dan mengambil semula beg tangan itu yang telah dikunyah," kata Pengurus Zoo Shanghai, He Ch'in.
- Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3BooZgMQj 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki Punjab pakai serban terbesar di dunia


SERBAN Mauni lebih menyerlah berbanding pemakai serban lain yang menggunakan jalan raya di Punjab, India. - AGENSI
MUMBAI 29 Ogos - Seorang penganut agama Sikh dari Punjab di India memakai serban yang dipercayai terbesar di dunia sehingga mencecah berat sehingga 45.3 kilogram dan berukuran 645 meter panjang apabila dibuka.
Malah lelaki tersebut, Avtar Singh Mauni, 60, mengambil masa selama enam jam untuk memakai serban yang mempunyai ukuran panjang bersamaan 13 kolam renang bersaiz Olimpik itu.
Menurut Mauni, dia mengambil masa selama 16 tahun untuk menambah ukuran kain pada serbannya dan menganggapnya bukanlah satu beban.
"Saya amat gembira setiap kali memakai serban itu. Saya hanya perlu meletakkan kain daripada atas ke bawah pada setiap lapisan seolah-olah anda membina sebuah rumah bertingkat.
"Jika tidak memakai serban itu, saya akan merasa tidak lengkap kerana sebahagian daripada diri saya telah hilang. Sekiranya serban saya terjatuh, saya akan tertanya-tanya adakah saya telah kehilangan sesuatu atau di mana serban saya?," katanya sebagaimana lapor Mail Online.
Ukuran panjang kain itu masih belum dapat disahkan namun sekiranya terbukti benar, ukuran serban tersebut akan mengatasi rekod semasa Guinness World Record dipegang Major Singh yang memakai serban berukuran 400 meter panjang.
Mauni berkata, dia membuat serban itu secara berperingkat bermula daripada ukuran 150 meter ke 250 meter kemudiannya berukuran 365 meter sebelum mencapai ukuran panjang yang mengagumkan iaitu 645 meter.
Menurutnya, kain serban berwarna ungu dan oren sahaja sudah mencapai berat 29.9 kilogram dan sekiranya ditambah dengan perhiasan, serban itu mencapai berat 45.3 kilogram.
Selain berserban, Mauni turut mengenakan aksesori seperti gelang tangan dan pedang yang menambah lagi bebanan sebanyak 39.4 kilogram.
Keadaan itu sekali gus menyukarkan dia untuk menaiki kereta dan menggunakan motosikal untuk bersiar-siar di sekitar Punjab.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140830/lu_11/Lelaki-Punjab-pakai-serban-terbesar-di-dunia#ixzz3BonGmmrt
© Utusan Melayu (M) Bhd