Pages

Thursday, September 15, 2011

Niger beri jaminan halang anak Gaddafi ke luar negara

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) hari ini menerima jaminan daripada Niger bahawa anak lelaki pemimpin Libya yang digulingkan, Saadi Gaddafi akan dihalang daripada perjalanan.

"Kami menerima jaminan dari kerajaan Niger bahawa Saadi akan dihalang daripada sebarang perjalanan. Itu selaras dengan larangan perjalanan dalam Majlis Resolusi Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1970," kata jurucakap Timbalan Jabatan Negara, Mark Toner.
Perdana Menteri Niger, Brigi Rafini, berkata pada Isnin lalu bahawa 32 penyokong kuat Gaddafi termasuk anak lelaki beliau, Saadi tiba di Niger sejak 2 September lalu, sambil menambah mereka diterima atas sebab kemanusian.

18 terbunuh serangan bom di Iraq

HILLA: Satu rangkaian serangan terhadap pasukan keselamatan di tengah bandar dan barat Iraq hari ini membunuh sekurang-kurangnya 18 orang, termasuk enam anggota polis dan dua tentera, kata pegawai tempatan.

Kegansan yang turut mencederakan kira-kira 50 orang tercetus selepas tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum tentera Amerika Syarikat bersedia untuk berundur dari negara itu sepenuhnya.
Dalam serangan itu, sebuah kereta berisi bom meletup di luar restoran yang sering dikunjungi anggota pasukan keselamatan di bandar Medhatiyah, timur pusat bandar Hilla di Wilayah Babil. - AFP

China hukum bunuh 4 pemberontak Uighur

BEIJING: China menjatuhkan hukuman mati terhadap empat lelaki etnik Uighur selepas didapati bersalah menyertai tiga serangan pengganas berasingan di Wilayah Xinjiang di selatan negara itu, Julai lalu.

Akhbar harian China Daily melaporkan, keempat-empat mereka dijatuhi hukuman itu, kelmarin oleh mahkamah di Bandar Hotan dan Kashgar, iaitu bandar berlakunya serangan itu.
Laporan semalam pula menyebutm dua daripada etnik Uighur itu dijatuhi hukuman 19 tahun penjara.
Kejadian yang berlaku di Hotan pada 18 Julai lalu membabitkan satu kumpulan Uighur menyerang sebuah balai polis dan menjadikan mereka tebusan termasuk membunuh empat orang.

Di Kashgar, 13 orang dibunuh pada 30 dan 31 Julai dalam serangan Uighur ke atas orang awam serta melalukan beberapa serangan bom.

Kerajaan China menegaskan kejadian itu adalah satu serangan pengganas manakala kumpulan hak asasi Uighur di luar negara berkata kejadian itu sebagai satu gerakan antikerajaan membabitkan warga negara yang marah. - AP 

Ibu sarat hamil berjalan kaki 10 hari cari makanan

SEPANG: Penderitaan seorang ibu sarat mengandung yang terpaksa berjalan kaki ratusan kilometer sebelum melahirkan anak sebaik tiba kem pelarian antara pengalaman sukar dilupakan anggota misi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) yang pulang ke tanah air, semalam.
Seorang daripada sukarelawan, Dr Baharudin Suri berkata, sukar dibayangkannya bagaimana penderitaan ibu muda itu berjalan kaki beratus kilometer semata-mata nak dapatkan makanan bagi meneruskan kehidupan.

“Wanita baru berusia 18 tahun itu berjalan kaki selama 10 hari dari tempat tinggalnya di Somalia hingga ke Kem Pelarian Dadaab, Kenya.

“Dia sampai dalam keadaan letih dan tak bermaya kerana sudah beberapa hari tak menjamah makanan. Paling menyedihkan suaminya meninggalkannya tanpa khabar berita. “Selepas sampai di kem, dia melahirkan bayi perempuan yang hanya dibantu pelarian lain di kem itu dalam keadaan khemah yang sangat daif,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Beliau tiba di KLIA jam 6.40 petang menaiki pesawat Egypt Air bersama dua sukarelawan lain, Yusman Nawazir, 51, dan Mohd Akhir Ahmad, 29. Misi Talian Hayat Pelarian Somalia anjuran Haluan dianggotai tiga sukarelawan itu bermula sejak 1 September lalu bertujuan membantu rakyat Somalia di kem pelarian berkenaan dari aspek perubatan dan makanan. Baharudin berkata, rakyat Somalia memang mengharapkan bantuan dari negara luar memandangkan masalah kebuluran yang sangat teruk di sana.

Remaja koma dibaling topi keledar meninggal

ALOR SETAR: “Salah tetap salah. Buat masa ini saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” kata Che Kassim Darus, 49, bapa Mohd Solihin, 14, yang meninggal dunia pagi semalam, selepas lebih sebulan koma akibat cedera parah di kepala terkena topi keledar dipercayai dibaling anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, dekat Perlis, 6 Ogos lalu.
Che Kassim berkata, anak keduanya itu disahkan meninggal dunia di Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar pada jam 7.43 pagi semalam selepas dipindahkan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Selasa lalu.

Harian Metro pada 10 Ogos lalu melaporkan Mohd Solihin cedera parah di kepala selepas terjatuh dari motosikalnya akibat terkena topi keledar berkenaan. Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, remaja yang sudah tidak bersekolah dikatakan menunggang motosikal sendirian manakala dua rakannya menunggang motosikal di belakang apabila dia terjatuh. Rakannya mendakwa ternampak seorang daripada dua anggota polis di situ membaling objek dipercayai topi keledar.

Berikutan itu, mangsa dipercayai terpelanting dan menyebabkan bahagian belakang kepalanya bengkak dan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke HTF sebelum dipindahkan ke HSB selepas keadaannya kritikal.

Che Kassim berkata, walaupun sedih tetapi dia reda dengan pemergian anak kedua daripada sembilan beradik itu kerana jika dia terus hidup, keadaannya teruk kerana terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Ditanya mengenai sebarang tindakan yang akan diambil berhubung kejadian itu, Che Kassim enggan mengulas kerana belum mahu memikirkan perkara itu. Jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Lubuk Sireh petang semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros mengesahkan menerima laporan mengenai kematian mangsa.

Katanya, pasukan forensik polis akan menyiasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan sehingga kini mengklasifikasikan kes kematian mengejut.

“Mengenai laporan keluarga mangsa kononnya mangsa maut akibat dibaling topi keledar anggota polis, kamimenyerahkan laporan berkenaan kepada penasihat undang-undang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman,” katanya.

Biskut coklat lipas


KESAL...Mohd Syahmi menunjukkan biskut yang mengandungi telur lipas.
KESAL...Mohd Syahmi menunjukkan biskut yang mengandungi telur lipas.

KLANG: Terkejut, jijik dan meloyakan. Itu perasaan seorang pekerja swasta apabila mendapati biskut coklat yang dimakan selepas membelinya di sebuah kedai runcit, di sini, mengandungi telur lipas.
Malah, lebih menjijikkan, Mohd Syahmi Saad, 36, berkata apabila diperiksa di dalam tin biskut itu turut menemui bangkai seekor lipas.

Menceritakan kembali, Mohd Syahmi menyatakan dia bersama beberapa rakan sekerja mengisi masa rehat dengan berbual kosong sambil makan biskut itu.

“Ketika bersembang, saya tertarik melihat bijian coklat yang terdapat pada biskut berkenaan kerana agak pelik dan mengambil pen untuk memecahkan bijian coklat itu.

“Saya dan rakan hampir termuntah apabila melihat beberapa anak lipas yang masih putih keluar dari bijian coklat itu dan terdapat beberapa ulat yang bergerak-gerak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Lebih memeranjatkan, apabila Syahmi dan rakan yang memeriksa kandungan di dalam tin biskut berkenaan menjumpai seekor lipas yang sudah mati.


“Syarikat biskut terbabit sepatutnya memeriksa tahap kebersihan lebih-lebih lagi syarikat mereka mempunyai nama besar sepatutnya tidak mempunyai masalah dari segi kebersihan.

“Apapun, mana-mana syarikat perlu menjaga kebersihan kerana ia memberi kesan kepada kesihatan pengguna dan pembeli,” katanya.

Menurutnya, dia sudah menghabiskan hampir 70 peratus daripada tin biskut coklat bertarikh luput pada 2013 itu sebelum menyedari kejadian itu kerana biskut yang mempunyai telur lipas itu berada di lapisan bawah.

Sementara itu, wakil syarikat pengeluaran biskut terbabit, ketika dihubungi, berkata cara penutupan yang tidak rapat boleh menjadi punca lipas memasuki tin biskut itu.

“Bagi telur lipas yang menyerupai bijian coklat itu, saya menolak sekiranya ada yang menganggap kami menggunakan telur lipas bagi mengurangkan modal.

“Kebersihan syarikat kami tidak perlu dipertikaikan kerana berada pada tahap amat memuaskan dan pemeriksaan kebersihan dilakukan dengan kerap,” katanya.

Petani kapak budak tadika

BEIJING: Seorang petani yang menghadapi masalah mental, membunuh enam orang termasuk dua kanak-kanak dengan kapak ketika mereka dalam perjalanan ke tadika, semalam.
Ia merupakan kes terbaru yang melibatkan serangan ganas ke atas kanak-kanak oleh mereka yang mengalami gangguan mental di China.
Pakar menyalahkan peningkatan pesat ekonomi yang menyebabkan perubahan sosial yang mendadak.

Petani yang berusia 30 tahun itu melakukan serangan itu di Wilayah Henan, tengah China.


Seorang kanak-kanak dan tiga dewasa mati serta merta di tempat kejadian manakala seorang lagi kanak-kanan dan seorang dewasa, mati di hospital.

Dua orang kanak-kanak perempuan itu berusia antara satu dan empat tahun.

Menurut penduduk tempatan, suspek, Wang Hongbin mempunyai sejarah gangguan mental dan pernah ditahan polis. - AFP 

Lagi wanita Saudi langgar larangan memandu

RIYADH: Dengan bersembunyi di sebalik baju berhud, seorang lagi wanita Arab Saudi memandu di Jalan Raja Fahd di bandar raya ini.
Wanita yang dikenali sebagai Nora itu ditemani ibunya yang meluahkan kekecewaan dengan khidmat teksi di bandar raya itu kerana menimbulkan pelbagai masalah. Selain itu, mereka juga tidak mempunyai anggota keluarga lelaki di rumah.

“Anak perempuan saya belajar memandu ketika kami melancong dan sedang mendapatkan lesen memandu, jadi saya fikir lebih selesa jika dia memandu untuk membantu saya selesaikan urusan harian,” katanya. Dia berkata, mengambil pemandu peribadi sangat mahal dan dua pemandunya sebelum ini sudah melarikan diri menyebabkan dia sukar bergerak. - AN

Nafi al-Waleed perkosa model

DUBAI: Syarikat pelaburan Kingdom Holding yang beribu pejabat di Riyadh dan dimiliki Putera al-Waleed Bin Talal menafikan laporan mengatakan putera itu merogol seorang wanita di Ibiza pada Ogos 2008, sambil mendakwa ia tuduhan yang tidak benar sama sekali.
Penafian itu dibuat selepas akhbar New York Times melaporkan Selasa lalu, hakim di Sepanyol membuka semula kes serangan seksual terhadap al-Waleed yang digugurkan. Putera itu dituduh memperkosa seorang model berusia 20 tahun di atas kapal mewah di perairan Mediterranean pada Ogos 2008. Dalam kenyataan media, semalam, jurucakap syarikat itu, Heba Fatani berkata: “Tuduhan yang dikenakan itu tidak pernah berlaku...Bukan saja al-Waleed tidak berada di Ibiza pada 2008, malah tidak pernah ke Ibiza sejak sedekad lalu. Tambahan pula, kapal dimiliki al-Waleed, Kingdom 5KR tiada di Ibiza pada 2008 dan beliau tidak pernah menyewa kapal di Ibiza.” Menurut laporan New York Times, dakwaan itu tidak dihebahkan kepada umum dan laporan asal mengenainya tidak diketahui. Kes itu ditutup Julai tahun lalu kerana hakim di Ibiza mendakwa ia kekurangan bukti.

Namun, mahkamah daerah di Sepanyol di Pulau Balearic mengarahkan hakim melakukan siasatan dan meminta putera itu supaya tampil. Hakim, Carmen Martin Montero, tidak dapat dihubungi untuk ulasan lanjut. Menurut laporan akhbar itu lagi, model yang hanya dikenal pasti sebagai Soraya membuat laporan polis pada Ogos 2008 mengatakan putera berkenaan memperkosanya di atas kapal mewah selepas dia khayal akibat dadah. Dia berkata, dia diundang menaiki kapal mewah itu di sebuah kelab malam di Ibiza.

Mahkamah mengarahkan kes itu dibuka semula selepas ujian perubatan yang dilakukan jabatan di Institut Forensik dan Toksikologi Kebangsaan Sepanyol mendapati ada kesan air mani dan ubat tidur, nordazepam dalam air kencing model terbabit. - AN

Di mana Gaddafi?

TRIPOLI: Saadi, anak Muammar Gaddafi ditahan di ibu negara Nigeria semalam selepas melarikan diri dari Libya.
Bagaimanapun, kedudukan bapanya masih tidak diketahui, kata Nato.

Pakatan berkenaan menegaskan, pemimpin Libya itu bukan menjadi sasaran kempen pengeboman harian mereka. Namun, Nato meningkatkan serangan terhadap saki-baki tenteranya ketika Bank Dunia secara rasmi mengiktiraf pemimpin baru negara itu dan berikrar memainkan peranan utama dalam usaha pembinaan semula selepas perang.

Saadi, 38, ialah anak ketiga daripada tujuh anak lelaki bekas pemimpin Libya itu . Dia bersama-sama 32 pegawai rejim lama, termasuk tiga jeneral kanan, melarikan diri dengan merentas padang pasir ke Niger baru-baru ini.

Anak Gaddafi itu diterbangkan ke Niamey, ibu negara Niger kelmarin dengan helikopter Hercules C-130 dari Agadez, bandar di barat laut negara itu.

Washington menerima jaminan Niger bahawa Saadi, yang mengetuai sebuah unit elit tentera Libya selepas berkecimpung dalam bola sepak profesional di Itali, berada dalam tahanan pasukan keselamatan Niger.


“Apa yang kami faham ialah Saadi kini ditahan di rumah tamu negara,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland. - Reuters “Ia adalah tahanan rumah di kemudahan kerajaan. Itu yang kami faham,” katanya.

Nato berkata, ia tidak tahu mengenai kedudukan Gaddafi yang dikatakan telah meninggalkan negaranya.

Jurucakap pakatan berkenaan, Kolonel Roland Lavoie berkata, ia menerima maklumat bahawa Gaddafi masih di Libya tetapi tempat persembunyiannya tidak diketahui.

“Terus terang, kami tidak tahu sama ada dia sudah meninggalkan negara itu atau tidak,” kata Lavoie kepada wartawan.

Gaddafi tidak muncul di khalayak ramai untuk tempoh yang agak lama. Dia hanya kedengaran menerusi rakaman audio dan ini meningkatkan persoalan mengenai kedudukannya.

Bintang filem terpaksa kencing dalam botol

PARIS: Bintang filem Perancis, Gerard Depardieu berkata, dia tiada pilihan kecuali terpaksa membuang air kecil di dalam botol ketika berada dalam pesawat bulan lalu selepas kru kabin menghalangnya masuk ke tandas.
Dalam wawancara rancangan bual bicara, semalam bersama pengacara televisyen Amerika, Anderson Cooper - yang tidak dapat menahan gelak apabila insiden itu dilaporkan dalam siaran berita perdana CNN - bintang filem terkenal Perancis itu mengakui botol itu tidak cukup besar untuk menampung air kencingnya.
Depardieu menjelaskan melalu satelit dari Dublin, dia cuba menggunakan tandas dalam penerbangan dari Paris ke Dublin sebelum pesawat berlepas tetapi kru kabin menghalang pintu tandas dengan kakinya dan mengarahkan bintang filem itu kembali ke tempat duduknya.

“Saya beritahunya, ‘Cik, saya perlu ke tandas kerana mahu buang air kecil. Ia menyakitkan saya,” kata Depardieu sambil tertawa.


“Saya bukan pengganas, saya hanya ingin buang air kecil,” katanya.

Selepas kru kabin sekali lagi enggan membenarkan dia menggunakan tandas, dia terpaksa meminjam botol kosong daripada seorang teman.

“Anda tahu, ia memang melegakan walaupun agak menyakitkan,” katanya. - Agensi 

Polis temui berlian dalam perut pencuri

MARBELLA: Seorang pencuri di Sepanyol yang mencuri berlian milik seorang wanita Britain dan kemudian menelannya, ditangkap apabila polis menahannya di sekatan jalan raya dan memaksanya menjalani imbasan-X.
Kecurian berlaku apabila dua wanita memasuki sebuah restoran di Marbella, pusat peranginan mewah Sepanyol dan seorang daripada mereka meninggalkan beg tangan di lantai di sebelah kerusi.

Menurut laporan polis: “Dua lelaki berpakaian kemas masuk. Seorang duduk di bar dan seorang lagi di sebelah wanita berkenaan. “Apabila kedua-dua lelaki itu keluar, wanita itu mendapati beg tangannya mengandungi 2,000 euro (RM8,500) dan 400 paun (RM2,000), telefon bimbit, loket dengan berlian bernilai 12,000 euro (RM50,500) serta barangan berharga lain, hilang.

Beberapa jam kemudian, polis menahan sebuah kereta di sekatan jalan raya dan mendapati empat orang di dalamnya mempunyai rekod jenayah.

Polis juga menemui beg tangan serta barangan berharga dan wang tunai, yang kemudian mereka sahkan milik wanita Britain terbabit.

Yang tidak ditemui ialah berlian itu.


“Ketika operasi, pegawai menyedari seorang lelaki terbabit meletakkan tangan pada mulutnya.

“Ia membuat polis mengesyaki lelaki itu menelannya. Untuk mengesahkannya, semua lelaki yang ditahan diarah menjelani imbasan-X dan berlian itu dikesan dalam perut seorang daripada mereka, yang kemudian mengaku menelannya. - Agensi

Sekolah tegah pelajar mekap


PELAJAR, Jessica Farnworth dan Emily Stonehouse, kedua-duanya 14 tahun  mendakwa  memakai maskara dan celak sebelum larangan itu.
PELAJAR, Jessica Farnworth dan Emily Stonehouse, kedua-duanya 14 tahun mendakwa memakai maskara dan celak sebelum larangan itu.

LONDON: Sebuah sekolah yang bosan dengan pelajar yang melanggar peraturan larangan bersolek bertindak menanggalkan semua cermin di tandas.
Langkah tegas itu dilaksanakan serentak dengan pengharaman menyeluruh terhadap mekap bagi mengekang pelajar berusia 14 hingga 16 tahun daripada memenuhi tandas untuk bersolek.

Dasar tiada tolak-ansur sekolah itu terhadap perbuatan bersolek turut menyaksikan guru diberi peralatan mencuci mekap bagi memastikan pelajar mematuhi peraturan.

Pelajar perempuan di Shelley College di Huddersfield, West Yorkshire, kini diperiksa setiap hari bagi memastikan mereka tidak bersolek.

Beberapa pelajar dikatakan berang terhadap peraturan berkenaan sambil mendakwa bermekap membantu memberikan mereka keyakinan.

Bagaimanapun, Pengetua, John McNally, berkata, kebanyakan pelajar dan ibu bapa menyokong tindakan itu.


“Sudah tiba masanya anda perlu menghentikan guru daripada menghabiskan setengah jam sehari untuk bercakap kepada pelajar mengenai mekap. “Kami menanggalkan cermin kerana beberapa pelajar memasuki tandas pada waktu makan dan menghabiskan masa di situ sambil makan bekalan mereka.

“Pelajar itu menjadi taksub kepada cermin dan apabila kami menurunkannnya, masalah itu selesai. Ramai yang menerima dasar itu memandangkan sebahagian besar pelajar tidak bersolek dan mereka yang mengenakan sedikit mekap gembira kerana berhenti berbuat demikian.

“Yang membuat kecoh hanyalah lima atau enam pelajar. Mereka yang bermekap paling tebal.

“Kami mendapat banyak sokongan daripada ibu bapa. Sudah pasti ada pelajar yang cuba melanggar arahan,” kata McNally. - Agensi

Erdogan dapat sambutan hangat di Kaherah

KAHERAH: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menerima sambutan hangat di Kaherah di mana aktivis, wanita dan media menyerbu wira baru rantau ini berikutan pendiriannya yang pro-Palestin dan kritikan pedas terhadap Israel.

Erdogan, yang pada Selasa berlepas ke tiga negara Arab dalam lawatan musim bunga di Mesir, memberikan sokongan padu terhadap Palestin ketika ucaptamanya di Liga Arab, yang sekali gus menaikkan imejnya sebagai pemimpin rantau itu.
Lawatannya dibuat ketika aktivis yang menggulingkan presiden Hosni Mubarak pada Februari, berang dengan kepemimpinan mereka kerana melengah-lengahkan janji untuk perubahan.
Bercakap mengenai menteri luar Arab, Edrogan berkata pengiktirafan Palestin adalah kewajipan dan mengulangi yang hubungan tegang dengan Israel tidak akan pulih melainkan negara Yahudi itu memohon maaf atas kematian sembilan warga Turki ketika serbuan terhadap kapal bantuan ke Gaza tahun lalu.

“Sebelum hujung tahun ini kita akan melihat Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam situasi berlainan,” katanya.

“Sudah tiba masanya untuk bendera Palestin dikibarkan di PBB”.

Kenyataannya mengulangi sentimen di jalanan Arab, yang mungkin melemahkan kepimpinan ketenteraan Mesir yang berusaha untuk memulihkan hubungan dengan Israel selepas kedutaannya di Kaherah diserang. – AFP 

Wanita bunuh bayi sebelum melancong

BANGKOK: Polis berkata, seorang wanita Thai mengaku membunuh dan membuang mayat bayinya yang baru dilahirkan ke dalam tong sampah di lapangan terbang sebelum menaiki pesawat menuju ke sebuah pusat pelancongan bersama teman lelakinya.

Pegawai kanan polis Leftenen Kolonel Porapat Petpayabaan berkata Nuansiri Samranjai, 24, ditahan polis Bangkok selepas mengaku membunuh bayinya Ahad lalu, sebelum terbang ke Pulau Samui bersama teman lelaki barunya seorang warga British.
“Nuansiri melahirkan anaknya hanya beberapa jam sebelum penerbangan dan mencekik bayi itu hingga mati. Bapa bayi itu adalah bekas teman lelakinya warga British dan berbuat demikian berikutan bimbang teman lelaki barunya akan kecewa jika mengetahuinya,” katanya.
Polis bagaimanapun enggan mendedahkan identiti teman lelaki baru Nuansiri kerana dia bukan suspek kejadian itu.

Seorang pengawal keselamatan di lapangan terbang menemui mayat bayi malang itu di dalam tong sampah di tempat letak kereta dan Nuansiri dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup. – AP

Pilih kasih di Karachi, bah di Bangkok

Foto
PELAJAR menolak air banjir di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi di luar Bangkok, semalam.



Foto
PENDUDUK kampung yang menjadi mangsa banjir berebut-rebut untuk mendapatkan makanan percuma yang diberikan di jalanan berhampiran khemah bergerak di wilayah Badin, Pakistan, semalam.

Penduduk kasta lebih rendah di Pakistan tidak dapat bantuan

KARACHI: Penduduk minoriti di Pakistan yang terjejas berikutan banjir teruk di Sindh dilaporkan mengadu berlaku diskriminasi dan pilih kasih mengikut kasta dalam memberi bantuan kepada mangsa oleh pertubuhan yang dipertanggungjawabkan melakukan operasi menyelamat.
Pertubuhan yang mengendalikan bantuan termasuk pertubuhan agama, dilaporkan melakukan diskriminasi mengikut kasta, kata seorang ketua komuniti, Mohan Kolhi yang tinggal berhampiran bandar Khoski di daerah Badin.
Tuan tanah saya meminjamkan 50,000 rupee (RM1,798) dan saya menggunakannya untuk menanam 4.5 hektar pokok kapas. Semua tanaman saya musnah. Saya tidak tahu bagaimana untuk membayar semula. - Mohan Kolhi, Ketua komuniti
Sebuah pertubuhan agama dilaporkan membina kem bantuan di bandar Khoski tetapi tiada sebarang bantuan dihulurkan kepada mangsa daripada kasta lebih rendah.

“Apabila kami datang ke kem bantuan, ketua di situ memberitahu kami bahawa bantuan itu hanyalah untuk penduduk Islam,” kata Kolhi y ang dipetik Espress Tribune.

Beliau mendakwa mereka tidak dibenarkan untuk minum di kawasan luar khemah itu.
“Sindh adalah tanah kami dan kami tinggal di sini sejak berkurun lama. Jadi mengapa wujud kasta? Kami juga manusia,” katanya.
Kumpulan kasta di Sindh termasuk Kolhis, Menghwars, Bheels dan Oads adalah didominasi petani di daerah Badin.

Golongan petani Hindu ini biasanya membuat pinjaman dari tuan tanah dan mengerjakan tanah bersama keluarga selama setahun untuk membayar balik pinjaman menyebabkan menanggung risiko kerugian.

“Tuan tanah saya meminjamkan 50,000 rupee (RM1,798) dan saya menggunakannya untuk menanam 4.5 hektar pokok kapas. Semua tanaman saya musnah. Saya tidak tahu bagaimana untuk membayar semula,” kata Kolhi.

Sementara itu di BANGKOK, Pusat Amaran Bencana Alam mengeluarkan amaran banjir baru di kawasan tengah termasuk Bangkok mulai 17 September hingga 20 September.

Tetapi Jabatan Pengairan tetap yakin bahawa ibu negara Thailand itu akan selamat walaupun beberapa wilayah dilaporkan dilanda banjir berikutan Sungai Chao Phraya melimpahi tebing.

Pusat itu memberi amaran bahawa air dari Sungai Chao Phraya akan terus melimpahi tebing dan menyebabkan banjir di Bangkok, Nakhon Sawan, Uthai Thani, Ayutthaya, Singburi, Chainat, Ang Thong, Pathumthani, Nonthaburi dan Samut Prakan.

Penduduk yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan dan di luar kawasan pencegahan banjir dinasihatkan membuat persediaan untuk memastikan mereka selamat.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Jabatan Pengairan, Chalit Damrongsak kemudian berkata, hingga kini Bangkok masih lagi bebas daripada banjir besar walaupun hujan lebat dilaporkan berterusan.

Chalit berkata aliran yang diukur di Sungai Chao Phraya adalah 3,300 meter padu sesaat. Ibu negara Thailand itu dilaporkan akan banjir jika paras air melebihi 3,500 meter padu sesaat. – Agensi 

Satu lagi saluran gas ditemui




MOHD. SHAMSURI menunjukkan api yang keluar dari parit dekat rumahnya di Bagan Datoh semalam.


BAGAN DATOH - Selepas kewujudan gas dipercayai metana ditemui di Kampung Padang Macang, Manir, Terengganu, kemunculan gas yang disyaki sama ditemui di Kampung Sungai Tiang Baroh di sini semalam.
Gas yang mengeluarkan api itu ditemui seorang penduduk, Mohd. Shamsuri Abdul Rahim, 45, di dalam sebatang parit berhampiran rumahnya pada akhir Ramadan lalu.
"Beberapa hari sebelum hari raya, kami sekeluarga terdengar bunyi seperti air mendidih dari arah parit kira-kira 10 meter dari rumah kami terutama pada waktu malam.
"Keadaan itu berlarutan setiap malam lalu saya beranikan diri meninjau dan mendapati air kumbahan di dalam parit itu membentuk ketulan buih," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di di sini semalam.
Mohd. Shamsuri memberitahu, sekiranya parit itu didekati, bau seperti gas memasak boleh dihidu dengan kuat.
Katanya lagi, dia kemudian memberanikan diri mencucuk sebatang paip besi ke dalam parit berkenaan petang kelmarin.
"Saya terkejut kerana paip berkenaan menjadi panas dan api warna kebiruan keluar daripada muncungnya.
"Api itu masih menyala sehingga hari ini (semalam)," katanya.
Mohd. Shamsuri berkata, beliau belum memaklumkan penemuan gas tersebut kepada mana-mana pihak.
Kosmo! 8 September lalu melaporkan seorang buruh terkejut apabila telaga tiub yang digali di belakang rumah seorang penduduk di Kampung Padang Macang, Manir mengeluarkan gas dipercayai metana.
Gas itu dikesan pada kedalaman 11 meter selepas Musa Omar, 48, membuat ujian terhadap air dalam telaga yang digali pada jarak kira-kira empat meter dari rumah pemilik tanah itu.

Cipta rekod makan makanan sarapan pagi paling banyak




STEVEN Magree makan sarapan pagi yang mengandungi 7.500 kalori di kafe Hungry Horse, Corby baru-baru ini.


CORBY - Seorang lelaki, Steven Magree mencipta rekod dengan makan makanan sarapan pagi paling banyak, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia memakan sarapan pagi yang mengandungi 7,500 kalori iaitu tiga kali ganda daripada yang disarankan untuk lelaki.
Sarapan pagi itu mengandungi tiga sosej empat segi, tiga burger daging, tiga telur goreng, tiga kepingan puding hitam, tiga set roti bakar dan roti.
Dia turut makan kacang panggang, cendawan, wafel kentang dan kentang.
Magree yang berusia 29 tahun merupakan satu-satunya individu yang mampu untuk makan sarapan pagi paling banyak di kafe Hungry Horse di sini, baru-baru ini. - Agensi

Penternak ikan rakam gambar raksasa




IMEJ dua bonggol itu yang dirakamkan oleh Jon Rowe selepas ia diperbesarkan.


LEWISTON, Scotland - Seorang penternak ikan, Jon Rowe berjaya merakamkan gambar seekor raksasa di Tasik Loch Ness di Drumnadrochit, Scotland, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yakin gambar yang dirakamkannya itu merupakan raksasa Loch Ness yang mempunyai nama jolokan Nessie selepas ia banyak diperkatakan oleh ramai orang.
Menurutnya, dia pada mulanya mahu merakamkan gambar pelangi pada waktu pagi dengan menggunakan kamera baru-baru ini.
Rowe, 31, berkata, semasa merakamkan gambar itu, dia terlihat satu bentuk yang berwarna gelap dengan terdapat dua bonggol keluar dari permukaan tasik sebelum ia hilang.
"Reaksi saya dengan segera menyatakan ia adalah Nessie," katanya.
Legenda raksasa Loch Ness bermula pada 1933 apabila satu pasangan suami isteri, George Spicer dan isterinya menyatakan mereka melihat satu haiwan ganjil menyeberang jalan raya di depan mata mereka. - Agensi

Belut masuki pundi air kencing lelaki




BELUT yang memasuki pundi air kencing Zhang Nan dan telah mati.


BEIJING - Seorang lelaki, Zhang Nan menghadapi saat cemas apabila seekor belut kecil yang digunakan dalam rawatan kecantikan memasuki pundi air kencingnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian itu berlaku semasa dia berendam bersama sejumlah belut yang dipercayainya dapat menjadikan dia kelihatan muda lebih 10 tahun.
Nan menyelam di dalam sebuah tab mandi dan membiarkan haiwan tersebut memakan kulitnya yang telah matinya baru-baru ini.
Namun, selepas berada di dalam tab itu, dia merasa sakit seperti dicucuk.
Dia kemudiannya menyedari seekor belut kecil berada memasuki pundi kencingnya.
"Saya terus bangun selepas merasa sakit akibat gigitan belut itu," katanya yang berusia 56 tahun dan berasal dari Honghu, di wilayah Hubei.
Dia kemudiannya dibawa ke sebuah hospital dan menjalani pembedahan kecemasan selama tiga jam bagi mengeluarkan belut yang telah mati ketika dijumpai doktor.
Menurut seorang doktor, Jin Wang, belut kecil mampu memasuki kemaluan Nan kerana tubuh haiwan itu terlalu licin. - Agensi

Guru mengaku salah hantar SMS berbaur seks



KATHRYN ROACH


BOLTON, Britain - Seorang guru pendidikan agama Kristian, Kathryn Roach mengaku salah menghantar teks khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah kepada seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dengan tujuan untuk mengumpannya supaya dia melakukan hubungan seks.
Roach, 24, menjadikan pelajarnya itu sebagai sasaran selepas mangsa dan beberapa pelajar lain mendapatkan telefon bimbit milik Roach untuk mencatatkan nombor telefon masing-masing.
Menurut keterangan di mahkamah, guru wanita itu kemudian menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada mangsa untuk mengumpannya supaya dia melakukan hubungan seks.
Polis menangkap Roach selepas laporan berhubung perbuatan tersebut dibuat kepada pihak berkuasa.
Dia kemudian dipecat dari sekolah tersebut.
Wanita itu yang dihadapkan di Mahkamah Diraja Bolton di sini baru-baru ini diperintahkan supaya mendaftar sebagai pesalah seks.
Dia kemungkinan berdepan hukuman penjara yang akan diputuskan kemudian. - Agensi

3,000 ekor hidupan




SEEKOR musang yang dirampas Jabatan Kastam Thailand dipamerkan kepada pemberita di Bangkok semalam.


BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand berkata, hampir 3,000 ekor hidupan liar dirampas yang dianggap rampasan terbesar yang pernah dilakukan pada tahun ini.
Pengarah Jabatan Kastam, Jeneral Prasong Poontaneat berkata, para pegawai telah bertindak menahan sebuah trak malam kelmarin di wilayah Prachuap Khiri Khan.
Menurutnya, sebanyak 2,721 biawak, 717 penyu. 44 musang dan 20 ular dirampas daripada trak itu.
Prasong berkata, pemandu trak itu sudah ditahan.
Dia yang memberitahu pemberita semalam menyatakan semua haiwan itu bernilai AS$130,000 (RM400,334). – AP

Carlos MCarlos Menem dilepaskan dakwaan seludup senjataenem dilepaskan dakwaan seludup senjata




CARLOS MENEM (kanan) mendengar keputusan kesnya 
di sebuah mahkamah di Buenos Aires, Argentina kelmarin.


BUENOS AIRES - Bekas Presiden Argentina, Carlos Menem kelmarin dibebaskan daripada tuduhan mendalangi penyeludupan senjata api ke Croatia dan Ecuador pada tahun 1990-an.
Dia dibebaskan oleh seorang hakim yang mengendalikan perbicaraan itu yang bermula sejak Oktober 2008.
Menem yang merupakan Presiden dari 1989 hingga 1999 yang kini merupakan seorang senator boleh dipenjarakan sehingga 12 jam jika disabitkan kesalahan membenarkan penghantaran 6,500 tan senjata ke Croatia dan Ecuador menerusi Panama dan Venezuela.
Seramai 17 defendan lain termasuk bekas menteri, pesara tentera dan pembuat senjata turut dilepaskan dalam kes itu.
Keputusan itu menghampakan pendakwa raya, Mariano Borinsky yang menyatakan pihaknya akan membuat rayuan berhubung keputusan tersebut.
- Agensi

Singapura tawar bantu padam kebakaranSingapura tawar bantu padam kebakaran




GAMBAR fail menunjukkan beberapa anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di Taman Kebangsaan Berbak 
di Jambi pada 12 September lalu.


SINGAPURA - Pemerintah Singapura menawarkan untuk menghantar sebuah pesawat bagi membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan di negara berkenaan, lapor media tempatan semalam.
Tawaran itu dibuat berikutan kebakaran hutan di Indonesia dibimbangi akan menyebabkan Singapura dilitupi jerebu semasa acara perlumbaan kereta Formula Satu (F1) diadakan di pulau berkenaan pada minggu depan.
Kebakaran hutan akibat pembakaran haram dalam kalangan petani dan syarikat pembalakan di Pulau Sumatera semasa musim panas menyebabkan Singapura dan Malaysia dilanda jerebu pada setiap tahun yang turut menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.
Indonesia yang merupakan pengeluar utama minyak sawit dunia berulang kali berjanji akan mengatasi masalah tersebut tetapi kebakaran hutan masih berlaku pada setiap tahun berikutan kelemahan penguatkuasaan undang-undang.
"Kami meletakkan satu pasukan dalam keadaan bersiap sedia untuk memadamkan kebakaran atau melakukan operasi pembenihan awan selain memberikan bantuan teknikal. Namun, semuanya bergantung sama ada Indonesia meminta atau memerlukan bantuan kami," kata Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Vivian Balakrishan dalam wawancara dengan saluran berita, Channel NewsAsia.
Awal minggu ini, agensi berita Bernama melaporkan Malaysia pernah menyuarakan kebimbangannya kepada Indonesia berhubung lebih 600 titik panas yang dikesan di Sumatera.
Singapura menjadi tuan rumah F1 pada bulan ini.
Berbeza dengan negara-negara lain, perlumbaan F1 di Singapura berlangsung pada waktu malam untuk memudahkan penonton Eropah menonton acara itu di televisyen. - Reuters

Kura-kura gergasi dirampas




BEBERAPA anggota polis dan pegawai Zoo Popcorn Park di Highlands, New Jersey memindahkan seekor kura-kura gergasi dari rumah Richard Hines kelmarin.


HIGHLANDS - Empat ekor kura-kura gergasi yang dirampas dari sebuah rumah di sini kelmarin kini diperiksa di Zoo Popcorn Park sini untuk mengetahui keadaan kesihatannya.
Kura-kura itu dirampas dari rumah milik Richard Hines Jr. selepas dia memiliki haiwan tersebut tanpa mendapat permit.
Cangkerang beberapa ekor kura-kura itu didapati retak.
Jurucakap Jabatan Perlindungan Alam Sekitar New Jersey, Larry Ragonese menyatakan bahawa jiran-jiran Hines mendengar bunyi seperti tangisan kura-kura tersebut, sebelum memberi haiwan tersebut makan.
Kura-kura itu yang salah seekornya seberat lebih 225 kilogram kini dijaga di zoo tersebut. - Agensi

Anak Gaddafi dikawal di NigerAnak Gaddafi dikawal di Niger



SAADI GADDAFI


TRIPOLI - Seorang anak lelaki bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi kini dikawal oleh pengawal-pengawal pasukan keselamatan Niger di bandar Niamey.
Anak Gaddafi itu, Saadi, 38, merupakan di antara 32 pegawai bekas pemimpin tersebut yang melarikan diri melalui gurun ke Niger baru-baru ini.
Menurut beberapa pegawai Niger, dia diterbangkan ke bandar Niamey lewat kelmarin selepas menaiki pesawat Hercules C-130 dari bandar Agadez.
Saadi ditempatkan di sebuah kediaman gabenor di bandar Niamey dengan lapan pembantu rapat bapanya selepas mereka menyeberangi Niger pada Ahad lalu.
Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) menerima jaminan Niger bahawa Saadi berada dalam kawalan pasukan keselamatan negara itu.
"Mengikut kefahaman kami, dia ditahan di sebuah rumah tetamu kerajaan," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland.
Pertubuhan Penjanjian Atlantik Utara (NATO) juga tidak tahu sama ada Gaddafi sudah meninggalkan Libya.
Seorang jurucakap NATO, kolonel Roland Lavoie memberitahu pemberita kelmarin: "Kami tidak mengetahui sama ada beliau (Gaddafi) sudah meninggalkan negara itu."
Libya kini ditadbir oleh Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang mewakili pemberontak selepas rejim Gaddafi ditumbangkan sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
Gaddafi kini dalam buruan selepas dia melarikan diri ekoran kejayaan pemberontak menawan Tripoli. - Agensi

Pasukan keselamatan bertempur selama 19 jam dengan Taliban



SEORANG anggota pasukan keselamatan Afghanistan memegang senjatanya semasa dia meninggalkan lokasi pertempuran dengan kumpulan Taliban di Kabul semalam.


KABUL - Satu serangan Taliban di ibu kota negara ini berakhir selepas 19 jam pertempuran berlaku melibatkan anggota pasukan keselamatan tempatan dan asing.
Dalam pertempuran itu, seramai 14 orang maut dan enam anggota tentera asing mengalami kecederaan.
Pasukan keselamatan Afghanistan dan asing bertempur dengan anggota-anggota Taliban yang menjadikan ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai sasaran serangan.
Pertempuran itu berakhir selepas pasukan keselamatan tersebut membunuh dua anggota Taliban yang berada di dalam sebuah bangunan sedang dalam pembinaan beberapa meter dari Kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang dikawal ketat.
Anggota-anggota Taliban itu yang dilengkapi jaket bom dan pelancar bom roket melakukan serangan pada pukul 1.30 petang kelmarin. - AFP

Komunis: Utusan Malaysia disaman


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 14 sept: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini menyaman akhbar Utusan Malaysia ekoran penyiaran satu berita yang didakwa memfitnahnya berhubung isu komunis.

Saman tersebut difailkan pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

Ianya berikutan laporan muka depan akhbar Umno itu pada 27 Ogos lalu bertajuk "Mohamd Sabu Hina Pejuang, Anggap Pengganas Komunis Hero Sebenar Tragedi Bukit Kepong" yang didakwanya sebagai fitnah.

"Saya hanya mempertahankan diri dan mengelak daripada fitnah terutama tuduhan komunis, tuduhan sebagai pengganas dan mempertikai aqidah.

"Fitnah-fitnah yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keselamatan saya dan keluarga saya terjejas, maka kita perlu ambil tindakan undang-undang," kata Mohamad pada sidang medianya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Turut serta pada sidang media itu peguam mewakilinya, Hanipa Maidin.

Menurut Hanipa, saman tersebut menamakan dua pihak iaitu Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai pencetak dan penerbit akhbar berbahasa Melayu itu.

Antara yang dituntut termasuklah ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Bagaimanapun jumlah ganti rugi tersebut tidak ditentukan dan bergantung kepada tafsiran mahkamah.

Dalam laporan Utusan Malaysia 27 Ogos lalu, akhbar itu menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang didakwa bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Bagaimanapun laporan itu dakwa Mohamad sebagai tidak benar dan fitnah kerana beliau tidak pernah mengaitkan Mat Indera dengan Komunis namun dilapor sebaliknya oleh Utusan Malaysia.

Ekoran laopran itu juga menurut Mohamad, beliau dan anggota keluarganya yang lain menerima pelbagai ugutan termasuk dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti ‘awak patut bertaubat, awak berbohong dan jangan sampai ada yang simbah asid ke atas isteri dan anak perempuan kamu.’

Beliau berkata, ada juga mendesak beliau dibuang negara, termasuk dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), selepas laporan akhbar didakwa memesongkan kenya­taannya