Pages

Friday, September 24, 2010

Pakar PBB akui Israel langgar undang-undang


GENEVA - Satu serangan oleh komando-komando Israel ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan Palestin ke Gaza yang menyebabkan sembilan orang terbunuh pada Mei lalu merupakan satu pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kata satu panel pakar antarabangsa kelmarin.
Tiga pakar itu yang dipilih oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sekatan pergerakan dan barang yang dilakukan Israel ke atas Gaza telah mencetuskan krisis kemanusiaan dan menyalahi undang-undang.
Pakar-pakar itu dari Britain, Trinidad dan seorang yang memperjuangkan hak asasi dari Malaysia menyatakan dalam laporan tersebut bahawa tindakan ketenteraan Israel ke atas kapal Mavi Marmara didapati menggunakan keganasan yang tidak munasabah.
Menurut pakar-pakar itu, Israel enggan bekerjasama semasa mereka melakukan siasatan.
Pakar-pakar itu yang tidak dibenarkan memasuki Israel menyatakan pihak berkuasa negara tersebut perlu mengenal pasti dan menghukum pihak yang melakukan keganasan tersebut. - Reuters

Gates paling kaya di AS




NEW YORK - Pengasas firma Microsoft, Bill Gates (gambar) kekal menjadi individu paling kaya di Amerika Syarikat (AS) untuk tahun ke-17 berturut-turut dengan anggaran kekayaan AS$54 bilion (RM167 bilion).
Senarai terbaru 400 individu terkaya di AS yang diterbitkan majalah Forbes kelmarin menunjukkan anggaran kekayaan Gates, 54, meningkat AS$4 bilion (RM12.4 bilion) daripada tahun lalu.
Paras minimum kekayaan untuk seseorang individu menyertai senarai 400 orang kaya itu pada tahun ini kembali kepada syarat AS$1 bilion (RM3.1 bilion) berbanding hanya AS$950 juta (RM2.9 bilion) yang ditetapkan untuk tahun lalu.
Berada di tempat kedua ialah pelabur Warren Buffett yang mempunyai anggaran kekayaan berjumlah AS$45 bilion (RM139.29 bilion) meningkat sebanyak AS$5 bilion (RM15.47 bilion).
Pengasas Oracle yang merupakan pengasas syarikat perisian komputer, Larry Ellison berada di tangga ketiga dengan anggaran kekayaan AS$27 bilion (RM83.57 bilion).
Pewaris rangkaian pasar raya Walmart, Christy Walton menduduki tempat keempat dengan anggaran kekayaan AS$24 bilion (RM74.29 bilion). - Reuters

AS hukum penjara 86 tahun saintis Pakistan


24/09/2010 3:07am

NEW YORK 24 Sept. - Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 86 tahun terhadap seorang saintis warga Pakistan, Aafia Siddiqui atas dakwaan merancang pembunuhan tentera AS di Afghanistan.
“Saya menjatuhkan hukuman penjara selama 86 tahun terhadap Dr. Siddiqui di atas kesalahan yang dilakukannya itu,” kata hakim mahkamah itu, Richard Berman.
Siddiqui berusia 36 tahun mengecam hukuman yang dikenakan ke atasnya itu tetapi enggan membuat rayuan.
“Saya tidak akan membuang masa untuk membuat rayuan. Saya hanya akan merayu dan memohon pengampunan kepada Tuhan,” katanya. - AFP