Pages

Monday, July 11, 2011

Terkejut lihat anak bergari, tak sedar diri


ZAINUN menunjukkan gambar  Mohd Azizul ketika ditemui di rumahnya di Kuala Terengganu, semalam.
ZAINUN menunjukkan gambar Mohd Azizul ketika ditemui di rumahnya di Kuala Terengganu, semalam.


Ibu persoal sebab kematian Azizul

KUALA TERENGGANU: “Hanya Allah yang tahu sedihnya perasaan apabila melihat Mohd Azizul tidak sedarkan diri dalam keadaan bergari ketika ditahan di lokap Balai Polis Gong Badak, bersama abangnya pada malam Rabu lalu.

“Saya juga kecewa apabila bertanya kepada anggota polis bertugas mengapa anak saya begitu, tetapi dijawab anak saya hanya berpura-pura tidak sedarkan diri dan akan sedar setengah jam lagi,” kata Zainun Mamat, 52, dari Kampung Tuan Mandak, Batu Enam di sini, semalam.
Zainun yang juga suri rumah, mempertikaikan kelewatan polis menghantar anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hingga menyebabkan kematian Mohd Azizul Muda, 24, yang didakwa meninggal dunia kerana kecederaan akibat jatuh motosikal di Taman Semarak.
Beliau berkata, Allahyarham dan abangnya, Mohd Suhaimi, 38, keluar menaiki motosikal ke kedai makan di Taman Semarak, untuk menikmati roti canai selepas menonton siaran langsung perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dengan Taiwan jam 11.30 malam Rabu lalu.

Katanya, kira-kira setengah jam kemudian, dia menerima panggilan telefon daripada rakan anaknya supaya datang ke Balai Polis Gong Badak kerana dua anak lelakinya itu ditahan polis dan Mohd Azizul cedera di kepala kerana dikatakan jatuh motosikal.

“Saya lihat Mohd Azizul kritikal akibat kecederaan di kepala, malah saya juga tidak mengetahui punca sebenar dia dan abangnya ditahan polis. Selepas berbincang dengan anggota polis di situ, seorang daripadanya memberi jaminan Mohd Azizul akan pulih dan saya diminta pulang tidak lama selepas itu,” katanya.

Zainun berkata, dia datang semula ke balai polis itu kira-kira jam 9 pagi keesokannya untuk melihat keadaan anaknya, tetapi terkejut apabila mendapat tahu Mohd Azizul sudah dihantar ke HSNZ pagi itu tanpa pengetahuannya.
“Saya bergegas ke HSNZ dan terkejut apabila mendapati kepala anak sudah dibedah dan doktor memaklumkan Mohd Azizul meninggal akibat terjatuh motosikal. Saya hairan kerana sebelum ini anggota polis memberi jaminan anak saya tiada sebarang masalah.

“Saya kesal kerana permintaan supaya Mohd Azizul dibawa ke hospital tidak diendahkan polis, sebaliknya berbuat demikian apabila dia sudah nazak dan ini menimbulkan keraguan berhubung punca kematiannya,” katanya.

Zainun berkata, keluarganya bercadang melantik peguam untuk mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya dan mengambil tindakan lanjut. Berita Harian Online | Terkejut lihat anak bergari, tak sedar diri

Nasib malang si kudung

NEW YORK: Seorang bekas askar Amerika yang kudung kedua-dua kaki ketika bertugas di Iraq dan baru memulakan hidup baru, terbunuh akibat terjatuh dari permainan roller coaster di sebuah taman hiburan, kelmarin.

Sekumpulan penyiasat mula memeriksa permainan yang dikenali sebagai Ride of Steel di Taman Tema Darien Lake, 90 kilometer dari Buffalo.


Sarjan James Thomas Hackemer, 29, berhibur bersama keluarganya pada Sabtu lalu apabila tiba-tiba terpelanting keluar ketika tren roller coaster itu berada di ketinggian 63 meter. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh taman hiburan itu, pengurus besarnya, Chris Thorpe, berkata mereka sedih dengan kejadian yang berlaku dan akan memberi kerjasama dalam penyiasatan polis.

Hackemer kehilangan kaki kiri dan sebahagian besar kaki kanannya kerana nahas ledakan bom tepi jalan. Dia baru saja pulang ke rumah ibu bapanya di Gowanda setelah menjalani terapi di hospital.


Ketika kejadian, mangsa ditemani ahli keluarganya, termasuk kakaknya, Jody. - AP

myMetro | Nasib malang si kudung

2 aktivis kemanusiaan pro-Palestin diusir dari Israel

BAITULMAQDIS: Tel Aviv mengusir dua aktivis semalam, tetapi 118 lagi masih dalam tahanan selepas mereka cuba memasuki ruang udara Israel sebagai sebahagian daripada protes menyokong Palestin, kata pegawai kerajaan, semalam.

Jurucakap Jabatan Imigresen Israel, Sabine Hadad, berkata aktivis itu berasal dari Belgium.


Mengenai nasib 118 aktivis lain, Sabine berkata, kerajaan berharap mereka dapat dihantar pulang dalam tempoh 48 jam lagi.

“Ia bergantung kepada ruang yang ada dalam pesawat berlepas dari Israel,” katanya.


Ketika ini, kata Sabine, sebahagian aktivis itu ditahan di Penjara Ela di Beersheva di selatan Israel, manakala selebihnya di Penjara Guivon di Ramleh, berhampiran Tel Aviv.


Kebanyakan mereka terdiri daripada warga Perancis dan selebihnya dari Amerika Syarikat, Belgium, Bulgaria, Belanda dan Sepanyol.

Mereka ditahan ketika menyertai kempen “Selamat Datang Ke Palestin” yang sepatutnya disertai 800 aktivis untuk menggunakan laluan udara ke Israel sebelum melawat Palestin secara aman.


Bagi menghadapi kempen itu, Israel menggerakkan saluran diplomatik dan keselamatan bagi menghalang kedatangan aktivis terbabit. - AFP

myMetro | 2 aktivis kemanusiaan pro-Palestin diusir dari Israel

Wartawan al-Jazeera diugut kerana lapor pergolakan Arab

DOHA: Stesen berita al-Jazeera semalam mengecam kempen mengugut wartawannya kerana memberikan laporan terhadap kebangkitan rakyat di dunia Arab.

Stesen itu berkata, penyampai mereka menjadi sasaran kempen itu dengan sesetengah kes membabitkan ancaman keselamatan diri dan keluarga mereka.


“Kempen itu disasarkan untuk mempengaruhi liputan mengenai kebangkitan dan protes rakyat yang berlaku di negara Arab.

“Al-Jazeera tahu sumber ancaman ini yang membuktikan mereka kini bankrap moral,” kata kenyataan dikeluarkan semalam.


Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menamakan sumber berkenaan, tetapi bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.


Bagaimanapun, sumber berkata, gangguan itu berasal dari Syria. - AFP

myMetro | Wartawan al-Jazeera diugut kerana lapor pergolakan Arab

Pemberontak Libya mara ke kubu kuat penyokong Gaddafi

BENGHAZI: Pejuang pemberontak Iraq mara ke kubu kuat penyokong kerajaan di Zliten semalam walaupun seorang daripada ahli mereka terbunuh dan 32 lagi cedera akibat terkena jerangkap samar.

Kenyataan pemberontak mendakwa, mereka bergerak ke Barat dari Misrata apabila terkena jerangkap samar dipasang penyokong Muammar Gaddafi yang berundur.


“Seorang pejuang kami syahid dan 32 lagi cedera di kawasan Suq al-Thulatha,” kata kenyataan itu.

Zliten dianggap satu daripada kubu kuat penyokong Gaddafi dan berada di laluan penting untuk pemberontak mara dari Misrata ke Tripoli. - AFP

myMetro | Pemberontak Libya mara ke kubu kuat penyokong Gaddafi

Sadr angkat senjata jika tentera Amerika kekal di Iraq

BAGHDAD: Pergerakan Sadr - kumpulan berfahaman Syiah - berkata, mereka sedia menggalas senjata jika Washington gagal menunaikan janji untuk mengundurkan tenteranya dari Iraq menjelang 31 Disember tahun ini.

Jurucakap kumpulan itu, Salah al-Obeidi, berkata mereka akan sedaya upaya mengusir tentera AS, sama ada melalui protes atau menggunakan senjata.


Katanya, pemimpin kumpulan itu, Moqtada al-Sadr, berjanji mereka sama sekali tidak akan mengetepikan senjata jika tentera AS masih berada di Iraq selepas 2011.

“Jika tentera AS kekal di Iraq, kami akan melakukan apa yang terdaya untuk mendesak mereka keluar atau menambah bilangan pejuang bagi membunuh mereka,” katanya.


Washington dilaporkan memberi tawaran kepada Baghdad untuk mengekalkan 10,000 tentera AS di Iraq sekurang-kurangnya setahun lagi.


Selasa lalu, 100 ahli Parlimen Iraq menandatangani petisyen mendesak supaya kerajaan menolak cadangan itu. - PT

myMetro | Sadr angkat senjata jika tentera Amerika kekal di Iraq

Turki enggan berdamai: Lieberman

BAITULMAQDIS: Turki menutup pintu untuk berbaik-baik semula dengan Israel apabila bertegas menuntut kepungan ke atas Gaza dihentikan, selain meminta maaf kerana menyerbu dan membunuh rakyatnya yang menyertai misi flotilla pertama dulu, kata diplomat rejim Zionis itu, semalam.

Menteri Luar, Avigdor Lieberman, berkata berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, negara itu enggan bekerjasama, berdamai atau memulihkan hubungan kedua-dua negara, sebaliknya hanya memalukan Israel.


“Saya terkejut apabila beliau tidak turut menuntut Israel menetapkan semula usia persaraan wanita di negara ini,” katanya menyindir.

Dalam ucapan Recep di Parlimen Jumaat lalu, beliau mengulangi tuntutan Turki supaya Israel meminta maaf atas tindakan komando negara itu menyerbu kapal Mavi Marmara yang berlayar untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza tahun lalu.


Dalam serbuan itu, lapan warga Turki terbunuh.


Mendakwa tindakan itu bersifat mempertahankan diri, Israel bersetuju membayar pampasan kepada Turki tetapi tetap enggan meminta maaf.

Kata Lieberman, Recep tidak berminat mengembalikan tahap hubungan kedua-dua negara seperti sebelum ini.


“Dia menutup pintunya,” katanya.

Lieberman berkata, Israel tidak bercadang mengambil tindakan selain daripada sekadar menyatakan “kesal” atas insiden itu.


Sementara itu, seorang pegawai Israel mendakwa, rundingan dengan Turki akan diteruskan menjelang penerbitan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai insiden Mavi Marmara yang diyakini Tel Aviv akan menyalahkan mereka.


- Reuters

myMetro | Turki enggan berdamai: Lieberman

Bekas pelajar agama khalwat di masjid

SULAWESI BARAT: Sepasang kekasih yang sedang asyik berasmara, nyaris dipukul oleh orang ramai kerana berkelakuan tidak senonoh di dalam bilik air di sebuah masjid di Polewali Mandar, Khamis lepas.

Mereka ditangkap oleh seorang petugas masjid yang mahu masuk ke bilik air. Pasangan berkenaan ditemui dalam keadaan separuh bogel.

Berita tentang pasangan tersebut terus tersebar dan menyebabkan kemarahan di kalangan masyarakat setempat.

Mereka terus mengerumuni pasangan itu di perkarangan masjid. Mujur ada sekumpulan orang yang dapat meredakan kemarahan masyarakat dan menyelamatkan pasangan tersebut.


Lebih memalukan lagi, pasangan itu adalah bekas sebuah sekolah agama yang terkenal di daerah itu.

Untuk mengelakkan kemarahan orang ramai yang kesal dengan kejadian itu, pasangan tersebut terus dibawa ke markas polis daerah Wonomulyo. Mereka ditahan sehingga ibu bapa masing-masing datang menjemput mereka di balai polis - Kompas

myMetro | Bekas pelajar agama khalwat di masjid

46 tahun bawa mayat kembar

SULAWESI: Selama 46 tahun, seorang petani dari daerah Pangkep di Sulawesi Selatan membawa kembar siamnya yang sudah meninggal dunia di dalam perutnya.

Lukman Labbi, 46, bapa kepada tujuh orang anak, terlantar di bilik pengasingan Hospital Daerah Pangkep kerana mengalami jangkitan serius.

Perutnya kini membengkak akibat kanser di bahagian sambungan antara anggota tubuh kembarnya yang telah mati itu dengan perutnya.

Doktor yang merawat Lukman berkata, kes itu baru diketahui apabila doktor menemui kembar siam itu apabila mereka melakukan pemeriksaan.


“Saya memang dilahirkan sebagai kembar siam tetapi kembar saya tidak sempurna dan telah meninggal dunia sejak kecil. Hanya saya dan beberapa ahli keluarga saja yang tahu mengenai keadaan ini,” katanya.


Menurut doktor, mereka tidak tahu tentang kes Lukman kerana lelaki itu tidak pernah datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pengarah Hospital, Frans Demanaba mengatakan, sambungan sel-sel kembar siam Lukman yang sudah mati atau sudah lama tidak berfungsi itu yang telah menyebabkan kanser.

Menurut Frans, pihak hospital tidak mampu merawat Lukman kerana peralatan perubatan mereka, terbatas.

“Kalau mengikut prosedur, pesakit mesti dirujuk ke hospital di Makassar kerana hospital itu mempunyai peralatan perubatan yang lengkap tetapi keluarganya belum bersedia untuk menghantar Lukman ke sana,” katanya.

Sekiranya kembar siam yang mati itu tidak dibuang, ia akan menyebabkan sel kanser menyerang dan merebak ke seluruh tubuh Lukman dan dia boleh mati.
Menurut isterinya Mantasia, dia hanya tahu tentang penyakit suaminya itu apabila dia mengadu sakit bulan lepas - Kompas

myMetro | 46 tahun bawa mayat kembar

Bunuh kucing dalam ketuhar

LONDON: Beberapa jam selepas dihalau dari sebuah parti, seorang wanita didakwa menangkap dan membunuh anak kucing jirannya dengan meletak haiwan berkenaan dalam ketuhar gelombang mikro.

Gina Robins, 30, dituduh melakukan penderaan dan kini diikat jamin sebelum kesnya dibicarakan pada Ogos depan.

Bagaimanapun Gina mengaku tidak bersalah di depan majistret di Torquay, Devon, semalam.

Sebelum ini, saksi berkata, pemilik anak kucing itu terkejut melihat haiwan peliharaannya berkecai dalam ketuhar Gina.


Kes itu dirujuk kepada pertubuhan kebajikan haiwan sebelum aduan rasmi dikemukakan kepada pihak berkuasa.


Menurut saksi, pemilik anak kucing itu memelihara dengan baik kira-kira 20 ekor kucing di rumahnya. - TS

myMetro | Bunuh kucing dalam ketuhar

Budak magnet curi tumpuan

SAO PAULO: Kemampuan seorang budak meletakkan besi ke badannya menarik perhatian orang ramai di Mossoro, timur laut Brazil.

Laporan Globo TV menyatakan, Paulo David Amorim, 11, seolah-olah manusia magnet apabila pelbagai objek, termasuk garfu, pisau, gunting, kuali dan kamera melekat ke badannya.


Bapa Amorim berkata, dia mula menguji kebolehan anaknya selepas mengetahui ada budak lain di Croatia memiliki kemampuan sama.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati garfu dan pisau melekat ke tubuh Amorim.


Disebabkan kelebihannya itu, Amorim mendapat gelaran “budak magnet” di sekolahnya. - AP

myMetro | Budak magnet curi tumpuan

Bekas banduan rancang bunuh Obama


GANAS... McVay dibawa masuk ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan membunuh, semalam.
GANAS... McVay dibawa masuk ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan membunuh, semalam.

PIERRE (Dakota Selatan): Seorang lelaki yang didakwa membunuh seorang wanita warga emas dikatakan turut merancang menamatkan riwayat Presiden Amerika Syarikat.
Menurut pendakwa, James McVay menyusun rancangan melakukan pembunuhan ke atas beberapa orang, termasuk presiden dan polis.

Berdasarkan pertuduhan, bekas banduan itu berkata, dia akan “membunuh dan membunuh sehingga saya mendapatkan dia” yang merujuk kepada presiden.
Pendakwa berkata, McVay bercadang pergi ke Chicago atau Indianapolis untuk melakukan pembunuhan seterusnya sebelum mencuri kenderaan dan memandu ke Washington.

Apabila tiba di Washington, McVay akan melepaskan tembakan ke arah Barack Obama menggunakan raifal.

McVay, 41, semalam dibicarakan atas tuduhan membunuh Maybelle Schein, 75, ketika mangsa tidur.
Tertuduh dikatakan mengelar leher Maybelle menggunakan pisau perkhemahan di rumah mangsa di Sioux Falls.

McVay kemudian melarikan kereta Maybelle ke Madison sebelum bercadang menyerang dan membunuh seorang anggota polis bagi mendapatkan senjata apinya.
Tertuduh mengaku mula merancang siri pembunuhan itu dua tahun lalu ketika dia masih meringkuk dalam penjara di Dakota Selatan.

Beberapa jam selepas meninggalkan program peralihan komuniti pada 30 Jun lalu, McVay berjalan ke pasar raya untuk mencuri pakaian serta pisau.

Dia kemudian memecah masuk ke rumah Maybelle dan membunuhnya kerana ternampak ada kenderaan di garaj rumah mangsa.

Pendakwa berkata, McVay akan membunuh sesiapa saja setiap kali ada peluang.

“Tertuduh perlu membasahkan tangannya dengan darah untuk membiasakan diri membunuh,” katanya.

McVay ditahan pada 2 Julai lalu di Madison, Wisconsin. - DMmyMetro | Bekas banduan rancang bunuh Obama

Akhbar 168 tahun ditutup


MYLER memegang naskhah keluaran terakhir News of the World.
MYLER memegang naskhah keluaran terakhir News of the World.


Penutupan News of the World akibat skandal berpanjangan

LONDON: Akhbar tabloid Britain, News of the World diterbitkan buat kali terakhir semalam, menamatkan sejarah selama 168 tahun berita eksklusif dan skandal dengan muka depannya semalam tertulis ‘Thank You and Goodbye’ (Terima Kasih dan Selamat Tinggal).

Dalam ruangan lidah pengarang satu muka penuh, akhbar mingguan yang mendapat jualan tertinggi di Britain itu memohon maaf kepada pembacanya kerana skandal berpanjangan membabitkan pencerobohan telefon yang menyebabkan penutupannya, dengan mengatakan: Amat mudah, kami hilang cara kami.”
Namun pertelingkahan itu masih belum berakhir, dan ketika pemiliknya Rupert Murdoch menuju ke London untuk bertindak sendiri terhadap krisis itu, dilaporkan bahawa polis tidak lama lagi akan menyoal siasat eksekutif tertinggi British, Rebekah Brooks.
Selepas satu hari penuh emosi menyiapkan edisi terakhir pada Sabtu, pengarah News of the World, Colin Myler mengetuai kakitangannya keluar dari pejabat beliau di Wapping, timur London buat kali terakhir.

“Saya ingin memberi penghormatan kepada kumpulan terbaik di sini yang selepas berhadapan dengan satu hari yang amat sukar, melahirkan satu cara yang penuh profesional sebuah akhbar terbaik,” kata Myler kepada pemberitanya di luar.

Lebih 200 kakitangan kini berhadapan dengan nasib yang belum tentu dan ketika kenyataan Myler itu disambut dengan sorakan ada di antara mereka yang mengalirkan air mata.

Beliau memegang muka depan terakhir, satu montaj beberapa berita terbaik akhbar itu dan satu mesej yang menyebut: “Selepas 168 tahun, kami akhirnya menyatakan dengan sedih tetapi penuh bangga selamat tinggal kepada 7.5 juta pembaca setia kami.”
“Seperti saya katakan kepada kakitangan saya pagi ini, ini bukanlah apa yang kami mahukan dan ia bukan apa yang sepatutnya kami terima, tetapi sebagai sumbangan terakhir kepada 7.5 juta pembaca ini adalah untuk anda dan kepada kakitangan kami, terima kasih,” kata Myler.

Di dalamnya, beliau menunjukkan kenangan terbaik akhbar itu di bawa kata-kata ‘Akhbar Dunia Terbaik – 1843-2011” daripada penyiasatan oleh ‘Fake Sheikh” hingga kepada sebuah kempen kontroversi menentang paedophiles.

Tetapi lidah pengarang akhbar itu itu mengakui bahawa selama beberapa tahun hingga 2006, beberapa kakitangannya terbabit dalam ‘perkara memalukan’ mengenai standard yang cuba mereka tegakkan.

“Telefon diceroboh dan untuk itu akhbar ini adalah cerita yang sebenar,” katanya.

Di sebalik kemarahan orang ramai terhadap pencerobohan telefon itu, penduduk Britain dijangka mendapatkan naskhah terakhir akhbar itu sebagai satu cenderahati. – AFP Berita Harian Online | Akhbar 168 tahun ditutup

Pentas Rihanna buat persembahan terbakar

API menjulang di pentas persembahan Rihanna di Pusat American Airlines di Dallas, Amerika Syarikat pada Jumaat lalu.


DALLAS, Amerika Syarikat (AS) – Konsert penyanyi terkenal Rihanna, terpaksa dibatalkan di sini akibat kebakaran di pentas persembahannya di sini kelmarin.

Pada awalnya, konsert itu bermula seperti biasa dengan kemunculan penyanyi wanita, Bajan dan beberapa penari lain.

Namun, sebaik sahaja cahaya lampu di atas pentas terbakar, ia menyebabkan penduduk di dalam Pusat American Airlines panik dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu.

Menurut laporan CBS Dallas-Fort Worth, kebakaran itu didapati bermula daripada bahan kimia yang digunakan menjadikan persembahan kelihatan berwarna-warni ketika Bajan membuat persembahan.

Apabila kru mula menyedari kejadian tersebut, Rihanna, 23, segera dibawa keluar dari pentas.

Kebakaran itu berlaku selama lima minit dan orang ramai menjerit.

Terdapat sebilangan peminat mengambil kesempatan merakamkan gambar kebakaran.

Para peminat yang duduk di bahagian hadapan pentas pula bergegas berlari ke arah pintu keluar.

Anggota-anggota Jabatan Bomba Dallas tiba untuk memadamkan kebakaran itu.

Menurut seorang pegawai bomba, Johnny Bates, tiada masalah serius yang berlaku ekoran kebakaran itu. – Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Melacur dalam rumah teres


ANGGOTA polis (kanan) memeriksa dokumen salah seorang pelacur yang ditahan di Johor Bahru kelmarin.


JOHOR BAHRU – Taktik satu sindiket pelacuran menggunakan sebuah rumah teres dua tingkat untuk melakukan aktiviti persundalan terbongkar apabila diserbu di Taman Setia Indah di sini pukul 11.30 malam kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis menahan empat pelacur Thailand berusia di antara 20 dan 31 tahun selepas disyaki melakukan kegiatan tidak bermoral tersebut bersama tiga lagi lelaki tempatan.

Difahamkan, ketika serbuan, salah seorang pelacur tersebut tidak sempat mengenakan pakaian dan meninggalkan coli yang dipakai di sudut bilik.

Pegawai Turus Perjudian, Maksiat dan Gangsterisme (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Deputi Supritendan Mohamad Abdul Hamid berkata, sindiket hanya membenarkan orang yang dikenali untuk memasuki premis dengan menggunakan kod khas.

“Siasatan awal mendapati pelanggan dikenakan bayaran di antara RM150 dan RM400 untuk sekali perkhidmatan. Premis diserbu selepas kita menjalankan risikan sejak beberapa hari lalu.

“Pelacur didapati menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke negara ini,” katanya yang percaya sindiket itu aktif sejak dua bulan lalu.

Kosmo! Online - Negara

Pemuda kecewa saman bekas tunang


NIK MUSTAFA (dua dari kiri) bersama peguamnya, Mohd. Ridzuan berbincang sesuatu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Angkara cinta kekasihnya beralih arah seminggu sebelum tarikh bernikah, seorang juruteknik tekad memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak kira-kira RM320,000 terhadap bekas tunangnya itu di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Nik Mustafa Nik Daud, 30, dari Kampung Jedok Tua, Tanah Merah dekat ini selaku plaintif memfailkan writ saman tersebut menerusi peguamnya, Mohd. Ridzuan Muhamad di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Nik Mustafa menamakan bekas tunangnya Azlina Mohamed, 27, yang juga dari kampung yang sama sebagai defendan.

Plaintif yang bertugas di sebuah kilang di Bangi, Selangor mendakwa ekoran tindakan bekas tunangnya yang bekerja sebagai penolong pengurus sebuah restoran makanan segera di Serdang itu menyebabkan pretasi kerjanya terjejas sehingga plaintif mendapat cuti sakit selama empat hari.

Mengikut pernyataan tuntutan, Nik Mustafa dan Azlina telah mengikat tali pertunangan pada 1 Mei 2011 atas dasar cinta suka sama suka.

Rentetan itu, plaintif dan defendan telah bersetuju untuk melangsungkan pernikahan pada 8 Jun lalu.

Berikutan itu, plaintif membuat semua persiapan kenduri seperti menyediakan perkakas kenduri, membeli seekor lembu, menempah ayam dan jurukamera.

Plaintif juga mendakwa telah menempah kad jemputan perkahwinan kepada 1,000 tetamu dan kenduri kahwin di rumah plaintif dijadual akan berlangsung pada 10 Jun.

Bagi melancarkan majlis perkahwinan, plaintif turut menghadiri kursus kahwin, membeli barangan hantaran, mengisi borang perkahwinan dan membeli dua bentuk cincin perkahwinan berharga RM3,000.

Kosmo! Online - Negara

Jari bayi rosak satu demi satu




ISMAIL Lee memangku Nur Ayreen yang menderita kerosakan tisu jari.


MACHANG – Hati ibu bapa mana tidak luluh dan kecewa apabila jari tangan kiri anak kesayangan yang dilahirkan sempurna tiba-tiba mengalami kerosakan satu demi satu berpunca daripada kelalaian orang lain.

Bagi Ismail Lee Abdullah dan isterinya, Zuhariana Baharum, kedua-duanya, 30, masalah tersebut sangat merisaukan apatah lagi apabila memikirkan bahawa anak mereka akan membesar tidak seperti kanak-kanak lain.

Dakwa mereka, jari dan tangan kiri Nur Ayreen Imanie, 6 bulan, tiba-tiba menjadi hitam dan mengecut selepas tiga minggu anaknya itu menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu kerana mengalami masalah pernafasan pada Mac lalu.

Ismail berkata, pada mulanya tangan kiri anaknya berubah menjadi hitam dan kebiru-biruan dari paras siku hingga ke jari.

Beliau kemudian terus merujuk anaknya itu ke HRPZ II sekali lagi sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan selanjutnya.

Menurutnya, ketika di HRPZ II, doktor menjalankan ujian imbasan dan mengesahkan terdapat saluran darah tersumbat pada bahagian bekas suntikan.

Bayi itu kemudian diberikan ubat pencair darah bagi mengatasi masalah tersebut namun tidak berkesan.

Menurutnya, setakat ini tiga batang jari tangan kiri sudah tanggal dan hilang akibat masalah tersebut manakala dua lagi batang jari sedang menghadapi masalah yang sama.

Kosmo! Online - Negara

70 isteri wakil rakyat keracunan makanan


A. RAHMAN melawat Toh Puan Safiah @ Salamah Ahmad Zain isteri kepada bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Ahmad Sidi Ismail yang dirawat di HSNZ, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Lebih 70 orang isteri wakil rakyat yang terbabit dalam Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 di sini kelmarin, mengalami keracunan makanan.

Kejadian mula disedari kira-kira puku1 1 pagi apabila beberapa mangsa mula muntah-muntah dan cirit-birit sebelum mereka dirujuk kepada petugas di klinik statik hotel penginapan iaitu Primula dan Permai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 17 mangsa terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Bagaimanapun, hanya 15 yang ditahan di wad kerana simpton yang dialami mereka lebih serius namun, keadaan mereka stabil dan tidak membimbangkan,” katanya yang ditemui ketika melawat mangsa di HSNZ semalam.

Menurut A. Rahman, punca kejadian masih disiasat namun, beliau tidak menolak ia mungkin berpunca daripada makanan yang dihidangkan dalam satu majlis makan malam sebelum itu.

Kosmo! Online - Negara

Fesyen guna model terlalu kurus dikritik

SEORANG wanita terlalu kurus digunakan sebagai model dalam laman web jenama pakaian Topshop.com.


LOS ANGELES - Jenama fesyen Topshop dikecam apabila ia menggunakan seorang model wanita yang mempunyai bentuk badan terlalu kurus di laman webnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Wajah model muda yang kelihatan pucat itu memakai pakaian bersaiz kecil.

Imej yang dipaparkan menimbulkan bantahan dalam kalangan penghidap anoreksia.

Salah seorang ahli sebuah persatuan kebajikan anoreksia, Halen Davies memberitahu: "Gadis-gadis yang melihat gambar model berbadan kurus ini menyatakan dia cantik tetapi sebenarnya tidak. Imej itu bukan yang kita mahu lihat di dalam majalah dan internet.

"Topshop perlu bertanggungjawab dan perlu menggunakan model yang sihat," jelasnya. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Ibu lahir bayi 7.3kg

BAYI yang dilahirkan Janet Johnson seberat 7.3 kilogram di sebuah hospital di Longview, Texas pada Jumaat lalu.


DALLAS, Amerika Syarikat - Seorang ibu, Janet Johnson melahirkan anak lelaki menerusi pembedahan yang seberat 7.3 kilogram (kg) di sebuah hospital di Longview, Texas, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Beberapa pegawai berkata, bayi itu mungkin yang paling berat pernah dilahirkan di negeri Texas.

Ibunya tidak pernah menjangka anaknya itu terlalu berat semasa dilahirkan kerana doktor pernah memberitahu mengenai bayinya mungkin seberat 5.4kg.

Bayi yang dilahirkan pada Jumaat lalu itu merupakan anak keempat pasangan itu.

Janet sebelum ini mempunyai tiga anak perempuan berusia 18 tahun, 16 tahun dan 10 tahun.

Dia menghidap diabetes semasa melahirkan anak lelaki itu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Beruang jantan sesat cari teman hidup

BERUANG itu jatuh ke atas jaring yang dipegang oleh beberapa pegawai hidupan liar.


NEW YORK - Seekor beruang jantan yang duduk di atas pokok ditembak dengan ubat pelali oleh seorang pegawai hidupan liar selepas haiwan itu sesat kerana mencari beruang betina di sebuah taman di East Brunswick, New Jersey.

Selepas ditembak, beruang itu jatuh ke atas jaring yang dipegang oleh beberapa pegawai hidupan liar di bawah pokok dalam kejadian yang berlaku pada 6 Julai lalu.

Beruang itu sebelum ini pernah ditemui di enam buah pekan pada tahun lalu selepas dibebaskan oleh para pegawai hidupan liar ke hutan simpan.

Seorang pakar hidupan liar, Kim Tinnes berkata, beruang itu mungkin berjalan lebih 160.93 kilometer.

Pakar-pakar percaya haiwan berusia tiga tahun itu mahu mencari beruang betina kerana ia gagal mengatasi kehebatan memikat beruang jantan lain yang mempunyai badan jauh lebih besar. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Katy Perry beli rumah RM19.27j

BEBERAPA gambar yang menunjukkan bahagian dalam dan landskap rumah baharu milik Katy Perry dan suaminya.


NEW YORK - Pasangan selebriti terkenal, Katy Perry dan suaminya yang merupakan seorang pelawak dari Britain, Russell Brand membeli rumah baru di Los Angeles, yang berharga £4 juta (RM19.27 juta), lapor akhbar News of The World semalam.

Menurut satu sember, pasangan itu mahu membeli sebuah rumah yang lebih besar kerana meraka merancang untuk mendapatkan anak.

Pada awal tahun ini, Perry yang merupakan seorang penyanyi terkenal menyatakan dia mahu memperoleh anak.

Russell juga pernah menyatakan bahawa dia juga berharap akan dapat menjadi bapa dalam tempoh yang singkat. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Penunjuk perasaan halang akses ke pejabat Mesir

SEBAHAGIAN penunjuk perasaan menghalang laluan ke pintu masuk ke sebuah bangunan pemerintah di Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir semalam.


KAHERAH - Sejumlah penunjuk perasaan membuat halangan di pintu masuk ke pejabat pemerintah Mesir di sini semalam.

Para penunjuk perasaan itu mengancam untuk melanjutkan lagi tempoh halangan tersebut jika pihak berkuasa gagal untuk mempercepatkan proses pembaharuan.

Antara proses pembaharuan yang dituntut daripada pemerintahan ialah mempercepatkan siasatan ke atas penyalahgunaan kuasa yang dilakukan anggota-anggota pihak berkuasa semasa tunjuk perasaan menentang pemerintahan Presiden Hosni Mubarak pada Febraurai lalu.

Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu selepas penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir di sini selama 18 hari bagi menuntut peletakan jawatannya.

Kumpulan tunjuk perasaan itu mahu keadilan selepas hampir 900 orang terbunuh oleh anggota keselamatan dalam tunjuk perasaan menuntut hosni meletakkan jawatan.

Mereka juga menuntut tokoh-tokoh dalam pentadbiran Hosni yang melakukan rasuah dibicarakan dengan segera.

Para penunjuk perasaan itu membuat sekatan di laluan masuk ke pusat pentadbiran utama dekat dengan Dataran Tahrir.

Mereka juga menyebabkan laluan trafik terjejas dan mengancam untuk duduk di bangunan Kementerian Dalam Negeri dan stesen televisyen milik pemerintah jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Pada Jumaat lalu, mereka melakukan tunjuk perasaan di Kaherah dan beberapa bandar di seluruh Mesir bagi membantah apa yang dilihat sebagai proses perlahan oleh tentera untuk membersihkan institusi pentadbiran daripada sekutu Hosni. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia