Pages

Saturday, December 3, 2011

Kajang banjir besar!

TERENDAM...parkir pusat beli-belah dilanda banjir menyebabkan banyak kenderaan tenggelam.
TERENDAM...parkir pusat beli-belah dilanda banjir menyebabkan banyak kenderaan tenggelam.
TOLAK...seorang drebar cuba menyelamatkan teksinya.
TOLAK...seorang drebar cuba menyelamatkan teksinya.

KAJANG: Bandar Kajang lumpuh apabila ditenggelami air melebihi satu meter menyebabkan puluhan kenderaan tenggelam dan premis perniagaan dimasuki air selepas hujan lebat selama dua jam bermula jam 2.30 petang semalam.

Selain beberapa jalan utama di pusat bandar, beberapa kawasan penempatan turut ditenggelami air yang dikatakan melanda secara mendadak bermula jam 3.30 petang menyebabkan sembilan penduduk Kampung Jalan Kelapa terpaksa dipindahkan. Antara kawasan lain yang turut terbabit Jalan Bukit, Jalan Reko, Jalan Semenyih, Jalan Kampung Sungai Kantan dan Jalan Sungai Jelok.


Berpuluh kenderaan yang diletakkan di ruang meletak kereta di tepi jalan dan di dalam kompleks beli-belah, Metro Kajang dilaporkan tenggelam, malah air turut masuk ke aras bawah kompleks itu menyebabkan peniaga serta orang ramai kelam kabut. Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan kira - kira jam 3.51 petang dan 20 anggota dari Balai Bomba Kajang dan Cheras digerakkan ke lokasi kejadian.

“Lima orang termasuk tiga warga emas yang terperangkap di dalam rumah di Kampung Sungai Kantan berjaya dikeluarkan manakala empat orang lagi termasuk dua wanita diselamatkan di kawasan Kampung Jalan Kelapa.


“Usaha menyelamatkan mangsa dilancarkan di tiga kawasan utama yang dinaiki air sehingga ke paras dada iaitu Kampung Sungai Kantan, Kampung Jalan Kelapa dan Pasar Kajang,” katanya ketika dihubungi.


Katanya, berdasarkan maklumat penduduk Kampung Jalan Kelapa, kejadian banjir semalam terburuk sejak 40 tahun lalu di mana 12 buah rumah di situ tenggelam sepenuhnya.

myMetro | Kajang banjir besar!:

'via Blog this'

39 kilang peralatan kenderaan di Thailand henti operasi

BANGKOK: Sejumlah 39 pengilang peralatan kenderaan di kawasan perindustrian utama negara ini mengumumkan akan menghentikan operasi menyebabkan 10,957 orang hilang pekerjaan, kata Menteri Buruh, Padermchai Sasomsap, semalam.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana pekerja terbabit tidak akan dibiarkan dan akan mendapat ganti rugi sekiranya mereka hilang pekerjaan. Kementerian juga mempunyai lebih 100,000 peluang pekerjaan untuk mereka,” katanya.


Menurutnya, kementerian juga sudah memeterai perjanjian dengan pengilang di kawasan perindustrian yang terjejas akibat banjir bahawa mereka tidak boleh membuang pekerja jika ingin bantuan daripada kerajaan

myMetro | 39 kilang peralatan kenderaan di Thailand henti operasi:

'via Blog this'

AS jual bom pemusnah kubu kepada UAE

WASHINGTON: Pentadbiran Obama mencadangkan untuk menjual 600 bom pemusnah kubu dan senjata lain kepada Emiriah Arab Bersatu ((UAE) yang terletak di seberang Teluk berdepan dengan Iran, bagi menghalang apa yang disifatkannya sebagai ancaman serantau.

Iran disyaki berusaha menghasilkan senjata nuklear menerusi program yang Teheran dakwa bertujuan untuk menjana kuasa.


Jualan bernilai AS$304 juta (RM912 juta ) itu akan meningkatkan keupayaan UAE bagi menghadapi ancaman ketika ini dan masa depan, kata Agensi Kerjasama Keselamatan di Pentagon dalam nota kepada anggota Kongres.

Bom BLU-109 atau bom pemusnah kubu ialah senjata seberat 900 kilogram yang direka untuk memusnahkan pusat kawalan bawah tanah musuh dan depoh senjata serta sasaran kebal yang lain. - AFP

myMetro | AS jual bom pemusnah kubu kepada UAE:

'via Blog this'

Putus hubungan dengan Iran

WASHINGTON: Seorang pemimpin pembangkang Syria berkata, pihaknya akan memutuskan hubungan negara itu dengan Iran, Hizbullah dan Hamas, jika berkuasa.

Presiden Majlis Kebangsaan Syria, Burhan Ghalioun berkata demikian dalam satu wawancara dengan Wall Street Journal, semalam, lapan bulan selepas kebangkitan rakyat negara itu terhadap kerajaan Presiden Bashar al-Assad. Tindakan itu akan menyebabkan tentera Iran kehilangan sekutu penting yang dipercayai memainkan peranan utama dalam membekalkan senjata kepada Hizbullah di Lubnan dan Hamas di Palestin, sekali gus berpotensi untuk membawa kepada perubahan dramatik perimbangan kuasa serantau.


“Tidak akan ada hubungan istimewa dengan Iran,” kata Nurhan, 66, profesor sebuah universiti, dalam wawancara yang diadakan di kediamannya di Paris.

“Memutuskan hubungan istimewa bermakna memutuskan pakatan strategik dan ketenteraan. Selepas kejatuhan rejim Syria, Hizbullah tidak akan sama seperti yang ada sekarang,” katanya.


Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan sokongan kepada pemberontak, termasuk menguatkuasakan zon larangan terbang.


“Matlamat kami ialah mencari mekanisme untuk melindungi orang awam dan menghentikan jentera pembunuhan. “Bagi kami, adalah penting untuk menggunakan kekerasan bagi memaksa rejim itu menghormati hak asasi kemanusiaan,” kata Burhan.

Pemberontak berkemungkinan gagal dalam usaha mereka untuk menggulingkan Bashar tetapi tindakan menjauhkannya daripada Iran dan mendekatkannya kepada Barat akan mempunyai kesan amat besar di seluruh rantau itu.


Burhan juga berkata, Syria yang ditadbir oleh pembangkang akan komited untuk mendapatkan balik Bukit Golan yang ditawan oleh Israel pada 1967 tetapi akan mendapatkannya semula menerusi rundingan, bukan peperangan.

Dia juga berkata, pihaknya akan berusaha mengembalikan hubungan dengan Lubnan selepas tegang sejak puluhan tahun lalu. - AP

myMetro | Putus hubungan dengan Iran:

'via Blog this'

Bekas polis didakwa miliki 35,000 pornografi kanak-kanak

SYDNEY: Seorang bekas anggota polis persekutuan Australia yang menukar namanya kepada Elvis Presley tidak dibenarkan diikat jamin semalam selepas lebih 35,000 imej pornografi kanak-kanak ditemui di kediamannya di sini.

Polis menyerbu kediaman itu kelmarin dan merampas peralatan komputer dan perisian sebelum menemui 800 video dan beribu-ribu gambar penderaan kanak-kanak. Polis berkata, mereka turut menemui uniform Polis Persekutuan Australia, belantan dan gari.


Radio ABC melaporkan, lelaki berusia 49 tahun itu menukar namanya melalui dokumen perundangan kepada Elvis Presley tetapi didakwa berdasarkan nama lamanya, Michael Feuerstein. Feuerstein menghadapi tiga tuduhan menghasil dan menyebarkan pronografi kanak-kanak, mempunyai senjata dilarang dan mempunyai peluru tanpa lesen. Superintendan Greg Rolph sebelum itu berkata, polis masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti identiti kanak-kanak yang terdapat dalam foto dan video berkenaan.

Polis tidak mendedahkan pekerjaan Feuerstein sekarang tetapi berkata, sebelum ini dia menjawat jawatan yang membolehkan dia berhubung dengan kanak-kanak yang didera secara emosi dan fizikal. - AFP

myMetro | Bekas polis didakwa miliki 35,000 pornografi kanak-kanak:

'via Blog this'

Bapa cuba jual bayi dijel 6 tahun

LOS ANGELES: Seorang lelaki berusia 39 tahun dipenjara enam tahun kerana didakwa cuba menjual bayi perempuannya dengan harga AS$25 (RM80) di luar pasar raya Walmart di California, kelmarin.

Menurut laporan laman berita Salinas Californian, Patrick Fousek yang dituduh sedang khayal akibat mengambil dadah ketika itu dihukum penjara selepas hakim menolak rayuan peguamnya untuk tempoh percubaan. Fousek dan ibu bayinya, Samantha Tomasini ditahan Jun tahun lalu apabila dua wanita melaporkan sepasang suami isteri cuba menjual anak perempuan mereka di luar pasar raya Walmart di Salinas, di selatan San Francsico. “Saya sangat, sangat menyesal. Saya sepatutnya tidak terbabit dalam masalah ini,” katanya di mahkamah. - AFP

myMetro | Bapa cuba jual bayi dijel 6 tahun:

'via Blog this'

Perompak bank paling bodoh

BERLIN: Seorang lelaki yang cuba merompak sebuah bank yang ditutup sejak 17 tahun lalu dipenjara tujuh tahun, kata mahkamah, semalam.

Kejadian itu digelar akhbar Bild daily sebagai kes perompak bank paling bodoh di Jerman. Mahkamah daerah di Osnabrueck, bandar raya di barat negara itu berkata, defendan yang dikenal pasti sebagai Siegfried K, 57, tiba di cawangan bank itu yang kini hanya dilengkapi mesin teler automatik, membawa pistol mainan pada Mei lalu. Dia menangkap seorang wanita sebagai tebusan di lobi bangunan dan menuntut 10,000 euro (RM42,000) wang tebusan daripada pekerja di situ.


“Bagaimanapun, rancangannya gagal kerana bangunan itu tidak lagi mempunyai bank sejak lebih sedekad lalu tetapi hanya mempunyai pusat fisioterapi,” kata kenyataan dikeluarkan mahkamah.

Bild berkata, bank itu sudah berpindah sejak 17 tahun lalu.


“Selepas suspek menyedari hal itu, dia mengubah rancangannya dan menangkap seorang wanita yang mengeluarkan wang daripada mesin ATM di situ.


“Wanita itu mengeluarkan 400 euro (RM1,200) dan suspek melarikan wang itu sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta curi,” kata kenyataan itu.

Dia kemudian meninggalkan kenderaan itu dan pistol mainan plastik yang mempunyai kesan cap jarinya di tempat duduk penumpang.


Mahkamah berkata, Siegfried K mengaku melakukan rompakan itu dan hakim menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun atas 22 pertuduhan terdahulu ke atasnya sejak 40 tahun lalu. - AFP

myMetro | Perompak bank paling bodoh:

'via Blog this'

Aligator jadi teman mainan

AKRAB...dagu Nelson diusap.
AKRAB...dagu Nelson diusap.
BERGURAU...Parker bergusti dengan Nelson.
BERGURAU...Parker bergusti dengan Nelson.

SYDNEY: Jurulatih reptilia, Stuart Parker mempunyai rakan sekerja yang boleh membaham hingga putus lengan anda.

Bagaimanapun, pakar hidupan liar itu tidak mempunyai masalah untuk berada rapat dengan Nelson si aligator, malah bertegas menyatakan, ia selamat untuk berada hampir dengan haiwan itu.

Reptilia berkenaan berukuran tiga meter panjang dan berat hampir 120 kilogram.

Namun Stuart berkata: “Anda boleh bekerja rapat dengan aligator kerana tabiat semula jadi mereka yang ‘lembut’.


“Malah, mereka akan membenarkan anda menggosok dagu mereka.”


Parker melatih haiwan itu supaya bertoleransi dengan manusia di tempat pemeliharaannya untuk membolehkan pemeriksaan kesihatan dilakukan dengan mudah.

“Ini bermakna kami tidak perlu mengeringkan keseluruhan kolam untuk membersihkannya dan mengalihkan aligator itu dari tempat kurungannya. Ia akan membuat haiwan itu stres,” kata Stuart.

Dan meskipun dia suka untuk bergusti dengan Nelson, Parker berkata, dia tidak pernah selesa untuk bergurau dengan buaya.

“Nelson si aligator hanya berat 120 kilogram berbanding buaya air masin kami terbesar kami seberat 295 kilogram.

“Aligator tidak mempunyai kekuatan tekanan rahang seperti buaya.

“Bagaimanapun, ada perbezaannya jika anda dibaham oleh kedua-dua jenis haiwan itu,” kata Parker.

Cinta aktivis hidupan liar itu terhadap aligator bermula ketika dia berusia enam tahun dan digigit oleh seekor daripadanya.

Dia bernasib baik kerana kot dan pakaiannya yang tebal menyelamatkannya daripada mengalami kecederaan teruk. Sejak itu, dia tertarik dengan reptilia berkenaan.

Peminat reptilia itu kini menguruskan Taman Hidupan Liar Ballarat di Australia yang diasaskan oleh datuk dan neneknya. - Agensi

myMetro | Aligator jadi teman mainan:

'via Blog this'

Bau plastik terbakar selamatkan keluarga Luaran



Beginilah keadaan rumah Luaran Ansapi di Kampung Tinambak Topokon, Tamparuli yang musnah terbakar pada awal pagi kelmarin.


TAMPARULI 2 Dis. - Terjaga daripada tidur kerana tercium bau plastik terbakar telah menyelamatkan nyawa sebuah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Tinambak Topokon, dekat sini awal semalam.

Bahagian bawah rumah dua tingkat milik Luaran Ansapi, 65, dijilat api kira-kira pukul 4 pagi sebelum isterinya tersedar dari tidur kerana terhidu bau plastik terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, sehubungan itu, isteri pesara guru itu turun ke bahagian bawah rumah dan melihat api sedang merebak.

Dia kemudiannya bertindak pantas mengejutkan ahli keluarga yang lain sebelum kesemuanya bergegas keluar dari rumah dan meminta pertolongan jiran mereka.

"Mujur ada pintu keluar dari tingkat atas rumah tersebut dan ia digunakan oleh keluarga berkenaan untuk menyelamatkan diri kerana tangga di dalam rumah sudah dipenuhi asap.

"Pemilik rumah cuba memadamkan api tetapi gagal kerana ia merebak dengan pantas dan menyebabkan bahagian tingkat atas rumah yang diperbuat daripada kayu musnah sepenuhnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak bomba menerima panggilan kira-kira pukul 4.35 pagi dan sebuah jentera bersama lima anggota tiba di tempat kejadian pada pukul 4.46 pagi.

Bagaimanapun katanya, api hanya berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 5.33 pagi.

Tambahnya, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak:

'via Blog this'

Empat rumah setinggan musnah dijilat api



Salah sebuah rumah setinggan yang musnah dalam kebakaran di Kampung Jawa Lanut, Tawau kelmarin.


TAWAU 2 Dis. - Seorang wanita yang baru kematian suami tidak dapat menahan tangisan apabila rumah yang didudukinya di Kampung Jawa Lanut dekat sini musnah dalam kebakaran melibatkan empat buah rumah setinggan, semalam.

Normah Semang, 51, berkata, kebakaran itu disedarinya apabila mendengar suara bising orang ramai yang berusaha menyelamatkan diri setelah rumah masing-masing terbakar.

Katanya, dia hanya sempat menyelamatkan diri dan sebuah beg sandang miliknya ketika api mula marak di rumah jiran berdekatan.

Menurutnya, semua barang lain tidak dapat diselamatkan kerana dia berada dalam keadaan panik dan hanya fikir untuk menyelamatkan diri sahaja ketika itu.

"Makcik sedih kerana rumah yang pernah diduduki bersama arwah suami musnah dalam kebakaran ini. Namun makcik bersyukur kerana dapat menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.51 petang dan dua jentera dikerahkan untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Menurutnya, seramai 17 anggota bertungkus-lumus memadamkan api yang menjilat rumah-rumah tersebut dan ia berjaya dikawal pada pukul 3.15 petang, sebelum dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian.

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak:

'via Blog this'

Kerani kolej swasta sembunyi kelahiran bayi, dipenjara dua tahun


TAMPIN 2 Dis. - Seorang kerani dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi yang baru dilahirkannya ke dalam semak berhampiran Jalan Batu Belang, Jalan Tampin dekat sini.

Tertuduh, Nurul Izzati Syazwani Zulkarnian, 23, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahyon Yusuf.

Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyembunyikan kelahiran secara rahsia bayinya yang dilahirkan pada pukul 7.30 pagi, 22 November lalu sebelum membuangnya pada pukul 6.30 petang, hari yang sama di lokasi tersebut.

Tertuduh yang bekerja di sebuah kolej swasta di sini didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang dalam proses perceraian dengan suaminya, melahirkan bayi itu seorang diri di dalam sebuah bilik di rumahnya di Taman Indah, Tampin.

Ibu beranak dua itu kemudiannya memasukkan bayi malang tersebut ke dalam sebuah beg sebelum membawanya ke tempat kerja di Tampin.

Selepas habis bekerja pada pukul 6 petang, tertuduh singgah di tempat kejadian untuk membuangnya.

Bagaimanapun, pada 24 November lalu keluarga Nurul Izzati Syazwani yang curiga melihat kesan darah di atas tilam, membawanya ke Hospital Melaka sebelum tertuduh mengaku membuang bayi tersebut.

Tertuduh juga membawa sepasukan polis ke kawasan mayat bayi itu dibuang dan ketika ditemui mayat bayi berkenaan sudah reput malah punca kematian serta jantina bayi tidak dapat dipastikan.

Dia yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman diringankan kerana perlu menjaga dua anak yang lain.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zahid Ahmad.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Berenang satu tangan



ADAM Nur terlantar di hospital selepas terselamat daripada insiden jambatan runtuh di Kutai Kartanegara, Tenggarong, Kalimantan Timur.


TENGGARONG, Kalimantan Timur - Seorang mangsa insiden jambatan runtuh di Kutai Kartanegara di sini yang terjatuh ke sungai, terselamat selepas dia berjaya berenang sejauh 300 meter ke tebing dengan hanya menggunakan satu tangan.

Menurut Adam Nur, 40, ketika kejadian, dia bersama empat lagi penumpang lain yang menaiki kenderaan jenis Toyota Kijang melintasi jambatan itu untuk ke Samarinda.

"Saya duduk di bahagian tengah kenderaan dan ketika itu saya sedang bermain khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Bahu saya tiba-tiba ditimpa sesuatu dari belakang dan menyebabkan tangan kiri saya tidak boleh digerakkan.

"Air kemudian mula memenuhi kenderaan itu dan saya bertindak memecahkan tingkap dan terus keluar menyelamatkan diri," katanya kepada Kompas.com ketika ditemui di hospital AM Parikesit, Tenggarong.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana masih boleh berenang walaupun dengan hanya menggunakan satu tangan.

"Hanya semangat untuk hidup yang memberi saya kekuatan untuk berang menggunakan satu tangan sejauh 300 meter.

"Saya sendiri tidak percaya boleh melakukannya tetapi yang pastinya ketika itu saya hanya memikirkan untuk terus hidup," ujarnya.

Adam kini terbaring lemah dengan bahu serta lengan kirinya berbalut kerana mengalami patah tulang akibat hentakan kuat.

Dalam insiden pada Sabtu lalu itu, berpuluh-puluh kenderaan termasuk bas awam, kereta persendirian dan motosikal, selain pekerja pembinaan terjatuh ke Sungai Mahakam di daerah Kutai Kartanegara selepas jambatan sepanjang 720 meter yang sedang diperbaiki itu runtuh. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pembentukan kerajaan sementara Yaman ditangguh


SANA'A 2 Dis. - Pengumuman pembentukan kerajaan sementara Yemen oleh pembangkang di bawah perjanjian perpaduan terpaksa ditangguhkan selepas tercetus pertempuran antara askar kerajaan dengan lelaki bersenjata antikerajaan, menyebabkan 16 orang terbunuh.

Pembangkang yang terdiri daripada enam parti berkata, pihaknya akan mengumumkan barisan Kabinet pada Ahad ini.

Pegawai perubatan berkata, sekurang-kurangnya 11 maut dan 50 orang cedera selepas askar kerajaan menyerang kawasan perumahan di Taiz, semalam.

''Lelaki bersenjata antikerajaan membunuh lima askar,'' kata pegawai keselematan.

Perjanjian perpaduan ditandatangani pembangkang dan Presiden Ali Abdullah Saleh itu gagal menamatkan pertumpahan darah.

Di bawah perjanjian itu, Saleh akan melepaskan jawatan dan memindahkan kuasanya kepada Naib Presidennya, Abd-Rabbo Mansour Hadi.

Mohammed Basindwa yang dipilih untuk mengetuai Kabinet baru menghubungi Hadi supaya mengarahkan tentera menghentikan serangan di Taiz. - dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Mangsa rogol diampun


KABUL 2 Dis. - Presiden Afghanistan mengampunkan seorang wanita yang menjadi mangsa rogol oleh seorang ahli keluarganya, tetapi kemudian dipenjarakan atas kesalahan melakukan zina, dalam kes yang menimbulkan kebimbangan mendalam terhadap hak asasi wanita di negara ini.

Namun, masih tidak jelas sama ada Gulnaz, 21, akan berkahwin dengan lelaki yang menyerangnya iaitu suami kepada sepupunya selepas tawaran membebaskannya sebelum ini mengarahkan dia berkahwin dengan lelaki tersebut.

Kenyataan pengampunan yang dikeluarkan oleh Hamid Karzai semalam merupakan langkah yang jarang-jarang dilakukan memandangkan Afghanistan merupakan sebuah negara yang berpegang kuat kepada kehidupan Islam yang konservatif.

Kes wanita itu menarik perhatian antarabangsa selepas dia menyertai sebuah filem dokumentari yang dihasilkan oleh Kesatuan Eropah (EU) tetapi penggambaran filem itu kemudian dihalang.

Gulnaz sebelum ini telah bersetuju dengan syarat untuk berkahwin dengan penyerangnya jika mahu dibebaskan tetapi peguamnya berkata, pengampunannya minggu ini tidak meletakkan syarat tersebut.

Menurut peguam Gulnaz, Kimberley Motley, masih tidak jelas sama ada dia akan meneruskan rancangannya berkahwin dengan lelaki itu.

Penyerang Gulnaz itu kini menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun atas jenayah yang dilakukan.

Motley berkata, dia berharap anak guamannya itu akan dibebaskan secepat mungkin dan ditempatkan di pusat pelindungan wanita. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

180 firma Iran dikena sekatan


WASHINGTON 2 Dis. – Kesatuan Eropah (EU) semalam mengenakan sekatan ke atas lebih 180 syarikat Iran dan individu selepas Teheran enggan memenuhi gesaan antarabangsa bagi menghentikan program nuklearnya.

Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) pula meluluskan usul sekatan lebih keras terhadap Iran iaitu menghukum institusi kewangan asing yang menjalankan perniagaan dengan Bank Pusat Iran, badan utama yang mengurus hasil minyak negara itu.

Seorang diplomat berkata, menteri-menteri kewangan EU bersetuju untuk mencari pendekatan mengenakan hukuman tambahan yang akan menjadikan sektor tenaga Iran sebagai sasaran.

Pendapat negara-negara EU berbeza berhubung menjadikan sektor minyak Iran sebagai sasaran dengan pembekuan aset Bank Pusat Iran.

Menteri Luar Britain, William Hague (gambar) sebelum ini berkata, beliau berharap sekatan terbaru EU akan membawa kesan serangan terhadap pusat kewangan Teheran.

Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle juga menyatakan sekatan itu akan `mengeringkan’ sumber kewangan Iran.

Dalam pada itu, Dewan Senat AS meluluskan usul itu yang dicadangkan oleh Senator Robert Menendez dan Senator Mark Kirk dengan undian 100-0.

Usul itu akan membenarkan Presiden AS, Barack Obama mengenakan sekatan ke atas bank asing yang didapati menjalankan transaksi kewangan dengan Bank Pusat Iran.

Sekatan itu diluluskan sebagai penggubalan kepada satu rang undang-undang pertahanan yang akan diluluskan oleh Dewan Senat.

Peruntukan undang-undang hampir sama juga telah diluluskan oleh satu jawatankuasa Dewan Perwakilan yang meningkatkan kemungkinan beberapa versinya akan dihantar kepada Obama untuk kelulusan.

Keputusan itu tetap dicapai walaupun menerima amaran daripada pentadbiran Obama yang menyatakan bahawa mengancam sekutu negara ini bukan cara terbaik untuk mendapatkan kerjasama dalam tindakan terhadap Iran.

AS telah menghalang bank-banknya untuk berniaga dengan Bank Pusat Iran jadi sekatan baru itu akan menggesa bank asing turut berbuat demikian dengan ancaman mereka akan disekat daripada sistem kewangan negara ini. – Reuters/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Clinton temui Suu Kyi



Hillary Clinton (kiri) dan Aung San Suu Kyi bersiar-siar di halaman rumah Suu Kyi di Yangon selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan rundingan di rumah itu, semalam. - REUTERS


YANGON 2 Dis. - Pemimpin parti pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi hari ini berkata, dia yakin dengan peluang untuk melakukan pembaharuan demokrasi di negara ini selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton yang kini dalam rangka lawatan ke negara ini.

Dalam satu pertemuan, semalam yang tidak pernah dibayangkan lebih setahun lalu, Clinton berbincang secara mendalam dengan pemenang Hadiah Nobel Keamanan di rumah agam miliknya yang terletak di tepi tasik di bandar ini.

"Saya rasa ini merupakan saat bersejarah bagi negara kami berdua kerana kami berharap daripada pertemuan ini kami mampu meneruskan hubungan persahabatan dan persefahaman yang mengikat negara kita sejak merdeka.

"Saya amat yakin jika kita bekerjasama, tiada laluan untuk berpatah balik daripada demokrasi.

"Masih banyak yang perlu dilakukan oleh rejim baru yang disokong oleh tentera tetapi kami berharap dapat ke arah itu (demokrasi) secepat mungkin," katanya selepas pertemuan tersebut.

Hari ini merupakan hari terakhir Clinton mengadakan lawatan selama tiga hari ke Myanmar di mana dia menawarkan konsesi tambahan kepada rejim itu, termasuk melonggarkan sekatan ke atas bantuan asing.

Ia merupakan pertemuan pertama antara Suu Kyi dan Clinton, dua wanita yang dikenali di dunia, dalam sebuah majlis makan malam tertutup di mana Clinton menyerahkan sendiri surat peribadi daripada Presiden Barack Obama kepada Suu Kyi.

Obama menerusi mesej di dalam surat tersebut berterima kasih kepada Suu Kyi atas inspirasinya kepada orang ramai di seluruh dunia dan turut berkata, AS sentiasa menyokongnya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

FBI intip komuniti Islam


NEW YORK 2 Dis. - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) didakwa mengintip dan mengumpul maklumat mengenai kumpulan komuniti Islam melalui penyertaan dan pertemuan dalam program khidmat masyarakat dengan wakil mereka, kata pertubuhan hak asasi Amerika Syarikat (AS), semalam.

Kesatuan Kebebasan Hak Sivil Amerika (ACLU) dalam satu laporan berkata, FBI melangkaui bidang kuasanya dan melanggar kepercayaan kumpulan itu yang bersetuju untuk bertemu pegawai penguatkuasa undang-undang.

Laporan itu dikeluarkan berdasarkan dokumen kerajaan yang didapati melalui Akta Kebebasan Maklumat.

''FBI telah melanggar undang-undang dengan menggunakan program khidmat masyarakat untuk secara rahsia mengumpul dan menyimpan maklumat mengenai aktiviti pertubuhan komuniti, bagi tujuan perisikan,'' kata pertubuhan hak asasi itu.

Seorang bekas ejen FBI yang kini bekerja di ACLU, Michael German berkata, menggunakan kaedah itu untuk mengintip hanya membawa kepada masalah.

''Kepercayaan terhadap usaha khidmat masyarakat itu akan gagal apabila FBI mengeksploitasi program seperti ini untuk mengumpul maklumat perisikan anggota keagamaan dan komuniti dalam pertemuan berkenaan.

''FBI sepatutnya jujur dengan pertubuhan komuniti mengenai apakah maklumat yang mereka kumpul dalam pertemuan terbabit dan membuang sebarang maklumat terkumpul yang tidak berkaitan,'' ujarnya.

ACLU berkata, antara contoh maklumat yang dikumpul termasuk pendapat, maklumat persatuan dan hubungan peserta jamuan Ramadan pada 2007 dan 2008 dalam program khidmat masyarakat anjuran masjid San Francisco.

''Pada 2009, FBI di San Jose, California, mengumpul maklumat pendapat dan latar belakang tiga pemimpin dan anggota komuniti ketika satu program kerjaya,'' ujar ACLU. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Askar Syria bunuh 23 lagi orang awam



Gambar yang dikeluarkan oleh agensi berita SANA merakamkan penunjuk perasaan mengibarkan bendera kebangsaan Syria dan potret Presiden Syria, Bashar al-Assad ketika mengadakan tunjuk perasaan menyokong rejim Assad di Pelabuhan Tartus, 240 kilometer ke barat laut Damsyik pada 30 November lalu, beberapa jam sebelum majlis hak asasi PBB mengadakan sidang khas berhubung situasi di Syria atas permintaan Kesatuan Eropah. - AFP


BEIRUT 2 Dis. - Tentera Syria semalam membunuh sekurang-kurangnya 23 orang di beberapa kawasan berdekatan Hama dan Homs, ketika Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan baru ke atas rejim Presiden, Bashar al-Assad.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, 15 orang awam dibunuh askar Syria di bandar al-Tremeesa berdekatan Hama.

''Dua orang awam lagi dibunuh di Homs,'' kata badan hak asasi yang berpangkalan di London itu.

Aktivis Syria yang berpangkalan di Lebanon berkata, enam orang awam dibunuh di Tel Kalah selepas askar Syria yang menggunakan kereta kebal memasuki sebuah kampung di sempadan bandar itu.

Di Brussels, EU mengharamkan pembelian bon Syria, penjualan perisian pemantauan kepada kerajaan Syria dan mengeluarkan kadar faedah dan insurans rendah.

Pertubuhan itu juga menghalang syarikat-syarikat EU terlibat dalam projek minyak atau tenaga di Syria.

Blok EU mengharamkan institusi peminjam Syria membuka cawangan di EU dan mengharamkan bank Eropah mengadakan kerjasama dengan institusi kewangan Syria.

EU juga mengenakan larangan perjalanan kepada 12 orang dan 11 entiti di Syria.

Sebagai maklum balas kepada sekatan terbaru itu, Syria mengumumkan pengunduran dari Kesatuan Mediterranean yang ditubuhkan pada 2008 untuk meningkatkan kerjasama antara Eropah, Asia Barat dan Afrika Utara. - dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Facebook Islam dilancar tahun depan



Logo laman web sosial SalamWorkd.com yang akan dilancarkan tahun depan. - AGENSI


ISTANBUL 2 Dis. - Sekumpulan ahli perniagaan Islam di Turki, semalam mendedahkan rancangan untuk melancarkan laman web sosial seperti Facebook yang dipenuhi dengan nilai-nilai baik untuk golongan muda Islam.

Naib Presiden kumpulan tersebut, Ahmed Azimov berkata, laman sosial SalamWorld.com, yang akan dilancarkan pada tahun depan, berfungsi untuk menyatukan golongan muda dengan satu matlamat yang sama dan menerapkan ciri-ciri baik serta mengetepikan maklumat yang tidak bermanfaat.

Katanya, laman sosial itu berpangkalan di Istanbul dan mempunyai cawangan pejabat di Moscow serta Kaherah dan diselaraskan di 30 buah negara lain, dijangka menarik kira-kira 50 juta pengguna dalam tempoh tiga tahun.

"Motif utama projek ini ialah untuk membina rangkaian sosial tanpa unsur-unsur yang dilarang oleh agama.

"Untuk mencapai matlamat ini, kami memerlukan pasukan perantara yang ramai untuk mengendalikan proses penapisan data.

"Kami juga bergantung kepada pengguna untuk menapis sendiri kandungan data yang digunakan," katanya.

Azimov, bagaimanapun enggan mengulas mengenai butiran sumber kewangan bagi projek itu dan menyatakan ia tidak menjadi masalah besar.

Laman sosial tersebut turut menawarkan perkhidmatan seperti khidmat perundingan teologi dan panduan lokasi masjid dan kedai-kedai makanan halal.

"Kami juga sedang berusaha mencipta ensiklopedia secara talian atau dikenali sebagai Islamic Wikipedia," katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Los Angeles dilanda ribut kuat



Beberapa orang penduduk memerhati beberapa batang pokok tumbang menghempap kenderaan dan merentangi jalan di sebatang lebuh raya di Highland Park, Los Angeles, California akibat dilanda ribut kuat, kelmarin. - REUTERS


LOS ANGELES 2 Dis. - Kira-kira 350,000 penduduk Los Angeles terputus bekalan elektrik semalam, selepas bandar itu dilanda ribut kuat menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas akibat banyak pokok tumbang dan rumah penduduk mengalami kerosakan.

Angin kuat turut menyebabkan kerosakan di kawasan barat, termasuk Utah, di mana 55,000 penduduk terpaksa bergelap akibat bekalan elektrik terputus dan 10 treler terbalik ekoran ditiup angin lintang di Salt Lake City.

Jurucakap pihak berkuasa Los Angeles County, Tony Bell berkata, beberapa kawasan yang terjejas diisytiharkan darurat sebagai langkah untuk mempercepatkan urusan menghulurkan bantuan oleh pihak berkuasa negeri dan persekutuan.

Sekolah-sekolah awam ditutup dan pekerja majlis perbandaran bertungkus-lumus memulihkan bekalan elektrik serta mengalihkan pokok-pokok yang tumbang di kebanyakan kawasan dan jalan.

Kegagalan lampu isyarat berfungsi juga menyebabkan kesesakan di kebanyakan persimpangan jalan.

Banyak rumah dan kereta ditimpa pokok-pokok tumbang dengan 42 rumah serta pangsapuri di Pasadena yang mengalami kerosakan diisytiharkan tidak selamat untuk didiami, namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Sebuah stesen perkhidmatan turut musnah selepas dihempap sebatang pokok besar dan pasukan bomba dikerah di seluruh wilayah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko tinggi berlakunya kebakaran.

Jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX), Nancy Castles berkata, bekalan elektrik yang terputus untuk tempoh yang lama menyebabkan hampir 24 penerbangan komersial ke LAX terpaksa ditukar ke lapangan terbang lain.

"Beberapa penerbangan juga terpaksa ditangguhkan walaupun bekalan elektrik telah dipulihkan," katanya. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Individu tertua di Jepun meninggal dunia


03/12/2011 2:40am

TOKYO 3 Dis. – Individu tertua di Jepun, Chiyono Hasegawa meninggal dunia pada usia 115, semalam.

"Hasegawa merupakan wanita kebanggaan Jepun dan kehilangannya amat dirasai," kata Gabenor daerah Saga, Yasushi Furukawa.

Gelaran individu tertua Jepun kini menjadi milik seorang lelaki, Jiroemon Kimura yang berusia 114 dan beliau turut memegang gelaran lelaki tertua di dunia. – AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Gempa bumi: 300 rumah musnah di China


03/12/2011 2:40am

BEIJING 3 Dis. – Gempa bumi sederhana berukuran 5.2 Skala Richter menggegarkan barat laut China sekaligus meranapkan beratus-ratus rumah dan bangunan, semalam.

Menurut Kementerian Hal Ehwal China, hampir 300 rumah di wilayah Kashi musnah dalam kejadian tersebut namun tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan.

Sehubungan itu, kira-kira 1,500 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sehingga keadaan kembali stabil. – AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Seorang lagi pelajar Malaysia di Malang meninggal dunia


03/12/2011 2:40am

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Selepas kira-kira sebulan, seorang lagi pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Malang, Indonesia meninggal dunia malam tadi.

Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Pusat menerusi laman Facebooknya bagaimanapun berkata, punca kematian pelajar tersebut masih belum dipastikan tetapi dipercayai akibat masalah kesihatan.

Ini merupakan kematian kedua pelajar Malaysia di kota di Jawa Timur itu selepas awal bulan lalu seorang pelajar perubatan di Universiti Brawijaya, Adrian Jay Pereira maut akibat ditetak di leher ketika cuba menghalang seorang lelaki mencuri motosikalnya. - Utusan

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Kajang dilanda bah



SEORANG lelaki melihat kereta-kereta yang hampir ditenggelami air banjir di sebuah kawasan letak kereta dalam bangunan di Kajang, semalam.


HULU LANGAT 2 Dis. - Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di sekitar daerah ini sejak pukul 2 petang mengakibatkan banjir kilat melanda pusat bandar Kajang dan beberapa kawasan di sekitar daerah ini, petang ini.

Selain pusat bandar Kajang yang dilanda banjir kilat apabila paras air naik setinggi 0.3 meter, banyak kenderaan terperangkap dan ditenggelami air sejak banjir melanda kira-kira pukul 3 petang.

Beberapa premis perniagaan antaranya Plaza Metro Kajang dan Bank Hong Leong cawangan Kajang turut dinaiki air setinggi 0.2, manakala kawasan lain yang terlibat adalah pekan Semenyih berhampiran jalan ke Bangi Lama, Pasar Besar Kajang dan Jalan Jelok.

Selain itu, Sungai Kantan dan Jalan Semenyih berhampiran Klinik Kajang dan Jalan Kelapa turut ditenggelami air.

Di sebuah kedai di pusat bandar Kajang, seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang terperangkap dalam banjir itu terpaksa diselamatkan dengan menggunakan tangga oleh orang ramai setelah dia terperangkap di atas bumbung sebuah kereta.

Di Sungai Kantan, banjir turut melanda beberapa kawasan perumahan di situ sehingga menyebabkan sembilan penduduk termasuk tiga warga emas terpaksa dipindahkan setelah terperangkap di rumah masing-masing.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian banjir itu kira-kira pukul 3.51 petang.

"Sebanyak 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang serta Cheras bergegas ke lokasi kejadian. Kami turut dibantu oleh anggota polis dan skuad penyelamat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk menjalankan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat ini.

"Pemantauan turut dijalankan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, hujan lebat mengakibatkan paras air di Sungai Jelok melimpah dan membanjiri beberapa kawasan rendah di sekitar pusat bandar Kajang.

"Air dikatakan naik sehingga ke paras pinggang namun banjir kilat ini kembali surut kira-kira pukul 5.30 petang ini," katanya.

Mohamad Sani berkata, sehingga kini, tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku namun kerugian yang dialami kebanyakan mangsa agak tinggi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, banjir yang berlaku hari ini adalah paling teruk dalam tempoh lima tahun lalu.

"Banyak kenderaan ditenggelami air setelah hujan yang begitu lebat turun di sekitar daerah ini. Polis kini meningkatkan kawalan bagi memastikan keselamatan di kawasan terlibat," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Beg diragut selepas pinjam wang



Siti Mariam masih terlantar di Hospital Pulau Pinang semalam selepas cedera ketika cuba menghalang peragut melarikan beg tangan kakaknya.


GEORGE TOWN – Tekad dua beradik cuba menyelamatkan beg tangan yang diragut seorang lelaki di Jalan Masjid Kapitan Keling, di sini tidak berhasil apabila motosikal mereka ditendang suspek sehingga terbabas kelmarin.

Akibatnya, Siti Mariam Zulkifli, 25, bersama kakaknya, Noor Azlinah, 40, cedera selepas tersungkur di bahu jalan dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu.

Siti Mariam cedera di muka dan patah tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala kakaknya hanya luka ringan di tangan.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Dijel 2 tahun buang bayi sendiri



NURUL IZZATI SYAZWANI diiring keluar dari Mahkamah Majistret Tampin, Negeri Sembilan semalam.


TAMPIN - Perbuatan kejam seorang kerani sebuah kolej yang tergamak membuang bayi sendiri selepas dilahirkan di dalam semak 22 November lalu berbalas apabila dia dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Nurul Izzati Syazwani Zulkarnian, 23, diarahkan menjalani hukuman tersebut selepas Majistret Mahyon Yusuf mendengar pengakuan bersalah tertuduh.

Pertuduhan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan itu menyatakan tertuduh sengaja menyembunyikan kelahiran sebelum membuang bayi itu di dalam satu kawasan semak di Jalan Batu Belang, Jalan Tampin di sini kira-kira pukul 6.30 petang.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Sebahagian besar bandar Kajang ditenggelami air



BANJIR kilat selepas hujan lebat petang semalam mengakibatkan sebahagian besar bandar Kajang lumpuh seketika.


KAJANG - Hujan lebat lebih sejam mulai pukul 2 petang semalam menyebabkan sebahagian besar daripada bandar ini ditenggelami air sehingga satu meter dalam masa hanya kira-kira 15 minit.

Ramai penduduk khususnya pemilik kedai dan pemandu kenderaan dikejutkan dengan limpahan air secara tiba-tiba khususnya di sekitar Plaza Metro Kajang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, hujan lebat mengakibatkan air Sungai Jerlok melimpah dan membanjiri beberapa kawasan rendah di sekitar pusat bandar Kajang.

Menurut Mohd. Sani, beberapa premis perniagaan antaranya Plaza Metro Kajang, pasar besar dan sekitar pusat perniagaan berdekatan ditenggelami air.

"Air dikatakan naik mendadak sehingga ke paras pinggang, namun banjir kilat ini kembali surut lewat petang," katanya dengan menambah, kawasan lain yang turut dilanda banjir ialah pekan Semenyih berhampiran Jalan Bangi Lama dan Jalan Jerlok.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Hattan nafi cerai talak tiga



DETIK manis majlis pernikahan Hattan dengan Farah pada 11 November lalu.


KUALA LUMPUR - Penyanyi terkenal, Hattan menafikan gosip mengatakan dia telah menceraikan isterinya, Farah Asyikin, 32, dengan talak tiga selepas hanya seminggu berkahwin pada bulan lalu.

Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Sahabuddin, 47, berkata, gosip tersebut tidak benar dan berniat jahat.

Beliau turut membidas sikap pihak tertentu yang menulis tanpa bersandarkan etika.

"Menjatuhkan talak tiga adalah perbuatan paling zalim yang dilakukan lelaki kepada isteri.

"Saya tak akan ceraikan isteri dengan talak tiga, semua itu adalah fitnah!," ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Bina pesawat angkasa lepas di belakang rumah



BEBERAPA pekerja menyiapkan sebuah pesawat African Skyhawk di belakang rumah ibu Chris Nsamba di Ntinda pada 11 November lalu.


NTINDA, Uganda - Pengasas Program Penyelidikan Angkasa Lepas Afrika, Chris Nsamba dianggap gila oleh sejumlah orang kerana dia mahu mengendalikan projek untuk menghantar rakyat Uganda ke angkasa lepas.

Dia yang merupakan seorang jurutera aeronautik akan melancarkan sebuah pesawat ke angkasa lepas dari pekarangan belakang rumah ibunya di sini.

Nsamba menyasarkan penerbangan angkasa lepas itu pada dekad akan datang dengan menggunakan sebuah pesawat African Skyhawk yang dalam pembinaan.

Pesawat itu dibina dengan menggunakan beberapa pekerja sukarela di pekarangan belakang rumah ibunya. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'