Pages

Tuesday, January 25, 2011

Permusuhan Palsu Iran-Israel




beritaislamglobal.blogspot.com (Original English version 
here)
DUBAI (Saud al-Zahed), BEIRUT (Ellia Jazayeri)

Warga Iran Nader Karimi mendedahkan hubungan “intim” antara Iran dan Israel dan berjanji untuk mengeluarkan buku tentang segala maklumat yang diperolehinya apabila dibebaskan nanti.

Nader Karimi, seorang banduan di Penjara Evin di Tehran atas dakwaan menggugat kestabilan negara, berkata bahawa permusuhan antara Iran dan Israel tidak lebih dari hanya perang mulut dan ini hanya bagi memberi gambaran bahawa merekalah musuh utama Israel dan pelindung sebenar warga Palestin.

“Para pemerhati,wartawan, dan penganalisa politik terperangkap dalam perang dingin ini sehingga tidak dapat membuat penyelidikan mendalam tentang hubungan yang wujud antara kedua-dua negara,” tulis Karimi dalam satu artikel.

Karimi berkata bahawa pihak kerajaan Iran dan Israel telah mempergunakan wartawan bagi membuatkan permusuhan mereka boleh dipercayai dan untuk menipu dunia bahawa mereka memang sedang bermusuhan.

Karimi, yang juga pakar dalam hubungan Iran-Israel, berkata bahawa pengalamannya bercakap dengan para diplomat Iran dan mengkaji sejarah hubungan antara Iran dan Israel membuatkannya menyedari bahawa kedua-dua negara sebenarnya mendapat manafaat dari perang palsu yang dicanangkan oleh media massa itu.
Bertemu agen Mossad

Sebelum menulis tentang hubungan Iran-Israel ini, Karimi terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan para wakil agensi perisikan di kedua-dua buah negara.

“Sebagai seorang wartawan yang patuh kepada etika kewartawanan, saya fikir ianya adalah sesuatu yang tidak beretika jika kita menulis tentang topik ini tanpa bertemu terlebih dahulu dengan agen-agen perisikan di Iran dan Israel bagi mendapatkan gambaran sebenar.”

Karimi menjelaskan bahawa bertemu dengan agen-agen Mossad lebih senang dan murah berbanding pertemuan dengan agen Iran di Ettelaat.

“Saya pergi ke Turki dan berjumpa dengan agen-agen Israel yang berasal dari Iran,” tulis beliau. “Saya katakan pada mereka bahawa saya adalah wartawan pembangkang yang ingin menumbangkan kerajaan regim sekarang dan itu sudah cukup untuk mendapatkan kepercayaan mereka.”

Menurut apa yang Karimi dengar dari agen Mossad, buat masa ini, kejatuhan regim yang sedang berkuasa tidak akan memberi manafaat kepada pihak Israel.

“Israel lebih suka pihak regim yang lemah dan terpinggir seperti yang berlaku diIran sekarang kerana ini akan memudahkan mereka melancarkan perang mulut bagi membangkitkan suasana ketakutan di rantau berkenaan.”

Karimi berkata bahawa keasyikan Iran dengan projek-projek persenjataan mega sebenarnya adalah satu perancangan Israel dan Amerika bagi memerangkap Iran.

Berdasarkan kepada pertemuan beliau dengan agen-agen Mossad, Karimi amat yakin yang Israel tidak akan melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran.

Agen rahsia Iran

Bagi agen-agen perisikan Iran pula, Karimi berpura-pura mengatakan beliau telah melakukan kesilapan besar apabila menghubungi agen-agen Mossad dan beliau ingin membuat pengakuan kepada pihak perisikan Iran dengan tujuan bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang perspektif mereka.

Selepas menghabiskan masa selama 20 jam sepanjang dua minggu bersama agen-agen Mossad, Karimi terpaksa pula melalui tempoh masa lebih 200 jam disoal dan disiksa di Kementerian Perisikan dan Keselamatan Negara sehingga dipaksa membuat pengakuan secara bertulis tentang jenayah yang tidak dilakukan.
“Bagaimanpun, saya perlu akui bahawa mendapatkan maklumat dari pihak agen Iran adalah jauh lebih mudah dari agen-agen Israel.”

Satu daripada rumusan penting yang dibuat Karimi sepanjang interaksi beliau dengan para agen perisikan Iran bahawa pihak Iran memang mendapat faedah apabila berperang mulut dengan Israel sekalipun jika ia memulakan tindakan keganasan di Wilayah yang Diduduki itu.

“Tindakan Israel itu akan memudahkan kerajaan Iran untuk menayangkan kekuatan mereka serta dapat menghasut fikiran bangsa Arab.”
Hubungan dagangan Iran-Israel

Dalam artikelnya, Karimi menjelaskan sekalipun mengisytiharkan permusuhan, kedua-dua negara tersebut masih menjalinkan hubungan dagangan.

“Beberapa barangan, seperti buah-buahan, dibeli dari Israel, dan banyak syarikat Israel mempunyai perniagaan di Iran. Mereka berurusan ekonomi dengan negara yang mereka anggap ‘musuh’.”

Karimi berkata bahawa kerajaan Iran tidak pernah menyenaraikan komoditi atau syarikat Israel yang dilarang dan ianya memang dijangka tidak akan dilakukan.

Menurut Karimi, semenjak perang Iran-Iraq, para broker Iran giat membeli senjata dan kelengkapan mahal dengan bantuan broker Israel.

“Imej-imej satelit yang diambil semasa perang Iran-Iraq menunjukkan penggunaan peperangan elektronik, seperti set-set radar dan radio canggih. Semua ini membangkitkan persoalan tentang urusan rahsia antara broker Iran dan Israel.”

Karimi berkata bahawa agen Israel bebas keluar masuk Iran tanpa passport Israel.

“Ini berlaku di depan mata Kementerian Perisikan dan Keselamatan Negara (KPKN).”
Warga Palestin dipaksa jadi perisik

Karimi menjelaskan bahawa kerajaan Iran mengambil kesempatan ke atas pelajar-pelajar Palestin yang mendapat kebenaran belajar di Iran dan memaksa mereka melakukan perisikan ke atas teman-teman Palestin lain dan juga ke atas kedutaan-kedutaan Arab di Tehran.

“Seorang pelajar Palestin yang sedang mengikuti pengajian PhD dalam sejarah Islam di Tehran, telah dilatih oleh KPKN untuk melakukan perisikan ke atas kedutaan Jordan dan Sudan di Tehran.”

Pelajar ini kemudiannya diusir dari Iran selepas merengkok dalam penjara selama 15 bulan, tambah beliau.

(Translated from Arabic by Sonia Farid)

BIG : Tak terkejut. Israel bukanlah musuh utama Iran

sumber http://beritaislamglobal.blogspot.com

5 Syarat Nak Buat Maksiat


Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullahkalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak. 

Penyampai TV dapat upah Berlusconi


ALESSANDRA... terima bayaran bulanan daripada Berlusconi sejak tahun lalu.
ALESSANDRA... terima bayaran bulanan daripada Berlusconi sejak tahun lalu.

ROME: Skandal seks Silvio Berlusconi dihangatkan lagi dengan dakwaan dia membayar lebih RM487,000 kepada seorang penyampai televisyen kerana menghadiri partinya, lapor media semalam.
Menurut akhbar, pendakwa menemui rekod bank menunjukkan Perdana Menteri Itali itu menyerahkan wang berkenaan kepada penyampai cuaca di televisyen, Alessandra Sorcinelli, pada Isnin minggu lalu.

Serahan itu dibuat hanya tiga hari selepas skandal seks Berlusconi terdedah kepada umum.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai tuduhan ke atasnya, undian menunjukkan, populariti Berlusconi di kalangan orang ramai semakin meningkat.

Undian akhbar Corriere Della Sera menunjukkan, sokongan kepada partinya meningkat kepada 30 peratus berbanding 27 peratus sebelum ini.

Laporan media menyatakan, pembayaran berperingkat - sebanyak RM41,455 sebulan - mula dibuat pada tahun lalu.

Mengenai pembayaran itu, pendakwa menemui mesej pesanan ringkas Alessandra kepada pembantu Berlusconi, Giuseppe Spinelli, berbunyi: “Ingin saya ingatkan anda segera mengenai pembayaran pindahan bank bernilai 10,000 euro.”
Berdasarkan dokumen itu, wang berkenaan dinamakan ‘pinjaman pendapatan tanpa faedah.’ Sebelum ini, Berlusconi dikaitkan dengan seorang penari gelek dari Maghribi, Karima El Mahroug, 17, yang didakwa menjadi pemuas nafsu ahli politik terbabit dalam majlis di rumahnya.

Berlusconi turut dituduh memberi tekanan kepada pihak berkuasa apabila menghubungi polis bagi mendesak mereka membebaskan Karima yang ditahan atas kesalahan mencuri.
Sementara itu, seorang model, Esther Garcia Polanco, 25, mengaku mengadakan hubungan seks dengan Berlusconi atas alasan perdana menteri itu membayar bil perubatan anak perempuannya. - TH

Kecoh mahu terjun


CEMAS...kombinasi gambar menunjukkan saat-saat genting pelajar cuba terjun, semalam.

CEMAS...kombinasi gambar menunjukkan saat-saat genting pelajar cuba terjun, semalam.


TEMERLOH: Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar, dekat sini, yang dipercayai diserang histeria bertindak luar dugaan apabila berdiri di koridor bangunan sekolah itu sebelum cuba untuk terjun, semalam.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu mengakibatkan hampir 1,000 pelajar sekolah itu terpaksa berhenti memberi tumpuan dalam kelas selepas melihat aksi menakutkan pelajar terbabit yang turut berlari atas koridor sambil mendepakan tangan seperti mahu terjun.
Lebih mencemaskan, pelajar terbabit yang dikatakan tiba-tiba menjerit kelihatan seperti hilang akal turut mencabut sekeping cermin tingkap kelas sebelum membaling ke bawah hingga menyebabkan tangannya cedera.

Rakan sekelas mangsa yang enggan dikenali, berkata dia yang melihat kejadian itu tergamam apabila rakannya itu menjilat darah yang mengalir di tangannya akibat tercedera ketika membaling cermin berkenaan.


“Tidak cukup dengan itu, dia turut bertindak agresif dengan membuka tudung lalu melemparkan ke bawah sambil kedua-dua kaki memijak lantai koridor seperti mahu terjun.

“Kejadian terlalu pantas menyebabkan sesi pembelajaran terganggu, malah saya sendiri tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian,” katanya yang masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu, semalam.

Menurutnya, dia terpaksa menjauhkan diri kerana bimbang turut diserang histeria selain berdoa semoga terselamat daripada serangan histeria itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Temerloh, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis bergegas ke tempat kejadian dalam usaha menyelamatkan pelajar terbabit.

Menurutnya, pengurusan SMK Abu Bakar turut bertindak meletak beberapa keping tilam bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, pada masa sama, beberapa ahli keluarga mangsa yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan cuba memujuk mangsa, namun gagal sebelum pelajar terbabit diselamatkan pasukan penyelamat.

Beliau berkata, pelajar terbabit kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hohah) untuk menerima rawatan.

Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd Nadzri Ab Wahab, berkata pada masa sama, beberapa pelajar lain turut terkena histeria, tetapi keadaan terkawal dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat kerana pantas mengambil tindakan.
sumber hmetro

Perisian khas elak kena saman


SYDNEY: Gara-gara sering disaman kerana meletak kenderaan sesuka hati, seorang lelaki mencipta perisian membolehkan pengguna iPhone menyebarkan maklumat mengenai anggota polis yang membuat rondaan.
Menurut Joseph Darling, kekecewaan akibat sering disaman mendorongnya mencipta perisian ParkPatrol itu untuk membantu pemilik kereta sepertinya.
“Saya dikenakan 20 hingga 30 saman pada tahun lalu dan ia membabitkan beribu-ribu dolar,” katanya.

Melalui ParkPatrol, pengguna iPhone boleh berkongsi maklumat mengenai lokasi polis peronda di tempat mereka. - Reuters

Laman Facebook Presiden Perancis digodam



LAMAN Facebook milik Nicolas Sarkozy


PARIS - Beberapa penggodam komputer berjaya menceroboh muka surat Facebook milik Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan menghantar mesej bahawa beliau akan berundur pada tahun depan, lapor sebuah akhbar semalam.
Mesej itu bermakna lebih 350,000 rakan Facebook Sarkozy telah menerima mesej palsu berhubung peletakan jawatannya itu.
Mesej itu turut disebarkan kepada beribu-ribu pengguna Facebook sekali gus menggemparkan orang ramai yang keliru tentang kesahihannya.
Dalam mesej berkenaan, Sarkozy kononnya dilaporkan menulis:"Rakan-rakan seperjuangan sekelian, ekoran situasi luar biasa yang menimpa negara kita (Perancis), Saya mengambil keputusan untuk tidak bertanding semula pada pilihan raya 2012."
Mesej itu turut mengandungi pautan kepada satu lagi muka surat Facebook bertajuk Selamat Tinggal Kepada Nicolas Sarkozy yang mengundang orang ramai supaya berhimpun di luar restoran Le Fouquet, Paris pada 6 Mei 2012 untuk meraikan pengunduran beliau.
Namun, semalam, presiden berusia 55 tahun itu menggantikan mesej palsu tersebut dengan mesej sebenar untuk memohon maaf di atas kelemahan keselamatan yang berlaku sehingga muka surat Facebook tersebut digodam. - Agensi

Bekas petinju cipta meja pool gergasi




STEVE WIENECKE bermain di atas meja pool gergasi ciptaannya di Fredericktown, Amerika Syarikat baru-baru ini.


FREDERICKTOWN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bekas petinju dalam kurungan, Steve Wienecke mencipta meja permainan pool gergasi dengan ukuran empat kali lebih besar daripada meja biasa, lapor sebuah akhbar baru-baru ini.
Meja pool yang dikatakan terbesar di dunia itu dibina oleh Wienecke di belakang rumahnya.
Ia dibina dengan menggunakan sejumlah batu yang diangkut dengan lima buah trak selain menghabiskan masa selama 250 jam untuk menyiapkannya.
Menurutnya, peraturan bermain adalah mengikut peraturan pool.
"Pada 1985, saya bermain untuk liga pool tempatan dan saya memikirkan bermain pool di atas meja akan menjadi lebih kemas," katanya pada sebuah majalah Rural Missouri.
Wienecke berkata, dia memperoleh wang untuk membina meja gergasi itu menerusi derma yang diberikan oleh beberapa ahli perniagaan tempatan. - Agensi

Doktor gigi guna pakaian seksi




DR. MARIE-CATHERINE KLARKOWSKI (kiri) bersama kakitangannya yang memakai pakaian seksi untuk merawat pesakitnya di klinik Relax & Smile di Munich, Jerman baru-baru ini.


MUNICH - Seorang doktor gigi wanita dan beberapa kakitangannya memakai pakaian seksi dengan tujuan untuk menenteramkan para pesakit yang mengunjungi kliniknya, lapor sebuah akhbar semalam.
Doktor gigi itu, Marie-Catherine Klarkowski berkata, melalui cara itu, para pesakit akan dapat melupakan seketika perasaan akan berasa sakit semasa dirawat.
Sejak dia dan kakitangannya memakai pakaian seksi itu, bilangan pesakit ke kliniknya, Relax & Smile di sini semakin meningkat.
Namun, peningkatan pesakit itu terdiri daripada lelaki.
Menurut doktor gigi tersebut, dia mendapat idea pakaian seksi itu dalam majlis Oktoberfest selepas melihat golongan lelaki merenung wanita yang memakai skirt tradisional yang ketat.
- Agensi

Meluncur ombak waktu malam




MARK VISSER (dalam bulatan) meluncur ombak gergasi di pantai Maui, Honolulu, Hawaii pada Khamis lalu.


HONOLULU - Seorang peluncur ombak, Mark Visser cuba mencari kelainan dengan meluncur ombak gergasi dalam kegelapan malam, lapor sebuah akhbar semalam.
Peluncur dari Australia itu membuka lembaran baru aktiviti sukan ekstrem tersebut apabila dia 'menakluki' ombak setinggi 10 meter selama 20 saat pada Khamis lalu di pantai Maui, Pulau Hawaii.
Visser ditarik ke kawasan luncur ombak berkenaan dengan menggunakan sebuah jet ski.
"Ia merupakan perkara paling menakutkan dan menarik yang pernah saya lakukan," kata Visser di tepi pantai Maui selepas selesai melakukan aksi maut itu.
"Saya hanya menyedari betapa besarnya ombak itu apabila melihat gambar yang dirakamkan. Meluncur ombak di dalam gelap memerlukan anda menjadi sebahagian ombak tersebut," tambahnya. - Agensi

UFO dipercayai mendarat di sawah padi di Yogyakarta




CORAK unik berbentuk bulatan yang ditemui petani di tujuh petak sawah di Slemen, Yogyakarta pada Ahad lalu.


YOGYAKARTA, Indonesia - Tujuh petak sawah padi di Krasakan di Sleman, Yogyakarta mempunyai corak bulatan ganjil yang dipercayai penduduk dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Jakarta Post semalam.
Bukan sahaja Jakarta Post tetapi banyak akhbar lain di Indonesia turut melaporkan mengenai penemuan unik itu.
Corak bulatan ganjil pada kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman gandum di negara-negara Barat seperti Britain sejak tahun 1980.
Bentuk bulatan yang ganjil itu dikaitkan dengan UFO di Barat ekoran ia mempunyai bentuk geometri dan tiasa saksi yang melihat manusia yang melakukannya.
Bentuk ganjil yang ditemui di Sleman itu mengandungi corak segi tiga dan dua bulatan kecil di bahagian tengah bulatan yang besar berdiameter di antara 25 meter hingga 30 meter itu ditemui penduduk tempatan pada pagi Ahad lalu.
"Saya berpendapat, ia (bulatan ganjil itu) ditinggalkan oleh sebuah kapal angkasa asing seperti yang saya lihat di televisyen," kata seorang penduduk, Cahyo Utomo semalam.
"Adalah tidak munasabah, bulatan itu dibuat hasil tiupan angin atau haiwan lain," tambahnya.
Bulatan itu yang terletak dekat dengan sebuah kawasan rumah penduduk kelihatan seperti satu kerja seni geometri manakala kawasan sawah padi lain tidak mengalami sebarang kesan yang sama.
Bulatan ganjil itu kali pertama dilaporkan oleh seorang petani, Tukiman pada pukul 6 pagi Ahad lalu.

SEJUMLAH orang menaiki bukit dan merakamkan gambar corak unik yang dipercayai dihasilkan objek terbang tidak dikenali di kawasan sawah padi di Sleman, Yogyakarta semalam.


Ketua Polis Sleman, Iwan Ramaini berkata, dia tidak pasti jika corak bulatan itu dicipta oleh UFO atau ia merupakan fenomena semula jadi. Satu siasatan polis sedang dilakukan berhubung kejadian itu.
Namun, seorang pegawai polis yang mendegar keterangan daripada enam petani yang memiliki tujuh petak sawah percaya, bulatan itu bukan buatan manusia.
"Mereka bilang (para petani itu) nggak (tidak) mungkin itu dibuat oleh manusia," kata seorang pegawai polis, I Made Muliawan kepada wartawan akhbar dalam talian detikcom.
Menurutnya, petani-petani itu tidak melihat terdapat kegiatan mencurigakan di kawasan sawah padi tersebut.
"Tidak ada keterangan yang menyebutkan, melihat ada orang melakukan hal-hal aneh di sawah itu," katanya.
Dia berkata, salah seorang pemilik sawah itu pernah mendengar bunyi bising pada malam sebelum corak itu ditemui.
"Malam hari ada yang bilang mendengar suara seperti pesawat turun, terus pastinya dia melihat di sawahnya," kata pegawai polis itu.
Menurutnya, pihak polis menghalang orang ramai mendekati kawasan yang mengandungi objek misteri itu.
Dia berkata, sekatan itu dibuat kerana pihaknya bimbang orang ramai akan memijak pohon padi sekali gus menjadi rosak dan merugikan petani. - Agensi

KLIA2 dijadual siap Oktober 2012




LAKARAN artis terminal tambang murah KLIA2 di Sepang yang dijangka siap pada tahun hadapan.


PETALING JAYA - Semua syarikat penerbangan tambang murah akan berpindah ke terminal penerbangan tambang murah tetap baru, KLIA2, yang dijadualkan siap pada bulan Oktober 2012, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Ditanya sekiranya ada pengendali penerbangan tambang murah yang enggan berpindah, beliau berkata: "Saya rasa mereka terpaksa berpindah kerana terminal penerbangan tambang murah (LCCT) sedia ada akan ditukar menjadi terminal kargo.
"Kerja-kerja di terminal itu rancak dijalankan dan dijangka siap menjelang tahun depan.
"LCCT sedia ada mampu mengendalikan hingga 15 juta penumpang setahun dan tahun lalu ia mengendalikan kira-kira 17 juta penumpang," katanya kepada pemberita pada upacara penyerahan Sistem Pemeriksaan Penerbangan (FIS) oleh Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. kepada kementeriannya di sini semalam.
Memandangkan pertumbuhan pesat lalu lintas dalam sektor tambang murah, tambah beliau, kerajaan telah memberikan keutamaan kepada pembangunan segera terminal mega tambang murah bernilai RM2 bilion yang akan menampung keperluan perjalanan tambang murah bagi sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun akan datang.