Pages

Friday, March 18, 2016

Kisah Sedih Anak Bunuh Diri Guna Telekung Yang Mak Ayah Wajib Baca!

Kadangkala apabila rakan Facebook berkongsikan artikel yang panjang lebar, ianya akan membuat kita skrol pos itu tanpa membacanya.


Kisah Sedih Anak Bunuh Diri
Gambar hiasan.

Tapi apabila terlalu ramai yang berkongsikan kisah ini, sudah tentu ada sesuatu padanya hingga mampu menarik perhatian demikian ramai orang.

Dan selepas membacanya, diakui kisah ini ‘berhantu’ kerana ia sesuatu yang amat sadis tetapi tak mustahil berlaku pada sesiapa sahaja dalam kalangan kita.

Kisah ini mesti dibaca setiap ibu bapa terutama mereka yang mengharap terlalu tinggi pada anak-anak agar berjaya dalam kehidupan hingga mengadun mereka mengikut acuan yang dipaksa-paksa.

Mudah-mudahan dengan perkongsian kisah ini, tak ada lagi ibu bapa yang tersilap langkah hingga mendatangkan musibah maha besar dalam keluarga seperti ditanggung si pencerita.

Berikut adalah kisah benar yang teramat sedih, dikongsikan oleh pengguna Facebook, Khairul Hakimin Muhammad berdasarkan perbualannya dengan ibu kepada anak yang meragut nyawanya sendiri itu.

Artikel ini telah mendapat hampir 38,000 perkongsian di Facebook setakat awal pagi Sabtu:

“Sudah makan bulan saya mengelak untuk berjumpa Puan yang seorang ini. Demi Tuhan, saya tak selesa dihubungi berkali-kali, tetapi beliau tetap mahu berjumpa.

Katanya dapat minum 10-20 minit pun jadilah. Entahlah apa yang jadi pada saya, akhirnya saya bersetuju. Kami bersembang di kedai makan sekitar studio saya.

Duduk berdepan, beliau hanya banyak tunduk dan dapat lihat betapa susahnya beliau mahu memulakan perkataan yang datang dari mulutnya. Saya juga tidak selesa.

“Akak nak sangat kamu cerita kat semua orang, apa yang akak lalui ini perlu jadi pengajaran,”
Gulp. Saya semakin laju menelan air liur sendiri.

Saya sendiri pun tak tahu bagaimana mahu mulakan perbualan ini, lalu saya pun biarkan beliau bercerita. Rupanya beliau ini seorang terpelajar dan dihormati di kawasan kejiranannya satu masa lalu.

Anak-anaknya berjaya dan beliau suami isteri juga amat dikagumi dengan kehidupan mereka yang agak selesa di pandangan mata jiran-jiran.

Kehidupan beliau berubah 360 darjah beberapa tahun lalu apabila salah seorang anak perempuannya dijumpai di dalam bilik dengan tubuh yang tergantung bertali yang diikat di leher menggunakan telekung.

Anak yang beliau sayang-sayang ini menamatkan kehidupannya semasa baru berumur 15 tahun waktu itu.

Suami beliau seorang tenaga pengajar, yang mana keputusan peperiksaan anak-anak pastinya menjadi nombor satu dalam kehidupan.

Mana-mana anak-anak yang tidak ‘laju’ dalam pembelajaran, akan dihantar tuisyen, kelas-kelas khas untuk terus belajar.

Sampai satu tahap, anak-anak mereka ini sudah boleh membaca dengan lancar seusia empat tahun. Jurang permainan dan pembelajaran amat besar.

Hingga ke tahap, anak-anak tak reti bergaul dengan rakan seumur. Yang pandai hanya dengan buku dan alat tulis.

Hinggalah pada tahun sekian-sekian, anak perempuannya ini tidak pernah tidak dapat nombor satu, mendapat nombor dua dalam ujian percubaan walaupun keputusan yang diperoleh semuanya A.

Beliau tidak fikir panjang, terus sahaja pulang ke rumah, tunaikan solat zohor dan menggantung diri. Saat beliau menggantung dirinya ini, suasana di dalam rumah kelab kabut, masing-masing mendengar bunyi dari dalam bilik, pintu bilik tidak dapat dibuka dan akhirnya dipecahkan.

Waktu dapat memasuki ruang yang sudah penuh dengan kesedihan itu, jasad itu baru sahaja menghembuskan nafas yang terakhir.

Saya tidak puas hati, terus saya tanya “kenapa perlu gantung diri? Dia solat, dia sudah ambil wudhuk untuk solat, dia sudah solat! Kenapa gantung diri??”

Ibunya terus menangis puas-puas. Orang lain melihat Puan ini beriya-iya mengelap air mata dan tersangkut-sangkut mahu sambung perbualan.

Kisahnya, pada malam sebelum beliau ke sekolah. Dia bertanya kepada bapanya. Jika pada satu hari, takdir Tuhan kata dia tak pandai dan dah tak dapat nombor satu, apa yang ayah akan buat padanya?

Ayahnya jawab, “kau bukan anak aku lagi.”

Saya terus terdiam.

Waktu ini, walau Puan belum lagi bercerita kisah seluruhnya, saya pula sudah menanggung air mata yang penuh. Hanya tunggu mahu jatuh sahaja.

Dari kecil lagi, ayahnya tidak pernah sesekali bermanja-manja dengan anak. Tidak pandai, tidak mahu belajar dan tidak mahu memaksa diri bergaul dengan anak-anak.

Yang penting anak-anak berjaya dan anak tahu bagaimana mahu hidup.

Jika ke kenduri, balik kampung dan sebagainya, anak-anak lebih suka bermanja dengan bapa-bapa saudara. Lebih suka bercerita dan bergaul kerana mereka jauh lebih mengerti.

Anak yang seorang ini kaki meleset. Percubaan beliau hingga berumur 15 tahun untuk bermanja dengan ayahnya tak pernah berhenti.

Pernah dia menyiapkan kek hari jadi buat ayahnya, akhirnya ayahnya kata “aku tak pernah minta, beli lagi bagus jangan buang tenaga, pergi belajar!”

Pernah dia menyiapkan sarapan kesukaan ayahnya, ayahnya kata “kenapa kau nak jadi bibik macam Indon-Indon ka?”

Dan macam-macam contoh lagi yang diceritakan oleh Puan ini.

Saya mohon untuk bangun dan ke tandas sekejap. Tak tahan menangis saat Puan tersebut beri saya gambar anak perempuannya itu.

Ya Tuhan, terus saya sambung menangis dan membasuh muka di sana. Saat anaknya mahu diuruskan pengebumiannya, ada sedikit pergeseran dengan jiran-jiran.

Ada jiran yang mengatakan anak ini bukan lagi Muslim. Bukan lagi orang kita. Kuburnya perlu diletakkan di luar tanah perkuburan. Ada juga yang menyokong dan memberi kata dua.

Maka waktu itulah si ayahnya ini melutut dan merayu-rayu supaya kisah mereka ini tidak menjadikan darjatnya jatuh tersungkur.

Selepas sahaja urusan pengkebumian itu selesai (tidak diceritakan bagaimana selesainya itu), ayahnya hilang dan pulang kembali selepas hampir dua bulan.

Kepulangan suaminya ini disambut dengan kerinduan yang paling dalam. Anak-anak yang lain juga berkumpul dan melihat ayahnya ini sudah bukan lagi ayahnya yang dulu.

Rupanya dalam tempoh dia hilang, dia hanya tinggal di masjid-masjid dan hidup ala gelandangan. Katanya lagi, hampir berpuluh kali dia bermimpikan anaknya merayu-rayu diselamatkan dari tali cemeti yang sentiasa datang seperti ular dan mengikat leher.

Dan kemudian menggantungnya dari dari sepohon pokok yang sangat tinggi dan dia tak pernah berjaya menyelamatkan anaknya itu.

Perkara itu berlaku berkali-kali dan ia adalah mimpi yang serupa. Hingga pernah, dia sendiri takut untuk tidur.

Kini, dia sedar dia tidak boleh menolong anaknya itu. Tetapi dia boleh tolong dirinya sendiri. Dia sudah pandai berpeluk-peluk dengan anak-anaknya yang lain.

Bergurau dengan cucu dan sering mengambil peluang keemasan untuk bergaul dengan anak-anak.

Puan ini berpesan kepada saya, dalam hidup ini kita jangan berlebih-lebih. Boleh tegas, tetapi tegasnya ada limit. Apa sahaja yang kita lakukan walaupun berprinsip, jangan berlebih.

Saya menggangguk.

Sebelum kami berdua berpisah, beliau mengatakan yang beliau ini datang dari jauh semata-mata mahu berjumpa dengan saya dan mahu saya pastikan saya akan menulis kisah mereka ini di FB saya.

Supaya ini boleh dijadikan pengajaran kepada semua orang. Setiap apa yang kita sayang, hargailah baik-baik. Kerana saat ujian itu datang, belum tentu lagi kita boleh hadapi atau tidak.

Kawan-kawan yang baik. Jujurnya saya tidak selesa dengan perjumpaan sebegini. Saya takut dan saya risau ianya tidak berapa baik untuk untuk saya.

Mendengar kisah Puan ini buat saya sendiri tidak boleh tidur. Sungguh. Betapa wajah anak perempuannya itu menjadi igauan buat saya.

Bertudung litup, wajahnya suci Ya Tuhan. Tetapi menamatkan kehidupannya dengan cara yang sebegitu. Sungguh, dunia hari ini senang sahaja mencipta awal, kemudian diri sendiri mencipta juga pengakhiran.

Semuanya boleh dengan kependekan akal yang kita ada. Jujurnya juga, memang beliau menagih kasih sayang keluarga, ayah dan ibu dan itu beliau tidak pernah kecapi hingga beliau putus nyawa.

Tinggallah kita yang masih hidup ini dapat mendengar kisah mereka ini untuk dijadikan pengajaran. Semoga ia baik-baik sahaja buat kalian.

Buat Puan, suami Puan serta anak-anak yang lain. Hiduplah kalian dengan kisah tragis ini untuk berzaman-zaman. Untuk elak, tidak boleh. Untuk dilupakan juga mustahil.

Tetapi jika kalian berubah dan menuju Tuhan dengan perubahan yang baik-baik, insya-Allah pengakhiran di hadapan Tuhan nanti juga baik-baik.

Kadang-kadang Tuhan datangkan peringatan yang menakutkan seperti ini. Ya Tuhan, nauzubillah. Jauhkanlah.”

Khairul Hakimin Muhammad (Facebook)
Takut.
09/03/2016, Bandar Baru Bangi.

Seperti Khairul Hakimin, hanya istighfar yang terlontar usai membaca kisah sedih ini. Semoga tragedi begini dijauhkan daripada menimpa kita dan keluarga.


Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2016/03/kisah-sedih-anak-bunuh-diri-guna.html#ixzz43GIlkhIK
Follow us: @SentiasaPanas on Twitter | SentiasaPanas on Facebook

Kisah Seorang Janda Dan Sebiji Terung

Di Damsyiq (Dimascus) terdapat sebuah masjid besar yang diberi nama Masjid at-Taubah. Ia merupakan sebuah masjid yang diberkati, indah dan mendamaikan.


Wanita_Arab_Cantik
Gambar hiasan.

Di atas tapak masjid itu asalnya sebuah gedung tempat berlaku segala macam maksiat. Pada kurun ke 7 Hijriah, seorang raja yang memerintah ketika itu membeli gedung tersebut, meruntuhkan dan membina di atas tapaknya sebuah masjid.

Lebih kurang 70 tahun lalu, di masjid itu terdapat seorang syaikh atau mahaguru yang alim mendidik umat Islam di kampong itu. Namanya Syeikh Saleem as-Suyuti. Dia sangat dihurmati oleh penduduk setempat. Mereka menjadikannya tempat rujukan dalam semua urusan sama ada urusan dunia atau akhirat.

Di masjid itu juga terdapat seorang murid yang sangat miskin tetapi terkenal dengan kemuliaan akhlak dan budi pekerti yang luhur. Dia tinggal di sebuah bilik yang terdapat di dalam masjid.

Suatu ketika, dia diserang kelaparan yang tidak mampu ditahan kerana sudah dua hari tidak menjamah makanan dan tidak ada wang langsung untuk membeli makanan. Masuk hari ke tiga, dia rasa seolah-olah dia akan mati kebuluran. Lalu dia berfikir apa yang patut dilakukan.

Pada pendapatnya, keadaannya telah sampai ke tahap darurat yang mengharuskannya makan bangkai atau mencuri sekadar yang diperlukan. Maka dia memilih untuk mencuri.

Masjid itu terletak di sebuah kampong di mana kedudukan rumahnya rapat-rapat dan bumbungnya bersambung antara satu sama lain. Seseorang boleh berjalan meniti dari bumbung ke bumbung bermula dari awal kampong hingga ke hujungnya.

Si miskin tadi memanjat bumbung masjid dan meniti bumbung-bumbung rumah untuk mencari makanan.

Apabila dia terpandang wanita di dalam rumah, dia akan segera menjaga mata dan menjauhkan diri dari rumah itu.

Akhirnya dia ternampak sebuah rumah yang kosong dan terhidu bau makanan yang menyelerakan.

Perasaan lapar yang menguasai dirinya menjadikan bau makanan itu bagaikan magnet yang menarik-nariknya dengan kuat agar mengambilnya. Lalu dia melompat dari bumbung memasuki rumah tersebut. Dia terus ke dapur dan membuka periuk.

Didapati di dalam periuk itu beberapa biji terung yang telah dimasak, lalu dia mengambil sebiji. Kerana kelaparan yang teramat sangat, dia tidak menghiraukan kepanasan terung yang baru dimasak, lantas terus menggigitnya.

Ketika hampir-hampir menelan terung itu tiba-tiba akalnya yang dipenuhi ilmu agama yang dituntutnya selama ini di masjid menyergahnya!

Hatinya berbisik: Aku berlindung dengan Allah! Aku seorang penuntut yang tinggal di dalam masjid, kemudian aku menceroboh masuk ke dalam rumah orang dan mencuri makanan yang ada di dalamnya?

Dia rasa terlalu besar dosa yang telah dilakukan. Dia amat menyesal dan beristighfar. Terung yang telah digigit itu dikembalikan di tempatnya. Dia segera keluar dari rumah itu dan terus kembali ke masjid.

Ketika itu Syeikh sedang mengajar, lalu dia duduk di dalam halaqah bersama murid-murid lain. Namun kelaparan yang mencengkam dirinya menjadikan dia tidak dapat memberi tumpuan pada pengajaran Syeikh dan tidak faham apa yang didengarnya.

Setelah sesi pengajian tamat, semua murid-murid beredar dari halaqah. Tiba-tiba muncul seorang wanita dalam keadaan berselubung menutup seluruh tubuh seperti kelaziman wanita-wanita di kampong itu. Wanita itu berkata sesuatu kepada Syeikh, tetapi murid itu tidak mendengar apa yang dikatakannya.

Syeikh memandang sekeliling. Dia tidak nampak ada orang lain di dalam masjid selain murid yang miskin itu.

Syeikh memanggilnya dan bertanya, adakah kamu telah berkahwin? Dia menjawab, tidak!

Syeikh bertanya, adakah kamu ingin berkahwin? Dia diam.

Syeikh bertanya sekali lagi, adakah kamu ingin berkahwin?

Dia menjawab dengan jujur bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membeli sesuap makanan untuk dirinya, maka untuk apa dia hendak berkahwin?

Syeikh berkata kepadanya bahawa wanita ini kematian suami. Dia orang asing di sini. Dia juga tiada sesiapa lagi di dunia ini kecuali seorang bapa saudara yang telah tua dan miskin yang tinggal bersama dengannya.

Syeikh menunjukkan ke arah seorang lelaki tua yang duduk di sebuah sudut halaqah. Syeikh berkata lagi bahawa wanita ini telah mewarisi rumah dan harta peninggalan suaminya.

Dia mahu berkahwin mengikut sunnah Allah dan Rasul supaya dia tidak bersendiriann kerana dibimbangi akan menjadi tumpuan orang-orang jahat serta pergaulan yang haram. Jadi, adakah kamu mahu menikahinya?

Murid itu terus menjawab, ya!

Syeikh berpaling ke arah wanita itu dan bertanya, mahukah kamu menerimanya?

Wanita itu menjawab, ya!

Maka Syeikh memanggil bapa saudaranya dan dua orang saksi. Syeikh menikahkan mereka berdua dan membayar maskahwin bagi pihak muridnya.

Setelah selesai aqad, Syeikh berkata kepada muridnya, pimpinlah tangannya. Wanita itu memegang tangan suaminya dan membawanya pulang ke rumah.

Setelah memasuki rumah, dia membuka kelubung yang menutupi mukanya, barulah murid itu dapat melihat wajah isterinya yang muda dan jelita.

Dia juga amat terkejut kerana rumah itu adalah rumah yang dia masuki sebentar tadi dan telah mencuri makanan daripada dapurnya.

Isteri bertanya kepada suaminya, adakah kamu telah makan? Dia menjawab, ya!

Dia membuka periuk dan melihat terung yang telah digigit. Dia berkata dengan hairan, siapa yang masuk ke dalam rumah dan menggigit terung?

Murid itupun menangis sambil menceritakan apa yang telah berlaku.

Isterinya berkata, inilah hasil amanah. Kamu menjauhkan diri dari terung yang haram, maka Allah berikan kamu rumah serta tuannya sekali dengan halal.

Diceritakan oleh Syeikh Ali at-Tantawi di dalam Muzakkiratnya dan dia berkata bahawa kisah ini benar-benar berlaku dan beliau kenal semua individu yang terlibat di dalam kisah tersebut.

Pengajarannya: Tinggalkan Yang Haram Allah s.w.t bagi Yang Halal!


Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2013/11/kisah-seorang-janda-dan-sebiji-terung.html#ixzz43FEI6NSB
Follow us: @SentiasaPanas on Twitter | SentiasaPanas on Facebook