Pages

Sunday, November 20, 2011

Mabuk memalukan - Taylor Swift





LOS ANGELES 19 Nov. - Penyanyi country dan pop Taylor Swift menyifatkan perbuatan minum alkohol sampai mabuk sebagai perkara paling memalukan.

Swift juga tidak suka berparti kerana merasakan ia akan memberikan tanggapan buruk yang akan diikuti peminat mudanya.

Penyanyi itu berkata, mabuk bukan satu perbuatan yang baik.

"Saya tidak suka minum sampai mabuk kerana ia tidak hebat,'' katanya.

Swift, 21, juga memberitahu, dia tidak pernah menghisap ganja seperti orang lain.

"Saya tidak mahu merokok atau menghisap ganja kerana saya seorang penyanyi,'' ujarnya. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Bahagia anak ramai

KELUARGA BESAR... pasangan Michelle dan Bob bersama anak, menantu dan cucu mereka.
KELUARGA BESAR... pasangan Michelle dan Bob bersama anak, menantu dan cucu mereka.
TERIMA KETENTUAN... walaupun dikurniakan anak ramai, Michelle dan Bob tidak bercadang merancang keluarga dan menerima saja takdir yang mendatang.
TERIMA KETENTUAN... walaupun dikurniakan anak ramai, Michelle dan Bob tidak bercadang merancang keluarga dan menerima saja takdir yang mendatang.

PADA usia 45 tahun, Michelle Duggar memang sibuk menguruskan 19 anak bersama suaminya, Jim Bob, tetapi nampaknya itu tidak menghalang mereka bergembira sekali lagi untuk menyambut cahaya mata ke-20!

Di sebalik usianya yang agak lanjut, Michelle berkata, dia dan Bob tetap teruja dengan berita baik itu.


“Saya tak sangka tuhan akan menganugerahkan kami seorang anak lagi dan kami sangat bersyukur kerananya,” katanya.

Kini hamil tiga setengah bulan dan semakin mengidam makanan masam, Michelle berkata, tidak timbul sebarang kebimbangan terhadap kesihatannya.


Katanya, memanglah kehamilannya yang ke-19 menyebabkan dia mengalami komplikasi tetapi dia yakin masalah itu tidak dihadapi kini.


“Saya kini lebih bersedia dan cergas berbanding 20 tahun lalu.

“Ketika ini saya bersenam lima atau enam hari seminggu,” katanya.


Sebaik saja mengetahui hamil, Michelle mendapatkan pandangan doktor dan dia gembira apabila diberikan lampu hijau bagi tempoh tiga bulan pertamanya.

Kehamilan kali ini juga agak unik kerana Michelle akan bersalin melalui pembedahan Caesarean terancang untuk kali pertama.


Pengalaman pertama Michelle menjalani pembedahan itu ialah ketika melahirkan anak bongsunya, tetapi ia dibuat secara tergempar selepas polis mendapati kelahiran normal terlalu berbahaya untuknya.


Keluarga besar dan terus membesar itu kini menjadi bintang dalam siri realiti televisyen dan penonton baru saja melihat bagaimana pasangan suami isteri terbabit menerima dua cucu.


Anak sulung mereka, Josh, dan isterinya, Anna, dianugerah anak perempuan, MacKynzie, 2, dan Michael, pada musim panas sebelum ini.


Sebelum ini, Michelle dan Bob berkata, mereka tidak akan merancang keluarga, sebaliknya menyerahkan kepada tuhan untuk menentukan berapa ramai anak akan diperoleh.


Tahun lalu, ketika muncul dalam program Today, Michelle berkata, setiap kali melihat anak bongsunya, Josie, dia tidak pernah menutup hati untuk hamil sekali lagi.


“Walaupun kami tahu banyak cabaran dilalui selama ini, kami tidak kesal dan bersedia jika ditakdirkan dianugerah anak lagi,” katanya.


Menurut Michelle, setiap yang berlaku dalam hidup manusia tidak terjadi secara kebetulan.


“Saya tahu ia adalah keajaiban dan kami tidak mengambil mudah setiap yang berlaku,” katanya.


Michelle berpendapat, jika ditakdirkan hamil sekali lagi, dia dan Bob akan menyambutnya dengan penuh kesyukuran.


Katanya, tuhan menentukan sama ada dia mampu hamil atau tidak.


“Kami hanya tunggu dan lihat,” katanya.


Anak bongsu pasangan itu dilahirkan tiga setengah bulan lebih awal daripada sepatutnya selepas Michelle menghadapi masalah pada pundi kencing dan pra-eklampsia.


Ketika itu, Josie hanya seberat 700 gram dan terpaksa melalui beberapa detik cemas, termasuk apabila doktor terpaksa menebuk lubang bagi membolehkan dia membuang air dengan sempurna.


Namun, Josie akhirnya dibenarkan pulang ke rumah dan kini membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain.


Dia bakal menyambut ulang tahun pertama kelahiran bulan depan.


Sementara itu, ditanya bagaimana mereka boleh mendapat begitu ramai anak, Bob berkata, dia dan Michelle pernah menghadiri persidangan bagi mempelajari kaedah membebaskan diri daripada hutang.


Katanya, melalui kaedah yang diajarkan itu, mereka berjaya mengatasi belenggu hutang dan benar-benar bahagia.


Bagi anak-anak Michelle dan Bob, mereka menyangka pasangan itu bergurau apabila diberitahu akan menerima adik baru.


Kata Bob, mereka akan mengetahui jantina anak ke-20 itu menjelang Krismas akan datang.


“Ketika ini, saya dan Michelle berasa seolah-olah menjadi ibu bapa paling bertuah di dunia.


“Anak-anak kami semuanya hebat dan kami bersyukur kepada tuhan kerana anugerah itu.


“Kami tidak mahu menamatkan sesuatu dengan nombor ganjil!” katanya.

myMetroBahagia anak ramai:

'via Blog this'

Seni pencungkil gigi

BUKAN KERJA MUDAH...Masjidil Haram antara binaan pernah disiapkan Munro.
BUKAN KERJA MUDAH...Masjidil Haram antara binaan pernah disiapkan Munro.
IA mengambil masa sembilan bulan dan lebih 35,000 bilah kayu pencungkil gigi, tetapi Stan Munro sekali lagi membuktikan dia bukan seniman biasa.
Menggunakan bilah kayu dan gam, pakar mencipta model itu baru-baru ini berjaya menyiapkan mercu tanda Barcelona, Sagrada Familia - lengkap dengan segala perinciannya.
Foto
MEMUKAU... koleksi bangunan pencakar langit dunia.
Foto
MENARIK... bangunan Angkor Wat lengkap dengan tembok di sekelilingnya.
Foto
PERLU PENGORBANAN... disebabkan mahu ciptaannya tepat seperti bangunan sebenar, Munro perlu membuat kajian terperinci dari semasa ke semasa.
Foto
MERCU TANDA...antara binaan digemari Munro ialah setiap ikon yang ada di sesebuah negara.

Berasal dari Syracuse, New York, Munro mencipta struktur itu dengan nisbah 1:164 dan memasangnya secara berasingan sebelum disatukan menjadi model bangunan sempurna.

“Dan mungkin ciptaan terbaik saya,” katanya.

Walaupun memakan masa begitu panjang, Munro berkata, dia sentiasa seronok menyiapkan bangunan berkenaan.
Munro juga mengakui, dia berdepan dengan detik sukar sepanjang tempoh sembilan bulan itu.

“Isteri saya dimasukkan ke hospital kerana sakit.
“Pada ketika tertentu saya terpaksa membawa model ini ke wad dan memasangnya di sebelah katil isteri,” katanya.

Disebabkan bentuk bangunan yang rumit, Munro berkata, dia perlu sentiasa berhati-hati bagi mengelak sebarang kesilapan.

“Jika tersalah langkah, semuanya akan tanggal,” katanya.

Ciptaan Munro itu juga begitu istimewa kerana dihasilkan tanpa dia melihat sendiri bangunan berkenaan.

Katanya, walaupun tidak pernah menjejak kaki ke Sagrada Familia, dia cuba sedaya-upaya mencipta bangunan itu setepat mungkin.

Kini, Munro bercadang membina bandar raya pencungkil gigi dengan menggabungkan Sagrada Familia dengan lebih 40 bangunan mercu tanda di serata dunia.

Nampaknya ciptaan itu turut membuahkan imbuhan menggunung.

Menurut Munro, dia menjual satu daripada ciptaannya kepada sebuah muzium di Sepanyol.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan butiran bayaran diterima, kecuali mengakui ia “lumayan.” “Mudah-mudahan saya mendapat dana yang mencukupi untuk setiap bangunan yang akan saya cipta melalui penjualan model ini,” katanya.

Munro berkata, untuk berjaya, dia perlu bersabar dan tabah dalam bidang itu kerana bukan semua orang meminatinya.

Ia juga memerlukan pengorbanan besar, terutama daripada segi masa.

Sebagai contoh, untuk menyiapkan pembinaan Tugu Washington, Munro memerlukan masa tidak sampai 24 jam tetapi Bangunan Chrysler di New York hanya dapat disempurnakan selepas dia bertungkus-lumus selama enam bulan.

Kata Munro, masa lama diperlukan bukan untuk memasang pencungkil gigi itu, sebaliknya tempoh penyelidikan.

“Saya memuat turun lukisan teknikal serta imej melalui satelit bagi mendapatkan gambaran sebenar sesuatu binaan.

“Bagi mendapatkan ketepatan dimensi, saya juga menghubungi pereka bangunan berkenaan,” katanya.

Pada 2005, Munro menyiapkan Bandar Raya Pencungkil Gigi 1 (Sejarah Pencakar Langit) yang menggabungkan 50 bangunan tertinggi di dunia.

Selepas set itu dijual, Munro memulakan projek Bandar Raya Pencungkil Gigi 2 (Menara Dan Rumah Ibadat) yang dilengkapi 40 bangunan menggunakan empat juta pencungkil gigi serta 170 liter gam.

Antara bangunan yang termasuk dalam set itu ialah Masjid Biru Istanbul, Menara Eiffel Paris dan Menara Condong Pisa di Itali.
myMetroSeni pencungkil gigi:

'via Blog this'

Menyamar gadis Malaysia

IPOH: Sindiket penipuan menggunakan Facebook yang didalangi warga Afrika bukan hanya menipu warga tempatan, malah turut menyamar sebagai gadis jelitawan kelahiran Malaysia untuk memperdaya ramai lelaki mat salih.

Suspek yang menabur cinta palsu melalui laman sosial ini didakwa sengaja menawarkan diri untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan dengan syarat mangsa membelikan tiket penerbangan. Laman web berita CanadaEast.com dipetik berkata, dalam kejadian terbaru seorang lelaki warga Kanada menjadi mangsa penipuan cinta siber selepas saling berkenalan dan menjalin hubungan di laman sembang sosial Facebook.


Difahamkan, mangsa terpedaya dengan sindiket terbabit yang berpura-pura menyamar sebagai gadis jelita berasal dari Malaysia yang kesunyian dan mencari teman hidup.

Sindiket bijak mempermainkan perasaan mangsa dengan menggunakan kata-kata manis hingga menyebabkan mangsa jatuh cinta terhadap hubungan cinta palsu diada-adakan itu.


Lebih membuat mangsa percaya apabila gadis rakyat Malaysia dimaksudkan itu meluahkan perasaan dan kesanggupannya untuk terbang ke Kanada semata-mata berkahwin dengan mangsa.


Bagaimanapun gadis berkenaan sengaja mereka-reka masalah kononnya berdepan kesempitan kewangan bagi membeli tiket penerbangan ke Kanada.

Mangsa yang tidak sabar untuk bertemu buah hatinya itu kemudian bersedia menawarkan bantuan dengan menghantar wang kepada kekasihnya itu.


Difahamkan mangsa diminta membuat beberapa pemindahan wang berikutan gadis terbabit sering kali memberi pelbagai alasan dan masalah lain.

Mangsa yang sudah menghantar wang dengan jumlah keseluruhan hampir K$30,000 (RM90,000) bagaimanapun menyedari ditipu apabila buah hatinya itu masih tidak sampai ke Kanada selepas tiga bulan.


Mangsa yang diperdaya sindiket penipuan cinta internet itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.


Kes penipuan berkenaan didakwa semakin popular dan ramai lelaki Kanada menjadi mangsa sindiket yang dipercayai berpangkalan di Malaysia.


Malah dalam satu kes berasingan, seorang lelaki Kanada sanggup menjual rumahnya semata-mata untuk diberikan kepada sindiket terbabit.


Pendedahan kes terbaru itu dipercayai ada kaitan dengan penahanan 13 ahli sindiket warga Nigeria awal bulan ini di sekitar Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.


Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata, suspek didalangi 12 lelaki warganegara Nigeria dan seorang wanita warga Singapura itu dikesan mempunyai kaitan berhubung 44 laporan kes penipuan di dalam dan di luar negara.


Menurutnya, ahli sindiket gemar menggunakan modus operandi dengan terlebih dahulu berkenalan dengan mangsa menerusi laman sosial Facebook.


"Ahli sindiket yang bijak menggoda menggunakan tulisan di Facebook kerap menggunakan umpan 'perkahwinan' bagi memperdaya mangsa," katanya.

myMetroMenyamar gadis Malaysia:

'via Blog this'

Rugi jika tidak sertai’

pix_middle

KUCHING: Meskipun sudah diberi nasihat dan teguran, lima peserta beragama Islam Rantu Cantik Borneo (MBB) 2011 tetap meneruskan niat dengan menyertai malam kemuncak pertandingan akhir yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, malam kelmarin.

Kelima-lima peserta Melatie Melisa, 22; Natasha Nur Amarina Mohamad Kaie, 21; Adira Kamil, 23; Sharifah Nadzirah Wan Hamid, 23, dan Roszainah Suhaili, 21, tampil pada malam kemuncak berkenaan meskipun kehadiran mereka di pentas tidak disenangi banyak pihak, sebelum ini.


Ditanya mengenai keputusan untuk menyertai pertandingan itu walaupun ditegur Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais), salah seorang peserta beragama Islam, Natasha berkata, dia tidak melakukan sebarang kesalahan walaupun ada pihak kurang senang dengan pembabitannya dalam pertandingan itu.

“Kami membuat keputusan untuk tidak menarik diri selepas mengambil kira latihan dilakukan sebelum malam kemuncak. Adalah satu kerugian jika saya tidak menyertai selepas bersemuka dengan pegawai Jais semalam (kelmarin),” katanya sebaik diumumkan pemenang tempat keempat.


Katanya, walaupun sekadar meriah tempat keempat, dia masih berbangga selain mahu membuktikan kepada orang ramai bahawa pertandingan ini bukan satu kesalahan.


“Kami tidak melanggar undang-undang walaupun ada antara mereka tidak menyukai penampilan kami pada pertandingan kali ini,” katanya.

Pagi kelmarin, kelima-lima peserta berkenaan dipanggil menghadap Jais selepas didakwa mengenakan pakaian seksi ketika bergambar untuk media tempatan sejak beberapa hari lalu sebagai persediaan menghadapi pertandingan akhir.


Mereka diarah menjalani sesi kaunseling selama dua jam bersama Jais menerusi pertemuan yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Putit Mat Zen, Pengarah Jais, Abang Shamsudin Abang Seruji, Mufti Sarawak, Kipli Yassin serta beberapa pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jais.

Pada pertandingan itu, selain Natasha, seorang lagi peserta beragama Islam, Adira meraih tempat kelima yang diserta 18 peserta keseluruhan.


Selain Natasha dan Adira, seorang lagi peserta, Sharifah dipilih sebagai Ratu Personaliti.


Sementara itu, Abang Shamsudin berkata, walaupun sudah menegur supaya memikir kembali keputusan sama ada mahu menyertai atau sebaliknya, pihaknya akur dengan keputusan kelima-lima peserta sambil memaklumkan ‘tugas Jais sudah selesai’.


“Kita sudah memberi nasihat namun mereka tetap mahu meneruskan penyertaan. Jadi, terpulang kepada mereka kerana ia hak individu. Di sini, tugas Jais selaku badan bertanggungjawab sudah selesai.


“Dalam hal ini, kami tidak boleh mengambil tindakan selepas diberikan nasihat dan penerangan secukupnya mengenai hukum wanita mendedahkan aurat yang tetap haram walaupun atas tujuan pertandingan.


“Bagi saya, Jais sudah menjalankan tanggungjawab kerana kuasa kami hanya setakat ini saja,” katanya sambil memaklumkan pihaknya tidak menghantar Pegawai Jais membuat pemantauan pada malam kemuncak kerana bimbang berlaku salah faham.

myMetro‘Rugi jika tidak sertai’:

'via Blog this'

Majlis RM15 juta

Nur Shid’la Ahmad Kamarudin
Nur Shid’la Ahmad Kamarudin

SELEPAS puas mencari cinta sejati, akhirnya Nur Shid’la Ahmad Kamarudin (Syella), 26, bertemu jodoh dengan ahli perniagaan. Cinta mereka berputik tanpa dirancang kerana sebelum itu Syella menyulam kasih dengan orang lain.

Menurut Syella yang pernah popular dengan lagu Menangis Dalam Hujan, dia berkenalan dengan suaminya pada 2006 yang mana ketika membuat persembahan pada suatu majlis amal. “Perkenalan saya dengannya bermula selepas selesai majlis amal itu apabila dia antara penganjur program itu ingin membayar duit persembahan.


“Selain mengusahakan butik dan kedai makan, saya juga terbabit dalam perniagaan pembinaan, teknologi maklumat, gas dan minyak serta beberapa cabang perniagaan lain. Lalu kami bekerjasama dan dalam melicinkan urusan perniagaan itu, saya lebih menganggap dia sebagai bos saya.

“Saya banyak kali putus cinta kerana kebanyakan lelaki yang saya temui tidak jujur mencintai saya. Pada masa sama, ramai yang masuk meminang sehingga membuatkan emak risau kerana semua pinangan itu saya tolak. “Emak kata, kalau saya terus menolak pinangan yang datang, dia bimbang saya terus tak kahwin. Jadi emak mahu carikan sendiri calon suami untuk saya kerana dia mahu saya dapat suami yang baik selepas banyak kali ditipu lelaki.


“Sudah tentu saya tak mahu. Perkara itu amat merunsingkan saya lalu pada April lalu saya mengerjakan umrah. Ketika berada di Tanah Suci itu setiap hari saya berdoa semoga dapat suami yang baik, beriman, boleh menjaga saya dan keluarga saya. Di samping itu saya juga mengerjakan solat hajat dan istiqarah. Setiap kali saya solat istiqarah, wajah suami saya sekarang yang sering muncul dalam mimpi.


“Untuk menguatkan lagi jodoh dengannya, sekembalinya dari umrah, saya dapat tahu teman lelaki saya curang. Suami pula meluahkan isi hatinya yang dia sukakan saya,” katanya yang meminta media menghormati permintaannya supaya gambar, status dan siapa suaminya itu dirahsiakan daripada umum.

Menurut Syella, dia boleh dapat rasakan yang orang itu sukakan dia atau tidak termasuklah perasaan suaminya terhadapnya. “Saya bukanlah bodoh sangat untuk menilai orang tetapi saya tak mahu terlalu memikirkannya kerana sibuk dengan kerja. Tetapi kalau sudah jodoh, ia akan bertemu juga. Sebab itu saya tak rasa pelik ketika wajah suami muncul dalam mimpi ketika di Makkah kerana saya tahu dia sukakan saya. “Emak pun merestui niat baik suami kerana emak tahu dia lelaki yang baik. Emak kasihankan saya yang bekerja keras untuk menyara keluarga. Lantaran dengan restu keluarga, kami diijabkabulkan pada September lalu. Majlis resepsi baru saja diadakan pada 11 hingga 13 November lalu di rumah emak di Cheras.


“Dia lelaki yang baik dan sangat menjaga solat. Kami selalu solat berjemaah dan mengaji bersama-sama. Saya rasa sangat bahagia kerana mendapat suami sepertinya. Dia juga mahu saya duduk di rumah saja, biar adik-beradik yang menguruskan perniagaan butik dan kedai makan yang saya usahakan selama ini,” katanya.

Selepas bernikah, mereka terus berbulan madu selama dua minggu di Eropah dan selepas majlis resepsi ini, Syella mahu mengerjakan umrah sekali lagi bersama suami dan membawa ibu bapanya bersama.


“Saya bersyukur kerana doa saya dimakbulkan Allah SWT. Selepas balik umrah juga rezeki saya semakin murah. Dalam mencari calon suami, saya bukan cari yang berharta, yang penting adalah hati budi dan agamanya.


“Sebelum ini ramai yang kata saya berkawan dengan VIP, Tan Sri dan Datuk. Memanglah dalam urusan perniagaan saya berjumpa dengan golongan macam itu tetapi saya tidak pernah ‘berkawan’ dengan mereka.


“Orang kata setiap apa yang orang cakap itu adalah doa dan akhirnya memang betul saya ditemukan dengan suami saya ini,” katanya.


Jangan terkejut kerana majlis perkahwinan Syella menelan belanja RM15 juta termasuk nilai barang hantaran yang diberikan oleh kedua-dua belah pihak. Sebagai tanda kasih suaminya, pada hari berbahagia itu Syella menerima hadiah banglo bernilai RM5 juta, kereta Audi R8 berharga RM800,000, wang hantaran RM111,111, mas kahwin RM1,000, telefon bimbit, set mandian, alat solek, al-Quran, sejadah, telekung dan tasbih.


Tambah Syella, semua barang mewah dan mahal itu bukan dia minta tetapi atas kerelaan suaminya sendiri sebagai bukti cinta buatnya.


“Semua persediaan perkahwinan, saya dan suami sediakan sendiri tanpa tajaan mana-mana pihak. Saya sendiri keluarkan belanja RM800,000 dan selebihnya daripada suami. Saya tak kisah berhabis kerana perkahwinan ini adalah sekali seumur hidup,” katanya. Pada majlis resepsi itu Syella mengenakan dua pasang gaun rekaan Hatta Dolmat yang setiap satunya berharga RM60,000. Ditanya mengapa dia seolah-olah menyembunyikan perkahwinannya itu, Syella berkata, dia tidak pernah berniat untuk berbuat begitu. Jelasnya, memang majlis pernikahannya diadakan dalam majlis tertutup, tetapi majlis resepsinya baru-baru ini dihadiri hampir 3,000 tetamu.


“Saya bukan tidak mahu maklumkan kepada pihak media tetapi rasa saya serba-salah. Saya ini bukannya penyanyi popular, tiba-tiba mahu jemput wartawan datang ke majlis perkahwinan saya, seganlah.


“Sebab itulah saya jemput saudara-mara, rakan-rakan dan jiran-jiran saja. Lagipun majlis itu bukan untuk untuk saya seorang, tetapi turut meraikan perkahwinan dua adik saya ,Efa dan Ijam yang bernikah Oktober lalu,” katanya.

myMetroMajlis RM15 juta:

'via Blog this'

Pelancong ajak masuk bilik

pix_middle

PULAU TIOMAN: Berwajah unik, muda, seksi, sasa dan mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, itulah kelebihan pekerja pantai khususnya golongan lelaki sekitar pulau ini hinggakan ada pelancong wanita yang cair dengan penampilan mereka.

Digelar beach boy atau budak pantai, kehadiran golongan itu nyata menjadi daya penarik kepada pelancong asing terutama wanita namun ada kalanya kurang disenangi penduduk setempat yang melihat ia ancaman kepada budaya dan sosio ekonomi masyarakat di situ.


Seorang budak pantai yang hanya mahu dikenali sebagai Aju, 20, berkata sejak tiga tahun terbabit dalam aktiviti pelancongan di pulau itu, sudah dua wanita meminta dia menjadi teman di bilik tidur mereka dan kedua-duanya pelancong asing.

“Sebelum ini saya hanya mendengar cerita rakan mengenai perkara itu namun selepas ia benar-benar berlaku depan mata, saya tidak dapat menolak, tambahan pula mereka yang meminta saya ke bilik.


“Apapun perkara itu sebenarnya berlaku kerana saya berada dalam keadaan antara sedar atau tidak kerana pengaruh alkohol, kami sebenarnya bertemu kali kedua di sebuah restoran yang menyediakan minuman keras. “Ia bukannya pesta atau majlis tertentu sebaliknya restoran biasa yang tiba-tiba menjadi seakan pesta apabila semakin ramai pengunjung tiba,” katanya.


Ditanya mengapa dia mengunjungi restoran berkenaan, Aju berkata, dia hanya menemani pelanggan sebelum diajak minum bersama malah restoran itu sememangnya menjadi pilihan pelancong dari luar negara.

“Ia adalah tuntutan kerja dan pada masa sama ia memberi ruang untuk golongan seperti saya bergaul dengan masyarakat luar khususnya pelancong asing,” katanya.


Seorang lagi budak pantai yang hanya mahu dikenali sebagai Din Lanun, 24, berkata kebanyakan pelancong yang sudi menjadi teman mereka biasanya mempunyai sebab atau agenda tersendiri kerana golongan itu biasanya membabitkan pelancong bajet atau backpacker.

“Mereka biasanya ingin tinggal lebih lama dan untuk menjimatkan wang, mereka sanggup bermalam di rumah atau hotel bersama budak pantai yang kebanyakannya akan membiayai sewa hotel dan makan minum sepanjang mereka menginap.


“Biasalah jika mereka memberikan sesuatu mestilah mereka hendakkan sesuatu, bak kata orang situasi menang-menang,” katanya.


Sementara itu, orang lama yang pernah bertugas sebagai budak pantai di situ yang mahu dikenali Lan Tatu, 40-an, berkata amalan gaya hidup Barat dalam kalangan budak pantai tidak sehebat zamannya kerana pelbagai agensi kini memantau aktiviti golongan itu.


“Dulu aksi ghairah pasangan boleh dilihat di mana-mana termasuklah di bandar Tioman, iaitu Kampung Tekek, selain pelbagai pesta tari di tepi pantai namun kini aktiviti itu tidak lagi wujud di sini kerana ada agensi yang memantau.


“Memang masih ada pesta tari menari dengan minuman memabukkan terutama ketika musim kehadiran pelancong ramai (Mac-Ogos) tetapi ia diadakan di kawasan terpencil terutama di Salang (kampung).


“Kebanyakan budak kita hanyut kerana kedudukan kampung itu yang agak terlindung selain harga minuman keras yang murah berikutan status pulau sebagai pulau bebas cukai,” katanya.


Sementara itu, seorang pelancong, Deborah Ghinjo, 25, berkata tidak semua pelancong asing mengambil kesempatan dengan mencari teman semata-mata untuk menetap di sesuatu tempat secara percuma atau murah.


“Ia sebenarnya atas kehendak sendiri kerana ada kalanya seseorang itu akan tertarik dengan cara hidup atau penampilan seseorang yang jarang dilihat di tempat asalnya di Barat, adalah perkara biasa apabila perkenalan antara lelaki perempuan dibawa ke bilik tidur. “Itupun berlaku atas dasar suka sama suka dan bukannya atas kehendak satu pihak saja, apapun saya faham adat dan budaya hidup masyarakat sesebuah negara berbeza dan sebagai pelancong kita cuba memahami sebanyak mungkin perkara itu untuk mengelak kesulitan di masa depan,” katanya.

myMetroPelancong ajak masuk bilik:

'via Blog this'

Gila permainan video sama seperti berjudi

BERLIN: Remaja yang menghabiskan masa berjam-jam bermain permainan video berkemungkinan mempunyai struktur otak sama dengan kaki judi, kata satu kajian yang dipetik akhbar Daily Mail.

Kajian itu menyatakan imbasan otak menunjukkan mereka yang bermain lebih sembilan jam seminggu mengeluarkan lebih banyak bahan kimia dopamin dengan perasaan keseronokan.
Akhbar Korean Times melaporkan kajian terbaru mendapati otak pemain permainan komputer yang diimbas mempunyai ventral striatum lebih besar, sistem ganjaran utama dalam otak depan.
Hasil kajian itu didedahkan dalam penyelidikan hubungan antara tempoh permainan dan struktur otak oleh kumpulan penyelidik antarabangsa terhadap 154 pelajar di Jerman berusia 14 tahun termasuk 72 pelajar lelaki, menurut jurnal online Translation Psikiatrik.

“Striatum lazimnya diaktifkan apabila seseorang itu mendapat kesan positif persekitaran atau pengalaman menyeronokkan seperti memenangi wang, makanan enak dan seks,” kata Dr Simone Kuhn dari Universiti Ghent Belgium dalam temuramah dengan BBC. – Agensi
Berita Harian Online | Gila permainan video sama seperti berjudi:

'via Blog this'

Seif al-Islam kena tangkap

GAMBAR Seif al-Islam yang disiarkan Free Libya TV semalam selepas ditangkap dan kini berada di satu lokasi rahsia. Gambar kecil Seif al-Islam sebelum ditangkap.
GAMBAR Seif al-Islam yang disiarkan Free Libya TV semalam selepas ditangkap dan kini berada di satu lokasi rahsia. Gambar kecil Seif al-Islam sebelum ditangkap.
Dua pembantu tak sempat seludup anak Gaddafi ke Niger

TRIPOLI: Anak lelaki Muammar Gaddafi, Seif al-Islam ditangkap di sebuah bandar di selatan Libya bersama dua pembantunya yang cuba menyeludup beliau keluar dari negara itu ke negara jiran, Niger, kata komander tentera semalam.
Bashir al-Tlayeb dari Briged Zintan berkata Seif al-Islam ditangkap di pekan gurun Obari, berdekatan bandar selatan Sabha kira-kira 650 kilometer, ke selatan Tripoli.
Beliau tidak menjelaskan bagaimana Seif al-Islam ditangkap tetapi berkata anak lelaki bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang digulingkan, dibawa ke Zintan, kampung halaman satu daripada briged revolusi terbesar di Libya.

Al-Tlayeb berkata kini terpulang kepada pemerintah Libya, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) untuk memutuskan di mana bekas pemimpin Libya itu bakal diadili.

Seif al-Islam, dianggap pewaris Gaddafi tetapi kedudukannya jauh daripada kenyataan. Beliau berdepan tentangan hebat daripada kumpulan pemimpin rejim dan daripada adik lelakinya, Mutassim, berkhidmat sebagai penasihat keselamatan kebangsaan.

Mutassim, 34, turut terbunuh pada 20 Oktober bersama-sama Gaddafi. Sebelum itu, adik lelakinya Khamis, 28, dan Seif al Arab, 29, turut terbunuh dalam perang saudara di Libya. Seorang lagi anak Gaddafi, al Saadi melarikan diri ke Niger pada September dan dilayan sebagai pelarian di negara itu. Ibunya, Safiya dan adik perempuannya, Aisha turut melarikan diri ke Niger.
Lahir pada 1972, Seif al-Islam anak sulung daripada tujuh beradik hasil perkahwinan Gaddafi dan Safiya.

Beliau menarik perhatian Barat beberapa tahun kebelakangan ini dengan menggelarkan diri reformis liberal dengan disokong kuat bapanya dalam pertempuran dengan pemberontak pada hari-hari terakhir rejim.

Seif menyembunyikan diri selepas Tripoli jatuh ke tangan pasukan revolusi. – AP
Berita Harian Online | Seif al-Islam kena tangkap:

'via Blog this'

Jakarta dijangka banjir Januari

KERETA dan motosikal terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di sebatang jalan di Jakarta. Ibu negara Indonesia itu dijangka dilanda banjir Januari depan.
KERETA dan motosikal terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di sebatang jalan di Jakarta. Ibu negara Indonesia itu dijangka dilanda banjir Januari depan.
Pihak berkuasa siap sedia ambil langkah tangani bencana alam

JAKARTA: Ibu kota Indonesia dijangka dilanda banjir besar Januari depan yang akan menimbulkan keadaan keadaan sukar ketika ia sudah berdepan masalah kesesakan melampau dan sistem saliran teruk.
Jakarta berdepan banjir besar sekali setiap lima tahun dan kali terakhir bandar raya itu mengalami bencana itu ialah pada tahun 2002 dan 2007. Ia memaksa majlis perbandaran menyediakan sistem kecemasan dan langkah awal mengawal masalah itu.
Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh Agensi Bantuan Bencana (BNBP) topografi Jakarta didapati semakin rendah manakala paras laut semakin tinggi. Ia bergabung dengan jumlah air yang diperoleh ketika musim hujan yang akan mencetuskan banjir yang lebih besar dan berlanjutan lebih lama.

Peningkatan paras laut terkini yang dipantau BNBP sekitar tiga hingga tujuh milimeter setahun. Bagaimanapun, Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Suhu (IPPC) menganggarkan ramalan peningkatan paras laut sekitar satu meter menjelang tahun 2050 akan meletakkan Jakarta keseluruhannya di bawah paras laut.

BNBP bekerjasama dengan majlis perbandaran dan beberapa agensi lain mengambil beberapa langkah menangani banjir dengan kira-kira 26,500 kakitangan, mesin mengepam, khemah, peralatan logistik, ubat dan air bersih disediakan bagi menghadapi bencana itu.

Kira-kira 33 trak membekalkan air bersih dengan kapasiti 5,000 liter setiap satu, 60 pam dan 49 tempat perlindungan dengan kapasiti 3,000 orang juga disediakan.
Jumlah kawasan yang kerap dilanda banjir di seluruh Jakarta berkurangan dari setahun ke setahun disebabkan penambahbaikan sistem penyaliran dan operasi terusan banjir. Bencana pada tahun 2002 menenggelamkan 159 tempat meliputi kawasan seluas 16,778 hektar manakala banjir lima tahun kemudian sekadar melanda 78 kawasan. – Agensi
Berita Harian Online | Jakarta dijangka banjir Januari:

'via Blog this'

Gila permainan video sama seperti berjudi

BERLIN: Remaja yang menghabiskan masa berjam-jam bermain permainan video berkemungkinan mempunyai struktur otak sama dengan kaki judi, kata satu kajian yang dipetik akhbar Daily Mail.

Kajian itu menyatakan imbasan otak menunjukkan mereka yang bermain lebih sembilan jam seminggu mengeluarkan lebih banyak bahan kimia dopamin dengan perasaan keseronokan.
Akhbar Korean Times melaporkan kajian terbaru mendapati otak pemain permainan komputer yang diimbas mempunyai ventral striatum lebih besar, sistem ganjaran utama dalam otak depan.
Hasil kajian itu didedahkan dalam penyelidikan hubungan antara tempoh permainan dan struktur otak oleh kumpulan penyelidik antarabangsa terhadap 154 pelajar di Jerman berusia 14 tahun termasuk 72 pelajar lelaki, menurut jurnal online Translation Psikiatrik.

“Striatum lazimnya diaktifkan apabila seseorang itu mendapat kesan positif persekitaran atau pengalaman menyeronokkan seperti memenangi wang, makanan enak dan seks,” kata Dr Simone Kuhn dari Universiti Ghent Belgium dalam temuramah dengan BBC. – Agensi
Berita Harian Online | Gila permainan video sama seperti berjudi:

'via Blog this'

Arab Saudi sekat wanita dedah mata memukau

WANITA Arab Saudi sejak sekian lama diwajibkan menutup muka  dan seluruh tubuh ketika keluar  di khalayak ramai.
WANITA Arab Saudi sejak sekian lama diwajibkan menutup muka dan seluruh tubuh ketika keluar di khalayak ramai.
Peraturan baru bagi elak pergaduhan

JEDDAH: Wanita yang mempunyai mata menarik mungkin dipaksa menutupnya dengan kain menerusi peraturan Arab Saudi yang baru.
Akhbar The Daily Mail melaporkan negara Islam konservatif itu berkata pihaknya mempunyai hak menyekat wanita daripada mendedahkan mata yang cantik dan memukau.
Cadangan itu dibuat selepas seorang anggota jawatankuasa Amar Makruf Nahi Mungkar Arab Saudi terpikat dengan mata seorang wanita ketika berjalan di kaki lima dan mengakibatkan pergaduhan. - Laporan laman web berita Bikya Masr
Jurucakap Jawatankuasa Amar Makruf Nahi Mungkar Arab Saudi, Sheikh Motlab al Nabet, berkata cadangan melaksanakan undang-undang itu akan dibentangkan secepat mungkin.

Wanita Arab Saudi sejak sekian lama memakai jubah hitam atau abaya yang menutup rambut serta badan dan di sesetengah wilayah menutup muka di khalayak ramai.

Jika mereka gagal berbuat demikian, mereka berdepan hukuman termasuk denda dan sebat.

Satu laporan dalam laman web berita Bikya Masr memberitahu cadangan itu dibuat selepas seorang anggota jawatankuasa terbabit terpikat dengan mata seorang wanita ketika berjalan di kaki lima dan mengakibatkan pergaduhan.
Wanita itu sedang berjalan dengan suaminya yang berakhir dengan beliau ditikam dua kali selepas berlaku perbalahan.

Jawatankuasa Amar Makruf Nahi Mungkar beberapa kali didakwa melanggar hak asasi manusia. Jawatankuasa yang ditubuhkan pada 1940, berfungsi memastikan undang-undang Islam tidak dicabuli di Arab Saudi.

Pada 2002, jawatankuasa itu enggan membenarkan sekumpulan pelajar keluar dari sekolah yang terbakar di Makkah kerana tidak memakai tutup kepala dengan betul.
Keputusan itu dilaporkan mengakibatkan kematian 15 pelajar.

Mereka turut melarang wanita memandu dan tidak dibenarkan berjalan tanpa ditemani penjaga lelaki.

Pada September lalu, seorang wanita Arab Saudi dikenakan 10 sebatan kerana melanggar larangan memandu tetapi hukuman itu dibatalkan apabila Raja Arab Saudi, Raja Abdullah masuk campur.

Pada bulan sama, Raja mengumumkan wanita diberi hak mengundi dan bertanding untuk kali pertama pada pilihan raya majlis perbandaran 2015. – Agensi
Berita Harian Online | Arab Saudi sekat wanita dedah mata memukau:

'via Blog this'

Bumbung rosak, motosikal tumbang



KEADAAN atap bumbung yang rosak setelah diterbangkan angin helikopter (gambar kecil) di Jalan Bukit Ubi, Kuantan semalam.


KUANTAN – Beberapa premis rosak terutama pada bahagian bumbung gara-gara tempias angin kipas sebuah helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang di Jalan Bukit Ubi di sini semalam.

Selain itu, papan tanda dan lima buah motosikal yang diletakkan di kawasan itu juga rosak dan musnah akibat perkara yang sama.

Kejadian pada pukul 1 petang itu berlaku apabila pesawat berkenaan didakwa terbang terlalu rendah sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk yang bimbang ia akan terhempas.

Bagaimanapun, pesawat berkenaan berjaya melakukan pendaratan di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini yang terletak berhadapan Balai Bomba Bukit Ubi.

Pemilik kedai alat ganti motosikal, Ta Kuan Yew, 40, berkata, semasa kejadian, dia sedang melayan pelanggan di kedainya sebelum terdengar bunyi deruman dan angin kuat dari atas bumbung premis miliknya.

“Panik dengan bunyi deruman dan tiupan angin kuat itu, pelanggan saya bertempiaran lari masuk ke dalam kedai.

“Pada masa sama, lima buah motosikal yang diletakkan di depan kedai saya turut tumbang dan ranting pokok yang berada di depan kedai pula patah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

“Akibat kejadian itu, saya mendapati atap bumbung kedai rosak dan jatuh di sebelah bangunan ini. Saya percaya ia diterbangkan angin helikopter itu,” katanya.

Seorang pemilik kedai peralatan menjual alatan sembahyang, Ng Ah Noi, 50, berkata, ketika kejadian, dia melihat pekerjanya berlari masuk ke dalam kedai dan terdengar bunyi objek diterbangkan dari atas bumbung premis miliknya.

“Papan tanda perniagaan yang dipasang di kedai saya rosak selepas terjatuh kerana tempias angin kuat pesawat itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Chang Hong Seong berkata, pihaknya menerima lima aduan daripada pemilik premis perniagaan terbabit yang mendakwa kedai mereka mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan beberapa barang perniagaan.

“Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak bomba dan mereka bersedia membayar ganti rugi kepada peniaga terbabit,” katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Bob Kuman cedera jatuh dalam bilik air



BOB KUMAN menceritakan insiden yang dialaminya sehingga menyebabkan dia terlantar di Hospital Pakar KPJ Tawakal, Kalau Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Penyanyi, pelakon dan pelawak popular, Bob Kuman dikejarkan ke Hospital Pakar KPJ Tawakal di sini selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Kota Damansara kelmarin.

Bob atau nama sebenarnya Husni Mohd. Rawi, 40, dimasukkan ke hospital tersebut setelah mengalami kecederaan di muka, hidung dan tangan.

Katanya, dia terjatuh sewaktu bangun dari katil dan berjalan menuju ke bilik air untuk menunaikan solat Zuhur sebelum mahu menghadiri program Maharaja Lawak Malaysia (MLM).

“Saya terjaga daripada tidur pukul 1 petang semalam (kelmarin), dalam keadaan mamai saya turun dari katil sebelum tergelincir.

“Saya sempat menahan pintu bilik air dengan tangan tetapi jatuh dan kepala terhantuk ke mangkuk tandas,” katanya ketika ditemui di hospital itu semalam.

Akibat kejadian itu, Bob mengalami kecederaan di muka dan tangan selain memerlukan bantuan pernafasan kerana hidungnya yang bengkak dan sukar bernafas.

Bob yang mempunyai berat badan hampir 200 kilogram mengakui terlalu penat sebab sibuk menguruskan perniagaan kedai makan Bawal Power, menyertai MLM selain projek sosial, 30 kilogram in 120 days.

“Doktor menyarankan saya berehat di hospital kerana terlalu penat dengan kerja seni serta perniagaan, tapi saya ada banyak tanggungjawab di luar sana,” ujarnya.

Biarpun tidak tahu bila dia akan keluar dari hospital, Bob yang ditanya sama ada akan berhenti dari program MLM tetap bersedia untuk kembali beraksi pada minggu depan.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui tersentuh di atas semangat gandingannya dalam Bawal Power iaitu Sobri atau nama sebenarnya Mohd. Sobri Anuar Mohd. Tarmizi, 35, yang terpaksa membuat persembahan secara solo dalam MLM minggu ke-4 kelmarin.

“Saya tidak sangka Sobri mampu membuat yang terbaik.

“Saya tengok apa yang Sobri buat semalam, memang saya tersentuh sebagai seorang sahabat, terima kasih,” ujarnya yang dijaga oleh tunangnya yang hanya ingin dikenali sebagai Normah.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Demi Moore didakwa biseksual



GAMBAR FAIL 11 Januari 2011
menunjukkan aktres Demi Moore
bersama suaminya aktor Ashton di satu majlis di Los Angeles, Amerika Syarikat.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Aktres Demi Moore menceraikan Ashton Kutcher, selepas suaminya curang tetapi isu perceraian mereka sebenarnya lebih rumit, lapor akhbarMailOnline semalam.

Moore dan Kutcher dipercayai membuat persetujuan untuk mempratikkan 'perkahwinan terbuka' dengan isterinya dibenarkan mempunyai hubungan intim bersama wanita lain sekali gus membayangkan aktres berusia 49 tahun itu seorang biseksual.

Sumber yang rapat dengan pasangan itu memberitahu: "Moore tertarik dengan wanita selain lelaki, justeru dia tidak mendapat kepuasan batin sepenuhnya daripada hubungan suami isteri," kata sumber itu.

Menurut sumber sama, Moore juga tidak menghalang Kutcher, 33, menjalinkan hubungan dengan wanita lain sepanjang perkahwinan lain.

"Kedua-duanya saling menghormati berhubung hak masing-masing. Mereka menjalani kehidupan rumahtangga yang menyeronokkan," jelas sumber.

Namun, katanya, Moore mungkin menuntut cerai kerana malu kecurangan suaminya didedahkan media AS.

Kutcher dilapor meniduri seorang wanita kaki parti, Sara Leal pada hari ulang tahun keenam perkahwinannya bersama Moore pada September lalu.

Moore mengumumkan berpisah dengan suaminya pada Khamis lalu. Pasangan itu memiliki harta sepencarian berjumlah AS$290 juta (RM917.5 juta). - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Arroyo cabar penahanannya


HOSPITAL ST. LUKE di Manila, tempat bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal sedang ditahan semalam.


MANILA - Peguam bekas Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo semalam mencabar bidang kuasa sebuah mahkamah di sini yang mengarahkan supaya Arroyo ditangkap kerana menipu dalam pilihan raya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan peguamnya, Raul Lambino ketika Arroyo ditahan di Hospital St. Luke di sini untuk hari kedua.

Bekas Presiden berusia 64 tahun itu berdepan hukuman penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah berhubung jenayah tersebut.

Perintah mahkamah dikeluarkan kelmarin kelmarin selepas pemerintah mengemukakan dakwaan Arroyo mengarahkan penipuan dilakukan dalam pilihan raya senator 2007 bagi memastikan kemenangan sekutu-sekutunya.

Lambino berkata, mahkamah akan bersidang esok sama ada untuk membatalkan waran tangkap ke atas Arroyo dengan alasan dakwaan tersebut sepatutnya difailkan di mahkamah lain.

"Kami berpendapat berlaku pelanggaran dalam apsek undang-undang kerana mereka (pemerintah) memfailkan kes ini di mahkamah yang silap," katanya.

Pihak Arroyo terdahulu menyatakan kes itu sepatutnya dikendalikan oleh sebuah mahkamah khas, Sandiganbayan yang mengendalikan kes membabitkan pegawai awam.

"Mahkamah di sini sepatutnya tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap Arroyo," tambah Lambino.

Katanya, Arroyo berada dalam keadaan baik selepas beliau ditangkap di hospital terbabit.

Bekas Presiden itu menjalani tiga pembedahan tulang belakang pada tahun ini kerana menghidap sejenis penyakit tulang yang jarang berlaku.

Lambino memberitahu polis akan mengambil cap jari dan merakam gambar Arroyo sebelum perbicaraan kes tersebut esok.

Arroyo, Presiden wanita kedua di Filipina juga merupakan Presiden kedua pernah dibicarakan di negara berkenaan.

Presiden Filipina sebelumnya, Joseph Estrada didapati bersalah kerana salah guna kuasa dalam 2007 tetapi mendapat pengampunan Arroyo 40 hari kemudian.

Bekas Presiden berkenaan memerintah Filipina dari tahun 2001 hingga pertengahan tahun lalu.

Arroyo ditangkap selepas pihak berkuasa menghalangnya daripada meninggalkan Filipina setibanya beliau di lapangan terbang Manila di sini dengan memakai alat penyokong leher kelmarin.

- AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'