Pages

Thursday, August 18, 2011

9 maut, SUV bertembung lori


BEGINILAH keadaan lori yang bertembung dengan kenderaan SUV jenis Toyota Rush menyebabkan sembilan lelaki warga Indonesia maut dekat Sri Aman, Sarawak, semalam. - Ihsan SIN CHEW



SRI AMAN 17 Ogos - Sembilan lelaki warga Indonesia maut manakala seorang lagi parah apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Jelukong, Engkilili dekat sini awal pagi ini.
Nahas ngeri itu berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi ketika SUV jenis Toyota Rush itu yang menghala ke Kuching dipercayai hilang kawalan akibat kabus tebal.
Ia kemudian bertembung dengan sebuah lori pengangkut buah dan sayur yang datang dari arah bertentangan.
Rempuhan kuat itu menyebabkan lori dinaiki dua lelaki tempatan terbabas manakala SUV tersebut remuk teruk menyebabkan sembilan daripadanya maut di tempat kejadian.
Mangsa yang terbunuh ialah Juhran, 26; Asmadi, 51; Yusran Said, 29; Maulidi Jabiah, 25; Ilham Tamrin, 27; Ilham Muzani, 26; Jafri Annuar, 26; Junaidi Tamrin, 38, dan Muslimin Jabiah, 25.
Sementara itu, pemandu lori berkenaan bersama rakannya hanya mengalami cedera ringan.
Kesemua mayat serta mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.
Menurut sumber polis, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua warga Indonesia terbabit mempunyai permit kerja dan pasport serta memasuki negara ini secara sah.
Pihak polis juga dikatakan sedang berhubung dengan pihak Konsulat Kedutaan Indonesia bagi menguruskan penghantaran pulang mayat mangsa.
"Punca sebenar kemalangan masih disiasat. Turut menjadi persoalan adalah jumlah penumpang yang begitu ramai dalam sebuah kenderaan itu," katanya.-utusan

Rusia mahu bina hotel angkasa lepas




Gambaran artis tentang hotel angkasa lepas yang dirancang dibina oleh Orbital Technologies menjelang 2016. – Agensi


MOSCOW 17 Ogos – Rusia kini mengorak langkah lebih jauh untuk menakluk Bima Sakti dan mendirikan hotel di angkasa lepas.
Sebuah syarikat Rusia, Orbital Technologies, mendedahkan perkara itu di Moscow minggu ini tentang rancangan untuk membawa pelancong kaya ke tempat yang mereka tidak pernah pergi sebelum ini.
Harga penginapan selama lima hari di hotel angkasa lepas itu dijangka antara 100,000 pound (RM489,618) dan 250,000 pound (RM1.2 juta), tidak termasuk kos pengangkutan yang dianggarkan 477,393 pound (RM2.3 juta).
Ketua Eksekutif Orbital Technologies, Sergei Kostenko berkata, hotel itu yang akan dikenali sebagai Stesen Angkasa Lepas Komersial (CSS) akan dibuka pada 2016 dan jauh lebih selesa berbanding Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Menurutnya, CSS yang mempunyai keluasan 215 meter persegi dengan empat kabin boleh menempatkan tujuh orang.
“CSS akan dibina 1,136 kilometer dari atas bumi dan pengunjung juga boleh melihat keajaiban angkasa lepas dan bumi melalui cermin besar yang disediakan.
“Akses untuk ke hotel itu akan menggunakan roket Soyuz Rusia,” ujarnya.
Kostenko berkata, pembinaan hotel itu disasarkan kepada individu kaya dan mereka yang bekerja dengan syarikat swasta yang mahu membuat penyelidikan di angkasa lepas. – AGENSI, utusan

Mangsa kebuluran terancam






MOGADISHU 17 Ogos - Mangsa kebuluran Somalia di kem-kem pelarian kendalian kerajaan di sini, berhadapan ancaman keganasan setiap hari sehingga membuatkan mereka memilih untuk berlapar daripada mendapatkan bekalan makanan yang diagih-agihkan agensi-agensi bantuan.
Di kem Bad-baado di sini yang menempatkan 20,000 pelarian mangsa kebuluran, kejadian rogol, keganasan dan bunyi tembakan berlaku hampir setiap hari.
Kem tersebut terletak berhampiran lokasi pertempuran selalu tercetus antara tentera kerajaan dengan kumpulan militan al Shabab di Mogadishu.
“Saya tidak boleh berada di sini bersama anak-anak. Ramai anggota militan bersenjata ada di sini.
“Anda boleh mendengar bunyi tembakan setiap waktu. Saya juga bimbang dirogol,” kata Halima Hassan Hilowle.
Seperti kebanyakan pelarian lain, Halima memilih untuk tinggal di kem Hawale, kira-kira 1.6 kilometer dari Bad-badoo bagi keselamatan dirinya serta anak-anak.
Kem tersebut yang dikendalikan orang persendirian dan dikawal ketat pengawal keselamatan pada waktu malam, bagaimanapun tidak menerima bantuan bekalan makanan daripada agensi-agensi kemanusiaan.
“Kami tidak mempunyai bekalan air dan tempat berlindung. Kami tidak punya apa-apa.
“Kami juga tidak menerima bekalan ubat dan makanan. Satu-satunya kemudahan yang disediakan pertubuhan bukan kerajaan di sini ialah tandas,” kata pelarian, Abdi Abdullah.
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan mesyuarat mengejut dengan menteri-menteri luar di Istanbul hari ini bagi membincangkan tentang krisis kebuluran dan kemarau di negara-negara Afrika. – Agensi/AFP, utusan

Segera ketatkan jualan asid





WAJAH sebelum dan selepas Mohd. Rafie Abdul Latiff mangsa simbah asid yang kini menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur. – UTUSAN/NOORADZRENE MOHD NOOR


KUALA LUMPUR 17 Ogos – Kerajaan digesa segera melaksanakan cadangan untuk memperketatkan penjualan asid kepada orang awam bagi mengekang kejadian simbahan asid yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Mohd. Khairun Aseh memberitahu, langkah itu wajar dilakukan segera dan sekiranya tidak, lebih ramai khususnya wanita dan kanak-kanak akan menjadi mangsa.
Beliau turut mencadangkan agar hukuman ke atas jenayah simbah asid ditambah bagi menakutkan pelaku.
“Sebagai contoh, satu kes simbah asid di Bangsar baru-baru ini, pesalah dihukum mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa kepada tiga tahun penjara atau denda RM1,000 sahaja.
“Jika dibandingkan dengan kesengsaraan dan kesan kekal pada anggota badan mangsa yang melecur, hukuman itu terlalu ringan,” katanya ketika ditemui semasa melawat seorang mangsa simbahan asid di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mangsa, Mohd. Rafie Abdul Latiff, 27, disimbah asid oleh seorang lelaki tidak dikenali, ketika berada di dalam keretanya, di kawasan tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, 8 Ogos lalu.
Menceritakan kembali kejadian itu, Mohd. Rafie berkata, semasa insiden dia berada di tempat duduk penumpang dan sedang menunggu seorang rakannya yang ingin menggunakan tandas awam.
“Seorang lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba membuka pintu kereta sebelah pemandu lalu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah saya.
“Mujurlah rakan saya yang mendengar jeritan mengambil air dari tandas dan menyimbah untuk meringankan kesan,” katanya lagi.
Mohd. Khairun memberitahu, sebuah jawatankuasa tabung amanah telah ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul dana dan sumbangan orang ramai bagi membiayai kos perubatan Rafie.
“Seperti dua kes yang sama, kos perubatan mangsa simbah asid agak tinggi dan mengambil masa yang panjang,” katanya.
Sementara itu, bapa Rafie, Abdul Latiff Kassim, 61, meluahkan rasa sedih dengan nasib yang menimpa anak ketiganya yang masih bujang itu.
“Saya mencadangkan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di lokasi tumpuan yang diharap dapat membantu mengesan suspek dengan lebih mudah,” jelasnya.
Pada 14 Mei lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyarankan peraturan penjualan asid diperketatkan agar ia tidak sewenang-wenangnya dibeli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.-utusan

Tak tahu motif simbah asid

SIMPATI...Muhd Khairun (kiri) berbual dengan mangsa di HKL, semalam.
SIMPATI...Muhd Khairun (kiri) berbual dengan mangsa di HKL, semalam.
KUALA LUMPUR: “Sebaik menerima berita anak saya disimbah asid, badan saya menjadi lemah dan tak tahu nak buat apa. Sepanjang pengetahuan saya, dia anak yang baik dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.
“Kejadian itu benar-benar mengejutkan saya. Saya sedih kerana pada tahun ini dia akan menyambut hari raya di hospital dalam kesakitan akibat kejadian ini. Saya harap pihak tidak bertanggungjawab diberi balasan setimpal,” kata Abdul Latiff Kassim, bapa kepada seorang lelaki yang disimbah asid ketika sedang menunggu rakannya berhampiran tandas awam di Jalan Raja Laut, 8 Ogos lalu.

Katanya, perasaan sedih tidak dapat dibendung apabila melihat kecederaan teruk di muka, badan dan dua tangan anaknya serta berdepan kemungkinan terjejas penglihatan selepas mata kanannya kabur manakala mata kiri belum dapat dibuka.

Abdul Latiff berkata, dia yang sedang menonton televisyen di rumah bersama isteri bergegas ke hospital sebaik menerima panggilan telefon daripada rakan Mohd Raffie yang berada bersamanya pada malam kejadian.

“Ketika tiba, saya terkejut mendapati dia dalam keadaan begitu teruk. Selepas bertemu rakannya, baru saya tahu dia menjadi mangsa simbahan asid oleh orang tidak dikenali ketika sedang menunggu di dalam kereta,” katanya pada sidang media bersama Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Menurut Abdul Latiff, dia sekeluarga menolak kemungkinan kejadian berkenaan bermotifkan dendam kerana anak ketiga daripada empat beradik itu tidak mempunyai masalah di tempat kerja, malah dia disenangi semua orang.


“Ini turut diakui majikan yang datang melawatnya baru-baru ini. Malah ramai rakan sekerjanya turut memberikan sokongan moral dan bersedih dengan kejadian itu. “Saya yakin ia bukan bermotifkan permusuhan dan sebagainya. Ia mungkin dilakukan individu bermasalah,” katanya.

Sementara itu, Muhd Khairun berkata, bironya akan menubuhkan Jawatankuasa Tabung Amanah bagi mencari dana membantu meringankan beban anggota keluarga selain menampung perbelanjaan yang mungkin diperlukan Mohd Raffie.Katanya, beliau akan mempengerusikan jawatan itu yang dianggotai seorang peguam Mahkamah Tinggi, selain ahli keluarga yang akan ditentukan kemudian bagi mencari dana untuk menampung segala kos berkemungkinan.hmetro

Amerika Syarikat kenakan sekatan terhadap 3 militan Indonesia

WASHINGTON: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat semalam mengumumkan sekatan terhadap tiga pemimpin Jemaah Islamiah (JI) warga Indonesia yang didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa siri pengeboman di Asia Tenggara.
Jabatan itu menamakan Umar Patek, Abdul Rahim Baasyir dan Muhammad Jibril Abdul Rahman sebagai tokoh penting Jemaah Islamiah yang mempunyai hubungan dengan kumpulan militan lain, termasuk Al-Qaeda, Lashkar-e Tayyiba Pakistan dan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

Umar yang dikaitkan dengan beberapa serangan di Filipina dan juga pengeboman Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang, diekstradisi dari Pakistan ke Indonesia, minggu lalu.

Muhammad Jibril pula, menurut jabatan itu, menjadi penyalur kewangan untuk serangan JI dan pernah menjalani latihan ketenteraan di Pakistan serta menemui pegawai kanan al-Qaeda dan Taliban di sana. - Reuters, hmetro

Pembesaran Masjidil Haram bermula

JEDDAH: Raja Abdullah akan meletakkan batu asas untuk projek peluasan Masjidil Haram esok.
Projek berkenaan yang meliputi kawasan seluas 400,000 meter persegi akan mewujudkan kawasan tambahan solat untuk 1.2 juta jemaah lagi. “Projek baru itu yang dinamakan Perluasan Raja Abdullah, akan dilaksana dengan menggunakan sistem mekanikal dan elektrikal paling canggih,” kata Naib Presiden Majlis Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Muhammad Al-Khozaim Perluasan itu juga melibatkan pembinaan kemudahan asas, termasuk sistem pembuangan sampah dan kawalan keselamatan.

Pelindung sinar matahari juga akan dipasang di bahagian utara perkarangan Masjidil Haram. Bangunan baru akan dihubungkan dengan masjid sedia ada dan kawasan sai dengan beberapa jambatan.

Ia juga akan dilengkapi dengan sistem penghawa dingin serta eskalator.

Muhammad juga mendedahkan rancangan untuk meluaskan kawasan tawaf serta menyediakan sistem penghawa dingin ke seluruh bahagian Masjidil Haram.

Menurutnya, kedua-dua projek itu akan dilaksanakan serentak dengan projek peluasan Masjidil Haram. Bercakap mengenai projek lain yang dilaksanakan atas arahan Raja Abdullah, beliau berkata, kawasan sai yang baru diluaskan kini boleh memuatkan 118,000 jemaah sejam, berbanding 44,000 sebelum ini.

Beliau menyifatkan Menara Yayasan Raja Abdul Aziz sebagai antara projek hartanah terbesar di Makkah. Ia terdiri daripada enam bangunan kediaman dan sebuah hotel lima bintang. Bangunan di depan setinggi 28 tingkat sementara di belakang, 35 tingkat Menara sisi terdiri daripada bangunan 45 tingkat sementara hotel, 60 tingkat. Keseluruhan kompleks berkenaan dengan 11,000 bilik dan suite boleh menempatkan 35,000 jemaah. Muhammad memuji Raja Abdullah kerana mengambil daya usaha melaksanakan projek penting bagi kebajikan jemaah.

Ini termasuk rangkaian Kereta Api Mashair yang menghubungkan Mina, Arafah dan Muzdalifah, jambatan Jamrah serta projek pencegahan banjir di sekitar Masjidil Haram.

Projek Jambatan Jamrah yang dilaksanakan dengan belanja SR4.5 bilion, amat penting dalam mengelak kejadian mati akibat kesesakan ketika kerja melontar jamrah pada musim haji.

Rangakain Kereta Api Mashair akan beroperasi sepenuhnya sebelum musim haji November ini.

Ia akan membabitkan 17 kereta api dengan 12 gerabak setiap satu kereta api yang boleh mengangkut kira-kira 3,000 jemaah pada satu-satu masa. - AN, hmetro

Russia terus bekal senjata kepada Syria

MOSCOW: Russia terus membekalkan senjata kepada Syria meskipun didesak oleh masyarakat antarabangsa supaya berhenti berbuat demikian.
“Sementara tidak ada sekatan diumumkan dan tidak ada arahan daripada kerajaan, kami akan terus memenuhi perjanjian urusniaga itu,” kata Anatoly Isaikin, Ketua Rosoboronexport, agensi pengeksportan senjata Russia.

Bercakap di pertunjukan udara antarabangsa MAKS di Moscow, beliau berkata, Russia membekalkan Syria dengan jet latihan Yak-130 dan kelengkapan tentera lain.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton minggu lalu mendesak Russia berhenti menjual senjata kepada Damsyik dalam usaha meningkatkan tekanan terhadap Presiden Syria, Bashar al-Assad supaya mengakhiri serangan terhadap penunjuk perasaan.

Dalam wawancara dengan CBS News, Hillary mencadangkan supaya China dan India mengenakan sekatan tenaga terhadap Syria sementara Russia menamatkan penjualan senjata kepada negara yang sedang bergolak itu.

Russia mempunyai hubungan rapat dengan Syria sejak puluhan tahun lalu dan kekal sebagai pembekal utama senjata negara itu. - AFP, hmetro

Beruang kutub serang pelajar kerana sakit gigi

LONDON: Beruang kutub yang membunuh seorang pelajar sekolah Britain menyerang mangsanya kerana mengalami sakit gigi, dedah laporan autopsi haiwan itu, semalam.
Taring beruang itu reput teruk dan urat sarafnya terdedah membuatkan ia berang dan tidak dapat memburu makanan biasanya.

Veterinar, Ytrehus Bjornar berkata: “Keadaan itu menyebabkan haiwan terbabit mengalami kesakitan. Ia mungkin sangat lapar.” Keadaan gigi haiwan itu amat teruk hingga serpihannya tersekat di tengkorak kepala Patrick Flinders, 16, seorang daripada empat yang cedera dalam serangan ke atas remaja Britain yang berkhemah di Svalbard, Norway pada 5 Ogos lalu.

Wanita rempuh ‘apartmen’ kekasih suami

WELLINGTON: Seorang wanita New Zealand yang berang dengan kecurangan suami, melanggar sebuah bangunan dengan keretanya kerana menyangka ia tempat tinggal teman wanita suaminya itu, lapor akhbar, semalam.
Bagaimanapun, wanita itu mendapat tahu dia mensasarkan bangunan yang salah.

Wanita berusia 25 tahun itu mengaku bersalah di mahkamah kerana merosakkan harta benda bernilai hampir NZ$43,000 (RM108,000) di bandar Nelson di Pulau Selatan, lapor Nelson Mail. Wanita yang namanya dirahsiakan itu memandu bersama suaminya di bandar berkenaan Jun lalu ketika dia meminta penjelasan suaminya mengenai mesej pesanan ringkas yang diterima lelaki terbabit daripada wanita lain.

Dia lalu menggesa suaminya menunjukkan apartmen tempat tinggal wanita berkenaan. Isteri lelaki terbabit kemudian merempuh pagar dan juga garaj apartmen itu dengan keretanya yang disangka menjadi tempat tinggal musuhnya itu. - AFP, hmetro

Pengantin baru dibaham jerung

TINGGAL KENANGAN... perkahwinan Redmond dengan Gemma baru-baru ini.
TINGGAL KENANGAN... perkahwinan Redmond dengan Gemma baru-baru ini.
VICTORIA (Seychelles): Percutian dan bulan madu pasangan pengantin baru di pulau peranginan di Lautan Hindi bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dibaham ikan jerung, semalam.
Baru berkahwin 11 hari lalu, Ian Redmond, 30, menjadi mangsa serangan ganas ikan jerung di depan isterinya.

Media melaporkan, Redmond sedang leka berenang kira-kira 30 meter dari pantai apabila dia tiba-tiba menggelepar dan menjerit meminta tolong.

Pasangannya, Gemma Houghton, dari Wigan, England, berbaring di pantai apabila dikejutkan dengan jeritan Redmond.

Gemma, 27, panik melihat suaminya dibaham ikan ganas itu.

Beberapa nelayan berjaya menarik Redmond ke sampan dan membawanya ke pantai.< Saksi berkata, lelaki terbabit cedera parah akibat gigitan ikan jerung berkenaan. Katanya, ikan paus itu membaham sebahagian besar daging pada tubuh Redmond menyebabkan dia kehilangan banyak darah.Katanya, Redmond menghembus nafas terakhir sebelum sempat pasukan paramedik tiba.

Obesiti di Kuwait teruk

MANAMA: Kuwait mempunyai kadar obesiti paling tinggi di dunia, kata Ketua Jabatan Pembedahan Hospital Al Sabah, Dr Mubarak Al Kandari, semalam.
Menurutnya, kira-kira 250,000 warga Kuwait menghidap obesiti dan sehingga 50,000 daripada mereka memerlukan pembedahan.

“Kadar obesiti di Kuwait kini adalah yang paling tinggi di dunia,” katanya, dipetik oleh akhbar Al-Watan. Beliau juga berkata, unitnya menerima sehingga 30 pesakit seminggu. - AN, hmetro

Bunuh, kerat mayat

BANDAR RAYA MEXICO: Kumpulan pengedar dadah di negara ini membunuh dan mengerat mayat seorang lelaki sebelum membuang anggota tubuhnya di beberapa tempat di sekitar Acapulco.
Insiden mengerikan itu adalah sebagai ugutan kepada pihak berkuasa di bandar raya peranginan itu yang kini dihantui keganasan kumpulan dadah. Polis kelmarin menerima laporan terdapat kepala manusia dibiarkan di sebatang jalan raya yang sesak. Mereka juga menemui bahagian tubuh manusia dalam sebuah beg.

Sejurus kemudian kaki betis mangsa turut ditemui tergantung di sebuah jambatan dengan nota daripada suspek kepada pihak berkuasa. Di satu lagi jambatan di jalan menuju ke bandar raya Mexico di utara Acapulco, polis menjumpai tangan mangsa dengan nota kepada kerajaan pusat dan tempatan.

Ketiga-tiga nota itu kelihatannya diletakkan pada waktu yang sama dan turut mempunyai tulisan sama. - AFP
-hmetro

Aktor kencing dalam kabin: Penerbangan tergendala dua jam

PARIS: Bintang filem Perancis, Gerard Depardieu, kencing di tempat duduk penumpang kapal terbang apabila mendapati tandas pesawat berkenaan ditutup, kata sumber, semalam.
Katanya, aktor berusia 63 tahun itu menjerit mahu membuang air ketika penerbangan dari Paris ke Dublin, Ireland, bersedia untuk berlepas.

“Disebabkan pesawat itu bergerak di landasan dan bersedia untuk berlepas, kru kabin meminta Depardieu bersabar,” katanya.

Bagaimanapun, kata saksi, pelakon yang pernah dicalonkan untuk anugerah Oscar itu memberitahu, dia tidak boleh menahan dirinya.

“Dia yang kelihatan mabuk kemudian berdiri dan kencing di situ juga,” katanya.

Perbuatan Depardieu memaksa penerbangan itu tergendala dua jam bagi membolehkan pesawat dicuci. Tidak dapat dipastikan sama ada Depardieu dibenarkan terus menaiki pesawat itu atau tidak. - Agensi, hmetro

Padah mulut busukPadah mulut busuk

MANAMA: Seorang pemandu di Kuwait disaman oleh seorang anggota polis trafik kerana mulut berbau busuk.
Kejadian itu yang tidak berlaku sebelum ini mencetuskan kontroversi dan sumber polis memberitahu akhbar Al Anba, kes itu menjadi begitu rumit.

“Adakah pemandu itu akan didenda? Jika begitu, atas alasan apa dan berapa jumlah yang perlu dibayar. Jika keretanya disita, adakah ia akan kekal di garaj balai polis selama dua bulan? “Kemungkinan satu tolak ansur dicapai masih belum dapat dipastikan,” kata sumber itu.

Menurut laporan polis itu, pemandu berkenaan mengaku mulutnya berbau busuk. - GN, hmetro

Gaddafi tumbang akhir Ramadan

BENGHAZI: Kedudukan pemberontak Libya semakin kukuh dengan kemaraan baru di medan pertempuran semalam.
Dalam pada itu, pemimpin kumpulan itu berkata, perang saudara selama enam bulan itu kini memasuki fasa penentuan dan mungkin berakhir dalam masa beberapa minggu lagi.

Tentera pemberontak dilapor mara lebih jauh bagi memencilkan Tripoli dengan bergerak ke arah sebuah bandar di barat negara itu yang menghubungkan ibu negara berkenaan dengan Sirte, bandar asal Muammar Gaddafi dan juga kubu kuat tenteranya.

“Pasukan peninjau kumpulan revolusi tiba di pinggir Al-Heisha selepas mengusir tentera Gaddafi,” menurut kenyataan yang dikeluarkan markas tentera pemberontak awal semalam.

Al-Heisha terletak kira-kira 70 kilometer ke selatan Misrata dan 250 kilometer dari Tripoli, berhampiran dua persimpangan utama yang menghubungkan wilayah yang dikuasai penyokong Gaddafi di Sirte.

Ia perkembangan terbaru dalam pertempuran bagi memencilkan Tripoli yang diharap oleh pemberontak akan memaksa lebih ramai penyokong pemimpin Libya itu berpaling tadah dan mencetuskan kebangkitan menentang rejim Gaddafi di Tripoli. Duta Majlis Peralihan Kuasa Kebangsaan di Paris, Mansur Saif al-Nasr berkata, pemberontak kini sudah menguasai sepenuhnya Zawiyah, pelabuhan penting di barat Tripoli yang menghubungkan ibu negara itu dengan Tunisia. “Kami memasuki fasa penentuan. “Kami berharap dapat meraikan kemenangan serentak dengan berakhirnya Ramadan,” katanya. - AFP, hmetro

Lelaki mahu saman Belgium, Perancis

BRUSSELS: Seorang ahli perniagaan Perancis semalam membayar denda dua wanita di sini kerana memakai pakaian menutup seluruh tubuh dan mendedahkan rancangan menyaman Belgium dan Perancis di mahkamah kerana menguatkuasakan undang-undang mengharamkan pemakaian niqab dan burqa.

Ejen hartanah, Rachid Nekkaz membentuk dana 1 juta euro (RM4.3 juta) untuk membayar denda terhadap wanita Islam terbabit yang didenda 50 euro (RM215) seorang.
“Perancis dan Belgium memutuskan untuk menghalang kebebasan wanita memakai apa yang mereka mahu,” katanya kepada wartawan di luar pejabat perbandaran di sini, disaksikan dua wanita berkenaan.
“Saya beranggapan adalah tidak boleh diterima kerajaan Eropah mengadakan undian bagi meluluskan undang-undang yang tidak menghormati hak individu,” katanya.

Undang-undang Belgium mengharamkan sebarang penutup muka di khlayak ramai mula berkuat kuasa bulan lalu manakala Perancis adalah negara pertama memperkenalkan larangan itu, April lalu. – Reuters , bharian

Bayi 3 bulan mati tersedak susu

MOHAMAD NUR IFFAN, meninggal tersedak susu.
MOHAMAD NUR IFFAN, meninggal tersedak susu.

Abang lihat darah bercampur susu mengalir dari hidung mangsa

PADANG BESAR: “Sedih, sebak dan sayu. Hanya Tuhan tahu perasaan saya apabila melihat tubuh Nur Iffan yang sudah tidak bernyawa itu. Saya hanya mampu peluk tubuh Nur Iffan yang kecil dan cium dia berkali-kali. Itu semua sudah terlambat kerana dia pergi meninggalkan kami.
“Kedatangan Aidilfitri yang hanya berapa lama lagi ini tidak bermakna buat kami sekeluarga, namun saya reda dengan apa yang terjadi,” kata Ramlah Ibrahim, 27, ibu Mohamad Nur Iffan Md Yussof, tiga bulan, yang meninggal dunia awal pagi semalam, dipercayai kerana tersedak susu ketika tidur.
Tambah menyayat hati, pemergian bayi lelaki yang juga anak bongsu lima beradik itu ketika umat Islam semakin hampir menyambut kedatangan Aidilfitri yang bakal menjelang dalam tempoh kurang dua minggu lagi.

Berdasarkan maklumat, Mohamad Nur Iffan disedari mengalami pendarahan pada hidung jam 3 pagi, sejurus ibunya tersedar daripada tidur di rumah mereka di Taman Sri Tunjung, Beseri, dekat sini.

Terdahulu, Mohamad Nur Iffan dikatakan tidur bersama ibunya selepas diberi susu badan kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.

Ramlah hanya menyedari bayinya tidak bernafas selepas dikejutkan anak sulung berusia 12 tahun yang melihat darah bercampur susu mengalir dari hidung bayi itu.
Katanya, dia dan suami, Md Yussof Md Amin, 48, baru bercadang membelikan Mohamad Nur Iffan baju raya kerana sukar berbuat demikian disebabkan tubuh bayi itu agak kecil berikutan lahir tidak cukup bulan.

“Saya masih ingat senyuman yang disertai ketawa riang Nur Iffan ketika dia dimandikan petang semalam (kelmarin), sedangkan sebelum ini dia tidak pernah ketawa sebegitu,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes terbabit yang dibuat bapa mangsa kira-kira jam 5 pagi semalam.

“Kes diklasifikasikan mati mengejut. Bagaimanapun, kita sedang menunggu hasil laporan bedah siasat ke atas mangsa untuk mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau khianat dalam kes terbabit,” katanya. 
-bharian

Sembilan maut pulang beraya

Foto
KENDERAAN terbabit nahas di Engkilili remuk teruk.
Foto
POLIS membawa lima mayat ke Hospital Umum Kuching.
Foto
KELUARGA mangsa nahas di Engkilili, semalam tidak dapat menahan kesedihan menerima kematian orang tersayang.

Kenderaan dinaiki 10 warga Indonesia terbabas sebelum bertembung lori

SRI AMAN: Keriangan 10 warga Indonesia pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri, berakhir tragedi apabila sembilan daripadanya maut selepas kenderaan dinaiki bertembung sebuah lori di Jelukong, Engkilili dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam nahas jam 3.30 pagi itu, sembilan mangsa ditemui dalam keadaan bertindih dan terhimpit dalam Toyata Rush dinaiki mereka, manakala satu lagi mayat tercampak ke luar.
Semua mangsa berasal dari Dusun, Tanjung Buluh, Kalimantan Barat dikenali sebagai Juhran, 40; Asmadi, 51; Yusran Said, 29; Maulidi Munziri, 22; Muslimin Jabir, 25; Ilham Tamrin, 27; Ilham Muzani, 26; Jafri Anwar, 26; Junaidi Tamrin, 38; dan yang cedera parah dikenali sebagai Parudin Tamrin, 40.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Superintendan James Johnathan, berkata nahas dipercayai berpunca daripada kenderaan dinaiki mangsa dari arah Bintulu terbabas sebelum merempuh lori membawa ayam beku dari Kuching.

“Kenderaan itu lebih muatan dan siasatan awal mendapati ia hilang kawalan ketika tiba di Engkilili menyebabkan pemandunya gagal mengelak lori yang dipandu dua warga tempatan. Pasukan penyelamat mengambil masa tiga jam bagi mengeluarkan mayat semua mangsa,” katanya di sini, semalam.

Pemandu lori, Then Kee Nyong, 45, cedera di kening, manakala kelindannya, Kho Jik Hua, 64, patah kaki, dihantar Hospital Umum Sarawak (HUS) bersama Parudin.
James berkata, semua mangsa menjalankan perniagaan di Bintulu dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kalimantan Barat bagi menyambut Aidilfitri.

“Kita sudah memaklumkan kepada Pejabat Konsulat Indonesia di Kuching mengenai tragedi ini dengan ahli keluarga diminta datang ke sini bagi proses pengecaman mayat,” katanya.

Semua jenazah ditempatkan sementara di Hospital Betong, Hospital Sri Aman dan HUS bagi proses pengesahan dan bedah siasat sebelum diserahkan kepada pihak Konsulat Indonesia.

Pegawai Konsulat Indonesia di Kuching, Joko Suprato, menyifatkan kejadian yang menimpa warganya ketika negara menyambut Hari Kemerdekaannya, adalah sesuatu yang menyedihkan.

Sementara itu, seorang mangsa, Ilham sempat berbuka puasa bersama abangnya dan teruja untuk pulang menyambut Aidilfitri.

“Saya tidak tahu apa yang hendak dijelaskan kepada ibu bapa di kampung,” katanya.

Dalam pada itu, hasrat keluarga mangsa yang mahu menuntut mayat kira-kira jam 2 petang tidak kesampaian kerana kes masih dalam siasatan. -bharian

2 hasut di Facebook kena empat tahun

LONDON: Dua lelaki yang menggunakan laman rangkaian sosial Facebook untuk menghasut rusuhan ketika keadaan huru-hara di Britain minggu lalu dijatuhi hukuman penjara empat tahun, kata polis.

Jordan Blackshaw, 20, dari Cheshire dan Perry Sutcliffe-Keenan, 22, dari Warrington, kedua-duanya di barat laut England, dipenjarakan selepas didapati menubuhkan satu ruangan Facebook untuk menggalakkan penduduk di bandar asal mereka supaya merusuh.
Ruangan Blackshaw, ‘Smash Down Northwich Town,’ menggalakkan penduduk berkumpul di balik maccies - dipercayai restoran McDonald di pusat bandar Northwich, Selasa lalu.
Ruangan Sutcliffe-Keenan, ‘Let's Have a Riot in Latchford,’ menggesa penduduk merusuh pada hari berikutnya.

“Hukuman yang dijatuhkan hari ini membuktikan bagaimana teknologi boleh disalah guna untuk menghasut aktiviti jenayah dan menghantar satu mesej untuk mencetuskan kacau-bilau dan,” kata Penolong Ketua Polis Chesire Konstabel Phil Thompson.

“Sesiapa yang mahu mencetuskan huru hara akan berdepan penguatkuasaan undang-undang,” tambahnya.

Lima orang terkorban ketika rusuhan empat hari yang diburukkan lagi dengan perbuatan mencuri dan membakar bangunan di London ini dan beberapa bandar besar lain di England.
Pendakwa raya Martin McRobb berkata ruangan itu mencetuskan perasaan panik dan perubahan tiba-tiba di kalangan penduduk tempatan.

“Jordan Blackshaw dan Perry Sutcliffe yang melakukan kegiatan dengan bebas dan berasa selamat di rumah mereka mungkin berpendapat tidak menjadi satu kesalahan jika menubuhkan satu ruangan Facebook bagi menghasut yang lain untuk mengambil bahagian dalam rusuhan di Chesire. Anggapan itu salah,” katanya. – AFP
-bharian  

TEPCO akui gagal sejuk loji nuklear

PENUNJUK perasaan anti-nuklear memegang sepanduk bantahan di hadapan ibu pejabat  TEPCO di Tokyo, semalam.
PENUNJUK perasaan anti-nuklear memegang sepanduk bantahan di hadapan ibu pejabat TEPCO di Tokyo, semalam.

Tangguh operasi alat tak serap bahan radioaktif

TOKYO: Tokyo Electric Power Co (TEPCO) berkata pihaknya gagal dalam cubaan untuk menyejukkan dan menutup loji jana kuasa nuklear yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami di Fukushima menjelang Januari depan, ketika krisis nuklear terburuk dunia sejak 25 tahun lalu itu berterusan.
Usaha menyahcemar air yang tinggi kandungan radioaktifnya di loji itu ditangguhkan berikutan kegagalan peralatan penyerapan bahan radioaktif cesium, yang menyebabkan kebocoran air dan kerosakan pam, menjejaskan proses menstabilkan loji yang semakin teruk itu.
“Tidak mustahil usaha menyahcemar tidak dapat diselesaikan seperti yang dirancang menjelang akhir tahun ini, walaupun kami masih belum memutuskan untuk mengubah sebarang perancangan.

“Ia mungkin akan menjejaskan proses penyejukan dan penutupan loji,” kata seorang jurucakap syarikat yang enggan dikenali.

Ulasannya disusuli kenyataan sama oleh jurucakap TEPCO mengenai isu nuklear, dan Junichi Matsumoto kelmarin yang dilaporkan dalam akhbar harian perniagaan Nikkei.

Penutupan dan penyejukan biasanya didefinisikan sebagai kandungan air di dalam reaktor yang berada di bawah paras 100 darjah selsius dalam atmosfera biasa, mengelak bahan api radioaktif itu daripada panas semula.
TEPCO juga mengesahkan semalam bahawa ia menguji satu peralatan pemprosesan air radioaktif ketika ia bertungkus lumus menangani kerosakan akibat gempa bumi dengan magnitud 9.0 dan tsunami yang meranapkan pantai timur laut Jepun Mac lalu.

Dengan anggaran hanya 42,000 tan air tercemar diproses menjelang 9 Ogos, 120,000 tan masih tinggal di ruang bawah bangunan turbin dan di tempat lain.

TEPCO menetapkan matlamat memproses 200,000 tan air radioaktif menjelang akhir tahun ini berikutan lebih banyak air akan tercemar dalam proses memastikan reaktor rosak terkawal.

Pihak berkuasa TEPCO dan Menteri Krisis Nuklear Goshi Hosono merancang mengadakan satu sidang media bersama jam 4.30 petang semalam (0730 GMT) untuk menjelaskan perkembangan tugas mengawal semula reaktor rosak.

Ujian bagi peralatan menyerap cesium Toshiba Corp, dikenali sebagai Sarry, dijalankan dengan mengalirkan air radiasi tahap rendah melalui peralatan dari syarikat nuklear Perancis Areva SA dan syarikat pengurusan sisa nuklear Amerika Syarikat Kurion Inc.

Ia dijadualkan beroperasi sepenuhnya seawal Khamis ini, kata pihak berkuasa
TEPCO. Sarry lebih mudah diurus kerana ia memiliki kurang pam yang sering rosak. Walaupun sistem ini beroperasi sepenuhnya, kadar keseluruhan operasi kekal pada 90 peratus. Secara kasar 195,000 tan air tercemar akan diproses tahun ini. – Reuters , bharian

Warga emas OKU nyaris rentung


DUA orang penduduk melihat keadaan rumah Peck Hiang (gambar kecil) yang hangus terbakar di Kampung Tanjung Che Mas, Tumpat semalam.

TUMPAT – Seorang wanita warga emas kelainan upaya yang menghidap kanser tulang nyaris rentung dalam satu kebakaran di Kampung Tanjung Che Mas di sini pagi semalam gara-gara enggan keluar dari rumah kerana sayangkan ubat, dokumen kesihatan dan peribadinya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Teo Peck Hiang, 59, yang lumpuh sebelah kiri badan, pekak dan bisu hanya duduk terpaku di kerusi di ruang tamu sambil menangis teresak-esak sebelum anak dan anak saudaranya datang menyelamatkannya.
Anaknya, Chu Ai Reen, 31, berkata, pada masa itu dia tiada di rumah kerana membeli sayur di pasar berhampiran namun segera pulang apabila diberitahu oleh anak saudaranya Hong Ee Chen, 13, yang tinggal bersama warga emas itu pada masa kejadian.
“Saya bergegas pulang dan sebaik tiba, saya lihat ibu saya hanya duduk di kerusi dan menangis manakala api telah merebak menghampiri ruang tamu. Kalau saya lambat, mungkin ibu saya tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Ai Reen, sebelum dia tiba, Ee Chen telah cuba mengajak Peck Hiang keluar tetapi wanita itu tidak mahu berbuat demikian sehinggalah Ai Reen datang.
“Melalui bahasa isyarat, dia risaukan ubat serta dokumen kesihatannya tapi setuju untuk keluar setelah saya mengatakan akan mengambil semua ubatnya kemudian,” katanya.
Menurut Ai Reen, rumah itu didiami oleh lima orang iaitu ibu bapanya, ibu Ee Chen, Ong Kim Kee, 47, bersama dua anaknya. Namun, pada masa kejadian hanya ada Peck Hiang dan Ee Chen sahaja berada di rumah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaacob Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.45 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat tiba dengan bantuan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor namun semasa tiba, 90 peratus rumah telah terbakar,” katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal dalam masa 10 minit dengan dibantu punca air dari sungai di depan rumah mangsa.
“Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya.-kosmo

Pemain bola T-Team putus jari




Zuhairi menunjukkan tangan kanannya yang berbalut selepas lima jarinya tersepit mesin tebu ketika menerima rawatan di HSNZ, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Niat murni seorang pemain bola sepak Piala Presiden T-Team untuk mencari duit raya dengan berniaga air tebu di bazar Ramadan Marang di sini berkecai apabila kesemua lima jari tangan kanannya putus akibat digilis mesin tebu dalam kejadian pada 7 Ogos lalu.
Kejadian pada pukul 5.30 petang itu berlaku ketika Zuhairi Ahmad, 21, sedang sibuk memasukkan batang tebu ke dalam mesin sebelum tangan kanannya tiba-tiba tersangkut dan digilis.
Panik dengan keadaan itu, Zuhairi yang bermain di posisi pertahanan dalam pasukan Piala Presiden T-Team terus mematikan suis utama mesin itu sebelum menarik keluar tangannya yang berlumuran darah.
“Ketika itu saya masih tidak perasan yang lima jari saya telah putus, sehingga saya tarik keluar tangan kanan saya dari mesin itu,” katanya ketika ditemui di wad pesakit Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.
Menceritakan kejadian itu, Zuhairi dari Kampung Rhu Muda, Marang memberitahu, dia berniaga air tebu di bazar Ramadan untuk menambahkan pendapatan keluarganya.
“Memandangkan musim pertandingan Piala Presiden sudah berakhir, jadi saya ambil keputusan berniaga air tebu dengan dua lagi rakan.
“Ini adalah tahun pertama saya berniaga tetapi tak sangka pula perkara ini akan berlaku. Apa yang saya risau adalah masa depan saya dalam bola sepak kerana amat sukar bermain dalam keadaan seperti ini,” ujarnya.
-kosmo

Hukum penyimbah asid setimpal




MUHAMMAD KHAIRUN (kiri) bertanya sesuatu kepada Mohd. Rafi di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Undang-undang sedia ada untuk menghukum penjenayah simbahan asid perlu dikemas kini supaya hukuman setimpal dengan kecacatan kekal yang dialami mangsa dapat dikenakan terhadap penjenayah terbabit.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, berdasarkan kes-kes lepas, pihak polis mengkategorikan kesalahan simbah asid di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum tiga tahun penjara dan denda RM1,000 terhadap pesalah.
Tegas beliau, hukuman tersebut jelas tidak setimpal jika dibandingkan dengan kecederaan teruk dan trauma yang dialami mangsa.
“Secara peribadi, saya melihat hukuman yang dikenakan ketika ini tidak cukup tegas bagi mengekang jenayah simbahan asid yang sedang berleluasa di negara kita.
“Orang yang tidak bertanggungjawab akan terus-menerus menjadikan asid sebagai senjata mudah untuk melepaskan dendam mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa simbahan asid, Mohd. Rafi Abdul Latiff, 28, di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Besar Kuala Lumpur semalam.
Mangsa dikatakan disimbah dengan asid ketika sedang menunggu rakannya di dalam kereta di kawasan tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raya Laut selepas membeli-belah persiapan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman kira-kira pukul 1.10 pagi pada 8 Ogos lepas.
Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu melecur teruk di muka, kedua-dua belah tangan dan mata kanannya kabur kesan simbahan asid tersebut.
Sementara itu, Muhammad Khairun turut menggesa setiap pembelian asid oleh orang ramai didaftarkan supaya ia dapat direkodkan bagi memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa.
“Saya yakin melalui tindakan itu, ia akan dapat memberi persekitaran yang lebih selamat kepada komuniti,” ujarnya.
Sementara itu, abang mangsa, Pegawai Staf 2 di Dasar Latihan Peperangan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Mohd. Jeffry Abdul Latiff, meminta kerajaan memperluaskan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) terutamanya di kawasan awam.
“Rakaman melalui CCTV ini akan dapat membantu pihak berkuasa mengesan penjenayah,” katanya.
-kosmo

Gadis hilang ditahan peras ugut keluarga



KERATAN Kosmo! 16 Ogos 2011.


PUCHONG – Tembelang Ameerah Asha Azizan, 17, yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu terbongkar selepas dia ditahan polis bersama teman lelakinya kerana disyaki menipu ibu bapanya dengan merancang penculikan diri sendiri dan meminta wang tebusan berjumlah RM50,000.
Sebelum dilaporkan hilang, Ameerah Asha, pelajar tingkatan lima dikatakan tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan di Sekolah Menengah Puchong Utama 1 dekat sini pada 12 Ogos lalu.
Bagaimanapun, rancangan penculikan itu terbongkar apabila Ameerah Asha dan teman lelakinya seorang penganggur berusia 19 tahun ditahan ketika pasangan tersebut menaiki sebuah kereta di kawasan Saujana Puchong dekat sini pada pukul 9 pagi semalam.
Pada 27 Julai lalu, modus operandi sama digunakan oleh seorang pelajar wanita sebuah kolej swasta dekat Subang Jaya.
Gadis itu bersubahat dengan kekasihnya seorang lelaki Nigeria sebelum mereka meminta wang tebusan sebanyak RM1.5 juta daripada keluarga si gadis yang berada di Kuching, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, penahanan pasangan remaja itu dibuat susulan daripada panggilan ugutan seorang lelaki tidak dikenali diterima oleh bapa Ameerah Asha yang meminta wang tebusan.
“Panggilan ugutan tersebut merupakan petunjuk penting polis menyelesaikan kes kehilangan Ameerah Asha.
“Gadis itu tidak hilang sebaliknya mengikut teman lelakinya sebelum merancang penculikan untuk mendapatkan wang,” kata beliau kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.-kosmo

Mentega DNA babi masih tidak diasing



MENTEGA yang mengandungi DNA babi (paling kanan) masih bercampur dengan mentega halal yang lain di salah sebuah pasar raya di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Walaupun pihak berkuasa meminta agar pengusaha pasar raya dan peruncit mengasingkan segera mentega mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi ke seksyen tidak halal, namun masih ada yang tidak peduli.
Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar raya mendapati mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang disahkan tidak halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Isnin lalu masih diletakkan bersama produk halal lain di pasar raya.
Sebuah pasar raya di Jalan Cheras di sini didapati seolah-olah tidak peka dengan arahan terbabit kerana mempamerkan produk itu bersama mentega halal lain.
Selain hanya mengasingkan produk itu beberapa sentimeter dari produk halal, tiada sebarang notis tidak halal ditampal pada bahagian mentega DNA babi terbabit.
Bagaimanapun, tinjauan di empat lagi pasar raya terkemuka di Ampang, Taman Midah, Jalan Peel dan Jalan Loke Yew di sini tidak menemui produk mentega babi yang dijual pada harga RM7.99 itu.
Kosmo! semalam melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta semua pengusaha pasar raya dan peruncit mengasingkan segera mentega terbabit ke dalam rak seksyen tidak halal.-kosmo

Rakam gambar kapal angkasa dari belakang rumah



GAMBAR kapal angkasa Atlantis melintasi matahari yang berjaya dirakamkan Thierry Legault.


EMDEN, Jerman - Seorang jurutera berusia 49 tahun dari Perancis, Thierry Legault berjaya merakamkan gambar kapal angkasa Atlantis milik Amerika Syarikat (AS) melintasi matahari dari belakang rumahnya, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Dia merakamkan gambar itu pada 21 Julai lalu 20 minit sebelum kapal angkasa tersebut memasuki atmosfera Bumi selepas berlepas dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.
THIERRY LEGAULT bersama peralatan kameranya.


Jurutera itu merakamkan gambar tersebut dengan menggunakan sebuah kamera yang diletakkan pada sebuah teleskop yang mengandungi penapis solar bagi menghalang cahaya matahari merosakkan peralatannya itu di belakang rumahnya dekat Emden, Jerman.
Dia berjaya merakamkan gambar itu tanpa menggunakan peralatan kamera dan teleskop yang bernilai berjuta-juta dolar semasa kapal angkasa tersebut bergerak selaju 7.8 kilometer satu saat. - Agensi, kosmo

Remaja 15 tahun hamil anak luar nikah





THORNABY, Britain - Seorang remaja perempuan, Soya Keaveney (gambar) menggembirakan ibunya selepas dia hamil luar nikah ketika berusia 15 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Ketika usianya baru menjangkau 12 tahun, Soya Keaveney pernah beraksi untuk sesi fotografi dengan cuma memakai pakaian dalam kerana dia bercita-cita untuk menjadi seorang model.
"Saya terkejut pada mulanya tetapi kini saya sungguh teruja," kata Soya yang kini hamil 16 minggu.
"Saya merupakan wanita yang pertama akan melahirkan anak dalam kalangan rakan-rakan saya, tetapi saya tidak fikir saya dewasa dengan terlalu cepat," tambahnya.
Ibunya yang menganggur, Janis, 48, turut gembira kerana kehamilan Soya membolehkan mereka memohon rumah kerajaan yang lebih besar untuk keluarga itu termasuk anak-anaknya yang lain iaitu Coco, Ritzy, Tarot dan Jake di bawah skim kebajikan Britain.
Soya mengandungkan anak luar nikah teman lelakinya, Jake Gray, 17, hasil hubungan intim mereka pada Mei lalu.
Janis yang membenarkan Jake tinggal di rumah mereka menyatakan, anak perempuannya benci pengguguran bayi.
"Saya yakin dia akan menjadi seorang ibu yang baik dan akan mendidik anaknya dengan penuh disiplin seperti yang saya lakukan," kata wanita itu.
- Agensi, kosmo

Datuk bandar letak bongkah batu di rumah bekas isteri




BONGKAH batu yang diletakkan oleh Dany Lariviere di rumah bekas isterinya di Quebec, Kanada pada Sabtu lalu.


MONTREAL, Kanada - Datuk bandar di bandar kecil Quebec disiasat polis kerana membuang sebuah bongkah batu seberat 20 tan di halaman rumah bekas isterinya pada awal Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Dany Lariviere (gambar kecil) yang merupakan Datuk Bandar Saint-Théodore-d'Acton, dekat sini, mendakwa dia meletakkan batu itu di halaman kediaman Isabelle Prévost untuk mengelakkan wanita itu daripada terus mengganggunya.
Lariviere, yang turut memiliki sebuah syarikat perlombongan menyembur tulisan pada bongkah batu itu dengan ucapan "Selamat Hari Jadi Elsa."
Dia turut menghiasi batu itu dengan riben.
"Saya perlu melakukan sesuatu agar dia berhenti mengganggu saya," katanya kepada stesen televisyen tempatan, TVA.
"Tiada batu permata cukup besar dapat memuaskan keinginannya, kini dia bertuah kerana mendapat batu paling besar dalam hidupnya," tambah lelaki itu.
Menurutnya, bongkah batu tersebut merupakan 'hadiah' kepada bekas isterinya.
Pasangan itu yang berpisah tiga tahun lalu, saling menuduh masing-masing melakukan gangguan terhadap satu sama lain.
Bekas pasangan suami isteri itu berkongsi hak penjagaan dua anak mereka. - Agensi, kosmo