Pages

Monday, June 20, 2011

Kisah Benar Solat Berjemaah



Berjalan menuju solat berjemaah di masjid merupakan salah satu cara memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Hal itu didasarkan pada firman Allah (lihat kitab Tuhfatu al-Ahwadzi bi Syarhi Jami' at-Turmudzi, IX/104);
"Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." - QS. An-Nahl: 97
Ini adalah kisah benar dari daerah Bekasi, Jawa Barat.
Seorang lelaki bernama Haris (bukan nama sebenar) adalah dahulunya seorang pemuda yang jarang solat berjemaah di masjid.
Dia ke masjid hanya untuk solat Jumat atau solat di Hari Raya.
Malah dia dulu dikenali dengan panggilan 'Playboy'. Setiap tahun dia berganti pasangan. Dia juga dahulu bermain muzik (drummer).
Tidak pula memperhatikan sunnah Rasul. Padahal dia adalah anak Pak Haji dan Ketua majlis keamanan Masjid di perumahannya.
Baru ketika dia belajar, hidayah Allah menggiringnya untuk melakukan solat zohor berjemaah di masjid kampusnya.
Setelah selesai solat, ada tazkirah yang didengar Haris. Pemberi tazkirah itu menyebutkan hadits Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah shalat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun dengan merangkak." - Shahih Muslim, V/160
Sejak saat itulah Haris mulai memikirkan apa yang sebenarnya terkandung di dalamnya sehingga Rasulullah bersabda manusia akan mendatanginya meskipun dengan merangkak.
Haris pun mulai melaksanakan solat Isyak berjemaah di masjid malam harinya, dan dilanjutkan dengan Subuh berjemaah di masjid dekat rumahnya untuk mencuba merasakan apa yang sebenarnya dimaksudkan Nabi.
Selalu terlindung dari musibah
Haris ketika itu masih belajar di jurusan sastera Inggeris.
Setiap kali setelah dia pulang kuliah, dia mengajar kelas tuisyen kepada anak-anak kecil maupun orang dewasa.
Hampir lulus ijazah pertama, dia sudah ditawarkan pekerjaan melalui panggilan telefon dari sebuah syarikat untuk menjadi wartawan.
Haris mulai merenungkan apakah ini yang dimaksud manfaat dari solat Isyak dan Subuh berjemaah di masjid, rezeki begitu mudah diraih tanpa susah-susah mencari sedangkan banyak temannya yang mencari ke mana-mana tapi tidak diterima.
Akhirnya Haris lulus ijazah dan sempat menjadi wartawan di syarikat tersebut.
Tetapi pekerjaan menjadi wartawan tidak menentu waktunya.
Hari Sabtu dan Minggu harus bersedia untuk dipanggil bekerja. Pulang dari kerja selalu lewat. Haris jadi jarang solat Isyak di masjid.
Waktu subuh dia perlu bertolak ke tempat kerja agar tidak terlewat.
Sejak itu pula dia mula meninggalkan kebiasaannya mendengar dan bermain muzik.
Semuanya terlalu memenatkan dan tidak sesuai dengan jiwa Haris yang terbiasa mengajar.
Kalau sudah kepenatan, dia sering mengantuk ketika menunggang motor.
Dia bernasib baik kerana Allah masih menjaganya walaupun Haris mulai leka dalam melaksanakan solat berjemaah di masjid kerana pekerjaannya itu. Allah sedang mengujinya.
Harris pun keluar kerja agar tidak terlalu penat, boleh berjamaah di masjid, dan berniat memulakan perniagaan sendiri.
Sebelum dia sempat memulakan perniagaannya, Allah telah memberinya rezeki yg telah dijanjikan.
Dia mendapat pesanan menerjemahkan buku luar negeri dari sebuah penerbit yang hasilnya boleh membuat dia bertahan beberapa bulan sampai dia mendapat pekerjaaan tetap yang lain.
Bekerja dari rumah membuat Haris makin rajin solat berjemah di masjid.
Dia mulai merasakan perubahan ke arah yang lebih baik dibanding dengan ketika dulu ia jarang solat berjemaah di masjid.
Ditinggikan Darjatnya oleh Allah
Allah memuliakan orang yang mendatangi masjid;
"Barangsiapa berwudhu di rumahnya kemudian dia mendatangi masjid, maka dia sebagai orang yang mengunjungi Allah, dan merupakan kewajiban bagi yang dikunjungi untuk memuliakan pengunjung-Nya." HR. Thabrani, VI/253, nombor 6139 dan 6145
Haris tetap sabar dan tekun terhadap terjemahannya.
Malah dia berpikir dan bersyukur masih diberi rezeki dan anugerah menerjemahkan buku seperti itu.
Berkat kesabaran dan rasa syukurnya, Allah kembali memberinya pekerjaan tetap dalam waktu terdekat.
Kali ini dia bekerja sebagai guru di sebuah sekolah antarabangsa, sebagai guru Bahasa Inggeris.
Tempat kerja Haris cukup jauh dari rumahnya.
Tapi dia menjalankannya dengan senang dan semangat, kerana serasi dengan jiwanya.
Dia juga masih boleh menjalankan solat Isya dan Subuh berjemaah di masjid.
Haris mulai merasakan inilah yang dimaksud Allah melalui sabda Nabi tadi. Banyak manfaat yang terkandung di dalam solat Isyak dan Subuh berjemaah di masjid:
Bagi Haris, mendapat ganjaran pahala kerana mengajarkan ilmu-ilmunya adalah suatu balasan dari Allah yang sangat baik.
Meskipun bekerja dengan senang hati dan penuh semangat, tidak bererti Haris tidak pernah kepenatan. Kerana lokasinya yang jauh, setiap kali pulang kerja Haris selalu mengantuk di motor.
Sudah lebih dari tiga kali dia hampir mengalami kemalangan motor.
"Dan (dirikanlah pula solat Subuh). Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat)" - QS Al Isra: 78
Dia bercerita, pada ketika itu, dia tertidur di motor, dia hampir, melanggar ppembahagi jalan raya dan masuk ke tol.
Allah mengirimkan malaikat-Nya untuk membelokkan motornya ke jalan yang benar.
Di waktu yang lain, dia juga pernah menaiki motor sambil tidur dan mengarahkan motornya ke arah yang berlawanan dandia bernasib baik kenderaan dari arah bertentangan tidak melanggarnya dan Allah segera membangunkannya.
"... Dan seseorang yang berangkat ke masjid, dia akan selalu berada dalam jaminan Allah sehingga Dia mewafatkannya lalu memasukannya ke surga atau menyerahkan kepadanya pahala dan ganjaran yang diperolehnya. ..." - Shahih Sunan Abi Dawud, II/473
Dari Jundab bin Abdullah ra., dia bercerita, Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa mengerjakan sholat subuh, maka dia akan selalu berada dalam jaminan Allah." - Syarhu an-Nawawi 'alaa Shahih Muslim, V/164
Sekarang Haris sudah menjadi pengetua Sekolah di tempatnya bekerja.
Saat Haris ditawarkan jawatani menjadi pengetua, umur Haris saat itu baru 24 tahun dan dia baru bekerja di situ dua tahun! Maha Besar Allah lagi Maha Penyayang.
Mari kita semua berdoa agar diberi hidayah oleh-Nya, diberi rezeki dari-Nya, diberi kemudahan untuk melangkahkan kaki ke masjid, dan boleh mengajak orang lain untuk melaksanakan sholat berjamaah di masjid.
Nabi Nuh tidak mampu memberikan petunjuk kepada anak lelakinya, Kan'am; Ibrahim tidak mampu memberikan hidayah dalam hati ayahnya; dan Rasulullah tidak sanggup memberikan hidayah kepada pakciknya, Abu Thalib.
Maka tugas kita semua adalah memohon petunjuk kepada Allah.
Dia berfirman, "Maka mintalah hidayah kepada-Ku, nescaya Aku akan memberikan kalian hidayah."
Siapa sahaja yang meminta hidayah kepada Allah, Dia akan memberinya hidayah.
Hidayah ini meliputi hidayah ilmu dan hidayah taufik. Berapa banyak waktu terbuang untuk bermain di depan komputer?
Sedangkan kita sukar sekali meluangkan waktu beberapa minit saja untuk melangkahkan kaki ke masjid padahal melangkahkan kaki ke masjid satu langkahnya menghapus dosa dan langkah lainnya mengangkat darjat.
"Tidaklah seseorang bersuci lalu dia melakukannya dengan sebaik-baiknya kemudian dia berangkat menuju ke salah satu masjid melainkan Allah telah menetapkan baginya kebaikan bagi setiap langkah yang diayunkannya, dengannya Dia akan meninggikan dirinya satu derajat, serta menghapuskan darinya satu kesalahan..." - HR. Muslim
http://www.iluvislam.com

Spratly: Filipina jamin tiada pertempuran




Gambar yang diambil oleh agensi berita Vietnam dan dikeluarkan pada 14 Jun lalu merakamkan askar Vietnam menjalani latihan menggunakan mesingan 12.7 mm di pulau Phan Vinh di Kepulauan Spratly. - AFP


MANILA 19 Jun - Ketua tentera Filipina, Jeneral Eduardo Oban hari ini memberi jaminan bahawa kapal perang utama negara ini tidak akan melepasi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Filipina sejauh 200 batu nautika apabila kapal itu dikerahkan berada berhampir perairan Laut China Selatan.
Oban, bagaimanapun berkata, beliau tetap optimis pertikaian wilayah akan diselesaikan secara aman dan konfrontasi bersenjata dapat dielakkan.
"Kami berharap keadaan tidak akan sampai ke tahap itu (konfrontasi tentera)," katanya kepada pemberita apabila ditanya sama ada tindakan Filipina mengerahkan kapal Rajah Humabon ke perairan yang menimbulkan pertikaian boleh mencetuskan pertempuran.
Jelas beliau, kapal itu tidak akan melewati garis sempadan maritim dan tidak akan memasuki perairan antarabangsa.
"Saya optimis apa juga konflik yang mungkin timbul akan diselesaikan secara aman dan diplomatik, meskipun saya menegaskan kita perlu juga menguatkuasakan undang-undang maritim dalam lingkungan zon 200 batu nautika," kata Oban.
Manila kelmarin berkata, ia akan mengerahkan Rajah Humabon ke Laut China Selatan, sehari selepas China mengumumkan sebuah kapal peronda maritimnya juga dijadual akan lalu di kawasan yang sama.
Rajah Humabon, sebuah bekas frigat tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang beroperasi semasa Perang Dunia Kedua adalah antara kapal perang tertua di dunia, dan memulakan perkhidmatan dalam tentera laut Filipina pada 1980.
Ketegangan dalam perbalahan berlarutan berhubung perebutan wilayah di Laut China Selatan meningkat sejak beberapa bulan lalu ekoran dakwaan Filipina dan Vietnam bahawa China semakin agresif dalam usaha untuk mengukuhkan tuntutannya.
Manila menuduh China pada bulan ini menghantar kapal tentera lautnya untuk mengancam bot dan kapal dari negara lain yang turut membuat tuntutan di sekitar Kepulauan Spratly, di samping memasang boya dan mencacakkan tiang-tiang penanda di kawasan berdekatan.
Menteri Luar Filipina, Albert del Rosario menemui rakan-rakan sejawatannya dari ASEAN, kelmarin dan menggesa mereka mengambil pendirian yang sama dalam menghadapi tindakan China berhubung tuntutan bertindih itu. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Jepun digesa tutup loji nuklear



TOKYO 19 Jun – Rakyat Jepun mahu kerajaan menutup loji-loji tenaga nuklear di negara ini ekoran krisis nuklear di Fukushima.
Ia berdasarkan satu tinjauan pendapat oleh akhbar Tokyo Shimbun yang menunjukkan empat daripada lima orang atau 82 peratus penduduk mahu loji berkenaan ditutup.
Lebih sembilan peratus mahu kesemua reaktor ditutup segera, manakala hampir 19 peratus menyatakan ia perlu ditutup apabila pemeriksaan rutin dilakukan.
Lebih 54 peratus responden pula mahu reaktor berkenaan ditutup apabila keadaan untuk menyalurkan bekalan elektrik mencukupi.
Hanya 14 peratus responden menyatakan tiada perubahan perlu dilakukan.
Jepun bergantung kepada tenaga nuklear untuk membekalkan satu pertiga bekalan elektrik dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Naoto Kan menyatakan ia akan kekal sebagai penyumbang utama tenaga negara.
‘‘Tinjauan pendapat itu memaparkan ketidakyakinan orang awam terhadap polisi nuklear kerajaan,’’ kata akhbar itu.
Tinjauan itu juga menunjukkan 67 peratus daripada 1,853 responden berkata, Jepun tidak perlu membina lebih banyak reaktor, manakala 22 peratus responden lagi mahu jumlah pembinaan reaktor baru dikurangkan.
Hanya enam peratus responden berkata, kerajaan perlu meneruskan projek untuk membina 14 reaktor baru menjelang 2030. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Sega diserang penggodam


TOKYO: Penggodam mencuri butiran peribadi kira-kira 1.29 juta pelanggan pengeluar permainan video Jepun, Sega, kata syarikat itu semalam.
Firma Jepun itu berkata, kecurian berkenaan berlaku di laman sesawang Sega Europe yang berpangkalan di Eropah.

Bagaimanapun, kenyataan Sega menyebut, data yang dicuri itu tidak mengandungi butiran kad kredit, sebaliknya mengenai nama, tarikh lahir, alamat e-mel dan kata laluan pelanggan.

“Kami meminta maaf atas segala masalah yang dialami pelanggan ekoran insiden ini,” kata kenyataan berkenaan.

Maklumat itu, kata Sega, digunakan syarikat terbabit untuk menyalurkan pengumuman maklumat produk baru kepada pelanggannya.


Selepas kecurian itu, perkhidmatan berkenaan terus digantung.

“Siasatan kini dijalankan untuk mencari punca dan saluran digunakan dalam kecurian berkenaan, ” katanya.

Menurut Sega, tiada laman sesawang Sega lain diserang, Sementara itu, Sega berjanji untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan rangkaiannya dan menyiarkan maklumat mengenai kecurian berkenaan apabila tiba masanya.
April lalu, penggodam turut menyerang laman sesawang syarikat elektronik dan hiburan gergasi Sony sehingga memaksa mereka menggantung perkhidmatan dalam talian selama beberapa minggu.

Sejumlah data peribadi daripada 100 juta dalam akaun Sony diceroboh, menjadikan ia satu daripada kebocoran data terbesar sejak ia menggunakan Internet.

Sony juga mengalami serangan penggodam pada laman sesawangnya di Greece, Thailand dan Indonesia.

Turut menjadi mangsa, laman sesawang syarikat pengeluar telefon bimbit Kanada, Sony Ericsson. Bulan ini, sekumpulan penggodam menamakan diri mereka Lulz Security mengaku bertanggungjawab menyerang Sony Computer Entertainment Developer Network dan mencuri maklumat teknikal firma itu. Baru-baru ini juga penggodam turut menyerang laman sesawang kerajaan Malaysia selain milik syarikat Nintendo, Citigroup dan Agensi Perisikan Pusat (CIA). - AFP
myMetro | Sega diserang penggodam

Isteri curang kaki belit


JITRA: Akibat tidak tahan sikap isterinya yang curang, seorang suami nekad menghubungi Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) untuk menangkap teman hidupnya itu yang berdua-duaan dengan lelaki lain di sebuah hotel, di sini, pagi kelmarin.
Lebih mengejutkan, siasatan ke atas wanita berusia 29 tahun itu mendapati dia memiliki empat rekod jenayah menipu dan tujuannya menjalin hubungan intim dengan lelaki berkenaan termasuk menyewa bilik hotel dipercayai untuk menipunya.

Sumber PADKP berkata, pihaknya mendapat aduan daripada suami wanita itu yang curiga dengan tindak-tanduk isterinya selepas wanita terbabit tidak pulang ke rumah.

Menurutnya, bertindak berdasarkan laporan lelaki berusia 30-an itu, sepasukan anggota penguat kuasa PADKP membuat pemeriksaan di sebuah hotel murah, di pekan Jitra 3, di sini, kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

“Sejurus kami mengetuk pintu bilik hotel yang disewa wanita terbabit, seorang lelaki berusia 29 tahun yang memakai baju-T serta berseluar pendek membuka pintu dan terkejut melihat kehadiran anggota PADKP,” katanya.


Menurutnya, hasil pemeriksaan penguat kuasa PADKP menemui seorang wanita berbaju-T dan berseluar jeans bersembunyi dalam bilik air dan berpura-pura bersiap untuk pulang ke rumah.

“Ketika disoal siasat, wanita yang berasal dari Pauh, Perlis, itu mendakwa dia masih bujang dan menyewa di hotel berkenaan untuk sementara waktu.


“Wanita itu memberitahu dia dan lelaki yang berasal dari Padang Siding, Perlis, mengambil gambar kenangan di sebuah studio di pekan Jitra,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, selepas disoal siasat beberapa kali, wanita itu mengaku dia isteri orang.

“Pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya,” kata sumber itu, semalam.

Sumber itu berkata, soal siasat PADKP juga mendapati wanita terbabit baru mengenali lelaki yang menjadi pasangan khalwatnya kira-kira sebulan lalu, tetapi mengakui pernah empat kali terlanjur tanpa pengetahuan suaminya.

“Berdasarkan maklumat, wanita itu membawa pasangannya menyewa hotel berkenaan dengan motif untuk menipu dan dia terbabit dalam beberapa kes penipuan,” katanya.

Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi berkata, pemeriksaan lanjut polis terhadap wanita terbabit mendapati dia memiliki empat rekod jenayah sejak 2004 bagi kes penipuan yang membabitkan kawasan Perlis, Alor Setar dan Changlun, tetapi sudah menjalani hukuman.
myMetro | Isteri curang kaki belit

4 sahabat maut


ROSAK...keadaan bas ekspres dua tingkat selepas dirempuh Toyota Vios.
ROSAK...keadaan bas ekspres dua tingkat selepas dirempuh Toyota Vios


KUALA LIPIS: Empat sahabat karib yang sedang dalam perjalanan ke sebuah restoran, maut dalam keadaan mengerikan apabila Toyota Vios dinaiki mereka terputus tiga akibat bertembung dengan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 23, Jalan Lipis-Benta, berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Lipis, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, pemandu kereta, Hoi Wai Kin, 20, dari Benta Jaya, Lipis, penumpang, Wong Kok Heng, 17, Wong Chin Xion dan Yap Chung Hung, kedua-duanya 15 tahun, dari Kampung Penjom, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi penumpang yang selamat, Chan Kwan Yong, 30, juga dari Kampung Penjom, patah tangan kiri dan mengalami gegaran otak dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, siasatan mendapati, kereta dinaiki mangsa menghala ke Benta dari Penjom dipercayai dipandu laju menyebabkannya hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas ekspres yang menghala ke Kelantan dari Kuala Lumpur.

Katanya, akibat pelanggaran itu, kereta dinaiki mangsa berpusing dan berhenti di tepi jalan menyebabkan Wai Kin yang bekerja sebagai pemandu jentera, Kok Heng dan Chin Xion, masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, di sini, manakala Chung Hung pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setiawangsa, tercampak keluar kira-kira 10 meter daripada kenderaan mereka.


“Bagaimanapun, Kwan Yong yang tersepit di tempat duduk belakang kereta berjaya dikeluarkan orang ramai sebelum dibawa ke HKL, namun kemudian dipindahkan ke Hoshas,” katanya.

Menurutnya, pemandu bas, Wan Seman Wan Yi, 48, pula hanya cedera ringan dan turut menerima rawatan di HKL manakala pemandu kedua serta 42 penumpang bas tidak cedera.

Abdul Razak berkata, siasatan mendapati permukaan jalan kering dan keadaan cuaca baik namun lokasi kejadian tidak mempunyai lampu jalan.
Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan pemandu bas terbabit untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu mengikut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987.

Abdul Razak berkata, mayat semua mangsa sudah dituntut ahli keluarga masing-masing selepas selesai bedah siasat, semalam.
myMetro | 4 sahabat maut

Bapa, anak bersekedudukan hingga lahir tiga zuriat


MALU...pasangan ayah dan anak dibawa masuk ke mahkamah, semalam.
MALU...pasangan ayah dan anak dibawa masuk ke mahkamah, semalam.


KOTA BHARU: “Dalam rayuan, tertuduh pertama (ayah) nak bertaubat, tetapi taubat kerana ditangkap, dikira ‘taubat terpaksa’ dan mahkamah tidak dapat terima taubat itu. Jika kamu nak bertaubat, taubat betul-betul (taubat nasuha).
“Bagi tertuduh kedua (anak), sebagai pelajar, kamu perlu menjaga diri dan jika ada situasi mencurigakan, kamu boleh keluar rumah atau memberitahu ibu kamu, tetapi kamu gagal dalam situasi itu,” kata Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Abu Bakar berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap ayah dan anak selepas mengaku salah berkelakuan sumbang dan bersekedudukan hingga melahirkan tiga anak masing-masing berusia enam, lima dan tiga tahun bermula dari 2004 sehingga ditahan kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara setahun dan enam bulan serta denda RM2,500, terhadap tertuduh pertama berusia 45 tahun, yang juga seorang mekanik dan berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, tertuduh kedua, berusia 25 tahun yang juga anak tertuduh pertama bernasib baik kerana dikenakan hukuman denda RM2,000 dan berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Kedua-dua tertuduh juga dilarang tinggal serumah untuk selama-lamanya.


Hukuman berkenaan tidak diduga anak dan ayah itu kerana kedua-duanya tinggal bersama (bersekedudukan) sejak 2004 sehingga ditahan pada pagi semalam oleh anggota penguat kuasa agama Tumpat dalam operasi di rumah mereka di Jalan Palekbang, Wakaf Bharu, Tumpat.

Dengan tangan bergari, anak-beranak terbabit ditahan di lokap sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah dekat sini, kira-kira jam 3 petang, semalam, untuk berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 10 Kanun Jenayah Syariah Nombor 2/85 Negeri Kelantan.


Sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, kedua-dua tertuduh mengaku salah bersekedudukan hingga melahirkan tiga anak serta mengaku salah di atas sebab dan akibat daripada pengakuan salah berkenaan.

Pengakuan kedua-dua tertuduh, menyebabkan Abu Bakar yang mendengar kes berkenaan memberi peluang kepada anak beranak terbabit mengemukakan rayuan sebelum hukuman mengikut Seksyen 10 Kanun Jenayah Syariah Nombor 2/85 Negeri Kelantan diputuskan mahkamah.

“Saya minta hukuman denda dikurangkan kerana masih mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak, selain mahu memberi didikan sempurna kepada mereka. Kalau boleh tidak terjadi macam saya kerana saya bertaubat dan tidak akan melakukan zina dan dosa besar.

“Saya sudah berkahwin dengan dua isteri dan bercerai dengan mempunyai lima anak termasuk tertuduh kedua yang juga anak kedua dari isteri pertama. Saya sudah bercerai dengan isteri sejak tujuh tahun lalu,” kata si bapa ketika mengemukakan rayuan.

Timbalan Pendakwa Syarie negeri, Zaini Sulaiman dalam hujahan pemberatan hukuman sempat menyifatkan perbuatan dilakukan mereka keji kerana ketika anak-anak menyambut hari bapa, tiga anak pasangan berkenaan tidak kenal ayah mereka.

Zaini yang mencadangkan pasangan berkenaan dipisahkan dan tidak tinggal bersama turut memohon supaya mahkamah tidak memberi belas kasihan kepada pasangan berkenaan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.
myMetro | Bapa, anak bersekedudukan hingga lahir tiga zuriat

Tentera potong bekalan makanan di sempadan Syria - Turki


GUVECCI (Turki): Tentera Syria didakwa memutuskan bekalan asas untuk sebuah kampung di sempadan negara itu yang dijadikan tempat orang awam melarikan diri ke Turki.
Saksi berkata, pasukan keselamatan kerajaan menutup satu-satunya kilang roti yang ada di Bdama, selain menyalakan api di sekeliling hutan kampung berkenaan.

Menurut saksi, sebahagian besar kampung itu tidak berpenghuni, manakala beberapa pusat pemeriksaan dibuka di jalan menuju ke kawasan berkenaan yang terletak beberapa kilometer dari kawasan konflik.

Seorang aktivis Syria berkata, sekurang-kurangnya enam kereta kebal dan 15 kenderaan pengangkut tentera memasuki Bdama dalam usaha mereka mengekang protes rakyat di barat laut wilayah Idlib.

Raka El-Abdu, 23, berkata dia melarikan diri dari Bdama pada Sabtu tetapi kembali semula ke situ untuk mendapatkan roti.


Menggunakan laluan di kawasan pergunungan yang hanya diketahui penduduk setempat, Raka kecewa apabila mendapati perkampungan itu lengang.

“Tentera menutup satu-satunya kedai roti yang ada dan kami tak dapat membelinya lagi.

“Saya nampak tentera menembak dada dan kaki pemilik kedai itu,” katanya. Kata Raka, tentera juga mengawal laluan masuk ke kampung itu sambil memeriksa identiti orang awam bagi menahan penunjuk perasaan. Hamid, 26, berkata dia melarikan diri dari Bdama bersama keluarganya selepas tentera melepaskan tembakan rambang di situ. - AFP

myMetro | Tentera potong bekalan makanan di sempadan Syria - Turki

Revolusi Arab untungkan Iran: Hezbullah


TEHERAN: Ketua Majlis Politik Hezbollah Lubnan, Ibrahim Amin al-Sayyed, berkata kebangkitan rakyat di dunia Arab menguntungkan Iran tetapi merugikan kepentingan Amerika Syarikat serta Israel.
Agensi berita IRNA melaporkan, Ibrahim menganggap musuh Iran ketakutan kerana negara itu terbukti gagal disaingi daripada aspek ekonomi, saintifik, teknologi dan ketenteraan.

“Rancangan AS di Timur Tengah dan seluruh dunia kini gagal satu demi satu. - PT

myMetro | Revolusi Arab untungkan Iran: Hezbullah

Pemberontak kecewa Barat tak tunai janji beri bantuan


BENGHAZI: Pemberontak Libya dilaporkan semakin kekurangan dana dan menyalahkan Barat kerana gagal menunaikan janji mereka untuk membantu.
Pemimpin pemberontak yang bertanggungjawab dalam isu minyak, Ali Tarhouni, berkata mereka kini menghadapi masalah bekalan dalam semua aspek.

“Ia kegagalan menyeluruh. Sama ada Barat tidak faham atau tidak peduli, tiada sebarang bantuan tiba hingga kini,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika sebahagian anggota Nato dilihat mula kurang berminat meneruskan serangan udara ke atas Libya.

Walaupun pemberontak menunjukkan tanda-tanda kejayaan beberapa minggu lalu, matlamat mutlak mereka untuk menawan Tripoli masih jauh.


Kata Ali, janji itu tidak dibuktikan dengan pelaksanaan seperti yang sepatutnya.

“Kami menghargai pemimpin Barat yang memberikan ucapan hebat sebelum ini, tetapi daripada aspek kewangan, mereka gagal sepenuhnya,” - Reuters
myMetro | Pemberontak kecewa Barat tak tunai janji beri bantuan