Alex berlatar belakangkan pemandangan di salah satu lokasi persinggahannya, India.
Menunggang motosikal mungkin boleh menjadi hobi yang mencabar bagi sesetengah individu, tetapi berpeluang menunggang motosikal sambil mengelilingi dunia adalah lebih mencabar serta menyeronokkan dan sudah pasti memberi satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.
Alex Chacon, seorang penunggang motosikal tegar, jurugambar dan jurukamera profesional telah menunggang melebihi 200,000 kilometer merentasi sempadan seluruh dunia termasuklah ke tempat-tempat yang terpencil dan tidak diketahui ramai pada awalnya dengan tujuan kepuasan diri yang akhirnya menjadi misi kebajikan.
Apa yang lebih menarik, Alex telah merakam video klip yang sangat jarang dilakukan dan telah digabungkan menjadi sebuah video ‘selfie’ terhebat apabila video tersebut yang merupakan hasil gabungan masa selama 600 hari dari tempat yang telah dijelajahinya dengan menggunakan kamera GoPro dan monopod.
Penjelajahannya bermula selepas dia menamatkan pengajian peringkat ijazah di University of Texas dalam bidang Sains Bioperubatan. Sebelum menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, Alex memutuskan untuk mengejar impiannya terlebih dahulu iaitu menerokai seluruh pelosok dunia di samping melakukan kerja-kerja amal.
Bermula dari kampung halamannya di El Paso, Texas, Alex menuju ke Ushuaia, Argentina, sebelum ke Brazil dan berpatah balik ke utara sehingga Alaska sebelum akhirnya menunggang pulang ke Texas.
Selain itu, Alex juga telah menjejakkan kaki ke beberapa buah negara lain termasuk Bolivia, Chile, India, Mexico, Nepal, Oman dan Peru.
Menurut Alex, dia telah menjual kereta, rumah serta pakaian, menderma darah dan mengambil apa sahaja peluang untuk mendapatkan wang demi mengejar impiannya untuk mengelilingi dunia.
“Buku catatan harian autobiografi yang ditulis oleh Ernesto Che Guevera mengenai perjalanannya di wilayah Amerika Selatan iaitu The Motorcycle Diaries telah menjadi inspirasi kepada saya untuk meneruskan impian ini.
“Melalui eksplorasi ini juga, saya berpeluang untuk menjalankan kempen kesedaran dan meraih sejumlah wang untuk didermakan kepada pertubuhan kebajikan kanak-kanak di Uganda,” katanya.
Antara pengalaman yang dilalui sepanjang penjelajahannya, Alex akan mencari apa sahaja tempat yang mampu memberinya perlindungan pada setiap malam untuk tidur termasuklah stesen minyak, taman, hostel atau sesiapa sahaja yang baik hati untuk membantunya memberikan tempat untuk bermalam.
“Selain daripada tidur di merata-rata tempat, saya juga telah merentas pelbagai bentuk muka bumi termasuklah sungai, lumpur, jalan raya, jalan berbukit, melalui ribut taufan, puting beliung, tsunami, hujan, panas, salji dan sebagainya,” katanya.
Apabila kisah pengembaraannya tersebar di internet dan menjadi perhatian dunia, dia mula mendapat pelbagai sumbangan dari segi makanan, duit dan juga minyak untuk motosikalnya, malah syarikat permotoran terkenal, Kawasaki telah menyumbang sejumlah wang kepadanya termasuk sebuah motosikal baharu.
Pada tahun 2015, Alex akan memulakan lagi pengembaraan baharu bersama motosikalnya di benua Eropah, Afrika serta Asia dan Malaysia merupakan salah satu negara yang akan diterokainya pada tahun hadapan.
Ekspedisi Alex Chacon bersama motosikalnya menjelajah ke seluruh dunia boleh diikuti di laman sesawangnya iaitu http://www.modernmotodiaries.com.
– FATIEHAH