Pages

Saturday, February 11, 2012

Lukisan haiwan pada kayu

Lukisan haiwan pada kayu
MUAR – Seorang kakitangan kerajaan tidak menyangka kayu yang ditemui semasa membersihkan sebatang pokok tumbang dalam kebun di Lenga pada 25 Januari lalu itu mengandungi banyak rahsia.

Mohamad Landa, 41, berkata, kayu yang disangka tidak berguna pada mulanya itu, sebenarnya adalah kayu gaharu yang mempunyai nilai tinggi untuk membuat minyak wangi.

Menurutnya, lebih mengejutkannya apabila mendapati kayu tersebut mempunyai lima lukisan lain di dalamnya yang menyerupai haiwan.

“Sebelum ini, saya hanya mengenal pasti terdapat satu lukisan ikan bawal pada kayu berkenaan.

“Itu pun saya sedarinya ketika sedang berehat di sebatang pokok setelah hampir setengah jam membelah kayu ini,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Kejadian tersebut yang dialami oleh Mohamad iaitu lukisan ikan bawal pada kayu pernah dilaporkan dalam Sinar Harian pada 27 Januari lalu.

Susulan itu katanya, dua hari kemudian dia sekali lagi dikejutkan dengan penemuan lima lukisan lain pada kayu tersebut.
“Lukisan kali ini menyerupai kepala singa, anjing laut, helang, kura-kura dan rama-rama.

“Ianya disedarinya ketika menggosok permukaan kayu gaharu dengan menggunakan kertas pasir untuk dijadikan perhiasan,” katanya.

Katanya lagi, pada mulanya, dia hanya menyedari kewujudan lukisan kura-kura membuatkannya terdorong untuk meneliti keseluruhan permukaan kayu ini, akhirnya menemui bentuk lukisan yang lain.

“Apabila saya tunjukkan lukisan ini kepada rakan-rakan mereka juga terkejut dan menganggap kayu ini sangat luar biasa.

“Saya akan menyimpan kayu ini sebagai koleksi peribadi dan tidak bercadang untuk menjualnya kepada sesiapa,” katanya.

Mohamad berkata, meskipun ada pihak yang menawarkan harga yang tinggi, namun dia tetap tidak akan menjualnya kerana menganggap kayu ini terlalu bernilai dan sukar dijumpai. Lukisan haiwan pada kayu - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

321 kawasan berisiko tinggi terkena bencana

321 kawasan berisiko tinggi terkena bencana
JAKARTA - Sejumlah 321 daerah atau bandar di Indonesia mempunyai risiko tinggi terkena bencana sama ada bencana alam, wabak penyakit dan konflik sosial.

Manakala 173 daerah atau bandar mempunyai risiko yang sederhana.

Fakta ini terkandung dalam peta risiko nasional yang disiapkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, yang menyenaraikan 13 jenis bencana yang berlaku di republik itu.

Jenis-jenis bencana itu ialah gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi, puting beliung, kemarau, banjir, tanah runtuh, gelombang ombak besar, kebakaran tanah dan hutan, wabak penyakit, kegagalan teknologi, kebakaran bangunan dan kawasan penempatan serta konflik sosial.

BNPB dalam paparan di laman webnya hari ini menyebut bahawa peta risiko nasional itu meliputi kesemua 33 negeri (provinsi) di Indonesia, untuk 13 jenis bencana itu.

Ia bagaimanapun tidak menyebut nama-nama daerah dan bandar yang dinyatakan berisiko tinggi terkena bencana itu.

Badan itu telah meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan terus memberi perhatian kepada soal pengurusan bencana bagi mengelakkan kesan-kesan buruk yang boleh menimbulkan kerosakan dan kerugian besar.

321 kawasan berisiko tinggi terkena bencana - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kematian Osama bin Laden dipermainkan

Kematian Osama bin Laden dipermainkan
SALT LAKE CITY - Kematian pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden telah dipermainkan sebuah syarikat penerbitan tidak bertanggungjawab di Utah selepas mereka menerbitkan filem zombi (mayat berjalan) menggunakan watak beliau.

Filem berjudul Osambie: The Axis of Evil Dead itu memaparkan pertempuran antara Unit Angkatan Khas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dengan kumpulan militan zombi di kawasan gurun diketuai oleh Osama yang kononnya bangkit dari kematiannya.

Pengarah eksekutif, Kynan Griffin berkata, skrip tersebut telah dihasilkan sebelum Osama dibunuh pada Mei lalu.

Ia turut menggunakan tagline 'Bin Laden Will Die Again' (Osama akan mati sekali lagi) yang dianggap biadab dan dilihat bakal mencetuskan kemarahan orang Islam.
Sementara itu, sebuah lagi filem kontroversi arahan Kathryn Bigelow yang berkisar mengenai operasi memburu Osama juga akan diterbitkan walaupun menerima kritikan banyak pihak kerana ia secara terang mendedahkan misi rahsia Agensi Penyiasatan Pusat (CIA).
Kematian Osama bin Laden dipermainkan - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Republik Islam miliki dua lagi kapal selam

myMetro | Republik Islam miliki dua lagi kapal selam: "TEHERAN : Seorang pemerintah kanan tentera Iran semalam berkata, dua lagi kapal selam buatan tempatan, Ghadir, menyertai armada tentera laut negara itu sebagai sebahagian usaha untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara itu.

Pemerintah Tentera Laut Iran, Timbalan Laksamana Habibollah Sayyari memberitahu agensi berita IRNA, kapal selam terbabit yang direka dan dikeluarkan sepenuhnya oleh pakar Iran akan meningkatkan keupayaan republik Islam itu.


Beliau juga berkata, kapal selam kelas Ghadir, termasuk badan, kelengkapan radar dan sistem pertahanan adalah buatan tempatan.

“Ia akan meningkatkan keupayaan perlindungan dan pertahanan tentera Iran di laut,” kata Habibollah.


Pada November 2011, Timbalan Pemerintah Tentera Laut Iran, Gholam Reza Khadem-Bigham mengumumkan tiga kapal selam kelas Ghadir akan menyertai armada tentera laut negara itu.


Menurutnya, kapal selam itu berupaya melancarkan torpedo dan bergerak dalam air cetek.


Kapal selam Ghadir mula diperkenalkan pada 2007. Kapal seberat 120 tan itu mampu melakukan misi mengawal pantai untuk tempoh yang panjang. - Agensi"

'via Blog this'

Teheran rancang bina pelancar satelit baru

myMetro | Teheran rancang bina pelancar satelit baru: "TEHERAN: Menteri Pertahanan Iran, Ahmad Vahidi berkata, republik Islam itu akan membina sebuah pelancar satelit baru bagi membolehkannya melancar satelit seberat satu tan sehingga 1,000 kilometer ke angkasa lepas.

Menurutnya, antara rancangan Iran tahun depan ialah melancarkan satelit Tolou (Bangkit) dan Fajr (Subuh) ke orbit.


Beliau juga berkata, republik Islam berkenaan merancang melancarkan satelit ke orbit hingga 36,000 kilometer tahun depan.

Negara itu melancarkan satelit buatan tempatan pertamanya, Omid (harapan) ke orbit pada 2009.


Sebagai sebahagian daripada program angkasa lepasnya, Iran juga berjaya melancarkan satelit Rassad (Pemerhati) pada Jun 2011.


Iran turut melancarkan satelit Navid-e-Elm-o Sanat ke orbit pada 3 Februari lalu.


Ia adalah satelit telekom, pengukur dan saintifik yang catatannya akan digunakan untuk pelbagai bidang.


Iran adalah satu daripada 24 negara pengasas Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penggunaan Angkasa Lepas Untuk Keamanan, yang ditubuhkan pada 1959. - Agensi"

'via Blog this'

Mossad latih pembunuh saintis Iran

TEL AVIV: Agensi perisikan Israel, Mossad membiayai dan melatih anggota Pertubuhan Mujahidin Khalq (MKO), kumpulan pengganas anti-Iran, untuk membunuh saintis nuklear republik Islam itu.

Dua pegawai kanan Amerika Syarikat yang enggan dikenali mengesahkan kepada NBC News bahawa MKO bertanggunggungjawab terhadap beberapa pembunuhan saintis nuklear Iran.


“Semua rumusan anda tepat,” kata seorang pegawai berkenaan ketika bercakap mengenai peranan MKO dalam pembunuhan itu dan sokongan daripada Tel Aviv.

Pegawai terbabit berkata, kerajaan Amerika sedar mengenai kempen pembunuhan itu tetapi menafikan Washington terbabit secara langsung dalam serangan berkenaan.


Iran menuduh Amerika Syarikat dan Israel terbabit dalam beberapa pembunuhan saintis nuklearnya.


Dalam kejadian terbaru, Mostafa Ahmadi Roshan ditembak mati pada Januari lalu selepas seorang lelaki bermotosikal melekatkan bom pada keretanya berhampiran Universiti Allameh Tabatabaei.

Pada 29 November 2010, Professor Majid Shahriari dan Dr Fereydoun Abbasi menjadi sasaran pengganas, Shahriari terbunuh serta-merta sementara Dr Abbasi, Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran sekarang, cedera.


Amerika Syarikat, Israel dan sekutu mereka menuduh Iran berusaha menghasilkan senjata atom menerusi program nuklearnya dan menggunakan alasan itu untuk mendesak Majlis Pertubuhan Bangsa-Banagsa Bersatu mengenakan empat sekatan terhadapnya sebagai cara untuk memaksanya menghentikan aktiviti nuklear.

Pada November 2011, beberapa calon pilihan raya Presiden Amerika Syarikat menggesa supaya dilancarkan operasi sulit, termasuk membunuh saintis nuklear Iran dan melancarkan serangan terhadap negara itu atau mensabotaj program nuklear Teheran. - Agensi

myMetro | Mossad latih pembunuh saintis Iran:

'via Blog this'

Pengurus selamat ditimpa batu 20 tan

ALBERTVILLE (Perancis): Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya dihempap batu seberat 20 tan ketika melalui jalan di Arly Gorge di banjaran Alps.

Penyelamat berkata, mereka tidak menyangka melihat Ludovic Masciave masih bernyawa ketika mereka memeriksa kereta pacuan empat roda yang remuk teruk itu.


Bagaimanapun, mereka terkejut apabila melihat Masciave, 36, tidak sedarkan diri dalam kenderaan berkenaan.

Pengurus jualan itu kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti berhampiran Grenoble.


Jurucakap hospital berkata, Masciave ditempatkan di unit rawatan rapi kerana mengalami pelbagai kecederaan parah, termasuk remuk paru-paru dan patah tulang rusuk.


“Keadaannya kini semakin stabil dan Masciave menunjukkan pemulihan memberangsangkan,” katanya. - DM

myMetro | Pengurus selamat ditimpa batu 20 tan:

'via Blog this'

Wanita Inggeris bercakap pelat Perancis selepas hidap selesema

LONDON: Debie Royston terkejut apabila mendapati dia tiba-tiba mula bercakap dengan pelat Perancis selepas menghidap selesema, lapor media semalam.

Ibu berasal dari Birmingham itu berkata, dia mengalami masalah selesema beberapa kali sejak tahun lalu.


Menurut Debie akibat masalah itu, dia tidak mampu bercakap selama sebulan dan panik jika masalah itu berlanjutan.

Kata Debie, 40, dia terfikir untuk berkata sesuatu tetapi mulutnya gagal berfungsi.


“Selama beberapa bulan, saya terpaksa belajar bertutur semula, tetapi apabila suara saya kembali, saya terkejut gaya pertuturan saya bertukar daripada loghat Inggeris kepada pelat Perancis,” katanya.


Lebih aneh, Debie tidak pernah menjejakkan kakinya ke Perancis.


Kata Debie, dia memang gembira mampu bertutur semula tetap berasa janggal dengan gaya pertuturannya.


Sementara itu, pakar terapi pertuturan mengesyaki Debie mengalami Sindrom Pelat Asing. - TS

myMetro | Wanita Inggeris bercakap pelat Perancis selepas hidap selesema:

'via Blog this'

Remaja kemaruk barangan plastik


ANTARA objek paling digemari Kailyn ialah alat kawalan jauh televisyen.
ANTARA objek paling digemari Kailyn ialah alat kawalan jauh televisyen.


LOS ANGELES: Siri My Strange Addiction disiarkan saluran TLC pernah memaparkan pelbagai kerenah manusia yang ketagih objek pelik, termasuk kanji jagung hingga kemaruk tidur dengan pengering rambut.
Dalam musim terbarunya yang disiarkan sehari dua lagi di Amerika Syarikat, My Strange Addiction menjanjikan kejutan paling hebat.

Melalui musim ketiga My Strange Addiction, siri itu bakal menyiarkan laporan remaja berusia 18 tahun, Kailyn, yang

mengaku ketagih memakan plastik.
Foto
KAILYN percaya setakat ini dia memakan lebih 60,000 barang diperbuat daripada plastik sejak 11 tahun lalu.

Foto
WALAUPUN sedar tabiatnya berbahaya, Kailyn masih terus memakan plastik.


Berasal dari Sacramento, California, Kailyn percaya sehingga kini dia memakan lebih 60,000 barangan plastik sejak 11 tahun lalu.

Malah, kata Kailyn, jika perlu membuat pilihan di antara makanan dan plastik, dia pasti memilih plastik untuk mengisi perutnya.

Antara objek plastik pernah dimakan Kailyn ialah 12 alat kawalan jauh, lebih 5,000 manik, 1,000 sudu koktel, 100 garpu, kira-kira 10 botol minuman, dua puting, tiga bekas cakera padat, kira-kira 50 penyangkut baju dan 25 tudung plastik.
“Plastik adalah sesuatu yang saya mahu dan saya berasa perlu kepadanya,” katanya.

Ditanya mengapa dia kemaruk kepada plastik, Kailyn berkata, ia bukan disebabkan rasanya, tetapi tekstur yang ada padanya.
“Saya sukakan rasa plastik itu hancur ketika dikunyah, selain teksturnya yang kasar tetapi lembut pada masa yang sama,” katanya.

Ketika ditemubual dalam program itu, Kailyn berkata, tekstur alat kawalan jauh televisyen mungkin satu daripada objek paling digemarinya.

Menceritakan bagaimana dia menelan plastik dikunyahnya, Kailyn berkata, dia membuang butang yang ada pada objek berkenaan sebelum meletaknya di kedua-dua belah mulut.

“Kemudian saya akan menelannya,” katanya.

Di sebalik kegemarannya memakan alat kawalan jauh, Kailyn berkata, objek plastik paling disukai ditelan ialah sudu koktel yang mudah ditemui di restoran tempatnya bekerja.

“Saya pelayan restoran dan ada banyak objek plastik di situ,” katanya.

Pada hari biasa dan tiada tekanan, kata Kailyn, dia menelan kira-kira 15 sudu koktel sehari.

“Saya sedar tabiat itu boleh membahayakan kesihatan,” katanya.

Jika tabiat Kailyn belum cukup memeranjatkan, rancangan My Strange Addiction juga menyediakan laporan mengenai keanehan seorang lelaki Arkansas, Nathaniel, yang mengaku terangsang nafsunya melihat keretanya. - DM


myMetro | Remaja kemaruk barangan plastik:

'via Blog this'

Wanita Melayu hidap hipertensi


Oleh Nor Fariza Ramlan dan Nor Amanina Omar

2012/02/11

KUALA LUMPUR: Wanita Melayu didapati menjadi penghidap hipertensi (tekanan darah tinggi) paling ramai di Malaysia dan penyakit itu pembunuh senyap nombor satu negara ini serta menjadi penyebab utama penyakit kardiovaskular.

Didapati 5.8 juta orang di negara ini mempunyai hipertensi tetapi malangnya, hanya 2.2 juta pesakit mengambil inisiatif mendapatkan rawatan dan ubat bagi mengawalnya.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia, Dr Azani Mohamad Daud, berkata berdasarkan maklumat dalam kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), sebanyak 48.4 peratus wanita Melayu menghidap penyakit ini disebabkan gaya hidup, pemakanan serta kurang bersenam.
“Satu daripada dua wanita mempunyai hipertensi dan penyakit ini berlaku atas pelbagai faktor termasuk gaya hidup tidak mementingkan kesihatan serta tidak menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Jika tidak dikawal, ia menjadi antara punca Non Communicable Disease (NCD) atau penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, strok dan kerosakan buah pinggang dalam masa panjang,” katanya selepas Mesyuarat Tahunan Saintifik persatuan berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman.

Katanya, orang ramai perlu sedar penyakit ini tidak mempunyai gejala jelas dan ia boleh dikesan melalui pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali.

Sementara itu, Dr Hasan ketika diminta mengulas Skim Penjagaan Kesihatan Nasional (1Care) berkata, ia masih dalam proses perbincangan dan cadangan dijangka siap tahun depan.
“Saya tidak pernah kata skim ini mandatori kepada semua,” katanya.

Mengulas larangan rawatan lintah, beliau berkata, pihaknya hanya mengiktiraf kaedah rawatan yang mempunyai bukti kukuh.

“Sama seperti rawatan ikan, setakat ini belum ada bukti saintifik mengatakan rawatan lintah itu berkesan dan menjadi tanggungjawab kementerian melindungi keselamatan orang ramai,” katanya.
Berita Harian Online | Wanita Melayu hidap hipertensi:

'via Blog this'

Mahkamah tolak rayuan Gilani


pix_gal0ISLAMABAD: Mahkamah tinggi Pakistan menolak rayuan Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani, semalam dan mengarahkan beliau hadir di mahkamah Isnin ini untuk berdepan dakwaan menghina institusi kehakiman itu.

Mahkamah Agung mengekalkan arahan 2 Februari lalu supaya Gilani hadir untuk berdepan dakwaan menghina mahkamah berhubung keengganan kerajaan meminta pihak berkuasa Switzerland untuk membuka semula kes rasuah terhadap Presiden Asif Ali Zardari.

Jika disabitkan, Gilani berdepan hingga enam bulan penjara dan disingkirkan daripada jawatan dalam kes yang disifatkan ramai pemerhati berkemungkinan memberi tekanan berat kepada kerajaan untuk mengadakan pilihan raya awal dalam masa beberapa bulan ini.
“Rayuan ditolak,” kata Ketua Hakim, Iftikhar Muhammad Chaudhry.

Zardari dan isterinya, Benazir Bhutto, disyaki menggunakan akaun bank Swiss untuk menyimpan kira-kira AS$12 juta (RM36 juta) didakwa dalam bentuk rasuah dibayar oleh syarikat yang mahukan kontrak pemeriksaan kesihatan di Pakistan pada 1990-an.

Khamis lalu, Chaudhry berkata mahkamah akan menggugurkan saman itu jika Gilani mematuhi arahan menulis surat kepada pihak berkuasa Switzerland, meminta mereka membuka semula kes bertarikh dua tahun lalu.

Semalam, Chaudhry sekali lagi menegaskan mahukan jawapan jelas mengenai sama ada Gilani akan menulis surat itu dan memberitahu peguamnya: “Kami sedia memberikan anda masa 10 minit untuk bercakap dengan Perdana Menteri menerusi telefon dan beritahu kami jawapannya.”
“Saya tidak ada mandat melakukan perkara itu,” jawab peguam Gilani, Aitzaz Ahsan.

Bercakap kepada wartawan di luar mahkamah, Ahsan mengesahkan Gilani akan hadir di mahkamah Isnin lalu.

Kerajaan Switzerland mengenepikan kes itu pada tahun 2008, apabila Zardari menjadi ketua negara dan pendakwa di Switzerland berkata mustahil membuka semula kes berkenaan selagi dia kekal menjadi presiden dan kebal daripada sebarang pendakwaan.

Anggota kerajaan menuduh hakim bertindak melampaui kuasa dan cuba menjatuhkan Perdana Menteri dan Presiden, setahun sebelum pentadbiran sedia ada menjadi yang pertama di Pakistan menamatkan penggal mereka.

“Beritahu Perdana Menteri mengingkari perintah mahkamah tidak disukai di negara ini,” kata Chaudhry kepada Ahsan.

Gilani sendiri hadir di Mahkamah Agung 19 Januari lalu dan menjelaskan mengenai kekebalan Zardari sebagai penjelasan keengganan presiden itu mematuhi perintah mahkamah.

Pakar perundangan berkata, Gilani cuma boleh mengelak daripada didakwa dengan memfailkan rayuan, meminta maaf atau berjanji menulis surat kepada kerajaan Switzerland.

Zardari yang dicemari dengan tuduhan rasuah sehingga menyebabkan dia diberi gelaran Mr 10 Percent sudah pun dihukum penjara 11 tahun atas pelbagai dakwaan daripada rasuah hingga membunuh. – AFP
Berita Harian Online | Mahkamah tolak rayuan Gilani:

'via Blog this'

Jenazah wanita masih utuh, berbau wangi



MAYAT wanita yang dikebumikan 30 tahun lalu masih berkeadaan baik di kampung Jangkar, Jawa Timur.


SITUBONDO - Walaupun telah 30 tahun dikebumikan, jenazah seorang wanita di kampung Jangkar, Jawa Timur didapati masih utuh dan berbau wangi.

Peristiwa aneh itu terjadi ketika ahli keluarganya mahu memindahkan kuburnya ke tempat lain supaya ia berdekatan dengan kubur suaminya.

Insiden itu turut menggemparkan penduduk setempat yang kemudian beramai-ramai datang untuk melihat sendiri mayat tersebut dan beramai-ramai membacakan doa.

Menurut ahli keluarga jenazah itu, Sukiyem ketika hidupnya dikenali sebagai seorang yang penyabar dan rajin mengerjakan ibadah.

"Dia juga seorang yang peramah dan baik dengan jirannya.

"Saya sendiri hairan bagaimana jasadnya masih lagi utuh dan berbau wangi walaupun telah 30 tahun dikebumikan," kata seorang daripada ahli keluarga jenazah itu, Ismail kepadaOkezone.com.

Menurut Ismail, jenazah itu tetap akan dipindahkan ke makam lain yang berdekatan dengan kubur suaminya. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

"

'via Blog this'

Penduduk temui lokasi emas



PENDUDUk berpusu-pusu mendulang emas yang ditemui di di Kendari, Sulawesi Tenggara baru-baru ini.


KENDARI - Penduduk bandar Kendari, Sulawesi Tenggara gempar apabila menemui lokasi emas di Alolama, Mandonga di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Sumber Manusia dan Tenaga Sulawesi Tenggara, Hakku Wahab berkata, pihaknya menghantar satu pasukan untuk memeriksa emas itu.

''Pada mata kasar, kita dapat lihat ada emas di kawasan tersebut.

''Ini ditambah dengan hasil dulangan penduduk setempat di mana terdapat butiran emas bercampur pasir,'' katanya.

Saksi berkata, butiran emas tersebut boleh ditemui selepas perigi yang digali pada kedalaman 25 meter.

Bagaimanapun, Hakku berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan ia adalah emas sebelum laporan makmal diterima. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Dua gunung di dunia menghamburkan lahar


JAKARTA 10 Feb. - Gunung berapi Lokon di pulau Sulawesi, Indonesia meletus awal pagi ini dengan mengeluarkan bunyi letupan kuat dan menghamburkan abu setinggi 2 kilometer.

Menurut laporan agensi berita Antara, gunung berapi yang setinggi 1,578 meter itu meletus pada pukul 8.20 pagi waktu tempatan (7.20 pagi waktu Malaysia) namun tiada kecederaan dilaporkan.

"Aktiviti gunung berapi ini meningkat sejak semalam sebelum ia meletus pagi ini," kata Warno, seorang petugas yang memantau keadaan gunung berapi itu.

Sementara itu, Gunung Etna di Itali yang merupakan gunung berapi tertinggi di Eropah turut dilaporkan meletus sekali lagi.

Gunung tersebut mengalirkan jumlah lava yang banyak dan menghamburkan abu di Sicily pada tengah malam semalam.

Api yang menjulang beratus-ratus meter ke udara memaksa pihak berkuasa menutup sebuah lapangan terbang berhampiran pekan Catana.

Kejadian itu juga menyebabkan banyak penerbangan dibatalkan.

Gangguan penerbangan ini akan berterusan untuk sementara waktu disebabkan keadaan gunung berapi yang tidak stabil untuk beberapa hari. - DPA/AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pertempuran di bandar Homs makin sengit


AMMAN 10 Feb. - Bandar Homs hari ini dipenuhi kereta-kereta kebal pasukan keselamatan Syria ketika puak Alawite melancarkan serangan berterusan buat lima hari berturut-turut ke atas bandar itu.

Penduduk Homs menjangkakan berlaku pertempuran besar-besaran antara kumpulan pemberontak dan pasukan keselamatan Syria dalam tempoh terdekat.

Presiden Bashar al-Assad yang disokong Rusia tidak mengendahkan rayuan daripada pemimpin dunia untuk menghentikan pergolakan yang telah berlarutan selama 11 bulan di Syria.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon mengutuk keganasan yang berlaku dalam operasi untuk menggulingkan Assad manakala Duta Turki ke Kesatuan Eropah memberi amaran berhubung risiko tercetusnya perang saudara yang boleh memburukkan lagi keadaan di Syria.

Kumpulan aktivis dalam pada itu menyatakan bantuan kereta kebal dihantar ke Homs sejak dua hari lepas meningkatkan kemungkinan pasukan keselamatan Syria akan menggempur kawasan Sunni.

Jurucakap bagi kumpulan pemberontak, Mejar Maher al-Naimi berkata, adalah sukar untuk menjangkakan bila akan berlakunya pertempuran terbesar namun mendakwa Assad tidak mempunyai pasukan tentera yang mencukupi untuk mengawal bandar Homs.

"Pasukan tentera Assad bergantung kepada kaedah serangan menggunakan bom kerana mereka tidak mempunyai anggota yang mencukupi berbanding jumlah penduduk Homs yang besar," ujarnya.

Katanya, pasukan Tentera Bebas Syria akan mempertahankan bandar itu sehingga ke titisan darah terakhir.

Sementara itu, aktivis Mohammad Hassan berkata, pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan pemberontak berkemungkinan berlaku esok.

"Pelancar-pelancar meriam telah diarahkan ke beberapa daerah seperti Bab Amro, Inshaat, Khalidya dan pertempuran boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja," katanya. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Ikhwan Muslimin gesa tentera serah kuasa


KAHERAH 10 Feb. - Ikhwan Muslimin semalam menggesa pemerintah tentera Mesir menyerahkan kuasa, dalam satu keadaan memperlihatkan konfrontasi yang sekian lama dijangka di antara jeneral pemerintah dan pergerakan Islam yang menguasai Parlimen itu.

Dalam satu kenyataan di laman webnya dan wawancara bersama pemimpin kanannya yang disiarkan di televisyen, pergerakan tersebut mendesak tentera membenarkan Perdana Menteri Kamal al-Ganzouri diganti serta pembentukan Kabinet dengan satu kerajaan campuran oleh Parlimen.

Pembentukan kerajaan campuran itu membolehkan peralihan kuasa dilakukan segera.

Kumpulan Islam yang pernah diharamkan di Mesir itu sebelum ini menyatakan, pihaknya akan menunggu tempoh peralihan kuasa yang dijanjikan tentera pada Jun ini selepas menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak tahun lalu.

Namun, pendirian pergerakan itu berubah selepas kerajaan dikawal tentera berdepan pelbagai kemelut termasuk rusuhan maut semasa satu perlawanan bola sepak minggu lalu diikuti protes ganas oleh penunjuk perasaan selama lima hari.

"Kita mesti mulakan pembentukan kerajaan campuran dengan segera bagi mengendalikan situasi ekonomi dan keadaan negara tanpa undang-undang di Mesir sekarang," kata Timbalan Pemimpin Tertingginya, Khairat el Shater seperti yang dipetik al-Jazeera.

Beliau dalam kenyataan di laman web pergerakan tersebut, turut merujuk kepada keganasan berulang kali yang digunakan pihak tentera terhadap penunjuk perasaan.

"Menggunakan kekerasan dan keganasan ke atas penunjuk perasaan adalah salah sama sekali, ia melambangkan kelemahan dan salah urus oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Sama seperti penunjuk perasaan dan parti liberal Mesir, Ikhwan Muslimin mahu tentera menyerahkan kuasa serta merta.

Bagaimanapun, dalam keadaan demokrasi mula diterima di negara ini, pemimpin parti liberal semalam menyatakan mereka masih enggan membentuk kerajaan campuran dengan parti Islam tersebut sebaliknya hanya mahu bertindak sebagai pembangkang. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Sungai Danube merentasi 10 negara di Eropah membeku



Bot-bot tersadai dalam Sungai Danube di Belgrade yang membeku akibat cuaca buruk yang melanda seluruh Eropah sekarang. – REUTERS


BELGRADE 10 Feb. – Sungai Danube yang sebelum ini menyaksikan kesibukan laluan kapal-kapal kini membeku ketika cuaca sejuk melampau di Eropah berterusan.

Jumlah korban akibat cuaca melampau tersebut meningkat kepada 460 orang.

Sungai Danube sepanjang 2,860 kilometer yang merentasi 10 negara itu menjadi medium utama kepada pengangkutan air, perikanan dan industri pengairan.

Selain itu, pelayaran di beberapa negara seperti Serbia, Croatia, Bulgaria, Romania, Hungary dan Austria terpaksa dibatalkan ekoran sungai yang membeku sekali gus membahayakan kapal-kapal.

Pihak berkuasa Bulgaria yang melarang semua aktiviti pelayaran melaporkan, sebanyak 244 kapal tersadai di pelabuhan manakala pasukan penyelamat Ukraine di Croatia menyelamatkan tiga anak kapal yang terperangkap di dalam salji sejak Jumaat lalu.

Setakat ini, sebanyak 28 kematian dilaporkan di Bulgaria termasuk lapan mati lemas selepas sebuah empangan pecah di perkampungan Biser, tenggara negara itu.

Dalam perkembangan lain, utara Jepun hari ini dilanda salji lebat ketika musim sejuk berterusan di beberapa bahagian negara itu mengakibatkan 83 penduduk terkorban setakat ini.

Jabatan kaji cuaca menjangkakan salji setebal sehingga 60 sentimeter akan melanda beberapa bahagian di utara pulau Hokkaido dan Honshu dalam tempoh 24 jam.

Sejak musim sejuk bermula pada November lalu, seramai 60 penduduk maut ketika mereka membersihkan salji dari jalan dan bumbung rumah.

Sementara itu, 20 lagi maut akibat tertimbus di bawah runtuhan salji. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Hamza hina Rasulullah ditangkap





KUALA LUMPUR - Seorang penulis Arab yang dikehendaki pihak berkuasa Arab Saudi kerana didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW akan dihantar pulang ke negara itu selepas proses dokumentasi terhadapnya selesai.

Mohammad Najeeb A. Kashgari atau lebih dikenali sebagai Hamza Kashgari, 23, ditahan pada pukul 9.40 pagi di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang kelmarin ketika dia mahu meninggalkan Malaysia.

Sebelum ditahan, dia yang merupakan kolumnis akhbar Al-Bilad di Arab Saudi dipercayai telah berada di negara ini sejak dua hingga tiga hari lalu selepas melarikan diri dari negaranya.

"Hamza ditahan polis negara ini atas permintaan pihak berkuasa Arab Saudi kerana didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW pada sambutan Hari Maulidur Rasul baru-baru ini," kata satu sumber di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

'Restoran' untuk burung hering makan bangkai



SEJUMLAH burung hering makan bangkai seekor lembu di restoran haiwan itu.


PITHAULI, Nepal - Di kampung ini, seorang wanita pernah menarik bangkai seekor lembu yang berada di atas sebuah troli dan menjatuhkan haiwan itu di sebuah padang.

Wanita itu kemudian berlari dan bersembunyi di sebuah pondok berdekatan semasa sekawan burung hering turun untuk memakan bangkai lembu tersebut.

Kurang setengah jam, bangkai lembu itu hanya tinggal tulang.

Kawasan padang itu dikenali sebagai restoran untuk burung hering yang dibuka untuk membantu menjadikan alam sekitar bersih.

'Restoran' itu menjadi daya tarikan pelancong dan para pelancong dikenakan bayaran untuk melihat burung tersebut.

Namun, ubat dikenali sebagai diclofenac yang digunakan untuk merawat keradangan lembu, boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dan kematian burung hering. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Pemandu teksi tunjuk perasaan isu penyanyi Jepun



MAKIYO


TAIPEI - Sekumpulan pemandu teksi Taiwan yang berang mengadakan tunjuk perasaan semalam bagi menuntut permohonan maaf selepas dua warga Jepun termasuk seorang penyanyi wanita dituduh memukul seorang pemandu teksi tempatan dengan teruk.

"Kami menuntut kebenaran, kami menuntut maruah, kami mahu permohonan maaf," laung puluhan penunjuk perasaan yang berhimpun di Kedutaan Jepun di sini semasa mereka menyerahkan surat bantahan kepada seorang perwakilan Jepun.

Ketika ini, terdapat kebimbangan kes tersebut akan membangkitkan sentimen anti-Jepun kerana Taiwan pernah menjadi koloni negara matahari terbit itu.

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi dan aktres Jepun terbabit, Makiyo yang menetap di sini dan teman lelakinya telah disoal siasat kerana didakwa memukul seorang pemandu teksi yang mengarahkan mereka memakai tali pinggang keledar.

Makiyo memberitahu wartawan selepas kejadian pada 2 Februari lalu bahawa dia tidak menyerang pemandu teksi berkenaan manakala temannya itu pula cuba untuk melindunginya selepas pemandu tersebut menyentuh dadanya dalam satu pertengkaran.

Namun, wanita itu dikecam setelah rakaman kamera litar tertutup menunjukkan dia turut memukul lelaki terbabit dan mengapikan-apikan rakannya supaya memukul si mangsa.

Menurut beberapa doktor yang merawat mangsa, pemandu teksi itu masih dirawat kerana cedera teruk di kepala manakala dua tulang rusuknya turut patah. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Robot seperti dalam filem Avatar dicipta



ROBOT TELESAR V memegang cawan di makmal Profesor Susumu Taichi di Yokohama pada Rabu lalu.


YOKOHAMA - Seorang saintis Jepun hampir menjadikan filem blockbuster Hollywood, Avatar satu realiti apabila dia mencipta sebuah robot yang boleh meniru pergerakan manusia yang mengawalnya.

Pengguna robot TELESAR V memakai peralatan khas yang bukan sahaja membolehkan mengawal aksi robot secara kawalan jauh tetapi mereka juga melihat, mendengar dan merasai sama seperti robot berkenaan.

"Apabila saya memakai alat khas ini dan menggerakkan badan, saya melihat tangan saya seperti menjadi tangan robot dan apabila saya menggerakkan kepala, penglihatan saya turut berbeza daripada sebelumnya," kata penyelidik Sho Kamuro kepada agensi berita AFP.

"Ia satu pengalaman aneh yang membuatkan anda terfikir sama ada anda benar-benar menjadi sebuah robot," katanya kepada agensi berita AFP.

Pakar kejuruteraan dan realiti maya Sekolah Reka Bentuk Media, Universiti Keio, Profesor Susumu Tachi berkata, sistem pengendalian yang dipasang pada topi, baju dan sarung tangan menghantar arahan terperinci kepada robot yang akan meniru setiap gerakan pengguna.

Pada masa yang sama, sejumlah sensor pada robot TELESAR V memancarkan kembali data yang akan ditukar menjadi bentuk yang boleh dirasai dan dilihat oleh pengguna.

Teknologi TELESAR iaitu singkatan untuk TeLexistence Surrogate Anthropomorphic Robot memiliki mata berkamera untuk merakam imej.

Imej yang dirakam, dipaparkan pada skrin halus di hadapan mata pengguna untuk penglihatan tiga dimensi.

Filem Avatar yang ditayangkan pada tahun 2009 dan diarahkan oleh James Cameron, mengisahkan tentang teknologi untuk mengawal tubuh makhluk asing. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Penyanyi batal konsert di Israel



GAMBAR fail menunjukkan Chan Marshall bergambar pada 11 September 2006.


NEW YORK - Penyanyi Chan Marshall yang juga dikenali sebagai Cat Power membatalkan konsertnya di Israel dengan menyertai beberapa artis lain.

Pembatalan itu dilakukan disebabkan konflik Israel dengan Palestin.

Penyanyi itu sebelum ini dijadualkan mengadakan konsert di Tel Aviv esok.

Namun, dia menghantar mesej semalam di Twitter dengan menyatakan tidak dapat membuat persembahan untuk para peminat Israel.

Menurutnya, dia berasa semangatnya terjejas.

Namun, penyanyi terkenal, Madonna akan membuat persembahannya di Israel pada Mei depan.

Sementara itu, Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menyatakan pemerintahan sementara Palestin akan menjejaskan proses damai.

Dia membuat kenyataan itu kelmarin kepada wakil-wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, satu perjanjian yang ditandatangani antara pergerakan Hamas dengan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas sebelum ini tidak akan menyumbang kepada rundingan damai dengan Israel. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Katil Schwarzenegger bersebelahan Stallone


ARNOLD SCHWARZENEGGER (kiri) dan Sylvester Stallone saling memandang antara satu sama lain semasa mereka dirawat di sebuah hospital di Los Angeles pada Selasa lalu.


LOS ANGELES - Pelakon filem Terminator, Arnold Schwarzenegger baring di atas katil di sebelah pelakon sasa, Sylvester Stallone di sebuah hospital di sini pada Selasa lalu.

Kedua-dua pelakon itu menerima rawatan akibat kecederaan kerana melakonkan aksi lagak ngeri dalam filem lakonan mereka.

Schwarzenegger, 64, menerima rawatan di bahunya sama seperti Stallone yang berusia 65 tahun.

Gambar yang menunjukkan kedua-dua pelakon berbaring disiarkan di laman blog Schwarzenegger.

Menurut Schwarzenegger, mereka mendapatkan rawatan selepas kedua-duanya berlakon dalam filemThe Expendables 2 dan The Last Stand.

Kedua-dua-dua pelakon itu memang terkenal dengan aksi lagak ngeri dalam filem-filem tahun 1980-an. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'