Pages

Thursday, March 24, 2011

Libya akan menang perang: Gaddafi


2011/03/24

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menyatakan kesediaan Libya untuk berperang ketika pemimpin Barat menimbang langkah seterusnya pada hari kelima serangan tentera bersekutu terhadap negara yang kaya dengan minyak itu. 

“Kita akan menang peperangan ini,” kata Gaddafi kepada penyokong di perkarangan bangunan Bab Al-Aziziyah di Tripoli yang menjadi sasaran peluru berpandu tentera bersekutu.
Awal semalam, Cable News Network (CNN) melaporkan, serangan udara tentera bersekutu dilancarkan sepanjang malam di bandar Misrata, timur Tripoli.
Pemberontak berkata mereka menghadapi serangan bertalu-talu di bandar Misrata yang dikepung tentera Gaddafi sejak beberapa minggu lalu. Antara yang terbunuh empat kanak-kanak, kelmarin. 

Sementara itu, Presiden Barack Obama tiba di Washington selepas memendekkan lawatan ke Amerika Latin berkata beliau menjangka penjelasan terhadap struktur arahan operasi tentera bersekutu dalam tempoh beberapa hari akan datang. 

Obama berkata ada sedikit pengurangan operasi pesawat tentera udara Amerika berikutan sekutu Barat mahu mewujudkan zon larangan terbang yang diluluskan Pertubuhan Bangsa Bangsa-Bersatu (PBB) bertujuan melindungi rakyat Libya. 

Kelmarin, pertempuran berlaku antara askar setia Gaddafi dengan pemberontak, ada laporan menyebut pemimpin Libya itu mencari jalan untuk keluar dari konflik. – AFP 

Israel bedil Gaza City, 8 maut



rakan-rakan Mohammed Abed, seorang pejuang Palestin yang terbunuh dalam serangan tentera udara israel mengangkat mayatnya untuk dihantar ke hospital al-Shifa di Gaza City, kelmarin. - AFP


GAZA CITY 23 Mac - Lapan penduduk Gaza termasuk dua remaja dan empat pejuang Palestin maut ketika ketegangan di sempadan wilayah Palestin itu dengan Israel terus memuncak selepas serangan udara dan roket dilancarkan sejak beberapa hari lalu.
Mangsa maut dalam dua serangan berasingan Israel di bahagian timur Gaza City, semalam sehari selepas berlaku pertumpahan darah dan keganasan.
Dua yang terkorban berumur 11 dan 16 tahun, sementara empat lagi merupakan anggota kumpulan pejuang Jihad Islam, lapor sumber pejuang Palestin dan perubatan.
Kumpulan perubatan berkata, dalam kejadian pertama, empat maut apabila tembakan meriam Israel mengenai sebuah rumah di Shejaiya.
Jurucakap pasukan kecemasan, Adham Abu Selmiya berkata, rejim Zionis melancarkan serangan tersebut ke atas sekumpulan remaja yang sedang bermain bola sepak.
Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Mohammed al-Helu, 11; Yasser Ahad al-Helu, 16; Yasser Hamad al-Helu, 50; dan Mohammed Harara, 20 tahun.
Selmiya berkata, seramai 12 yang lain turut cedera dalam kejadian itu dengan empat daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Beberapa jam kemudian, empat anggota pejuang Palestin terbunuh dalam satu serangan udara Israel di kawasan kediaman di Zeitun yang terletak berhampiran.
Mereka dikenali sebagai Mohammed Abed, Saada Heles, Adham al-Harazine dan Mohammed Atya al-Harazine. - AFP

Gaddafi selar kuasa Barat



Seorang rakyat Libya memegang poster Gaddafi di Pangkalan Tentera Laut Libya yang ranap dalam serangan Tentera Bersekutu di timur Tripoli, kelmarin. - REUTERS


TRIPOLI 23 Mac - Kuasa Barat yang membedil sistem pertahanan Libya akhirnya 'akan dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah', kata Muammar Gaddafi, ketika askarnya menyekat kemaraan pemberontak, meskipun diserang dari udara selama empat malam, berturut-turut.
Serangan udara kuasa Barat telah berjaya melumpuhkan tentera udara Libya dan memaksa askar dan kereta kebal tentera Libya berundur dari pinggir kubu pemberontak di Benghazi, tetapi pemberontak yang tidak tersusun dan kekurangan senjata gagal memanfaatkan bantuan udara itu dan terus terperangkap.
Tentera pemberontak belum berupaya mengusir askar Gaddafi dari persimpangan utama bandar Ajdabiyah di timur, manakala kereta kebal tentera kerajaan terus membedil Misrata, bandar terbesar terakhir yang cuba dipertahankan oleh pemberontak.
Terdapat kemungkinan besar berlaku kebuntuan di darat, kata penganalisis.
Sekurang-kurangnya dua letupan kedengaran di Tripoli sebelum subuh hari ini, sementara deruan sebuah jet pejuang kedengaran di ruang udara disusuli tembakan bertalu-talu meriam antipesawat.
"Kita tidak akan menyerah kalah, kita akan menewaskan mereka dengan apa cara sekalipun kerana kita bersedia untuk berperang dalam jangka pendek atau jangka panjang....kita akan mencapai kemenangan akhirnya," kata Gaddafi kepada penyokong yang membentuk perisai manusia di pekarangan kediamannya di Tripoli.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai keganasan yang dilancarkan kumpulan fasis yang kesudahannya akan 'dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah'.
Kerajaan Libya menafikan tenteranya melancarkan serangan, sebaliknya mendakwa mereka hanya mempertahankan diri apabila diserang, tetapi pemberontak dan penduduk berkata, kereta kebal rejim meneruskan bedilan ke atas Misrata di barat, menyebabkan 40 orang terbunuh kelmarin, di samping menyerang pekan kecil Zintan di sempadan Tunisia.
Kemaraan pemberontak di timur juga tersekat di pinggir Ajdabiyah sejak baki kereta kebal Gaddafi berkawal di sana selepas barisan kenderaan berperisai tentera beliau yang sedang mara ke Benghazi musnah dalam serangan udara tentera Perancis lewat Sabtu lalu.
Pemberontak yang berlindung di balik bukit pasir daripada tembakan meriam kereta kebal dari bandar itu tidak mempunyai senjata berat, kepimpinan, komunikasi atau pelan.
Negara-negara Barat keberatan menempatkan tentera darat yang dapat memberi panduan melancarkan serangan udara dengan lebih tepat bagi membantu pemberontak menawan Tripoli.
Sementara itu, penganalisis pertahanan berkata, kuasa Barat dijangka menanggung kos melebihi AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya jika operasi itu berlarutan selama beberapa bulan. - Reuters

Pemberontak sukar menang

AJDABIYAH: Di sebalik semangat juang dan keberanian pemberontak yang berkubu di padang pasir berhampiran bandar Ajdabiyah, mereka sebenarnya berdepan masalah kepemimpinan, pengalaman dan pelan tindakan jelas.
Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang - daripada jurutera, pemandu teksi atau penganggur - dan kebencian terhadap Muammar Gaddafi menjadikan mereka bersatu.

Tidak dapat dipastikan sama ada semangat yang ada pada mereka mampu menyumbang kepada kejayaan menawan Ajdabiyah yang kini masih dikuasai tentera Gaddafi.

Keadaan itu mencetuskan dilema kepada kerajaan asing yang membuktikannya dengan melancarkan serangan dari udara dan laut bagi melumpuhkan sebahagian kekuatan kerajaan.

Konflik di wilayah timur Libya sejak lima minggu itu menemui jalan buntu apabila tentera Gaddafi - dilengkapi jet buatan Perancis - menyerang kubu pemberontak di Benghazi sebelum berundur ke Ajdabiyah.

Pada pagi semalam, sekumpulan pejuang bergerak ke bukit pasir kira-kira lima kilometer dari bandar berkenaan dalam persiapan untuk menyerang balas.

Apabila ditanya siapa memberi arahan, seorang daripada mereka sekadar menggeleng kepala.

“Tak ada sesiapa. Kami cuma sukarelawan dan tak ada sebarang pelan,” katanya.
Pada peringkat awal, tidak banyak bukti menunjukkan tentera kerajaan berpaling tadah menyokong kebangkitan rakyat.

Pada masa sama, pejuang pemberontak kelihatan sekadar pelakon filem Mad Max apabila berkawal dengan pakaian yang pelbagai.

Ketika sebahagian daripada mereka memakai seragam tentera, sesetengah yang lain mengenakan jaket kulit atau jersi bola sepak.

Di kepala, mereka bebas memakai sekadar kain tradisional, topi keledar atau apa saja.

Aspek persenjataan juga menunjukkan kepelbagaian - daripada mesingan yang dipasang di atas trak, raifal atau sekadar pisau dan batang besi.

Sesetengah pejuang berkata, mereka tertunggu-tunggu kemunculan pemimpin dari Benghazi, tetapi sebahagian lain lebih berharap kepada bantuan asing.

Jurucakap pemberontak, Essam Gheriani, berkata apa yang berlaku di Libya adalah kebangkitan rakyat secara spontan.

“Tiada sebarang persediaan.

“Rakyat bertanya, di mana tentera kita? Tentera kami adalah anak kami, doktor kami, penduduk di sini,” katanya. - Reuters

8 cedera diserang roket ketika cuba lihat jet pejuang AS terhempas

BENGHAZI: Saksi berkata, sekurang-kurangnya lapan orang cedera ditembak ketika mereka cuba menghampiri kawasan pesawat AS terhempas di Libya, semalam.
Menurut berkata, semua mangsa adalah lelaki dan dirawat di Hospital Jala di Benghazi.

Katanya, mereka dibawa dari perkampungan Ghot Sultan, kira-kira 50 kilometer di timur Benghazi yang menjadi tempat jet F-15 tentera AS terhempas.

“Kami ke sana dan mendapat tahu juruterbangnya masih ada.

“Ketika kami semakin hampir ke lokasi itu, tiba-tiba kami diserang dengan roket,” katanya.

Saksi itu, Mohammed Abdul Aaty, terselamat tetapi bapa dan saudara kandungnya, Hamdy, cedera.

Katanya, doktor terpaksa memotong kaki Hamdy selepas mengalami kecederaan parah.

Seorang lagi penduduk kampung, berkata mereka menaiki kereta dan berjalan kaki ke tempat jet itu terhempas.
“Ada satu kumpulan lebih awal mendakwa juruterbangnya masih ada. Kami terus ke situ tetapi tiba-tiba roket meletup tidak jauh dari kami,” katanya. Bagaimanapun, tiada sesiapa dapat mengesahkan siapa melancarkan roket berkenaan.

“Hanya Tuhan tahu kerana kami tidak melihat sebarang pesawat di udara ketika itu,” katanya. - AFP

Jerman enggan sertai kempen Nato di Laut Mediterranean

BERLIN: Jerman mengumumkan pendiriannya tidak menyertai kempen menguatkuasakan sekatan senjata di Laut Mediterranean walaupun ia dilaksanakan Nato.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Jerman berkata, sekatan itu diputuskan Nato dan ia akan memberi kesan besar kepada Libya.

“Jerman tidak akan terbabit dalam pelaksanaan sekatan ini,” katanya.

Jurucakap itu berkata, Kementerian Pertahanan menempatkan dua kapal peronda dan dua kapal laut di Laut Mediterranean.

Bagaimanapun, semua arahan hanya akan datang dari pemerintah tentera Jerman.

“Untuk waktu ini, kapal itu akan kekal di situ dan kami belum memutuskan haluan selanjutnya,” katanya. Kapal peronda itu - Lubeck dan Hamburg - adalah sebahagian daripada komponen Nato dalam kempen pertubuhan itu mengekang kegiatan pengganas. Kira-kira 550 anak kapal bertugas di dalam empat kapal berkenaan.

Semalam, Nato bersetuju melaksanakan sekatan senjata ke atas Libya menggunakan kuasa tentera udara dan laut negara anggota pertubuhan itu.

Setiausaha Agung Nato, Anders Fogh Rasmussen, berkata tentera pertubuhan itu akan memantau, melapor dan - jika perlu - menghalang sebarang kapal yang disyaki membawa peralatan haram ke Libya.
“Semua negara anggota komited memenuhi tanggungjawab di bawah resolusi PBB bagi menghentikan keganasan ke atas orang awam di Libya,” katanya.

Jerman - negara bukan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB - mengambil pendirian berkecuali dalam undian terhadap usul ‘membenarkan sebarang cara’ bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya, minggu lalu. - AFP

Ban tegur Russia


TUNIS: Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, berkata Russia bertanggungjawab bekerjasama dengan Majlis Keselamatan melaksanakan resolusi diluluskan badan itu yang membenarkan serangan udara ke atas tentera Muammar Gaddafi.
Kenyataan Ban itu dikeluarkan semalam sebagai reaksi terhadap bantahan keras Moscow terhadap operasi ketenteraan Bersekutu.

Ketika undian Resolusi 1973 itu dilangsungkan Majlis Keselamatan PBB, Russia mengambil pendirian berkecuali. Pendirian sama turut diambil China.

Menurut Ban, apabila sesuatu resolusi itu diluluskan, semua negara wajib mematuhinya.

“Memanglah ada sesetengah negara yang berkecuali, tetapi apabila ia diterima, semua anggota PBB mempunyai tanggungjawab bekerjasama sepenuhnya supaya resolusi berkenaan boleh dilaksanakan,” katanya pada sidang media itu.

Tentera AS bersama Britain dan Perancis melancarkan serangan peluru berpandu ke lokasi strategik milik tentera yang setia kepada Gaddafi pada awal pagi Ahad lalu.

Bagaimanapun, operasi itu mendapat kecaman daripada pemimpin beberapa negara, termasuk China dan India. - AFP

Belanja besar misi di Libya

WASHINGTON: Untuk mengira kos yang dibelanjakan oleh Amerika Syarikat bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya bukan sesuatu yang rumit.
Kos operasi negara itu dan sekutu Eropahnya selama empat malam lalu mencecah ratusan juta dolar ketika pakatan antarabangsa itu berusaha memusnahkan sistem pertahanan udara Muammar Gaddafi dan menyelamatkan pemberontak daripada kalah.

Kos itu akan meningkat secara sederhana jika peranan Amerika dihadkan dengan Pentagon menggunakan bajet sedia ada untuk membiayai perbelanjaan atau ia boleh meningkat mendadak jika operasi itu berlarutan selama beberapa minggu atau bulan.

Sehingga Selasa lalu, tentera bersekutu melepaskan sekurang-kurangnya 162 Tomahawk yang dilancarkan oleh kapal perang dan kapal selam. Senjata berkenaan berharga antara AS$1 juta (RM3 juta) hingga AS$1.5 juta sebuah.

Sementara itu, operasi kos penerbangan ulang-alik pesawat pengebom stealth B-2 dari Missouri untuk menggugurkan bom seberat 900 kilogram di negara Afrika utara itu ialah kira-kira AS$10,000. Jumlah masa yang diambil untuk perjalanan itu ialah 25 jam.

Namun, jumlah itu hanya sebahagian daripada kos sebenar. Pesawat pengebom B-2 menggunakan minyak yang mahal dan bergantung kepada pesawat tangki minyak untuk pengisian di udara serta mungkin memerlukan penggantian beberapa bahagiannya apabila kembali ke Pangkalan Tentera Udara Whiteman.

Juruterbangnya juga sudah pasti akan dibayar elaun perang.

Kumpulan kapal perang Amerika yang belayar di Mediterranean, termasuk tiga kapal selam, tiga pemusnah dan dua kapal amfibia serta sebuah pesawat F-15 yang terhempas menelan belanja kira-kira AS$75 juta.
“Setiap enam jam defisit belanjawan bertambah AS$1 bilion lagi,” kata Roscoe Bartlett, anggota Republikan yang menduduki Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Kongres.

“Secara mudah, ia bermakna hutang sebanyak AS$1 bilion lagi yang perlu dibayar balik oleh anak, cucu dan cicit kami,” katanya. - AFP

Russia, AS bertelagah

MOSCOW: Russia dan Amerika Syarikat bertelagah mengenai isu serangan tentera Bersekutu ke atas Libya, semalam, dengan pegawai kanan Washington menuduh Moscow diperdaya Muammar Gaddafi.
Dalam pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates, Presiden Russia, Dmitry Medvedev, menyatakan rasa kurang senang negara itu terhadap penggunaan kekerasan semberono tentera Bersekutu.

Kenyataan dikeluarkan Kremlin menyatakan, Medvedev bimbang terhadap pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai zon larangan terbang di Libya.

“Penggunaan kekerasan membabi-buta mungkin menyebabkan orang awam terkorban,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Pertahanan Russia, Anatoly Serdyukov, menggesa gencatan senjata dilaksanakan serta-merta kerana kempen ketenteraan itu membunuh orang awam.

Serdyukov berkata, pembunuhan orang awam tidak boleh dibiarkan dan mesej itu disampaikan Russia kepada rakan sejawatnya di AS.

Sementara itu, Gates tegas menolak kritikan Russia dan menjangkakan serangan itu akan berkurangan beberapa hari lagi.

Katanya, tentera antarabangsa mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak orang awam menjadi mangsa.
“Kebanyakan sasaran terletak jauh dari bandar,” katanya.

Kepada wakil media yang mengikuti rombongannya, Gates berkata, hampir semua kematian orang awam disebabkan tentera yang setia kepada Gaddafi.

Gates turut mempertikaikan pendirian Moscow.

“Seolah-olah ada sesetengah orang di sini terpedaya dengan dakwaan Gaddafi yang pada pandangan saya hanya pembohongan,” katanya. - AFP

Pemimpin Libya akan cuba kekal kuasa: Obama

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam memberi amaran, Muammar Gaddafi mungkin berusaha mengekalkan kuasa meskpiun berdepan dengan serangan tentera bersekutu.
Bagaimanapun, Obama berkata, pendekatan ketenteraan bukan satu-satunya cara untuk menyingkirkan pemimpin Libya itu.

“Kita sudah mengenakan sekatan antarabangsa. Kita sudah membekukan asetnya. Kita akan terus mengenakan pelbagai tekanan terhadapnya,” kata Obama kepada CNN di El Salvador. Pemimpin Amerika itu juga mengingatkan, langkah menguatkuasakan zon larangan terbang terpaksa dilakukan selepas ketetapan Majlis Keselamatan Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diluluskan minggu lalu bagi memastikan rakyat Libya tidak menjadi sasaran serangan tentera negara mereka sendiri.

Obama yang berada di El Salvador sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Amerika Latin berkata, beliau percaya serangan udara yang dilancarkan negaranya, Britain dan Perancis beraya menyelamatkan nyawa orang awam di Libya. - AP

Minyak matlamat utama perang

BEIJING: Media milik kerajaan China semalam mengecam serangan tentera yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan menyifatkannya sebagai usaha Barat untuk menguasai minyak dan penguasaan terhadap dunia.
“Serangan udara itu adalah semata-mata keputusan politik yang diambil oleh segelintir kuasa Barat dan mesej pertamanya ialah kuasa Barat ini masih menjadi hakim peringkat global.

“Barat sudah menguasai dunia sejak beberapa abad lalu dan hasrat untuk menguasai dunia masih menjadi strategi utamanya,” kata rencana pengarang akhbar Global Times.

Dalam pada itu, akhbar People’s Daily suara Parti Komunis China berkata, sebahagian besar campur tangan tentera dan politik Barat di Timur Tengah berkait dengan minyak dan kedudukan strategiknya.

“Iraq diserang kerana minyaknya, Libya diserang juga kerana minyaknya,” kata akhbar itu dalam edisi seberang lautnya, Ia juga menuduh Barat berusaha menguasai sumber strategik dunia dengan kekerasan. - AFP

Al Azhar kecam tentera Sekutu

KAHERAH: Pihak berkuasa tertinggi Islam di Mesir semalam mengecam serangan tentera Barat di Libya tetapi berkata, ia menyokong apa yang disifatkannya sebagai tuntutan sah revolusi rakyat negara itu.
Pesawat pengebom Barat melakukan lebih 300 penerbangan di ruang angkasa Libya dan lebih 162 peluru berpandu tomahawk dibedil dalam misi yang dimandatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi penduduk awam negara itu daripada tentera kerajaan.

Universiti Al-Azhar, antara pusat pengajian tertua di dunia memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan Britain supaya tidak memecah-belahkan Libya dan memusnahkan kekayaan sumber dan kemanusiaannya seperti yang berlaku di Iraq, lapor akhbar Al-Ahram.

Institusi yang berpusat di Kaherah itu juga mengutuk kerajaan Arab yang menindas rakyatnya sejak puluhan tahun lalu.

Menurutnya, pemimpin negara terbabit tidak sepatutnya kekal berkuasa jika ia membawa kepada lebih banyak pertumpahan darah.

“Mereka perlu meninggalkan jawatan mereka. Itu yang patut mereka lakukan sebagai menyahut gesaan rakyat yang sudah sekian lama bersabar,” menurut kenyataan universiti itu.

Sokongan dunia Arab untuk melaksanakan zon larangan terbang amat penting bagi membolehkan ketetapan Pertubuhan Bangsa Bersatu, membenarkan campur tangan tentera asing di Libya.

Bagaimanapun, tidak ada negara Arab, kecuali Qatar berkata ia akan menyumbang kepada operasi berkenaan.
Universiti Al-Azhar mengecam kegagalan institusi Arab dan Islam menangani masalah politik dan ekonomi yang akhirnya mencetuskan kebangkitan rakyat hingga menggoncangkan dunia Arab. - AP

Gaddafi yakin kalahkan Barat




PENYOKONG pemberontak melihat dari dekat senjata tentera kerajaan Libya yang musnah di jalan utama antara Benghazi dengan Ajdabiyah, semalam.
PENYOKONG pemberontak melihat dari dekat senjata tentera kerajaan Libya yang musnah di jalan utama antara Benghazi dengan Ajdabiyah, semalam.


ORANG ramai melihat lubang besar di pankalan tentera laut Libya di Bousetta, timur Tripoli, yang musnah selepas dibom tentera bersekutu, semalam.
ORANG ramai melihat lubang besar di pankalan tentera laut Libya di Bousetta, timur Tripoli, yang musnah selepas dibom tentera bersekutu, semalam.

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berkata semalam, kuasa Barat yang menyerang negaranya akan berakhir dalam tong sampah sejarah.
“Kita tidak akan menyerah kalah,” kata Gaddafi kepada penyokongnya yang membentuk perisai manusia untuk melindunginya di kediaman beliau di Tripoli yang menjadi sasaran serangan pada 1996 ketika pentadbiran Reagan dan sekali lagi dalam serangan udara tentera bersekutu baru-baru ini.

“Kita akan mengalahkan mereka dengan apa cara sekali pun. Kita sudah bersedia untuk berperang, tidak kira sama ada untuk masa yang singkat atau lama,” kata pemimpin Libya itu dalam siaran televisyen, kemunculan pertamanya sejak serangan udara kuasa Barat bermula Sabtu lalu.

“Serangan itu dilakukan oleh sekumpulan fasis yang akan berakhir dalam tong sampah sejarah,” katanya, Ucapannya itu disusuli dengan pembakaran bunga api di Tripoli sambil orang ramai bersorak dan penyokongnya melepaskan tembakan ke udara.

Sementara itu, tentera Libya berjaya mengekang kemaraan pasukan pemberontak walaupun berdepan dengan serangan udara daripada tentera bersekutu selama empat malam berturut-turut.

Meskipun kuasa Barat melumpuhkan pasukan udara Gaddafi serta memaksa pengundurannya daripada Benghazi, bandar raya yang menjadi kubu kuat pemberontak, kumpulan penentang itu gagal mengambil kesempatan.

Mereka tidak berupaya mengusir tentera Gaddafi daripada persimpangan utama Ajdabiyah di timur sementara kereta kebal askar kerajaan mengepung bandar Misrata.

Sekurang-kurangnya dua letupan kedengaran di Tripoli awal semalam.
Menurut saksi, pesawat pejuang kedengaran di ruang angkasa bandara raya itu disusuli dengan tembakan meriam antipesawat.

Kerajaan Libya menafikan dakwaan melakukan serangan baru terhadap pemberontak dan berkata, tenteranya hanya bertindak mempertahankan diri jika diserang.

Namun, kumpulan pemberontak dan penduduk berkata, kereta kebal Gaddafi terus membedil Misrata di Barat, menyebabkan 40 orang mati Isnin lalu. - AP


15 terbunuh ketika protes antikerajaan di Syria


24/03/2011 2:28am


DARAA, Syria 24 Mac – Aktivis kemanusiaan menyatakan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh termasuk kanak-kanak dan anggota keselamatan dalam protes antikerajaan di bandar Daara.
Menurut aktivis dan penduduk, pihak tentera melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan di luar Masjid Omari pada awal pagi semalam dan berterusan selama satu hari.
Sebelum itu, beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul bagi menghalang pihak polis menyerbu protes tersebut. – AFP

Jepun: Angka korban, hilang cecah 26,000


2011/03/24

OSAKA: Bilangan mangsa yang disahkan maut atau hilang di Jepun kini melebihi 26,000 orang, hampir dua minggu selepas gempa bumi kuat dan tsunami besar melanda pantai timur laut negara itu. 

Terdapat kebimbangan angka korban bencana yang meranapkan seluruh bandar di pantai Pasifik pulau Honshu itu meningkat lebih tinggi.
Agensi Polis Kebangsaan menyatakan perangkaan terkini ialah 9,700 mangsa disahkan mati manakala 16,501 lagi disahkan hilang, iaitu keseluruhan 26,201 mangsa akibat bencana berkembar pada 11 Mac lalu.
Seramai 2,766 lagi mangsa cedera. - AFP 

Tripoli terus dibom


2011/03/24

TRIPOLI: Tembakan senjata penangkis pesawat dan beberapa letupan kedengaran di Tripoli awal hari ini ketika tindakan ketenteraan pakatan negara Barat terhadap pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, masuk hari keenam. 

Wartawan melaporkan tembakan senjata penangkis pesawat itu bermula pada 0430 GMT dan disusuli letupan.
Agensi berita rasmi JANA melaporkan serangan tentera pakatan Barat di Tripoli semalam membunh "ramai" orang awam, termasuk anggota penyelamat yang cuba mengeluarkan mangsa daripada runtuhan bangunan. - AFP

Serangan Barat bunuh ramai penduduk: Libya





2011/03/24

TRIPOLI: Agensi berita Libya (JANA) melaporkan serangan pakatan kuasa Barat di kawasan kediaman di timur Tripoli membunuh "sejumah besar" orang awam. 

"Pengeboman yang dilakukan pengganas penjajah di wilayah Tajura itu mensasarkan kawasan kediaman...membunuh ramai orang awam," menurutnya yang merujuk seorang pegawai tentera.
Tajura diserang tiga kali dan serangan ketiga mensasarkan "penyelamat yang cuba mengeluarkan mangsa yang terbunuh dan tercedera dari runtuhan berikutan dua serangan terdahulu."
Terdahulu, saksi berkata mereka mendengar letupan besar di sebuah pangkalan tentera di wilayah Tajura yang terletak 32 kilometer ke Timur Tripoli dan meihat api menjulang di kawasan itu. - AFP 

5 maut dalam serangan bom kereta di Pakistan


2011/03/24

PESHAWAR: Bom kereta yang mensasarkan polis menyebabkan lima terbunuh manakala 25 lagi cedera di sebuah bandar di barat laut Pakistan hari ini. 

Serangan itu dilakukan di bandar Doaba di Khyber-Pakhtunkhwa, 30 kilometer dari wilayah Hangu. - AFP

Pesawat Israel serang Gaza


2011/03/24

BANDARAYA GAZA: Pesawat Israel melakukan tiga serangan terhadap Gaza malam tadi tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan. 

Sumber Palestin menyatakan serangan itu mensasarkan Gaza manakala satu lagi terhadap terowong berhampiran sempadan Mesir di Rafah.
Jucucakap wanita tentera Israel mengesahkan serangan itu dan berkata:
“Tentera udara mensasarkan dua terowong di selatan Semenanjung Gaza dan sasaran pengganas di Gaza. Serangan ini susulan 25 tembakan roket, termasuk empat Grads, ke atas Israel sejak Sabtu lalu." 

Serangan itu dilakukan sejurus letupan bom di atas bas di Baitulmaqdis yang membunuh seorang mangsa dan mencederakan 30 yang lain hanya beberapa jam selepas pejuang Palestin bersumpah untuk membalas dendam terhadap dua serangan maut Israel terhadap Gaza. 

Kelmarin, lapan penduduk Gaza terbunuh, termasuk dua kanak-kanak dan empat pejuang Palestin, dalam dua serangan di timur Gaza. - AFP 

Rahim Thamby Chik mengaku terlibat dedah rakaman video seks





ENCIK RAHIM THAMBY CHIK: Mahu buktikan bahawa Datuk Seri Anwar tidak layak jadi pemimpin nasional dan perdana menteri Malaysia. -- Foto UTUSAN MALAYSIA




KUALA LUMPUR: Mantan Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, semalam mengakui bahawa beliau adalah antara tiga orang yang mendedahkan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada media Isnin lalu.
Tan Sri Rahim turut mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menentukan ketulenan klip tersebut.Bercakap dalam satu sidang akhbar petang semalam, beliau berkata suruhanjaya diraja itu perlu turut dianggotai tiga pemimpin utama pembangkang - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Nik Aziz Nik Mat; dan penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang.Turut hadir di sidang akhbar yang diadakan secara tergesa-gesa itu ialah seorang lagi anggota Datuk 'T' atau 'Trio' iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah.Anggota ketiga - bendahari Perkasa dan bekas senator, Datuk Shuib Lazim - tidak hadir.Tan Sri Abdul Rahim berkata tindakan mereka bertujuan menunjukkan bahawa Datuk Seri Anwar yang 'mahu menjadi pemimpin nasional dan perdana menteri adalah tidak layak'.Datuk Shazryl menjadi tumpuan media baru-baru ini ekoran pembabitannya dalam satu kes saman berprofil tinggi di mahkamah.Beliau menyaman ahli peniagaan Encik Yahya Abdul Jalil dan Merong Mahawangsa Sdn Bhd kerana didakwa tidak membayarnya RM20 juta ($8.3 juta) seperti yang dijanjikan bagi perkhidmatannya berkaitan projek jambatan bengkok.Isnin lalu, satu rakaman video seks selama 19 minit, yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar dengan seorang pelacur wanita berbangsa Cina, ditayangkan kepada beberapa anggota media.Terdahulu, Datuk 'T' mendakwa adegan itu dirakam menggunakan empat kamera litar tertutup di sebuah bilik hotel di ibu negara pada 21 Februari lalu antara 10.23 dengan 10.42 malam.Datuk 'T' juga menunjukkan jam tangan jenama Omega yang disimpan dalam sarung plastik yang didakwanya milik Datuk Seri Anwar dan diambil daripada wanita terbabit dalam adegan seks itu.Selepas Datuk Seri Anwar meninggalkan hotel itu, beliau sedar jam tangan Omeganya tertinggal di bilik berkenaan.Beliau meminta seorang penolongnya agar mencari jam tangan itu dalam bilik hotel tersebut, yang kemudiannya menjumpai rakaman rahsia itu. -- Agensi.
cyberita

Enam mati dalam demo di masjid Syria




PRESIDEN ASSAD: Menghadapi cabaran paling besar sejak mengambil alih kuasa daripada ayahnya pada 2000. -- Foto AP






DAMSYIK: Pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan ke atas penunjuk perasaan antipemerintah berhampiran sebuah masjid semalam.
Kejadian di bandar Deraa itu menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan ramai lagi cedera.Seorang aktivis hak asasi berkata pasukan keselamatan melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke atas penunjuk perasaan yang duduk beramai-ramai berhampiran Masjid Omari yang menyaksikan demonstrasi selama enam hari berturut-turut.'Mereka memotong bekalan elektrik dan melepaskan tembakan selepas itu,' katanya.Laungan 'Allahu Akbar' kedengaran sedang tembakan dilepaskan.Tidak pula diketahui sama ada penunjuk-penunjuk perasaan itu membawa senjata atau tidakSyria, yang masih di bawah undang-undang darurat 1963 yang melarang sebarang bentuk tunjuk perasaan, menyaksikan demonstrasi menuntut pemerintah Presiden Bashar Al-Assad berundur sejak seminggu lalu.Deraa, sebuah bandar kira-kira 100 kilometer ke selatan Damsyik, menjadi pusat tunjuk perasaan dalam kebangkitan terbaru rakyat Syria itu.Sebelum ini, para penunjuk perasaan yang telah mendirikan khemah di pekarangan masjid berkata mereka akan kekal di tapak itu sehingga permintaan mereka dipenuhi.Pemimpin masjid itu, Imam Ahmad Siasneh, berkata tunjuk perasaan di situ diadakan secara aman.Pertempuran terbaru semalam menjadikan bilangan korban mencapai 10 orang sepanjang tunjuk perasaan yang diadakan bagi menuntut kebebasan politik dan usaha menghentikan gejala rasuah di negara yang mempunyai 20 juta penduduk itu.Para penunjuk perasaan turut menuntut supaya dihentikan penindasan yang dilakukan ke atas penduduk setempat oleh pasukan polis rahsia, yang diketuai sepupu Presiden Assad di wilayah Deraa.Presiden Assad kini berdepan dengan cabaran paling besar terhadap pemerintahannya sejak mengambil alih tampuk kepimpinan daripada ayahnya, Encik Hafez Al-Assad, pada 2000.Kelmarin, Naib Presiden Farouq al-Shara berkata Presiden Assad komited untuk meneruskan 'pembaharuan dan modenisasi' di Syria. -- Reuters.
cyberita

Mengharap kedua-dua orang tua masih hidup...




TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG: Rasa sedih bercampur nostalgia menyelubungi perasaan Cik Kikuchi apabila beliau menziarahi rumah ibu bapanya di Ishinomaki semalam, yang telah dimusnahkan tsunami. -- Foto AFP




ISHINOMAKI (Jepun): Sambil berdiri di tengah-tengah rumah orang tuanya yang musnah akibat tsunami, Cik Yoshie Kikuchi kini menyedari bahawa mereka tidak mungkin terselamat daripada gelombang besar yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu.
Sejak itu, Cik Kikuchi cuba bergayut pada harapan suram bahawa mereka mungkin sempat melarikan diri apabila amaran dikeluarkan dan terselamat di sebuah pusat pemindahan tetapi tidak pula menghubungi pihak keluarga.'Saya terus memikirkan mereka mungkin kehilangan telefon bimbit mereka atau bekalan elektrik terputus. Jadi, mereka tidak dapat mengecas telefon mereka bagi memanggil kami,' kata Cik Kikuchi.'Orang mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai masa yang banyak untuk melarikan diri, tetapi saya belum tahu,' ujarnya.Kakitangan bapanya memberitahu wanita berusia 28 tahun itu bahawa ibu bapanya berada di pejabat sebuah firma seni bina - hanya beberapa ratus meter dari rumah mereka di Ishinomaki apabila gempa bumi terbesar sekuat 9 pada skala Richter menggegarkan Jepun.Mereka kemudian pulang ke rumah untuk mengambil beberapa barang. dan kali terakhir dilihat kurang lima minit sebelum gelombang besar itu merempuh bandar tersebut.Bencana kembar gempa dan tsunami itu mengakibatkan hampir 23,000 orang mati atau hilang tetapi perangkaan suram itu semakin bertambah.Keseluruhan penduduk yang tinggal di kawasan pantai timur laut dihanyutkan oleh tsunami.'Saya fikir mereka tahu tsunami bakal datang tetapi mereka tidak terfikir ia sebesar itu,' kata Cik Kikuchi.'Saya fikir mereka memikirkan... saya tidak tahu... Saya berharap mereka pergi ke tempat lain. Mungkin mereka fikir mereka mempunyai lebih banyak waktu tetapi ia datang dengan begitu cepat.'Memang ada tempat perlindungan di belakang rumah kami. Jadi, saya berharap mereka ke sana,' katanya.Kali terakhir Cik Kikuchi menziarahi ibu bapanya ialah pada Tahun Baru ketika keluarganya berkumpul bagi satu perayaan tradisional.Cik Kikuchi rasa senang kembali ke rumah itu, tempat beliau dibesarkan. Rumah itu dibina datuknya sekitar 70 tahun lalu. Namun, sedang rangka rumah itu masih berdiri utuh, barangan yang dikumpulkan sepanjang hayat semuanya berselerakan. -- AFP.

Pembangkang Yaman rancang berarak ke istana gesa presiden letak jawatan

SANAA: Kumpulan pembangkang Yaman menggesa kumpulan pembantah supaya berarak ke Istana Presiden Ali Abdullah Saleh di Sanaa esok untuk mendesak beliau supaya meletakkan jawatannya yang diharap dapat menamatkan krisis negara itu.
Sekutu-sekutunya di luar negara khuatir krisis itu akan hanya menguntungkan kumpulan-kumpulan militan Yaman.'Jumaat ini akan menjadi 'Jumaat berarak ke hadapan' dengan ratusan ribu orang... Kami akan datang ke mana anda berada dan kami akan menyingkirkan anda,' kata jurucakap pembangkang, Encik Mohamed Qahtan, kepada stesen televisyen Al Jazeera semalam semasa merujuk kepada pemimpin Yaman itu.Bantahan-bantahan selama tujuh minggu terhadap pemerintahan Encik Saleh, pemimpin negara paling miskin di Semenanjung Arab, telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pihak Barat yang khuatirkan pengaruh Al-Qaeda di negara itu.Yaman bersempadankan Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar di dunia, dan ia terletak di laluan perkapalan utama.Sel-sel Al-Qaeda di Yaman berupaya melancarkan beberapa serangan terang-terangan sepanjang dua tahun lalu di luar Yaman, khususnya di Arab Saudi dan Amerika Syarikat.Sambil mengetengahkan aduan yang sering dipinggirkan, pihak selatan Yaman berkata mereka mahu berpisah daripada Yaman yang dipimpin Encik Saleh.Malah, puak Syiah di utara turut mengadakan beberapa pemberontakan terhadap Encik Saleh, yang sedang menghadapi perjuangan paling besar dalam kerjaya politiknya.Setelah sekian lama disokong negara-negara Arab dan Barat sebagai 'orang kuat' yang berupaya menyatukan pelbagai puak di negara itu, Encik Saleh menimbulkan isu kemungkinan berlakunya perang saudara dan perpecahan jika beliau dipaksa meletak jawatan dalam apa yang disifatkannya sebagai rampasan kuasa.Gelombang pembelotan di kalangan golongan elit pemerintah turut membabitkan panglima tentera seperti Jeneral Ali Mohsen, seorang komander zon ketenteraan barat daya Yaman, dan saudara Encik Saleh daripada puak Al-Ahmar.Ketegangan di kalangan pasukan tentera bersaingan juga telah mengakibatkan tercetusnya beberapa kejadian ganas. -- Reuters.
cyberita

Askar pro-Gaddafi giatkan serangan cegah pemberontak bangkit semula



AJDABIYA (Libya): Tentera Encik Muammar Gaddafi menggiatkan lagi bedilan ke atas kedudukan para pemberontak di luar bandar strategik di timur Libya, semalam.
Mereka menyerang bagi mencegah pemberontak mengambil kesempatan daripada serangan udara antarabangsa sejak lima hari lalu mengumpul semula pasukan bagi satu serangan baru di sebelah timur negara itu.Sementara itu, para diplomat Barat berkata satu perjanjian sedang diusahakan, yang bakal melibatkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengambil alih zon larangan terbang di Libya selepas Amerika Syarikat, yang telah memimpin operasi itu sehingga kini, mengulangi lagi kenyataannya bahawa ia komited terhadap peralihan tanggungjawab tersebut.Kapal-kapal perang Nato mulai meronda di perairan dekat pantai Libya semalam bagi menguatkuasakan sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas negara itu.Askar-askar pro-Gaddafi yang menyerang Ajdabiya - sebuah bandar seramai 140,000 penduduk, yang menjadi pintu gerbang kepada bahagian timur negara itu - turut menyerang beberapa ratus pemberontak di kawasan pinggirannya, semalam.Para pemberontak membalas serangan itu dengan menggunakan roket-roket Katyusha tetapi mereka tidak dapat menandingi tentera pemerintah Libya.Kepulan asap hitam naik menyelubungi udara bandar tersebut.'Senjata-senjata yang mereka gunakan adalah senjata berat dan apa yang kami miliki hanyalah senjata ringan,' kata Encik Fawzi Hamid, seorang bekas anggota tentera Libya berusia 33 tahun yang telah berpaling tadah ke pihak pemberontak.'Tentera Gaddafi lebih kuat berbanding kami, jadi kami terpaksa bergantung kepada serangan-serangan udara,' tambahnya.Pihak pemberontak dan tentera Encik Gaddafi terlibat dalam satu pertempuran di Ajdabiya lebih daripada seminggu dengan kededua pihak gagal menguasai satu sama lain untuk mengambil alih bandar itu.Sementara itu di Paris, para wakil pembangkang Libya, Majlis Kebangsaan Sementara (INC), lewat kelmarin berkata rejim pos-Gaddafi akan berpendirian 'demokratik dan sekular', selain meramalkan pemimpin Libya itu akan kecundang dalam masa terdekat bagi membolehkan pembinaan semula masyarakat Libya.'Masa depan Libya adalah demokratik dan sekular,' kata Encik Mansour Saif Al-Nasr, seorang utusan, beliau juga bukan anggota majlis yang berpangkalan di Benghazi, kepada para penulis, bekas menteri dan wartawan di ibu kota Perancis itu. -- AP, AFP.

Radiasi dalam air paip





SEORANG petani mencurah susu ke dalam lubang untuk ditimbus di daerah Itate, Fukushima selepas pihak berkuasa mendedahkan pencemaran radiasi  dalam produk tenusu. - Foto REUTERS
SEORANG petani mencurah susu ke dalam lubang untuk ditimbus di daerah Itate, Fukushima selepas pihak berkuasa mendedahkan pencemaran radiasi dalam produk tenusu. - Foto REUTERS

Amerika henti import makanan dari Jepun gusar radioaktif

TOKYO: Air paip di Tokyo didapati mengandungi kadar iodin radioaktif dua kali lebih tinggi daripada yang dikira selamat untuk kanak-kanak manakala Amerika Syarikat menjadi negara pertama menghentikan import makanan dari sekutunya itu kerana kebimbangan radiasi.

Tahap iodin radioaktif dalam paip air di pusat rawatan air pinggir Tokyo mendapati bekalan air yang disalurkan ke paip mengandungi 210 becquerels, kata pegawai Biro Air Tokyo. Kadar itu melebihi dua kali had yang disarankan iaitu 100 becquerels seliter.
Bayi di Tokyo tidak seharusnya diberi minum air paip walaupun tahapnya tidak memberikan risiko pada kesihatan dengan serta merta kepada golongan dewasa, kata pegawai.
Hampir dua minggu selepas tragedi gempa dan tsunami pada 11 Mac lalu, pegawai nuklear masih berusaha menstabilkan loji yang terlalu panas dan musnah di Fukushima itu, yang mana kebocoran radioaktif dikesan sejak kejadian yang merosakkan sistem penyejukan.

Gempa pada kekuatan 9 skala Richter merosakkan loji nuklear di Fukushima manakala tsunami menyebabkan 23,000 penduduk maut atau hilang.

Radiasi turut menyerap dalam sayur, susu mentah, bekalan air dan air laut di kawasan sekeliling loji itu.

Brokoli turut termasuk dalam senarai sayur tercemar yang turut merangkumi bayam, bunga matahari dan canola.
Penduduk di timur laut Jepun sebelum ini dinasihatkan supaya tidak minum air dari paip berikutan tahap iodin radioaktif tinggi yang boleh menyebabkan barah tiroid. Sehingga semalam, tahap radiasi dalam air dicatatkan, kata pegawai.

Pentadbiran Ubat dan Makanan Amerika Syarikat berkata mereka menghentikan pengimportan produk tenusu dan bahan mentah dari wilayah Fukushima.

Produk lain yang diimport dari Jepun termasuk makanan laut akan terus dijual kepada orang ramai tetapi perlu menjalani imbasan radiasi terlebih dulu, kata agensi.

Amerika mengimport kurang empat peratus makanan dari Jepun dan FDA berkata pihaknya tidak menjangka risiko radiasi terhadap bekalan makanan.

Pegawai juga berkata, tahap radiasi juga melebihi had selamat membabitkan 11 jenis sayur di kawasan sekitar loji nuklear Fukushima, selain susu dan air.

Jepun sudah menghentikan penghantaran makanan tertentu dari kawasan berkenaan dan meminta penduduk berhenti makan sayur berdaun.

Beberapa negara Asia juga mula melakukan pemeriksaan terhadap import makanan Jepun bagi memastikan tiada pencemaran radiasi dengan Taiwan menyuruh nelayannya berhenti menangkap ikan di perairan Jepun. – AFP/Reuters
bharian

Bahrain gantung penerbangan ke Lebanon



MANAMA 23 Mac - Bahrain menggantung penerbangan keluar masuknya ke Lebanon, sehari selepas mengeluarkan amaran kepada rakyatnya agar jangan ke negara itu berikutan pengakuan kumpulan Syiah, Hezbollah yang menyokong protes oleh kaum Syiah Bahrain.
Syarikat penerbangan Gulf Air menerusi satu kenyataan dalam laman webnya mengumumkan bahawa semua penerbangan ke Iran dan Iraq juga ditangguh sehingga 31 Mac ini tanpa menyatakan sebab.
Iran yang menyokong puak Syiah di Lebanon dan Iraq sering mengkritik campur tangan asing di Bahrain oleh beberapa negara jiran yang diperintah golongan Sunah.
Penggantungan penerbangan itu menggambarkan ketegangan yang semakin memuncak di rantau pengeksport minyak terbesar di dunia ini antara negara-negara Arab yang diperintah golongan Sunah dan kuasa bukan Syiah Arab, Iran. - Reuters

Syria: 6 penunjuk perasaan maut



DAMSYIK 23 Mac - Pasukan keselamatan Syria membunuh sekurang-kurangnya enam orang apabila mereka melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di sebuah masjid di bandar Deraa, 100 kilometer ke selatan ibu negara ini.
Deraa menjadi medan protes oleh rakyat yang mencabar pemerintahan Parti Baath pimpinan Presiden Bashar al-Assad.
Mereka yang terbunuh dalam insiden sejurus selepas malam tadi termasuk seorang doktor daripada sebuah keluarga terkemuka di Deraa, Ali Ghassab al-Mahamid yang pergi ke Masjid Omari, di kawasan lama bandar itu, untuk membantu mangsa serangan.
Sebelum serangan itu, bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon diputuskan ke kawasan tersebut.
Laungan 'Allahu Akbar' kedengaran di serata kawasan kediaman di Deraa apabila tembakan mula dilepaskan.
Tidak jelas sama ada penunjuk perasaan membawa senjata.
Berikutan serangan itu, sejumlah 10 penduduk awam dibunuh oleh pasukan keselamatan Syria dalam konfrontasi dengan penunjuk perasaan yang melancarkan demonstrasi sejak enam hari lalu bagi menuntut kebebasan politik dan pembasmian rasuah di negara yang dihubi 20 juta penduduk ini.
Belum ada kenyataan dikeluarkan oleh kerajaan Assad, yang kini berdepan cabaran terbesar terhadap pemerintahannya sejak menggantikan bapanya, Hafez al-Assad pada 2000.
"Dr. Mahamid ditembak oleh penembak curi, rangkaian telefon diputuskan tetapi kami dapat berhubung dengan penunjuk perasaan dekat masjid menerusi talian telefon mudah alih Jordan," kata seorang penduduk Deraa. - Reuters
utusan

Elizabeth Taylor meninggal dunia



Elizabeth TAYLOR pada tahun 1984.


LOS ANGELES - Aktres legenda Hollywood, Elizabeth Taylor yang mempunyai sepasang mata ungu meninggal dunia semasa berusia 79 tahun semalam di sebuah hospital di sini.
Menurut satu kenyataan keluarga pelakon tersebut, dia telah dimasukkan ke Hospital Cedars-Sinai di sini sejak enam minggu lalu kerana mengalami masalah jantung yang merupakan penyakit yang dihidapinya selama bertahun-tahun.
Kenyataan tersebut menyatakan, aktres yang pernah mencuit hati ramai penonton menerusi filem National Velvet itu mengelami komplikasi jantung baru-baru ini.
"Aktres legenda, seorang ahli perniagaan dan aktivis, Elizabeth Taylor meninggal dunia hari ini (semalam) dengan aman di Hospital Cedars-Sinai di Los Angeles," kata satu kenyataan daripada seorang pegawai seranta pelakon berkenaan.
Menurut kenyataan itu, aktres berkenaan dikelilingi anak-anaknya, Michael Wilding, Christopher Wilding, Liza Todd dan Maria Burton semasa dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Pelakon itu mempunyai 10 cucu dan empat cicit.
Menurut Wilding: "Ibu saya merupakan seorang wanita yang luar biasa yang kehidupannya dipenuhi dengan humor, kasih sayang dan keghairahan.
"Walaupun kematiannya amat mengejutkan buat kami yang berada rapat dengannya, kami akan selalu memperoleh inspirasi daripada sumbangannya kepada dunia kita."
Menurut kenyataan itu, anak-anak pelakon itu berasa bangga dengan sumbangannya dalam memerangi HIV/AIDS, kerjayanya sebagai ahli perniagaan dan kerja-kerjanya dalam dunia perfileman.
Dia dilahirkan di London pada 27 Februari 1932 namun ibu bapanya berasal dari Amerika Syarikat (AS).
Bapanya merupakan seorang peniaga seni manakala ibunya pernah menjadi pelakon.
Elizabeth berpindah ke California bersama keluarganya semasa dia berumur tujuh tahun dan bakatnya sebagai pelakon dikesan oleh seorang ejen pencari bakat.
Aktres itu berlakon dalam filem pertama, There's One Born Every Minutes semasa dia berumur 10 tahun.
Dia membintangi lebih 60 buah filem dan antara filem-filem terkenalnya ialah A Place in the SunGiant, Raintree County, Cat on a Hot Tin Roof, Butterfield Eight Cleopatra dan Who's Afraid of Virginia Woolf.
Filem terakhirnya, animasi the flintstones menerusi sumbangan suaranya pada 1994. Pelakon itu berkahwin dengan tujuh orang sepanjang hidupnya.
Namun, dia berkahwin sebanyak dua kali dengan pelakon Britain, Richard Burton menyebabkan Elizabeth terkenal kerana berkahwin sebanyak lapan kali.
Elizabeth juga terkenal kerana hubungan rapatnya dengan penyanyi Michael Jackson yang meninggal dunia pada 25 Jun 2009.
- Agensi
kosmo

Laluan pejalan kaki unik




LALUAN pejalan kaki yang kelihatan seperti curam di Alicante, Sepanyol.


ALICANTE, Sepanyol - Satu laluan pejalan kaki yang dibina dengan menggunakan bata di bandar tepi pantai di sini memiliki corak kiub yang memberikan kesan tiga dimensi (3D) apabila dipandang, lapor sebuah akhbar semalam.
Laluan itu mencetuskan kontroversi berikutan ilusi 3D tersebut menyebabkan orang ramai berasa gayat apabila melaluinya.
Corak 3D itu menampakkan laluan berkenaan curam dengan susunan bata itu menyerupai anak tangga yang besar walaupun ia sebenarnya rata dan landai. - Agensi
kosmo