Pages

Monday, July 23, 2012

‘Tolong selamat kami’

BUKTI...Ahmad menunjukkan rakaman video  penderitaan umat Islam Rohingya.
BUKTI...Ahmad menunjukkan rakaman video penderitaan umat Islam Rohingya.

YANGON (Myanmar): “Saya bukan cakap kosong, tapi ada bukti. Penduduk etnik Rakhine kini bermaharajalela menyerang dan membunuh orang Islam Rohingya di Arakan, tetapi malangnya perkara ini tidak diketahui masyarakat luar kerana pihak berkuasa bijak menyorokkan maklumat sebenar.
“Malah, anggota pasukan keselamatan turut membantu puak Rakhine menindas penduduk Rohingya. Perkara ini bukan lagi rahsia kerana semua orang Islam di Myanmar tahu, namun kami dihalang memberi bantuan,” kata aktivis Islam yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 32, ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Ahmad yang ibu bapa dan adik-beradiknya masih di Arakan berkata, dia sentiasa memantau perkembangan di negeri kelahirannya itu selain berhubung dengan beberapa individu di sana untuk mendapat maklumat terkini.

Menurutnya, setiap individu Muslim tidak wajar berdiam diri tanpa melakukan apa-apa sedangkan ratusan ribu saudara seagama menderita akibat tekanan puak Rakhine yang dibantu pasukan seragam kerajaan di Arakan.

Beliau mendakwa pada masa ini ada kira-kira 115,000 orang umat Islam Rohingya tinggal di lima khemah penempatan sementara di beberapa kawasan iaitu di Thet Khapyin yang menempatkan 40,000 orang, Da Bai Thaecheung (25,000), Bumay (10,000), Budu Pa (20,000) dan Sampya Barat (20,000).

Hamas bebaskan 159 tahanan

GAZA: Kumpulan Hamas yang menguasai wilayah Palestin ini semalam berkata, mereka akan membebaskan lebih 150 tahanan ‘sebagai hadiah’ sempena bulan Ramadan.
“Kerajaan Hamas mengambil keputusan membebaskan 159 tahanan sempena Ramadan dan sebagai hadiah daripada Perdana Menteri, Ismail Haniya,” menurut kenyataan yang memetik ucapan jurucakap Kementerian Luar Hamas, Islam Shahwan.

Berucap di penjara di Barat Gaza, Islam berkata, banduan itu ialah tahanan jenayah, bukan politik.
Hamas yang menguasai wilayah itu sejak 2007 selepas mengalahkan kumpulan Fatah yang dipimpin Presiden Mahmoud Abbas, berbuat demikian setiap tahun. - Reuters

Bapa tembak 2 anak gadis

KANDAHAR: Seorang lelaki membunuh dua anak perempuannya berusia belasan tahun apabila mereka pulang ke rumah empat hari selepas melarikan diri dengan seorang pemuda.
Si bapa yang menembak mati gadis berkenaan ditahan atas tuduhan membunuh di daerah Nad Ali di wilayah Helmand, selatan Afghanistan, kata jurucakap polis, Farid Ahmad Farhang.

“Dia membunuh dua anaknya. Kedua-dua gadis itu melarikan diri dengan seorang pemuda empat hari lalu. Apabila pulang, lelaki itu menembak mati kedua-duanya.
Polis mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki muda terbabit yang dikatakan bekerja sebagai jurubahasa untuk tentera Nato di wilayah berkenaan.

Hubungan antara lelaki dan wanita dikawal ketat oleh undang-undang Islam dan kebanyakan keluarga di Afghanistan mengenakan hukuman berat terhadap anggota keluarga mereka yang melanggarnya. Tindakan ‘membunuh kerana maruah’ menjadi amalan biasa di negara itu.

Kumpulan Taliban yang memerang kerajaan Presiden Hamid Karzai yang disokong oleh Barat baru-baru ini melaksanakan hukuman mati secara terbuka terhadap seorang wanita muda di sebuah kampung berhampiran Kabul selepas menuduhnya berzina.
Pembunuhan itu dikecam secara meluas di peringkat antarabangsa selepas video mengenainya disiarkan menerusi media Afghanistan.

Ia menunjukkan orang ramai bersorak ketika seorang lelaki menembak wanita itu. - AFP

Budak makan bilik tidur

RACHEL dan anaknya, Zach. Keadaan plaster bilik yang dimakan Zach (gambar kecil).
RACHEL dan anaknya, Zach. Keadaan plaster bilik yang dimakan Zach (gambar kecil).

SALFORD: Ibu kanak-kanak yang menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan dia tidak boleh menolak untuk makan apa saja yang berada di bilik tidurnya, merayu bantuan untuk membiayai sebuah bilik yang ‘boleh dimakan’ oleh kanak-kanak itu.
Zach Tahir yang menghidap Kecelaruan Selera Makan, memakan apa saja yang terdapat di bilik tidurnya, termasuk permaidani dan plaster. Ibu kanak-kanak berusia lima tahun itu, Rachel, yang tinggal di Salford, melancarkan kempen untuk membina sebuah bilik selamat untuknya selepas semakin bimbang mengenai keadaan anaknya.

Matlamat kempen mengutip derma ‘Beri Zach Masa Depan Yang Selamat’ ialah untuk membantu membina sebuah bilik khas berharga �15,000 (RM75,000) di kediaman keluarga itu di The Mead, Weaste.
Bilik itu akan dilengkapi dengan tilam dan bilik air khas untuk Zach yang juga autistik dan tidak boleh bercakap.

Kempen itu yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit berkenaan disokong oleh beberapa bintang televisyen seperti Kum Marsh dan Ryan Thomas, pelakon siri Coronation Street dan aktor siri Torchwood, Paul Copley.

Rachel, 32, yang juga mempunyai anak perempuan berusia dua tahun berkata, dia terharu dengan sokongan itu.
‘Kempen itu kini mendapat sambutan. Sokongan daripada bintang Coronation Street banyak membantu kempen itu,” kata Rachel.

Selain membina bilik baru di rumah mereka, Rachel juga berharap dapat memasang kamera untuk membolehkannya mengawasi anaknya ketika malam, ketika tabiatnya itu berada di peringkat paling buruk.
Setakat ini, �3,400 (RM17,000) sudahpun berjaya dikumpul, termasuk menerusi tajaan jalan kaki dan jualan murah.

Satu lagi tajaan acara jalan kaki sejauh lapan kilometer dari Selfridges di Trafford Centre ke Exchange Square di bandar Manchester akan diadakan Ahad ini. - DM

19,106 korban konflik Syria

Sebahagian daripada 200 khemah pelarian Zaatri menempatkan pelarian Syria di sempadan Jordan-Syria.Sebahagian daripada 200 khemah pelarian Zaatri menempatkan pelarian Syria di sempadan Jordan-Syria.
Ratusan penduduk lari ketika helikopter lancar bedilan

Beirut: Seramai 19,106 terbunuh dalam keganasan di Syria sejak pemberontakan meletus tahun lalu, kata pertubuhan bukan kerajaan, Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, semalam. “Lebih 19,106 kebanyakannya orang awam, terbunuh sejak Mac tahun lalu,” kata pegawai pertubuhan itu, Rami Abdel Rahman. 
Orang awam terbunuh

Daripada angka itu, 13,295 adalah orang awam, 4,861 askar kerajaan dan 949 yang berpaling tadah,” katanya.

Ada sebahagian korban awam itu disebabkan mereka mengangkat senjata terhadap pemerintah.

“Angka itu tidak membabitkan beribu-ribu lagi yang hilang selepas ditahan. Ia juga tidak termasuk ribuan askar yang maut tetapi tidak dinyatakan bagi memastikan semangat tentera terus tinggi,” katanya. 
Pertempuran berterusan

Pertubuhan itu mendedahkan angka korban ketika tentera menggempur daerah Barzeh di Damsyik, manakala pertempuran berterusan di bandar kedua terbesar, Aleppo.

“Briged ke-4 menggempur Barzeh. Ia diketuai adik (Presiden) Bashar (al-Assad), Maher,” kata Abdel Rahman.

Katanya, ratusan penduduk di situ lari ketika helikopter melancarkan bedilan dan penembak tepat ditempatkan di bumbung bangunan.

“Ramai anggota tentera terbabit dalam operasi di Barzeh,” katanya.

Tentera kerajaan juga berkawal di pinggir daerah Mazzeh di Damsyik. Seorang maut dan beberapa lagi cedera di situ semalam.

Pertempuran juga sengit di beberapa kawasan Aleppo termasuk daerah Salaheddin dan Sakhur.

Seramai 164 orang terbunuh dalam keganasan di seluruh Syria kelmarin, termasuk 86 orang awam, 49 askar dan 29 pemberontak.

Daripada mereka yang terbunuh, 27 orang awam maut dalam pertempuran di wilayah Homs termasuk dua wanita dan enam kanak-kanak di bandar Rastan yang dibedil sejak beberapa bulan lalu oleh tentera kerajaan. - AFP

Badan menggigil dengar tembakan


petugas Persatuan Pelajar Malaysia Syria, Aman Akil dan Syahidan Abu Hanifah (kanan) mengemaskan barang-barang untuk pulang ke Malaysia di pejabat persatuan itu dekat Mujtahid, Damsyik semalam. - Gambar ihsan Muhammad Nadir Al-Nuri


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Malaysia yang baru pulang ke Syria setelah bercuti di Istanbul, Turki menceritakan saat cemas untuk kembali ke Damsyik yang merupakan ibu kota Syria apabila helikopter tentera berlegar-legar di udara sambil melepaskan tembakan bertalu-talu.
Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, 25, berkata pada mulanya, dia menaiki bas dari bandar Aleppo menuju ke Damsyik.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di Jisir Baghdad, pihak tentera menahan kumpulannya dan tidak membenarkan mereka meneruskan perjalanan.

Muhammad Nadir Al-Nuri


“Saya terpaksa berjalan kaki sejauh 25 kilometer untuk ke Damsyik namun bersyukur dapat menumpang sebuah lori bersama tiga rakan warga Syria,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Syria bergolak dengan perang saudara berikutan keengganan Presiden Bashar Al-Assad untuk meletakkan jawatan yang telah menyebabkan kumpulan pemberontak meneruskan perjuangan menentang askar-askar Syria sejak Mac tahun lalu.
Menurut Muhammad Nadir, ketika tiba di pinggir bandar Damsyik pada pukul 7.30 malam, sebuah helikopter berlegar di ruang udara sambil melepaskan tembakan ke arah sebuah bangunan.
“Bunyi letupan meletus dan berselang-seli dengan bunyi tembakan ke udara.

DERETAN bangunan mengalami kerosakan akibat pertempuran di pinggir bandar Erbeen, Damsyik.


“Kami begitu takut dan saya tidak putus-putus berzikir dalam hati supaya dapat pulang dengan selamat,” ujar pemuda itu yang merupakan Exco Penerangan Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS).
Pelajar jurusan Syariah dan Bahasa Arab di Ma’ahad Dawil, Damsyik itu yang mempunyai keluarga di Bandar Baru Bangi, Selangor bersyukur kerana terselamat.
“Tidak ada mayat kelihatan tetapi kerosakan pada bangunan sekitar kawasan itu jelas dapat dilihat,’’ katanya.



Ketika ditanya mengenai keadaan rakyat Malaysia di sana, dia menjelaskan, rakyat Syria telah banyak membantu memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Jika ada pelajar Malaysia yang pulang lewat daripada kuliah, beberapa orang penduduk yang lengkap bersenjatakan parang dan kayu akan mengiringi pelajar kita pulang ke rumah dengan selamat,” katanya.

Polis hidu bau nafas penunggang motosikal



AFP
SEORANG anggota polis menghidu bau nafas seorang penunggang motosikal semasa satu sekatan jalan raya diadakan di Kathmandu pada 17 Julai lalu.


KATHMANDU - Beberapa anggota polis di sini menghidu bau nafas para penunggang motosikal bagi mengesan mereka yang meminum minuman keras, lapor agensi berita AFP semalam.
Ketiadaan alat penguji nafas dan ujian darah menyebabkan anggota-anggota polis menggunakan kaedah mengesan bau nafas para penunggang motosikal.
Salah seorang penunggang motosikal itu, Ram Thapa, 27, telah dikenakan denda sebanyak 1,000 rupee (RM37.79) manakala lesennya dirampas kerana polis mendapati nafasnya menunjukkan dia telah meminum minuman keras.
Namun, dia tidak ditangkap.
Menurutnya, dia minum tiga gelas kecil wain buatan tempatan. - AFP

Nenek dibuli dapat sumbangan RM2.21 juta


IMEJ yang dirakamkan dari YouTube menunjukkan Klein tidak mempedulikan ejekan dan kata-kata kesat yang dilemparkan budak sekolah di dalam sebuah bas di New York.


NEW YORK - Laman Indiegogo di internet berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak AS$703,873 (RM2.21 juta) dalam tempoh sebulan untuk diberikan kepada seorang nenek, Karen Klein yang dibuli sekumpulan budak sekolah.
Kempen mengumpulkan derma itu dimulakan oleh seorang lelaki dari Toronto, Kanada, Max Sidorov, 25, di laman tersebut.
Pada satu temu ramah bulan lalu dengan saluran ABC News, Sidorov berkata, dia pernah dibuli.
"Saya tahu perasaan dibuli dan sepatutnya tiada ada sesiapa pun yang perlu melaluinya," katanya.
Pengumpulan derma itu berakhir pada Jumaat lalu.
Pada mulanya, sasaran wang yang mahu dikumpulkan ialah sebanyak AS$5,000 (RM15,747) bagi membiayai percutian Klein yang berusia 68 tahun.
Seorang jurucakap laman itu menyatakan lebih 32,000 orang memberi sumbangan.
Menurutnya, sumbangan tersebut datang dari 84 buah negara.
Derma itu dilakukan selepas sekumpulan budak sekolah berusia 12 dan 13 tahun memuat naik video di laman Facebook dan YouTube pada bulan lalu.
Video yang dirakamkan menerusi telefon bimbit itu menunjukkan Klein cuba untuk tidak mempedulikan ejekan dan kata-kata kesat yang dilemparkan kumpulan budak sekolah tersebut berhubung berat badannya di dalam sebuah bas sekolah.
Budak tersebut merupakan pelajar Sekolah Tinggi Greece Athena di sini.
Klein yang berkhidmat sebagai pemantau keselamatan pelajar dalam bas sekolah menyatakan dia amat menghargai sumbangan tersebut.
Menurutnya, sebahagian wang tersebut akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan. - AFP

Budak hidap tumor dibawa ke AS


AP
GAMBAR menunjukkan tumor pada badan Jose.


ALBUQUERQUE, New Mexico - Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun yang mempunyai tumor pada badannya telah dibawa keluar dari sebuah kawasan perumahan yang berbahaya di Mexico dengan menggunakan kenderaan berperisai oleh ejen-ejen keselamatan Amerika Syarikat (AS), kata keluarganya.
Budak tersebut yang identitinya hanya dikenali sebagai Jose dibawa ke sempadan untuk mendapatkan rawatan perubatan di New Mexico, AS.
Dia dan keluarganya dibawa keluar dari kawasan perumahan yang terkenal dengan kegiatan jenayah di Ciudad Juarez setelah beberapa kakitangan sebuah gereja melihatnya dan berusaha untuk membantunya.
Keluarga budak tersebut menyatakan tumor di leher dan bahunya itu semakin membesar sehingga menjejaskan penglihatannya.
Tumor itu dihidapi budak tersebut sejak dia dilahirkan.
Namun, keluarganya tidak mempunyai wang untuk membawanya menjalani rawatan.
Penyelaras bantuan untuk Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri AS, Denise Gutierrez berkata, dia seperti mahu menghulurkan bantuan selepas melihat gambar budak tersebut.
Gutierrez menyatakan budak itu dan bapanya diberikan visa kemanusiaan selama 45 hari untuk menjalani rawatan.
Pasukan Pengawal Sempadan AS membantu membawa masuk budak tersebut memasuki New Mexico. - AP

Tentera Bashar bertempur di Damsyik



AFP
SEBUAH bangunan musnah akibat serangan tentera Bashar di pinggir Damsyik.


AMMAN - Para pemberontak bertempur dengan tentera Presiden Syria, Bashar Al-Assad (gambar) dekat sebuah ibu pejabat agensi perisikan di bandar Aleppo, utara negara itu semalam.
Menurut saksi-saksi, beberapa buah helikopter membedil beberapa daerah di Damsyik dalam usaha untuk mengusir para pemberontak.
Pertempuran berlaku di beberapa bahagian lain di Aleppo yang merupakan hab perdagangan dan industri.
"Bunyi letupan kedengaran dari beberapa tempat yang berbeza sehingga menggegarkan bandar raya itu.
"Satu pertempuran melibatkan insiden berbalas tembakan berlaku dekat Ibu Pejabat Keselamatan Negara di daerah al-Mouhafaza sejak waktu pagi," kata seorang suri rumah kepada agensi beritaReuters menerusi telefon.

REUTERS
SEBUAH trak musnah dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad di Erbeen, Damsyik kelmarin.


Sementara itu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat menyatakan Washington memberikan bantuan sebanyak AS$100 juta (RM314.95 juta) kepada Jordan untuk membantu puluhan ribu penduduk Syria yang melarikan diri dari negara mereka.
Menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Untuk Syria, lebih 19,000 orang telah terbunuh di Syria sejak kebangkitan penduduk menentang pemerintahan Bashar bermula pada tahun lalu.
"Sekurang-kurangnya 19,106 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, sejak Mac tahun lalu," kata seorang kakitangan kumpulan itu, Rami Abdel Rahman kepada agensi berita AFP.
Jumlah itu melibatkan 13,296 orang awam, 4,861 askar Bashar dan 949 pembelot.
"Jumlah itu tidak termasuk ribuan orang yang hilang di dalam tahanan," katanya. - Agensi