|
MURPHY menggigit wang berjumlah ratusan paun yang dikepitkan dengan dua roti. |
|
MURPHY di depan kereta Porche yang dicuri. |
|
ANGGOTA kumpulan itu hidup mewah dengan kegiatan jenayah mereka. |
London: Sekumpulan pencuri yang melarikan beberapa kereta mewah dan berprestasi tinggi daripada sebahagian penduduk paling kaya di bandar raya ini ditangkap selepas memuatnaikkan gambar dalam Facebook.
Ia termasuk gambar yang menunjukkan seorang anggotanya memakan sandwic ‘wang.’ Menurut sumber polis, lapan lelaki itu mencuri sembilan kereta, termasuk BMW, Range Rover, Porsche dan sebuah Mercedes berharga RM500,000 di samping barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dalam 15 rompakan berasingan.
“Polis akhirnya berjaya menangkap mereka selepas seorang anggota memuatnaikkan gambarnya duduk di atas bonet sebuah Range Rover curi dalam Facebook”, katanya.
Gambar itu membolehkan polis menemui beberapa gambar lain dalam laman sosial itu dan pada telefon kumpulan berkenaan yang menunjukkan mereka berbangga mengenai kekayaan masing-masing. Ia menunjukkan mereka duduk di atas kereta curi, minum arak, memakai jam Rolex dan Cartier serta bergaya bersama-sama longgokan not £20 dan £50.
Satu daripada gambar itu menunjukkan Conor Murphy, 19, menggigit wang berjumlah ratusan paun yang dikepitkan dengan dua roti.
Polis turut menemui rakaman video pada telefon mereka yang menunjukkan anggota kumpulan itu berlumba dengan kereta yang mereka curi. Mesej Blackberry yang digunakan oleh anggota kumpulan itu untuk mengatur rompakan juga ditemui.
Tujuh anggota kumpulan itu mengaku bersalah terhadap jenayah itu. Seorang lagi, Rory Mason, 18, menafi terbabit dalam rancangan untuk mencuri kereta. Dia bagaimanapun didapati bersalah.
Mahkamah Isleworth diberitahu mengenai bagaimana kumpulan terbabit memberi tumpuan terhadap kediaman yang memiliki kereta mewah.
Kegiatan itu dijalankan antara April dan September tahun lalu dan kawasan yang menjadi sasaran ialah di Notting Hill, Kensington dan Kensal Green. - Daily Mail