Pages

Thursday, March 28, 2013

Dua beradik pecah rekod dunia letak kereta di ruang sempit


LONDON 27 Mac - Bagi kebanyakan pemandu berpengalaman, meletakkan kereta secara selari bukan perkara yang mudah untuk dilakukan, lebih-lebih lagi jika perbuatan kita sedang diperhatikan oleh pemandu lain yang boleh menganggu cara pemanduan kita.
Namun, dua beradik dari Britain berjaya melakukannya, walaupun di ruang letak kereta paling sempit dan dengan cara pemanduan yang laju dan hanya menggunakan brek tangan serta teknik pusingan tayar.
Atas kemahiran mereka, Alastair dan John Moffatt, berjaya memecah rekod dunia meletakkan kereta di ruang paling sempit, dengan hanya meninggalkan ruang sekecil 13.1 sentimeter antara kereta depan dan kereta belakang.
Dua beradik dari Gloucester itu mempamerkan kemahiran pemanduan dan ketepatan mereka untuk mengenepikan rekod sebelum ini yang dipegang oleh Ronny Wechselberger, dengan jarak yang tinggal sekecil 14 sentimeter.
Dalam cabaran terbaharu tersebut, Alastair dan Moffatt perlu menggelincirkan kereta ke dalam ruang letak kereta yang sempit tanpa menyentuh kereta lain atau terkeluar daripada garisan putih yang ditetapkan.
Mereka menggunakan kereta Mini Mayfairs untuk melengkapkan misi mereka itu, sambil diperhatikan oleh para juri dan beberapa kamera.
Moffatt, 31, yang merupakan orang pertama memecahkan rekod tersebut berkata, dia terkejut dengan pencapaiannya memecah rekod sebelum disusuli oleh adiknya.
Alastair, 29, pula berkata, dia berasa sangat lega selepas melakar kejayaan tersebut.
"Saya hanya mempunyai satu atau dua percubaan untuk menyahut cabaran itu, menyebabkan tekanan semakin meningkat.
"Kejayaan kami memegang rekod dunia ini secara bersama merupakan pencapaian yang hebat dan kami akan bersaing sesama sendiri untuk mencipta rekod baharu," katanya.
Cabaran mereka itu dirakam pada Disember lalu untuk rancangan Officially Amazing yang memaparkan kisah-kisah lucu, pelik, mengarut, menakutkan dan percubaan memecahkan rekod dunia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130328/lu_08/Dua-beradik-pecah-rekod-dunia-letak-kereta-di-ruang-sempit#ixzz2OofRtoIK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Budak 12 tahun diharam guna FB



Manitoba (Kanada): Seorang hakim di Kanada mengharamkan seorang murid sekolah berusia 12 tahun daripada menggunakan Facebook selama setahun.

Media tempatan melaporkan, keputusan itu dibuat selepas dia mengancam dua remaja menerusi rangkaian sosial berkenaan .


Menurut stesen radio CJOB, tertuduh memuatnaikkan ancaman dengan berkata dia mahu mencekik hingga mati dua bekas rakannya kerana berebutkan seorang budak lelaki.

Murid itu mengaku bersalah membuat ancaman itu dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun di samping 50 jam kerja kebajikan. Selain itu, hakim juga mengarahnya memadamkan akaun Facebooknya.


Ibu murid itu menyokong keputusan mahkamah tetapi peguamnya membantah dengan alasan Facebook adalah kehidupan sosial remaja masa kini. - AFP

Upah untuk menangis di majlis pengebumian



London: Keluarga yang dilanda kesedihan ketika kematian orang tersayang dan merasakan tidak ramai yang meratapinya ketika upacara pengebumian kini boleh mendapatkan khidmat profesional untuk berbuat demikian.

Semakin ramai mendapatkan khidmat mereka dengan bayaran 45 pound (RM210) untuk upacara pengebumian selama dua jam. Mereka akan menangis selain turut berbicara dengan rakan si mati. Amalan itu bermula di Asia Barat dan China, tetapi ia kini kian popular di Britain.


Kumpulan ini yang dikenal sebagai ahli moirologi adalah pelakon terlatih yang mahir untuk tampil sedih di khalayak ramai.

Sebelum upacara pengebumian, mereka diberi taklimat ringkas mengenai kehidupan si mati agar mereka dapat berbicara mengenainya dengan orang yang menghadiri upacara itu seolah-olah mereka kenal rapat dengan si mati.


Pekerjaan itu sangat popular hinggakan sebuah firma di Essex kini mempunyai 20 kakitangan yang boleh melakukan tugas itu. Pengasas Rent a Mourner di Braintree, Ian Robertson mengakui idea itu mungkin jarang berlaku di kalangan masyarakat Britain, tetapi meramalkan ia akan mendapat sambutan ramai kelak. “Kami sebenarnya mendapat ilham daripada perkembangan perniagaan di China.


“Cara masyarakat Asia Barat ialah menyediakan kumpulan yang meratapi wanita menangis ia menyerlahkan lagi kaedah yang kami gunakan,” katanya.

“Ia kini semakin berkembang di Britain tempahan kami mencecah 50 peratus setiap tahun.


“Kakitangan kami akan bertemu dengan pelanggan terlebih dulu untuk membolehkan kakitangan kami mengenali si mati secara profesional atau secara sosial. Mereka akan dimaklumkan mengenai latar belakang, pencapaian, kegagalan dan lain-lain mengenai si mati agar mereka dapat berbicara dengan hadirin lain yang datang dengan yakin. Syarikat itu mengiklankan di laman webnya: “Kami terdorong untuk membantu meramaikan upacara pengebumian yang mungkin kurang dihadiri. Ia mungkin perkhidmatan yang baru di kawasan atau di negara ini.” - Agensi

Bekas ketua CIA minta maaf

Bekas ketua CIA minta maaf
Los Angeles: Bekas ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus meminta maaf atas kesilapannya menjalin hubungan sulit hingga membawa kepada peletakan jawatannya tahun lalu.

Beliau menyuarakannya buat kali pertama dalam satu ucapan awam di Universiti Southern California (USC), semalam.
Jeneral empat bintang itu mengakui kesal kerana ada pihak menanggung derita atas hubungan sulitnya dengan penulis buku kisah riwayat hidupnya, Paula Broadwell.


Petraeus juga berikrar menebus kesilapannya kepada semua pihak yang menanggung kesan perbuatannya.

Sedar kesilapan diri

“Saya berada di sini dan sedar diri saya dipandang secara berbeza berbanding setahun lalu,” katanya kepada lebih 600 veteran dan pelajar Unit Latihan Pegawai Simpanan di USC.

“Saya juga sedar apa yang berlaku adalah kesilapan sendiri.
“Jadi, izinkan saya memulakan ucapan dengan menekankan yang saya amat kesal dan meminta maaf kepada ahli keluarga, rakan dan penyokong atas sebab-sebab, yang membawa kepada peletakan jawatan dalam CIA,” katanya.

Petraeus meletak jawatan pada 9 November lalu selepas mengakui ada hubungan intim dengan Broadwell, yang juga pakar kempen anti keganasan berpangkat leftenan kolonel.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) terjumpa bukti hubungan itu selepas wanita dari Florida, Jill Kelley, rakan keluarga Petraeus meminta penyiasat meneliti emel bernada ancaman dari Broadwell.

Siasatan itu mendedahkan kemungkinan hubungan intim Petraeus turut membabitkan emel tidak wajar antara Kelley dan panglima perang Amerika di Afghanistan, Jeneral John Allen, sebelum ia didapati tidak benar.

Hanya berdiam diri

Sejak skandal itu dibongkar, Petraeus berdiam diri sejak lima bulan lalu.
Pada masa sama, beliau turut ditawarkan bertugas dalam sektor kewangan, memberi ucapan berbayar, menjadi perunding syarikat besar dan meneliti peluang di bidang akademik, lapor akhbar The New York Times.

AFP

Gempa bumi kuat di Taiwan



REKAHAN juga terdapat di dalam sebuah bangunan di daerah Dali, Taichung selepas gempa bumi berlaku.- REUTERS


TAIPEI - Satu gempa bumi kuat melanda sebuah kawasan di luar bandar Taiwan menyebabkan beberapa buah bangunan mengalami rekahan dan bergoyang semalam, kata beberapa pegawai.
Menurut mereka, gempa bumi itu menyebabkan kanak-kanak sekolah mencari tempat berlindung dan mencederakan seorang pekerja pejabat.
Biro Pusat Kaji Cuaca berkata, gempa bumi yang berukuran 6.1 magnitud itu dapat dirasai di keseluruhan kepulauan Taiwan.
Pusat gempa bumi itu terletak pada kedalaman 15 kilometer (km) dan 48km ke timur Nantou.
Ia turut menggegarkan bangunan-bangunan di Taipei.
Nantou terletak 250 kilometer ke selatan Taipei.
Seorang wanita berusia 72 tahun mati dekat pusat bandar apabila sebuah dinding runtuh menghempapnya.
Menurut Agensi Bomba Kebangsaan, gempa bumi itu turut menyebabkan 19 orang cedera.
Beberapa pegawai berkata, beberapa landasan kereta api berkelajuan tinggi akan diperiksa selepas perkhidmatan pengangkutan itu dihentikan buat sementara.
Menurut mereka, satu bahagian siling sebuah pejabat pentadbiran di Nantou County terjatuh dan menyebabkan seorang pekerja di pejabat itu tercedera.
Gempa bumi itu juga menyebabkan kebakaran berlaku di sebuah rumah di Nantou yang menyebabkan seorang penduduk mati tetapi api berjaya dipadamkan.
Seramai lima orang terperangkap di dalam lif semasa gempa bumi itu berlaku.
Bagaimanapun, mereka kemudian dapat diselamatkan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2OmiLEQLt 
Hakcipta terpelihara 

Kapal tentera AS dipotong di Laut Sulu



BAHAGIAN depan kapal itu diangkat dengan menggunakan sebuah kren selepas ia dipotong di Terumbu Tubbataha, Laut Sulu kelmarin.- AP


MANILA - Badan depan sebuah kapal pembersih periuk api milik tentera Amerika Syarikat (AS), USS Guardian dipotong selepas ia terperangkap di Terumbu Tubbataha di Laut Sulu, lapor akhbar Philippine Daily Inquirer semalam.
Jurucakap Pasukan Pengawal Pantai Filipina, Leftenan Komander Armand Balilo berkata, sebuah pasukan berjaya melakukan operasi tersebut.
Badan kapal yang dipotong itu diletakkan di dalam sebuah tongkang kelmarin.
Menurutnya, pasukan penyelamat akan melakukan operasi memotong baki bahagian badan kapal itu.
Operasi memotong bahagian kapal sepanjang 68 meter itu bermula sejak 22 Februari lalu.
Bagaimanapun, operasi memotong itu terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk.
Operasi memotong kapal itu dilakukan dengan menggunakan sebuah kren di atas sebuah kapal lain.
Kapal itu terkandas pada 17 Januari lalu selepas ia tersilap memasuki kawasan terumbu karang. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2OmhKyzlc 
Hakcipta terpelihara