Pages

Monday, October 1, 2012

2 lagi askar Amerika ditembak mati

KABUL: Seorang anggota tentera Afghanistan menembak askar Amerika Syarikat di sebuah pusat pemeriksaan di timur negara itu, menyebabkan dua tentera Amerika mati.

Serangan itu turut mengorbankan sekurang-kurangnya dua askar tempatan.


Kejadian berlaku di luar sebuah pangkalan bersama AS-Afghanistan di Wardak, kata jurucakap gabenor wilayah itu, Shahidullah Shahid.

Menurutnya, laporan awal menunjukkan berlaku salah faham antara tentera Afghanistan dengan askar Amerika itu.


Shahidullah juga berkata, penyiasat sudah dihantar ke kawasan kejadian untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. Seorang pegawai lain berkata, tiga tentera Afghanistan terbunuh. - AP

Tangan bionik


LONDON: Seorang bapa menjadi rakyat pertama di Britain yang mempunyai tangan bionik, di Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS).

Mike Swainger, 33, gembira kerana diberi peluang untuk mencuba teknologi hebat selepas menawarkan diri untuk menjadi bahan eksperimen untuk syarikat yang membuatnya.
Mike, yang kehilangan bahagian bawah tangan kanan dan kakinya ketika dilanggar oleh kereta api ketika usianya 13 tahun berkata, “Ia menukar hidup saya.”

Bapa kepada tiga anak dipasang dengan tangan bionik yang mampu berfungsi membuka dan menutup tangan seperti tangan asli, selepas dia melakukan kajian dan menemui pembuatnya.


Tangan itu bergerak menggunakan elektrod yang disambungkan dengan otot di bahagian atas lengan.


Tangan bionik membantu Mike melakukan kerja biasa yang sebelum ini menjadi masalah padanya, seperti mengikat tali kasut dan kini dia memulakan hobi baru, iaitu memancing.

Katanya, dia sangat seronok kerana akhirnya dapat berpegang tangan dengan anak perempuan bongsunya, Jodie, enam tahun.

Mike yang berasal dari Hull juga menggunakan kaki palsu dan kerusi roda.

Katanya: “Ia menggalakkan anda mencuba sesuatu yang baru dan juga dapat memulakan perbualan dengan orang lain. Saya terdengar seorang kanak-kanak berkata, ‘Lihat, ia robot.’” -TS

Ejen Perancis bunuh Gaddafi

GADDAFI ditahan oleh pemberontak Libya sebelum ditembak mati di Sirte pada 20 Oktober 2011.
GADDAFI ditahan oleh pemberontak Libya sebelum ditembak mati di Sirte pada 20 Oktober 2011.
PARIS: Seorang anggota perisik Perancis yang bertindak atas arahan Presiden Nicolas Sarkozy disyaki membunuh bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Dia didakwa menyusup masuk ke dalam kumpulan yang menahan Gaddafi tahun lalu sebelum menembaknya di kepala.
Motifnya, menurut sumber di Libya ialah untuk menghalang Gaddafi daripada disiasat mengenai hubungan rapatnya dengan Sarkozy, Presiden Perancis ketika itu.

Bekas pemimpin Barat lain, termasuk Perdana Menteri Britain, Tony Blair, juga rapat dengan pemimpin Libya itu.


Dia sering mengunjungi mereka dan membantu untuk memudahkan urusan perniagaan berjumlah berbilion dolar.

Sarkozy yang pernah menyambut Gaddafi sebagai ‘saudara pemimpin’ ketika lawatan pemimpin Libya itu ke Paris, dikatakan menerima jutaan dolar daripadanya untuk membiayai kempen pilihan rayanya pada 2007.

Teori konspirasi itu sudah pasti menjadi kebimbangan besar kepada Britain yang mengerahkan jet untuk mengebom Libya tahun lalu dengan matlamat ‘untuk menyelamatkan orang awam.’

Mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan serangan itu dengan jelas menyatakan, Barat tidak boleh mencampuri urusan dalaman Libya.

Sebaliknya, pengeboman hampir setiap hari itu berakhir dengan penggulingan Gaddafi sementara penasihat tentera Perancis dan Britain dikatakan membantu pemberontak Libya di darat.

Mahmoud Jibril yang menjadi Perdana Menteri sementara selepas penggulingan Gaddafi memberitahu televisyen Mesir semalam: “Ejen asing menyusup ke dalam briged revolusi untuk membunuh Gaddafi.”

Sementara itu, sumber diplomatik di Tripoli memberitahu akhbar Itali, Corriere della Serra, pembunuh asing itu mungkin rakyat Perancis.

“Sejak Nato mula menyokong revolusi Libya, yang mendapat sokongan kuat daripada kerajaan Nicolas Sarkozy, Gaddafi secara terbuka mengancam mendedahkan hubungannya dengan bekas Presiden Perancis itu, termasuk wang berjuta-juta dolar yang diberikan untuk membiayai kempen pilihan rayanya pada 2007,” lapor akhbar itu.

Satu sumber di Tripoli berkata: “Sarkozy mempunyai banyak alasan untuk menutup mulut Gaddafi dan ia perlu dilakukan secepat mungkin.”

Pandangan itu disokong oleh maklumat yang dikumpulkan oleh penyiasat di Benghazi, bandar kedua terbesar Libya dan tempat revolusi ‘Kebangkitan Arab’ menentang Gaddafi bermula pada awal 2011.

Bekas Ketua Perhubungan Awam Majlis Peralihan Libya, Rami El Obeidi berkata, dia tahu Gaddafi dijejaki menerusi sistem telekomunikasi satelit ketika pemimpin itu berbual dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Pakar Nato berjaya mengesan komunikasi antara mereka dan menjejaki Gaddafi di bandar Sirte, tempat dia dibunuh pada 20 Oktober 2011.

Jet Nato menyerang konvoi Gaddafi sebelum pemberontak mengheretnya keluar dari sebuah longkang, tempat dia bersembunyi dan kemudian menjadi sasaran serangan ganas. - DM

Si anime hidup

Anastasiya Shpagina
Anastasiya Shpagina
Seorang gadis berumur 19 tahun sanggup mengubah dirinya menjadi karakter kartun sebenar kerana minat yang mendalam terhadap watak anime Jepun.

Anastasiya Shpagina dari Ukraine ini memberitahu dia hanya mengambil masa 30 minit untuk menghasilkan solekan dramatik bagi menghidupkan wataknya sebagai Fukkacumi. - MailOnline

Google Maps kesan kelibat UFO

Google Maps kesan kelibat UFO
Kelibat UFO ini dapat dilihat di dua kawasan berbeza di Amerika Syarikat
menerusi aplikasi Google.
TEXAS - Objek terbang tidak dapat dikenal pasti (UFO) di dua kawasan berbeza telah dapat dilihat menerusi aplikasi Google Maps sehingga mencetuskan persoalan mengenai kesahihannya.

Difahamkan, objek misteri berwarna merah sedang berlegar-legar itu dapat di Jacksonville di Texas dan Sky City Casino Hotel di Acoma Pueblo di New Mexico.

Beberapa pihak membuat andaian bahawa objek tersebut mungkin terhasil daripada tindak balas lampu kilat kamera  atau pantulan cermin dari restoran berhampiran.

Wartawan stesen KLTV-TV, Jamey Boyum berkata, tiada penduduk yang mendakwa mereka ada melihat objek pelik di Jacksonville walaupun ia dapat dilihat dengan jelas menerusi aplikasi Google Street View itu.

"Kami telah menghubungi Google tetapi mereka belum memberi sebarang maklum balas," katanya. -MailOnline

Tapak Warisan Dunia Unesco di Syria musnah

Tapak Warisan Dunia Unesco di Syria musnah
Ratusan kedai di Pasar Purba yang terkenal di Aleppo telah musnah
dalam kebakaran akibat pertempuran sengit di bandar itu, kelmarin. Foto:AP
DAMSYIK - Pertempuran sengit antara pasukan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad dan kumpulan pemberontak di Aleppo, kelmarin telah memusnahkan Pasar Purba yang menjadi salah satu daripada tinggalan sejarah terkenal di Syria.

Pasar Purba yang diiktiraf sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan menjadi tumpuan pelancong sebelum ini telah menjadi medan pertempuran sejak beberapa minggu.

Rakaman video amatur menunjukkan ratusan kedai diperbuat daripada papan dan menjual pelbagai barangan telah terbakar.

Dalam satu kenyataan, aktivis tempatan, Ahmad al-Halabi berkata, orang awam cuba untuk memadamkan kebakaran itu tetapi gagal.

Sementara itu, Pengarah Tapak warisan Dunia Unesco, Kishore rao berkata, ia sememangnya satu kemusnahan besar melibatkan tinggalan sejarah di Timur Tengah.

"Kami turut menerima laporan kecurian melibatkan artifak dan monumen sejak negara itu mula bergolak kira-kira 18 bulan lalu," katanya.

Pertempuran di pusat komersial strategik di Aleppo sejak Khamis lalu tercetus selepas pemberontak dikatakan cuba untuk menawan bandar tersebut.- AP

Taufan Jelawat mengganas

Taufan Jelawat mengganas
Taufan ganas itu turut menyebabkan beberapa pokok tumbang
di Urasoe, Okinawa, kelmarin. Foto:AP
TOKYO - Taufan Jelawat yang membawa angin kencang berkelajuan sehingga 234 kilometer sejam di Jepun, semalam telah menyebabkan sekurang-kurangnya 101 penduduk cedera dan lebih 300,000 buah rumah di Okinawa dan Kagoshima terputus bekalan elektrik.

Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan taufan ganas itu juga dijangka melanda Pulau Honshu dan menuju ke beberapa kawasan tengah negara tersebut termasuk Tokyo.

Mereka turut memberi amaran taufan itu akan menyebabkan kejadian tanah runtuh berikutan hujan berterusan di beberapa kawasan.

Dalam insiden kelmarin, puluhan kenderaan dilaporkan terbalik dan menghalang lalu lintas serta beberapa perkhidmatan awam terpaksa dibatalkan selepas taufan Jelawat melanda selatan negara itu. - AFP

Simpan mayat anak kerana tidak mahu berpisah



BEIJING - Seorang bapa di Huangling sanggup menyimpan mayat anak lelakinya yang berumur 18 tahun di dalam peti sejuk sejak enam tahun lalu kerana tidak sanggup berpisah dengan anaknya.

Tukang kayu berumur 54 tahun itu juga nekad memasang generator elektrik untuk memastikan mayat anaknya tidak terjejas memandangkan kawasan tersebut kerap mengalami gangguan bekalan elektrik.

Menurut Tian Xueming, apabila sudah tiba masanya, dia dan isterinya akan mengebumikan anak mereka  mengikut upacara dan adat masyarakat setempat. - MailOnline

Iran rancang lancar enjin carian internet sendiri



TEHERAN - Iran, semalam merancang untuk mewujudkan enjin carian internet mereka sendiri bagi menggantikan perkhidmatan Google dan Gmail.

Akhbar tempatan melaporkan, Timbalan Menteri Telekomunikasi, Ali Hakim Javadi berharap untuk melancarkan enjin carian Fakhr dan perkhidmatan emel, Fajr dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Teheran pernah menyatakan hasrat untuk melancarkan versi internet mereka sendiri yang didakwa lebih 'bersih' bagi membendung pengaruh Barat daripada menular di negara itu. - AP

Seorang terbunuh, 22 cedera dalam serangan guna senjata M79

BANGKOK - Seorang kanak-kanak berumur 12 tahun terbunuh dan 22 orang yang lain cedera semalam apabila puak pemberontak melancarkan serangan dua butir bom menggunakan pelancar M79 ke atas orang ramai di pekan Bachok, Narathiwat.

Ketua polis forensik Narathiwat, Lt Krachan Rakrong berkata pihak pemberontak melancarkan serangan pukul 7.30 malam ketika orang ramai sedang merayakan sambutan tahunan festival pekan Bachok.

Katanya, mereka yang cedera terdiri anggota polis, sukarelawan pertahanan dan orang awam.

"Pemberontak menyerang dari jarak 300 meter berdekatan sebuah balai polis," katanya.

Dalam perkembangan lain, dua orang terbunuh dan sembilan lain cedera dalam serangan berasing oleh pemberontak di Narathiwat, Yala dan Pattani antara 8 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

Lebih 5,000 orang terkorban sejak mereka yang disyaki puak pemisah menggiatkan kembali kempen bersenjata menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan itu, lapan tahun yang lepas. - Bernama

Lori simen terjatuh ke dalam lubang




SEBUAH lori simen terjatuh ke dalam lubang di sebatang jalan raya di Xi'an pada Jumaat lalu.


XI'AN, China - Sebuah lori simen terjatuh ke dalam sebuah lubang di sebatang jalan raya di sini pada Jumaat lalu.
Menurut media tempatan, tiada kecederaan dilaporkan ekoran kejadian itu.
Beberapa anggota penyelamat memotong bekalan gas bagi mengelakkan kebocoran akibat kewujudan lubang tersebut.
Punca sebenar lubang itu terbentuk masih belum diketahui. - Agensi

Badan kereta diperbuat daripada buluh




PARDO memandu 'kereta buluh' di sebatang jalan raya di Bogota pada Jumaat lalu.


BOGOTA, Colombia - Seorang artis seni, Jose Mauricio Pardo membina badan sebuah kereta dengan menggunakan sejumlah batang buluh.
Dia memandu kereta tersebut di sekitar bandar raya ini pada Jumaat lalu.
Kereta itu turut dilengkapi dengan enjin dan tayar. - Agensi

Pelajar Brazil lelong dara



FLORIANOPOLIS, Brazil - Seorang pelajar wanita, Catarina Migliorini bekerjasama dengan seorang pembikin filem dari Australia untuk melelong daranya kepada pembida tertinggi dalam usaha untuk mengumpulkan dana bagi tujuan kebajikan, lapor akhbar dalam talian Huffington Post kelmarin.
Migliorini, 20, setakat ini menerima tawaran tertinggi berjumlah AS$160,000 (RM498,000).
Dia berhasrat menyalurkan wang lelongan itu kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk membina beberapa buah rumah moden di negeri kelahirannya, Santa Catarina.
Gadis itu yang menolak dakwaan dirinya sebagai pelacur berkata, dia percaya pada cinta tetapi menganggap lelongan tersebut sebagai peluang untuk melakukan perubahan positif kepada masyarakat.
Bagaimanapun, tindakan pelajar jurusan pendidikan jasmani itu mengundang kontroversi kerana setiap langkahnya akan diekori seorang kru filem Australia.
Kru itu merakamkan kehidupan Migliorini untuk sebuah dokumentari yang berjudul, Virgins Wanted.
"Saya menganggap melelong dara sebagai satu perniagaan. Saya berpeluang untuk melancong, menjadi sebahagian daripada filem selain mendapat bonus," kata Migliorini.
"Jika anda melakukannya cuma sekali, anda bukannya seorang pelacur," tambahnya.
Migliorini menandatangani kontrak untuk projek tersebut dua tahun lalu apabila dia melihat iklan syarikat produksi Thomas Williams yang mencari seorang wanita dara untuk menghasilkan dokumentari tersebut.
Pengarah dokumentari itu, Justin Sisely akan merakamkan emosi Migliorini sebelum dan selepas dia melakukan hubungan seks buat kali pertama.
Pelajar wanita itu akan menerima wang tunai sebanyak AS$20,000 (RM61,130) dan 90 peratus daripada harga lelongan tertinggi yang akan berakhir pada 15 Oktober ini.
Pemenang lelongan tersebut akan menjalani ujian perubatan bagi memastikan dia bebas daripada sebarang penyakit kelamin sebelum dibenarkan meniduri Migliorini.
Mereka akan melakukan hubungan seks di dalam sebuah pesawat yang terbang antara Australia dan Amerika Syarikat bagi mengelak didakwa menerusi undang-undang pelacuran.
Pemenang juga diwajibkan memakai kondom semasa dia melakukan hubungan seks. - Agensi

Tentera Bashar bedil kawasan pemberontak




BEBERAPA anggota tentera pemerintah berlari semasa pertempuran berlaku dengan anggota-anggota kumpulan pemberontak di Tal al-Zarazir, utara Aleppo kelmarin.


ALEPPO, Syria - Tentera Presiden Bashar Al-Assad membedil kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak di seluruh Syria semalam ketika beberapa pertempuran sengit dilaporkan berlaku di bandar raya ini.
Sebuah pasar lama turut terbakar semasa pertempuran tercetus di sini semalam.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, pertempuran di bandar raya ini melibatkan bedilan meriam.
Menurut kumpulan tersebut, serangan artileri menyebabkan sejumlah rumah musnah dan sekurang-kurangnya lima orang termasuk dua penduduk awam terbunuh.
Bandar raya ini yang merupakan bandar berpenduduk paling padat di Syria menjadi medan peperangan utama dalam konflik yang telah berlanjutan selama 18 bulan itu.
Namun, pertempuran di sini memuncak sejak beberapa hari lalu.
Kebanyakan keganasan berlaku di sekitar Bandar Lama di sini yang turut menyaksikan sebuah pasar lama terbakar.
Seorang koresponden agensi berita AFP dan kumpulan pemerhati itu memberitahu, banyak kedai musnah dalam kebakaran tersebut.
Pertempuran sengit turut dilaporkan berlaku di wilayah Aleppo, utara Syria dengan dua helikopter milik tentera rejim Bashar di lapangan terbang tentera Al-Nairab rosak terkena bedilan mortar pemberontak.
Di wilayah Damsyik pula, pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA) membunuh lapan askar pemerintah dalam serangan ke atas sebuah pos kawalan tentera di sebatang jalan yang menghubungkan bandar raya Damsyik dengan bandar Qatana, di selatan negara itu.
Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Khaled Al-Masri memberitahu, Ketua Pejabat Utusan Keamanan PBB-Liga Arab di Syria, Mokhtar Lamani mengadakan pertemuan dengan seorang komander FSA, Kolonel Kassem Saadeddine di tengah negara berkenaan.
Namun, agenda perbincangan mereka tidak didedahkan.
Menurut kumpulan pemerhati berkenaan, seramai 118 orang iaitu 48 orang awam, 41 askar dan 29 pemberontak terbunuh dalam keganasan di seluruh Syria kelmarin.
Laporan yang sama menyatakan lebih 30,000 orang terkorban sejak kebangkitan rakyat Syria menentang pemerintahan Bashar tercetus pada Mac 2011. - AFP