Pages

Tuesday, June 12, 2012

80 dikhuatiri maut gempa bumi landa Afghan

80 dikhuatiri maut gempa bumi landa Afghan
Pihak berkuasa meninjau kawasan di wilayah Baghlan yang terjejas ekoran gempa bumi semalam. - Foto ihsan The Republic/AP
KABUL - Lebih 80 orang dikhuatiri terbunuh dalam runtuhan akibat gempa bumi di utara Afghanistan semalam.

Sebahagian daripada kawasan pergunungan dilaporkan runtuh, lalu meranapkan rumah, demikian menurut gabenor wilayah Baghlan.
Tiada angka tepat mengenai jumlah orang tercedera dan terbunuh dalam kejadian itu. Malah angka itu kemungkinan mencecah 100 orang.

Laporan lain menyebut pasukan menyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan kira-kira 70 penduduk kampung yang terperangkap di bawah runtuhan.

Menurut pegawai, sekurang-kurangnya tiga mayat ditemui di daerah Burka iaitu kawasan paling teruk bencana dalam wilayah Baghlan, pergunungan Hindu Kush.

"Kira-kira 22 keluarga iaitu 50 ke 70 orang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan," kata ketua pasukan bantuan bencana alam tempatan, Mohammad Nasir Kohzad mengenai gempa bumi berukuran 5.4 dan 5.7 pada skala Richter itu.

Katanya, lebih banyak pasukan menyelamat dari Kabul di hantar ke lokasi bencana lain seperti perkampungan Mullah Jan yang mana setakat ini hanya enam mangsa berjaya diselamatkan.

Pegawai-pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menentukan bantuan yang diperlukan.

"Ini satu tragedi. Sebuah kampung musnah sama sekali," katanya lagi.

Lokasi kejadian terletak kira-kira 170 kilometer ke utara Kabul. Pada 2002 gempa bumi di lokasi yang sama meragut lebih 2,000 nyawa.

'Mereka mahu bunuh saya'

Hosni Mubarak dipenjara seumur hidup
Hosni Mubarak ketika mendengar keputusan mahkamah di kaherah.
KAHERAH - Mereka (pihak berkuasa) mahu membunuh saya!

Dakwaan itu dinyatakan oleh bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Hosni Mubarak kepada peguamnya, Farid al-Deeb.

Farid berkata, Mubarak turut meminta beliau mencari jalan untuk mengeluarkannya dari penjara.

"Keadaannya semakin kritikal dan saya merayu kepada semua pemimpin dunia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelamatkan beliau," katanya lagi.

Tahap kesihatan bekas pemimpin kuku besi itu didakwa semakin membimbangkan sejak mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan mengarahkan pembunuhan terhadap kira-kira 900 penunjuk perasaan semasa revolusi kebangkitan rakyat selama 18 hari pada 2 Jun lalu

Wajib lawan untuk menang

myMetro | Wajib lawan untuk menang:


TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, semalam berkata berterusan penentangan adalah satu-satunya jalan membebaskan Palestin serta meruntuhkan rejim Zionis.
Dalam pertemuannya dengan Setiausaha Agung Barisan Popular Untuk Pembebasan Palestin, Ahmed Jibril, Mahmoud berkata, kemusnahan rejim Zionis hanya boleh berlaku melalui penentangan berterusan.

“Israel adalah musuh utama dan paling bahaya bagi rantau Timur Tengah.
“Rejim palsu itu melambangkan Barat dan Amerika Syarikat yang bertindak bagi pihak mereka di Timur Tengah,” katanya.

Pemimpin Iran itu turut menganggap Israel sebagai wakil Barat, terutama AS, di rantau berkenaan.

Justeru, kata Mahmoud, Barat perlu memastikan kelangsungan rejim Zionis bagi pihak mereka.
“Israel kini semakin lemah dan semua negara yang berjuang mencari kebebasan serta keadilan mesti menyatukan semua sumber mengalahkan rejim itu,” katanya.

Dalam pertemuan sama, Mahmoud turut menyatakan sokongan Iran kepada warga Palestin dan kumpulan penentang Zionis.
Sementara itu, Ahmed berkata, revolusi Islam di Iran mempunyai pengaruh besar di Timur Tengah serta dunia Islam.

Ahmed turut memuji kejayaan Iran dalam pelbagai bidang yang menunjukkan pencapaian tinggi bagi pihak semua negara Islam. - PT

2 polis, 3 budak cedera dalam serangan bom tangan di Pattani

myMetro | 2 polis, 3 budak cedera dalam serangan bom tangan di Pattani:


PATTANI: Dua anggota polis dan empat penduduk kampung, tiga daripadanya kanak-kanak, cedera dalam serangan di tempat pemeriksaan polis di daerah Yarang di wilayah Pattani, Ahad lalu.
Polis berkata, kira-kira jam 10.10 malam, anggota militan bersembunyi di belakang pusat kesihatan di tambon Yarang, melemparkan bom tangan ke arah tempat pemeriksaan yang dikawal oleh enam anggota polis di hadapan balai polis di Lebuh Raya 410 (Yala-Pattani). 
Bom itu meletup menyebabkan kecederaan kepada Koperal Tawat Saram, 29, Koperal Bancha Sakulwong, 30 dari Balai Polis Yarang, tiga kanak-kanak lelaki berusia 11, 12 dan 13 tahun dan seorang remaja berusia 19 tahun.

Anggota militan itu terus melarikan diri.

Juga di Pattani, ketua kampung dan isterinya ditembak mati di daerah Thung Yang Daeng, kelmarin.

Polis berkata, kira-kira jam 7 malam, Awae Lunae, 45 ketua kampung No 3 di tambon Talo Maena dan isterinya Boonruen, 45, menunggang motosikal dalam perjalan pulang apabila dua penyerang menunggu dan melepaskan tembakan ke arah mereka menggunakan senjata AK47. - Bangkok Post

Cedera paha digigit suami

myMetro | Cedera paha digigit suami:


SUBANG JAYA: Gara-gara mahu memeriksa telefon bimbit suaminya, seorang wanita bukan saja cedera di paha akibat digigit, malah turut dicekik lelaki berkenaan dalam kejadian di rumah rakan mereka di Puchong Hartamas, Bukit Puchong, di sini, Jumaat lalu.
Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut menyambung semula tindakannya di rumah sewa mereka di Taman Tasik Puchong dengan menampar dan menolak isterinya ke dinding sebelum rebah di lantai beberapa jam selepas kejadian pertama.

Dalam kejadian yang bermula di rumah rakan mereka kira-kira jam 11.30 pagi itu, wanita berusia 32 tahun itu dikatakan berselisih faham dengan suaminya sebelum bertindak merampas telefon bimbit suspek dan cuba memeriksa kandungan telefon berkenaan selepas mengesyaki lelaki itu menjalin hubungan sulit dengan rakannya sendiri.
Menurut sumber, ketika cuba mengambil semula telefon bimbit miliknya, suspek yang berusia 31 tahun itu terus menggigit tangan kiri isterinya, namun gagal menyebabkan suspek memukul badan dan menggigit paha kanan mangsa sebelum mencekiknya.

Katanya, lebih memalukan, kejadian berlaku di rumah rakan mereka yang turut disaksikan rakan lain.

Menurut sumber lagi, tidak cukup dengan itu, suami mangsa menyambung perbuatannya di rumah sewa mereka.
Katanya, dua rakan serumah mereka kemudian membantu mangsa dan menenangkan suspek sebelum membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

myMetro | Washington tak percaya janji Tel Aviv: Bekas duta

myMetro | Washington tak percaya janji Tel Aviv: Bekas duta:


BAITULMAQDIS: Amerika Syarikat enggan menyerahkan seorang warganya yang bertindak sebagai pengintip Israel kerana mengesyaki negara Yahudi itu mahu menyembunyikan kewujudan perisik lain.
Bercakap kepada radio Israel semalam, bekas duta, Itamar Rabinovich. berkata Washington tidak pernah percaya Jonathan Pollard bertindak sendirian.

“Di sebalik segala janji diberi Israel, Washington tidak yakin Tel Aviv akan mendedahkan rahsianya.
“AS menghukum Israel melalui Pollard,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan ada perisik lain di AS, Rabinovich berkata, ia memang ada.

Bekas penganalisis tentera laut, Pollard dihukum penjara seumur hidup pada 1987 kerana menyerahkan dokumen sulit pertahanan AS kepada Israel antara Mei 1984 dan November 1985 sebelum dia ditangkap.
Dia diberi kewarganegaraan Israel pada 1995 dan tiga disahkan sebagai perisik tiga tahun kemudian. - AFP

Pendatang haram Yahudi rosakkan kereta Arab

myMetro | Pendatang haram Yahudi rosakkan kereta Arab:

BAITULMAQDIS: Aktivis propenduduk Yahudi dipercayai merosakkan tayar kereta warga Palestin di Baitulmaqdis semalam dalam serangan kedua sepanjang minggu ini.
Ia dipercayai berpunca daripada kemarahan pihak terbabit terhadap rancangan memindahkan 30 keluarga pendatang haram Yahudi dari rumah mereka di kawasan berkenaan.

Polis bimbang lebih banyak serangan berlaku sebelum tarikh akhir perpindahan 1 Julai ini.
Jurucakap polis berkata, suspek utama insiden itu ialah pendatang haram militan yang sebelum ini berikrar membalas dendam atas setiap cubaan mengawal penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Sebelum ini, Mahkamah Agung Israel memutuskan lima apartmen di kawasan penempatan Ulpana di Beit El dibina secara haram atas tanah persendirian Palestin. - Reuters

myMetro | Yahudi ortodoks kecam Zionisme di Muzium Holocaust

myMetro | Yahudi ortodoks kecam Zionisme di Muzium Holocaust:


BAITULMAQDIS: Beberapa grafiti memuji Hitler atas insiden Holocaust dan mengecam Zionisme ditemui di sebuah muzium di sini, semalam.
Kenyataan menggunakan berbahasa Hebrew itu disembur menggunakan cat di Muzium Holocaust Yad Vashem.

Ia menyatakan: “Terima kasih Hilter atas Holocaust yang anda aturkan untuk kami, kerana anda kami mendapat sebuah negara di PBB.” Ia adalah satu daripada 10 slogan disembur pada dinding muzium berkenaan, sekali gus mencetuskan kejutan di negara Yahudi berkenaan yang wujud tiga tahun selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Pengarah muzium, Avner Shalev, mengecam grafiti itu sebagai “ekspresi kebencian” yang dilakukan kumpulan ultra-Ortodoks yang tegas membantah kewujudan negara moden Israel.

Beberapa slogan turut disembur pada Dinding Peringatan di Medan Warsar Ghetto.

Satu daripadanya bertulis: “Kepemimpinan Zionis mahukan Holocaust” manakala satu lagi menyatakan: “Jika Hitler tidak wujud, Zionis akan menciptanya.” - AFP

Tahanan Palestin teruskan mogok lapar

myMetro | Tahanan Palestin teruskan mogok lapar:


BAITULMAQDIS: Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) semalam berkata, banduan Palestin yang melancarkan mogok lapar selama lebih 80 hari menamatkan protes mereka, namun sumber lain menafikan dakwaan itu.
Jurucakap IPS, Sivan Weizman, berkata tahanan terbabit, Mahmud Sarsak, menamatkan mogoknya selepas berunding dengan peguam dan pentadbir penjara.

Bagaimanapun, keluarga Mahmud di Gaza dan pegawai Kelab Banduan Palestin di Ramallah menafikan kenyataan itu.
Peguam Mahmud, Mohammed Jabarin, enggan memberi komen terhadap dakwaan IPS.

Kata Sivan, Mahmud yang ditahan di Penjara Ramle - tidak memberi sebab menamatkan mogoknya.

“Kesihatan Mahmud kini dipantau dan dia mula mengambil makanan secara berperingkat,” katanya.
Mahmud mula mogok akhir Mac lalu bersama beberapa tahanan lain bagi membantah keadaan mereka di penjara Israel.

Mogok beramai-ramai itu tamat 14 Mei lalu selepas Israel bersetuju melonggarkan sekatan mereka di penjara. - AFP

Rupert, 9 kg, kucing paling besar di Australia

myMetro | Rupert, 9 kg, kucing paling besar di Australia:


BESAR...Natalie Chettle menjulang Rupert, milik ibunya.
BESAR...Natalie Chettle menjulang Rupert, milik ibunya.
COMEL...Rupert menjuarai pertandingan kucing di Australia sebanyak tiga kali.
COMEL...Rupert menjuarai pertandingan kucing di Australia sebanyak tiga kali.
SYDNEY: Dengan saiz tiga kali ganda berbanding kucing biasa, ramai yang berfikir Rupert tidak akan membesar lagi buat masa ini.
Bagaimanapun, kucing saiz besar melampau itu yang berat sembilan kilogram dan dianggap sebagai antara kucing paling besar di dunia, hanya baru membesar separuh dan dijangka terus bertambah gemuk.
Kucing baka Maine coon itu baru mencapai separuh daripada berat kemungkinannya pada usia hampir tiga tahun. Beratnya dijangka bertambah sebanyak lima kilogram lagi.

Hakim pertandingan kucing berkata, Rupert yang tiga kali menjadi juara di negara asalnya, Australia, adalah kucing Maine coon baka tempatan paling besar pernah mereka lihat.

Hakim, Lesley Morgan Blythe berkata: “Dia sungguh besar, kucing gergasi dan masih belum membesar sepenuhnya.

“Dia lebih besar berbanding kucing Maine coon yang pernah saya lihat.”

Pemilik Rupert, Kyra Foster, berkata: “Dia kelihatan sungguh hebat dengan bulu yang panjang di samping mukanya yang kelihatan liar.

“Orang ramai akan terpesona apabila melihatnya.”

Kucing Maine coon terkenal sebagai baka yang menghasilkan kucing tempatan besar.

Berasal dari Maine, negeri di Amerika Syarikat, kucing itu mempunyai ciri tersendiri kerana ekornya yang berbulu lebat dan panjang dan boleh membesar sehingga lebih satu meter. - DM

Misi keluarkan pesawat Stuka dari laut


GAMBAR bertarikh 9 Jun lalu menunjukkan enjin pesawat Stuka yang berjaya dikeluarkan dari Laut Baltik di Sassnitz, timur Jerman.


BERLIN - Sekumpulan penyelam tentera Jerman sedang berusaha untuk mengeluarkan bangkai sebuah pesawat Junkers JU87 atau lebih dikenali sebagai Stuka dari dasar Laut Baltik.
Misi itu dikendalikan oleh pihak Muzium Sejarah Ketenteraan Jerman di Dresden.
Serpihan enjin pesawat itu berjaya dikeluarkan dari dasar laut itu baru-baru ini.
Pesawat satu kipas era Perang Dunia Kedua milik tentera Nazi Jerman itu digeruni musuh kerana mengeluarkan bunyi semasa ia menggugurkan bom.
Bangkai pesawat yang pertama kali ditemui tersangkut di jaring nelayan pada tahun 1990-an itu terletak sekitar 10 kilometer dari Pulau Ruegen, milik Jerman pada kedalaman 18 meter di dasar Laut Baltik.
Sejak seminggu lalu, kumpulan penyelam tersebut melakukan persiapan bagi mengeluarkan pesawat bersejarah itu untuk dibaik pulih.
Ia pertama kali digunakan semasa Perang Saudara Sepanyol pada 1936 hingga 1939 kerana dihantar oleh pemimpin Jerman ketika itu, Adolf Hitler untuk membantu pihak fasis.
Hanya terdapat dua buah pesawat Stuka yang berada dalam keadaan sempurna.
Dua pesawat itu dipamerkan di Muzium Tentera Udara Diraja Britain di London dan di Muzium Sains di Chicago, Amerika Syarikat. - AGENSI

Surat Napoleon dilelong RM1.29 juta


GAMBAR menunjukkan surat yang ditulis Napoleon dalam bahasa Inggeris.


FONTAINEBLEAU, Perancis - Sepucuk surat yang ditulis dalam bahasa Inggeris oleh Maharaja Perancis, Napoleon Bornaparte dilelong pada harga AS$405,000 (RM1.29 juta) kelmarin.
Ditulis pada kertas bersaiz standard bersama cop diraja, surat tersebut merupakan latihan kerja rumah yang dihantar oleh Napoleon kepada seorang guru bahasa Inggeris pada tahun 1816.
Menurut penganjur lelongan tersebut, latihan berkenaan adalah antara tiga pucuk surat berbahasa Inggeris yang pernah ditulis oleh Napoleon.
Surat tersebut dibeli oleh Muzium Surat dan Manuskrip di Paris yang memenangi 'perang' bidaan lelongan tersebut dekat sini, selatan Paris.
Harga lelongan tersebut lima kali ganda lebih tinggi daripada anggaran awal.
Dokumen itu merupakan bukti kukuh bahawa Napoleon pernah mempelajari bahasa tersebut walaupun pada usia yang lewat.
Menurut firma lelongan Osenat, Napoleon menulis surat itu semasa menjadi tahanan di Pulau Saint Helena selepas kalah dalam perang Waterloo.
"Beliau sebenarnya menyanjung England. Orang Inggeris telah salah faham. Napoleon tidak membenci mereka. Beliau cuma seorang pemimpin tentera dan kepentingan Perancis berbeza dengan kepentingan Inggeris," kata Presiden Osenat, Jean-Pierre Osenat.
Napoleon mati ketika hidup dalam buangan di pulau tersebut pada 5 Mei 1821 semasa berusia 52 tahun. - AGENSI

Ratusan Muslim Myanmar lari ke Bangladesh



ANGGOTA-ANGGOTA Pengawal Sempadan Bangladesh (kiri) yang menaiki sebuah bot memantau pergerakan bot yang membawa etnik Rohingya (kanan) berpatah balik ke Myanmar semasa ia berada di Sungai Naf semalam.


TEKNAF, Bangladesh - Sebanyak lapan buah bot yang membawa lebih 300 orang etnik Rohingya beragama Islam diarah berpatah balik ke Myanmar semalam.
Mereka melarikan diri daripada keganasan aga-ma yang berlaku di negara tersebut.
"Lebih 300 etnik Rohingya beragama Islam berada di atas bot tersebut yang datang dari bandar Akyab.
"Bot-bot itu membawa ramai wanita dan kanak-kanak, kebanyakannya menangis dan kelihatan amat bimbang.
"Kesemua lapan bot itu telah diarah berpatah balik ke Myanmar," kata seorang pegawai Pengawal Sempadan Bangladesh, Shafiqur Rahman kepada agensi berita AFP.
Keganasan antara etnik Rakhine yang beragama Buddha dan Rohingya berlaku pada Jumaat lalu di negeri Rakhine.
Ia kemudian merebak ke Sittwe.
Keganasan itu berlaku disebabkan dakwaan seorang gadis Buddha dirogol tiga penduduk Islam. - Agensi

Peminat Jerman gembira ramalan lembu tidak betul


LEMBU yang bernama Yvonne makan makanan dalam bekas yang mengandungi lukisan bendera Portugas di pusat penjagaan haiwan Gut Aiderbichl dekat Deggendorf, selatan Jerman pada Jumaat lalu.


BERLIN - Bolehkah seekor lembu menggantikan tempat sotong kurita, Paul sebagai haiwan terbaharu yang memiliki kebolehan menilik nasib pasukan bola sepak Jerman?
Peminat bola sepak Jerman gembira selepas lembu betina tersebut, Yvonne tersasar dalam ramalannya bahawa Jerman akan tewas kepada Portugal pada perlawanan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 di bandar Lviv, Ukraine, Sabtu lepas.
Yvonne popular di Jerman selepas haiwan tersebut melarikan diri dari sebuah ladang ternakan sebelum disembelih pada tahun lalu dan berkeliaran di negeri Bavaria tanpa dapat dikesan oleh pemiliknya, pemburu dan aktivis haiwan selama tiga bulan.
Haiwan itu membuat ramalan di pusat penjagaan haiwan Gut Aiderbichl dekat Deggendorf, selatan Jerman pada Jumaat lalu.
Paul dapat meramalkan dengan tepat semua keputusan perlawanan pasukan Jerman sepanjang Piala Dunia 2010 termasuk kekalahan negara itu kepada Sepanyol di separuh akhir dengan memilih makanan daripada dua bekas di dalam akuarium.
Satu bekas tersebut mempunyai bendera Jerman manakala bendera pasukan lawan terdapat pada bekas yang lain.
Stesen radio Jerman, Bayern 3 melaporkan lembu tersebut ditawarkan makanan daripada dua bekas yang mengandungi makanan.
Haiwan tersebut kemudian memilih makanan daripada bekas yang mengandungi lukisan bendera Portugal.
Pemilihan itu menyebabkan ia meramalkan kemenangan Portugal.
Namun, Jerman menang 1-0 dalam perlawanan tersebut.
Sejak kematian Paul ketika berusia sekitar tiga tahun pada 2010, peminat bola sepak Jerman masih mencari haiwan baharu yang mampu membuat ramalan dengan tepat bagi menggantikan sotong tersebut. - Reuters