Pages

Friday, November 25, 2011

Ibadat malam


Oleh : NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK
Tarikh : November 18, 2011
Ibadat malam

Waktu malam adalah masa yang paling sesuai untuk berehat dan tidur setelah tenaga digunakan di sebelah siangnya untuk mencari rezeki. Namun pada malam begini umat Islam dituntut untuk bangun pada 2/3 malam atau 1/3 akhir malam bagi melaksanakan qiamullail.

Hukum qiamullail ialah sunat muakkad. Ini bermakna ibadat ini amat dituntut kepada umat Islam walaupun tidak diwajibkan.

KELEBIHAN QIAMULLAI

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Wan Nordin Wan Abdullah berkata, umat Islam amat digalakkan melakukan qiamullail kerana ibadat ini mempunyai kelebihan yang begitu banyak sekali. ALLAH menggalakkan kita melakukan ibadat ini sebagaimana maksud ayat yang ke-79 surah al-Israk:

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagi mu; semoga TUHAN-mu membangkit dan menempatkan mu pada hari akhirat di tempat yang terpuji,” katanya.

Menurutnya, ALLAH menyatakan di dalam al-Quran bahawa orang-orang yang sentiasa bertakwa dan mengerjakan qiamullail dengan beramal ibadat dan memohon keampunan daripada ALLAH itu adalah orang-orang yang muhsinin, iaitu orang-orang yang berbuat kebajikan yang berhak mendapat balasan baik, rahmat ALLAH serta syurga. Firman ALLAH dalam al-Quran:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh TUHAN mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada ALLAH (memohon ampun)” .(Adz-Dzaariyaat 15-18)

"Orang-orang yang melalui malam hari dengan berdiri untuk TUHAN mereka itu maksudnya ialah orang-orang yang solat tahajud malam hari semata-mata kerana ALLAH TAALA.

"Kesimpulannya, ibadat qiamullail perlu dilihat sebagai penawar utama untuk membaiki diri dan memperbetulkan masyarakat. Ibadat ini amat penting bagi kita semua, dan ia menjadi lebih penting bagi pemimpin yang menanggung amanah yang begitu besar dalam sesebuah masyarakat, di samping ia menjadi benteng amat kukuh untuk mempertahankan seseorang dari ancaman kejahatan manusia dan syaitan," katanya.

WAKTU AFDAL MENGERJAKANNYA

Beliau berkata, sembahyang malam itu harus dikerjakan, sama ada pada awal malam, di tengah-tengah malam atau akhir malam. Ini berdasarkan riwayat al-Hafiz : Bahawa tahajud Rasulullah SAW itu tidak ada waktunya yang tetap, malah terpulang kepada apa yang mudah bagi baginda mengerjakannya jua.

"Bagaimanapun, berdasarkan hadis-hadis yang lain, adalah lebih afdal dilewatkan sembahyang tahajud itu sehingga kepada salah satu pertiga yang akhir dari malam," jelasnya.

CARA MUDAH BANGUN MALAM

Selain itu katanya, menurut Imam al-Ghazali terdapat dua faktor utama memudahkan seseorang itu bangun berqiamullail. Faktor pertama ialah faktor luaran dan kedua faktor dalaman.

"Antara faktor luaran ialah tidak banyak makan dan minum sehingga badan menjadi berat untuk bangun malam, tidak memenatkan badan dengan aktiviti tidak berfaedah siang hari, tidur sekejap pada waktu tengah hari sebelum atau selepas solat Zohor. Ia dikenali sebagai ‘qailulah’ dan menjauhkan diri dari dosa pada siang hari yang mengharamkan seseorang berqiamullail.

"Faktor dalaman pula ialah menjauhkan sifat hasad dengki dan iri hati terhadap Muslim yang lain, menanam rasa takut kepada ALLAH, memahami dan menghayati kelebihan qiamullail dan menanamkan rasa cinta yang mendalam kepada ALLAH sehingga menimbulkan rasa rindu untuk sentiasa bermunajat kepada-NYA," ujarnya.

WANITA UZUR BOLEH LAKUKAN QIAMULLAI

Nordin berkata, ibadat terbaik pada waktu malam untuk qiamullail ialah solat-solat sunat. Namun, disebabkan wanita-wanita haid tidak boleh bersolat, maka hendaklah dicari ibadat lain bagi menggantikannya supaya kelebihan beribadat pada waktu malam tidak dibiarkan begitu sahaja.

"Contoh ibadat yang boleh dilakukan ialah, zikrullah iaitu mengingati ALLAH sama ada melalui lidah, hati atau perbuatan. Banyak kalimah-kalimah zikir yang boleh diucap dan diamati berulang-ulang kali seperti:

'SUBHANALLAH', 'ALHAMDULILLAH', 'ALLAHU AKBAR', 'LA ILAHA ILLA ALLAH', 'SUBHANALLAH WABIHAMDIH, 'LA HAWLA WA LA QUATAILLA BILLAH' dan lain-lain lagi.

"Antara ibadat lain ialah memohon ampun kepada ALLAH iaitu beristighfar berulang-ulang kali. Memohon keampunan daripada ALLAH adalah ibadat utama dan penting untuk dilakukan oleh seseorang mukmin," katanya.

Selain itu, perempuan dalam keadaan uzur juga boleh berdoa memohon apa yang dihajatkan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Berdoa juga adalah ibadah. Mereka juga boleh berselawat ke atas Nabi, muhasabah diri, membaca buku-buku agama yang darinya boleh menimbulkan keinsafan dan peningkatan iman serta makin dekat dengan ALLAH.

"Justeru, tidak ada sebab untuk seseorang meninggalkan ibadah malam walaupun sedang mengalami haid. Apatah lagi peluang menghidupkan malam pada 10 terakhir Ramadan kerana di dalamnya, sangat digalakkan untuk memburu lailatulqadar.

"Melakukan amalan-amalan sampingan lain seperti menyediakan juadah untuk bersahur dan mengejut anak-anak untuk bangun sahur juga boleh dikategorikan sebagai amalan-amalan soleh yang bakal mendapat ganjaran ALLAH SWT," katanya.

Ibadat malam - Rencana - Sinar Harian:

'via Blog this'

Demonstrasi satu 'jenaka' - Noh


TANJONG KARANG 24 Nov. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim disifatkan sebagai wakil rakyat yang 'tidak cukup akal' apabila mengadakan demonstrasi kononnya wujud ketirisan dalam pengagihan insentif hasil padi kepada petani sebanyak RM110 juta baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan wakil rakyat DAP itu sebenarnya tidak lebih hanya satu bentuk 'jenaka' pakatan pembangkang yang tidak memahami apa yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengenai kedudukan insentif tersebut.

Ini kerana katanya, apa yang dinyatakan dalam laporan tersebut mengenai peruntukan sebanyak RM110 juta sebenarnya adalah tunggakan pembayaran insentif peningkatan hasil padi yang masih belum dibayar kepada para petani dan bukannya satu ketirisan seperti yang didakwa oleh Suee Lim.

''Bagaimana pula pembangkang (Suee Lim) boleh mendakwa berlaku ketirisan dalam pembayaran insentif peningkatan hasil padi ini sedangkan tiada pembayaran dilakukan dalam tempoh itu.

''Jumlah itu sebenarnya adalah tunggakan yang masih belum dibayar kepada petani dan kementerian juga menjangkakan sebanyak RM117 juta akan ditambah kepada tahun ini untuk insentif tersebut yang kita akan laksanakan pembayarannya.

''Saya fikir, beliau (Suee Lim) tidak faham mengenai perkara ini tetapi kemudian menghasut orang ramai mengadakan demonstrasi untuk mencari populariti politik dengan memburuk-burukkan kerajaan. Ini menunjukkan wakil rakyat DAP tersebut tidak cukup akal, tidak mahu berfikir," katanya.

Noh berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan khas persekolahan 2012 kepada lebih 1,200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Burong dan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sungai Burong di sini, hari ini.

Noh berkata, pada tahun depan, kementeriannya juga akan menambah peruntukan sebanyak RM80 juta untuk pembayaran tunggakan insentif peningkatan hasil padi berikutan pertambahan hasil pengeluaran tanaman itu yang dijangka positif pada tahun depan.

Pada 22 November lalu, Suee Lim dilaporkan mengadakan perhimpunan bersama-sama sekumpulan pesawah di sekitar Sekinchan, Sungai Burung dan Sungai Panjang dan menuntut Noh meletak jawatan sebagai menteri.

Tuntutan itu dibuat kononnya Noh gagal membela nasib kaum petani dan pesawah di daerah tersebut serta tidak mengendahkan nasib para pesawah untuk menambah subsidi padi.

Suee Lim turut mendakwa berlaku ketirisan wang RM110 juta di bawah skim peningkatan hasil padi oleh kementerian berkenaan.

Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

Jepun dilanda gempa bumi 6.1 skala Richter


25/11/2011 3:15am

TOKYO 25 Nov. - Satu gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan kawasan kepulauan di utara Jepun, pulau Hokkaido, semalam tetapi tiada kerosakan dilaporkan, kata pegawai.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan daripada gempa yang berlaku pada pukul 7.25 petang waktu tempatan (6.25 petang waktu Malaysia), lapor Agensi Meteorologi Jepun.

Gegaran di dalam laut itu berlaku pada kedalaman 30 kilometer di kawasan perairan selatan Hokkaido.

Sebelum itu, satu gempa bumi sederhana berukuran 5.9 skala Richter melanda di kawasan yang sama pernah musnah teruk akibat gempa bumi dan tsunami Mac lalu tetapi tiada kerosakan dilaporkan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Dua kali suntik pelali tapi gagal perkosa

KUCHING: Seorang wanita nekad mempertahankan kesuciannya daripada diragut walaupun dalam keadaan separuh sedar selepas disuntik ubat pelali sebanyak dua kali oleh seorang lelaki yang cuba merogolnya di sebuah panggung wayang mini di Jalan Rubber di sini, Selasa lalu.

Difahamkan, mangsa berusia 25 tahun yang bertugas di sebuah stesen penyiaran di bandar raya ini bersendirian ke tempat kejadian, sebelum tangannya ditarik seorang lelaki dikenali sebaik memasuki pawagam mini itu, kira-kira jam 7.20 malam.


Menurut sumber, suspek menarik mangsa sebelum menyuntiknya dengan ubat pelali menyebabkan wanita berkenaan cuba melawan, namun tidak berdaya.

Katanya, melihat mangsa cuba melawan, suspek bertindak lebih agresif apabila menggunakan kakinya untuk ‘mengikat’ tangan wanita berkenaan sebelum menyuntik kali kedua.


“Suntikan itu menyebabkan mangsa menggigil dan separuh sedar, namun dia menguatkan tenaga untuk melawan suspek yang masih berusaha untuk merogolnya.


“Suspek turut didakwa cuba memeluknya, namun mangsa sekali lagi melawan. Pada masa sama, mangsa beberapa kali ditolak ke atas sofa, namun cubaan suspek melakukan perbuatan keji itu gagal,” katanya.

Suspek keluar dari bilik berkenaan sebelum menghantar mangsa ke pejabatnya.


Sumber berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Satok di sini, pada petang keesokan hari.

Susulan laporan itu, polis terus memburu dan menahan suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai kerani pejabat, kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.


Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan pihaknya menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama kerana cubaan merogol dan suspek direman empat hari bermula semalam.

myMetro | Dua kali suntik pelali tapi gagal perkosa:

'via Blog this'

‘Polis’ kebas RM263,000

KUALA LUMPUR: Gandingan seorang lelaki yang menyamar anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersama seorang wanita sebagai pegawai Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memperdaya seorang mekanik kereta sebelum melesapkan wang bernilai RM263,000 miliknya, kelmarin.

Mangsa, Teoh, 27, berkata pada jam 1.30 tengah hari pada 22 November lalu, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Koperal Marul, anggota JSJK Bukit Aman dari nombor telefon 03-2266xxxx yang mendakwa pihaknya menemui maklumat dirinya terbabit jenayah penipuan Black Money. “Pada mulanya saya tidak mengendahkan panggilan itu sebelum menerima satu lagi panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri Aini daripada MOF yang turut memaklumkan perkara sama sehari kemudian,” katanya, semalam. Katanya, wanita terbabit menyatakan siasatan perlu dilakukan ke atas akaun bank mangsa dan meminta dia memindahkan wang RM263,000 ke dalam dua akaun berlainan untuk tujuan siasatan dan berjanji memulangkan wang berkenaan selepas siasatan selesai.


“Selepas memasukkan wang berkenaan kelmarin pada jam 12.30 tengah hari, saya menghubungi nombor telefon 03-2266xxxx itu semula untuk bercakap dengan Koperal Marul, tetapi seorang pegawai polis wanita memaklumkan tiada pegawai seperti itu di JSJK.

“Pegawai berkenaan meminta saya membuat laporan polis kerana sudah tertipu,” katanya.


Mangsa membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya sebelum kes berkenaan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan berkenaan.

myMetro | ‘Polis’ kebas RM263,000:

'via Blog this'

Bertongkat curi kereta

RAMPAS...Abd Razak menunjukkan kereta yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...Abd Razak menunjukkan kereta yang dirampas daripada suspek.

SERDANG: Biarpun terpaksa bertongkat kerana kecacatan kaki, ia tidak menghalang seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) berusia 30-an menjadi dalang sindiket curi kenderaan di sekitar Seri Kembangan, di sini.

Suspek dipercayai menggunakan kekurangan itu sebagai sebahagian daripada modus operandi iaitu bagi mengalihkan perhatian orang ramai manakala rakannya mencuri kenderaan di tempat awam.


Bagaimanapun, kegiatan suspek bersama dua lagi rakannya yang digelar ‘Geng Waja’ ditumpaskan polis selepas ditahan dalam Ops Lejang pada jam 2 petang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata ketika kejadian, polis ternampak sebuah Proton Waja dinaiki dua daripada suspek dalam keadaan mencurigakan di satu persimpangan sebelum mengekori kenderaan itu.


“Menyedari kereta mereka diekori, suspek memberhentikan kenderaan mereka di bahu jalan sebelum didatangi anggota polis berkenaan.


“Bagaimanapun, suspek enggan keluar walaupun diarahkan berbuat demikian, malah suspek cuba memecut kenderaan itu untuk melarikan diri.

“Akibat hilang kawalan, kenderaan suspek terbabas sebelum merempuh penghadang di bahu jalan dan polis menangkap kedua-dua suspek terbabit,” katanya.


Berdasarkan pemeriksaan, kenderaan digunakan suspek ialah kereta curi yang dilaporkan hilang di Kajang.

Selain itu, polis menemui pelbagai peralatan untuk aktiviti pecah kereta dan menerusi semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah, samun dan curi.


“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek terbabit, polis kemudian membuat intipan di sebuah kawasan perumahan suspek dan menahan seorang lagi rakan mereka berserta sebuah lagi kenderaan curi.


“Sebuah lagi kenderaan ditemui selepas suspek menunjukkan di mana kereta berkenaan disimpan,” katanya.


Menurutnya, seorang daripada suspek OKU dipercayai berperanan sebagai ‘mata-mata’ manakala dua lagi bertindak sebagai pencuri kereta dan pembekal dadah.


Berdasarkan saringan air kencing, semua suspek positif dadah jenis syabu dan direman sehingga Isnin depan.

myMetro | Bertongkat curi kereta:

'via Blog this'

Padah maki polis

MELAKA: Tindakan biadab seorang pekerja kontrak memaki polis dengan kata-kata kesat membawa padah apabila dipenjara tujuh hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Muhamad Hanafi Bidin, 22, dari Pantai Kundor, Tangga Batu dekat sini, menerima hukuman itu selepas mengaku salah terhadap tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Hazri Hanafi.


Mengikut tuduhan, Muhamad Hanafi didakwa sengaja menghalang tugas penjawat awam, Lans Koperal S Thyagaraj bagi menjalankan tugasnya di stesen Minyak Mobil, Jalan AMJ, di sini, kira-kira jam 1.15 pagi, 19 November 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan anak yatim dan hanya pendapatan RM1,000 sebulan serta dipukul polis ketika ditahan.


Bagaimanapun, pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Saharizan Sahaman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Katanya, hukuman berat boleh menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama, malah tiada laporan polis dibuat tertuduh mengatakan dia dipukul, sebaliknya ketika ditahan tertuduh dalam keadaan mabuk.


Muhammad Hazri yang mendengar permohonan kedua-dua pihak kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari mulai tarikh tangkapan dan denda RM2,000 kepada tertuduh.

myMetro | Padah maki polis:

'via Blog this'

2 kali samun dalam 3 hari

KAJANG: Dua lelaki bersenjatakan parang menjadikan sebuah kedai serbaneka sebagai sasaran apabila menyamun kedai berkenaan dua kali dalam tempoh tiga hari dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras, di sini.

Kejadian pertama berlaku pada 16 November lalu apabila suspek melarikan RM200 dari mesin wang kedai berkenaan selepas mengacukan parang kepada juruwang dan mengugut mencederakannya pada jam 6 petang .

Bagaimanapun, 72 jam kemudian kedai berkenaan sekali lagi menjadi sasaran apabila suspek yang ‘tamak’ datang semula ke kedai berkenaan dan menyamun wang dari mesin wang berjumlah RM2,000 selepas mengugut juruwang menggunakan cara sama.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, ekoran kejadian berkenaan, satu pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang diwujudkan sebelum mereka menahan seorang lelaki berusia 20-an di sekitar Kajang hasil risikan keesokan harinya.


Katanya, sewaktu ditahan, polis turut menemui dua motosikal yang dilaporkan hilang beberapa bulan lalu di daerah Kajang dan merampas sebuah kereta daripada suspek.

myMetro | 2 kali samun dalam 3 hari:

'via Blog this'

Ugut henti bantuan jika Palestin bersatu



Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
Ugut henti bantuan jika Palestin bersatu

Sumber berita Israel, Isnin lalu, melaporkan Amerika Syarikat (AS) menghantar mesej rahsia kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Ramallah yang menegaskan sebarang rancangan untuk mencapai perpaduan dengan kerajaan Hamas di Genting Gaza akan menyebabkan pembekuan serta-merta bantuan kewangan dari Washington kepada PA.

Menurut akhbar Israel Today, Presiden AS, Barack Obama mahu Hamas mengiktiraf semua tanah rampasan Israel dan berhenti memerangi rejim Zionis melalui surat yang dihantar wakilnya kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas jika kedua kerajaan Palestin itu mahu bergabung.

Sekutu Obama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga menegaskan akan berhenti memindahkan wang kutipan cukai kepada PA jika kerajaan Palestin itu bergabung dengan Hamas.

Namun, wakil perunding Palestin, Saeb Erekat berkata, AS telah pun menghentikan bantuan kewangan kepada PA sejak Palestin diterima menjadi anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa, menunjukkan sikap biadap sekutu Zionis itu yang tidak menghormati keputusan masyarakat antarabangsa untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka.

Ugut henti bantuan jika Palestin bersatu - Global - Sinar Harian:

Bashar pengecut



Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
Bashar pengecut

ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, kelmarin, menggelar Presiden Syria, Bashar Al-Assad sebagai pengecut kerana tindakan pemimpin itu menggunakan kekerasaan ke atas rakyat Syria.

“Bashar kerap berkata beliau akan berjuang sehingga mati. Tetapi berperang sehingga mati dengan rakyat sendiri bukan karakter seorang pejuang. Ianya adalah sikap seorang pengecut.

“Anda (Bashar) perlu mengambil iktibar daripada pemimpin Libya (Muammar Gaddafi) yang memerangi rakyatnya sendiri dan hanya lebih sebulan lalu, dia juga menuturkan kata-kata yang sama seperti anda,” kata Erdogan dalam kritikan pertamanya terhadap Bashar.

Erdogan turut menuntut Bashar meletak jawatan, meningkatkan lagi tekanan negara rantau Timur Tengah ke atas Damsyik selepas kerajaan Syria dilaporkan menggunakan kekerasan melampau bagi menghentikan protes menentang Bashar yang bermula, Mac lalu.

Namun Erdogan menegaskan gesaan beliau itu tidak bermakna Ankara menyokong sebarang campur tangan ketenteraan di Syria yang dianggapnya perlu menyelesaikan konflik dalaman mereka sendiri.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyebut 3,500 terbunuh setakat ini sepanjang protes di Syria yang tercetus semasa revolusi Arab di Timur Tengah.

Bashar pengecut - Global - Sinar Harian:

Susilo nafi perkahwinan anak berunsur politik



Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
Susilo nafi perkahwinan anak berunsur politik

JAKARTA - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, kelmarin menafikan majlis perkahwinan anak lelaki bongsunya, Edhie Baskoro adalah untuk membentuk ‘gabungan cinta’ antara Parti Demokratik pimpinannya dengan Parti Amanat Nasional (Pan).

Hari pertama majlis perkahwinan selama tiga hari antara Edhie dengan Siti Ruby Aliya, anak perempuan kepada pemimpin parti Pan, Hatta Rajasa bermula, kelmarin.

Spekulasi ‘gabungan cinta’ itu mula tersebar luas selepas perkahwinan kedua-dua anak pemimpin tersebut didakwa bertujuan menyokong Hatta sebagai calon presiden pada 2014 kerana Parti Demokratik tidak mempunyai calon yang dilihat berkebolehan untuk menggantikan Susilo selepas penggal pemerintahannya tamat.

Bagaimanapun, Susilo menafikan dakwaan itu dan menegaskan Edhie memilih calon isterinya dengan sendiri tanpa melibatkan apa-apa kepentingan politik kedua-dua belah pihak.

Dalam satu kenyataan, timbalan pemimpin Parti Demokratik, Max Sopacua turut menafikan spekulasi tersebut dan menekankan perkahwinan Edhie dan Aliya tidak ada kena mengena dengan gabungan politik di negara itu.

Susilo nafi perkahwinan anak berunsur politik - Global - Sinar Harian:

2 penganut Syiah mati ditembak polis

RIYADH: Dua lelaki ditembak mati ketika tunjuk perasaan terbaru oleh penganut Syiah di Arab Saudi, semalam.

Menurut Kementerian Dalam negeri, polis membalas tembakan penyerang bersenjata yang ‘berselindung di sebalik upacara pengebumian seorang penyokong Syiah.

Kejadian terbaru itu menjadikan jumlah mereka yang terbunuh sejak tunjuk perasaan bermula Isnin lalu kepada empat orang.

Agensi berita tempatan melaporkan, sembilan orang turut cedera dalam kejadian itu, termasuk dua anggota polis dan seorang wanita.


Pasukan perubatan mengesahkan laporan saksi dan aktivis mengenai kejadian itu. - AFP

myMetro | 2 penganut Syiah mati ditembak polis:

'via Blog this'

Yahudi mahu kuasai makam Nabi Yusuf

NABLUS: Menteri Dalam Negeri Israel, Elly Yasha menyeru agar kerajaan rejim Zionis menawan untuk menguasai makam Nabi Yusuf di kota Nablus.

“Kawasan itu adalah milik kita dan kita mesti merebut kembali makam Nabi Yusuf.

“Persetujuan Oslo mesti kita susun semula,” kata Elly seperti yang dilapor oleh akhbar Yediot Aharonot, semalam.

Elly sebelum itu mengetuai 1,500 penduduk Yahudi yang dikawal ketat oleh ramai tentera Zionis, melawat makam Nabi Yusuf.


Acara lawatan sekali gus berdoa di makam berkenaan adalah amalan tradisi Yahudi untuk memperingati hari kematian nabi itu.


Nablus, atau nama dalam Bahasa Inggerisnya Shechem, adalah kota di pinggir barat laut Palestin, kira-kira 63 kilometer dari utara Baitulmaqdis.

Lokasinya strategik, antara Gunung Ebal dan Gunung Gerizim.

Pada tahun 636 Masihi, Nablus berada di bawah pemerintahan kerajaan Islam Umar al-Khattab.

Pada tahun 1099, tentera Salib menguasai kota itu selama satu abad sebelum ia dirampas kembali oleh Saladdin Al-Ayyubi. - Agensi

myMetro | Yahudi mahu kuasai makam Nabi Yusuf:

'via Blog this'

4 kakak penggal adik

RIYADH: Empat orang adik beradik perempuan ditahan kerana dituduh membunuh saudara lelaki mereka, semalam.

Menurut polis, mereka menikam si adik berkali-kali sebelum memenggal kepalanya.

Pembunuhan kejam itu dikatakan berlaku kelmarin di rumah keluarga mereka di Hafr al Baten.

Keempat-empat saudara perempuan itu kini ditahan untuk siasatan.


Dalam satu kenyataan, jurucakap polis, Ziyad al-Ruqaiti berkata: “Bapa mereka masuk ke rumah dan mendapati kepala anak lelakinya yang berusia 20 tahun terpisah daripada badan.”


Katanya, semua suspek melarikan diri tetapi polis berjaya mengesan sebelum menangkap mereka.

Ziyad berkata, siasatan awal mendapati semua saudara perempuan itu terlibat dengan pembunuhan berkenaan. - AFP

myMetro | 4 kakak penggal adik:

'via Blog this'

Empat ditembak mati penyokong Ali Abdullah

SANAA: Penyokong setia Presiden Yaman Ali Abdullah Saleh menembak mati empat penduduk di bandar raya ini, semalam sebagai bantahan terhadap perjanjian peralihan kuasa, kata kakitangan perubatan.

“Empat orang terbunuh akibat tembakan,” kata petugas paramedik di klinik bergerak yang dibuka di Dataran Perubahan, tempat penunjuk perasaan ‘berkampung’ sejak Februari lalu.


Seramai 27 lagi penduduk turut cedera.

Koresponden media berkata, penunjuk perasaan ditembak orang awam yang bersenjata yang mengaku penyokong setia Ali Abdullah ketika mereka berarak ke pusat bandar raya.


Aktivis yang menganjurkan bantahan terhadap pemerintahan Ali Abdullah selama 10 bulan menggesa perhimpunan besar-besaran diadakan bagi membantah imuniti yang diberikan kepada pemimpin itu mengikut perjanjian bersama pihak pembangkang yang ditanda tangani di Riyadh, kelmarin. - AFP

myMetro | Empat ditembak mati penyokong Ali Abdullah:

'via Blog this'

Syria bom askar paling tadah

AMMAN: Kereta kebal Syria mengebom tempat persembunyian tentera yang belot dekat bandar Rastan, semalam, kata penduduk dan aktivis.

Serangan itu dilakukan dua bulan selepas pihak berkuasa berkata, mereka dapat menawan semula daerah penting di laluan Damascus-Aleppo. Aktivis berkata, kira-kira 50 kereta kebal dan kenderaan bersenjata menembak peluru antipesawat dan mesingan ke kawasan ladang di pinggir Rastan, kira-kira 20 kilometer ke utara bandar raya Homs.


Pertempuran pertama antara tentera yang setia kepada kerajaan Presiden Bashar al-Assad dengan askar yang berpaling tadah meletus di Rastan akhir Oktober lalu.

“Pengeboman disasarkan ke arah kawasan ladang di barat Rastan. Saya menghubungi beberapa kenalan saya di kawasan itu tetapi tentera kerajaan yang menjawab panggilan telefon. “Mereka sudah dibunuh atau ditahan,” kata seorang penduduk, Abu Salah. - Reuters

myMetro | Syria bom askar paling tadah:

'via Blog this'

Bos Djarum terkaya di Indonesia

JAKARTA: Kedudukan tiga daripada 40 tokoh paling kaya di Indonesia tahun ini hampir tidak berubah berbanding 2010.

Nilai kekayaan mereka juga jauh lebih tinggi berbanding tokoh lain yang ada dalam senarai berkenaan.


Tiga hartawan utama dalam senarai Forbes itu dianggarkan memiliki kekayaan bernilai RM103.5 bilion - atau 38 peratus daripada keseluruhan harta 40 tokoh berkenaan.

Tiga tokoh itu ialah pasangan adik-beradik R Budi dan Michael Hartono, Susilo Wonowidjojo dan Eka Tjipta Widjaja.


R Budi dan Michael Hartono adalah pemilik Kumpulan Djarum yang memiliki harta bernilai RM44.6 bilion.


Aset utama menguntungkan mereka ialah kilang rokok Djarum dan Bank Central Asia (BCA).

Susilo, 55, pula memiliki syarikat Gudang Garam dan meningkatkan kekayaannya menjadi RM33.5 bilion berbanding 2010, manakala Eka Tjipta, 88, memiliki harta bernilai RM25.5 bilion dengan perolehan utamanya datang dari Golden Agri-Resources. - Agensi

myMetro | Bos Djarum terkaya di Indonesia:

'via Blog this'

Penerbangan cemas juruterbang terkunci dalam tandas

NEW YORK: Penerbangan pesawat Delta Airlines dari Carolina Utara ke New York kecoh seketika apabila juruterbangnya terkunci dalam tandas kira-kira 30 minit sebelum mendarat.

Media tempatan melaporkan, juruterbang terbabit bergegas masuk ke tandas selepas tidak dapat menahan dirinya membuang air sehingga selamat mendarat.


Insiden itu menjadi gempar apabila pembantu juruterbang menyangka berlaku rampasan pesawat selepas seorang penumpang “dalam loghat asing” meminta izin masuk ke kokpit.

Dia segera menghubungi menara kawalan bagi memaklumkan kejadian berkenaan.


Selepas beberapa ketika, penumpang terbabit berjaya menyampaikan mesej mengenai keadaan juruterbang itu kepada pembantunya, sekali gus meredakan keadaan.


Tidak dapat dipastikan bagaimana juruterbang berkenaan selamat keluar dari tandas dan pesawat itu berjaya mendarat. - Agensi

myMetro | Penerbangan cemas juruterbang terkunci dalam tandas:

'via Blog this'

Buruan 25 tahun polis tamat di kubur

LONDON: Buruan polis ke atas jutawan selama 25 tahun berakhir semalam, tetapi ia berlaku di majlis pengebumian lelaki terbabit.

Peguam, Mark Attwood dikehendaki pihak berkuasa kerana disyaki terbabit dalam penipuan pada 1987 sebelum dia melarikan diri ke serata dunia.


Sepanjang tempoh pelarian itu, Attwood, 58, berjaya memiliki banyak harta, berkahwin tiga kali dan mempunyai enam anak.

Dia mati akibat serangan jantung ketika bercuti di Goa, India.


Bagaimanapun, sebelum ini dia berwasiat supaya mayatnya dikebumikan di kampungnya di Begelly, Pembrokeshire, Wales.


Ia terpaksa ditangguhkan seketika sehingga polis berpuas hati mayat itu adalah lelaki yang mereka buru selama ini. Semua bekas isteri dan anaknya hadir di pengebumian itu. - DM

myMetro | Buruan 25 tahun polis tamat di kubur:

'via Blog this'

Doktor silap gugur

MELBOURNE: Sebuah hospital disiasat selepas kakitangannya tersilap menggugurkan satu daripada kembar berusia 32 minggu kerana didapati mengalami masalah jantung.

Herald Sun melaporkan, doktor Hospital Wanita Diraja mengesan satu daripada pasangan kembar berkenaan mungkin memerlukan siri pembedahan yang panjang jika dibenarkan lahir seperti biasa.


Hasil nasihat doktor, wanita hamil terbabit terpaksa akur dengan pandangan itu dan membenarkan satu daripada kembarnya digugurkan Selasa lalu.

Bagaimanapun, apabila prosedur pembedahan itu selesai, doktor baru menyedari mereka sebenarnya menggugurkan janin yang sihat.


Hospital itu mengesahkan insiden berkenaan semalam.


“Ia tragedi dahsyat dan kami benar-benar meminta maaf atas kejadian berkenaan,” kata kenyataan dikeluarkan itu.

Hospital terbabit juga menjalankan siasatan menyeluruh dengan bantuan dua penyiasat bebas dari Hospital Canberra bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.


Sementara itu, sumber berkata, wanita terbabit kini masih cuba menerima kenyataan.

“Dia ke hospital dengan dua janin dan kini dia bersedih kerana bakal melahirkan anak yang kurang sempurna.


“Wanita itu mengalami trauma,” katanya.


Sumber terbabit juga mempertikaikan kenyataan hospital itu yang mendakwa melakukan proses berkenaan mengikut prosedur betul.


“Jika prosedur dilakukan dengan baik, bagaimana ia boleh berlaku?” katanya. - AFP

myMetro | Doktor silap gugur:

'via Blog this'

Ikhwanul Muslimin enggan runding dengan tentera

PENUNJUK perasaan berdiri di belakang penghadang kawat di Dataran Tahrir di Kaherah, Mesir, semalam.
PENUNJUK perasaan berdiri di belakang penghadang kawat di Dataran Tahrir di Kaherah, Mesir, semalam.

KAHERAH: Tanda-tanda perpecahan dalam Ikwanul Muslimin kelihatan semalam apabila seorang pemimpin kanannya berkata, ia mungkin tidak akan berunding dengan pemerintah tentera Mesir.

Sehari selepas bersetuju untuk berbuat demikian bagi mempercepatkan penyerahan kuasa kepada orang awam, Mohamed Beltagy, Setiausaha Agung Parti Pembebasan dan Keadilan milik Ikhwanul Muslimin, berkata, pasukan keselamatan tidak memenuhi janji untuk menghentikan serangan terhadap penunjuk perasaan di Dataran Tahrir.


“Kerana itu kami tidak akan berunding dengan mereka,” katanya. - AFP

myMetro | Ikhwanul Muslimin enggan runding dengan tentera:

'via Blog this'

Petani jadi tuan ladang tebu Aquino

MANILA: Mahkamah Tinggi Filipina semalam mengarahkan ladang tebu yang dikawal keluarga bekas Presiden, Corazon Aquino diserahkan kepada lebih 6,000 peladang yang sudah bertahun bekerja di situ.

Arahan itu dianggap kemenangan bagi peladang miskin yang sekian lama bergelut untuk memecahkan cengkaman keluarga politik berpengaruh ke atas tanah pertanian di negara itu.
“Sudah 50 tahun kami berusaha dan ini adalah kejayaan bukan saja kepada peladang tetapi ramai lagi yang dalam keadaan serupa. Arahan ini memberikan harapan kepada ribuan peladang yang berterusan ditindas bahawa mereka juga boleh memiliki ladang sendiri suatu hari nanti,” kata peguam peladang berkenaan, Romeo Capulong.
Bagaimanapun, Capulong berkata, beliau menjangkakan saudara mara Aquino akan memfailkan rayuan supaya tiada pengagihan tanah di ladang dikenali sebagai Hacienda Luisita sehingga kes itu dianggap muktamad.

Dalam sistem perundangan Filipina, rayuan boleh dilakukan terhadap arahan yang dikeluarkan mahkamah tertinggi dan kes Hacienda Luisita mungkin berlanjutan bertahun-tahun.

Dalam arahan setebal 54 muka surat yang disiarkan di laman webnya, Mahkamah Agung menyebelahi tuntutan peladang untuk memiliki tanah sendiri berbanding terus bekerja sebagai buruh bergaji seperti dirancang keluarga Aquino.

Ia mengarahkan ladang seluas 4,915.7 hektar itu diagihkan kepada 6,296 peladang dan keluarga mereka yang bekerja di situ sejak lebih 50 tahun.
Perbalahan berhubung pemilikan ladang itu membolehkan pengkritik Aquino menggambarkan keluarga presiden popular itu sebagai dinasti politik yang tamak. – AFP
Berita Harian Online | Petani jadi tuan ladang tebu Aquino:

'via Blog this'

Sultan dukacita dakwaan Aziz Bari

Pensyarah UIAM keluar kenyataan akaun MAIS, LZS ‘kebal’ daripada diaudit

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dukacita dengan tindakan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mengeluarkan kenyataan bahawa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak diaudit dan bebas daripada diaudit.

Baginda bertitah, kenyataan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu tidak tepat kerana akaun MAIS dan LZS sudah diaudit Jabatan Audit Negara dan mendapat sijil bersih daripada Ketua Audit Negara.
“Beta disembah maklum bahawa MAIS dan LZS sudah diaudit dan akan terus diaudit Jabatan Audit Negara pada tahun akan datang.
“Beta berharap Abdul Aziz jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan serta meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti MAIS dan LZS sebelum beliau mendapatkan fakta yang tepat dan betul,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Wisma Audit Selangor di sini. Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Mengulas perkara itu, Abdul Aziz berkata, beliau sedia menghadap Sultan Selangor bagi menjelaskan isu berkenaan kerana yakin ada pihak cuba melaga-lagakan beliau dengan baginda.

“Saya tidak mempersoalkan mengenai audit MAIS, sebaliknya hanya memberi pandangan terhadap pindaan undang-undang yang memberi kuasa kepada MAIS.

“Saya bukan mahu membangkitkan kemarahan baginda. Saya rasa baginda sedar yang saya menulis secara meluas mengenai kuasa pemerintah sebagai ketua negeri dan ketua agama,” katanya menerusi emel.
Pada 11 November lalu, Abdul Aziz dalam laporan disiarkan sebuah portal berita berkata, Sultan Selangor melampaui kuasa dengan menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meluluskan pindaan peruntukan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2011 yang membolehkan MAIS mengelak daripada diaudit jawatankuasa audit awam.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, semua jabatan dan agensi di negeri itu perlu mengambil iktibar daripada kelemahan dinyatakan audit seperti pemborosan, pembaziran dan penyelewengan supaya tidak berulang.

Baginda yakin faedah daripada setiap sen dibelanjakan akan dapat direalisasikan jika unsur kecekapan ekonomi dan keberkesanan sentiasa dipraktikkan dalam pengurusan kewangan.

“Prinsip nilai wang dalam setiap perbelanjaan kerajaan harus diberi perhatian serius. Jika perkara negatif berlaku, tentu ia menimbulkan tanggapan negatif terhadap keupayaan penjawat awam menguruskan kewangan negeri ini, sekali gus mencalarkan imej perkhidmatan awam Selangor," titah baginda.

Baginda bertitah, ketua jabatan dan agensi di negeri ini perlu memberi perhatian serius dan teliti dalam hal berkaitan kewangan dan memastikan segala prosedur kewangan dipenuhi supaya tidak ditegur audit.

“Beta difahamkan, penyata kewangan kerajaan negeri, jabatan dan badan berkanun negeri pada keseluruhannya baik daripada segi penyediaannya mengikut jadual dan memperoleh sijil bersih daripada audit,” titah baginda.
Berita Harian Online | Sultan dukacita dakwaan Aziz Bari:

'via Blog this'