Pages

Friday, September 26, 2014

Dicerai kerana enggan tutup pintu kereta


Riyadh: Seorang wanita diceraikan semata-mata kerana enggan menutup pintu kereta.

Kejadian berlaku minggu lalu ketika dia dan suaminya pulang dari berkelah.
Sebaik tiba di rumah, wanita itu menurunkan anak mereka. Si suami menyuruh dia menutup pintu kereta tetapi dia enggan, kerana suaminya lebih dekat dengan pintu itu.

Berang dengan tindakan isterinya, lelaki itu berkata: “Saya ceraikan kamu jika kamu enggan menutup pintu kereta itu.”


Wanita itu serta-merta membawa anaknya pulang ke rumah bapanya.


Seorang ulama terkenal, Sheikh Asim Al-Hakim berkata, kata-kata si suami dan tindakan isterinya menyebabkan perceraian mereka sah.

Kejadian itu adalah sebahagian alasan tidak menasabah yang meruntuhkan rumah tangga pasangan di Arab Saudi.

Menurut satu kajian, pada 2012, terdapat 30,000 kes cerai berlaku di Arab Saudi, purata 82 kes sehari atau tiga dalam masa sejam.

Dan kadar perceraian di negara itu dilapor semakin meningkat setiap tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Warga Perancis dipenggal IS


Wajah warga Perancis yang ditahan anggota IS dimuat naik ke dalam video. Foto: AFP
Wajah warga Perancis yang ditahan anggota IS dimuat naik ke dalam video. Foto: AFP
ALGIERS - IRAQ. Anggota kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) yang mentadbir Negara Islam (IS) mendakwa, mereka memenggal kepala seorang warga Perancis setelah kerajaan negara itu menolak permintaan untuk menghentikan serangan di Iraq.

Dakwaan itu dibuat selepas kumpulan terbabit mengedarkan visual yang dimuat naik dalam ke laman web kumpulan itu dengan tajuk 'Mesej Berdarah kepada kerajaan Perancis'.

Herve Gourdel, 55, diculik Ahad lalu oleh Jund al-Khilifa atau 'Tentera Khalifah' ketika beliau berada di sebuah taman tarikan pelancong yang kini dijadikan kem perlindungan untuk kumpulan terbabit.

Klip video itu memaparkan Gourdel dalam keadaan berlutut dengan tangannya diikat belakang dan dikelilingi empat individu bersenjata dan bertopeng.

Salah seorang militan membaca ucapan mengutuk campur tangan 'Jenayah Tentera Salib Perancis' menentang umat Islam di Algeria, Mali dan Iraq.

Difahamkan, kenyataan itu disiarkan sehari selepas Presiden Perancis, François Hollande bertegas tidak akan tunduk kepada ugutan kumpulan itu untuk menamatkan serangan udara di Iraq dalam masa 24 jam.
Perancis, yang menyertai misi perikatan anti-ISIL bersama Amerika Syarikat, mula melancarkan serangan terhadap IS sejak Selasa lalu dalam laporan AFP.

Profesor Uighur dipenjara seumur hidup


Polis China mengetatkan kawalan di sekitar mahkamah untuk menghalang orang ramai daripada memasuki kawasan itu. - Foto AFP
Polis China mengetatkan kawalan di sekitar mahkamah untuk menghalang orang ramai daripada memasuki kawasan itu. - Foto AFP
BEIJING - CHINA. Seorang profesor dari etnik Uighur dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas membuat kenyataan berhubung wilayah bergolak di Xinjiang di dalam kelasnya, menurut laporan media, semalam.
Ilham Tohti yang merupakan bekas profesor di sebuah universiti didakwa atas tuduhan memprovokasi kumpulan hak asasi, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah terhadap diskriminasi yang diamalkan oleh rejim.
Agensi berita Xinhua melaporkan, antara rakaman kuliah beliau adalah mengatakan Xinjiang pada awalnya adalah milik Uighur dan bukannya majoriti etnik Han di China.

Pendakwa raya negeri menyifatkan kenyataan itu adalah sama dengan tindakan mempersoalkan kerajaan ketika serangan di Xinjiang tahun lalu.
Tohti juga mempertikaikan Perlembagaan yang menjamin kebebasan rakyat bersuara, namun pendakwa menyangkalnya dengan mengatakan rakyat tidak seharusnya merosakkan kepentingan negara ketika melaksanakan kebebasan yang diberi dalam laporan Channel News Asia.

Gempar buaya berjemur dalam longkang



SEEKOR buaya muncul dalam longkang di SMK Subis, Miri semalam.


MIRI - Kira-kira 300 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subis dekat sini gempar apabila seekor buaya tembaga tiba-tiba muncul di dalam sebuah longkang sekolah berkenaan, semalam.
Buaya sepanjang 3 meter itu dilihat berjemur di dalam longkang sedalam 5 meter oleh para pelajar kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Seorang pelajar tingkatan lima yang enggan dikenali berkata, kemunculan buaya berkenaan bukan kali pertama dilihat oleh pelajar di situ.
Sebaliknya katanya, seekor buaya lain pernah muncul dan berjemur di tempat yang sama selama beberapa hari kira-kira dua tahun lalu sebelum menghilangkan diri.
"Sang bedal itu akan muncul secara tiba-tiba. Ia membuatkan kami berasa ketakutan dan bimbang reptilia itu akan membaham kami.
"Entah dari mana reptilia itu datang kerana Sungai Niah berada agak jauh dari sekolah ini dan ia telah menimbulkan tanda tanya," katanya.
Susulan daripada penemuan reptilia itu, para pelajar kini takut untuk melakukan sebarang aktiviti berdekatan longkang terbabit.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3EOR78HuK 
Hakcipta terpelihara 

Badan dijangkiti cacing selepas makan sushi



Agensi
BAHAGIAN bawah badan seorang lelaki turut dipenuhi dengan cacing pita.


BEIJING - Seorang penggemar makanan sushi nyaris maut selepas makanan yang tercemar itu menyebabkan seluruh tubuhnya dijangkiti dengan cacing pita, lapor akhbar MailOnline semalam.
Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, dia kerap mengalami sakit perut dan gatal kulit menyebabkan dia berjumpa dengan seorang doktor.
Bagaimanapun, dia terkejut selepas ujian imbasan X-ray menunjukkan seluruh badannya dipenuhi dengan cacing pita kerana terlalu banyak makan sejenis sushi yang dikenali sebagai sashmi.
Sashmi merupakan sejenis ikan yang dimakan tanpa dimasak.
Beberapa doktor percaya, ia berlaku disebabkan beberapa makanan Jepun yang tidak dimasak seperti ikan mentah mengakibatkan ia tercemar dengan cacing berkenaan.
Menurut doktor, jangkitan cacing pita seperti itu berlaku kerana termakan larva cacing yang kebanyakannya ditemui di dalam ikan air tawar seperti ikan salmon sebelum ia masuk ke saluran darah. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3EOMExBjG 
Hakcipta terpelihara 

Dua bulan peluru tertanam di jantung



Agensi
SHARMA menunjukkan sebutir peluru sepanjang satu milimeter yang berjaya dikeluarkan dari jatungnya oleh sepasukan doktor di Hospital Sal di Gujarat, India baru-baru ini.


NEW DELHI - Seorang lelaki dianggap sangat bernasib baik kerana masih mampu hidup walaupun sebutir peluru tertanam di jantungnya sejak dua bulan lalu, lapor akhbar MailOnline semalam.
Lelaki itu, Bharat Sharma terkena dua das tembakan yang dilepaskan individu tidak dikenali ketika berada di sebuah bank di sini pada 22 Julai lalu.
Mangsa yang berusia 32 tahun tersebut terkena satu das tembakan di bahagian pinggang manakala sebutir lagi peluru sepanjang satu milimeter menembusi jantungnya.
Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Perubatan Kolej Awaharlal Nehru di Aligarh dan beberapa doktor berjaya mengeluarkan satu peluru dari pinggangnya.
Bagaimanapun, doktor bimbang untuk mengeluarkan peluru kedua yang tertanam di jantungnya kerana khuatir ia akan meragut nyawanya.
Selepas dua bulan, beberapa doktor di Hospital Sal, Gujarat menyahut cabaran untuk membedah jantung Sharma bagi mengeluarkan peluru itu baru-baru ini.
"Ia merupakan satu kes yang luar biasa kerana dia masih hidup walaupun sebutir peluru tertanam di jantungnya selama dua bulan," kata pakar bedah jantung, Dr.Anil Jain. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3EOLklDMb 
Hakcipta terpelihara 

Mohamed popular di Israel

Nama Mohamed dilaporkan menjadi nama bayi lelaki paling popular yang menjadi pilihan ibu bapa di Israel tahun ini. - AGENSI
TEL AVIV 25 Sept. - Nama Mohamed dilaporkan menjadi nama paling popular bagi bayi lelaki yang dilahirkan di Israel pada tahun ini.
Nama itu menjadi pilihan ibu bapa di Israel, namun Lembaga Populasi dan Imigresen Israel cuba 'menyembunyikan' perkara itu daripada senarai rasmi mereka.
Perkara itu didedahkan agensi tersebut pada minggu ini, selepas senarai nama 10 kanak-kanak lelaki dan perempuan paling popular yang dilahirkan di Israel didedahkan, lapor Mail Online.
Bagaimanapun, mereka tidak memasukkan nama bayi Arab termasuk Mohamed yang sepatutnya berada pada kedudukan teratas bagi senarai kanak-kanak lelaki termasuk nama Ahmed yang sepatutnya berada pada kedudukan kesembilan.
Sebaliknya, pihak berkuasa itu mendakwa nama yang paling banyak digunakan bagi kanak-kanak lelaki yang dilahirkan dalam tempoh 12 bulan lalu adalah Yosef, Daniel, Uri, Itai, Omer, Adam, Noam, Ariel, Eitan dan David.
Agensi itu pada masa sama menyenaraikan nama Tamar sebagai nama kanak-kanak perempuan paling popular, sekali gus mengenepikan nama Noa di tempat kedua selepas menduduki tangga teratas selama 14 tahun berturut-turut.
Nama popular lain bagi kanak-kanak perempuan Israel ialah Shira, Adele, Talya, Yael, Lian, Miriam, Maya and Avigayil. Lian, Miriam (Maryam) dan Maya yang digunakan bukan sahaja oleh orang Yahudi tetapi juga orang Arab.
Pihak berkuasa berkenaan menerima tekanan hebat selepas didakwa oleh portal berita Haaretz cuba menyembunyikan nama Arab daripada senarai nama kanak-kanak lelaki yang dilahirkan di Israel.
Menurut portal itu, beberapa nama Arab secara statistik lebih popular berbanding senarai yang dikeluarkan pihak berkuasa itu termasuk nama Mohamed.
Lembaga Populasi dan Imigresen Israel, bagaimanapun membalas dakwaan itu dengan menyifatkan senarai itu menggambarkan minat media bagi nama-nama popular dalam bahasa Hebrew dan mereka tidak berniat menyembunyikan maklumat tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140926/lu_09/Mohamed-popular-di-Israel#ixzz3ENCxWS2H
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki kaku apabila terkejut


Tubuh Andrew Latham akan kaku setiap kali dia terkejut. - AGENSI
LONDON 25 Sept. - Seorang lelaki terpaksa menanggung risiko mengalami kemalangan pada bila-bila masa, selepas dia menghidap penyakit saraf yang menyebabkan otaknya berhenti berfungsi setiap kali terkejut.
Mail Online melaporkan, Andrew Latham, 38, mengidap penyakit yang dikenali sebagai hyperekplexia sejak kecil lagi dan setiap kali dia terkejut badannya akan kaku susulan sistem otaknya gagal berfungsi.
"Setiap kali mendengar bunyi anjing menyalak, orang batuk, bunga api atau apa-apa sahaja bunyi yang boleh mengejutkan saya, badan saya akan kaku tidak bergerak untuk beberapa minit.
"Perkara ini membimbangkan saya untuk memandu di jalan raya, risau terkejut dengan bunyi hon kenderaan," jelasnya.
Sementara itu, ibu kepada Latham iaitu Janice berkata, dia dan suaminya sudah dapat mengagak anak mereka bakal mengalami masalah kesihatan selepas dilahirkan.
"Ketika usia kandungan saya berusia tujuh bulan saya dapat rasa yang anak saya tidak bergerak aktif dan selepas dilahirkan, anak saya sering terkejut setiap kali diletakkan di dalam inkubator," ujarnya, sambil menambah penyakit tersebut mula dikesan ketika Latham berusia 21 tahun.
Seorang pakar saraf dari Hospital Universiti London, Professor Kailash Bhatia berkata, masalah kesihatan yang dialami oleh Latham disebabkan oleh ketiadaan bahan kimia yang diperlukan untuk mengerakkan sistem tekanan di dalam badannya.
"Apabila bahan kimia berkenaan tidak wujud, otak tidak dapat memberi tindak balas yang sewajarnya. Oleh sebab itu, otak pesakit berhenti berfungsi sehingga mengganggu sistem sarafnya," katanya lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140926/lu_10/Lelaki-kaku-apabila-terkejut#ixzz3ENCe1NnG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Haji: 1.98 juta jemaah tiba di Arab Saudi


Masjidilharam mulai dibanjiri jutaan jemaah haji dari seluruh dunia menjelang musim haji yang bakal bermula awal bulan depan. - AGENSI
MEKAH 25 Sept. - Kira-kira 1.98 juta umat Islam dari seluruh dunia dilaporkan sudah tiba di Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
Mail Online melaporkan, kebanyakan daripada jemaah yang tiba di negara ini lebih awal dilihat berkumpul di Masjidilharam dan mengambil kesempatan mengerjakan solat serta ibadah lain sebagai persiapan untuk melakukan haji.
Setiap tahun umat Islam dari 160 buah negara akan berkumpul di kota suci Mekah serta beberapa lokasi lain untuk menyempurnakan enam rukun haji dan tujuh syarat wajib haji.
Musim haji kebiasaannya dilakukan pada bulan terakhir mengikut kalendar Islam iaitu pada bulan Zulhijah.
Antara ibadah yang perlu mereka lakukan adalah berniat ihram di miqat, bermalam di Muzdalifah, melontar di jamrah aqabah, meninggalkan larangan ihram dan bertawaf.
Pada tahun ini, rukun Islam kelima itu akan bermula pada 3 Oktober ini.
Hari raya Aidiladha disambut sempena berakhirnya musim haji, selain diraikan sebagai memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail semata-mata mematuhi perintah Allah.
Pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi terpaksa memperketatkan kawalan di pintu sempadan susulan penularan Ebola dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), bagi mengelakkan penyebaran wabak-wabak maut itu dalam kalangan jemaah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140926/lu_03/Haji-198-juta-jemaah-tiba-di-Arab-Saudi#ixzz3ENAxit24
© Utusan Melayu (M) Bhd