Pages

Saturday, June 11, 2011

China, Filipina dilanda banjir besar teruk

BEIJING 10 Jun - Hujan lebat di dua wilayah tengah China yang mencetuskan kejadian tanah runtuh dan meranapkan kediaman menyebabkan sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh dan 30 lagi hilang.
Lebih 60,000 orang pula dipindahkan selepas hujan lebat melanda bandar Xianning, wilayah Hubei dan mengakibatkan 19 orang terbunuh dan lima lagi hilang, lapor Perkidmatan Berita China.
Di Yueyang berhampiran wilayah Hunan, 15 lagi terbunuh dan 25 hilang, menurut agensi beritaXinhua.
Di Filipina, seramai enam orang terbunuh dan 27 lagi hilang di laut ketika Ribut Tropika Sarika menuju keluar dari perairan negara itu hari ini dengan kebanyakan komuniti masih ditenggelami air.
Menurut pasukan penyelamat, empat orang dilaporkan mati lemas di pulau Mindanao awal minggu ini manakala seorang budak lelaki maut selepas jatuh ke dalam sungai yang deras di bandar Batangas berhampiran Manila dan seorang lagi wanita dilaporkan lemas di tengah pulau Tablas.
Majlis Pengurusan dan Pencegahan Risiko Bencana Kebangsaan berkata, seramai 26 nelayan pula hilang berhampiran Pulau Spratly di Laut China Selatan.
Menurut perkhidmatan kaji cuaca, ribut Sarika kini menuju ke selatan China dengan kelajuan angin 65 kilometer sejam, selepas melanda pantai selatan Filipina di pulau Luzon. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Mangsa terselamat gempa, tsunami berisiko bunuh diri


GAMBAR atas menunjukkan sebuah pusat beli-belah di pekan Otsuchi, Iwate, Jepun pada 13 Mac lalu, yang dipenuhi serpihan rumah, kenderaan dan sebagainya sejurus kejadian gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac. Tiga bulan kemudian, pihak berkuasa Jepun berjaya membersihkan kawasan tersebut kepada keadaan sedia kala dalam gambar 3 Jun lalu. - REUTERS

TOKYO 10 Jun - Kerajaan Jepun berkata, mangsa bencana gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu, mungkin mengalami masalah mental yang boleh membawa kepada cubaan bunuh diri jika tidak diberikan rawatan sepatutnya.
Kerajaan dalam laporan polisi tahunan berhubung pembendungan kejadian bunuh diri berkata, mangsa mungkin mengalami trauma, tekanan dan kemurungan kerana kehilangan pelbagai benda dalam bencana alam itu.
Selain itu, mangsa juga mungkin mengalami perasaan bersalah kerana masih hidup dan selamat daripada kejadian itu.
Ia berkata, mangsa bencana alam tersebut perlu diberikan penjagaan kesihatan mental jangka panjang bagi mengelak kemerosotan mental.
Lebih 23,000 maut atau hilang dalam bencana alam itu dan beberapa bandar di timur laut Jepun musnah sama sekali dalam bencana alam pada 11 Mac lalu.
Kadar bunuh diri di Jepun merupakan antara paling tinggi di dunia maju dengan hampir 25 orang bagi setiap 100,000 orang membunuh diri.
Jumlah itu besar berbanding 11 orang bagi setiap 100,000 yang membunuh diri di Amerika Syarikat. - AgensiUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Treler terbabas hampir terjunam


SEORANG pemandu sebuah treler membawa kontena nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya hampir terjunam selepas terbabas di jejambat di bulatan Seberang Jaya,  di Kilometer 135.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala Selatan. Pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya keluar dari kenderaannya yang ‘tergantung’ di tepi jejantas terbabit.Foto: Mohamad Danial Mohamad Saad (10/06/2011)
SEORANG pemandu sebuah treler membawa kontena nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya hampir terjunam selepas terbabas di jejambat di bulatan Seberang Jaya, di Kilometer 135.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala Selatan. Pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya keluar dari kenderaannya yang ‘tergantung’ di tepi jejantas terbabit.Foto: Mohamad Danial Mohamad Saad (10/06/2011)


SEBERANG JAYA: Seorang pemandu treler nyaris maut apabila kenderaan dipandu hampir terjunam selepas terbabas di jejambat dekat bulatan Seberang Jaya, di Kilometer 135.5, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), di sini, semalam.
Sebelum kejadian, treler membawa kontena itu dalam perjalanan dari Mak Mandin, Permatang Pauh, di sini, ke sebuah kilang di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, kira-kira 12.15 tengah hari.

Pemandu yang mahu dikenali Anuar, 30-an, mendakwa sebelum kejadian dia memandu di lorong laju sebelah kanan sebelum sebuah lori di depan memberhentikan kenderaan secara mengejut.

Dia yang tidak cedera berkata, tindakan pemandu itu menyebabkan dia terpaksa membrek, tetapi kenderaan dipandu tetap begerak menyebabkannya bertindak mengelak ke lorong sebelah kiri selepas melihat tiada kenderaan.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan kontena dibawa menolak kepala lori sebelum melanggar penghalang jejambat dan tersangkut.

“Saya terkejut dan segera melompat keluar dari lori selepas kepala lori tersangkut dan tergantung di tepi jejambat,” katanya.


Sementara itu, jurucakap Plus Expressway Berhad berkata, kejadian itu menyebabkan kesesakan sepanjang lima kilometer, tetapi keadaan trafik terkawal.

“Kepala treler terbabit berjaya dinaikkan dengan bantuan dua kren kira-kira jam 2.30 petang sebelum treler yang membawa kontena itu ditarik sebuah lori lain,” katanya.myMetro | Treler terbabas hampir terjunam

Makan sayur tambah tenaga



GAO pakai daun salad bagi  menjayakan kempen diet sayur di China.
GAO pakai daun salad bagi menjayakan kempen diet sayur di China.

Aktres China pakai baju daun salad lancar kempen PETA

BEIJING: Pakaian aktres China, Gao Yuanyuan kelihatan seperti boleh dimakan kerana diperbuat daripada daun salad. Gao menggayakannya sebagai usaha kumpulan memperjuangkan hak haiwan, PETA untuk menggalakkan orang ramai makan lebih sayur berikutan peningkatan pengambilan daging di China.
Dihiasi daun hijau gelap yang tergantung, Gao juga memakai rantai daripada lada merah.
“Selepas beralih kepada diet berasaskan sayur, saya rasa lebih ringan,” kata Gao.

“Ketika memulakan pemakanan berasaskan sayur, memang saya tidak begitu biasa hingga terus mengambil banyak makanan berkanji menyebabkan berat badan turut meningkat. Tetapi, saya rasa lebih bertenaga sekarang kerana makan lebih banyak sayur,” katanya.

Mengikut sejarah, rakyat China sudah lama mengamalkan diet sayuran tetapi berikutan gaya hidup dan pendapatan yang meningkat di kalangan penduduk kelas pertengahan, ramai lebih gemar daging.

Secara purata, setiap penduduk China makan 55 kilogram daging setahun.
Malah, wakil PETA, Jason Baker, berkata pengambilan daging di kalangan penduduk China meningkat empat kali ganda sejak empat dekad lalu, faktor yang menyebabkan peningkatan masalah kesihatan.

“Walaupun pengambilan daging per kapita masih rendah berbanding penduduk Barat, ia semakin meningkat termasuk penyakit berkait dengan pemakanan daging seperti barah dan sakit jantung,” katanya merujuk pertambahan ladang penternakan di China.

Bagi orang yang suka makan daging, mereka meragui hujah mengenai pemakanan sayur.

“Makan lebih banyak sayur bukanlah cara menjaga kesihatan yang seimbang,” kata penduduk Beijing, Wang. – Reuters Berita Harian Online | Makan sayur tambah tenaga

Helikopter Syria tembak penunjuk perasaan: Saksi

AMMAN: Helikopter Syria melepaskan tembakan untuk menyurai penunjuk perasaan, kata saksi, iaitu laporan pertama penggunaan kekuatan udara untuk mengekang kebangkitan rakyat sejak tiga bulan lalu.

Penggunaan helikopter itu berlaku sehari selepas tunjuk perasaan di seluruh negara terhadap Presiden Bashar al-Assad ketika tiada tanda-tanda kekacauan akan reda walaupun pihak berkuasa menggunakan kekerasan bagi mengekangnya.

Kumpulan pemantau hak asasi Syria menyatakan helikopter terbabit melepaskan tembakan di sebuah bandar di barat daya negara itu.
"Sekurang-kurangnya lima helikopter terbang di ruang udara Maarat al-Numaan dan melepaskan tembakan mesingan bagi menyurai ribuan penunjuk perasaan," kata seorang saksi menerusi telefon.

Televisyen Syria sebaliknya melaporkan keganasan di wilayah itu berpunca daripada kumpulan antikerajaan. Ia menyatakan helikopter ambulans ditembak ketika terbang di Maarat, menyebabkan anak kapal cedera. - Reuters
Berita Harian Online | Helikopter Syria tembak penunjuk perasaan: Saksi

Gaddafi cuba dapat RM60 bilion




PEMBERONTAK Libya mengadakan sekatan jalan dekat medan pertempuran, 25 kilometer daripada pusat bandar Misrata.
PEMBERONTAK Libya mengadakan sekatan jalan dekat medan pertempuran, 25 kilometer daripada pusat bandar Misrata.

Perancis sekat Greece layan pemimpin Libya cari jalan keluar konflik

ATHENS: Rejim pemerintah Libya mengadakan rundingan sulit dengan Greece bagi mendapatkan dana AS$20 bilion (RM60) bilion) yang dibekukan bertujuan membantu dua kumpulan yang terbabit dalam perang saudara di negara itu selain membuka jalan untuk rundingan damai.
Akhbar The Independent melaporkan, rundingan diadakan di Tripoli antara kumpulan yang diketuai bekas diplomat yang rapat dengan Perdana Menteri Greece, George Papandreou dan tokoh kanan rejim termasuk Perdana Menteri Libya, Al-Baghdadi Al-Mahmoudi.
Rundingan itu menghasilkan memorandum persefahaman yang tidak dapat ditandatangani, selepas kerajaan Perancis memberi amaran kepada Greece bahawa sebarang persetujuan hanya mengesahkan kepemimpinan Muammar Gaddafi dan menjejaskan dasar pakatan Barat yang mahu memencilkan beliau.

Seorang pegawai kanan Libya yang kini berada di luar negara mendakwa wujud ‘permusuhan peribadi antara Presiden Perancis Nicolas Sarkozy dan Emir Qatar dengan Gaddafi’ menyebabkan usaha rundingan damai dan bantuan kemanusiaan terhalang.

Sumber rejim Libya menegaskan, kebenaran untuk menggunakan asetnya bagi bantuan kemanusiaan akan membolehkan satu perjanjian gencatan senjata dicapai, manakala proses penyerahan kuasa oleh Gaddafi dan pembentukan kerajaan sementara yang disertai pembangkang di Benghazi boleh dimulakan.

“Kami percaya langkah ini akan membolehkan proses dialog dimulakan. Wang itu kepunyaan Libya tetapi dibekukan bank asing. Cadangan bertujuan menggunakannya untuk faedah semua rakyat Libya.
“Memang ada keraguan sama ada Gaddafi akan berundur atau tidak. Sama ada beliau keluar dari Libya atau tinggal di padang pasir, ia akan diputuskan kemudian, tetapi mengenakan syarat ke atas Gaddafi sebelum rundingan seperti yang dikehendaki Majlis Peralihan Kebangsaan (TNC) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) hanya melambatkan proses perdamaian.

Beberapa pegawai yang mengambil bahagian dalam rundingan juga mendakwa pegawai dari Amerika Syarikat mengetahui mengenai perkara itu tetapi enggan memberi sebarang ulasan.

Setiausaha Negara Amerika Hillary Clinton berkata, beliau sedar mengenai ‘pelbagai tawaran’ dibuat oleh mereka yang rapat dengan Gaddafi untuk membincangkan mengenai pengundurannya, tetapi tidak memberi maklumat lanjut. – Agensi Berita Harian Online | Gaddafi cuba dapat RM60 bilion

Ada polis, askar Syria enggan tembak pemberontak

GUVECCI (Turki): Warga Syria yang kini menjadi pelarian di Turki, menceritakan mengenai anggota polis negara itu yang berbunuhan sesama sendiri, ada askar enggan mematuhi arahan menembak penunjuk perasaan dan tiga pemuda yang dipenggal tentera ketika cuba melarikan diri.

Ketika lebih 2,400 orang rakyat negara itu menyeberang masuk ke sempadan Turki kelmarin selepas melarikan diri dari kediaman yang dikepung askar bersama kereta kebal, mereka juga membawa bersama kisah sebenar dalam tempoh seminggu pemberontakan dan kekacauan di Jisr al-Shughour.

Walaupun selamat di khemah perlindungan sementara di Turki, kira-kira 20 kilometer dari sempadan Syria, pelarian berkata mereka tetap bimbang pihak tentera akan menceroboh masuk dan enggan memberitahu nama sebenar kepada wartawan.
Seorang pemuda yang memperkenalkan dirinya sebagai Rami, 22, berkata pasukan keselamatan Syria berselisih pendapat mengenai cara menangani dan menyuraikan penunjuk perasaan.

“Segalanya bermula apabila dua penunjuk perasaan dibunuh seminggu lalu, menyebabkan anggota polis yang enggan menerima arahan ketua mereka dari puak Alawiyyin agar menembak orang awam, bergaduh sesama sendiri di balai polis Emin Asqari.

“Kemudian sekumpulan askar juga disingkirkan selepas enggan menembak penunjuk perasaan. Mereka menanggalkan pakaian seragam, meninggalkan senjata dan melarikan diri bersama keluarga masing-masing,” kata Rami, seorang pelajar di sebuah universiti di Jisr al-Shughour.

Beliau berkata, dua helikopter juga melepaskan tembakan rambang ke atas orang awam dan rumah penduduk yang dicurigai.
Rami berkata, beliau tidak dapat menghubungi ramai rakannya. – AP
Berita Harian Online | Ada polis, askar Syria enggan tembak pemberontak

Israel mahu sekat PBB iktiraf negara Palestin

BAITULMAQDIS: Israel akan melancarkan kempen diplomatik bagi menggagalkan usaha pemimpin Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) mengenai penubuhan negara Palestin dalam sidang September depan, lapor akhbar Haaretz semalam.

Kementerian Luar Israel sudah mewujudkan Forum September dan mengarahkan semua utusannya berusaha memujuk negara lain untuk melawan usaha Palestin itu, kata akhbar itu yang memetik kertas sulit kementerian.

“Sasaran yang ditetapkan ialah mempunyai seberapa banyak mungkin bilangan negara yang membantah proses PBB mengiktiraf negara Palestin,” kata Ketua Pengarah Kementerian Luar, Rafael Barak dalam satu nota dalaman.
Kertas itu mengarahkan diplomat bertemu dengan ahli politik paling kanan dan mengerahkan organisasi tempatan, media dan pendapat umum untuk menentang undian pengiktirafan negara.

Pemimpin Palestin, Mahmud Abbas, berkata Palestin akan memohon pengiktirafan daripada PBB untuk diterima sebagai anggota dunia di Mesyuarat Agung PBB pada September jika rundingan damai tidak dilanjutkan.

“Pertelingkahan utama ialah untuk melanjutkan proses ini kepada PBB, Palestin cuba untuk mendapatkan sasaran mereka selain daripada mengadakan rundingan dengan Israel dan ini melanggar prinsip untuk menyelesaikan konflik menerusi rundingan dua pihak,” tulis Barak.

Diplomat akan memfokuskan usaha di Eropah kerana banyak negara di benua itu belum memutuskan sokongan terhadap usaha Palestin.
“Matlamat kami ialah untuk mencipta gerakan menentang pengiktirafan negara Palestin di September dengan mewujudkan blok penting Kesatuan Eropah (EU) yang suara mereka menolak dari awal tindakan satu pihak Palestin, “ kata ketua jabatan Eropah Barat, Naor Gilon, menurut Haaretz. – AFP
Berita Harian Online | Israel mahu sekat PBB iktiraf negara Palestin

Pemuda terkejut kekasih online lelaki

MADINAH: Seorang pemuda Arab Saudi terkejut apabila menyedari ‘teman wanitanya’ sebenarnya lelaki apabila mereka bertemu buat pertama kali di sebuah restoran.

Akhbar tempatan melaporkan, pemuda itu berkenalan dengan ‘teman wanitanya’ secara online dan hubungan itu menjadi intim selepas beberapa bulan berkenalan, lapor Arab News.

Kekasih online menipu pemuda terbabit dengan menggunakan suara wanita untuk menyamar, lapor akhbar al Watan, kelmarin.
Pemuda itu sanggup pergi ke Madinah yang terletak 800 kilometer dari tempat tinggalnya semata-mata untuk bersemuka dan tahu di mana ‘teman wanitanya’ tinggal.

‘Wanita’ itu datang bersama seorang lagi ‘wanita’ dan kedua-duanya memakai purdah. Ketika mereka makan, pemuda itu meminta ‘teman wanitanya’ membuka penutup mukanya untuk melihat wajahnya.

Sebaik mendapati dirinya ditipu, kedua-dua lelaki itu segera cabut lari. Bagaimanapun, polis Madinah berjaya menjejaki dan menahan mereka. – Agensi
Berita Harian Online | Pemuda terkejut kekasih online lelaki

16 pelatih ditahan semula



SALLEH (kanan) melihat kenderaan dirosakkan pelatih yang merusuh  di PUSPEN, Ledang, semalam.
SALLEH (kanan) melihat kenderaan dirosakkan pelatih yang merusuh di PUSPEN, Ledang, semalam.

21 larikan diri selepas merusuh, bakar dua bangunan di PUSPEN

LEDANG: Seramai 16 pelatih berjaya ditangkap awal pagi semalam, manakala lima lagi diburu polis selepas melarikan diri ketika rusuhan penghuni Pusat Pemulihan Narkotik (PUSPEN) Muar yang menyaksikan dua bangunan termasuk pejabat pentadbiran pusat itu dibakar mereka yang merusuh, malam kelmarin.
Usaha memburu lima pelatih dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA). PUSPEN Muar yang terletak dekat Sengkang itu menempatkan 377 penagih seluruh negara yang diperintah menjalani pemulihan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Salleh Abdul Razak, berkata tiga daripada pelatih ditahan semula ketika bersembunyi di kilang perabot berhampiran pusat terbabit kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, 13 lagi ditahan ketika bersembunyi di bawah Jambatan Panchor yang menghubungkan Bukit Serampang dengan Pagoh, lapan kilometer dari pusat itu kira-kira jam 9 pagi semalam.

“Kita melancarkan gerakan mengesan pelatih yang melarikan diri sejurus menerima laporan berhubung rusuhan di pusat terbabit dan hasilnya, 16 daripada 21 pelatih berusia 30-an berjaya ditahan semula.

“Mereka berhasil dijejaki hasil bantuan agensi berkaitan dan maklumat orang awam,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat berkenaan di sini, semalam.
Salleh berkata, pihaknya kini berusaha memburu saki baki pelatih menggunakan khidmat anjing pengesan Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.

“Meskipun keadaan sedikit kelam-kabut, kita sedang mengenal pasti mereka yang masih dalam pelarian itu. Semua pihak yang terbabit dalam operasi sedang bertungkus-lumus mengesan pelatih yang masih melarikan diri.

“Tiada kecederaan menimpa kakitangan pusat terbabit ketika rusuhan, bagaimanapun lapan kereta dan dua motosikal dirosakkan penghuni pusat yang merusuh,” katanya.

Salleh berkata, polis kini mengumpul maklumat kejadian itu dan menyiasat motif rusuhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kedudukan pelatih yang melarikan diri supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Dalam kejadian jam 8.40 malam kelmarin, sekumpulan pelatih pusat merusuh dan membakar sekurang-kurangnya dua bangunan termasuk pejabat pentadbiran pusat berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku selepas pelatih menunaikan solat Isyak di pusat yang menempatkan 377 penghuni.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat turut dikejarkan ke pusat itu untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan bangunan pejabat pentadbiran dan kantin.

Rusuhan ini adalah yang kedua berlaku di pusat pemulihan terbabit selepas kejadian pertama pada 1999. Berita Harian Online | 16 pelatih ditahan semula

Pemandu bas tayang video lucah kena tiga tahun


P Kanapathy
P Kanapathy

AYER KEROH: Pemandu bas ekspres yang menayangkan video lucah kepada seorang penumpang wanita ketika bas itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Isnin lalu, semalam dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan akan sekali lagi dibawa ke mahkamah 13 Julai depan untuk perbicaraan kes cuba merogol wanita sama.

P Kanapathy, 38, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Zaharah Hussain sambil menyatakan tahu perbuatannya itu salah, sekali gus merayu hukuman ringan kerana terpaksa menanggung isteri dan empat anak berusia antara empat hingga lapan tahun.
Dia yang tidak diwakili peguam dituduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dengan sengaja melakukan perbuatan itu bertujuan menawar atau cuba melakukan perbuatan yang menjadi kesalahan terhadap wanita berkenaan, Ni Ketut Remi, 32, pada jam 8.15 malam, 6 Jun lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan, cuba merogol mangsa dalam bas dan hari sama kira-kira jam 10.45 malam. Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Lelaki berkenaan ditahan dua anggota polis yang terdengar jeritan seorang wanita dari dalam sebuah bas yang ditinggalkan dalam keadaan enjin tidak dimatikan di tepi jalan berhampiran kawasan ladang di Jalan Bukit Kajang, Jasin, Isnin lalu.

Mengikut fakta kes, Kanapathy pada awalnya mengambil tiga penumpang termasuk dua lelaki lain menaiki bas ekspres dipandunya dari Terminal Bersepadu Tasik Selatan, Kuala Lumpur kira-kira jam 7.45 malam, tetapi selepas 30 minit perjalanan, dia mengarahkan dua lelaki itu turun dengan alasan mereka tersilap bas.

Dia kemudian mengarahkan penumpang wanita berkenaan duduk di kerusi sebelah pemandu tetapi mangsa enggan sebelum tertuduh memasang VCD dalam bas tanpa menghiraukan teguran mangsa. Berita Harian Online | Pemandu bas tayang video lucah kena tiga tahun

Jenazah 4 sekeluarga dikebumi satu liang


SUASANA pilu menyelubungi majlis pengebumian empat sekeluarga di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, Kuala Kangsar.
SUASANA pilu menyelubungi majlis pengebumian empat sekeluarga di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, Kuala Kangsar.


KUALA KANGSAR: Jenazah empat beranak yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Kilometer 73 Jalan Kuala Kangsar-Grik di Sauk, dekat sini petang kelmarin, selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, di sini semalam.

Suasana hiba menyelubungi sebaik satu persatu jenazah iaitu pasangan pesara guru, Allahyarham Zenodin@Zainuddin Abas dan isteri, Azizah Mahmood, masing-masing berusia 69 tahun; anak perempuan mereka, Zalinda, 33, serta cucu yang juga anak Zalinda, Aishah Suffian Afendi, 7, diturunkan ke dalam liang.
Suami Zalinda, Suffian Efendi Ahmad Apandi, 35, yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat di ibu negara, hanya mampu menahan sebak menyambut jenazah isteri, anak dan kedua ibu bapa mentuanya sebelum teresak-esak sebaik mula menyiram pusara selepas selesai pengebumian kira-kira jam 11.30 pagi.
Beliau bagaimanapun enggan ditemubual wakil media kerana terlalu sedih dengan tragedi terbabit, malah perasaan sama turut dikongsi sanak saudara terdekat keluarga itu yang berada di tanah perkuburan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang kelmarin, kereta dipandu Zenodin yang dalam perjalanan pulang dari kampung keluarga isterinya di Pasir Mas, Kelantan ke rumah mereka di Taman Sultan Yusuf, Bukit Chandan, di sini dipercayai terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan yang kemudian tertusuk masuk ke dalam kenderaan.

Seorang lagi anak perempuan Zalinda, Nurul Sarah, 2, parah dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Sementara itu, anak kedua Zenodin, Zalita, 42, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata ibu bapanya memang selalu berjalan jauh termasuk ke ibu negara melawatnya dan empat lagi adik beradik, tetapi tidak pernah terbabit dalam kemalangan walaupun arwah bapanya menghidap darah tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari, berkata laluan menghubungkan Kuala Kangsar-Grik sepanjang kira-kira 200 kilometer itu memang banyak merekodkan kemalangan maut sejak beberapa tahun lalu. Berita Harian Online | Jenazah 4 sekeluarga dikebumi satu liang

Heret mayat tanpa kepala


SIASAT...anggota polis memeriksa mayat mangsa yang disorok di dalam van.
SIASAT...anggota polis memeriksa mayat mangsa yang disorok di dalam van.



BERMINYAK...kesan minyak hitam di tempat mangsa dibunuh.
BERMINYAK...kesan minyak hitam di tempat mangsa dibunuh.


PENAMPANG: Leher seorang mekanik ditetak bertalu-talu dengan parang sebelum dipotong hingga putus menggunakan pisau pemotong daging. Kepala itu kemudian dicelup ke dalam minyak hitam sebelum dimasukkan ke dalam guni oleh seorang pemandu jengkaut di sebuah bengkel kereta di Kampung Kandazon, Jalan Terawi, Putatan di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, tubuh Asri Patahuddin, 37, yang tidak berkepala diheret 10 meter dari tempat kejadian sebelum disembunyikan dalam van rosak di bengkel berkenaan.

Sebelum kejadian, pemandu jengkaut berusia 30 tahun itu membersihkan halaman bengkel itu. Tiba-tiba dia yang membawa sebilah parang mendekati Asri yang ketika itu membaiki enjin sebuah kenderaan lalu menetak leher mangsa menyebabkannya rebah.

Lelaki terbabit kemudian bertindak lebih ganas dengan menetak leher mangsa berulang kali.


Dua rakan sekerja Asri yang melihat kejadian itu cuba menghalang tindakan ganas pemandu jengkaut itu, tetapi lelaki terbabit melibas parang beberapa kali ke arah mereka menyebabkan kedua-duanya melarikan diri.
myMetro | Heret mayat tanpa kepala

6 bulan bagai dalam ‘neraka’


KUALA LUMPUR: Belumpun reda kes penderaan yang menyebabkan seorang amah maut minggu lalu, seorang lagi pembantu rumah warga Indonesia berusia 25 tahun mendakwa turut menjadi mangsa kekejaman apabila sering didera isteri majikannya di sebuah rumah di Bandar Baru Klang, dekat sini, sejak enam bulan lalu.
Mangsa yang sudah berkerja dengan keluarga terbabit sejak awal Mei 2009 mendakwa dirinya bukan saja ditampar dan ditendang, sebaliknya dia cedera teruk akibat dirotan isteri majikannya berusia 35 tahun walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan.

Selain terpaksa menanggung kesakitan apabila seluruh badannya berbirat akibat dirotan, mangsa mendakwa dia hanya dibenarkan menjamah mi segera tiga hari dalam seminggu.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi, kelmarin, mangsa yang dikatakan dalam keadaan lemah akibat ditampar, ditendang dan dirotan isteri majikannya itu meminta bantuan daripada seorang jiran supaya menghubungi polis melaporkan kejadian berkenaan.


Menurut sumber, pihak berkuasa yang menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan bergegas ke rumah berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan kira-kira jam 12 tengah hari.

myMetro | 6 bulan bagai dalam ‘neraka’

Sempit, bersesak


KAHERAH: Malaysian Hall Kaherah yang sepatutnya menempatkan 300 pelajar tajaan negara menjadi ‘hotel’ paling menyeksakan bagi sekumpulan 2,000 hingga 3,000 pelajar pelbagai jurusan sama ada yang datang sendirian atau tajaan negeri masing-masing ketika mereka berusaha keluar dari Mesir ketika revolusi memuncak, sekali gus menjadikan kawasan bangunan berkenaan padat umpama tin sardin.
Walaupun terpaksa bersesak-sesak dalam bilik asrama, pantri dan kaki lima bangunan yang dijadikan transit sementara ke lapangan terbang Mesir, mereka bersyukur kerana berasa selamat berada di kampus berbanding kawasan luar yang ketika itu seakan-akan tidak terkawal dengan bunyi tembakan yang sering kedengaran.

Pelajar tahun empat Universiti Al-Azhar, Mohd Faiz Isa, 25, berkata, ketika itulah semangat setia kawan antara pelajar Malaysia daripada pelbagai latar belakang dapat dilihat kerana masing-masing bertolak ansur untuk tinggal bersama di kawasan yang ketika itu terlalu menyeksakan akibat kesempitan ruang sedangkan ada antara mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain dan tidak bertegur sapa sebelum ini.
“Bayangkan seksaan yang kami tanggung ketika itu, malah Malaysian Hall ini masih menerima pelajar kita yang terkandas di lapangan terbang atau mereka yang gagal ke sana dan dimaklumkan pegawai kita supaya menerima mereka walaupun kami terpaksa tidur dalam keadaan berdiri.

“Pegawai Malaysia memberitahu kami supaya menerima siapa saja rakyat Malaysia dan ketika itu semua warga kita sedang berusaha keluar dan bangunan inilah satu-satunya lokasi sesuai untuk mereka berhimpun sementara dihantar pulang ke Jordan atau pintu keluar lain sebelum ke Malaysia,” katanya.

Menurutnya, suhu ketika itu mencecah sehingga 2 darjah Celsius dan selain kesejukan, mereka terpaksa menahan kelaparan kerana stok makanan kehabisan dengan kehadiran luar biasa itu. Selain pengalaman berkenaan, anak kelahiran Johor itu juga mempunyai pengalaman yang sukar dilupakan ketika meredah malam melanggar perintah berkurung menyebabkan dia beberapa kali ditahan, namun bernasib baik ketika itu tentera sudah menguasai jalan sejurus perintah berkurung dikeluarkan dan pihak berkuasa berkenaan sebenarnya lebih bertimbang rasa jika alasan yang diberikan diterima akal.
“Saya memberitahu mereka terpaksa melanggar perintah mendapatkan bekalan makanan kerana ketika itu semua kedai sudah ditutup dan hanya sebuah kilang roti masih dibuka. Stok makanan di Malaysian Hall kehabisan menyebabkan saya memberanikan diri menaiki motosikal ke sana.

“Tidak tahulah nasib saya jika ditahan Amin Daulah (pasukan polis paling digeruni sebelum revolusi) pastinya dibelasah dan mungkin dibunuh kerana melanggar perintah mereka,” katanya.
Selepas memberi penjelasan dan memaklumkan ia untuk makanan pelajar Malaysia, saya dibenarkan pulang namun selepas difikirkan semula dia masih tidak tahu bagaimana dia sanggup berbuat demikian ketika itu.

“Semua ini kuasa Allah, mungkin dia memberi saya sedikit keberanian dan jika tidak saya pun pastinya ada orang lain yang akan berbuat demikian,” katanya yang mengusahakan kedai G-mart di situ.
myMetro | Sempit, bersesak

‘Saya reda’


Zuhaina Tengkis, 27

SEREMBAN: “Saya maafkan penjenayah itu walaupun isteri disahkan buta dan tidak dapat dipulihkan lagi,” kata Nor Azman Jani, 30, suami kepada mangsa simbahan asid di sekitar Mantin, tiga bulan lalu.
Menurut Nor Azman, tiada guna dia menyimpan dendam terhadap penjenayah itu dan apa yang penting harapannya mahu melihat isteri, Zuhaina Tengkis, 27, terus bersemangat dan pulih bagi menjalani kehidupan harian.

Katanya, dia sebak melihat isterinya itu yang melecur di muka dan badan, malah disahkan kornea matanya rosak dan tidak dapat dipulihkan.

“Nasi sudah menjadi bubur, tiada gunanya saya menyimpan dendam terhadap mereka (penjenayah), semoga kejadian ini tidak terjadi kepada orang lain. “Setiap masa isterinya memberitahu malu apabila suami melihat rupa parasnya yang rosak dan berparut apabila terkena asid. Saya selalu maklumkan kepada isteri supaya usah malu. “Saya tetap sayangkan dia hingga akhir hayat walaupun muka dia hancur disimbah asid,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Menceritakan semula kejadian itu, Nor Azman berkata, dia mengetahui kejadian itu, kira-kira jam 9.30 malam, apabila isterinya menjerit meminta tolong ketika sampai di rumah mereka di Kampung Orang Asli Belihoi, Mantin, di sini.


“Saya bergegas keluar rumah dan terkejut melihat muka isteri menjadi putih kemerahan, malah matanya hancur, isteri sempat memberitahu dia disimbah asid dua lelaki menaiki motosikal berpakaian seragam Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela),” katanya yang sebak melihat isterinya sekarang.

Malah, katanya, kedua-dua anaknya, Issac Alexander Julius, 9, dan Jemimah, 7, takut mendekati ibu mereka yang mempunyai rupa dan paras berubah.

“Penat saya yakinkan mereka (anak) supaya tidak takut dengan ibu, namun kini sudah biasa dan tidak takut lagi mendekati ibu mereka,” katanya. Sementara itu, Zuhaina ketika ditemubual kelihatan sedih dan masih terkejut atas kejadian menimpanya hingga meragut rupa parasnya.

“Mengapa mereka sanggup melakukan perbuatan itu ke atas diri saya yang tidak pernah bermusuh dengan sesiapa pun sebelum ini,” katanya. Menurutnya, sebelum ini, dia berasa seperti tiada semangat untuk hidup apabila mendapati keadaan diri yang hilang penglihatan akibat tragedi ngeri berkenaan.

“Kadang-kala, terfikir lebih baik mati daripada menyusahkan hidup orang lain. Namun, apabila memikirkan suami dan dua anak kesayangan, kekuatan tiba-tiba datang kembali.


“Mereka insan membuatkan saya bersemangat meneruskan kehidupan. Saya pasrah dengan ketentuan tertulis,” katanya.


Menceritakan semula detik cemas itu, kata Zuhaina, dia membonceng motosikal ditunggang adik saudaranya ke pekan Mantin menemui rakan baik yang mahu mengajak makan kerana baru memperoleh gaji, jam 8 malam, 2 Mac lalu.


“Namun, kira-kira jam 9 malam, ketika tiba di Lapang Sasar Mantin sejurus selesai makan, sebuah motosikal dari arah sama memotong dan melihat dua lelaki menyapa kami dengan menyebut hai.


“Seorang iaitu pembonceng yang memegang kotak air minuman menyimbah sejenis cecair ke muka saya.


Menurutnya, ketika kejadian tiada sesiapa melalui kawasan itu menyebabkan dia pulang ke rumah sambil menahan kesakitan.


Sementara itu, Ketua Jabatan Oftalmologi (Mata) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), Dr Bethel Livingstone, berkata, kedua-dua belah mata mangsa tidak dapat dipulihkan sepenuhnya apabila kornea, kelopak mata, dan sel mata rosak teruk.


“Hospital berusaha memulihkan rupa paras mangsa dengan melakukan pembedahan plastik,” katanya.

myMetro | ‘Saya reda’

Makmal syabu di kondo


AMPANG: Polis menyerbu unit kondominium yang dijadikan makmal memproses dadah dipercayai jenis syabu membabitkan nilai rampasan lebih RM4.6 juta, kelmarin.
Dalam serbuan jam 1.40 tengah hari itu, pasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima maklumat orang awam yang mencurigai pergerakan dua lelaki di sebuah kondominium Taman Ampang Utama, di sini.

Difahamkan, seorang penduduk di kondominium berkenaan melihat dua lelaki terbabit mengusung dua beg pakaian keluar dari sebuah rumah dalam keadaan mencurigakan sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, bertindak atas maklumat itu sepasukan polis menjalankan risikan dan menahan dua lelaki terbabit di kawasan letak kenderaan kondominium itu.

“Hasil pemeriksaan polis menemui 23 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu. Kami menahan kedua-dua lelaki itu dan membongkar makmal dadah di dalam rumah di tingkat 15 kondominium berkenaan.

“Polis turut merampas beberapa peralatan memproses syabu iaitu beberapa botol cecair ‘meth’, ketuhar gelombang mikro, dapur gas, periuk dan peralatan lain,” katanya pada sidang media di IPD Ampang Jaya, di sini, semalam.
Menurutnya, daripada rampasan syabu yang sudah diproses itu dianggarkan mampu menghasilkan 77,680 tiub malah cecair yang dirampas dan belum diproses itu turut dianggarkan mampu menghasilkan lebih 40kg syabu lagi.

“Hasil siasatan suspek berusia 26 tahun berasal dari Seri Kembangan adalah pekerja pembantu kedai dobi. Hasil ujian air kencing dia didapati positif dadah. “Manakala seorang lagi yang ditahan berusia 29 tahun berasal dari Jalan Genting Klang, Gombak dan berniaga di gerai. Kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan curi kenderaan dan samun,” katanya.
Tun Hisan berkata, kedua-duanya ditahan reman bermula semalam mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi membantu siasatan lanjut.

“Kami percaya rumah itu dijadikan tempat memproses dadah jenis syabu. Malah, syabu yang dihasilkan itu disyaki untuk pasaran tempatan. Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung perkara itu masih dijalankan,” katanya.

Selain itu, beliau menggesa orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan membantu polis dengan menyalurkan maklumat berhubung keadaan mencurigakan dan perlakuan jenayah.
myMetro | Makmal syabu di kondo

Tiada unsur jenayah


Bapa Mohammad Tawfiq, Noorzan Abdul Rahim, 47

KANGAR: Mahkamah Koroner, di sini yang mendengar prosiding inkues sejak 15 bulan lalu berhubung kematian Mohammad Tawfiq Noorzan, 22, yang ditembak anggota polis, semalam memutuskan tindakan polis menembak peniaga berkenaan adalah wajar.
Majistret Nurshahida Abdul Rahim, ketika membaca keputusan terbabit, berkata tidak wujud sebarang unsur jenayah dan kecuaian terhadap kematian Mohammad Tawfiq dan dikategorikan sebagai ‘miss adventure’ (tidak dirancang).

“Selepas meneliti fakta kes, mempertimbangkan bantahan pihak peguam dan hujah pendakwa raya serta peguam bela, wujud melebihi keraguan munasabah iaitu tidak terdapat sebarang kecuaian terhadap kematian Mohammad Tawfiq.

“Kematian Mohammad Tawfiq berlaku tanpa dirancang bagi menjaga kepentingan awam, keselamatan diri dan kewajaran untuk mempertahankan diri,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry, peguam pemerhati, Jagdeep Singh Deo, peguam keluarga Tawfiq, Zuhir Ahmad Zakuan bersama ibu dan bapa Tawfiq, Noorzan Abdul Rahman, 49, dan Salmiah Ismail, 47, hadir untuk mendengar keputusan inkues itu.


Sejak inkues berlangsung 15 bulan lalu, dua majistret mengendalikan prosiding berkenaan iaitu Noor Hisham Mohd Jaafar dan Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Prosiding inkues diadakan atas permintaan keluarga Mohammad Tawfiq yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis hingga menyebabkan kematian anak mereka dan ia bermula 16 Mac 2010. Pemuda berkenaan ditembak mati ketika mengamuk di Guar Sanji, dekat sini, pada November 2009 lalu.

Mengikut laporan, Mohammad Tawfiq, mengamuk hampir tiga jam menggunakan pisau pemotong sayur selepas marah dengan tindakan rakan meninggalkan dia di Alor Setar, selepas berhibur. Dia dikatakan singgah sebentar di Balai Polis Arau, untuk menyatakan hasratnya bertindak terhadap rakan berkenaan.

Selepas Nurshahida selesai membaca keputusan inkues, Jagdeep Singh bangkit meminta alasan kewajaran keputusan berkenaan, bagaimanapun Nurshahida memberitahu akan membawa persoalan itu kepada majistret terdahulu yang mengendalikan prosiding itu.

“Kami mendapati tiada sebarang alasan untuk memperkukuhkan keputusan inkues,” kata Jagdeep Singh.


Sementara itu, Noorzan berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan keputusan inkues itu dan akan berbincang dengan peguam bagi membolehkan tindakan susulan dalam tempoh terdekat.


Katanya, pihaknya turut berbincang dengan Jagdeep Singh supaya semakan semula dilakukan mengenai keputusan inkues berhubung kematian anaknya di Mahkamah Tinggi nanti.


“Kami kehilangan seorang insan yang boleh membantu kami pada masa depan dan akan bertindak mencari keadilan,” katanya.

myMetro | Tiada unsur jenayah

‘Saya tak tipu’


Aminulrasyid Amzah

SHAH ALAM: Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, dalam satu kejadian tembakan di Seksyen 11, di sini, tidak dapat mengawal perasaan hibanya selepas membela diri daripada pertuduhan itu, di Mahkamah Sesyen, semalam.
Anggota polis yang hadir dengan memakai jaket dan kopiah mengalirkan air mata sebaik mendapatkan ahli keluarganya yang berada di galeri awam. Terdahulu, Jenain, 48, memberitahu dia tidak berbohong dalam semua keterangannya di mahkamah berhubung apa yang berlaku pada malam kejadian yang berakhir dengan kematian Aminulrasyid. Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani bahawa dia tidak jujur sebagai anggota polis ketika memberi keterangannya itu. “Saya tidak setuju,” katanya ketika membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, jam 1.10 pagi, 26 April tahun lalu.

Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aminulrasyid disahkan maut akibat luka tembakan di kepala. Pada prosiding semalam, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar. Tertuduh pula diwakili peguam bela, M Athimulan dan Salim Bashir. Jenain berkata, semua 21 das tembakan yang dilepaskan ke bahagian bawah Proton Iswara yang dipandu Aminulrasyid hanya bertujuan memberhentikan kenderaan itu yang lari daripada pemeriksaan polis.

Katanya, dia melepaskan tembakan di Jalan Tarian selepas mendapati selamat untuk berbuat demikian.


Namun katanya, tindakannya melepaskan tembakan itu bukan berniat untuk menyebabkan kematian mangsa.

Sementara itu, pada awal prosiding, Mahkamah Sesyen menolak permohonan pihak pendakwaan yang mahu laporan polis yang dibuat Jenain berhubung kejadian tembakan yang berakhir dengan kematian Aminulrasyid itu.

Hakim Latifah Mohd Tahar ketika membuat keputusan itu berkata, pihak pendakwaan sepatutnya mengemukakan dengan lebih awal semua dokumen digunakan dalam perbicaraan kepada pihak pembelaan.

Prosiding bersambung pada 17 Jun ini.
myMetro | ‘Saya tak tipu’

Dipenjara tiga tahun


MELAKA: Gara-gara menayangkan video lucah kepada seorang wanita warga asing yang juga penumpang bas yang dipandunya, seorang bapa empat anak dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Hakim Zaharah Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap pemandu bas, P Kanapathy, 38, dan memerintahkan ia berjalan mulai semalam.

Terdahulu, tertuduh meminta mahkamah supaya meringankan hukuman dengan alasan mempunyai empat anak berusia antara empat hingga lapan tahun apabila tiga daripadanya masih bersekolah, manakala isterinya tidak bekerja.
Tertuduh turut mengakui tindakan menayangkan video lucah adalah satu kesalahan apabila soalan mengenainya diaju Zaharah terhadapnya.

“Kalau isteri awak menaiki bas dan pemandu melakukan tindakan sama seperti apa yang awak lakukan terhadap mangsa, adakah awak mahu? Bermakna tindakan awak juga salah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Akmalhana Mohammed meminta hukuman maksimum dikenakan terhadap tertuduh kerana cuba mengambil kesempatan terhadap mangsa pada waktu malam dan tindakan itu mengundang pelbagai perkara buruk.
Mengikut pertuduhan, Kanapathy didakwa dengan sengaja menunjukkan secara awam gambaran video cakera padat (VCD) lucah dengan maksud menawar atau mencuba melakukan sesuatu perbuatan yang menjadi kesalahan terhadap mangsa, 32, dalam sebuah bas bernombor nombor pendaftaran AFC 4311 di tepi Jalan Bukit Kajang ke Tehel, kira-kira jam 8.15 malam, 6 Jun lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292, Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sebelum itu, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan iaitu cuba merogol mangsa sama di lokasi dan tarikh yang sama kira-kira jam 10.45 malam.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Sesyen 376/511, Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara lima hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Harian Metro Rabu lalu melaporkan, kejadian wanita warga Indonesia yang dalam perjalanan ke negeri ini dengan menaiki sebuah bas ekspres nyaris diperkosa pemandu terbabit di sebuah ladang kelapa sawit.

Pemandu itu dipercayai sudah merancang dari awal untuk mencari mangsa bagi memuaskan nafsunya apabila menayangkan filem lucah sebaik menyedari wanita itu menjadi penumpang terakhir perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Teminal Melaka Sentral itu.

Lelaki terbabit kemudiannya melencongkan bas dipandu ke arah laluan ke daerah itu selepas menyedari peluang untuk merogol mangsa.

Mangsa bernasib baik apabila suspek gagal meneruskan niat jahat untuk menodainya selepas dua anggota polis yang melakukan rondaan dengan kereta peronda terserempak dengan bas berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan.

Ini berikutan enjinnya masih hidup sebelum anggota polis menghampiri bas berkenaan dan terdengar jeritan wanita sebelum berjaya memberkas pemandunya.

Zaharah menetapkan 13 Julai ini sebagai tarikh perbicaraan.
myMetro | Dipenjara tiga tahun

Malang 2 beradik

ALOR GAJAH: Impian dua beradik untuk menikmati dan menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 209, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Adeleen Kasim, 37, yang juga seorang jurutera di sebuah syarikat swasta di Putrajaya maut di tempat kejadian, manakala adiknya Aireen Kasim, 34, yang memandu Perodua Kelisa hanya cedera ringan Difahamkan, kenderaan dipandu Aireen yang juga kakitangan bank dalam perjalanan ke Kampung Pasir Puteh, Bachang, di sini, sebelum merempuh belakang lori yang ketika itu sedang bergerak menyebabkan kakaknya yang duduk di sebelah pemandu mati di tempat kejadian kerana parah di kepala. Pemandu lori, Wong Loong Fah, 44, berkata, dia dalam perjalanan dari Shah Alam ke Johor Bahru untuk menghantar perkakas rumah dikejutkan dengan dentuman kuat di belakang ketika memasuki lorong tengah lebuh raya.

“Saya berada di laluan pertama hendak ke laluan tengah memandu secara perlahan dan tiba-tiba dirempuh dengan kuat menyebabkan lori saya bergegar kuat sebelum hilang kawalan dan terbalik beberapa kali.
“Dalam keadaan cemas, saya terpaksa keluar melalui cermin hadapan lori yang pecah bagi mengelak dilanggar kenderaan lain pula,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian terus pergi ke arah kereta berkenaan dan mendapati seorang mangsa di tempat duduk penumpang cedera parah dan berada dalam nyawa-nyawa ikan, manakala pemandunya sudah berada di luar Perodua Kelisa serta cedera ringan.

Katanya, dia cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit namun gagal dan terpaksa menunggu kehadiran pasukan bomba sebelum wanita itu mati tidak lama kemudian.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Razali Che Ari berkata, sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai kemalangan itu. “Anggota kami tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian dan mayat mangsa dikeluarkan dalam masa kira-kira lima minit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Derah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu. “Siasatan mendapati Perodua Kelisa dinaiki dua beradik itu menghala ke Melaka dan apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai hilang kawalan selepas merempuh belakang lori yang ketika itu hendak memasuki lorong kedua.

“Polis masih menyiasat kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat,” katanya. myMetro | Malang 2 beradik

Badan terputus diseret 10 meter

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan tragis apabila tubuhnya terputus dua akibat digilis sebelum diseret sebuah treler sejauh 10 meter dalam kejadian di Kilometer 458.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh itu, kaki mangsa, T Theventheeran, 24, yang maut di tempat kejadian tersangkut pada satu tayar treler terbabit.


Difahamkan, treler berisi keluli itu cuba mengelak sebuah lori yang diletakkan di lorong kecemasan akibat rosak.

Namun, tindakan itu menyebabkan treler terbabit merempuh motosikal mangsa yang lalu di situ menyebabkan kesesakan lalu lintas kira-kira lima kilometer.


Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal yang ditunggang hilang kawalan dan merempuh sebuah treler yang lalu di lorong kiri jalan.

myMetro | Badan terputus diseret 10 meter

Anak maut digilis treler


ANGKAT...jenazah Mohd Zulfadzli dibawa masuk ke dalam van mayat, semalam. Gambar kecil, Mohd Zulfadzli.
ANGKAT...jenazah Mohd Zulfadzli dibawa masuk ke dalam van mayat, semalam. Gambar kecil, Mohd Zulfadzli.


BUKIT BERUNTUNG: “Saya tak sanggup melihat mayat anak yang hancur kaki dan badannya akibat digilis treler. Sungguh tidak sangka dia pergi secara mengejut dan ia memilukan kami sekeluarga,” kata Rosnah Dollah, 49, ibu Mohd Zulfadzli Ramli, 16, yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Bukit Sentosa-Kuala Kubu Bharu, dekat sini, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dan dibonceng rakannya, Muhammad Azim Firdaus Mohamad Abdullah, 14, pulang daripada bekerja sambilan sebagai pelayan restoran di Bandar Bukit Sentosa ke rumah mereka di Taman Seroja, dekat sini.

Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 3.10 pagi selepas menerima berita itu daripada jiran.

“Saya tidak dapat menahan sebak melihat mayat anak yang terperosok bawah treler panjang. Rakannya parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) sejam selepas kejadian.

“Arwah mahu pulang ke rumah selepas bekerja sambilan sejak setahun lalu di Bandar Bukit Sentosa untuk mencari wang saku untuk belanja persekolahannya. Dia anak yang baik dan manja dengan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Menurut Rosnah, ketika kejadian dia dan suaminya, Ramli Mohd Yusof, 54, tidur di rumah.

Katanya, arwah yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa 2 anak bongsu daripada tiga beradik suka berjenaka dan penyayang.

“Saya tidak sangka perangai peliknya yang meminta digosok kakinya berulang kali dua hari lalu petanda akhir hayatnya.

“Kami terkilan melihat keadaannya yang teruk selepas terbabit kemalangan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi, berkata kejadian itu membabitkan motosikal ditunggang dua remaja bertembung treler dipandu seorang lelaki dikenali sebagai Nehru, 40, yang membuat pusingan U di laluan terbabit.


Katanya, treler terbabit melanggar motosikal mangsa mengakibatkan mangsa terperosok sebelum digilis.


“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu terbabit datang ke Balai Polis Bukit Sentosa untuk membuat laporan sejurus kejadian itu,” katanya.
myMetro | Anak maut digilis treler

Dapat ikan air tawar gergasi



DAVID KENT (kiri) bergambar bersama seekor ikan air tawar gergasi yang berjaya ditangkapnya di sebuah tasik di Krabi, Thailand baru-baru ini.


TENBY, Wales - Seorang penduduk Wales, David Kent menggunakan jagung manis sebagai umpan untuk menangkap seekor ikan air tawar gergasi dengan berat lebih lebih 118 kilogram (kg) di sebuah tasik di Krabi, Thailand, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kent, 54, yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Britain menghabiskan masa selama sejam untuk menaikkan ikan sepanjang dua meter itu.
Dua lelaki membantu dia memegang ikan tersebut yang 32kg lebih berat daripada rekod sebelum ini.
Dia menangkap ikan itu semasa bercuti di Krabi bersama dengan isterinya.
Kent berkata: "Ikan itu mungkin terlalu lapar kerana ia memakan secebis kecil jagung (yang dijadikan umpan)."
Ikan itu kemudian dilepaskan ke dalam tasik selepas gambar haiwan itu dirakamkan sebagai bukti penangkapan.
Kent dan isterinya kemudian memeriksa rekod tangkapan air tawar dan mendapati rekod terdahulu hanya seberat 86.18kg. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Bandar dicat warna biru kerana filem Smurfs



SEMUA bangunan di bandar Juzcar, Sepanyol dicat dengan warna biru.


MADRID - Bandar Juzcar di selatan Sepanyol dicat dengan warna biru termasuk gereja bagi meraikan pelancaran filem Smurfs yang dibintangi penyanyi Katy Perry.
Sebanyak 4,200 liter cat dan tenaga 12 penduduk tempatan digunakan untuk mengecat rumah dan bangunan di bandar tersebut sejak kelmarin.
Seramai 250 orang tinggal di bandar itu manakala Datuk Bandar Juzcar, David Fernandez Tirado berkata, orang ramai sudah menggelarkannya Papa Smurf.
Syarikat Sony yang mengeluarkan filem tersebut memilih bandar berkenaan sebagai lokasi tayangan perdana The Smurfs 3D pada 16 Jun ini.
Smurfs merupakan cerita kartun mengenai makhluk kerdil berwarna biru yang disiarkan buat kali pertama di televisyen pada 1981.
Ia disiarkan 30 tahun selepas pelukis kartun dari Belgium, Pierre Culliford menghasilkan komik smurfs. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia