Pages

Friday, January 22, 2016

Fesyen rambut bercahaya dalam gelap



PENGGUNA Instagram berkongsi gambar rambut yang boleh bercahaya di dalam gelap. - AGENSI


EDINBURGH, Britain – Peminat kecantikan dilaporkan membanjiri laman sosial Instagram dengan gambar-gambar kegilaan gaya rambut baharu yang bercahaya dalam gelap.
Kaedah baharu rawatan rambut itu membolehkan rambut seseorang menyerap cahaya matahari dan bersinar terang di bawah cahaya ultraungu di tempat gelap.
Peminat gaya rambut itu hanya perlu membelanjakan £7.20 (RM38.30) bagi setiap pewarna ultraungu bagi menghasilkan pelbagai corak dan warna rambut bercahaya.
Selain menggunakan jenama pewarna yang dijual secara komersial, salun rambut Hair by JFK di sini turut mengumumkan koleksi gaya rambut UV Elektromagnetik mereka sendiri untuk tahun 2014/2015.
Kru salun rambut tersebut, Karen Brown berkata, antara tiga hingga empat warna ultraungu perlu digunakan bagi setiap pelanggan untuk mendapatkan kesan terbaik.
“Jika anda mahu mewarnakan sendiri rambut anda di rumah, pastikan anda menguji dahulu corak warna pada beberapa helai rambut untuk mendapatkan gambaran penuh agihan pewarna di seluruh kepala,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3xveQk8OB 
Hakcipta terpelihara 

Saintis AS umum temui planet kesembilan




SEKEPING gambar yang dirakam pada 20 Januari lalu menunjukkan Planet Sembilan yang wujud dalam sistem solar. - AFP


MIAMI, Florida – Sebuah planet gergasi yang tidak diketahui sebelum ini dipercayai wujud jauh di hujung sistem solar, kata beberapa saintis Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Dinamakan Planet 9, objek itu mempunyai jisim 10 kali ganda lebih besar daripada Bumi dan bergerak mengelilingi orbit yang memanjang dalam sistem solar, kata pasukan penyelidik berkenaan dari Institut Teknologi California dalam satu kenyataan.
“Planet ini mengambil masa antara 10,000 hingga 20,000 tahun untuk melengkapkan satu pusingan orbit mengelilingi Matahari,”, kata kenyataan itu.
Laporan mengenainya disiarkan dalam jurnal Astronomical. Sehingga kini, kebanyakan saintis menyatakan bahawa terdapat lapan buah planet dalam sistem solar dengan Planet Neptun terletak paling jauh dari Matahari.
Pluto pula termasuk dalam kategori planet kerdil.
Dua penyelidik berkenaan, Konstantin Batygin dan Mike Brown berkata, mereka belum melihat planet itu secara langsung. Sebaliknya, dua saintis itu menemui Planet 9 menerusi model matematik dan simulasi komputer.
Sebelum ini, beberapa buah planet telah ditemui menerusi model matematik termasuk Neptun pada 1846.
Planet 9 dipercayai mempunyai jisim 5,000 kali ganda lebih besar daripada Pluto.
Sehingga kini, beberapa teleskop masih menjejaki Planet 9 termasuk Teleskop Subaru di Maunakea, Hawaii. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3xveFJqOE 
Hakcipta terpelihara 

Saintis berjaya pindah kepala monyet


Imej monyet selepas pemindahan kepala berjaya dilakukan oleh saintis China ke atas monyet berkenaan, baru-baru ini . Agensi
LONDON 21 Jan. – Seorang pakar bedah dari Itali, Sergio Canavero mendakwa dia dan sekumpulan para penyelidik dari China berjaya melakukan satu pembedahan luar biasa pemindahan kepala seekor monyet, baru-baru ini.
Portal berita Mail Online melaporkan bahawa saintis yang pernah mencetuskan kontroversi di internet selepas dia mendedahkan hasrat untuk melakukan pembedahan pemindahan kepala manusia serta mendakwa prosedur itu akan membolehkan seseorang yang menghidapi penyakit lumpuh sepenuhnya dapat sembuh dalam beberapa tahun selepas menjalani pemindahan itu.
Kini, selepas bekerja dengan sekumpulan penyelidik dari China dan Korea Selatan, saintis Itali itu mendakwa perancangannya kini semakin hampir, setelah menjalani eksperimen ke atas seekor monyet, tikus dan mayat manusia.
Canavero memberitahu ma­jalah New Scientist: “Saya mahu katakan bahawa kita mempunyai banyak maklumat untuk meneruskan prosedur berkenaan.”
“Adalah penting untuk seseorang berhenti berfikir bahawa perkara ini adalah mustahil. Prosedur ini boleh dilakukan dan kita sedang berusaha ke arah itu,” katanya.
Canavero mendakwa seorang doktor dari China, Xiaoping Ren dari Universiti Perubatan Harbin telah berjaya melakukan pembedahan pemindahan kepala seekor monyet dengan menyambungkan saluran darah antara kepala dan badan baharu, tetapi tidak menjejaskan saraf tunjang.
Katanya, penyelidikan mengerikan itu menunjukkan bahawa jika kepala tersebut berada pada tahap beku -15 darjah Celsius seekor monyet mampu bertahan melalui prosedur berkenaan tanpa mengalami kerosakan otak.
“Monyet itu selamat menjalani pembedahan tanpa mengalami kecederaan neurologi atau masalah lain,” kata Ren, sambil menambah kata, tanpa penyambungan saraf tunjang, haiwan itu akan lumpuh dari leher ke bawah dan mampu bertahan selama 20 jam selepas pembedahan dilakukan.
Namun, tidak diketahui sama ada, haiwan tersebut mampu merasai kesakitan di bahagian badan yang dibedah selepas produr ber­kenaan atau tidak.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/saintis-berjaya-pindah-kepala-monyet-1.182084#sthash.48MySVIz.dpuf

2015: cuaca terpanas dalam sejarah dunia


Peningkatan suhu global telah bermula sejak 2014

Empat gambar berlainan merakamkan kesan fenomena El Nino kepada manusia dan dunia sepanjang 2015. AGENSI
NEW YORK 21 Jan. - Sekumpulan saintis melaporkan bahawa 2015 merupakan tahun paling panas dalam sejarah cuaca dunia, sekali gus memecah rekod yang dicatat pada tahun sebelum itu.
Portal berita nytimes.com me­laporkan, peningkatan suhu panas pada 2014 berlanjutan sehingga 2015 dan merubah corak cuaca di seluruh dunia.
Di Amerika Syarikat (AS) dan kawasan sekitarnya, tahun 2015 me­rupakan tahun kedua terpanas di dunia dan cuaca panas itu berterusan sehingga Disember lalu.
Cuaca panas itu telah mencetuskan banjir musim sejuk di luar jangkaan sehingga melimpahi Sungai Mississippi.
Saintis telah meramalkan pe­ningkatan suhu global beberapa bulan sebelum itu lagi, sebahagian besarnya disumbangkan oleh corak cuaca El Nino, yang menjadi fenomena terbesar dalam abad ini, yang melepaskan jumlah haba yang tinggi dari Lautan Pasifik ke atmosfera.
Tetapi sebahagian besar rekod panas yang dicatat pada 2015 disumbangkan oleh pemanasan planet dalam jangka panjang di­sebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau oleh manusia.
“Seluruh sistem itu mengalami peningkatan pemanasan,” kata Gerald A. Meehl, seorang saintis dari Pusat Sains Nasional bagi Penyelidikan Atmosfera di Boulder, Colo.
Ia akan mengambil masa selama beberapa tahun untuk memastikan kesannya, tetapi rekod berturut-turut yang dicatatkan pada 2014 dan 2015 mungkin telah meletakkan dunia pada landasan pemanasan global yang sangat pesat, selepas suatu tempoh pemanasan yang perlahan sejak El NiƱo paling buruk pada 1998.
Ahli-ahli politik pula mendakwa gas dari rumah hijau bukan punca masalah, merujuk kepada tempoh perlahan itu untuk mempertikai bahawa ‘amaran pemanasan global telah berhenti pada 1998’ dan kenyataan serupa muncul baru-baru ini semasa kempen oleh calon Presiden AS dari Parti Republikan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/2015-cuaca-terpanas-dalam-sejarah-dunia-1.182087#sthash.0X09kFPL.dpuf